(Hanya kerana dia miskin, maka jadi comot sebegini. Cuba jika saban waktu dia minum susu, makan roti, punya pepatung, boleh nonton tv...pasti dia anak paling comel dan menjadi kesukaan semua...namun dia, apakah kita hanya senang sekadar berkata: "manusia begitulah...ada yang ada, ada yang tiada!")
Semalam, saya menyelongkar buku-buku lama yang dalam simpanan saya. Sebuah buku berjudul: Siapa Menabur Angin Akan Menuai Badai - G30S-PKI dan Peran Bung Karno, tulisan Soegiarso Soerojo, terbitan Soegiarso Soerojo pada tahun 1988 sedikit dapat mengambarkan tentang perit getirnya perjuangan kemerdekaan yang terpaksa dilalui sebuah bangsa seperti Indonesia. Saya cuba melihat segala kepayahan ini seiringan dengan keresahan yang sedang rakyat kita 'rasai' di masa ini.
(2) Bermula dengan kepayahan hidup di bawah Perampokan Penjajahan Belanda (dan kemudian Jepun) kemudian akibat persaingan kuat bangsa asing yang cuba menguasai perdagangan anak-anak pribumi, serta bentuk geografi Indonesia yang terbelah kepada 17,000 buah pulau-pulau telah menimbulkan 'barisan pembebasan rakyat' yang pelbagai rupa. Setiap wilayah, dengan kepayahan dan kepenting tersendiri telah bangkit mengujudkan kelompok-kelompok yang berbeda-beda: Sumatera, Jawa (Yogjakarta, Solo, Blitar, Bandung, dan Betawi), Kalimantan, Madura, dan Sulawesi adalah wilayah-wilayah kebangkitan 'pembebasan kesengsaraan rakyat' yang utama.
(3) Nama-nama besar seperti Sukarno, Moh Hatta, Tan Malaka, Sjahrir, Amir Sjarifudin, Aidit, dsb muncul dalam geladak gerakan kemerdekaan di peringkat wilayah dan nasional. Sukarno-Hatta, berusaha menyatukan pelbagai kelompok dalam satu revolusi Marxis-Demokratis, sedang Sjarifudin-Aidit lebbih cenderung kepada Stalin-Lenin yang condong kepada perintah Moskow. Tan Malaka-Sjahrir, biar asalnya juga adalah gerakan kiri, pro-komunisma, namun akhirnya mereka dapat sekata dengan Sukarno-Hatta dalam mementingkan 'gerakan kebangsaan' memerdekakan bangsa dari 'mensejagatkan bangsa' di bawah panji-panji Stalin-Lenin.
(4) Saya berkira, kecenderungan Sukarno-Hatta dan Tan Malaka-Sjahrir untuk condong kepada pertamanya Komunisma dan kemudian bersekongkol dengan Jepun, adalah tidak lain dan tidak bukan sekadar mensekutukan diri untuk 'kelihatan gagah' dalam memerangi Belanda dan Amerika yang ingin menguasai semula Indonesia. Laungan Amerika disetrika, Inggeris dilinggis saya kira adalah 'sikap licik tipu daya mereka'. Saya juga pasti terutamanya, Sukarno, Aidit, Tan Malaka, Sjarifuddin, Sjahrir duluannya lebih mirip kepada Komunisma adalah juga atas dasar mahu mencari kawan bagi menentang lawan (Jepun). Cina dan Russia seperti teman terbaik bagi menantang si Cebol pendek yang sedang mengila di Timur (Asia). Namun saat Si Cebol sudah tampak mengalah, maka mereka memilih bersekutu dengan Si Cebol untuk menentang Belanda, Inggeris dan Amerika. Begitulah, saya kira halusnya permainan politik anak bangsa Indonesia dalam mendirikan kemerdekaan mereka.
