Latest Postings
Loading...
Jul 12, 2014

1/7/14 MELAYU SARAWAK......berdirinya di mana?

Berasaskan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Sarawak pada 2013 adalah berjumlah 2.62 juta orang berbanding sekitar 29.0 juta orang penduduk Negara. Merujuk pada Perangkaan Bancian 2010, terdapat sejumlah 568,113 dari penduduk Sarawak berjumlah 2,471,140 adalah berketurunan Melayu. Kelompok terbesar Bumiputera lainnya adalah berketurunan Iban dengan bilangan sejumlah 713,412 dari keseluruhan Bumiputera sebanyak 1,759,813 orang. Secara perbandingan, keturunan Melayu  merangkumi sejumlah sekitar 22.9 peratus dari keseluruhan penduduk Sarawak. Mereka ini sering dibahagi kepada kelompok Melayu dan Kedayan iaitu asalnya Melayu Brunei. Namun mengikut Perangkaan Jabatan Perangkaan 2014, orang Melayu Sarawak telah menduduki tangga ke dua dari segi jumlah penduduknya, pertama kali mengatasi bilangan penduduk berbangsa Cina. Kaum Melanau pula berjumlah 123,410 orang (2010). Sekitar 70 perastus dari mereka ini adalah Muslim dan selebihnya Nasrani. Di tahun-tahun 1970an, masyarakat Melanau Muslim lebih gemar dikenali sebagai Melayu dan atau Melanau Islam. Namun prihal ini berubah pada 1990an atas rasa jati diri yang mengental.

(2) Sekitar 38.7 peratus dari orang Melayu Sarawak menetap di daerah Kuching, khususnya di kawasan Bandaraya Kuching Utara dan sekitarnya, dan sebilangan lagi di pinggiran Bandaraya Kuching Selatan. Daerah Samarahan menjadi daerah dominan penduduk Melayu. Ini diikuti oleh Asajaya, Simunjan, dan Saribas (Betong). Di daerah-daerah lain penduduk Melayu menjadi kelompok minoriti. Namun secara umumnya orang-orang Melayu Sarawak menduduki kawasan persisir pantai dari Sematan di Lundu (paling Selatan) ke Lawas di Utara terutama di kawasan muara atau hampir muara sungai-sungai utama di Sarawak seperti Sungai Sarawak, Batang Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, dan Batang Saribas. Kawasan kependudukan Melayu (juga Melanau) sangat terkait dengan keperluan menangkap ikan dan berdagang lewat jalan air pada mulanya. Akibatnya, kawasan kependudukan mereka sangat terbatas kepada kawasan-kawasan paya bakau dan paya gambut, di mana dari segi pertanian dan pembinaan adalah sangat mencabar. Sungai-sungai dan anak-anak sungai yang lebar berseliratan, naik turun air pasang, serta kebanjiran di musim tengkujuh menjadikan sangat mewarnai kehidupan masyarakat Melayu Sarawak. Bagaimanakah keadaan ini akhirnya mencorak rentak pertumbuhan ekonomi dan gaya pemikiran mereka?

(3) Di Kuching, kebanyakan dari mereka sebenarnya adalah penghijrah dari pedalaman khususnya dari Samarahan, Sadong, Saribas, Kalaka, Lupar, dan bahkan kaum Melanau dari Matu-Daro dan Sarikei-Belawai yang kemudian menjerap menjadi Melayu. Adalah tidak tepat jika sesiapa merujuk Melayu Kuching sebagai aslinya dari Kuching kerana kemungkinan sebhagian besar mereka sebetulnya adalah Melayu Persisir. Inilah masyarakt luar bandar yang terhimpit akibat masalah penurunan mendadak industri pembalakan yang bermula di penghujung 1970an dan bermulanya industri hiliran kayu di awal 1980an. Di tahun-tahun 1980an, banyak kilang-kilang papan dibangunkan di Pending, Kuching yang kemudian bila mana kilang-kilang kayu lapis terbina di Sibu dan Bintulu, industri tersebutpun beralih ke sana secara mendadak. Tarikan terhadap perkembangan pesat bidang pembinaan dan perkhidmatan di Bandar Kuching di tahun-tahun 1980an juga menjadi daya magnet utama penghijrahan masyarakat persisir Melayu ke Kuching, malah ke Miri, Bintulu dan Sibu. Cuma, penghijrahan ini telah tertangkap oleh kancah setingan dan masalah sosial lainnya. Bagaimanakah agaknya kesan penghijrahan ini dalam menentukan cara hidup mereka sehingga kini?

(4) Merujuk kepada kejadian asal manusia, saya punya keyakinan betapa manusia di Asia Tengara adalah berasal dari satu rumpun iaitu Mongoloid dari Puncak Dunia yang pasti asal mula adalah dari Lembah Bekka, di Arabia. Saya juga menduga manusia rumpun Melayu Asia Tengara adalah mulanya berasal dari pecahan Mongoloid Champa dari Wilayah Annam (sekarang Vietnam Selatan). Masyarakat Champa terkenal sebagai petani, penternak dan nelayan hebat di waktunya. Sehingga kini mereka mengelar diri mereka sebagai Melayu. Ada tulisan menyatakan bahawa mereka adalah paling awal memeluk Islam di Nusantara iaitu sejak kurun ke VII lagi iaitu di zaman Rasullullah SAW masih hidup. Mereka adalah yang mulai menanam padi secara tetap serta memberikan hasil yang sangat tinggi berbanding kelompok manapun pada masa itu. Sifat-sifat itu diwarisi oleh seluruh Umat Melayu di Nusantara. Umat Melayu memperkenalkan padi ke seluruh Nusantara, mengantikan rumbia. Sesungguhnya, sebermulanya, seluruh Nusantara yang secara geologinya adalah sebuah Pelantar adalah tanah daratan. Tanah ini disebut sebagai Pelantar Sunda yang meliputi seluruh Asia Tenggara sehingga ke sebahagian Papua. Kebanjiran besar  menjadikan bahagian rendah Pelantar ini tengelam lalu menjadi tanah daratan dan pulau-pulau sepertinya sekarang ini akibat peningkatan paras laut yang berpunca dari Big Bang Karakatua di suatu masa dahulu. Tiga Big Bang Karakatoa diriwayatkan telah berlaku iaitu pada tahun 416, 535-536 dan 1883. Ketiga-tiga ledakan ini telah dikaji sebagai punca awal kepada perubahan cuaca dunia. Ledakan Karakatua meningkatkan suhu dunia, mencairkan salji di kutub lalu membanjiri kawasan-kawasan rendah di Nusantara. Akibatnya, kelompok-kelompok Melayu secara geologinya teripsah-pisah dan lantas sejak zaman-berzaman membentuk ciri-ciri tersendiri. Sesungguhnya Nusantara adalah dunia Melayu yang bebas bersaudara sehinggalah berlaku Bing Bang Penjajahan Belanda, British, Spanyol, Potugis, Peranchis dan Jerman. Jepun dan Amerika melebarkan lagi jurang perbezaan politik antara wilayah Nusantara lewat pengaruh Kapitalisma dan sosialisma moden. Cita-cita Sukarno untuk membentuk Indonesia Raya, mungkin lain jadinya seandainya nama itu ditukar menjadi Nusa Raya jika tidak Melayu Raya. Sesungguhnya, sejarah bangsa ini sangat tergantung dari sudut mana ianya dipandang. Jika dari sudut Barat, Manusia Batu tidak bertemaddun adalah asas mereka. Jika dari sudut Yahudi, Nasrani dan Islam, pasti manusia adalah dari manusia yang sempurna berilmu asas kejadian mereka. Pokok soal, kepentingan sejarah itu untuk apa? Namun Barat, akibat iri Nasrani dan Yahudi melihat Islam sebagai musuh, lantas tiori Manusia Batu dijadikan landasan untuk menunduk dan menghina Umat Islam agar terus menjadi second jika tidak third class population of the world.

(5) Namun secara khusus, dari manakah asalnya orang Melayu Sarawak. Orang Iban, jelas berpindah dari Kapuas, Kalimantan Tengah. Begitu juga lain-lain keturunan puak-puak minoriti di pedalaman Limbang, Miri, Bintulu, dan Kapit, rata-rata mereka asalnya adalah dari Kalimantan. Melayu Brunei mungkin jauh lebih terdahulu menghuni Utara Borneo, khususnya di Brunei, Limbang dan Miri. Ada tiori menyatakan bahawa Melayu Brunei adalah hasil kacukan Melayu dan Jawa. Mereka ini kemudian menebar ke Selatan, khususnya ke Kuching. Melayu Brunei ini sehingga kini membentuk kelompok Melayu bergelar Pengiran, Awang dan Dayang. Melayu Sambas, Kalimantan Barat, yang sudah punya temaddun tersendiri, mungkin kemudiannya lantaran pelbagai pergolakkan di sana, menyebabkan rakyat mula keluar melalui Paloh di Muara Sg. Sambas lalu belayar menghuni Sematan dan Santubong dan dari sana terus menebar ke pedalaman Sarawak pada masa itu. Kuching sebelum kedatangan James Brooke disebut sebagai Sarawak. Dalam konsep James Brooke, Sarawak adalah wilayah Negeri, sedang Kuching adalah batas bandar-kota. Mereka juga terus bergerak ke Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Saribas dan Kalaka. Cuma sedikit muskhilnya, kenapa loghat pertuturan Melayu Kuching sangat berbeza dari Melayu Persisiran iaitu kelompok Melayu di Samarahan, Sadong, Lupar dan Kalaka-Saribas. Di tahun 1960an dan awalnya, Melayu Persisir sering dipandang rendah lewat pengelompokan sebagai Orang Laut. Loghat Melayu Kuching sangat ketara di sekitar Santubong dan Muara Tebas. Apakah mungkin Melayu Persisir ini, adalah kelompok Melayu Sambas yang tersendiri, terasak keluar dari kelompok besar Melayu Sambas yang gaya pertuturan mereka adalah menghampiri Melayu Kuching? Atau apa mungkin Oran Laut ini adalah kelompok Melayu Champa? Namun penjelajahan saya di kalangan masyarakt Champa di Kemboja, Vietnam dan Laos tidak menampakkan ada keserupaan pertuturan mereka. Juga saya sudah agak meluas menjelajahi Sambas, juga tidak menemukan kelompok yang bertutur loghat Orang Laut ini. Mengikut suatu riwayat dulu-dulu Sadong, Samarahan, Saribas, dan Kabong adalah negeri-negeri Melayu bebas tersendiri. Kemudian pastinya, kelompok Jawa dari Tanah Jawa juga mengikuti jejak Melayu Sambas dalam memenuhi bumi Sarawak. Sama halnya dengan orang-orang Bugis. Melayu Sumatera juga kemudian mulai belayar ke Tanah Melayu, kemudian bergerak ke Temasik, lalu menyeberang mungkin asalnya mahu ke Sambas namun banyak terdampar ke Sarawak. Samarahan dan Sadong adalah dua wilayah di mana masyarakat Jawa dan Bugis banyak kedapatan, cuma generasi kini iaitu jenerasi ke tiga dan ke empat sudah mulai tidak mengenali lagi budaya nenek moyang mereka. Pendakwah Islam dari Tanah Arab, khususnya Yaman dan India kemudian menyusul lalu bercampur baur dengan sebahagian orang-orang Melayu ini.  Inilah kelompok yang kemudian membentuk keturunan Wan dan Sharifah. Apakah kesan dari kemungkinan sejarah asal usul Melayu ini ke atas sistem hidup mereka dulu dan kini?

