.

4/2/10 KEPAYAHAN MENJANA KETELITIAN...

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 11, 2010

Share

& Comment


Selama ini Saluran 555 Astro berulang-ulang kali memainkan rencana mengenai Dr. Mahathir Mohammed (DMM), namum saya hanya hanya berkesempatan untuk mengikuti Siri2 dari dua siri yang dipertontonkan. Secara kebetulan, pada ahad lepas, sedang saya santai, tangan saya terpicit Saluran 555 dan rencana DMM bermula dari Siri1 sedang dipertontonkan. Ternyata, berulang-ulang kali DMM mengatakan bahawa, dia berbuat itu dan ini: menulis, ikut terlibat dalam politik, menjadi Pegawai Perubatan, mengkritik Penjajah, Menconteng Dinding Sekolah, dsb hanyalah kerana dia sedar tentang sengsaranya bangsanya, iatitu bangsa Ibundanya: Melayu. Namun tidaklah keluarga DMM itu miskin, namun dia melihat dan mengalami kepayahan bangsanya. Tidak semestinya kita mesti miskin baru kita tahu tentang kesengsaraan dan kepayahan bangsa.

(2) Begitu juga jika kita mengikuti secara terperinci sejarah hidup Abdul Razak Husein, Onn Jaafar, Dr. Ismail Abdul Rahman, Abdul Rahman Yakub dan bahkan Abdul Taib Mahmud. Saya sengaja menyebut nama mereka ini, kerana sejarah hidup mereka masih segar dalam otak kita, biarpun nama-nama lain seperti Rosli Doby, Mat Kilau, Tok Bahaman, dsb juga penting, namun sudah dilupakan! Di persada dunia, nama-nama seperti Yaser Arafat, Nelson Mandela, Mahatma Ghandi, Hose Rizal, dan bahkan Abiet G. Ade, John Denver, Jose Feliciano, dsb adalah mereka yang pernah melalui kepayahan hidup. Lihat sajalah bagaimana Hitler, dari seorang miskin yang tertindas oleh bangsa Yahudi bangkit menjadikan negara dan bangsa Jerman sebuah bangsa yang besar dan gagah sehingga kehari ini. Kita tidak perlu menanti bangkitnya Hitler dalam bangsa Melayu!

(3) Begitu juga tentang perjalanan hidup Muhammad saw. Sebelum lahir, ayahnya meninggal dunia mengakibatkan ibunya terpaksa menanggung kepayahan. Pernahkah kita terfikir, jika Allah itu benar-benar sayangkan Muhammad, kenapa sejak dari kandungan lagi beliau terpaksa menempuhi sengsara? Begitu juga, setelah beliau dilahirkan, ibunya tidak berupaya walaupun untuk menyusukan beliau. Hiduplah Muhammad di padang pasir menjadi gembala, biarpun keturunannya adalah suku besar Quraish. Ibunya juga meninggal diwaktu dia masih belum tahu apa ertinya hidup. Sengaja Allah menyusahkan hidup Muhammad, agar dia benar-benar menjadi manusia teruji dan berjiwa besar demi Ummah dan bukan setakat bangsanya sahaja! Pun juga kita tidak perlu menanti lahirnya semula Muhammad ke dalam bangsa Melayu. Jika itu, sikap kita, kiamatlah bangsa kita!

(4) Pendeknya, dengan adanya kesadaran dan semangat mahu mendalami dan memahami tentang kesengsaraan dan kepayahan masyarakat dan bangsa, menjadikan sesaorang itu lebih kental jiwa dan fikirannya untuk bangkit melakukan apa juga demi bangsanya. Dari kesadaran yang mendalam itulah, mereka sanggup biarpun sampai menyimbah darah dan merengkok panjang di dalam penjara. Bahkan tidak kurang terpaksa hidup hina dan terbuang, namun jiwa mereka tetap satu: berkorban apa saja demi bangsa; sejujur seikhlasnya. Kepayahan (dan sengsara) yang dilalui oleh mereka terdahulu,. menjadikan mereka: teliti (prihatin) tentang jalanan panjang bangsa mereka. Namun pada hari ini, kita perlu menganding kukuh ilmu dan kepakaran dan bukan hanya semangat dalam membangun dan mengekalkan kekuatan bangsa.