(5) Sakitnya bangsa di zaman Jepun dapat digambarkan dari petikan ini. "Rakyat disuruh beramai-ramai menanam karet (getah) dan mengumpulkan emas-intan miliknya untuk diserahkan kepada penguasa Jepang, entah untuk apa. Radio disegel (sekat). Sementara masa itu merajalelalah bekicot (tikus mondok), suatu hewan aneh, yang mulai dikenal di masa kesengsaraan itu. Bekicot inilah yang dibakar untuk dimakan, dari mati kelaparan. Diam-diam rakyat benci terhadap si Cebol dari Pulau Tembini, 'saudara tua', yang teramat kejam. Gadis-gadis yang lumayan kecantikannya, terutama gadis-gadis Indo dengan tipu muslihat dimasukkan dalam kamp bagi rekreasi pemuas nafsu birahi tentara Jepang".
(6) Tidakkah bangsa kita, anak-anak watan kita, juga telah dilayan sebegitu rupa semasa Penjajahan Portugis, Inggeris dan Jepun? Sebahagian besar dari kita mungkin telah lupa kisah datuk-nenek (moyang) kita dulu terpaksa makan nasi bergaul ubi untuk menahan lapar. Kita juga seperti tidak terbayang bagaimana datuk-nenek kita dulu ditempeleng keras oleh juga Si Pendek Kuning dari Negeri Matahari terbit.
(7) Kalau kita amati, kini, negara kita sudah merdeka. Segalanya terletak dalam tangan kita untuk menguruskannya. Namun, biarpun telah merdeka, kita seperti masih payah-sengsara. Dimana-mana, kita masih mendengar laungan rakyat tidak ada itu, rakyat tidak ada ini. Setiap ketika kita masih melihat dan mendengar sebahagian rakyat yang masih sengoyoran (huyung hayang)mencari dan memikul hidup! Dan akibat 'kemarau ekonomi dunia'pastinya keresahan rakyat semakin panas dan memuncak.
(8) Kita mungkin kerana sedang terlalu sibuk untuk mengurus kebajikan (dan kesenangan) sendiri, kita menjadi semakin tidak peduli kepada bangsa dan rakyat sendiri. Saya berkira dan pasti:"....Gadis-gadis yang lumayan kecantikannya, terutama gadis-gadis Indo (Melayu) dengan tipu muslihat (didagang) dimasukkan dalam kamp (Bar, Pub, Spa, 'On Call', dsb) bagi rekreasi pemuas nafsu birahi tentara Jepang (siapa saja)".
(9) Kalau kita imbas betul-betul tentang sejarah dunia, kenapa lahirnya Komunisma: Marxis-Lenin-Stalin-Mao? Tidakkah sebelum kewujudan mereka ini telah kembang luas golongan aristokrat-borjuis: golongan bangsawan-hartawan? Di Barat khususnya, di zaman Aristokrat-Borjuis ini, tidakkah kehidupan telah menjadi tersangat mewah dan indah. Kerana terlalu mewah dan indah, maka terbina 'rakyat golongan rendah' yang kian hari kian payah, susah dan sengsara. Lalu terbentuk golongan pekerja, golongan tertindas. Dari Aristokrat-Borjuis, telah muncul Kapitalis dan 'Survival of the Fittest'. Golongan ini, hijrah dan berkuasa di Amerika (atas nama Konglomerat dan kini Koprat)dan kini sedang meresap menebar luas dan menserakahkan dunia!
(10) Perkara yang sama tidak hanya berlaku dalam abad ke 19-21 ini sahaja. Ianya telah terjadi sejak dalam Zaman Temadun Babilion, Mesir, Ganges-Indus, dan Yang Tze lagi. Ianya kemudian kembang dalam Zaman Farsi, Zaman Greek, Zaman Roman dan Pemerintahan Islam Baghad, Istambul dan Andalas. Sejarah berulang-ulang.
