.

6/5/09 TONGKAT ALI asas industri aphrodisiac dunia .... kita abaikan.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 06, 2009

Share

& Comment



Lebih kurang 8-9 tahun dahulu, saya ke sebuah perkampungan Kedayan, bernama Nyalau (meliputi tiga buah kampung ie Kuala, Tengah dan Ulu Nyalau), Bintulu. Orang Kedayan, dulu-dulunya di katakan banyak ilmu. Pernah di ceritakan bahawa datuk (Melayu Riau) saya pernah muntah darah sekembalinya dari melawat ke kampung Kedayan, gara-gara kerana salah faham dan tidak mengerti budaya masing-masing. Begitulah hebatnya orang Kedayan. Kisahnya, datuk saya semasa makan bersama keluarga Kedayan, dia membalikkan ikan bila sebahagian darinya sudah habis. Konon sebagai tanda hormat kepada tuan rumah, tanpa tahu itu adalah pantang kaum nelayan dan keluarga Kedayan. Bagi mereka, membalikkan ikan adalah ibarat mendoakan agar sampan mereka terbalik bila berada di laut. Lebih parah, tanggapan sebahagian, membalik ikan adalah ibarat menyelak kain isteri mereka. Di Nyalau, penduduk Kedayan di sana ada keistimewaan tersendiri, iaitu masyarakat lama di sini, tahu akan kegunaan pelbagai jenis akar hutan. Mereka boleh membuat ramuan yang boleh mengubat pelbagai penyakit. Paling istimewa, penduduk Nyalau Kuala khasnya, membarisi jalan kampung mereka dengan tanaman Tongkat Ali, Eurycoma longifolia.Biarpun tujuan asala mereka hanya sebagai seni taman namun saya yakin Allah sedang memebreikan mereka suatu asas yang suatu masa nanti akan menjadikan mereka cukup beruntung. Tanah Nyalau cukup sesuai dengan tanaman Tongkat Ali.

(2) Saya sering ke Nyalau atas sebab mereka adalah beberap perkampungan terpencil yang agak terpinggir. Saya berusaha untuk membawa sedikit perubahan sosio-konomi di perkampungan ini. Secara umum, masyarakat Kedayan sangat terkenal dengan segala macam ilmu ghaib. Bila sudah agak mesra, dalam salah satu dari lawatan susulan saya, maka saya mentelah masyarakat Kedayan ini. "Jika kamu, banyak ilmu, cuba ceritakan kenapa pokok ini di namakan Tongkat Ali." Maka banyaklah agakan dan gurauan yang dikemukakan, tetapi saya tertarik dengan salah satu lawak mereka, dari Hj. Saban. "Begini, mungkin tuan", dalam pelat pekat Kedayannya, "Saya fikir, itu Sayidina Ali, dia terlalu kuat, bila berperang, mungkin dia tak pakai pedang, tetapi kerana dia sangat hebat, dia pukul saja musuhnya pakai kayu, sampai patah-patah bertebangan kayu-kayu itu" "Ya", sambung saya, "Memang kuat sungguh dia, sampai potongan kayu itu terbang sampai ke Nyalau lalu tumbuh jadi Tongkat Ali". Sambil ketawa, Hj Saban menyambung "Tuan memang padai, kalau lama di Nyalau, habis ilmu orang Kedayan tuan ambil". Sebetulnya orang Kedayan sangat ramah dan akrab. Cuma lantaran sejarah panjang mereka, pastinya mereka punya cara dan budaya tersendiri yang sukar pihak lain fahami. Semua itu saya berkira adalah jalan survival mereka dalam dunia yang sangat mencabar.

(3) Maka setelah itu saya pun berfikir sendirian, Tongkat Ali, Eurycoma longifolia, sejenis herba, yang berbuah berbentuk berries, daun bujur yang liat biar digintil macamana sekalipun tidak akan pecah atau hancur, batang yang boleh menjangkau sehingga 5 meter, dan akar yang tersangatlah pahit rasanya, kenapa ianya dinamakan Tongkat Ali. Adakah cerita Hj Saban itu benar? Kemungkinan juga benar, sama seperti ikan sebelah, yang disebut ikan sisa makanan Nabi Sulaiman, tinggal sebelah dan bila beliau lepaskan ke laut ianya terus hidup macam ikan biasa.

(4) Sayidina Ali, memang terkenal kekuatnya. Pedangnya saja, sampai dua orang mengangkatnya baru dapat. Bila berperang, dialah laksamana dan perwira yang maha handal. Orang-orang Melayu, kerana taat dan halus amalan Islamnya, inginkan segalanya ada unsur keIslaman. Maka saya kira, kerana ramuan Tongkat Ali ini ada kaitan dengan kekuatan tenaga batin, maka untuk melaris dan sebagai penjenaam yang paling mustajab, elok di namakan Tongkat Ali. Tongkat, kena kuat, kalau tak kuat mana boleh dipanggil tongkat. Kalau sudah kuat, maka menongkatlah. Dan kekuatan menongkat itu, perlulah kekuatan yang maha hebat, maka Alilah sebaik-baiknya kayukuran benchmark kekuatan tersebut. Jadi saya kira, begitulah salah silah timbulnya nama Tongkat Ali. Namun sayang, saya rasa, segala jenis bahan dan ciri-ciri kimia Tongkat Ali sudah dipatternkan oleh USA, bukan oleh orang Kedayan Nyalau. Kita terlambat lagi, mungkin lantaran leka menikmati kekuatan tongkat ali, kita terlupa benda-benda lain yang sangat perlu.

