.

4/2/11 SEPATU KULIT RUSA, TAS LV

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 06, 2011

Share

& Comment


Lanjutan dari tulisan saya bertajuk Baju Tak Sepadan Tubuh, serta beberapa SMS yang saya terima, sebagai tindakbalas dari tulisan tersebut, maka ianya menimbulkan ilham buat saya menulis Sepatu Kulit Rusa, Tas LV. LV adalah singkatan bagi jenama Luis Vuiton, khabarnya jenama tas kegemaran Datuk Siti Nurhaliza. Jika itu benar, pastinya ianya adalah tas yang hebat dan mahal.

(2) Sepatu kulit rusa, samada untuk lelaki atau perempuan sangat payah untuk didapati. Jika ada, pastinya agak mahal berbanding dengan sepatu kulit sapi atau buaya.

(3) Malam ini, saya makan bersama seorang teman penyelidik sedang hebat mengkaji soal kemiskinan di bandar. Diberitakan, kawasan setingan serta kawasan-kawasan perumahan murah menjadi sasaran kajian beliau. Perkara yang dikaji, saya kira agak sama, iaitu profil keluarga, pekerjaan, pendapatan, pendidikan, milikan harta, dan persepsi masa kini dan masa depan. Rumusannya, kemungkinan akhirnya adalah Job-Skill Mismatch, Locational Mismatch, Value Added Disparity iaitu ketiadaan peluang menambah pendapatan halal, Educational-Skill Gaps, dsb.

(4) Penemuan ini pastinya tepat dan sangat berkait dengan pemasalahan kemiskinan di bandar. Namun, cukupkah sekadar sebegitu? Apakah pencarian sebenar yang harus kita terokai?

(5) Perkara yang menguja dan menjana pengkajian kemiskinan bandar, adakah sebenarnya sekadar untuk meneliti ciri-ciri kemiskinan itu sendiri atau untuk mengkaji kesan sebenar akibat kemiskinan? Saya berkira, jika kita hanya menumpu kepada ciri-ciri kemiskinan, sebab musabab kepada kemiskinan, pastinya jawaban yang kita dapati akan tetap sama sampai bila-bilapun. Pendekatan kita untuk mengatasinya juga akan tetap sama.

(6) Dewasa ini, ahli-ahli politik pemerintah seperti kian gusar, bahkan gundah gulana, kerana sokongan kepada mereka di kawasan-kawasan yang dikenalpasti miskin kian merosot. Mereka akhirnya, mengasak agar Kajian Kemiskinan di kawasn-kawasan ini dijalankan cepat. Profil kemiskinan akhirnya akan terbangun. Jalan penyelesaian pintas pasti akan terumus, dan ianya biasanya tidak akan lari dari segala macam bantuan kebajikan dan subsidi. Inilah corak langkah bila kita berdepan dengan kemiskinan mendadak di bandar-bandar, dan bahkan di luar bandar. Cara kita selama ini, tidak lain, ibarat sekadar menderma kepada peminta sedekah? Akan terus mampukah kita berbuat sebegitu selamanya? Atau akan benar-benar kurang mendadakkah kemiskinan dengan langkah sedemikian?

(7) Demi kepentingan kestabilan sosial sementara, pastinya langkah-langkah pintas sangat diperlukan. Namun, agak merunsingkan, setelah langkah pintas dilakukan, tidakpun kita bersungguh-sungguh akhirnya untuk merangka dan melaksanakan langkah-langkah jangka panjang yang dapat menyelesaikan permasalahan ini seterusnya.

(8) Seperti yang saya perkata sebelumnya, gejala kemiskinan sangat membinggungkan para ahli politik pemerintah. Bagi ahli politik pembankang lain pula sikapnya; mereka cukup suka wujudnya kemiskinan untuk manipulasi sehebatnya. Bagi ahli politik pemerintah, mereka binggung kerana mereka kian hilang sokongan bukan hanya dari mereka yang miskin, tetapi juga dari mereka yang tidak miskin.

(9) Di kalangan generasi kini, anak-anak muda, kemiskinan, pastinya menyebabkan keciciran dalam pendidikan. Ini akhirnya, menjadikan mereka sangat terdedah kepada sebarang pekerjaan yang tidak mendatangkan gaji yang lumayan. Akhirnya, kerana tekanan kos hidup yang semakin meningkat naik, sedang gaji tidak pernah mencukupi, maka banyak gejala-gejala sosial akan berkembang kotor.

(10) Mencuri, penagihan alkohol, dadah, judi, ekor dsb sebagai jalan pintas melupakan masalah, merompak, meragut, menipu, melacur secara sembunyi-sembunyi dan bahkan menjadi perempuan simpanan. Kalau kita rajin, pergilah keliling kota, perhatikan akan ada anak-anak gadis dijual oleh para teman lelaki dan bahkan suami mereka. Semua gejala ini, akhirnya merunsing dan menjengkelkan golongan tua, yang akhirnya marahnya meluap-luap kepada pemerintah yang sepertri tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Pemerintah seperti sudah gagal.

(11) Rakyat yang terdesak mudah saya dibawa arus, mudik atau menghilir, hanyut. Jika hanyut dan terdampar di pulau kemewahan, tidak mengapa, namun selalunya, jika hanyut kita hanyalah jadi habuan jerung dan pirana.

(12) Dalam soal kemiskinan bandar, saya berkira kita perlu berubah tumpuan. Tumpuan kita tidak harus hanya pada masyarakat di kawasan miskin. Tumpuan kita perlu kepada kedua-dua masyarakat dan lingkungannya (kawasan) sekali. Saya percaya, orang miskin, kemampuannya terbatas. Maka, bermula dengan rumah yang tidak sempurna. Kemudian, kemudahan untuk pengembangan pendidikan dan kemahiran yang tidak sempurna. Dalam dua struktur asas yang tidak sempurna ini, maka, lahirlah gejala masyarakat yang tidak sempurna.

