.

1/11/2026 SEHELAI SAPUTANGAN

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - November 04, 2026

Share

& Comment

Kain Perca:

Ingatanku kepada ibu tidak akan pernah melayang, selagi sehelai
perca saputangan ada dalam saku seluarku. Sejak aku mulai melangkah ke sekolah pada 1967, sehingga kini, kain perca tidak pernah tidak ada dalam saku celanaku. Sebermulanya, embah nenekku adalah pemulanya. Sewaktu-waktu kanak-kanak, pada tahun-tahun 1960an, pilek selsema sering menyerang aku. Bukan hanya aku, bahkan kebanyakan rakan-rakan aku juga sebegitu. Pada waktu itu, pada saat pilek, untuk mengelap hingus, jalan paling mudah adalah dengan mengelap di lengan atau hujung baju. Kerana baju sekolah adalah dari kain putih, maka ketara di lengan atau hujung baju  mereka akan ada bekas-bekas hingus kering; menjadi hanyir bila berbaur keringat menyimbah semasa bermain bersama sebelum juga selepas waktu sekolah. Embah dan emak tidak sekali-kali mahu aku berperilaku sebagai yang lainnya. Jorok kata mereka. Bapa biar kelihatan seperti tidak peduli, namun pada saat aku hendak melangkah keluar untuk ke sekolah, dia pasti mengingatkan: "Apa kain perca kamu sudah kamu bersihkan. Ada kamu sakukan?"

(2)  Sewaktu-waktu keanak-anakanku, pengertian makanan penuh berginzi khasiat tidak pernah aku dengar. Di saat musim tengkujuh, pilek pasti menyerang anak-anak waktu itu. Jika di musim kering pula, akibat jalan berdebu serta sering belusukan di semak-semak belukar, akibat debu-debu tanah dan tumbuh-tumbuhan juga boleh mengakibatkan pilek. Sebetulnya, kebersihan diri, tidur malam sering tidak pakai baju, hanya berbungkus kain pelekat serta tiada pengetahuan tentang Vitamin C adalah punca sering kedatangan pilek di kalangan kanak-kanak di waktu itu. Maka kain perca adalah sebahagian budaya yang embah, ibu dan ayah telah wariskan kepadaku sepanjang umur hidupku. Mungkin jika aku ingat, esok-esok pada saat aku berpulang kekal, cucu-cucuku akan menyelitkan kain percaku di celah-celah kapanku.

(3)    15 Jun., 2023 atas gerak hati bahawa aku tidak akan menemukan lagi satu sosok yang istimewa dalam hidupku, pada pertemuan "terakhir" kami waktu itu, aku lontarkan kain percaku agar dia simpan baik-baik semahunya. Dia, bagiku sudah berpunya tangan-tangan embah dan ibuku. Setelah itu, kami benar-benar sudah tidak ketemu apa berikirim berita seperti selalunya. Apakah kain percaku tetap utuh atau sudah di pojok tidak berguna, aku tidak pasti dan malah tidak mahu peduli. Saat ini aku teringat akan kain perca itu, hanya kerana hari ini aku terlupa untuk membawa kain perca di celanaku. Kenapa? Lewat waktu, lewat hari-hari aku yang sudah kian banyak tidak peduli, aku sudah menjadi pelupa. 

Selendang Putih:

Pada 2005, aku merantau ke Medan tujuan ke Palembang. Hajat di hati, aku ingin menelusuri Sg Musi, katanya, Abdullah, moyangku adalah asalnya dari perkampungan di Sg. Musi tersebut. Biarpun aku tidak pasti di mana tapak jejak-jejak kakinya, setidak-tidak esok-esok akan aku ceritakan tentang indahnya perkampungan moyangku dan asal usul mereka kepada anak cucuku. Sg Musi dan Sg Sadong, morfologinya serupa. Makanya tidak heran jika Manan, datukku, memilih membuka tanah di Sadong dalam pelariannya dari getir penjajahan Belanda. Sg Musi mengalir di dataran lanar yang subur dan sangat luas. Airnya keruh menguning. Ianya adalah nadi dalam kehidupan sehari-harian masyarakat penghuninya. 

