.

2/10/2026 PEREMAJAAN POLITIK MELAYU SARAWAK I

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 30, 2026

Share

& Comment

LANGKAH STRATEGIS BIJAK:

Abang Johari, Premier Sarawak membayangkan bahawa dia akan mengundur diri dari politik Sarawak dalam waktu tidak berapa lama lagi. Bila? Telahan terdekat saya adalah pada separuh penggal PRN 13 iaitu sekitar tahun 2028-2029. PRN 14 Sarawak adalah pada 2031. Langkah Abang Johari untuk mengundur diri sekitar 2028-29 adalah sangat strategik serta sangat wajar. Ini bukan soal umur atau lama perkhidmatan. Ini tertumpu kepada langkah strategik yang wajar. Dalam lumba relay, pelumba seterusnya harus boleh memecut lebih laju dari yang sebelumnya. Politik negara sejak 2003 sehingga kini semua berteras serahan terpaksa. Mahathir serah kepada Abdullah secara terpaksa. Abdullah serah kepada Najib juga secara terpaksa. Kemudian Najib digugurkan secara paksa. Maka wujud politik kegilaan kuasa sehingga kini. Sarawak tidak boleh dan jangan sesekali mengikut jejak langkah Malaya ini.

(2) Abang Johari telah melalui dua kepemimpinan Ketua Menteri; bersama Taib Mahmud selama 33 tahun (1981-2014), kemudian Adenan Satem selama tiga tahun (2014-2017). Secara keseluruhan tempoh 37 tahun berada di bawah dua mentor yang legend adalah satu proses didikan kematangan yang cukup hebat buat Abang Johari. Pada zaman Taib, gelora politik Sarawak cukup berbeza dengan di zaman Adenan. Menjelang akhir 1990an, Taib telah diserang cukup hebat. Samada serangan itu bermotif politik atau isu sebenar, sejarah (masa) akan membuktikannya. Namun kesepakatan kukuh dalam Kabinet Taib dan Adenan, Sarawak dapat melalui segala kegetiran tersebut secara baik. Lebih baik, ianya memberikan Abang Johari insight yang lebih luas dan mendalam dalam soal politik dan pembangunan Sarawak dan negara amnya.

(3)  Bersama Abang Johari, juga telah ada mereka yang cukup terdedah kepada cara pentadbiran Taib, Adenan dan Abang Johari sendiri. Bagi saya, mereka ini sudah cukup dewasa. Masa, pengalaman serta pengaruh sudah mereka miliki baik. Ambil contoh di dalam PBB iaitu komponen Bumiputera, Tangah Ali Hassan umpamanya. Dia pernah menjadi orang kanan Taib, Adenan dan malah Abang Johari sendiri. Dengan usia Tengah sudah menjangkau menghampiri 70, maka tiba masanya untuk dia memegang kemudi Perahu Lumba Sarawak.  Tanggah perlu diberi peluang yang banyak dan meluas untuk membina pelapis berwibawa seterusnya. SAW Allah berikan sekurang-kurang 20 tahun untuk membina kerabat dan penganti beliau yang berwibawa. Pemimpin tidak wujud secara automatik. Pemimpin lahir dari proses dan keadaan yang tertentu dan panjang.

PENYUSUNAN WARISAN KUASA:

Di zaman Taib terutama di tahun 1990an, beliau secara jelas menyusun pewarisan kuasa Sarawak kepada Adenan Satem, Affendi Nawawi serta Abang Johari. Cuma mungkin akibat gelojoh, perkara tersebut telah sedikit mengugat peralihan kuasa secara cepat dan teratur. Pada 2002 bila saya mengadap Taib secara persendirian sebelum saya mengambilalih jawatan pengurusan PELITA, GLC negeri, kami ada berbincang tentang "kegagaluan" mengenai perkara ini. Saya mengambil iktibar darinya, dari saya menunjukkan secara jelas siapa harus mengambilalih dari kedudukan saya kemudiannya, saya memilih untuk membentuk Team Work dan membina cara dan disiplin kerja yang terbaik untuk menunaikan amanah kepada rakyat. Maka semasa saya menjawat Pengurus Besar dan CEO GLC berkenaan, saya mengenepikan Jawatan Timbalan Pengurus Besar. Tekanan saya adalah lebih kepada struktur organisasi yang bersifat Thin & Lean, cara dan KPI kerja yang sistematik serta bersifat kuantitatif. 

