.

5/11/10 TIDAK WAJARKAH KITA ADA KEKHUATIRAN?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - November 22, 2010

Share

& Comment

(Ungkapan: Mawar Berduri seperti tidak kita mengerti. Mawar yang harum-indah, tetap ada duri yang jika kita tidak peka pasti mencucuk sakit. Begitulah kias Mawar Berduri dalam maksud ungkapan bahasa Melayu yang sudah jauh dari kita teliti dalam hidup ini. Di sekeliling kita, seperti segalanya tampak aman-bersatu, namun kita seperti tidak peka akan bahaya kehancuran yang bakal menanti di depan!)

Hujung minggu lepas saya ke Cameron Highlands. Sudah lama saya tidak ke sana, iaitu sejak saya mengadakan Lawatan Kajian Ekologi pada tahun 1982. Dalam lawatan pada 1982 tersebut, perhatian saya hanyalah pada Perubahan struktur tumbuhan akibat perubahan ketinggian Cameron Highlands. Dalam tahun 1982, Cameron Highlands adalah sebuah tempat penanaman sayur dan teh yang terkenal di negara ini. Kini, Cameroon Highland masih tetap berperanan sama. Cuma dulu, istilah Organic Farming tidak pernah digunakan, namun kini, ianya telah menjadi suatu gimik yang mesti.


(2) Saya berkata, bahawa Organic Farming sebagai suatu gimik kerana, jika kita ke Cameron Highlands, tidak kedapatan sebuahpun dari kebun sayur di sana benar-benar tertutup rapat. Maksud saya, selain ianya perlu Kedap Hujan (rain sheltered), ianya juga harus Kedap Seranga (Insects Sheltered). Apa yang kita dapati, dinding semua kebun sayur (strawberry dan bungaan), semuanya adalah separa dan atau terdedah sepenuhnya. Maka, hakikatnya, segala serangga masih tetap boleh memasuki kebunan sayur berkenaan. Jika kita bertanya kepada para pekerja di sana, secara senyap-senyap mereka akan memberitahu: "Kita sembur racun awal pagi atau lewat sore!"

(3) Begitu juga, saya tidak melihat kilang baja organik yang besar bagi menampung keperluan pembajaan sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan di sini. Pastinya, Baja Bukan Organan (Inorganic) tetap digunakan sebagai tambahan baja Organan yang ada. Hakikatnya, pada saya, biarpun kemudahan di Stesyen MARDI, tetap tidak Organik sebagai diperkatakan.

(4) Prasarana Ladang Organik saya kira perlu memenuhi pra-syarat Rumah Hijau (Green House). Kemudian, dari segi pengurusan, baja organik sepenuhnya perlu digunakan. Sistem haidrofonik, saya kira sukar untuk digunakan bagi sistem organik. Maka, bagi menarik untuk orang membeli sayur-sayuran di sini, maka perkataan Organic Farming sangat dilaung-laungkan. Suatu gimik perniagaan yang sangat licik.

(5) Sejak lawatan saya pada 1982 sehingga kini, saya berkira demografi Cameron Highlands tidak pernah berubah. Masyarakat di sini ditunjangi oleh penanam sayur Tionghua. Masyarakat Tionghua menjadi kebanyakan penghuni tetap di sini, sedang pekerja asing menjadi tenaga kerja utama. Sama juga, di zaman koloni Bristish, kaum pekerja dari Sri Lanka dan India dibawa masuk untuk bekerja di ladang-ladang teh. Kini, masyarakat Indonesia telah secara perlahan-lahan mengantikan kaum pekerja dari India dan Sri Lanka.

(6) Di Pasar Malam Hujung Minggu di Tanah Rata, kini, para pekerja Indonesia dan Bangladesh telah memainkan peranan bukan hanya untuk mengurus ladang, tetapi mereka kini sudah dilantik menjadi jurujual. Sekali imbas, pasti kita merasa banga melihat masyarakat Melayu sudah mulai menjadi peniaga sayur-sayuran di sini. Namun hakikatnya, mereka hanyalah kaum TKI yang seperti dijadikan gimik bagi mengabui pembeli, khususnya yang saya perhatikan sebahagian besarnya adalah Melayu!

(7) Melayu seperti sudah tidak kisah dengan gimik! Mungkin kerana, Melayu sudah menjadi terlalu sebati dengan kepura-puraan sehingga kita sudah menjadi tidak arif untuk mengenali antara kura-kura dan penyu! Dan ini saya kira tidak terhad kepada soal yang saya bangkitkan, namun dalam banyak bidang, sehingga dalam bidang agama, budaya, kemasyarakatan, politik, profesional, dsb. Contohnya, bila kaum lain sudah pandai berkain sarong dan pakai baju Melayu, maka dengtan mudah kita telah menganggap mereka jadi Melayu; mereka telah masuk Melayu, maka kita dengan mudah menyerah segala kepercayaan kita kepada mereka. Inilah bilamana kita mudah lupa akan falsafah Melayu yang berbunyi: Musang berbulu ayam!

