.

3/2/10 IKHLAS DAN JUJUR......

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 10, 2010

Share

& Comment

Pada hari Isnin yang lalu (8 Feb., 2010), selepas mengadakan perbincangan singkat terhadap beberapa perkara rasmi, YAB Ketua Menteri telah memberikan saya beberapa nasihat yang saya rasakan baik untuk diikuti oleh semua. Pertama, dia menegur saya berkait dengan keperluan 'to relief myself' terhadap masalah lebihan bekerja. Beliau nampaknya seperti menduga bahawa saya bekerja secara keterlaluan sehingga tiada ruang untuk 'relief'. Namun saya menyangkal telahan beliau, kerana biarpun di hari bekerja saya tidak banyak melakukan senaman, namun saya punya teman seperti TV, Audio System, dan Buku yang boleh 'menghilangkan' diri saya ke dunia yang berlainan. Disamping itu, saban hujung minggu saya akan membuat senaman dan seterusnya kembali ke Kampung, kembali ke dalam suasana Kampung yang amat santai dan 'perlahan'.

(2) Sebetulnya, saya menjadikan bekerja itu sebagai suatu hiburan. Jika membuat sesuatu pekerjaan, saya lebih suka menyiapkannya lebih awal dari Jadual yang diperlukan. Ini sebenarnya sama dengan prinsip kita bersukan. Jika kita berlengah-lengah pastinya kita akan kalah, dan jika kita 'dapat menyumbat gol' dengan pantas, pastinya kita akan lebih gembira dan bersenang hati. Bagi saya, kerja adalah riadah, kerja adalah sukan, maka tiada timbul soal kerja adalah tekanan atau bebanan kepada saya!

(3) Beliau juga amat prihatin terhadap gejala berat badan yang berlebihan yang kian menular di kalangan orang Melayu terutama pada kaum Hawa. Berat badan berlebihan pastinya akan mengudang penyakit seperti Diabetis, dan seterusnya mengakibatkan banyak hal-hal lain yang boleh menjejaskan daya pengeluaran masyarakat kita secara jangka panjang.

(4) Dalam soal ini, saya sering menasihati kawan-kawan supaya bila makan, ambillah 2-3 jenis sayur. Elakkan gorengan. Makanlah sayur dan lauk (ikan terutamanya) dahulu dari nasi. Makan sayur yang berbeda-beda saban hari. Semasa memesan makanan, pesanlah hanya separuh nasi, dan cubalah beringat, semasa makan nasi itu nanti, cuba hanya habiskan separuh sahaja. Maksudnya, kita akan terdahulu kenyang makan sayur dari makan nasi. Buat diri saya, untuk mengetahui betapa 'sihatnya' pemakanan kita adalah sangat mudah: hidulah bau badan kita; dan begitu juga bila buang air besar lihatlah kepekatan, warna dan bau najis itu, di samping perhatikan warna air kecil kita. Peluh, najis dan air kecil yang berbau kuat dan berwarna pekat adalah pertunjuk mudah bagi sistem perkumbahan yang melampau. Jika pembetulan tidak dilakukan segera, pasti ada bahana akan mengundang tiba!

(5) Kemudian, kerana saya telah berjanji dengan S/U Sulit beliau bahawa saya tidak akan mengambil masa lama dalam perbincangan dengan YAB KM, sebelum saya berjabat tangan untuk mengundur diri, beliau mengingatkan saya:" You can work hard, you can be most professional, but what matter most, and there is no value to doing thing: Ikhlas dan Jujur". Saya agak tersentap dengan kata-kata itu. Airmata saya seperti mahu berderai. Saya menahan sebak yang amat sangat, dan semasa berjabat tangan dengan beliau saya beredar cepat dan tunduk diam. Kemudian bila menuruni lift ke Lobby, air mata saya perlahan-lahan mengalir. Kata-kata itu adalah kata-kata yang sering arwah bapa saya peringatkan kepada saya dan anak-anaknya yang lain. Dia sering mahukan kami supaya sentiasa ikhlas dan jujur dalam membuat apa-apa juga pekerjaan. Jika kami tidak mahu ikhlas dan jujur, maka tidaklah perlu berbuat apa-apa, dan jika tidak mahu berbuat apa-apa, maka elok mati sahajalah! Pendeknya, kami tiada pilihan, tetapi mesti bersikap ikhlas dan jujur dalam menjalankan tugas kami!

(6) Kebetulan, bila saya meninjau Projek pada keesokannya (9 Feb., 2010) yang dijalankan di Beladin dan Pusa, saya dapati kerja-kerja lapangan seperti dibuat hanya sekadar 'bekerja' dan 'menghabiskan peruntukkan'. Tiada tanda tentang kesungguhan bahawa kerja-kerja tersebut dibuat sejujur dan seiklhasnya untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Keadaan ini sangat 'mencabar' diri saya, sehingga saya terpaksa berpidato panjang tentang perlunya kita ada sikap dan sifat bertanggungjawap dalam segala kerja yang telah di amanahkan.

(7) Banyak di antara kita sebenarnya adalah jujur (honest): tidak rasuah, tidak menyelewengkan kuasa, dsb. Namun adakah kejujuran kita itu disertai dengan keikhlasan (sincere). Ikhlaskah kita dalam membanting tulang, masa, fikiran dalam memastikan bahawa bangsa kita akan terus gagah dan terhormat? Selalunya, bila kita seperti telah bekerja 'setengah mati', pastinya kita akan bertanya: "What/where is my reward?".

Kuching, Sarawak
10 Feb., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.