.

9/2/14 BELIA DAN SUKAN......hasilnya terbiar dan puyo!

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 14, 2014

Share

& Comment

Kalau kita lihat, bermula dari Tunku Abdul Rahman (1964-66), selaku Menteri Belia dan Sukan, sehinggalah kepada Shabery Cheek  (2009-2013), semua sepertinya menjawat jawatan tersebut tidak lama iaitu antara 1-4 tahun. Anwar Ibrahim (1983-84) dan Ismail Sabri (2008-2009) adalah di antara yang paling singkat menjawat jawatan tersebut iaitu selama setahun. Ali Hj Ahmad (1973-78) dan Hishammuddin Husein (1999-2004) adalah di antara yang paling lama iaitu selama lima tahun. Soalannya, dengan perubahan kepimpinan yang terlalu singkat, apa keputusan jangka panjang yang boleh dicapai? Pasti ada yang berkata, itu tidak penting, selagi kita ada Dasar Belia dan Sukan Negara yang mantap. Maka timbul pula persoalan, adakah kita memiliki Dasar Pembangunan Belia dan Sukan yang mantap?

(2) Di antara Menteri Belia dan Sukan yang paling saya ingati, juga hormati adalah Abdul Samad Idris (1978-80) dan Mokthar Hashim (1980-83). Kedua-duanya menyandang bukan sekadar Menteri Belia dan Sukan, tetapi turut merangkumi Kebudayaan menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kedua-duanya punya latar belakang pernah menyandang Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar. Samad Idris juga punyai pengetahuan yang luas mengenai Sarawak dan Sabah, khususnya sebelum pembentukan Malaysia. Latar belakang ini penting dalam memahami permasalahan anak-anak Melayu khususnya di seluruh Negara. Juga Mokthar Hashim adalah anak didik kepada Hamzah Abu Samah, seorang yang berpengalaman luas dalam kabinet Abdul Razak Hussein. Keduannya berkhidmat pada masa pre dan era Mahathir. Inilah era yang saya lihat sebagai asas kepada lonjakan pembangunan Melayu. Dalam era ini, belia dipandang keras sebagai teras pembangunan Negara, dan bagi Umat Melayu, merekalah yang diharapkan yang akan membawa perubahan cepat kepada latar sosio-ekonomi Melayu yang dhaif. Pada era ini, belia Melayu khususnya diasak untuk berpendidikan dan berkemahiran. Lantas, di bawah Sulaiman Daud (1984-86), yang dianggap politically neutral person, tumpuannya hanyalah melaksanakan tugas, maka banyaklah institusi latihan belia dibangunkan. Mahathir pada zamannya, sangat menekan belia remaja berkemahiran.

(3) Namun sejak akhir-akhir ini, dari segi masses perhatian ke atas mereka kian terpinggir dan segelintir kian dijadikan alatan sorak sorai sukan. Golongan segelintir dalam sukan inilah yang paling diberi perhatian oleh Kementerian berkenaan. Belia diwar-war sepertinya tidak lain, melainkan untuk bersukan sedang hakikatnya lebih untuk meraih nama bagi yang lain. Ini saya perhatikan saat ada kemenangan semua ingin bersama jaguh tersebut, biar terpaksa ke KLIA seawal jam 3.00 pagi bagi menyambut kepulangannya atau rombongan yang menang, namun saat kekalahan berlaku, semua jadi sunyi sepi lari menjauh lalu kemudian berlaku peperangan saling menuding. Juga, ada yang sedang melatih hebat agar para belia kita jadi jaguh sukan jalanan agar mudah mereka digerakkan untuk berlari berdemo di mana perlu. Belia kian banyak jadi tunggangan. Mereka diperguna untuk haloba politik. Maksud saya, belia kini lebih banyak dipolitikkan untuk pelbagai maksud dari dibangunkan untuk menjadi: "This world demands the qualities of youth: not a time of life but a state of mind, a temper of the will, a quality of imagination, a predominance of courage over timidity, of the appetite for adventure over the life of ease. - Robert Kennedy" Di zaman Muhammad SAW, agaknya bagaimana baginda melihat belia remaja. Wajar mungkinnya kita mengkaji lebih dalam lakuan baginda terhadap Ali Abi Thalib saat dia masih anak-anak, juga lakuan baginda terhadap anak-anaknya Fatimah, Zainab, Umi Kalthom, juga Hassan dan Hussein. Kita jangan melihat mereka ini sebagai darah daging Muhammad SAW, sebaliknya melihat mereka dari sudut remaja di bawah asuhan Muhammad SAW, ie Islam.


