.

3/3/19 REDHA DAN SYUKUR .... apa beda atau sama?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 22, 2019

Share

& Comment

Agak lama saya ingin menulis mengenai redha dan syukur. Dua istilah ini telah lama agak 'membinggungkan' saya, lantaran saya melihat cara masyarakat Melayu memperlakukan akan prihal keduanya. Dalam budaya biasa masyarakat Melayu, redha dan syukur boleh saja membawa tingkah positif dan atau negatif. Keduan-duanya seakan-akan sinonim iaitu sama saja maksud dan cara penggunaan mereka. Dua pribahasa Melayu, ulat dalam batupun boleh hidup adalah gambaran sikap positif Melayu tentang redha dan syukur. Namun pribahasa padi secupak tidak akan jadi segantang adalah sikap negatif Melayu ke atas konsep redha dan syukur. Secara bahasa, redha dan syukur seperti tiada beda. Kedua-duanya seolah-olah bermaksud sama saja. Dalam Inggeris, keduanya seperti interchangeable. Samalah bagi istilah kurang lebih dan lebih kurang

(2) Saya sering bergurau dengan teman-teman pada saat istilah kurang lebih dan atau lebih kurang mereka ajukan. Saya sering berseloroh bila kurang lebih, maka kurangnya yang lebih membawa 'makna' sangat tidak cukup. Sedang bila lebih kurang maka itu membawa maksud lebihnya sedikit ie 'tidak berlebih-lebih'. Hakikatnya, yang mana satu lebih tepat kurang lebih atau lebih kurang?

(3) Redha dan syukur adalah sifat-sifat mulia anjuran Islam (perhatikan, saya melihat redha dan syukur sebagai sifat-sifat (plural) iaitu bukan sekadar sifat (singular)). Lantaran ianya sifat-sifat mulia anjuran Islam, maka pastinya ianya ada nilai rohaniah yang sangat luas dan mendalam. Kita lupakan dulu konsep Islami redha dan syukur. Mari kita sorot konsep redha dan syukur dari sudut bahasa dan budaya Melayu dulu. Azalinya, istilah redha, tidak wujud dalam bahasa Melayu. Redha adalah istilah Arab. Walau bagaimanapun, biar istilah redha tidak wujud dalam bahasa asal Melayu, itu tidak membawa maksud sikap redha tidak wujud dalam budaya Melayu. Dulu-dulu, saya mengira istilah terima adalah istilah bagi bermaksud redha dalam bahasa Melayu. Akibat pengaruh agama iaitu Budhha dan Hindu, konsep terima berubah menjadi terima dengan ikhlas atau ikhlas menerima. Lewat waktu, dengan penyerapan dan perkembangan keIslaman Melayu, maka menerima dengan ikhlas atau ikhlas menerima telah diganti dengan istilah redha. Ianya menjadi lebih pendek dan mudah disebut. "Trendy". Saya mengira, kerana Melayu suka meringkaskan apa juga maka akhirnya redha disadur menjadi istilah Melayu kini. Cuma lantaran redha bukan asli istilah dan konsep dalam budaya Melayu, maka cara penggunaan istilah atau konsep tersebut agak sedikit mengerlirukan. Dalam bahasa Indonesia redha boleh membawa kepada pasrah atau menyerah. Lantaran wujud istilah pasrah atau menyerah yang membauri redha, maka di situlah kelirunya Melayu tentang kepenggunaan istilah dan konsep tersebut dalam bahasa dan budaya mereka.

(4) Sesungguhnya, pasrah tidak membawa maksud redha secara hakiki. Pasrah adalah menerima dan biasanya dengan mengaku kalah. Mengaku kalah tidak semestinya didorong oleh rasa ikhlas. Mengaku kalah kebiasaannya adalah kerana keterpaksaan. Maka pasrah atau menyerah, tidak tepat dimaksudkan sebagai redha. Bagi saya, wajar bagi Melayu membataskan pasrah sebagai pasrah dan redha sebagai redha. Kedua-duanya jangan dibauri. namun dalam apapun, lebih baik redha dari pasrah. Redha adalah konsep menerima secara Islami. Redha memberikan kesan positif, sedang pasrah berbaur positif dan negtif. Apapun di dalam Islam, tiada yang membawa kesan negatif. Pasrah membawa was-was sedang redha kita menerima dengan fikiran dan hati terbuka. Redha jika dilihat dari sudut Barat, boleh dikait erat dengan konsep be positive.