(11) Dalam hubungan negara dan bangsa kita dewasa ini, kita tidaklah pantas: elok hanya mahu mengakui bahawa segalanya akan tetap sebegitu, berulang-ulang, berputaran seperti roda bahkan matahari-bulan. Kita, saya kira tidak boleh hanya mengambil sikap, 'pleasing ourselves', dengan hanya berkata dan mengakui sebegitulah lumrah alam. Saya berkira, kita jangan sekali-kali 'menyerah pada takdir', melainkan atas urusan mati. Namun kita juga janganlah mati sebelum mati.
(12) Saya amat khuatir akan kemungkinan sejarah kebangkitan mereka yang payah akan berulang di negara ini. Lihat sajalah sekarang ini, rakyat yang 'seperti payah-susah' sudah kian terpancing dengan segala janji dan gerak kerja politik yang tamak. Golongan tamak ini kini sedang bercakap dan bekerja atas pentas demokrasi, hak rakyat, sosialisma, Islamisma, Kesejagatan, dsb. Saya khuatir, rakyat yang 'sedang payah' akan kian terpesong dengan 'habuan janji manis' sehingga mereka mahu 'merentap' apa saja yang dikatakan sebagai penyebab kepayahan rakyat.
(12) Paling anih juga, kalangan yang berpendidikan, kalangan berpendapatan sederhana, golongan menengah, angkatan muda, kini juga sudah seperti terpancing akan kebenaran bahawa, mereka yang sedang berkuasa 'gagal' untuk mensejahterakan negara. Mereka kini kian ikut dalam 'meruntuhkan' yang ada. Dan mereka yang sedang berkuasa, sudah melihat 'adanya gerakan Anti-Establishment' pada golongan ini. Sedang yang tamak, samada di kiri atau di kanan, melihat 'gologan susah dan menengah' ini adalah kekuatan yang boleh dijadikan tunggangan buat mencapai cita-cita mereka. Mereka sedang memacu-tunggang golongan ini.
(13) Perhatikan akan tingkahnya Hitler, dan begitu juga sikapnya Taksin-Aphisit di Thailand sekarang ini, tidakkah semua ini akhirnya membawa kepunahan kepada semua.
(14) Kekhuatiran saya sebenarnya, janganlah kerana tamak dan atau selesa, kita sudah menjadi penjajah kepada bangsa sendiri. Jika ini terjadi, Allah seperti telah mentakdirkan, dan membuktikan bahawa pastinya kita sendiri yang akan berlumuran darah dan nanah bangsa kita sendiri.
(15) Keduanya, saya ingin mengingatkan kepada semua, bahawa mungkin tidak tepat tulisan sejarah selama ini yang menyatakan, bahawa kebangkitan kemerdekaan di Asia Tenggara adalah kerana bangsa-bangsa ini kian sedar betapa mereka boleh mencontohi Jepun yang kerdil pendek boleh jadi gagah menumbangkan banyak bangsa Barat: Belanda, Inggeris, Perancis, dsb. Ini saya sandarkan kepada petikan dari bulku yang sama (ms 18): Pada masa itulah tersebarnya ramalan prabu Jayabaya (ahli nujum istana)yang menulis 500 tahun dahulu dalam zaman Pra-Majapahit yang berbunyi: "Datangnya bantuan dari Pulau Tembini. Kulitnya kuning. Bertubuh kelewat (sangat) pendek. Itu yang bakal menduduki tanah Jawa ini. Kekuasaannya (pemerintahan) hanya seumur jangung (singkat). Kemudian kembali ke negeri sendiri Pulau Tembini. Tanah Jawa kembali seperti semula. Kembali kepada putra-putri, tanah Jawa sendiri"....sebetulnya, nenek-moyang kita dulu mampu mendirikan kemerdekaan adalah atas kesadaran tidak mahu anak-cucunya susah melarat dan juga sudah ada dalam firasat mereka sendiri tentang keyakinan diri untuk terus merdeka, cuma khilafnya, biarpun sadar, namun langkah mereka mungkin terlalu lambat!
Kuching, Sarawak
2 June, 2010
0 comments:
Post a Comment