(4) Apa yang ingin saya perjelaskan di dalam tulisan ini adalah betapa, sepertinya belia, biarpun mereka menjadi sebahagian besar dari kelompok cohort penduduk Negara, perhatian ke atas mereka kian dikesampingkan. Belia, mengikut tafsiran Akta Belia Negara adalah warga berumur 15-40 tahun. Jika cohort ini kita pakai, maka belia merupakan hampir 50 peratus dari penduduk Negara. Mengikut UNESCO “Youth” is best understood as a period of transition from the dependence of childhood to adulthood’s independence and awareness of our interdependence as members of a community. Youth is a more fluid category than a fixed age-group.. Atas keperluan khusus, UNESCO bila berurusan di sesebuah Negara akan mematuhi takrifan belia bagi Negara tersebut. Singapura contohnya mentakrif belia sebagai mereka berumur 15-30 tahun, Brunei dan sebilangan negara-negara di Afrika mengkelompok mereka pada umur 15-35 tahun sebagai belia. Sepertinya batas umur bawah belia adalah 15 tahun iaitu umur akhil balikh. Batas atas pula saya kira bergantung kepada kepentingan tertentu. Di Malaysia, pertimbangan politik mengatasi segala, maka biar sudah beruban kabur masih tetap mahu dikenali sebagai belia. Kita tidak melihat belia sebagai neutral to be develop bodies tetapi belia adalah asset untuk dipolitikkan. Di Singapura, saya kira mereka melihat belia lebih kepada keperluan ketenteraan. Dalam pertimbangan akademik, belia seringnya dikira mereka dalam lingkungan umur 16-24 tahun. Inilah apa yang disebut sebagai muda remaja, kumpulan yang boleh dianggap fragile or green. Fragile kerana mereka mudah disorong tarik, sedang green lantaran mereka sedang subur dan mudah dibentuk.


(5) Dalam menguruskan soal belia, kita sepertinya kian menidakkan akan latar sosio-ekonomi Negara dan Umat Melayu itu sendiri. Atau mungkin kerana julat umur belia kita terlalu besar iaitu dari 15-40, maka tumpuan kita akan lebih kepada kelompok yang lebih "penting" yang saya kira pasti kalangan dalam umuran 25-40 tahun. Inilah kumpulan politically significant sedang kelompok 15-24 tahun, they are too green, boleh tunggu dulu. Umat Melayu khususnya baru saja hendak bangun. Kita masih Negara Membangun. Seperti seorang yang sedang bagun dari tidur, kita ini belumpun tegak berdiri kita masih di tahap terkial-kial mengeliat di birai katil. Apakah isu yang lebih penting buat belia Melayu? Jika sukan tidak terbangun, sedang struktur sosio-ekonomi kita adalah kukuh apakah itu tidak lebih baik? Saya berkeyakinan, tidak ada satu bangsapun di dunia ini, di mana sektor sukannya berjaya sedang rakyatnya masih rendah taraf sosio-ekonomi mereka. Brazil dan Argentina saban tahun menghasilkan jaguh bola sepak dunia, namun rakyat secara amnya bagaimana? Kebangkitan sukan di Jerman, Korea, Jepun, China, dsb adalah selepas mereka mencapai tahap sosio-ekonomi yang mantap. Jika kita mengikuti teliti kemajuan sukan di Amerika contohnya, prosesnya sama sahaja. Mereka mulanya mengiatkan sukan bukan untuk apa, sekadar sebagai riadah untuk melapangkan diri dari segala tekanan dan to bring the communities together. Sukan mereka pula, tidak menjurus kepada sukan yang pihak lain telah capai maju. Mereka bersukan dalam arena kemahiran mereka sendiri, kemudian baru berkembang ke arena di mana mereka kini dapat kuasai penuh. Cuma mereka cukup bijak mengembang dan memasarkan sukan mereka contohnya Golf, Bola Keranjang, Renang, Chess, Memanah, Menembak, Luncur Salji, dsb ke taraf dunia. Mereka bijak mengangkat martabat sukan sebagai akhirnya adalah asset ekonomi. Di Negara ini, kita hambat kehebatan orang lain, kita tinggalkan apa yang telah menjadi waris kehebatan kita. Akhirnya kita tercorot dalam segala sesuatu. Dari bersukan untuk membangkitkan semangat kental remaja, kini sudah menjadi arena membunuh semangat dan berebut nama bagi segelintir.