(5) Orang Melayu, ibarat perumpamaan orang Sunda, biar terkurung di atas, tersepit di tengah, terkandang di bawah, pasti ada saja akal lolosnya. Bisa saja dia terlepas. Maka, kalau sudah ada Tongkat Ali, pasti ada lawannya, selaras dengan ajaran Al Quran: Di antara kamu, telah kujadikan berpasang-pasangan, maka dicarikan oleh mungkin juga orang Kedayan Nyalau, apakah pasangan atau lawan Tongkat Ali. Ya, bukankah Sayidina Ali, Fatimah Alzahrah adalah isterinya. Hanya Fatimah sajalah yang boleh menundukkan atau mengamankan Ali. Tongkat, biar sekuat mana sekalipun jika dikacip hari-hari pasti putus juga, pasti lemah juga. Maka terumuslah antidot Tangkat Ali iaitu Kacip Fatimah. Hebat orang Melayu. Cara mereka menjenama hasil-hasil yang unik pada mereka cukup hebat. Saya belum pernah meneliti akan rumput (kenapa rumput?) Kacip Fatimah. Dari sudut botani, memang akar adalah stor simpanan bagi segala tanaman. Maka sebab itu kemujaraban Tongkat Ali adalah pada akarnya. Itu tradisi orang dulu-dulu. Mereka menghargai kseulitan dari melihat sesuatu itu secara mudah dan ringkas. Kini wujud industri kopi Tongkat Ali. Bahkan banyak penipuan dalam industri tersebut bersebabkan kesukaran untuk mendapatkan bahan akar Tongkat Ali. Saya berkira, rasa pahit pada akar Tongkat Ali adalah ramuan yang menjadikan ianya hebat. Apakah yang menjadikan akar Tongkat Ali itu pahit? Saya menjangkakan adalah bersebabkan bahan koloidnya. Maka jika itu benar, adalah sia-sia jika orang berfikir bahawa khasiat Tongkat Ali hanya ada pada akarnya. Secara botanikal, buah, daun malah batang Tongkat Ali juga pasti mengandungi koloid pahit seperti terdapat di dalam akarnya. Maka bagi industri kopi berjenama Tongkat Ali, adalah suatu pembaziran serta tidak bijak jika tumpuan mereka adalah pada akar Tongkat Ali dan mengabaikan buahnya berries. Mel;ihat kepada kepelbagaian hikmah pada pelbagai berries yang ada di pasaran kini, saya yakin jika berries Tongkat Ali dapat dikaji dengan lebih mendalam, pastinya ianya punya kehebatan yang tersendiri.

(6) Prof Aziz Bidin, Botanist di UKM sangat bangga dengan penemuannya di sebuah Kampung di Kelantan (kalau tak silap), bahawa purata jumlah anak sesebuah keluarga di situ adalah 7 orang. Ianya adalah sebuah perkampungan terpencil, miskin, sedang anak-anak di sini sangat ramai. Dia menyelidik pemakanan penduduk di sini, dan dia diketemukan dengan pakis Tunjuk Langit. Mereka banyak makan pakis ini. Sorus pakis ini, sentiasa menunjuk ke langit, yalah sama tarafnya dengan Tongkat Ali, dok menongkat selalu. Maka jika cerdik pandai ubatan tradisional Melayu boleh berfikir jauh, apa tidak mungkin gandingan Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Pakis Tunjuk Langit, Kopi Jawa, Madu, Gula Nipah, Pinang Muda dsb yang Allah anugerahkan sebegitu banyak di Nusantara ini tidak boleh menguasai industri aphrodisiac dunia sebagai pilihan kepada Viagara dsb? Saya yakin, lantaran perkembangan penyakit Kencing Manis, diabetes di Negara ini, maka Tongkat Ali boleh dijadikan bahan yang perlu kita kaji dengan lebih mendalam.

Kuching 6 May, 2009

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

Nyalau... A place to remember... debur ombak... Rumah kayu...Rusa berlari... Tenang ...hati terpaut rindu... Bayu nan berhembus...Menyelinap masuk ke hati mereka di kampung-kampung Nelayan... Pemuda-pemudi yang kuat semangat... Mencari Rusa...untuk dagangan.. Mencari senek untuk "Belacan"....Rasa rindu bertaut untuk bertemu ... mereka yang dekat di hatiku...Sekurang-kurangnya..kita bertemu kerana.. satu...janji rezeki dan janji pembangunan untuk Kedayan Nyalau...

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.