(5) Sememangnyalah pada masa ini, adalah tidak sesekali munasabah untuk kita dapat melalui hidup sebagaimana perjalan hidup payah mereka yang berumur lebih dari 60 tahun. Anak-anak cucu kita tidak akan faham apa maksudnya bermandi air telaga, berkubang dalam sawah bersama lintah dan pacat, berkaki ayam ke sekolah, menjaja kuih selepas subuh, dsb. Semua itu bagi mereka adalah dogengan. Namun, kita mesti sadar, bahawa, anak cucu kita mesti punya "Sense of Community" yang tinggi agar mereka sedar tentang kemungkinan nasib masa depan masyarakat mereka. Tidaklah cukup sekadar mereka itu hanya bijak di sekolah, tertib di rumah, beraklhak baik. Mereka perlu ada kesedaran kemasyarakatan yang tinggi.

(6) Di zaman dulupun, para pejuang bangsa kita tidakpun mereka pernah melalui dan melihat bagaimana Cleopatra, Iskandar Zulkarnain, Ghengziz Khan, Khublai Khan, Caeser, dsb bangkit gagah menjadikan empayar pemerintahan mereka luas menyeberangi pelbagai bangsa. Mereka tahu akan riwayat hidup manusia-manusia besar ini. Mereka tahu akan semangat dan perjalanan hidup mereka ini. Mereka menjadikan 'pengetahuan' tentang manusia-manusia ini sebagai asas perjuangan mereka. Lihat sajalah filem-filem P. Ramlee, segalanya ada di sana, biarpun P. Ramlee sendiri tidakpun pernah berjumpa dengan Kassim Baba dan Ali Baba!

(7) Saya, bila berjalan dan melihat akan betapa ceteknya kesadaran golongan sekarang dalam memahami keperluan kemasyarakatan bangsa kita, sukalah saya mengajak, agar kita melakukan sesuatu untuk membangkitkan semula kesadaran sedemian rupa di kalangan anak cucu kita. Ajaklah mereka berjalan-jalan ke kampung-kampung. Ajaklah mereka merantau ke desa-desa. Ceritakanlah kepada mereka tentang kepayahan dan kesengsaraan masyarakat keliling mereka. Bawalah mereka ke Museum, Perpustakaan,Pusara-pusara Manusia-manusia Besar, dan bangunkanlah sebuah Khutub Khanah di rumah, dan penuhilah Khutub Khanah itu dengan buku-buku sejarah bangsa-bangsa. Saya yakin, jika kita ada "Sense of History" kita akan ada "Sense of Community" dan mudah-mudahan kemudiannya kita ada "Sense of Greater Purpose".

(9) Juga, ajaklah anak-anak cucu kita sama-sama sering menonton Saluran-Saluran Sejarah, Geografi, Sains dsb dan tidak hanya tertumpu kepada saluran-saluran hiburan. Kalau membeli CD dan atau VCD, selitkanlah juga cerita-cerita 'manusia-manusia payah dan ulet berjuang untuk hidup dan berjaya' Juga, wajar kita tidak hanya menunjukkan kepada mereka kita hanya suka bersandar enak membaca berita, namun didiklah mereka agar turut juga membaca tulisan rencana yang jauh lebih mendalam dan luas dari berita! Bimbinglah mereka untuk turut berjiran dan menjaga keindahan kejiranan. Tidaklah kita terlalu bergantung dengan Majlis Perbandaran untuk melakukan segalanya. Pendeknya, didiklah dan bimbinglahja anak-cucu kita agar "Socially Proactive and Enggage".

(10) Bagi ibu-ibu, biar sudah ada babu (pembantu rumah), wajarlah bersama anak-anak mencuci pingan, masak, mengemas rumah, melipat pakaian, mencuci dan sebagainya. Kita sebenarnya telah banyak silap membiarkan segalanya ini dikerjakan oleh babu kita. Anak-anak kita akan 'dewasa', biarlah mereka benar-benar dewasa untuk menjalani hidup masa depan yang belum ketahuan arahnya dan coraknya! Hari ini kita mewah, hari ini kita bahagia, hari ini kita berjaya, belum pasti juga begitu esoknya buat mereka yang kita tinggalkan!

Kuching, Sarawak
11 Feb., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.