(5) Street Bull Run di Spanyol, bukanlah sukan bagi semua bangsa di dunia. Begitu juga, Hawke Hunting di kalangan Badui. Wild Horse Racing adalah unique bagi masyarakat Mongolia. Inilah contoh-contoh sukan traditional bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka bangga denganya, dan mereka jadikannya tarikan antarabangsa. Di Malaysia tidak ada kurangnya. Contohnya, Sarawak terkenal dengan Lumba Perahu. Lumba Perahu punya sejarah dan maksud yang sangat besar. Di Sabah, ada Lumba Kerbau dan Kuda Bajau. Ini juga adalah acara yang punya nilai sejarah dan tradisi yang mendalam. Di Kelantan, terkenal dengan Wau. Wau melahirkan ilham kepada Sistem Penerbangan Malaysia (MAS). Seni reka dan ukir wau punya daya innovatif dan kreativiti yang tersendiri serta inspiring. Gasing, tidak asing di Kelantan dan Trengganu. Sepak Raga, adalah warisan di Melaka. Segala bentuk Seni Mempertahankan diri juga adalah bentuk-bentuk sukan warisan Melayu yang kian pupus. Sebanya? Kita sebetulnya tidak pernah mahu mengangkat apa juga yang kita ada ke tahap yang lebih tinggi. Kita seringnya terikat dengan tradisi. Budaya kita tidak berkembang. Lantas kita kahirnya memandang rendah kepada semua ini, lalu kita membanggakan contohnya bola sepak yang dalam banyak keadaan sekadar jagoan kampung. Sukan badminton kita tengelam timbul. Sebut sahaja apanya, dalam arena antarabangsa, kita menghabis banyak wang, sekadar untuk menabur harapan. Hasilnya?

(6) Kita harus membuat rationalization untuk melihat sukan sebagai alat berkesan mencapai Agenda Besar Negara jika ada. Saya berkira kita harus membangunkan sektor sukan kita sesuai dengan baju di badan sendiri serta darinya kita dapat mencapai agenda nasional yang lebih luas. Contohnya, jika Lumba Perahu kita kembangkan luas, kita bukan sekadar menjadi bangsa bersatu padu tetapi kita juga boleh menarik seluruh orang Melayu di Nusantara untuk berlumba bersatu menjadikan ianya Marine Fiesta of The Malays, suatu Pesta Wisata tersendiri, lalu kita kemudian berkembang kembali menjadi bangsa maritim. Pasti, jika sukan Lumba Perahu saban tahun diadakan di Alor Setar, Sg Kedah (Sungai Langgar (?)) terutama di sekitar Alor Setar-Anak Bukit pasti akan bertukar jadi bersih, terpelihara. Saya yakin, Menteri Sukan juga Exco-Exco Sukan, tidak pernah mahu duduk semeja berfikir dalam meluas mengenai ini, lantaran kerana, those give nothing glamour sehingga akhirnya remaja kita kian tidak bangga jadi rakyat Malaysia Berdaulat. Paling sedih, Nusantara Melayu adalah Nusantara Kelautan, lantaran kita menidakkan waris budaya kekuatan sendiri, kita kian sudah tidak kenal antara satu sama lain. Kita buta kepada Kenapa Allah menjadikan Melayu itu bangsa kelautan serta tersebar di Kelautan Luas Nusantara? Lumba Perahu saya perhatikan adalah acara sukan anak pribumi ASEAN yang ada di mana-mana di rantau ini, namum tidak subur. Fiesta Regatta Praw (Perahu) di Selatan Filipina sangat menarik. Begitu juga di Mekong (Kambodia dan Vietnam). Sama halnya di Menam Chao Phraya. Di kepulauan Maluku, Indonesia, lumba perahu juga hebat.