(5) Syukur pula dalam bahasa dan budaya biasa Melayu seakan sama saja maksud dan cara penggunaannya dengan redha. Bagi orang Melayu, bila redha, maka dia telah atau sedang bersyukur. Istilah syukur, azalinya juga bukanlah istilah asli Melayu. Saya menduga, istilah berterima kasih adalah istilah atau maksud asal syukur. Sikap berterima kasih Melayu sangat tinggi nilainya di sisi budaya. Itu saya tanggapi dengan melihat kepada maksud mendalam akan pribahasa Melayu yang berbunyi kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Bila Melayu berterima kasih, ianya sering diiringi dengan tanda atau rasa penghargaan dan atau dihargai atau dalam Inggerisnya membawa pengertian appreciated atau being appreciated. Maksudnya, Melayu yang berterima kasih akan sangat menghargai apa yang dia terima dan atau perolehi. Pada kebiasaannya dalam budaya Melayu rasa terima kasih mereka sering dihargai dengan membalas. Balasan itu boleh berupa kebendaan dan atau perbuatan. Dan ini termetarai dalam konsep orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Maka jika Melayu berterima kasih paling kecil sekalipun tindkbalasnya adalah mengenang budi. Maka syukur dalam istilah asal Melayu adalah berterima kasih yang akan ditindakbalas dengan mengenang budi.

(6) Di dalam Islam, redha adalah membawa maksud menerima apa saja takdir atau ketentuan Allah dengan fikiran dan hati penuh terbuka. Biar takdir itu sangat bertentangan dengan kehendak kita, kita tidak boleh berkeloh kesah apa lagi berputus asa atau bahkan riak saat sesuatu terjadi dan atau datang kepada kita. Kita mesti menerima takdir Allah dengan penuh keikhlasan. Islam menuntut kita sebegitu lantaran Islam menegaskan bahawa Allah tahu apa yang terbaik buat kita. Saya pernah menulis Syukur Saya Miskin. Saya bersyukur di atas permulaan hidup saya sangat miskin. Lantaran saya pernah miskin, maka kinipun saya Alhamdullilah dan In Shaa Allah tidak takut untuk 'miskin'. Bagi sebilangan orang ini pasti suatu pandangan bodoh dan gila. Gila mungkin, namun bodoh belum tentu. Jika sesorang miskin dan dia menerima kemiskinannya dengan penuh redha iaitu ikhlas dan dengan fikiran dan hati terbuka, pasti sikapnya lain.  Seorang yang miskin bila menerima hakikat bahawa dia miskin, jika dia berjiwa besar, pasti dia tahu bahawa tiada siapa akan membantunya untuk keluar dari kemiskinan melainkan dirinya. Dia juga pasti tahu, jika dia gigih, bijak dan jujur berusaha, maka Allah akan selalu ada bersamanya. Pada waktu kemiskinannya Allah limpahi dengan rahmat, jika dia berjiwa besar, In Shaa Allah limpahan rahmat Allah tidak akan memisahkan dia dari kemiskinan. Sesungguhnya, redha atau menerima dengan penuh ikhlas dan keinsafan, dalam apa keadaanpun, In Shaa Allah akan ada jalan keluarnya. Maka redha dalam Islam sangat membawa kita ke jalan positif. Redha tidak menimbukan apa-apa unsur negatif.