(6) Dalam tulisan ini saya akan cuba membuat penilaian geo-ekonomi, struktur sosial, serta cuba mengenengahkan bahana keadaan yang memungkinkan Melayu Sarawak kian meminggir dan terpinggir. Soal duduk mereka sememangnyalah di Sarawak, cuma saya ingin melihat berdirinya mereka di mana? Apa lagi jika terus ditelusuri sehingga kepada jalan hambatan mereka. Apakah Melayu sedang terkinja-kinja bagai berdiri di bara api? Juga apakah mereka kelihatan belarian akibat kemahuan kental atau sekadar lari dari terhambat kebakaran yang membingungkan? Atau mungkinkah mereka seperti telur dihujung tanduk? Atau apakah mereka termakan sombar, sumpahan mereka sendiri iaitu Jauh Pak Awi? Persoalan asas yang akan saya utarakan adalah apakah langkah strategik untuk Umat Melayu Sarawak agar boleh berdiri tegap dan berjalan segak? Saya tidak menulis sepertinya rumah siap pahat berbunyi. Sesungguhnya, rumah kita, Negeri ini masih jauh jalan untuk menyiapkannya, dan jika kita tidak berani menoleh ke belakang dan merubah mungkin ianya tidak akan pernah siap. Mungkin akan bobrok. Tulisan saya ini tidak berniat menuding dan menyalah, dan saya juga tidak hendak mengajar, namun to bring forward untuk sama-sama kita semak dan fikirkan demi Islam ini dan Melayu ini. Saya yakin Melayu yang kuat akan memberkahkan lagi usaha kita membina kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua.

(7) Geologi Sarawak sememangnya sangat mencabar bagi kaum apa sekalipun. Kelompok Foo Chow di Sibu mulanya sangat terpisah dan berada dalam kedudukan paling tidak selesa dan mundur berbanding kelompok Kantonese, Hakka, Hokien, dll yang merupakan masyarakat dagang Cina asal di Kuching dan bandar-bandar lain di seluruh Sarawak, kecuali di Sibu, Sarikei dan Bintangor. Kelompok Foo Chow akhirnya menemukan kekayaan dari industri pembalakan di kawasan paya bakau yang begitu luas di kawasan Sibu dan persisir pantai lainnya. Mereka kemudian berjaya mengekploitasi balak dan manusia-manusia Melayu dan Melanau di kawasan persisiran. Rahmat industri tebang habis ini membawa masyarakat Melayu dan Melanau mulai menjadi masyarakat terapung di kolong-kolong
penempatan pekerja di kawasan-kawasan kilang papan dan akhirnya tersisa sebagai setinggan-setinggan di Pending, Ithmus (duduknya BCCK kini), Bintawa, Tabuan, Semariang, bahkan Gita. Sedang di Sibu, Kampung Dato dan Lanang menjadi kloni-kloni setinggan tinggalan ledakan industri pembalakan tebang habis di kawasan Tengah Sarawak. Di tahun 1979 saya pernah bekerja dan menghuni kloni setinggan di Kg. Dato dan Lanang, Sibu sekadar mencari sekelumit rezeki tambahan bekal melanjutkan pelajaran ke Universiti. Keadaan hidup penghuni kolong-kolong serta kawasan setinggan tersangatlah dhaif namun terhibur dari gajian sekadar cukup makan dan suasana hidup yang seperti pipit sama pipit. Begitu juga berlaku di Muara Kemena di Bintulu, pinggiran bandar Miri, dan di Sarikei. Sesungguhnya pembalakan di Hutan Paya Gambut tidak menyumbang kesan positif jangka panjang kepada orang Melayu dan Melanau. Tanah-tanah tinggalan tebang habis tidak mereka kuasai atas sikap mereka jujur pada peraturan Islam dan Negeri kerana sebaik sahaja habis operasi pembalakan, jalan-jalan keretapi di kawasan berkenaan terus dibongkar dan tanah dibiarkan. Mereka terus berpindah randah menghambat kawasan baru juga bersifat sementara dan terus membelenggu mereka untuk sekadar menjadi kuli. Antara pembalak yang agak berjaya mungkin adalah masyarakat Melayu Beladin, di Betong, Semera di Asajaya dan Sekaan di Matu kerana semasa membalak, mereka mengambil kesempatan membuat ramuk, bahan binaan kayu bagi membina rumah yang agak selesa serta kapal nelayan yang agak besar.

(8) Hanya di tahun-tahun 1980an bila sumber kayu di kawasan gambut telah ranap maka puak-puak Foo Chow ini beralih pula ke pedalaman membaham hutan gunung. Biar juga agak payah, industri pembalakan di pedalaman di kawasan pergunungan sedikit memberi kesan positif jangka panjang kepada kaum-kaum pribumi di sana. Pertama penempatan mereka yang terpencil mulai terhubung dengan jalan-jalan balak. Kedua, akibat ledakan generasi chain saw dan bulldozer puak-puak pribumi ini mulai meluaskan tanah pertanian mereka secara berkesan. Keadaan ini kemudian menimbulkan kancah Tanah Adat yang berpanjanagan dan rumit di antara Negeri dan masyarakat yang menuntut. Kanunn Tanah Negeri dan Undang-Undang Adat tinggal James Brooke bertembung ganas apa lagi saat politik sudah menghalalkan cara. Berbanding dengan masyarakat lumberjack Melayu dan Melanau awalnya yang bekerja menggunakan kapak, tuas, gergaji buaya, dan keretapi, sebaik sahaja industri pembalakan habis, mereka samada kembali ke kampung halaman atau terus mengiring bontot Foo Chow untuk ke hutan-hutan lainnya dan kini biar sampai ke Papua, Brazil, Malawi dsb. Sedang kebanyakan yang kembali ke Kampung terus tersekat oleh keadaan mengusahakan tanah sekakang kera untuk bertanam padi dan segala keperluan sekadar cukup makan. Namun tidak ramai mengambil dayausaha mengembangkan tanah kebunan mereka biarpun hanya dengan merimba hutan di keliling kampung. Sebabnya, tanah-tanah tersebut tidak subur dan pilihan pertanian adalah sangat terhad. Mereka kemudian beralih menjadi nelayan sungai dan persisir pantai, menghambat rezeki pada takdir alam. Perkembangan penempatan Melayu Persisir sangat terpengaruh oleh ledakan industri pembalakan. Namun mereka kini, mulai sadar betapa mereka sudah ketiadaan kawasan biar sekadar untuk membesarkan kampung bagi menampung generasi seterusnya. Generasi muda pula, lebih cenderung kemudiannnya berhijrah membentuk masyarakat setinggan contohnya di Tabuan dan kini floating generation di kota-kota menyewa rumah-rumah kedai duduk berasak-asak dengan pergaulan bebas. Penikahan awal akibat accident kemudian perceraian awal juga kian meningkat di kalangan generasi ini.  kian Bagi masyarakat Kedayan, mereka agak berbeda. Setia mereka pada laut, dan berternak kerbau membatas kehidupan mereka pada dua jenis pekerjaan ini. Dalam masa yang sama, mereka membangun dusun-dusun lalu terus menetap di mana nenek moyang mereka dulu mulai membina kampung. Perkampungan Melayu Persisir yang besar-besar seperti Semera, Sebuyau, Maludam, Beladin, Pusa, dan Kabong sangat terkait awalnya dengan keperluan menangkap ikan, kerja-kerja pembalakan dan sedikit bertani.

(9) Bila industri pembalakan kian menurun pada pertengahan 1980an, Kerajaan kemudiannya mulai membangunkan tanah-tanah yang sudah dibalak untuk perladangan sawit. Kawasan tanah-tanah di pedalaman yang berbukit bukau terutama di Miri dan Bintulu menjadi tumpuan. Namun, bila usaha-usaha perladangan mulai berkembang  jauh ke pedalaman Miri, Saribas, Kalaka dan Sri Aman maka Kerajaan mulai mendapat tentangan hebat kaum pribumi di di sana atas alasan pencerobohan Tanah Adat mereka. Namun Kerajaan tidak berputus asa lalu merumus Pembangunan Tanah Adat lewat kerjasama dengan pihak swasta. Ini juga tidak mendapat sambutan baik dari masyarakat di pedalaman. Lantas sekitar 1990an Kerajaan beralih angin ke kawasan Tanah Gambut di persisir. Inilah kawasan yang kurang penduduk pribumi bukan Melayu, dan tentangan mulanya adalah sifar. Banyak kawasan dibuka, sehingga ke batas perkampungan Melayu dan Melanau. Semuanya diberikan kepada syarikat perladangan swasta. Sepertinya, penjarahan tanah oleh Barat di Filipina, Indonesia, Amerika Latin dan Selatan Afrika di akhir kurun ke 18 menjelma di Sarawak. Kawasan orang Melayu dan Melanau kian terasak di antara Laut China Selatan dan Lautan Sawit di Pedalaman. Keadaan sepertinya Laut China Selatan menghenyak Melayu dan Melanau ke pantai, sedang Lautan Sawit menghambat Melayu dan Melanau ke Laut China Selatan kian berleluasa. Inilah apa yang saya perhatikan telah dan sedang berlaku hebat di Miri-Bintulu, Balingian-Mukah, Matu-Daro, Bruit, Kalaka-Saribas, Simunjan, dan Asajaya. Sememangnya usaha-usaha ini mempunyai tujuan murni, namun kesannya sangat berbeza dari apa yang dirancangkan. Economic Trickling Effect kepada masyarakat keliling sememangnya ada, namun kesan itu tidak merubah kesejahteraan rakyat kebanyakan. Perladangan tidak dinafikan mengujud pertumbuhan perbandaran di seluruh Sarawak. Cuma masyarakat Melayu dan Melanau yang menghambat ledakan perbandaran ini mereka kian jadi kuli sebagaimana generasi mereka terdahulu di dalam industri pembalakan. Saya berkeyakinan keadaan ini masih boleh diperbetulkan jika masyarakat dan pemimpin Melayu dan Melanau punya tekad dan kejujuran. Asasnya sangat mudah iaitu how to share the cake to directly benefit the neighbouring community. Perkara ini akan saya sentuh kemudiannya.