(8) Saya membangkitkan perkara ini, kerana kebetulan saya membaca sebuah buku hadiah seorang teman, Intan Rahmah, bertajuk: World On Fire- How exporting free market democracy breeds ethnic hatred and global instability oleh Amy Chua. Dalam buku ini, biar Amy adalah seorang Tionghua, namun kerana pengaruh pengalaman Barat-Timur beliau, maka beliau dapat melihat bagaimana, demokrasi dan pasaran bebas telah menjadi suatu gimik kepada kemakmuran dunia.

(9) Di seluruh Nusantara, dan kini sedang berkembang luas di Afrika dan Selatan Pasifik, kaum minoriti Cina telah menguasai 60-90 perastus dari ekonomi masyarakat pribumi. Di Malaysia, umpamanya, 30 peratus dari penduduknya yang berbangsa Tionghua menguasai 70 peratus dari kekayaan negara. Bahkan Robert Kuok, kini telah menjadi salah seorang pemain industri dan dagang bertaraf dunia, biarpun asalnya hanyalah seorang peniaga garam!

(10) Dalam tahun 1997, George Sorro menjadi pemula kepada krisis kewangan Nusantara. Namun di Indonesia, penguasaan ekonomi dan seterusnya kecelaruan akibat demdam terhadap kaum minoriti Tionghua telah menjadikan negara itu bobrok sehingga kini sukar untuk dipulihkan. Campurtangan IMF dan seterusnya Capital Flight ke Singapura oleh para usahawan Tionghua telah menghacurkan ekonomi Indonesia, hanya kerana Amerika sudah tidak sebulu dengan Suharto yang enggan sekandang dalam memerangi Palestin dan Iraq. Untuk menghacurkan Suharto adalah dengan menghacurkan ekonomi Indonesia. Dan tidakkah ini kemudian seperti direstui oleh tangan-tangan hitam di Indonesia agar bangsa pribumi Indonesia, yang sudah lemah, dengan mudah dibeli.

(11) Dalam perjalanan panjang saya di Indonesia dalam beberapa tahun ini, membuktikan bahawa rasuah telah menular-meluas lebar dalam masyarakat Indonesia, bukan hanya di kalangan pemimpin malah di kalangan penarik beca sekalipun.

(12) Begitu juga bila mulut Mahathir Mohammed terlalu celupar menhenyak barat, maka George Sorro menjadi dalang terbaik untuk menyentap dia dari kerusi kepimpinan negara. Sebagai seorang Yahudi, dan mendapat dokongan Amerika, pastinya, dia tidak suka akan Mahathir yang begitu lancang dalam membela Palestin, Mandela dan usul merombak Sistem Kewangan Dunia. Maka, sistem kewangan Malysia menjadi ssarannya. Amerika berharap, jika sistem kewangan Malaysia punah, Mahathjir akan punah, dan penguasaan beliau jadi lemah. Jika ini terjadi, pasti dengan hanya bermodalkan sedikit, segala institusi ekonomi negera akan mudah diambil-alih.

(13) Syukurlah kita ada Mahathir yang tidak mengerti sepenuhnya akan jalanan sistem kewangan dan ekonomi Barat, menjadikan beliau, kata orang Kedah, jadi lengai (ignorance), maka dia tidak mahu mendengar Barat, bila IMF mengetuk pintu dengan hebat dalam tahun 1998. Cuma silap Mahathir, tumpuan serangan beliau adalah pada George Sorro, tidak mahu diam seperti api dalam sekam, dan memusatkan usaha membangunkan Sistem Ekonomi Islam, dan mengerakkan Ekonomi Negara berdasartkan Sistem Kewangan Islam.

(14) Begitulah kita sekarang ini, sedang sebok dibelai gimik. Gimik Anwar Ibrahim untuk membawa keadilan, namun perincian keadilan tidakpun pernah diutarakan. Seperti juga diawal kehadiran beliau dalam arena Politik (dalam ABIM), sering saja dia bercakap tentang Ekonomi Islam, namun bila berlaku krisis kewangan 1997, beliau menjadi pengamal Riba yang sangat hebat. Natijahnya, pada masa itu, Mahathir dilihat sebagai diktaktor dan mesti ditumbangkan dengan apa cara. Maka beliau bersekongkol merogol ekonomi negara bersama IMF! Itulah gimik, yang kita sudah kian mahu lupa, dan itulah gimik hidup dan nyata: kepimpinan, politik, perdagangan, kemanusiaan!