(7) Umat Islam harus percaya dan berpegang kepada suatu konsep hidup bahawa tiada apapun yang terkait dengan Allah dan atau Islam itu membawa kesan negatif. Tiada nilai negatif pada Allah dan segala ketentuanNya. Percaya dan yakin kepada Allah wajib dengan pegangan bahawa apapun dari Allah, semuanya bersifat positif. Dalam kata lain, segala apa dari Allah ada hikmahnya. Sebagai contoh, Christchurch New Zealand. Inilah salah satu kota paling aman dan tertib kehidupan rakyat berbilang bangsanya. Biar orang Maori, mereka adalah pribumi minortiti paling terjaga berbanding di manapun di seluruh dunia. Kehidupan orang Maori jauh lebih hebat dari biar Oran Asli Malaysia dan atau kaum Penan di Sarawak. Tiba-tiba pada 15 March, Jumaat 2019, berlaku pembunuhan keji di Masjid Al Noor. Secara umum, inilah pembunuhan keji. Tetapi disebaliknya, sesungguhnya tiada apa yang tidak diketahui oleh Allah. Benar perbuatan membunuh itu keji, namun dalam trajedi ini, setidak-tidak ada dua hasil jangka panjang In Shaa Allah akan terlahir. Pertama-tama, keluarga mangsa tidak harus berasa terlalu berdukacita, lantaran korban In Shaa Allah adalah kalangan syuhada, suatu tingkat kematian yang hanya sedikit memperolehinya. Mereka mati dalam keadaan suci, sedang menjalankan ibadah suci dan berada di tempat suci, In Shaa Allah roh mereka dalam limpah rahmat Allah yang cukup mulia. Kedua, seluruh dunia sedang melihat bahawa Islam tidak ganas seperti sedang digembar gemburkan di seluruh dunia Barat. Tiada sikap tanda marah berapi-api oleh masyarakat Islam New Zealand.  Keadaan ini menimbulkan kesan dakwah yang sangat meluas di New Zealand khususnya. Bahkan paling hebat, biar seorang IGP iaitu suatu jawatan keselamatan tinggi di New Zealand, beliau adalah seorang Muslim dan ini membuktikan bahawa setiap Muslim yang professional, pasti dia boleh menjadi teladan professionalisma yang sangat hebat. Maka, kematian di Masjid Al Nor Christchurch, biar di mata manusia umum adalah jijik, namun saya yakin, semuanya berpunya nilai-nilai positif yang terlalu hebat, jika konsep redha kita dapat pegang secara betul. Itulah kekuasaan Allahhuakhbar.

(8) Maka redha harus Melayu amalkan sebagai menerima dengan hati dan fikiran penuh terbuka. Apapun terjadi kita harus terima secara ikhlas dengan jiwa besar. Sesungguhnya, hanya mereka yang berjiwa besar akan sentiasa melihat nilai-nilai positif terhadap apa yang mereka terima dan atau perolehi. Sikap being positive adalah tanda-tanda mereka yang redha iaitu punya kemampuan untuk melihat hikmah Allah di balik segala apapun. Sesungguhnya redha menjadikan Iman kita mengental kukuh.

(9) Di dalam Islam, syukur harus berupa tindakbalas nyata dalam menzahirkan rasa berterima kasih kepada Allah tentang apa yang kita terima dan atau lalui. Biar pedih sekalipun, lantaran apapun tiada apa yang Allah tidak ketahui dan tanpa restuNya, maka bersikap sentiasa syukur harus sentiasa ada pada kita. Maka syukur itu harus diperlihatkan seboleh-bolehnya dengan suatu tindakbalas jelas. Dalam budaya Melayu, paling kecil rasa syukur itu harus dibalas biar hanya sekadar mampu mengucap terima kasih dan atau dalam Islam mengucap Alhamdullillah. Namun yang terbaik, kita harus terlebih dahulu mengucap Alhamdullilah kepada Allah dan kemudian baru kita mengucap terima kasih. Bersyukur kapada Allah wajib kita dahulukan. Contohnya, bila kita mendapat hadiah, pemberian, sedekah dsb dari sesama manusia. Kebiasaan, bila mendapat hadiah, kita ucapkan terima kasih dulu. Sering kita lupa untuk mengucap Alhamdullillah. Seharusnya kita bersyukur kepada Allah dulu baru kita berterima kasih kepada yang memberikan hadiah. Bahkan contohnya, bila kita ditimpa musibah, demam katakan. Kita pertama-tama harus redha bila demam. Redha, lantaran demam adalah cara Allah mahukan kita istirehat. Itula hakikat hikmahnya demam sebetulnya dari sudut perubatan. Demam bukan musibah tetapi hikmah Allah agar kita istirehat dan secara fisilogis, keadaan demam membolehkan seluruh sistem badan kita membaikpulih, regenerate. Maka atas redha demam itu, kita harus bersyukur contohnya dengan insaf untuk bersedekah, mulai menitik berat tentang menjaga kesihatan dan malah lebih mendekati Allah. Kita bersyukur dengan patuh kepad semua suruhan Allah.