(10) Sememangnya generasi setinggan Melayu dan Melanau kini sudah kian berubah. Kerajaan sudah mulai menyusun kembali kawasan-kawasan setinggan dan memindahkan mereka ke kawasan-kawasan baru di Samariang, Bako, Matang, Batu 12-14 Jalan Kuching-Serian, dan Gita di Kuching, manakala para setinggan di Sibu sudah dipindahkan ke Teku, Lanang, SibuJaya, dsb begitu juga di Miri dan Bintulu. Ini adalah jalan penyelesaian bagi generasi setinggan lama. Mereka samaada diperuntukkan tanah-tanah lot, dengan prasarana asas yang ringkas, serta di tempatkan di kawasan-kawasan perumahan murah dua bilik. Keadaan penempatan mereka yang kurang terancang dan dibangun sempurna kini kian menjadi time bomb tentang kemungkinan-kemungkinan gejala sosial yang lebih hebat di masa mendatang. Kita seperti melepaskan biawak hidup dari satu pundak ke pundak yang lain. Dalam masa yang sama, generasi hijrah baru juga generasi baru para setinggan terdahulu kini kian terkoteng-koteng menghambat hidup di tengah-tengah kota-kota. Mereka ini bekerja seadanya di sektor pembuatan dan perkhidmatan yang bergaji rendah, lalu menyewa rumah-rumah kedai yang terus rancak terbangun. Sesungguhnya jika dibuat kajian terpenrinci, pembangunan rumah-rumah kedai yang rancak di Kuching, Bintulu dan Miri, khususnya adalah bukan atas keperluan perdagangan namun adalah campuran di antara keperluan perdagangan dan perumahan. Lantaran mereka ini tidak mampu biar untuk membeli rumah murah, maka rumah kedai menjadi jalan alternatif mereka. Cuma yang merunsingkan bagi mereka yang prihatin terhadap masa depan masyarakat dan nilai akidah mereka pasti keadaan pendudukan sebegini akan menimbulkan masyarakat baru yang robek dan terpinggir. Apa yang dinamakan sebagai pembangunan kawasan komersil di seluruh Sarawak, saya perhatikan adalah berasaskan bit and pieces local planning and approval. Integrated Master; Local Plan jika ada sering dibuat atas keperluan Kapitalisma dengan tidak menitik beratkan Urban Community Development. Sebabnya mudah, hampir semua Local atau Site Plan adalah dibuat oleh pemaju. Biar contohnya di kawasan yang di namakan Desa Ilmu di Kota Samarahan tidak mengambarkan Desa Ilmu yang seharusnya. Kawasan rumah kedai yang disewa oleh para pelajar dan pekerja perkhidmatan runcit di sana langsung terabai keperluan kemudahan pembangunan jati diri kemsayarakatan mereka. Bagi saya, saya melihat Desa Ilmu Kota Samarahan sebagai tidak lain adalah sebagai pembangunan yang tidak menyumbang kepada pembentukan insani generasi baru. Jika sesiapa ke Kota Samarahan, pembangunan di sana tidak lebih dari penjara-penjara institusi awam. Begitu juga prihal Universiti Swinburn di Kuching. Para pelajar khusus yang datang dari luar Kuching tinggal berhamburan di rumah-rumah kedai yang terpisah-pisah. Biarpun Negara ini ingin menjadi Hub Pendidikan Tinggi Serantau namun konsep dan pendekatan kita membina Educational Excellent Cities adalah bukan menuju ke arah hub tetapi lebih kepada habuk. Tidak terfikirkah oleh Kerajaan untuk menghubung Universiti tersebut dengan Pusat Islam di Upland lewat pembangunan Desa Ilmu di antara keduanya. Apa lagi jika dilihat kepada I-cat di Tabuan. Pada saya, saya melihat pembangunan pusat-pusat pengajian di Negeri ini adalah untuk menyuburkan Quick Properties Growth dari untuk menjana humanism. Jikapun kita bersikap kapitalis, kita mengamalkan Kapitalis bernafsu jalang.

(11) Jika pembangunan pengajian ilmu di Negeri ini tidak terancang untuk membangunan manusia insani praktikal melainkan tiori di kelas-kelas dan itupun jika ada apa mungkin akan ada perancangan teliti untuk membangun umat harmoni yang bersatu padu pada generasi akan datang? Alasan terhadap planning and development handicap ini sering diperkatakan sabagai we are not in the capacity as yet namun, dalam masa yang sama kita mencanang ke seluruh duina we are financially sound atau sampai bila baru kita mahu mengorak langkah merubah? Adakah perlu untuk kita menunggu keadaan kecelaruan seperti di London, New York dan Michigan di awal kurun ke 19 baru kita hendak berbelanja besar menyusun segala. Pada masa itu sudah mampukah kita? Sesungguhnya perancangan penempatan Melayu dan Melanau Muslim di Sarawak jauh dari konsep menanam roh Islam dan mengekal jati diri Melayu dan Melanau. Penempatan semula para setinggan di kalangan mereka sering meletakkan mereka dalam kedudukan economically and socially displaced biarpun dari segi penempatan agak sedikit terjamin. Soalnya keperluan perut adalah jauh lebih mendadak dan mudah meresahkan berbanding dari keperluan lainnya.

(12) Saya melihat, sesungguhnya kloni-kloni penempatan Melayu di bandar dan pinggir-pinggir bandar adalah ibarat api dalam sekam yang suatu hari akan marak menyala membakar dengan segala bentuk kecelaruan sosial.

(13) Alam secara sejadinya sangat tidak bersahabat dengan orang Melayu dan Melanau. Paya bakau dan gambut, serta sungai-sungai besar berseliratan, dan laut yang sentiasa bergelora dan dengan kail hanya panjang sejengkal mereka akhirnya terus terpinggir dan meminggir. Hari-hari mereka digembur badai hidup. Mereka menjadi penerima takdir yang sabar, mengharap surut ada pasangnya, ribut ada teduhnya, panas ada sejuk dingginnya, gelap ada cahaya menerangnya. Mereka mengharap. Lalu, pembangunan datang menjengah. Namun saat mereka berebut-rebut menghambat pembangunan, pembangunan juga akhirnya membadai mereka lalu lelah terjengkang, terlentang terkangkang. Kenapa?

(14) Satu hal yang terus sangat memisahkan orang Melayu Sarawak sehingga kini adalah cara mereka berpolitik dan dipolitikkan. Terus wujud Melayu Kuching, Melayu Persisir dan Melayu Kedayan. Alam menjadikan kita sebegitu asalnya. Brooke menghenyak tambah agar teus sebegitu. Kita, sendiri kemudian terus menjejaki langkah yang sama atas ilusi kuasa. Ada tiga kelompok Melayu di Sarawak. Bahkan sama bagi kaum Melanau. Setiap satu pula ada kelompok-kelompok kecil yang saling beregut kepentingan. Politik mereka adalah perpuak-puak. Saya melihat ada tiga kemlompok kepimpinan Melayu di Sarawak. Mereka berpecah. Akibatnya mereka sekian waktu menjadi bahan mainan sebagai keldai pembawa beban bukan kuda memacu jalan. Mereka tidak sekapal membelah badai, mendarat ke tebing terus bedagang aman. Melayu Sarawak seperti tidak sedar, betapa mereka sedang berada seperti telur di hujung tanduk, berjalan di bara api, belarian terhambat kebakaran. Sepertinya mereka tidak sedar apa mungkin berdirinya Melayu Kuching tanpa dokongan Melayu Persisir dan sebaliknya, dan apakah berdiri Melayu Kedayan tanpa tunggak Melayu Kuching dan Melayu Persisisr dan sebaliknya? Mereka terus mahu teripsah. Kenapa jadi begini? Jika kita perhatikan sejarah asal usulnya Melayu Sarawak, mereka pada asasnya adalah berasal dari kawasan berbeda-beda. Asasnya mereka sudah berpecah. Dulu-dulu pada zaman sebelum Brooke mereka punya wilayah masing-masing. Di zaman Brooke, wilayah-wilayah mereka dirampas disatukan menjadi Sarawak, dan pemimpin-pemimpin tradisi mereka mulai tersisih secara halus. Akibatnya, kelompok-kelompok Melayu ini kehilangan orang yang mereka hormati. Brooke belajar dari alam. Alam memisah-misahkan Melayu. Brooke asak perpecahan Melayu lewat kaedah pecah dan perintah. Pemimpin-pemimpin Melayu dijinak lewat pelbagai cara, dan salah satu darinya yang orang Melayu sangat banggakan adalah segala bentuk hiasan gelaran. Bila pemimpin Melayu sudah jinak, mereka mudah diguna-guna untuk menguasai Melayu seluruhnya. Akhirnya menjadilah pemimpin Melayu ini bagai (Pak) Kadok naik junjung, tidak berguna buat bangsanya sendiri melainkan kepentngan diri dan penjajah. Bahkan penganti mereka selepas itu, adalah talibarut Brooke. Keadaan ini akhirnya memisahkan Melayu dari pemimpin mereka. Mereka menjadi kurang percaya kepada pemimpin sendiri. Curiga Melayu pada pemimpin mereka terus membakar seperti api dalam sekam. Lantaran itu, Brooke masuk menyatukan semua. Sesungguhnya tradisi pecah dan perintah terus berkelanjutan sehingga kini dan berakibatkan faktor itu, kepimpinan Melayu sering berada di tangan lain. Melayu Persisir khususnya sangat jarang dipimpin oleh dari kalangan mereka sendiri. Hikmah Allah menegaskan betapa Dia melantik nabi dan rasul di kalangan kaum itu sendiri tidak dimengerti dan atau sengaja disish.  Sebetulnya inilah akibatnya bila mana didikan Islam pada bangsa Melayu tidak menjadi darah daging mereka. Islam mereka adalah pada kulit, tidak pada hati sanubari mereka. Contoh paling jelas, bila Syahadah mereka sekadar mengaku Allah sebagai Tuhan di waktu Sholat dan bukan Tuhan hanya Tuhan dalam seluruh kehidupan mereka. Semasa sholat, Allah adalah Tuhan mereka. Selepas sholat, mereka banyak takut sujud kepada yang lain selain Allah. Lantaran itu, sikap amanah pada orang Melayu kian memudar apa lagi di kalangan pemimpin mereka. Takut mereka kepada Allah hanyalah waktu sholat. Pengakuan MahaEsanya Allah hanyalah saat mereka menadah tangan berdoa, dan tidak di luar dari itu, dalam seluruh kehidupan mereka sehariannya. Lantas pangkat, gelaran, harta, keluarga dsb mengambilalih keEsaan Allah dalam hidup mereka. Didikan Islam pada orang Melayu, adalah didikan tanpa kajian dan semakan, didikan berasaskan tradisi turun temurun yang bersifat rhetorik dan mengiurkan bukan meningkat ilmu hidup secara Adeen Islam.

