Raya dalam bahasa Melayu bermaksud: besar, hebat, agung, sungguh, paling, dsb yang rata-ratanya mengambarkan kebesaran dan tahap kekuatan. Maka dalam penggunaan istilah tersebut, banyak perkataan terbitan lainnya diciptakan, seperti: kaya-raya, jalanraya, balairaya, pasaraya, hantu raya, kotaraya, bunga raya dsb. Lantaran itu maka terbitlah perkataan-perkataan seperti meraya, merayakan, merayai ie yang semuanya membawa maksud membuat secara bersungguh-sungguh, besar-besaran!
(2) Hari Raya, pula adalah bermaksud satu hari yang maha agung, maha besar, maha bermakna kerana sebelum ketibaan hari tersebut, masyarakat Melayu khusunya (Islam amnya), telah menunjukkan segala ragam kepatuhan atas perintahNya untuk berpuasa: nyata dan atau maya, berjaya (dan atau pura-pura) meluluskan diri dari segala dugaan dan godaan yang sepatutnya menjadikan seseorang Melayu (Muslim) itu menjadi lebih kuat dan kental (benar dan atau kepura-puraan). Maka, atas dasar 'telah berjaya' menempuh segala dugaan, maka masyarakat Melayu sejak dari dulu lagi meraikan Hari Raya dengan bersungguh-sungguh. Mereka menganggap merayakan Hari Raya secara semeriahnya adalah perkara yang sangat wajar, dan bagi setengah-tengah pihak, ianya seperti suatu kemestian! Beraya sakan kata orang Kedah. Raya gila-gila kata orang Melaka. Rayo sungguh kata orang Kelantan. Beraya benar kata orang Sarawak!
(3) Dalam bahasa Arab, istilah setara dengan Hari Raya adalah Aidul Fitri, hari kesyukuran selepas ibadah puasa: hari bagi menyatakan kesyukuran setelah kita berjaya menjalani ibadah puasa dengan sebaiknya, ibadah menahan diri dari prilaku kebiasaan kita dan atau pembersihan yang lebih besar bagi sebahagiannya pula! Kerana sifat dan tujuannya adalah untuk bersyukur, maka masyarakat Arab, menjalani bulan Sawal hanya dengan besyukur dan melanjutkan ibadat puasa untuk kesekian waktunya lagi. Maka dalam budaya Arab, bertakbir adalah tanda mereka merayakan Aidul Fitri. Selepas itu, segalanya berjalan seperti biasa tanpa adanya perayaan ketara seterusnya.
(4) Dalam istilah Indonesia, Aidul Fitri atau Hari Raya disebut Lebaran. Istilah lebaran, sebenarnya adalah istilah Jawa, dari kata dasar lebar (bunyi sebutannya tidak sama dengan lebar dalam bahasa Melayu, e disebut sebagai ‘e tanda’ seperti dalam ejaan Melayu lama). Lebar bermaksud selesai. Penambahan ‘an’ pada penghujung perkataan lebar menjadikan ianya sebagai acara khusus iaitu Aidil Fitri!
(5) Atas sifat luhur dan lembutnya bangsa Melayu, cara mereka merayakan Hari Raya telah diperhalus dan ditokok tambah sehingga menjadikan ianya suatu pesta. Pesta kekeluargaan, persaudaraan, semuanya atas dasar silatulrahim, yang tiada percanggahan dengan Islam. Dari sana ianya berkembang terus menjadi pelbagai bentuk rupa dan bertambah-tambah dengan pelbagai tokokan selaras dengan keadaan dan taraf sosio-ekonomi orang Melayu. Kedaan ini, juga pada pandangan sebahagian orang Melayu, tidak bercanggah dengan Islam (cuma terpulang dari sudut mana mereka melihatnya!).
(6) Cuma, apa yang saya ingin ingatkan, selalunya dalam beraya, kita sering lupa. Pada sebahagian dari kita, amalan baik disepanjang bulan Ramadhan kita (samada nyata dan atau pura-pura) menahan diri dari segala sifat-sifat buruk harian kita, namun sepanjang Sawal pula kita menghapuskan segala nafsu ketahan diri kita: pembaziran, berlebihan, riak, ego, dan sebagainya terserlah hebat pada sebahagian dari kita semasa berHari Raya, seolah-olah disepanjang Ramadhan kita adalah arnab yang sangat jinak, namun tidak semena-mena kita bertukar menjadi harimau lapar di bulan Sawal!
(7) Mudah-mudahan, janganlah kita beraya, orang lain kaya. Lepas raya, kita tak ada apa-apa, orang lain pulak beraya sakan kira kekayaan! Dan, ingatlah sedang kita tengah enak dan berseronok, pasti ada yang hanya dapat melihat dan mendengar sambil menelan air liur. Apakah kita orang Melayu mahu terus-terus melalui kitaran hidup sebegini, tahan sebulan, mengila sepanjang tahun. Raya kita rayakan, semangat puasa kita lupakan dengan sekelip mata. Yang wajib kita permudahkan, yang sunat kita perhebatkan! Sikap kita yang terus khilaf?
(8) Untuk semua, samada yang dekat atau jauh, teman di dalam dan luar negara, saya ucapkan Selamat Berhari Raya, semoga diberikan kesihatan dan, keselamatan disepanjang hidup kita.
MyBazaaRia, Kota Samarahan
19 Sept., 2009
1 comments:
salam...
nice place..
regards,
AwengShah
www.mybazaar2u.com (your handicraft world)
Post a Comment