(7) Saya yakin, kita bersukan bukan untuk Negara. Kita juga membangunkan sukan bukan untuk rakyat. Kita membangun sukan kerana habuan pembangunan itu lumayan untuk segelintir. Sektor sukan kita, adalah sangat bersifat consumption. Kita giatkan sukan yang menjurus kepada rakyat kita untuk berbelanja lebih, menjurus kepada capital out flow yang akhirnya sekadar bersorak sorai, kalah sabung, kampungpun tergadai. Kita tidak bersukan untuk membina. Sukan kita tidak menyumbang kepada pertumbuhan kepada pendapatan rakyat. Saya mengambil contoh bola sepak. Kita giat mengalakkan bola sepak. Kita import permain asing. Kita bina pelbagai kemudahan. Kita berbelanja besar untuk iklan dan pemasaran. Bahkan ada sanggup taja pasukan asing. Apa kita dapat akhirnya, rakyat dapat apa? Seronok. Belanja lebih sebab ikut-ikutan. TV kena ada Astro Sukan. TV pula kena besar-besar. Handphone kena jenis smart untuk segala keperluan social media. Belanja Hppun bertambah-tambah. Bergerombolan dengan bergaya. Pakaian. Segala sport accessories and gadgets. Tajuk percakapan tidak lain bola, hanya bola. Masa banyak di warung-warung kopi dan atau restoran-restoran mamak, biar kemudiannya bila bekerja jadi lesu. Belanja merokok menjadi lebih. Golongan merokokpun kian kembang subur. Belanja pertaruhan juga meningkat-ningkat, biar sekadar sekotak rokok atau segelas teh tarik. Segala macam, negative cost dari cash inflow. Saya mungkin pesimistik, namun apakah itu tidak terjadi? Lain, contoh jika kita giatkan Lumba Perahu. Kita boleh adakan segala jenis lumba perahu. Boleh berupa jong, boleh berupa sampan, boleh berupa balok, boleh berupa perahu layar, boleh berupa kapal nelayan. Macam-macam jika kita mahu. Apa kita dapat? Seni pertukangan dan seni ukir kita akan berkembang. Paling tidak disadari seni kejuruteraan kelautan kita juga akan membangun. Daya kreativiti dan innovatif anak-anak Melayu akan terbangun. Juga kita akan memelihara segala jenis kayu balak yang baik-baik dari nyatuh, selangan batu, kepada merakak, kepada rengas, kapur, belian dan segala. Industri pertukangan perahu berasaskan kayu keras tropika akan berkembang. Maka banyak spin over jika kita ingin melihatnya dari sudut positif cash inflow. Inilah apa yang saya katakan, agenda sukan kita mesti selaras dengan Agenda Membina Bangsa Membina Negara, ukur baju ke badan sendiri.

