.

1/4/12 UMRAH, DEMAM, DAN MIMPI-MIMPI....(reviewed 4 Jan 2018)

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 04, 2012

Share

& Comment


Gambar di sebelah adalah Jabal (Bukit) Nur dan di situ letaknya gua Hira. Bila melihat Bukit itu, aku teringat kembali pada 1982-83 aku sering ke Bukit Takun dan Batu Cave, memanjat di sana untuk mengkaji ekologi angerik-anggerik liar di sana. Biar Bukit Takun dan Bt Cave ditumbuhi banyak pohon-pohon, di saat usia muda sebegitu, saya merasa cukup penat dan payah. Dan melihat keliling Jabal Nur itu, aku dapat bayangkan dalam terik mentari padang pasir, betapa payahnya untuk sampai ke puncak bukit tersebut. Muhammad mendatanginya, dalam Inggeris sering diungkapkan sebagai Muhammad went to the mountain. Lalu dia khalwat dan tmendapat ilmu kebenaran di sana. Soalnya, kenapa harus Muhammad berpayah demi umat manusia? Kenapa tidak saja segalanya katakan disampaikan kepadanya dalam keadaan dia senang lenang. Tidakkah benar bagai kata Melayu: Ruyung kalau tidak dipecahkan, manakan dapat sagunya?

Sebermulanya, duduk di sebelah kiriku dari Kuching ke Kuala Lumpur adalah seorang tua. Dari beg sandingan, Tabung Haji Travel Services (THTS), ternyata dia akan ke umrah sama. Badannya kurus. Pipinya cempong. Matanya pejam celek kurang jelas terpecar cahaya kemasukkan dari tingkap-tingkap pesawat. Pakaiannya paling sederhana, sepasang Baju Melayu unggu. Bila ditanya, dari mana, jawabnya bertelor: "Kuchieng". Aku pasti dia dari persisir. Dalam bahasa biasa Sarawak, dia pasti "Orang Laut". Dia umrahan sendirian.

(2) Entah kebetulan, entah agar sentiasa memperingatkanku, dari KLIA ke Jeddah, kami terpisah dalam perjalanan dari Jedah ke Mekah dan di sepanjang Umrah, dan kembali bersama dari Jedah ke KLIA dan dari KLIA kembali ke Kuching, si Pak Wadi, namanya tetap duduk di sebelah kiriku. Dia tak banyak bicara. Hala pergi dia lebih banyak menghafal doa. Hala pulang dia lebih banyak diam bersyukur. Dia diserang demam katanya sejak di Madinah dan beliau pucat lesi kedinginan menahan demam. Saya meminta pramugari MAS untuk membantunya dengan memberikan dia tambahan selimut. Inilah Pak Wadi dari Entebu Kupang, Saratok, sekurang-kurangnya empat jam naik kenderaan dari Kuchieng selepas itu naik sampan menyeberang Btg Krian untuk ke Kampung beliau. Dia ke Umrah hasil kerja seumur hidup sekeluarga, bertanam padi., sekali setahun.

(3) Aku kerana banyak batuk serta badan mulai terasa sejuk mengigit juga tidak banyak bicara. Perhubungan kami adalah sesekali kerana aku terpaksa berbahagi paracetamol dengan dia yang juga sedang diserang demam. Saat berpisah di lapangan terbang Kuchieng aku hanya berseloroh: Bilo mauk gi agik tek? Bila mauhu umrahan lagi? Jawap beliau:Lum apat lakas gilak. Gelumok duit lok, mun sempat. Entahlah. Belum tentu dapat segera kerana perlu mengumpul duit dulu, itupun jika sempat. Jawaban yang cukup ikhlas dan merendah diri. Yang jelas mengambarkan betapa payah kehidupan yang telah, sedang dan akan dilaluinya. Entebu-Kupang, dari seawal aku menjawat jawatan awam, di tahun 1986, sehingga kini, tampaknya belum ada tangan keramat yang dapat mengangkat martabat penduduk di sana.

(4) Setiba di Kuching (30 march, 2012), aku merasa amat berat untuk memandu terus ke Kampung. Aku mengambil keputusan untuk tidur saja di rumah di Kota. Malam itu entah berapa dos paracetemol habis di makan, namun, keringat tidak juga mahu tumpah. Biasanya, bila demam aku makan makan kira-kira dua tablet paracetamol lalu berbungkus selimut. Dalam 30-45 minit kemudian pasti aku disimbah keringkat kuat, dan selepas itu, Alhamdullilah demampun susut. Aku sadar saat aku demam, dan tidak menumpahkan keringat selepas makan ubat, pasti demamnya akan berpanjangan. Batuk mengila. Kepala bertambah pening. Suhu badan meningkat terus. Aircon dan kipas terpaksa aku pasang kuat untuk menyejukkan tubuh. Paling tidak menyeronokkan, talipon terus berdering tak henti-henti saat aku kembali menggunakan nombor tempatan. Suaraku mulai hilang. Sekitar jam 0200 pagi, suaraku hilang terus. Tekak cukup pedih.

