.

10/3/13 KESEIMBANGAN STRUKTUR SEX PENDUDUK....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 19, 2013

Share

& Comment

Ada beberapa teman menghantar SMS, bertanya apa sebenarnya motif saya menulis rencana Asal Terbangunnya Darul Sotong? Jawabannya perlu dilihat lewat sejarah penulisan sendaloka atau penglipur lara Melayu seperti Musang Berjangut, Pak Pandir, Pak Kadok, Si Lunchai dan Labu-Labunya, Abu Nawas, Si Tenggang, dsb. Saya mengagak, di zaman dulu, ibu bapa kerana tiada peralatan seperti TV, radio, Komputer berinternet dsb, maka mereka perlu membikin satu cara bagaimana untuk mendidik anak-anak mereka secara halus dan berkesan. Saya cuba mengambil iktibar dari itu, juga berlandaskan pengamatan dan kekuathiran saya mengenai genjala ketak seimbangan taburan penduduk Negara berasaskan sex antara bandar dan luar bandar. Harus ada di antara kita yang sentiasa meneliti dan membangkitkan jalan-jalan samar di depan kita. Itu adalah tujuan hakiki saya. Secara ilmiah, berikut saya perturun sedikit fakta-fakta yang harus boleh menguja untuk kita berfikir.

(2) Dari internet, saya tidak dapat mencerakinkan pola pecahan penduduk Negara dari segi sex khusus di kawasan-kawasan bandar utama. Namun pengamatan rambang saya mendapati sepertinya kaum Hawa melebihi kaum Adam di mana-mana kota besar. Berdasarkan Perangkaan 2010, sepertinya tiada apa yang harus dikhuatiri kerana kelihatan Negara ini masih ramai lelaki dari perempuannya pada nisbah 103:100. Namun begitu, saya berkira kehadiran pekerja warga asing mungkin tidak terjerap ke dalam Perangkaan ini. Sebetulnya saya ingin melihat kesan pembangunan semasa terhadap taburan sebenar tenaga kerja kita di kawasan bandar-bandar. Di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Baharu, Petaling Jaya, Ipoh, dsb saya menduga pasti bilangan pekerja perempuan akan mengatasi jumlah pekerja lelaki.

(3) Perjalanan saya ke Thailand, Filipina dan Indonesia, mendapati gejala limpahan lelaki kurang berpelajaran di desa-desa sudah menjadi lumrah. Para wanita negara-negara tersebut kini berada di mana-mana khusus di Timur Tengah bahkan di Malaysia dan Singapura. Di Kambodia dan Vietnam, biar banyak para gadisnya sudah ke bandar-bandar, namun masih tetap ada gunanya para tenaga kerja lelaki di desa-desa. Mereka masih berminat untuk terus bertani. Berbeda keadaannya di Indonesia, Thailand dan Filipina. Para lelaki di sana lebih enak ngangur seperti kata orang dulu-dulu enak makan hasil bini. Pergilah ke kawasan-kawasan penempatan di Kota Bandung dan Jakarta. Lihat gelagat anak-anak lelaki berbanding anak-anak gadis mereka. Sama halnya di Kota Bangkok. Apa lagi di Manila. Anak-anak lelaki lebih gemar berpeleseran dari bekerja keras mencari hidup. Kenapa?