(8) Saya ingin kembali kepada soal belia. Jika Akta Belia Negara kita pakai, maka Kementerian Belia dan Sukan adalah sebuah Kementerian yang sangat penting dalam Pembinaan Bangsa dan Negara. Kementerian Pendidikan, hanya mengambil kira mereka dari umur 5-24 tahun, dari Pra-Sekolah hingga ke Siswa/i Universiti. Mereka yang di luar dari sistem pendidikan dan kemahiran akan terkeluar dari radar Kementerian Pendidikan. Ini termasukklah mereka yang tercorot dari sekolah akibat dari pelbagai punca. Di perhatikan secara purata, keciciran murid daripada mengikuti sistem persekolahan di bawah Kementerian Pelajaran bagi tempoh 2006-2010 adalah pada kadar 1.32 peratus di peringkat sekolah rendah manakala 9.42 peratus di sekolah menengah. Mengikut UNESCO, bagi tahun 2007-2011, sekitar 98 peratus sahaja dari pelajar sekolah rendah akan dapat menamatkan persekolahan mereka. Di peringkat sekolah menengah pula, peratusan yang dapat menamatkan persekolahan adalah pada sekitar 73 peratus. Peratusan keciciran pelajar lelaki adalah dalam jajaran 3-5 peratus lebih tinggi dari pelajar perempuan. Apa maksud jangka panjang akan gejala ini? Tidakkah kita kian melahirkan lelaki yang bukan lelaki, lelaki-lelaki lembek, orang Kedah kata: teloq ada tapi tak keraih! Kemasukan ke peringkat pendidikan tinggi pula hanya sekitar 29 peratus. Jika dilihat daripada jumlah pelajar sekolah bagi 2012 sejumlah lebih kurang 5.30 juta orang, maka sekitar 371,000 pelajar tercicir dari sekolah rendah dan sekitar 216,000 pelajar tercicir dari sekolah menengah. Saya namakan ini sebagai Keciciran Peringkat I. Ini bukanlah angka yang kecil, sekitar 600,000 orang. Apakah jenis dunia yang bakal dihadapi oleh mereka dalam golongan ini? Banyak akan berkata, mereka yang tercicir ini akan memasuki pelbagai institusi pendidikan dan latihan tidak formal, namun persoalannya, berapa ramai yang benar-benar dapat ditampung oleh institusi berkenaan? Adakah suatu tracking system telah dibuat bagi kita benar-benar menjejaki mereka ini? Apakah terlalu payah untuk kita berbuat sebegitu dalam dunia IT kini? Ini mereka yang Keciciran Peringkat I, namun biarpun mereka yang tamat di peringkat sekolah menengah, berapa ramai pula dapat melanjutkan ke pengajian tinggi. Banyak saya pasti akan tercicir biarpun di peringkat sijil atau diploma. Jika diteliti halus-halus, tidak terperanjat, jika kita dapati sekitar 500,000-700,000 remaja kita akan hanya terhenti pendidikan mereka sehingga ke sekolah menengah. Ini, saya namakan sebagai Keciciran Peringkat II.

(9) Saya melihat, kita ingin menjadi Negara berInnovative dan Kreative, berdaya cipta tinggi, namun kita mendokong cita-cita tersebut pada jalan di mana tidak semua dapat membantu. Golongan tua dengan segala kebijaksanaan dan hikmah kita asingkan dari golongan muda yang hendak kita bangunkan. Akhirnya kita membangun belia yang terasing dari budaya yang telah mengangkat dan menyatukan kita sebelumnya. Kita kagumkan Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan bahkan Jerman dalam ketinggian daya cipta mereka, namun kita tidak pernah meneliti jalan permulaan mereka. Leonardo Da Vinci tidak melukis segala khayal ciptaannya begitu asing. Dia melakar segala khayal ciptaannnya berasaskan budaya dan temaddun yang sedia ada. Kita gemar meniru, akhirnya kita menjadi import-based economy maka ketulinan, keaslian, dan keunikan ciptaan kita tidak tercapai. Kita terus menjadi a Trailing Nation. Di ASEAN, saya melihat, lumba perahu, permainan gasing dan layang-layang adalah sukan Rakyat Massa yang boleh membangkitkan kembali semangat bersatu padu, berlumba secara jantan dan membangun daya cipta kita yang tulin, asli, dan tersendiri. Kira mesti membangunkan sesuatu yang boleh menjadikan kita sustainable export-based economy.