(5) Semalaman aku tidak dapat tidur lena. Pelbagai bentuk mimpi datang menerjah. Semuanya terkait dengan apa yang telah aku lalui terutamanya masa di Mekah. Ada ketikanya tubuhku melambung-lambung bagai dibawa ombak. Aku merenung kembali, ya sememangnya aku banyak membuat tawaf sunat, samada di awal subuh atau di tengahari terik, maka sering tubuhku terasak dalam kumpulan-kumpulan yang berebut-rebut bergelut untuk mendapat ruang di Hijir Ismail-Hajar dan semasa tawaf. Terkadang aku tersedu bersama samar wajah-wajah yang menangis. Itulah wajah-wajah yang sering aku lihat meratap di sisi Kaabah, meratap dalam bahasa-bahasa yang aku tidak mengerti. Dalam sedu mereka, aku yakin tentang perih resah yang menguncang setiap isi dada mereka. Kemiskinan, kepayahan, dan keresahan hidup menyelubung kuat suara hati mereka. Tangisan mereka kekal dalam benakku.

(6) Keesokan pagi, kerana sanak saudara di Kampung sudah dijanjikan akan pulang untuk makan bersama, maka aku dalam goyah memandu saja pulang. Kerana kurang sihat, sampai saja di rumah, aku terus saja tidur. Tidur di siang hari tidaklah baik. Aku terus diburu mimpi. Aku bermimpi tentang khemah-khemah yang berdiri bertata melata. Namun semuanyan kosong dan sepi. Hanya suara angin menderu. Itulah khemah-khemah yang kulihat di Mina, Hudaibiyah, dan Arafah. Aku bermimpi berjalan di padang pasir berdebu menyesakkan. Pohon-pohon hitam mati terbakar. Rumput-rumput kuning kering luas saujana memandang.

(6) Malamnya, kerana aku tidak bersuara dan masih tidak segar, aku tidur awal. Sepanjang malam, tidurku terus saja diganggu mimpi. Tiang-tiang Masjil Haram dan Nabawi seperti hadir mengelilingiku. Kemudian kubah-kubah berpusar-pusar membentuk satu tarian gelombang yang amat anih mengelung tubuhku. Aku berputar-putar melayang-layang. Sadar tak sadar, aku hanya tercunggap-cunggap mengucap SubhanAllah... entah berapa lama. Tidurku seterusnya, siang atau malam, sehingga tadi malam (Rabu), sering sepertinya membawa aku kembali ke setiap sudut Kaabah dan Nabawi. Semasa di Al Haram dan Nabawi, selesai sholat apapun, aku sering berjalan berkeliling memerhati hampir setiap sudut dua bangunan ini. Sifat suka menyiasat dan memerhati tidak terpisah dari gaya hidupku biar di mana aku berada. Tidak pernah aku menghadapi mimpi-mimpi berkeadaan sebegini seumur hidup ini, iaitu bermimpi dari segala perlakuan yang aku perbuat untuk satu tempoh panjang, maka sepanjang subuh tadi aku berfikir panjang mencari jawapannya.

(7) Sejak Sept., 2011 sehinggalah 30 March, 2012, aku telah memaksakan ke atas diriku banyak perkara yang mustahil. Pertamanya mengembara sendirian dari Golok-Hatyai-Bangkok. Di sana aku melihatan keperitan hidup mayarakat Islam Pattani dalam berdepan dengan asakan kerakusan bangsa lain hanya kerana semua negeri di sempadannya (Kelantan, Perlis dan kedah) adalah juga negeri-negeri Islam yang miskin dan lemah. Masyarakat Islam di Malaysia apa lagi di Kedah, Perlis dan Kelantan, tidak disegani Bangkok. Islam Pattani penuh dengan bungapi kekecewaaan dan kemarahan. Aku menjadi begitu hiba melihat telatah UMNO dan PAS, hanya kerana tamakkan kuasa, soal nasib kaum seagama tidak dipedulikan.

(8) Berhari Raya sendiri, mengembara, tanpa jadual, tanpa panduan, meredah Laos dan Kemboja kemudiannya, menemukan aku nasib segelintir manusia Islam yang Allah tebarkan di Vientien. Mereka berada di sana atas takdir Allah untuk menandai di titik bumi di sana, Islam juga mesti wujud, namun, kewujudan mereka adalah ibarat sabut di lautan luas. Apa lagi bila kutemui bangsa hanyut merempat Cham di Tasik Tonle Sap di Phnom Phen. Tanpa rumah. Tanpa penghidupan kekal. Terapong-apong bagai bangkai di sungai berarus deras. Semuanya menimbulkan persoalan, gah kita orang Melayu pada apanya? Kerabat kita sama sebangsa teranyianya tidak kita peduli kuat.