(15) Saya mengenengah soal Melayu Persisir jarang dipimpin oleh dari kalangan mereka serta membawa penceritaan Allah betapa Dia mengangkat para nabi dan rasul dari kalangan kaum itu punya kaitan sangat rapat. Siapakah paling mengenal diri sendiri? Siapakah paling mengenal kaumnya? Siapakah paling tahu permasalahan setempat? Namun, dengan itu tidak bermaksud kita bermain sandiwara pula untuk mengikuti konsep memilih Pak Kadok untuk naik junjung. Saya melihat, banyak pemimpin akar umbi Melayu adalah sekadar Pak Kaduk naik junjung jika tidak Si Kudung dapat cincin, mereka samada tidak tahu bekerja dan atau bekerja untuk diri sendiri, maka mereka kian tidak mendapat tempat di hati rakyat.  Saya berkeyakinan, kini banyak anak watan yang berketerampilan, berwibawa dan beramanah yang boleh memimpin masyarakat mereka sendiri. Soal apa mereka ini kemudian akan berpihak mendokong kepimpinan atasan pastinya bertitik tolak kepada kebenaran dan kejujuran pimpinan atasan. Muhammad SAW adalah contoh paling bagus. Baginda memimpin bukan sekadar puak Quraish Muhajirun, tetapi pulohan kabilah Arab lainnya yang corak kepimpinan setempatnya berbeda-beda. Baginda tidak pernah takut kalangan tempatan yang bijak bistari untuk memimpin kaum mereka sendiri, malah baginda didik mereka agar lebih hebat. Kriteria paling penting baginda lihat adalah kefahaman mereka tentang Surah Al Baqarah, iaitu beramanah. Sebabnya mudah, hidup dan mati baginda adalah untuk Islam dan Ummah. Sesungguhnya saya melihat, cara yang diamalkan oleh Abdul Rahman Yakub dan Abdul Taib Mahmud dalam mengurus soal pemilihan dan kepimpinan masyarakat setempat, adalah lewat harga yang mahal. Rakyat perlu "dirasuah dan atau diugut" untuk menerima pemimpin bukan di hati mereka. Bahkan banyak ketikanya mereka just being brushed aside. Apapun asasnya, apa tidak mungkin anak watan terus tidak boleh berdiri berjalan sendiri beramanah sehingga kini? Sikap sebegini adalah amalan  East Indies Company dan British. Kita menjejak rapat suatu ketika adalah cara musuh kita. Mereka berbuat sebegitu untuk melemahkan kita, namun kita ikut sebegitu apakah lantaran pagar harus makan padi, sokong membawa rebah? Namun apa yang saya nampak, asasnya adalah illusi takut luntur kuasa. Tradisi turun temurun kerabat mengkerabat dalam kepimpinan di zaman Quraish Jahilliah seperti seronok kita pertahankan dan terima.

(16) Dari segi pembangunan fizikal, Abdul Taib Mahmud telah meletakkan banyak batu asas untuk Umat Melayu mengorak langkah cepat dan betul. Itu kita harus hargai. Namun, keadaan sudah berubah dan tuntutan waktu sudah berbeda. Saya melihat, dua perkara asas yang Adenan Satem, pemimpin politik Melayu tertinggi Sarawak pada masa ini, harus berani rombak dan atau perbaiki dari perjalanan lepas. Saya tidak menunjuk, saya berfikir dan merasa. Pertama-tama, pendidikan Islam di kalangan umat Islam di Negeri ini perlu rombakan tentang isi dan caranya. Kita perlu segera memperbaiki pelbagai kerobekan diri. Saya melihat generasi baru Melayu Sarawak kian mengabai akidah mereka. Mungkin Masjid-masjid yang ada di Negeri ini tidak berkesan cara pembinaan dan hubungannya dengan masyarakat adalah sesuatu yang harus kita segera kaji. Terlalu banyak wang telah kita belanjakan untuk pembinaan Masjid, namun kita kita pernah mengkaji kesan meluasnya kepada masyarakat. Telah tiba masanya para perancang pembangunan penempatan Melayu untuk gigih menyemak bagaimana pembinaan penempatan dan masjid-masjid di zaman dulu sehingga Islam dan Ummah menjadi satu. Saya melihat, masjid banyak terbangun memencil dari masyarakat.  Begitu juga, bagaimana harusnya JAIS dan JAKIM bekerjasama itu harus digerakkan segera. Badan-badan NGO Islami seperti ABIM, BINA, YADIM, dsb harus menumpu membina insani Melayu yang sempurna. Kita perlu mendidik ilmu Islam kepada orang Melayu secara betul. Contonya, kita tidak harus hanya mendidik anak bangsa bersholat. Kita harus mendidik mereka betapa sholat itu adalah didikan disiplin diri agar kita contohnya menjadi rajin, menepati masa, tertib, pembersih, berkeyakinan, tekad, ikhlas jujur, pemberani, dsb, yang pendeknya adalah beramanah bertanggungjawab. Jika ini dapat kita tanam pada Umat Islam di Negeri ini, pasti Islam kita lebih cemerlang dari kalangan lainnya. Kedua, pastinya kita perlu rombakan kepada kepimpinan peringkat tempatan. Carilah anak watan tempatan yang berkebolehan dan beramanah untuk bekerja dan berpandangan luas untuk memimpin masyarakat mereka sendiri. Kita tidak perlu takut dengan hadirnya para bijak pandai di kalangan kita, dan kita harus insaf betapa Islam runtuh lantaran para khalifah dan raja sudah meminggirkan para cendikiawan di zaman mereka. Untuk apa kita di atas, untuk kemewahan? Berapa banyak kemewahan yang akan kita bawa ke kubur? Sekadar kain kapan murahan sahaja. Biarlah itik memimpin itek. Jangan ayam berbicara dengan itik. Apa lagi jika kita lantik kambing memimpin kerbau. Paling parah jika buaya memimpin biri-biri. Sesungguhnya dalam soal memilih pemimpin, pertunjuk dari Allah pada alam ini adalah sangat luas dan jelas jika kita membuka mata, telingga, hati dan fikiran.

(17) Dalam bidang pembangunan sosio-ekonomi, empat perkara asas yang saya kira merupakan keutamaan tinggi bagi masyarakat Melayu Sarawak, perlu kita beri perhatikan berat dengan segera. Sekali lagi Taib Mahmud telah memberikan asas yang kukuh untuk kita terus memecut maju. Polimik arahtuju pembangunan antara Mahathir-Abdullah Badhawi harus kita hindari. Adenan Satem hanya perlu melengkap dan menambah apa yang telah ada dan terancang. Namun keutamaan harus disemak kembali segera. Pertama dari segi pendidikan. Saya sedar Adenan Satem seorang yang sangat prihatin tentang untung nasib taraf pendidikan orang Melayu bahkan seluruh pribumi di Negeri ini. Maka dengan sebab itu Taib Mahmud mengamahkan beliau untuk menjaga Yayasan Sarawak dengan baik. Juga pernah beliau menghadiahkan saya sebuah buku yang mengariskan kelemahan Melayu Singapura lantaran masalah pendidikan dan kemahiran mereka pada tahun 2002 dulu, bermaksud beliau mengerti betapa ilmu dan kemahiran adalah asas bagi memperkasa Umat. Adalah tidak memadai kawasan-kawasan Melayu punya sekolah, tanpa ada pihak yang benar-benar teliti saban tahun menganalisa kemajuan sebenar mereka dalam bidang-bidang yang perlu untuk hidup serta mempertahankan akidah Islam mereka. Begitu juga, tidak memadai anak-anak kita sekadar keluar dari Universiti, tetapi keserasian ilmu dan kemahiaran mereka tidak selaras dengan keperluan masa. Masih banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki. Perkara ini saya lihat tidak diberikan perhatian berat oleh Kerajaan Persekutuan, maka di Sarawak, harus ada gerakan bersepadu ke arah ini. Kita harus berusaha keras membangun sifat-sifat Insani pada generasi depan kita dan bukan sekadar membina worldly human capital. Wawasan pembangunan manusia-manusia Melayu harus menjurus kepada Umat Insani. Tidak kurang dari itu. Kekurangan-kekurangan external back up kepada institusi pengajian tinggi tempatan harus diperbaiki segera, khususnya di Kuching, Kota Samarahan dan Mukah. Jika Adenan Satem dapat melakukan ini, pasti dia In Shaa Allah akan menjadi Bapa Melayu Sarawak atas sifatnya dapat mendaulat martabat insani Melayu-Melanau Sarawak. Sesungguhnya Melayu Sarawak sudah lama kehilangan Temenggong mereka, bukan Temenggong Pak Kadok yang bersepah.