 (10) Saya tidak yakin mereka yang Keciciran Peringkat I sebahagian besarnya akan dapat kembali memasuki sistem latihan dan pendidikan formal kembali. Peluang untuk mereka memperbaiki diri pasti menghadapi saingan sengit oleh Keciciran Peringkat II. Mereka ini pasti banyaknya terjerat terus oleh keadaan. Golongan inilah saban tahun akan terus melestarikan kadar kemiskinan dan kepapaan di dalam masyarakat kita. Kemudian golongan Keciciran Peringkat II saya pasti, ruang bagi mereka untuk meneruskan kembali dapat memperbaiki taraf pendidikan dan kemahiran mereka juga akan sangat payah. Sekali lagi mereka ini tersangkut tersekat oleh keadaan yang lain. Juga harus kita ingat, dari sejumah yang terus berjaya melanjutkan pelajaran dan kemahiran mereka biar ke sekadar peringkat sijil, pasti ada juga yang tercicir. Berapa statistiknya? Katakan angkanya adalah terlalu kecil, dan boleh diabaikan. Namun, tetap ada wujud jurang di antara mereka, kerana katakan dari sejumlah 3.50-4.50 juta yang dapat melanjutkan pelajaran dan kemahiran mereka, saya yakin, setidak-tidaknya 700,000-1,000,000 pelajar akan hanya dapat mencapai ke tahap sijil. Ini juga boleh dianggap keciciran, dan biar saya namakan ini sebagai Keciciran Peringkat III. Kita mungkin boleh berkata, tidak semua boleh mendapatkan taraf pendidikan dan kemahiran yang sama. Itu bagi mereka yang berhati hitam berkepala tempurung. Saya tidak bercakap tentang semua orang mesti setaraf. Allah dengan tegas menyatakan betapa setiap sesiapa itu ada bahagian masing-masing. Saya ingin mengemukakan perangkaan yang harus kita awasi yang boleh mengoncangkan keadaan sosial kita. Inilah persoalan yang ingin saya kemukakan untuk kita yang Allah telah angkat sebagai khalifah untuk fikirkan. Golongan Keciciran Peringkat I & II inilah kini yang menjadi kalangan yang sangat terhimpit oleh keadaan.

(11) Kita mungkin lupa dan atau terlalu lalai, bila Umar Al-Khataab dalam tempoh sembilan tahun kekhalifan beliau, beliau telah mengembangkan pengaruh Islam sehingga ke Mesir, Palestin-Syiria, dan Farsi. Akibatnya, beliau secara tidak sedar telah membuka Arab Jahilliah kepada dunia baru yang lebih bertemaddun di Mesir, Syiria-Baghdad, dan bahkan Farsi. Inilah pertembungan budaya yang tidak diteliti secara halus pada waktu itu. Lantaran itu, Uthman Affan kemudiannya cuba melakukan adjustment namun kerana ada jurang sosio-ekonomi yang ketara, maka itu kemudiannya dijadikan fitnah sehingga mengorbankan beliau sendiri. Ali Abi Thalib, seterusnya menghadapi kegetiran bertambah-tambah lantaran ketidak serasian sikap jumud, kepala tempurung, buta hati dengan tuntutan yang berubah-rubah. Allah sengaja memainkan wayang itu 1,400 tahun dahulu, untuk kita tonton dan fikir.


(12) Kita harus menghargai akhbar berbahasa Cina. Mereka sanggup menelanjangi diri untuk memperbaiki diri. Akhbar perdana, apa lagi yang khusus buat Melayu, kita tidak berani memuhasabah diri secara berani dan jujur. Kita sering bermain bunga. Kita lebih seronok berpolitik dari bersikap profesional. Sekitar 70 peratus dari penduduk Negara ini tinggal di bandar. Penyumbang terbesar dari penduduk bandar adalah asalnya dari luar bandar. Adalah menjadi kebiasaan, golongan muda dan yang berpendidikan dan berkemahiran akan lebih memilih untuk hijrah ke bandar untuk merebut peluang ekonomi yang lebih baik. Di saat sektor bandar masih mampu menampung keperluan ini, tiada masalah terjadi. Maka di tahun-tahun 1970-80an, agak kurang rungutan sosial di bandar. Keadaan sangat berubah di sekitar 1990an, di mana masalah setinggan dan pengangkutan menjadi perkara yang memeningkan. Di tahun-tahun 2000an ini, keresahan sosial di bandar menjadi bertambah-tambah dan melarat-larat. Puncanya hanya satu iaitu masalah pendapatan yang menjerut. Kawasan bandar kian dibanjiri kalangan berpendapatan rendah, sedang keperluan hidup kian menyesakan. Keadaan kos hidup yang kian melambung bukan sekadar membantai kalangan berpendapatan rendah, malah golongan menengah rendah sehingga kepada yang berpendapatan sekitar RM4,000.00/keluarga/bulan.