(4) Di Malaysia, untung nasib penghijrahan anak-anak gadis ke kota-kota seperti belum diambil peduli. Dilihat dari sudut ekonomi, tiada apa yang harus dikhuatiri. Sebabnya, dengan pelepasan tenaga kerja wanita, maka gunatenaga di Negara ini kian menuju optimum. Pasti ini sangat baik buat pertumbuhan ekonomi Negara.Namun penghijrahan para pemuda-pemudi kita ke kota-kota ada bahananya yang tersendiri. Pertamanya lihat pada tingkat jenis pekerjaan mereka khusus bagi mereka yang kurang berbelajaran atau berkemahiran. Rata-rata bergaji sempit. Biarpun kini sudah mencecah RM800-900/bulan, namun tetap sempit. Akibatnya, hidup mereka terhimpit. Paling mencabar adalah dalam memenuhi keperluan kediaman, pengangkutan selesa serta makanan menyihatkan. Seringnya mereka tinggal di rumah-rumah kedai atau menyewa berhimpit-himpit. Atas gejala terhimpit inilah, memaksa sebahagiannya terpaksa mencari jalan keluar yang sangat terdesak dan menyebelkan. Pada mereka, sekadar berhibur, melepas tekanan, namun pasti segalanya menjalar menjadi lain yang sesalnya hanya terjadi saat sudah keterlanjuran. Juga, biar yang berpendidikan tinggi, tetap mereka belum boleh mencapai jenis pekerjaan yang boleh memberikan gaji yang membolehkan mereka melepas dari hidup tetap terhimpit.Sesungguhnya gejala sosial seperti Mat Rempit, Mat Syabu, Bosia, Minah Karen, Buang bayi, Perceraian muda, Ragut, Hutang along, mencuri, rasuah kecil-kecilan, dsb adalah berakibat dari masalah terhimpit ini. Paling mungkin tidak disadari penyundalan jelas atau sembunyi, juga terkait sedikit sebanyak akibat dari himpitan hidup di kota-kota yang sangat menekan. Harus dimengertikan, penyundalan tidak terbatas hanya menyerah nikmat tubuh demi balasan ringgit. Penyudalan boleh juga berbentuk meminta-minta apa juga yang diingini tetapi tidak mampu dibiaya sendiri. Jika pelakunya perempuan, akhirnya tubuh juga mungkin  jadi pertaruhan. Jika pelakunya lelaki, berjelalah kemelaratan dan pengkhianatan akhirnya menyusul. Pokoknya maruah diri disundalkan.

(5) Dari sudut pembangunan ekonomi, pembangunan bandar-luar bandar yang tidak seimbang adalah puncanya. Kerana tekanan pembangunan adalah di bandar, maka mulanya Sektor Pembinaan akan mendadak yang mengundang para tenaga kerja lelaki berhijrah. Persekitaran hidup di kawasan Pembinaan selalunya adalah bersifat sementara serta aib. Saat segala sudah siap, maka jenis pekerjaan kian beralih kepada Sektor Perkhidmatan dan Pembuatan di mana tenaga kerja wanita sangat diutamakan. Pekerja lelaki kemudian harus minggir atau beralih terus ke kawasan lain berubah-ubah. Biar dalam keadaan apapun, tetap kemudahan selesa buat para pekerja tidak akan tersedia baik dan atau terencana baik di dalam proses pembangunan menyeluruhnya. Pendeknya, Commercial and Social Sustainable Development Planning jarang sekali digarap baik. Yang dihambat adalah pertumbuhan, tanpa mengingat pertumbuhan penyakit sosial juga pasti ikut membuntut. Bila pertumbuhan bandar dikejar hebat, sedang pembangunan di luar bandar diabai atau dilewatkan, maka terjadilah penghijrahan penyakit desa ke kota-kota. Rakyat yang tidak berkemahiran dan kurang pelajaran, turut berkiblat ke kota-kota, sedang bila terduga dengan segala himpitan hidup kota mereka jadi hilang punca untuk kembali ke pangkal jalan. Alang kepalang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sesungguhnya gejala-gejala sebegini sudah berlaku lama dulu di Eropah (dan Asia Tengah) di saat kemuncak Revolusi Industri, sehingga tercetus ideologi-ideologi Komunis dan Sosialis bagi mengekang serakah Kapitalis. Kini masalah ini sedang kembali bangkit di Itali, Cyprus (Greece), Sepanyol, Portugis, dan kian menyeberang ke Britain.