(10) Satu sisi lain yang ingin saya perbetulkan tentang apa yang saya kira khilaf dalam amalana redha Melayu adalah bahawa kita tidak perlu mencari redha Allah. Kejadian kita sebagai mahlukNya yang paling sempurna dan terakhir tercipta adalah petanda bahawa Allah telah redha kepada kita. Allah telah yakin dan ikhlas dalam mencipta kita. Kedua, secara fungsian, kita Dia jadikan sebagai khalifah, ketua. Kita tidak dijadikan untuk tunduk kepada apa lainnya. Semua Allah perintahkan untuk tunduk kepada kita, lantaran ilmu yang ada pada kita. Maka atas kudrat itu, seluruh isi alam telah Allah redhakan ie serahkan kepada kita. Maka tiada apa lagi yang kita harus cari dari Allah melainkan kita yang perlu redha dan bersyukur kepadaNya.

 (11) Jika kita menjiwai sifat tabii dan perilaku kanak-kanak, mereka adalah petanda jelas sifat redha dan syukur yang Allah perlihatkan kepada kita. Kanak-kanak jiwa mereka adalah bersih. Apapun akan mereka hargai dan raikan. Biar miskin, mereka redha. Tidak pernah tersembul di mulut anak-anak mempersoalkan hal kemiskinan mereka. Mereka terima hidup mereka seadanya. Itulah petanda, betapa jiwa yang bersih suci, tidak akan pernah berkeloh kesah dan atau terkesan. Itulah jiwa SAW. Dia tidak gentar biar dalam keadaan kepayahan sebagaimanapun. Anak-anak, mereka tetap riang syukur meraikan kemiskinan. Senyum dan tawa seorang anak miskin tidak akan ada bedanya dengan senyum tawa anak-anak kaya. Gaya mungil dan lucu mereka tetap sama. Lantaran bersih murni hati mereka, miskin itupun mereka tidak terasa. Anak-anak bersyukur atas kemiskinan mereka dengan sentiasa tawa riang. Bagi saya itulah tindakbalas syukur mereka. Sisipan gambar di sebelah adalah gambaran redha dan bersyukurnya anak-anak miskin. Kemiskinan adalah keseronokan buat mereka. SubhanaAllah sebegitulah mahabijak muslihat Allah jika kita mempunyai jiwa besar untuk dapat melihat hikmah Allah di balik segala. Dari sini, kita manusia-manusia dewasa harus sedar, bahawa hanya mereka yang punya hati yang suci bersih saja yang mudah redha dan bersyukur.

(12) Saya berpendirian, sikap sentiasa redha adalah petanda keutuhan keImanan seseorang. Sedang kepatuhan ke atas segala perintah Allah adalah tanda seseorang yang bersyukur. Kedua-dua redha dan syukur mesti bergandingan. Keduanya adalah pasangan yang tidak boleh dipisahkan. In Shaa Allah dengan redha iaitu menerima dengan jiwa besar, dan bersyukur iaitu terus mengabdi kepada Allah, tiada apa yang sulit buat kita.

(13) Maka dalam apapun, jika Melayu mahu bangkit dalam penuh rahmat Allah, kita harus redha dan bersyukur pada jalan benar Islam. Kita redha lantaran jiwa kita besar. Jiwa yang besar adalah jiwa yang dapat melihat hikmah positif dalam segala-gala yang Allah kurnai dan perkenakan kepada kita. Jiwa besar akan sentiasa mendatangkan ilham dan atau hidayah bagaimana sesuatu itu akan dapat diperlakukan dengan lebih sempurna. Syukur kita harus dengan tindakbalas jelas. Paling kecil, sikap syukur adalah dengan ungkapan Alhamdullilah. Namun syukur yang paling mulia dan bermanafaat adalah dengan menafaatkan apapun yang kita terima demi kebaikan Ummah serta bekalan akhirat kita sendiri. Syukur menuntut kita menunaikan tanggungjawab Fardhu Ain dan Kifayah kita. Kita bersyukur dengan berusaha sehebatnya untuk patuh kepada kehendak Allah. Bersyukur kepada Allah adalah tabungan buat kita di Akhirat nanti. In Shaa Allah.

Kuching, Sarawak
22-26 Mac, 2018

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.