(13) Pendeknya, belia yang resah, sedang termuntah-muntah di bandar-bandar. Contohnya, kini, banyak pasangan menikah pada usia masih mentah. Paling parah saya kira pasangan muda yang tersepit. Kadar perceraian yang tinggi, pembuangan bayi, penderaan anak-anak, dsb adalah pertunjuk-pertunjuk kepada semua ini. Di luar bandar, tidak banyak bezanya. Yang tinggal adalah yang kurang berpendidikan, kurang berkemahiran, serta kerana mereka ini mungkin adalah generasi ke empat dan atau ke lima pasca kemerdekaan, kepemilikan harta pada mereka kian menguncup, khusus di kalangan Umat Melayu akibat pembahagian harta secara turun temurun. Aset ekonomi Melayu di luar bandar kian jadi fragmented dan sukar diuruskan. Kalau kita halusi demografi di Negara ini, peratusan Golongan Menengah saya kira masih rendah, mungkin tertinggi hanya sekitar 30 peratus. Maksudnya, sekitar 60-65 peratus dari rakyat di Negara ini masih tergolong sebagai kumpulan berpendapatan rendah. Keadaan ini pasti masih parah di kalangan Umat Melayu dan pribumi lainnya.

(14) Apa yang saya khuatiri, kerana tidak banyak dan atau kian tidak ada yang berusaha keras meneliti perubahan demografi dan sosialisasi rakyat maka banyak perkara kita buat sekadar beating the bush yet not putting the fire off. Saya yakin, masalah keciciran biar di pringkat mana sekalipun pasti akan mengujudkan keadaan vicious circle kepada slowing down or deteriorating socio-economic achievement rakyat. Jika keadaan ini tidak dibendung cepat, pasti ianya akan menimbulkan red tide yang akhirnya boleh menimbul kecelaruan yang jauh lebih hebat. Fenomena ini kini kian terjadi, dan ianya hanya menunggu masa untuk sesiapa meledakkannya. Saya yakin apa yang terjadi di Yaman, Mesir, Libya, Iraq, Syiria, seluruh rantau Arab ada kaitan dengan pengabaian panjang terhadap golongan tercicir. Begitu jugalah yang sedang berlaku di Thailand. Rakyat di Kemboja juga sudah hilang sabar. Di Indonesia, mereka sedang sembunyi sabar di balik pesantren dan khayal segala candu.

(15) Kebangkitan golongan muda untuk menentang Kerajaan di mana-mana, bahkan di awal kebangkitan Barat, adalah akibat keciciran golongan ini dalam menghambat pendapatan yang baik untuk hidup dengan baik. Keciciran di sektor pendidikan hanyalah permulaan kepada pembentukan masses of frustrated youths. Wujudnya masses of frustrated youths pasti akan menimbulkan masses of silent frustrated parents dan golongan ini kini adalah golongan berpendidikan, berpengalaman luas serta tahu salah silap di mana-mana oleh sesiapa bukan ibubapa tahun 1960-70an. Rentak penentangan rakyat kepada Kerajaan kian meningkat, biar secara diam dan atau nyata dan ini tidak harus dipandang ringan. Sukan tidak akan dapat membendung kemarahan mereka saat waktunya tiba nanti. Biar setiap malam kita pertontonkan Perlawan Super Barcelona lawan Manchester United atau Brazil lawan Jerman atau Battle of the Battle of Rocks or K-Pop namun saat habis menonton, saat perut lapar, kepala pening hidup resah, liarlah akan jadinya mereka. Tidakkah kita ingat kesan dari wujudnya fenomena Rockers-Drug, Hippies-Sex Fiesta, dsb di Barat sekitar 1960an dulu yang bangkit atas keresahan ekonomi dan taraf hidup yang merundum. Tidakkah mereka telah mengujudkan revolusi dalam masyarakat Barat? Fenomena ini, kian berputik di Kuala Lumpur dan pasti menular. Ini harus Menteri Belia dan Sukan sadari cepat.