(15) Kerana gimik keadilan, juga gimik 1Malaysia, tanpa perincian tepat, maka semua orang sedang melihat 1Malaysia dalam kepentingan masing-masing. Orang Cina berasa mereka sudah terlalu banyak diperah untuk membayar Cukai Pendapatan, dan yang benyak menerima faedah dari Cukai tersebut adalah orang Melayu. Orang India, mereka seperti sudah terlalu lama terlepas keretapi terutama bila harga getah merundum parah sejak sekian lama. Orang Iban, Kedazan, Dusun, dsb kini juga mulai bangkit menuntut 1Malaysia dalam pengertian masing-masing. Apakah ini, semua, tidakkah ini hanyalah gimik untuk menjaga golongan diri sendiri? Bukan suatu usaha sebenar untuk membina negara!

(16) Orang Melayu khususnya sekarang ini atas slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian diUtamakan, juga suatu gimik penyedap cita-rasa politik singkat, yang tidak ada kejelasan yang mantap, saya kira sudah seperti Puteri Lilin yang tidak mahu berusaha keras sendiri. Segala-galanya mesti dengan bantuan Kerajaan. Kita seperti taksub, dengan segala subsidi dan bantuan singkat Kerajaan, sehingga kita beranggapan Kerajaan telah bersifat prihatin, sedang sebenarnya, semua itu pasti akan merugikan bangsa akhirnya.

(16) Kesan dan akibat gimik-gimmik ini, saya kira Amy Chua tidak akan jauh terpeleset dari kerisauannya!

(17) Maka, jika Islam adalah benar, adalah untuk kesejahteraan semua ummah, maka keciciran yang sedang dihadapi oleh umat Islam kini, adalah kerana umat itu sendiri, bukan kerana Islam. Jika andaian saya ini benar, maka kita belumlah layak disebut sebagai orang Islam, mungkin baik juga terus disebut saja sebagai saudara baru untuk selama-lamanya!

(18) Saya melihat, keciciran kaum Melayu khususnya dalam bidang ekonomi dan sosial adalah kerana kegagalan kita untuk mematuhi keperluan ajaran Islam agar kita sentiasa bersifat jujur dan cekal dalam menghadapi dan melakukan sesuatu. Kebanyakan kita sudah terlalu mudah untuk mengalah, berpuas hati, dan atau mengharap ganjaran (penghargaan), sedang Islam telah menentukan, tugas-tanggungjawap kita adalah berusaha sekeras, sebijaksana, seikhlas, dan ketentuan selanjutnya adalah terserah kepada Allah atas sifat Maha-mengetahui dan Maha pengasihNya Dia.

(19) Saya perhatikan, kini, kebanyakan dari kita telah menjadi terlalu mementingkan diri dan kelompok, sedang kepentingan ummah sejagat seperti sudah tidak kita pedulikan. Perjuangan kita seperti hanya tertumpu untuk mensejahtera dan memakmurkan diri, keluarga dan kelompok dan kurang dan atau tidak pedulikan akan untung nasib ummah keseluruhannya. Semua ini, saya kira tidak lain kerana gimik demokrasi-kapitalis iaitu bila mana seseorang individu itu berjaya maka himpunan kejayaan inilah menjadi teras kejayaan kaum, bangsa dan negara! Apakah sebegitu hakikatnya kehendak Islam? Juga bila kita berbicara tentang tuntutan Islam, apakah tuntutan itu terbatas dan atau hanya tertuju kepada yang berwajib, tanpa peduli akan tuntutan Islam terhadap tanggungjawap individu. Pernahkah kita cuba meneliti kenapa Islam mewajibkan Zakat dan Fitrah, cukai ke atas harta dan juga cukai ke atas diri?

(20) Kekhuatiran saya paling kuat adalah bilamana orang Melayu mulai menyalahkan kaum lain di atas segala keciciran yang sedang mereka hadapi. Melayu seperti telah lupa akan amaran Allah: "....tidak Aku membantu kamu, melainkan kamu membantu kamu sendiri"; kita menuding kelingking pada orang lain buat memuaskan nafsu bersalah, nafsu kalah kita! Dan atas gimik membela Melayu, akan wujud golongan batu api yang serakah dan musang berbulu ayam! Inilah kemelut pengurusan politik dan sosio-ekonomi negera yang sedang kita hadapi.


Sibu, Sarawak, Malaysia
23 Nov., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

buat renungan saudara abdullah...

"Orang lebih senang jiwanya jika mendapati orang yang tidak disenanginya tersungkur; orang lebih susah jiwanya jika mendapati orang yang tidak disenanginya menggugat peluangnya".

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.