(9) Bulan Dec., 2011 aku ke Surabaya. Menginap seminggu di Pesantren Al Jannah Myojokerto. Di sana, kuperhati, Pak Kiai sudah seperti si Kadok naik junjung. Anak santri dididik seharusnya berbudi pekerti mulia, punya harga diri, namun para kiai bagai raja maha dewata. Darjat terus memisahkan manusia. Di mana falsafah luhur dan rendah diri, resmi padi? Anak santri kerana miskin, mahukan ilmu, tunduk dan runduk tidak mampu mengangkat martabat diri. Aku jadi sangsi Apakah Islam yang dibawa untuk memerdekakan mereka, atau alat buat menekan mereka agar para Kiyai enak berbini banyak dan gendut-gendut perutnya? Dan soalku "Apa beda Kiai dan Penjajah Belanda atau Pendita Hindu sebelumnya?"

(10) Feb., 2012, aku ke Bandung. Menetap hampir sebulan di CiJinJing. Di sana, hidup bersama sepasang manusia yang mengorban diri untuk Islam. Nuansa pergunungan, dingin dan hijau nyaman. Namun yang menghirup kekayaan Allah hanyalah manusia-manusia kerdil susah, sedang menghirup nikmat duniawinya tetap juga para penjajah dan peningalannya. Dalam miskin, dalam payah, dalam penuh kekurangan, Pak Kiai Jajang dan isteri terus menghidupkan budaya Pesantren yang dipusakai dari turun menurun. Niat hati mendalami Al Quran, akhirnya, aku menjalani hidup dalam penuh kemiskinan. Masyarakat di sini, bagai sebuah bangsa tanpa negara. Khalifahnya tidak pernah ada. Pegawai negeri entah ke mana. Betapa rasanya, dunia akan bergolak terus dan pasti sedang terkumpul kuasa di mana-mana yang akan datang menyerang menghempas, belum pasti rasanya apa dan bila.

(11) Awal March, aku bolak balik ke Kelantan. Di sana dari 1973-75 aku meremajakan diri, terbuang katanya demi Negerimu ini. Semakin banyak ke sana, semakin banyak yang menyakitkan hati. Negara kaya rakyat susah. Pemimpin segar bungar, bijak bistari, rakyat terhimpit terus. Golok menjadi tempat persinggahan selalu aku. Di sana banyak, teman sebangsa, seagama, cuma pada nama. Tidak pada isi dan pengertian sebenarnya. Ledakkan bom api kemarahan merata. Semua bermain sandiwara. Penulisnya, terlalu banyak, ada tanpa nama.

(12) Di Mekah, di Madinah, tanpa ketentuan waktu, di awal subuh, di tengahari terik mentari, aku berjalan mencari jawapan kepada semua yang kusaksi dan kulalui. Pada setiap sudut, aku tandai dengan airmata dan keringat: Ya Allah, sesungguhnya, doa hambaMu Muhammad SAW agar umatMu sentiasa hidup aman damai, tidak bermusuhan, Engkau tolak, maka beginilah jadinya kami akhirnya, tidak pernah boleh bermaufakat semeja biar di rumah sekalipun. Tuhan kenapa? Terlalu banyak yang takut, malas, dengki,....dan apakah aku akan menjauh hati?

nota:
Bagi yang akan umrah atau Hajj, wajar sembahyang berbekal sejadah sendiri. Pengamatanku semasa kerja-kerja mencuci, terlalu banyak bahan menghakis di gunakan. Kawalan mutu sepertinya tidak ketat. Juga wajar pakai penutup hidung dan mulut. Para jemaah pastinya membawa bersama mereka segala jenis kuman-kuman yang kita belum lali. Juga elok memakai sarung kaki semasa tawaf. Kedinginan mamar boleh meresap banyak dari tenaga kita. Saya kira, THTS seharusnya dapat mengkaji semua ini dan jangan mengangap soal deman, batuk, selsema, hilang suara sebagai perkara biasa. Jangan sampai nanti Hajj dan Umrah sesuatu yang menyakitkan dan melemahkan!

Matang Jaya
4 March, 2012

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

3 comments:

Anonymous said...

Bro, perlu mentafsir demam dan mimpi-mimpi itu lebih jauh lagi. Perlu bertanya diri mengapa Allah membenarkan anda mimpi dan demam sebegini...

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Sahminan said...

Salam, lamak sik nengar berito eh... pa khabar tek..

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.