(16) Saya kira Negara ini telah meletakkan landasan Pembangunan Belia yang sangat baik di sekitar 1970-80an dulu. Belia bukan sekadar dididik dan dilatih. Malah belia terus dibimbing untuk menjadi usahawan. Saban tahun sekadar menghasilkan perangkaan tentang berapa ramai belia kita didik, latih, dsb saya kira tidak bermakna selagi matlamat asas untuk apa mereka dididik, dilatih dsb tidak tercapai. Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor terutama semasa Mike Tyson mentadbir, mempunyai pendekatan yang sangat bagus dalam membangunkan para belia. YAPEIM asasnya dulu juga untuk membangunkan belia. MARA paling banyak terlibat dalam pembangunan belia niaga dsb. Namun saya kira lantaran kegilaan kuasa masing-masing love to protect their own castle lalu belia kian terbiar. Allah, mempertontonkan kepada kita contohnya lewat kekeluargaan beruang dan gajah. Sekitar sembilan tahun selepas melahirkan, pasangan beruang dan gajah terus mendidik, melatih anak-anak mereka untuk belajar hidup. Hanya selepas mereka boleh berburu sendiri, baru anak-anak mereka dimerdekakan. Perhatikan biar beruang, biar gajah, biar harimau, biar anjing, biar Orang Utan, mereka juga bersukan. Anak-anak mereka paling gemar bersukan. Mereka bersukan bukan untuk nama, mereka bersukan untuk kemahiran hidup. Kita bagaimana? Lewat binatang Allah menunjukkan cara, tidakkah kita boleh berfikir? Anih, mungkin nafsu binatang melebihi binatang tebal dalam dada kita maka sifat insani kian pudar. MasyaAllah.

(17) Kita harus mengasingkan belia kita kepada dua kelompok jelas dalam uasaha kita untuk membangunkan mereka, iaitu kelompok 5-24, dan 25-40 tahun. Segala bentuk keciciran di kelompok 5-24 tahun mesti dilihat secara teliti. Begitu juga keperluan pendidikan rohaniah dan keNegaraan pada kelompok ini harus diperkukuh selari dengan pendidikan dan latihan kemahiran lainnya. Belia pada umur 25-40, mereka harus lebih dijurus kepada keushawanan dan sikap setiakawan yang kukuh. Soal sukan, bangunkan Sukan Massa yang pasti boleh mengukuhkan Agenda Membina Negara, sukan-sukan lain, biarlah terbangun pada ukuran baju kita yang sebenar.

(18) Kita juga harus boleh melihat betapa Agenda Pembangunan Belia harus menjurus kepada kepentingan masa depan Negara dalam kedudukannya di rantau ini. Belia Melayu khususnya harus dibina menjadi pengerak perubahan bukan sekadar di dalam Negara malah di kalangan Umat Islam minoriti yang tertekan di rantau ini. Kesedaran ini harus kita bina kuat pada mereka agar akhirnya kitra punya Ukhwah Islamiah serantau yang kukuh. Namun kita harus melakukannya ndengan bijak, jangan sampai kita campur tangan dalam soal-soal yang boleh menjebak kita ke kancah diplomatik. Saya berkira mempersiapkan belia-belia Islam tertindas menjadi Insani bersedia adalah ytanggungjawab kita bersama belia-belia kita sendiri. Sebagai rumusan, Najib mungkin perlu berfikir, bagaimana Kementerian Kebudayaan harus kembali digabung bersama Kementerian Belia dan Sukan. Kita mesti membudayakan sifat-sifat mulia di kalangan belia dan warga kita, sehingga kerana kedamaian, sifat kreatif dan innovasi masyarakat kita menjadikan kita sebagai Loveable State untuk semua lawati malah pelajari dan ikuti. Budaya buka untuk dipertonton dan dijual-jual sepertinya jika ianya diletak dalam Kementerian Perlancungan dan atau Penerangan dan Multi-media. Budaya perlu dibangun dan ditanam kuat ke daalm generasi baru, iaitu belia.

Kuching, Sarawak
14 Feb., 2014

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.