(18) Kedua, kita harus perhatikan betapa Umat Melayu adalah pribumi paling ramai di bandar di Negeri ini. Di Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, Limbang, Kapit, Marudi, dan Belaga sebahagian besar penduduk Melayu adalah di kawasan bandar dan atau pinggir bandar. Perhatikan keadaan penempatan mereka. Bagi golongan menenggah, tidak menjadi soal. Namun saya mengira lebih kurang 70 perastus Melayu Sarawak masih tergolong sebagai kumpulan Berpendapatan Rendah ie kurang dari RM2,000.00/bulan/keluarga. Mungkin tidak banyak mahu berfikir akan nasib masa depan Melayu jika kita sekadar melihat apa yang berlaku di depan mata. Apa salahnya? Mereka berkerja. Mereka punya tempat tinggal. Mereka punya kehidupan sendiri. Apa acara sekalipun, masyarakat Melayu paling heboh meriah gembira. Namun, apakah kita hanya puas melihat perkara-perkara tempelan? Perhatikan fakta-fakta berikut. Berasaskan Perangkaan 2010, sekitar 20 peratus dari masyarakat kita adalah Umuran Belasan Tahun. Sekitar 39 peratus tergolong sebagai golongan Pelajar dari peringkat rendah sehingga ke Pengajian Tinggi. Sekitar 15 peratus sebagai golongan mendewasa iaitu umuran 25-34 tahun. Golongan tenaga kerja aktif pula adalah sekitar 45 peratus iaitu umuran 25-64 tahun. Namun kajian yang dibuat oleh Talent Corporate Msia Bhd yang dikeluarkan pada 26 Sept., 2012, menunjukkan bagi tahun 2000-2010, dari sejumlah 500,000 orang pelajar (umur 6 tahun) yang memasuki alam persekolahan, sekitar 8,000 pelajar meninggalkan sekolah saban tahun. Bermaksud sekitar 80,000 pelajar mengalami keciciran di peringkat sekolah rendah, dan ini adalah mewakili kadar 16 peratusan. Kemudian dari 400,000 yang memasuki ke Menengah Rendah, sekitar 44,000 pula mengundur diri. Dari jumlah keseluruhan di peringkat Menengah, sekitar 350,000 hanya menamatkan pendidikan mereka di tahap SPM sahaja. Lalu dari sejumlah 168,000 yang memasuki pendidikan diploma dan sijil, terdapat 30,000 mengundur diri. Sedang dari 100,000 yang melanjutkan sehingga ke peringkat Ijazah, 17,000 orang menghadapi kegagalan. Jika kedua-dua data demografi dan kadar keciciran digabungkan, pasti kita akan mendapati bahawa kadar penduduk yang bakal terperangkap dalam golongan berpendapatan rendah adalah masih terlalu tinggi. Kadar Kemasukkan ke dalam jerangkap kancah terpinggir ini adalah sangat tinggi. Inilah keadaan yang akan terus menjerut sebahagain besar dari masyarakat kita ke dalam kancah kitaran ganas kemiskinan. Maka tanpa kita berfikir pantas dan bersedia dengan cepat untuk menampung golongan berpendapatan rendah dan kemasukan golongan baru yang sama pasti masyarakat kita akan jatuh ke jurang sosial yang sangat pedih untuk diuruskan kemudiannya.Sikap kita, pendirian kita, apakah tidak harus kita dengan cepat membasmi masayarakat tikus sebelum ianya membiak biar saat tidur kitapun tidak akan terasa aman. Tidakkah ini apa yang telah terjadi khususnya di London, New York, Michigan dan bahkan menjerumus Jerman untuk memusnahkan Yahudi dan sehingga membawa pemberontakan besar suatu ketika dahulu? Janganlah suatu waktu nanti akibat kepayahan tidak tertanggung, Umat Melayu menjadi benci jadi Melayu apa lagi menjadi sebagai Umat Islam lantaran Tuhanpun tidak berpaling kepada mereka. Inilah mungkinnya apa yang Umar Al Khatab maksudkan "Di akhirat nanti, akulah yang akan Allah soal tentang penderitaan rakyatku".

(19) Para pemimpin dan cerdik pandai Melayu perlu ada rancangan jangka panjang dan keberanian untuk mengubah struktur penempatan masyarakat ini. Konsep pembangunan perumahan harus diubah menjadi Neighborhood Development. Fahaman kita tentang Kejiranan harus juga betul. Projek perumahan tidak semestinya adalah sebuah kejiranan pada hakikinya. Namun strategi bagi pembangunan kejiranan juga harus diubah. Pendekatan Tansfer Development Right (TDR) yang diamalkan di Amerika Syarikat mungkin perlu segera diteliti bagi menganti dan atau menambah baik sistem kuota yang ada pada masa ini. Konsep TDR harus tidak terbatas kepada pembangunan perumahan. Ianya harus juga menjurus merangkumi pembangunan hartanah dan perindusterian. Kita harus ada pendirian, pembangunan hartanah dan industri adalah punca penghijrahan buruh, dan mereka harus menanggung harga akibat pergerakkan buruh ini. Pokoknya Population Center, Employment Center and Public Facilities mesti punya linkages yang sangat baik. Kampung-kampung tradisi Melayu juga perlu dirombak, dan apa lagi kawasan-kawasan Perumahan Murah yang keadaannya tidak jauh beza dengan keadaan setinggan dan penempatan tradisi. Perhatikan keadaan di Sg. Plan, Bintulu juga Jalan Matang dan bahkan di Samariang. Sesungguhnya, pembangunan perumahan murah kita kini, tidak jauh berbeza dengan cara Amerika dan Eropah membangunkan perumahan bagi golongan pekerja di akhir kurun ke 18 dan awak kurun ke 19 dulu. Cara kita ini pada suatu masa dulu adalah berasaskan alasan tertentu namun sehingga kini kita tidak berani merubah alasan ini. Sesungguhnya sikap kita kepada kalangan dhaif telah Allah tempelakkan 1,400 tahun terdahulu lewat Surah Al-Ma'un. Kita, pada hakikatnya takut untuk berdiri membina Ummah. Kita berdiri untuk mati mempertahankan kepentingan diri. Saya yakin, keadaan penempatan orang Melayu seperti adanya sekarang adalah punca kepada masalah keciciran pelajar serta sikap berputus asa para belia dan bahkan yang dewasa dalam menghambat hidup dalam keadaan yang lebih mencabar kini. Adenan Satem sendiri suatu waktu dulu (1990an) pernah menegur susunatur kampung Melayu macam "taik manok, mengambor sik tentu pasal". Kini Adenan Satem sudah di puncak, apakah beliau masih punya semangat untuk merombak keadaan ini? Saya doakan semoga beliau terus bertenaga untuk bekerja sekuatnya demi maruah Melayu. Sesungguhnya sistem pendidikan dan kependudukan sangat memainkan peranan dalam usaha untuk merombak struktur masyarakat seterusnya. Muhammad SAW di awal pembangunan Negara-Kota Madinah, sedemikan rupa agar institusi pendidikan ie Masjid dan penempatan adalah saling berhubung rapat. Dengan cara itu, baginda dapat membentuk sistem masyarakat yang punya jati diri kemsyarakatan yang kental dan saling memberi manafaat. Abang Abdul Rahman Johari harus diberikan lebih banyak kuasa untuk melihat kesejahteraan kejiranan Melayu dan golongan berpendapatan rendah lainnya agar suatu bentuk masyarakat Sarawak majmuk namun bersatu padu dapat dibangunkan kuat. Telah tiba masanya, Kerajaan Sarawak sanggup untuk mengorbankan prime land untuk keperluan ini, memandangkan sumbangan golongan berpendapat rendah dalam menjana ekonomi Negeri adalah terlalu besar. Adenan Satem harus melihat kembali cara perancangan dan pembangunan kawasan-kawasan penempatan semula dan juga Skim Pembesaran Kampung yang sangat beliau minat lakukan sedikit waktu dahulu. Saya melihat, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) yang bertanggungjawab dalam merencana dan melaksanakan Skim ini, telah berulang-ulang melakukan konsep yang sama, tanpa ada aruhan bidang social and community development input. Saya berkira, cara JTS bekerja sudah lost touch of time. Buat kerja sekadar buat kerja biar kurang dan atau tidak betul. Sebabnya mudah social and community developement are not our business, sebegitulah manusia, mereka sering lupa berbuat apa yang harus dibuat, bukan sekadar berbuat apa yang mereka tahu buat.

(19) Ketiganya, seperti saya perkatakan terdahulu, sungai-sungai dan paya-paya adalah pemisah semulajadi untuk kesatuan Melayu. Galang ini mesti kita pecahkan. Selagi Melayu Kabong tidak dapat bergerak bebas untuk bertandang menemui Melayu Bako, dan sebaliknya, apa lagi jika Melayu Bekenu tidak lancar perjalanannya untuk menjengah kerabat mereka di Sampadi dan sebaliknya. Juga apabila Melayu Gobelt hanya berketum di Gobelt dan sukar mengembara sehingga ke Kampung Padang Kerbau, penjerapan kelompok-kelompok Melayu akan terus bertambah sukar dan kesatuan Melayu pasti payah tercapai. Sebetulnya pualu-pulau Melayu ini perlu ditambak agar segala sumber di kalangan orang Melayu menjadi lebih cair dan saling bertindakbalas. Apa yang diperlukan segera adalah jambatan. Tidak banyak jambatan perlu kita buat. Jambatan Samarahan dan Sadong In Shaa Allah akan siap pada 2017. In Shaa Allah Melayu Meran dan Melayu Sadong-Lupar, suatu waktu nanti tidak lagi akan berpiyo-piyo mereka akan juga turut berkedak ne. Seterusnya kita harus memikirkan untuk memulakan Jambatan Lupar, Jambatan Saribas dan Jambatan Krian yang jika dilihat dari perbelanjaan bagi Jambatan Sadong, sekitar RM600.00 juta lagi pasti mencukupi untuk setidak-tidaknya menyatukan jasad sekitar 60 peratus dari Melayu Sarawak. Seterusnya Jambatan Igan (muara Batang Igan) harus menjadi keutamaan untuk menghubungi keseluruhan Bahagian Mukah. Jambatan Lassa, mungkin perlu difikir agar rakyat Bruit punya nikmat duduk bersama warga lain di Malaysia ini. Rencana Abdul Taib Mahmud untuk menjadikan Pulau Bruit sebagai Pusat Limbungan Kapal harus diberi perhatian dan boleh menjadi asas kepada pembinaan Jambatan Lassa. Jambatan Rajang (muara Rajang)  boleh dilihat kepentingannya terutama untuk menghubungkan Sarikei, Bintangor dan Pakan-Julau ke Tg Manis. Secara kasar saya menduga sekitar RM1.50-1.70 billion akan melengkapi jalan perhubungan persisir di Sarawak. Jika semua ini dapat dirangka secara teliti dan berhemah, dalam tempoh RM11 (2016-2020) seluruh keperluan Jambatan di sungai-sungai utama Sarawak akan dapat diselesaikan. Kedua-dua Kerajaan Sarawak dan Persekutuan harus punya tekad yang kuat untuk menyelesaikan masalah jalan perhubungan ini. Segala bentuk rasionalisasi subsidi di Sarawak harus ditumpu untuk keperluan ini. Saya percaya, secara politik, jika usaha ini diberi perhatian segera dan rakyat maklum akan perinciannya, saya tidak nampak Adenan Satem dan Mohd Najib Abdul Razak akan menghadapi apa-apa kesukaran untuk mendamai dan menjinakkan Sarawak. Sesungguhnya cara Allah, Dia menjanjikan harapan, namun Dia telah meyakinkan akan kebenaran harapan itu lewat Israq Miraj Muhammad SAW. Adenan Satem dan Mohd Najib Abdul Razak harus bijak membaca dan mentafsir janji Syurga Allah buat seluruh Umat yang patuh, juga Neraka bagi yang ingkar dan menyeleweng. Biarlah kita memberikan harapan nyata buat rakyat kita.