(13) Sememangnya pedih untuk kita mencari rumusan bagaimana mengatasi masalah ini. Namun, sedikit masa dahulu, pernah saya cuba mengajak pembaca agar kita meneliti bagaimana Muhammad saw, pada mulanya membangunkan Kota Madinah.

(14) Sebelum Hijrah Muhammad, Yatrib (nama asal Madinah), adalah kota mundur. Kaum Al Ansar dan Aus, penduduk Arab asal Yatrib adalah masyarakat tertindas akibat kebijaksanaan kaum Yahudi berdagang di sana. Pastinya, Yatrib adalah kota tidak terurus. Kota yang punya segala macam gejala sosial yang melemaskan. Maka atas sebab itulah kaum Al Ansar dan Aus cukup bersahabat dengan Muhammad yang terkenal ahli perdagangan yang jujur. Sifat dagang Yahudi yang buruk mengakibatkan kaum Al Ansar dan Aus tertindas dan mundur (pastinya miskin!)

(15) Maka Muhammad, dengan bantuan segelintir Pedagang Islam Quraish dari Mekah, membangunkan sistem perdaganan dan pengurusan yang lebih teratur buat kaum Muslimin Quraish dan juga saudara baru Al Ansar dan Aus. Akhirnya, Yatrib berubah menjadi Kota dagang yang hebat sehingga dapat menandingi Rom dari segi pengurusan perdagangannya. Muhammad tidak menidakkan sepenuhnya kemahiran kaum Yahudi, malah mereka digembeling bersama dalam memakmurkan Madinah. Nama Madinah terjelma setelah Muhammad berjaya menjadikan Yatrib kota dagang yang hebat.

(16) Mengambil iktibar dari Hijrah Muhammad, seperti yang saya garap ini, pastinya kita juga akan dapat memakmurkan golongan miskin samada di bandar atau luar bandar. Muhammad pada dasarnya merombak lingkungan yang menghambat kemakmuran rakyat. Tumpuan beliau adalah sistem dagang yang menindas. Dan tidakkah itu sebetulnya sebab sebenar kemiskinan di kalangan masayarakat kita? Muhammad mengharapkan riba. Muhammad juga mengharamkan takaran yang tidak tepat. Itulah asas transformasi kemasyarakatan Muhammad. Malangnya, kita menidakkan punca 90% dari rezeki dunia dari dikuasai kita seperti yang Muhammad anjurkan!

(17) Di Madinah, transfomasi atau reformasi sosio-ekonomi adalah di pelopori oleh Muhammad, pemimpin agung. Gerak kerja Muhammad adalah bersifat jangka panjang. Muhammad yakin, jika dia berjaya menunjukkan jalan dagangan Islam, pastinya, Islam akan diterima di sepanjang zaman. Itu wawasan Muhammad. Waswasan jangka panjang. Sedang di negara kita, pemimpin kita adalah ahli politik. Jangka hanyat politik mereka adalah lima tahun. Cara mereka pastinya tidak terkeluar dari lunas politik. Jalan pintas, kemenangan cepat adalah pilihan utama mereka.

(18) Namun, kita tidak boleh bersikap suka menuding jari menghambur kelemahan orang lain. Sikap kita, khususnya para pemikir dan profesional harus berani merencana, mengusul dan melaksanakan sesuatu yang bersifat jangka panjang, lebih mampan. Jalan pilihan kita harus segandingan dengan jalan pintas pilihan ahli-ahli politik. Kita jangan biarkan hanya ahli politik untuk memilih jalan mereka. Jalan pilihan harus digerak bersama.

(19) Secara pribadi, bagi kaum yang berpendapatan payah, wajar kita perhatikan langkah kita. Jangan orang pakai sepatu kulit rusa, bertas LV, maka kitapun turut mahu ikut sama. Pakai saja selipar jepun, beg karung plastik, dan berpegang kuatlah pada: Ikat Pinggang, Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit!

(20) Kemiskinan melanda kita, terkadangnya kerana sikap kita, yang tetap suka bersepatu kulit rusa bertas LV. Jika tidak percaya, pergilah ke seluruh pelusuk desa dan perumahan murah. Cuba kaji, berapa ramai terhutang permaidani, kain, hiasan dinding, dari peruncit Pakistan, dan terhutang perkakasan dapur, tempat tidur, dan audio-video. Juga teliti berapa ramai jadi teman akrab along.

(21) Saya percaya, struktur kejiranan kita perlu rombakan besar-besaran. Sejarah sumbangnya perumahan di Kota-kota London, Paris, Chicago, dan Los Angeles selepas WWII harus menjadi teladan yang kita perlu teliti secara mendalam. Juga kebangkitan Hitler yang mengakibatkan WWII juga harus kita peringati. Wajar kita lihat secara halus, sistem kejiranan Bazaar Muhammad dalam membangunkan kawasan-kawasan perumahan kita. GLC harus menilai semula cara kita merencana dan membangunkan kawasan-kawasan perumahan kita (atau kita rombak saja istilah Kawasan Perumahan, yang sebetulnya mengekang pertumbuhan ekonomi setempat).

(22) Pendeknya, kemiskinan yang sebelum ini kita laungkan telah dapat kita kurangkan, kini kian muncul semula, kerana cara kita mengatasinya tetap dengan cara lama: kebajikan dan subsidi. Selagi kita bersikap konservatif, selagi itulah Putaran Ganas Kemiskinan akan tetap bertandang kembali.

Matang Jaya, Kuching, Sarawak
6 Feb, 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.