(2)    Biar aku tidak kesampaian menjejak kaki ke kampung moyangku, namun setidak-tidak aku merasa besar hati lantaran darah ini di dalam tubuh ini adalah dari rumpun Parameswara pengasas Temasik dan Melaka. Bukan soal darjat keturunan yang ingin aku warisi kepada anak cucu cicit piutku, tetapi jiwa tidak tunduk kepada penghambaan adalah tunjang yang perlu aku pasakkan ke dalam jiwa dan kepala batu mereka. Kapanpun dan di manapun, harkat martabat bangsa dan agama mesti mereka gengam tanpa secebis tolak ansur.

(3)    Di Medan, aku cuba mengenali sosok Hamka yang pernah mengajar aku tentang kewajibanku untuk kekal manut taat kepada kedua orang tuaku dalam satu kuliah di sekolahku pada 1976. Di Medan aku menemui karya besar Hamka yang sudah difilemkan: Tengelamnya Kapal Van Der Wijck. Karya beliau ini, telah difitnah sebagai suatu ciplak dari Magdelena sebuah novel Belanda karya...... Aku sepertinya aku yang tidak menerima apa seadanya, pada 2008, aku ke Dewan Bahasa & Pustaka di Kuala Lumpur, lalu ke Perpustakaan Negara juga di Kuala Lumpur lalu kemudian ke Solo dan Jakarta bagi tujuan menjejaki Magdelena. Aku tidak menemukan buku tersebut. Cuma bukan kerana nasib bahkan kebetulan, dalam misi pencarian keduaku pada Jun 2009, telah menghantar aku ke Taman Ismail Marzuki, Jakarta. Mulanya aku ingin mengenali sosok seniman Ismail Marzuki seorang sastrawan besar Indonesia, di sana aku menjumpai pengusaha Toko Buku Langka. Di Toko beliau aku telah menghabiskan sekitar dua hari untuk menyelongkari timbunan khazanah buku-buku langkanya. Dalam hapak debu-debu buku-buku usang, pada hari kedua, dalam hidungku mulai berair dan tersumbat, kain percaku juga sudah basah lekit, tanpa sengaja Magdelena mengelunsur jatuh ke kakiku. Rasa besar hatiku, ibarat mendapat  sebungkah emas mengelinding dari pergunungan saat mataku terpaku pada Magdelena di kakiku. Paling aku bahagia, Magdelena aku dapatkan tanpa harga. Pengusaha toko menghadiahkan novel itu buat simpananku lantaran sekian lama, gigih serta mahlnya  aku berkelana menelusuri novel tersebut.

(4)    Dalam Karamnya Kapal Van Der Wijck, dua hati yang polos terjebak dalam asmara bening suci anak kampung. Adat, darjat, serta godaan keliling menjadikan kedua hati itu terpisah. Cuma salendang putih Hayati bekalkan kepada Zainudin sebagai azimat untuk dia membina diri, berpergi ke Makasar kemudian menempah kejayaan besar di Batavia, namun cinta mereka hancur trajis lantaran adat, darjat serta pengaruh keliling. Hakikatnya, novel ini adalah kisah putus cinta Hamka terhadap gadis Padang Panjang, Medan. Di dalam jiwa Hamka, novel tersebut adalah gaya pemberontakkan beliau terhadap: "Biar mati anak, jangan mati adat". Atas kekecewaan beliau, Hamka kemudian hijerah ke Mekah dan dari sana beliau meneruskan pembelajarannya serta menjadi karyawan yang cukup berjaya nila-nilai kesusasteraan dan keIslamannya. Cinta Di Lembayung Kaabah adalah novel terbaiknya selanjutnya. 

(5)    Bait-bait yang kukira cukup mengesankan dari filem ini: "............. In Shaa Allah bersambung pelan-perlahan-lahan.

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.