(20) Sesungguhnya melengkapi pembangunan prasarana jalan dan jambatan di persisir Sarawak, akan dapat mengurangkan tekanan ke atas Pan Borneo Highway. Dalam masa yang sama, kawasan yang dibendung oleh Jalan Persisir dan Pan Borneo adalah kawasan kependudukan utama. Dari dua jalan ini, spine dan atau feeder roads akan lebih mudah dibangunkan dari hala North-South kedua-dua jalan utama ini. Strategi ini, bukan sekadar menguntungkan masyarakat Melayu Persisir, malah hampir 70 peratus dari penduduk Sarawak akan terampit oleh pembangunan ini. Sesungguhnya jika Adenan Satem dapat membangunkan Jalur Lebuhraya Persisir-Pan Borneo beliau pada hakikatnya telah berjaya physically integrate kaum Melayu, China dan sebahagian besar Iban untuk dapat lebih berasimilasi membentuk masyarakat Sarawak yang utuh. Saya yakin, strategi ini In Shaa Allah akan meletakkan Adenan Satem  sebagai Bapa Perpaduan Sarawak. Beliau melengkapi kerja-kerja asas yang telah Abdul Taib Mahmud lakukan. Sesungguhnya kebaangkitanh Jerman saat Eropah dalam kekalutan, juga Vietnam adalah lantaran terhapusnya tembok pemisah di antara Timur-Barat dan Utara-Selatan kedua-dua Negera tersebut. Sedang Korea Utara sedang menuju kemelaratan dan Korea Selatan menuju keresahan keselamatan adalah lantaran wujudnya batas pemisah antara keduanya. Saya kira, Adenan Satem harus berani membaca ini dengan jelas.

(21) Muhammad SAW telah berpesan: "Hampir-hampir kepapaan membawa kemurtadan". Sikap Umar Al Khatab dalam memastikan perkara ini tidak terjadi di zamannya, mungkin agak keras, namun beliau punya asas yang sangat kukuh, sehingga di zaman kekhalifahan Abu Bakar Ass-Siddique pun beliau agak keras dalam mempertahankan hak rakyat biar berbanding hak Negara dalam soal agihan Tanah. Wajar bagi Adenan Satem kembali kepada roh keperihatinan Islam sebegini dalam soal memakmurkan Ummah. Dalam penelitian saya berkhidmat 14 tahun di Unit Perancang Negeri (UPN) dan sembilan tahun di PELITA, saya dapati dari seluas 12.381 juta hektar mukabumi daratan Sarawak, seluas hampir 1.70 juta hektar adalah tanah gambut. 140,000 hektar lagi adalah Tanah Paya Bakau. Mengikut gambar udara pihak JTS sehingga 1960, seluas 1.685 juta hektar adalah merupakan kawasan yang in one way or another telah digunakan untuk pertanian khususnya pertanian pindah. Dalam istilah Kanun Tanah Negeri, inilah sebetulnya Tanah Adat Bumiputera (NCR) yang kebanyakan dituntut oleh masyarakat Iban. Sehingga 2005, berasaskan Pemetaan Satelit, seluas 1.8 juta hektar telah dibangunkan dengan pelbagai jenis tanaman. Bidang pertanian paling pesat dibangunkan adalah kelapa sawit dari hanya 14,000 hektar (1975) kini telah mencecah 1.16 juta hektar (2012). Sesungguhnya, kawasan diwarnakan gadong di peta di atas adalah kawasan di mana Umat Melayu Sarawak berempuruk berasak. Namun kebanyakan dari kawasan ini telah diberi dan diusahakan dengan kelapa sawit oleh pihak swasta. Saya menduga sekitar 70 peratus dari kawasan ini telah dilulus dan atau dimajukan dengan perladangan sawit. Baki sekitar 30 perastus atau sekitar 500,000 hektar lagi tinggal. Dari sejumlah 500,00 hektar tersisa, sekitar 10-15 perastus darinya tergolong sebagai tidak boleh dibangunkan. Secara kasar, masyarakat Melayu pada hakikatnya hanya dapat berebut tanah di kawasan seluas 325,000-400,000 hektar. Sebetulnya, jika diteliti secara mendalam, masyarakat Melayu dan Melanau tahap patuh mereka pada Kanun Tanah Negeri dan ajaran Islam betapa adalah tidak barakah untuk mengambil dana atau mengaku yang bukan hak adalah sangat tinggi, maka penguasaan wilayah tanah mereka hanya terbatas di kawasan-kawasan Skim Saliran dan Pengairan, Jabatan Pengairan dan Saliran. Keadaan sekitaran penempatan Melayu-Melanau Sarawak adalah serupa dengan Negara Belanda, wilayah sering kebanjiran, maka sebab itu jika di Belanda mereka punya Armsterdam dan Rotterdam, di Sarawak juga ada Pendam dan Maludam. Cuma silapnya Adenan Satem merubah Pendam jadi Sadong Jaya, mungkin Jayadam tidak mengapa. Mungkin Rohani Karim, mahu menjejaki Nancy Sukri merubah Maludam menjadi Sinar Jaya jika tidak Sinardam sepertinya Tg. Beluku jadi Cape of Good Hope tanpa sedar Tg. Harapan sudah ada di seberang Simunjan. Inilah bukti khilafnya bila pemimpin adalah bukan anak tempatan, geo-sejarah tempatan tidak dimengerti dan diubah sewenang-wenangnya. Khususnya di Samarahan-Asajaya, Simunjan-Sebuyau, Maludam-Beladin, sekitar Pusa-Debak di Saribas; Kabong-Nyabor, Entebu Kupang-Kali Kaba di Kalaka, Tg Bijat, Sri Aman, Matu-Daro, Pulau Bruit, Kuala Tatau, Bintulu, dan Merapok, Lawas tanpa adanya skim tebatan banjir, rakyat di sana pasti tidak ubah kehidupan Melayu Champa di Tonle Sap. Seingat saya, terdapat tiga Skim Saliran dan Pengairan utama di Negeri ini iaitu di Asajaya, Kabong-Nyabor dan Matu-Daro. Ketiga-tiga projek ini sebetulnya telah dibangunkan sebagai hadiah pembentukan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman kepada rakyat Sarawak khususnya kaum Melayu-Melanau. Sekitar 100,000 hektar tanah telah disediakan prasarana tebatan bajir, pengairan dan saliran di seluruh Sarawak. Sekitar 90 peratus darinya adalah terletak di kawasan Persisir. Berasaskan fakta-fakta ini at best saya menjangka masyarakat Melayu-Melanau Sarawak hanya menguasai 200,000-250,000 wilayah tanah untuk pertanian di Negeri ini. Bayangkan, hanya sekitar 0.002 perataus dari mukabumi ini di kuasai oleh Melayu at best.

(22) Suatu glaring issue yang banyak tidak ambil berat, adalah dari sejumlah sekitar 200,000-250,00 hektar tanah di bawah penguasaan Melayu-Melanau, inilah sebetulnya kawasan yang kian menjadi intaian banyak pihak. SCORE dari Similajau, Bintulu ke Tg Manis, sangat mendedahkan tanah-tanah milik Melayu-Melanau di jajaran Balingian-Matu-Daro-Rajang kepada spekulasi hebat lantas proses jual beli tanah juga kian rancak. Di Asajaya dan Simunjan-Sebuyau, dengan kepesatan pembangunan di Kota Samarahan, juga dengan pembinaan Jambatan Samarahan dan Sadong, jual beli tanah kaum pribumi di sini juga sudah sangat rancak. Cuba lihat dengan bilangan penduduk Melayu-Melanau luar bandar sekitar 400,000 orang, dengan keluasan penguasaan tanah hanya sekitar 200,000-250,000 hektar yang kian pesat terlepas ke tangan pihak lain, maka berapakah per kapita milikan tanah bagi masyarakat Melayu-Melanau? Purata adalah sekitar 0.6 hektar dan atau 1.50 ekar seorang atau 3.0 hektar/keluarga bersamaan 7.50 ekar/keluarga. Saya pasti ini sudah tidak sebegitu, melainkan hanya tiori. Jika dibanci betul-betul, saya yakin sekitar 20-30 perastus khususnya generasi baru tidakpun memiliki tanah biar hanya sekakang kera. Tanyalah masyarakat di Tanjung Parang, Semera, Jemukan, Beladin, Pusa, Kabong, Jepak, bahkan di Kpg Nanas, Simunjan, pasti yang lahir dari dada mereka adalah keluh tidak bertanah. Masyarakat luar bandar yang tidak bertanah, samalah tarafnya dengan masyarakat bandar gelandangan.

(23) Di sepanjang saya berkhidmat di PELITA, saya cuba mengutarakan masalah ini secara berselindung juga jelas. Saya simpati dengan penduduk-penduduk Melayu (dan Melanau) di pinggiran Montoya Perladangan yang memohon tanah-tanah pinggiran namun tidak mendapat layanan memihak kepada mereka. Di Matu-Daro, Dalat, Mukah, Kalaka, Saribas, Sebuyau-Sebangan, Asajaya, Samarahan, Bruit, Bekenu-Niah, Marudi saya maklum pulohan ribu hektar tanah dipohon ole rakyat sejak sekian lama, namun biar ada yang sudah bersukat, tetap Geran Tanah belum dikeluarkan. Pelbagai alasan diberikan. Dua perkara yang amat Abdul Taib Mahmud takutkan adalah jual dan terbiar. Saya mengkaji perkara ini, dan mengasak para pegawai saya untuk bekerja keras dan cepat. Bahkan akhirnya telah saya wariskan mekanismanya. Alhamdullilah, ada yang Abdul Taib Mahmud terima. Namun, kini saya berkira usaha-uasaha ke arah ini kian malap. Sesungguhnya, kadar milikan tanah orang Melayu dan Melanau harus segera diperbaiki. Kita tidak perlu berebut dengan sesiapa, kita sekadar mengesahkan apa yang hak kita dan membangunkannya secara baik.