(6) Dalam hubungan Negeri Sarawak, saya melihat bahana ini juga kian menghampir. Lihat betapa rancaknya pembangunan bandar di Kuching, Bintulu, Miri, Mukah dan bahkan di Sibu dewasa ini. Dalam tempoh tiga ke lima tahun lagi, segalanya akan menjadi stabil, lalu penstrukturan semula ekonomi Negeri akan berlaku di mana sektor Pembuatan dan Perkhidmatan akan menjadi nadi utama. Cuma, sektor-sektor ini secara umumnya tidak memberikan gaji yang lumayan untuk menampung keperluan-keperluan asas hidup semasa. Apa lagi jika Kerajaan tidak cepat bersedia untuk menyediakan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya. Lihat saja apa yang berlaku di Bintulu dari 1980an ke 1990an. Kini di tahun 2010an, juga masih berulang keadaan keresahan rakyat. Paling saya kesal, pembangunan di luar bandar masih bersifat tradisional. Usaha Taib untuk membawa perubahan yang jauh lebih besar dan cepat telah sangat disalah ertikan terutama dalam soal memajukan tanah NCR milik pribumi. Rakyat pribumi Sarawak sepertinya telah dengan jayanya dikelirukan antara hak memiliki dan hak membangun. Taib berusaha keras untuk memajukan apa yang telah sah menjadi hak milik mereka. Soal menuntut yang hak itu adalah perkara lain. Seharusnya memajukan yang telah sah menjadi hak mereka harus tidak dikelirukan, apa lagi dihadang. Politik sempit, politik tunggangan sebilangan pribumi saya lihat akan merosakkkan banyak kaum pribumi di Negeri ini. Paling sayang, masyarakat Melayu yang rata-rata beragama Islam, tetap belum Islam temadun mereka. Masih suka terikut-ikut sedang Allah telah memberi sepenuh kemerdekaan dan kedaulatan untuk berfikir dan bertindak lewat jalan terangNya. Sesungguhnya saya melihat, politik tamak sempit tempatan dan musang berbulu ayam para pelobi perdagangan antarabangsa telah dengan jayanya meracuni fikiran segelintir dari kita menjadi kuda tunggangan sehingga kita sudah tidak mengerti isu mana untuk apa sebenarnya. Fitnah pembangunan kian menular di Negeri ini. Paling mendukacitakan, saya kian nampak betapa Penjawat Awam di Negeri ini sudah terlalu sibuk dengan 'Symbolic Transformation' dari sebenar-benarnya bergelumang berpeluh bersama rakyat. Penjawat Awam banyak lebih selesa mempertahankan kedudukan masing-masing dari benar-benar berbakti tanpa takut tanpa pilih kasih. Membiar segalanya kepada political flow of the time bukan caranya kita tergaji sebagai Penjawat Awam.

(7) Bagi Umat Islam, saya melihat betapa Pendidikan Islam kita tidak dapat membina jati diri anak-anak muda kita sebetulnya. Saya melihat, Pendidikan Islam yang kita jalani sejak dulu sehingga kini, tidak menunjukkan suatu perubahan yang sangat ketara. Murid-murid hanya terdidik akan perkara-perkara asas. Di anggap ibu bapa akan meneruskan pendidikan selanjutnya, tanpa di sedari ibu bapa juga adalah cetek ilmu KeIslaman mereka, atau mungkin terlalu sibuk untuk mengejar hidup dan tekanan tugas.  Sememangnya anak-anak akan tahu soal bersholat, berpuasa, tidak makan babi, tetapi apakah mereka mengerti sedalamya apa pengertianya. Makan babi dan makan rasuah apa ada bedanya? Tidak berpuasa dengan berpeleseran tanpa guna buat kebahagian keluarga apakah ada bedanya? Bersopan santun namun malas apa ada bedanya? Soalnya Pendidikan Islam kita tidak dapat menerap dan menghidupkan roh Islam ke dalam anak-anak bahkan masyarakat kita. Apakah Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan, JAIS, JAKIM, dsb telah kita lengkapi dengan para penyelidik sosiologi dan saikologi untuk meneliti keberkesanan cara didikan kita biar untuk anak-anak peringkat kecil, remaja, dewasa dan tua? Saya yakin, kita tidak pernah mengorak langkah ke arah itu berbanding dengan kesungguhna kita dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan Matematik, Sains, Bahasa Inggeris atau lainnya. Saya berkira, suatu yang nyata tentang Pembangunan Sumber Manusia di zaman Muhammad SAW dan para sahabah adalah penekanan dalam pembentukan nilai-nilai moral yang tinggi. Soal keIlmuan dan Kemahiran duniawi, itu sangat mudah tergarap saat rakyat punya tujuan hidup yang jelas.

(8) Sesungguhnya, bila saya menulis tentang sendaloka Asal Terbangunnya Darul Sotong adalah bila saya melihat betapa mereka yang seharusnya bertanggungjawap dalam memikir dan berusaha keras dalam membangunkan Negara (kehidupan rakyat) agar terus makmur dan sejahtera sedang mengalami sindrom kurang telur, tidak berani, tidak tabah, tidak jantan.

Kuching, Sarawak
19 March, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.