(24) Perkara ke empat sektor sosio-ekonomi yang Adenan Satem dan institusi Melayu dan Islam harus segera fikirkan adalah dalam soal bagaimana memakmurkan Ummah. Ini bukan jalan mudah. Namun bukannya sesuatu yang tidak munasabah. Jika kita melihat, Mekah asalnya tiada apa-apa? Allah sekadar kurniakan Zam-Zam untuk menjadikan Mekah sebagai kota dagang dan ibadah. Begitu juga Madinah. Apa ada di Madinah sebelum kedatangan Muhammad SAW? Sekadar hamburan oasis. Kemiskinan dan kepayahan adalah berlambak-lambak di Madinah. Namun bagaimana akhirnya Muhammad SAW dapat menjadikan Madinah sebagai pusat untuk akhirnya menumbangkan kuasa besar Farsi dan Latin Timur? Namun Allah, memberi pertunjuk jelas biar di tengah lautan kekeringan, Dia dirikan sepohon kurma untuk manusia fikirkan apa maksudnya. Cuma sayang orang-orang Arab lantaran bebal buta mereka kalah oleh Yahudi walaupun Al Quran jauh lebih luas pengajaran ilmunya berbanding Taurah. Sarawak, apa bedanya dengan Mekah dan Madinah zaman dulu? Sama-sama terasing. Sama-sama mundur. Cuma, rahmat Allah di Mekah dan Madinah tetap ada. Begitu juga di Sarawak, tetap ada biar berbeda. Hanya kebijaksanaan dapat kita menafaat segala demi kemakmuran Ummah.

(25) Abdul Taib Mahmud, di zamanya mengeksploitasi kekayaan yang Allah berikan pada cara cocok di zaman beliau. Cara itu mungkin hanya sesuai untuk zaman itu, namun mungkin sudah tidak sesuai pada zaman ini. Kita harus sedar, kerana saya melihat beliau terus mahu mengamalkan cara beliau, maka beliau mendapat tentangan terang-terangan juga secara seyap-senyap oleh pelbagai pihak akhirnya. Biar ada di antara tentangan-tentangan itu kurang benar, namun ada juga betulnya. Kita harus sedar, biar hampir 70 peratus masyarakat Melayu tinggal di bandar dan pinggir bandar, namun ciri-ciri kampungan mereka tetap ada. Salah satu seperti yang telah saya nyatakan adalah keterbelakangan mereka dalam pencapaian tahap pendidikan dan kemahiran. Memang kita rasa megah, anak-anak Melayu sudah berlambak di pusat-pusat pengajian tinggi, namun silapnya pengajian mereka masih rendah, tidak bermutu. Lantaran itu, asakan permodenan mendadak pasti menyebabkan mereka tersingkir dan meminggir. Kita seharusnya tidak terlalu bergantung kepada SCORE, kerana SCORE akan lebih banyak menjadikan orang Melayu sebagai sekadar makan gaji dan akhirnya terus terperangkap dalam kehidupan perbandaran yang tidak bermasyarakat. Juga saya melihat SCORE tidak memberi kesan jelas terhadap pegangan ekuiti Melayu di masa mendatang. Yang untung besar adalah syarikat-syarikat asing, sama keadaannya bilamana perladangan sawit dibangunkan sepenuhnya oleh syaraikat-syarikat tempatan. Masyarakat Melayu keliling hanya boleh dengar dan lihat kemajuannya, berkongsi nikmat amat sedikit sekali. Ekonomi masyarakat luar bandar harus tidak diabaikan. Anak-anak Melayu berpelajaran tinggi serta berkemahiran mungkin dapat menimba rahmat seluasnya lewat SCORE. Namun bagaimana dengan mereka yang telah, sedang dan akan tercicir dari arus pendidikan tinggi dan kemahiran? Saya melihat Abdul Taib Mahmud telah over emphaized akan SCORE, saya khuatir masyarakat Melayu dan Melanau akan luput di tengah jalan di gilis trailer SCORE. Makanya, pembangunan industri adalah suatu hal, pembangunan sektor lain yang setaraf dengan kemampuan orang Melayu dan Melanau harus tidak dikesampingkan. Apa lagi, tidak semua orang Melayu akan hirah ke SCORE.

(26) Suka atau tidak, kita mesti belajar dari sejarah. Masyarakat Yahudi BaitulMuqadis asalnya tidak begitu gemar bertani. Mereka lebih gemar berdagang. Kerana menumpu kepada perdagangan, maka kawasan penguasaan mereka sangat kecil. Mereka hanya mulai bertani saat BaitulMuqadis ditawan oleh Kerajaan Babylon kemudian Farsi. Sama halnya mereka bila menduduki Madinah, awalnya. Namun kita juga harus ingat, masyarakat Arab Madinah, awalnya hanya suka berburu dan bertani secara kecil-kecilan, sehingga perdaganagan mereka biarkan dilakukan oleh masyarakat Yahudi. Akhirnya mereka di eksploitasi hebat oleh Yahudi. Muhammad SAW dan kemudiannya Umar Al Khatab, mengasak agar masyarakat Arab Madinah dan Mujahirin Quraish berdagang dan bertani. Umar Al-Khataab sangat tidak senang hati bila ada orang Islam memiliki tanah tetapi tidak mengusahakannya untuk kepentingan Ummah. Dia juga tidak senang hati jika Bazaar di Madinah tidak diurus oleh Umat Islam. Perimbangan antara keduannya, maka Islam mulai berdiri kuat di Madinah. Keadaan yang sama juga Muhammad SAW telah usahakan bila mana Mekah telah dapat ditawan oleh Islam. Di Malaysia, kepesatan industri elektronik di Pulau Pinang adalah contoh paling baik. Apakah kepesatan industri elektronik telah menjamin kemakmuran Melayu? Tidakkah Melayu hanya terus tinggal jadi kuli? Secara perbandingan, adakah Melayu Balik Pulau dan Seberang Prai kini secara mutlaknya jauh lebih hebat dari dulunya? Juga cuba lihat apa belaku di Kedah, Perlis, Kelantan, Trengganu, dan Pahang saat ekonomi orang Melayu hanya diasak kepada pertanian. Sama halnya bila Tg. Karang, Selangor dan Teluk Intan di Perak terus-terus menjadi lautan sawah dan sawit.  Apakah Melayu di kawasan-kawasan ini sudah mampu bebas dari segala kepayahan dan kemiskinan? Sesungguhnya, membiarkan Melayu bertani sepertinya mereka sekarang ini, akan menjadikan keadaan indah di mata, resah sakit di hati. Maka saya melihat, bagi memakmurkan Umat Melayu dan Melanau, dua bidang utama harus kita segera perhatikan. Pertama di sektor luar bandar. Tanah-Tanah Melayu yang saya anggar 200-250,00 hektar harus segera digembelingkan untuk dibangun bukan lagi secara individu bergantung kepada subsidi namun harus mengambil pendekatan koprat. Sayangnya, anak-anak Melayu yang bergaji lumayan di GLC lebih enak duduk merenung dinding kantor dan atau ngopi ngoceh dari berkejaran melihat dan mengusai permasalahan rakyat. Begitu juga Adenan Satem harus mengambil langkah segera meneliti semua permohonan orang Melayu ke atas Tanah-Tanah Pinggiran di kawasan mereka dan menyatukan kepemilikan tanah-tanah ini secara Amanah oleh badan-badan tertentu contohnya Baitul Mal dan atau Lembaga Masjid lalu kemudian dibangunkan secara usahasama koprat. Saya melihat Baitul Mal dan atau Lembaga Masjid sebagai jalan terbaik, lantaran kedua-dua institusi ini punya kaitan dengan usaha-usha langsung dalam meningkatkan Ekonomi dan Syiar Islam. Pembangunan Tanah-Tanah Melayu lewat institusi-institusi ini, memberikan manafaat langsung kepada masyarakat tersebut. Pertama, ianya mendatangkan pendapatan kepada pemilik tanah. Kedua, ianya akan menjadi sumber kewangan yang jauh lebih mantap bagi Baitul Mal dan atau Lembaga Masjid. Ladang Rakyat Sdn Bhd seperti yang telah diasaskan di PELITA harus menjadi Model Rujukan ke arah ini. Pengembangan Model tersebut sehingga menjadi Syarikat Senarai Awam harus dilihat secara jangka panjang dan cara terbaik untuk terus melestarikan pengembangan sumber pendapatan masyarakat Melayu luar bandar. Cara masyarakat Jerman, Jepun, Korea dan Taiwan menyusun masyarakat luar bandar harus memberikan kita ilham tentang cara mana masyarakat Melayu boleh dibangunkan. Namun, suatu yang harus diingat, Model Ladang Rakyat ini harus tidak dibatas hanya kepada penanaman sawit. Kegiatan-kegiatan yang lebih meluas harus diterokai bagi mengembang asas ekonomi masa depan Melayu. Keupayaan Baitul Mal dan atau Lembaga Masjid untuk boleh mengurus segala ini adalah tergantung kepada kebijaksaan dan pandangan jauh CEO kedua-duanya untuk segera membangun sumber pengurusan di sektor tersebut. Saya juga melihat betapa Tanah-Tanah Melayu di luar bandar punya potensi untuk penerokaan bidang-bidang hartanah dan industri. Cuma, mereka tidak berkeupayaan lantaran itu mereka mudah mengambil jalan mudah; jual. Maka, Melayu yang sudah berpengalaman, berpendidikan, mereka harus kembali berkubang berkeringat membela memandu bangsa mereka. Sayanglah jika cerdik pandai Melayu, tidak pandai dan cerdik cuba memahami maksud pesan Allah pada Surah Ali Imran, Ayat 26, apa lagi Ayat 14 Surah yang sama dan di Masjid sering kita mendengar para Imam membaca Surah Al-Massad, sedang kita tidak mengerti kaitan semua itu dengan kita sekarang ini. Inilah bilamana para cerdik pandai Islam, hanya pandai melihat ayat-ayat tersebut dari sudut tersurat dan tidak cerdik celik melihatnya dari di sebalik tersirat.

(27) Saya mengira, pemberian Tanah Pinggiran kepada syarikat-syarikat besar harus dihenti dan atau diperlahankan. Enough is enough. Cukuplah dan paling sedih, saya melihat, banyak dari Tanah-Tanah Kerajaan telah diberikan kepada kelompok pribumi hanya untuk kemudiannya dijual dan atau sebagai spekulasi semata-mata. Inilah apa yang saya ibaratkan sebagai memberi cincin kepada si kudung atau memberi bunga kepada kera. Pribumi seperti ini, apa lagi jika mereka adalah kerabat, harus jangan diberikan ruang lagi. Adenan Satem, saya kira harus berani untuk segera melihat keadaan kelestarian Melayu-Melanau di Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan-Sebuyau, Batang Lupar, Hilir Saribas, Hilir Kalaka, Sarikei, Matu-Daro, Bruit, Mukah, Bintulu, Sibuti-Niah, dan Marudi. Melayu di Kapit, Belaga, dan Bau saya kira hanya menunggu susur kapan saja  terhakis. Kini, Adenan Satem sedang menikmati sokongan politik yang sangat padu dari orang Melayu-Melanau, jangan lantaran keresahan masa depan ekonomi mereka maka mereka bertukar jadi penderhaka. Kebangkitan jenerasi baru serta berlambaknya genersai pencen harus Adenan Satem perhatikan halus.

(28) Di Sektor Bandar, kita harus punya arahtuju agar masyarakat Melayu di sini mulai mengikut Sunnah Muhammad SAW. Kita tidak boleh terus-terus jadi kuli. Biar apapun kedudukan kita, dari Ketua Jabatan/CEO ke budak pelayan, selagi kita menerima gaji, makan gaji kulilah namanya. Masyarakat Melayu harus mulai berdagang dan berkeusahawanan. Keadaan harus segera diwujudkan agar masyarakat Melayu mulai berminat menceburi bidang-bidang ini. Cara yang kita buat sekarang lebih cenderung kepada momokan politik. Kita dokong kuantiti dari kualiti, yang akhirnya semua menemukan jalan mati. Kita tidak berusaha keras menemukan cara sebenar yang boleh membangkitkan sikap perniagaan dan usahawan Melayu. Contoh paling jelas, saat GLC diberikan tanah-tanah strategik, apakah mereka akan mempertahankan harta agar suatu masa saat Melayu dan pribumi kebanyakan mahu dan atau mampu berdagang, mereka punya tempat yang strategik. Sama halnya dengan syarikat-syarikat "Melayu". Apa yang saya lihat, bila tanah-tanah ini dimajukan, pasti minat utama adalah cash gain dari premises and localities gain. Paling dasyat, bila tanah-tanah ini dimajukan bersama Melayu dan atau bumiputera lainnya mereka hanyalah sekadar kuda tunggangan Pak Kaduk seranto-ranto. Di Kota Samarahan biar yang dominan adalah Melayu, di Serian, di Sri Aman, di Betong, di Saratok, di Sarikei, di Sibu, di Mukah, di Dalat, di Daro, di Matu, di Miri, di Bintulu, di Limbang bahkan di Lawas, saya tidak nampak ada prominent premises atau localities built or reserves untuk orang-orang Melayu. Semua pembangunan adalah lepas tangan kepada Kapitalisma. Abdul Taib Mahmud percaya belum sampai masanya orang-orang Melayu dan Melanau untuk terlibat bersungguh-sungguh dalam perdagangan dan kepercayaan itu menjerap mengakar kepada seluruh sistem Kerajaan. Tiga puloh dua tahun dia memimpin Sarawak pada kepercayaan sebegitu, apa mungkin kita harus terus begitu? Soalnya, sampai kapan mereka akan bersedia? Sebetulnya, tidak ada concerted integrated approach dalam usaha kita membangun masyarakat perdagangan di kalangan Umat Melayu. Semua bertindak sendiri-sendiri. Sayang, tampaknya saat rombongan pelaburan juga Lawatan Sambil Belajar ke Luar Negara semua kelihatan berempuruk namun bila kembali ke Tanah Air, kepentingan untuk Ummah semua bersepai tanpa hujungnya. Yang dihambat hebat adalah segala peluang untuk kepentingan sendiri. Sesungguhnya Allah lewat Surat Al Kauthar telah menjanjikan Syurga yang terlalu indah buat sesiapa yang sanggup berkorban ke jalanNya. Jalan yang Allah tuntut dari semua yang dinamakan pemimpin adalah memakmurkan lalu memperteguhkan akidah Ummah. Saya melihat kita tidak kental dalam soal ini, lantaran kita tidak kenal bahkan tidak yakin kepada Sunnah Muhammad SAW, biar zikir dan shalawat kita kepadanya bergelegak gempita di mana-mana. Berapa ramai yang hafal Surah Al-Massad atau sering mendengar bacaan Surah tersebut. Namun pasti banyak jika tidak semua akan berkata, Surah itu adalah prihal Abu Lahap, isteri, anak-anak, dan hartanya, nothing to do with me. Inilah sekali lagi saat Islam hanya adalah kulit, maka rahmat Allah berikan kepada kita juga adalah kulit.

(29) Mungkin kekhilafan besar yang selama ini telah berlaku ialah bila mana Unit Perancang Negeri (UPN) tidak memainkan peranan sebagaimana asas asal penubuhannnya iaitu Social and Economic Development Planning. Tumpuan agensi ini lebih kepada Economic Development Planning dan kian pudar dalam Social Development Planning lantaran tafsiran mereka kepada Social Development Planning tidak lain adalah penyediaan prasasarana sosial tanpa melihat keras kepada seluruh unsur-unsur pembangunan masyarakatnya. Kini saya kira UPN adalah Pejabat Alternatif SCORE. Ini saya kira harus Adenan Satem berani rombak. Jika perlu, Model Singapore Planning Board mungkin boleh diteliti.  UPN seharusnya menjadi badan penasihat berwibawa Negeri dalam segala bidang sosio-ekonomi dan melakukannya secara saksama.

(30) Sesungguhnya Al Quran sangat melaknat Yahudi. Namu laknat Allah kepada Yahudi adalah atas sikap mereka yang menyembunyi yang benar. Begitu juga sikap Allah terhadap Nasrani lantaran sikap mereka menyeleweng yang lurus namun Allah tidak menidak mereka atas dayausaha mereka yang kental dan bijak. Orang Melayu, membaca prihal ini dari kacamata tersurat dan tidak dari kacamata tersirat. Mereka tidak membaca dan melihat betapa selama ini sikap mereka adalah serupa Yahudi dan Nasrani dalam pelbagai perkara. Lantaran itu segala macam "laknat" Allah turut limpahi kepada Umat Melayu. Sesungguhnya, hidup ini akan sangat barakah, serta akhirat kita akan sangat indah, jika sikap duniawi Yahudi dan Nasrani dapat kita rujuk namun kita harus patuh pada tuntutan Allah agar kita bertanggungjawab beramanah penuh kepadaNya.

(31) Hakikatnya, orang Melayu Sarawak jika mereka di kemudian hari adalah pribumi yang mundur, letak kemunduran itu tidak pada bangsa dan atau kaum lain. Jika Iban banyak tanah, itu hak mereka itu atas dayausaha mereka. Allah menghormati dayausaha mereka. Jika orang Cina terus merengut tanah-tanah Melayu dan membina kekayaan berlimpah darinya, itu bukan salah mereka. Mereka bijak, mereka bekerja keras, Allah turuti kehendak mereka. Pokoknya, jika Melayu memilih status quo apakah adil untuk terus menadah tangan memohon pertolongan Allah sedang Melayu hanya mengerti menadah tangan dan berzikir berselawat berpeluh naik sheik tanpa usaha dan jiwa yang keras mahu bangkit maju. Memang ada Melayu sudah berjaya. Dari YB biasa jadi Menteri Muda. Dari Menteri jadi Ketua Menteri. Bahkan kebanyakan Ketua Jabatan dan CEO GLC adalah Melayu-Melanau. Juga berapa ramai sudah anak-anak Melayu berpendidikan tinggi, maka bersyukurkah kita sekadar itu, jika Melayu kebanyakan masih terkoteng-koteng?. Para ustaz, para ulama, semaklah kelemahan cara dan isi pendidikan Islam yang telah kita lakukan sejak berkurun-kurun yang tidak menjadikan kita sepertinya yang Allah telah janjikan.

(32) Saya doakan agar Adenan Satem akan mendapat Taufik dan Hidayah Allah untuk merubah. Cuma orang-orang Melayu yang bijak pandai harus memberikan Adenan Satem sepenuh dokongan untuk bekerja dengan  baik berkesan beramanah. Mungkin suatu perkara yang Adenan Satem harus ingat tentang tabii orang Melayu, yang cerdik pandai biasanya sangat sedikit mahu melangkah ke depan, banyak perlu diundang lantaran orang-orang Melayu hidung mereka pesek-pesek belaka maka mereka tidak mahu pula menyorong-nyorong pipi. Namun tetap ramai yang ingin menjadi semut mengerumuni gula. Namun jika Adenan Satem kenal siapa batu manikam dan jika mereka diajak dengan baik, pasti mereka akan sanggup gagah dipimpin menuju kejayaan. In Shaa Allah.

Kuching, Sarawak
1-12 Julai, 2014

5 comments :

Anonymous said...

Just managed to glance through coz too long for quick reading. Quite a comprehensive & realistic "overview" of Sarawak Malay's "challenges" in facing the socio-economic realities vis-a-vis other "races" in present day Sarawak.

Anonymous said...

Terbaik.. jgn berhenti mengulas dan mengkaji demi kebaikan org peribumi sarawak yg nyata belum blh d katakan berada di tahap membanggakan.. jangan pula biarkan anasir2 politik mempengaruhi kajian anda, biarlah kajian tersebut jujur demi kebaikan semua.. Amin

Radit Mananta said...

nice pos....

salam kenal,,, mek dari sambas,,,,,

Fiza Chong said...

PERLU tanah rizab melayu- melanau di sarawak

ZulYR said...

Apa terjadi dengan tanah ncr melayu bah

Back To Top