(2)    Selama berkhidmat dalam kerajaan serta minat politik yang ada pada saya, saya turut memerhatikan cara Mahathir cuba menyusun peralihan dan pewarisan kuasanya. Kedua-dua Mahathir dan Taib agak tergelincir dari cara SAW. SAW tidak menunjukkan secara tepat akan siapa pewarisnya. Dia membimbing mereka sehingga di antara mereka berpunya rasa saling hormat di antara satu sama lain dan dari situ mereka memilih dan berbai'ah terhadap yang terbaik di antara mereka. 

PENGUNDURAN AHLI POLTIK:

Saya tidak perlu dan tidak mahu membicarakan kepimpinan politik bagi kaum-kaum lain di Sarawak. Focus saya hanyalah kepada golongan Melayu dan Muslim. Kenapa? Pertama, kaum-kaum lain mereka tahu untuk menjaga diri mereka dalam sebuah masyarakat yang majmuk. Kedua dan terpenting, bagi saya mudah, sepertinya watak SAW, dia adalah manusia cukup sempurna, lantaran kesempurnaannya maka dia dipercayai biar oleh musuhnya yang paling kejam. Melayu dan Muslim ada bekalan Islam. Allah menjanjikan bahawa itulah agama bagi seluruh alam dan Dia telah menyempurnakan Islam untuk semua. Maka jika Islam adalah pegangan kukuh Melayu dan Muslim, maka mereka harus kekal pada tuntutan Islam iaitu membawa rahmat kepada semua. Maka jika Melayu dan Muslim baik-baik saja, maka mereka akan menjaga kepentingan semua pihak pada kesaksamaan yang sewajarnya.

(2)    Baru-baru ini kita boleh ikuti Karim Hamzah malah Len Talip menunjukkan kesudian mereka untuk digugurkan dalam PRN ini nanti. Pengamatan saya, semua YB telah menjalankan tugas mereka seperti sewajarnya khasnya dalam tempoh pemerintahan Abang Johari. Setiap YB di berikan peruntukan RM5.00 juta setahun untuk  menyediakan projek-projek kecil di kawasan masing-masing. Kebetulan kedudukan kewangan Sarawak sejak 2012 sudah sangat membaik berbanding dari 2002-2011. Projek-projek mega pula samada dilaksanakan oleh Negeri juga Kerajaan Pusat. Sarawak telah memecut berubah sejak 2012-2026 ini. Maksudnya, semua ADUN sudah ada jasa mereka. Itu tidak perlu siapapun nafikan. 

(3)    Namun pemerhatian saya, biar dari segi prasarana dan ulitiliti, Sarawak telah membaik hebat, namun kemiskinan di kalangan rakyat masih berkejolak. Rakyat kebanyakan tidak memiliki sumber kewangan yang baik dan kekal untuk menjalani kehidupan yang makmur dan sejahtera. Pekerjaan bergaji baik serta lestari tidak meluas wujud negeri ini. Abang Johari sebagai Premier tahap kesibukan, tumpuan dan visionnya adalah untuk negeri secara jangka panjang. Wajarlah baginya untuk menerokai bidang-bidang yang sering dia sebutkan - teknologi hidrojen, teknologi angkasa lepas, teknologi digital, pelabuhan laut dalam, lapangan terbang baru, peningkatan kemahiran digital serta pendidikan berkualiti dan percuma bagi rakyat Sarawak. Natijahnya, keberhasilan semua ini hanya akan muncul 5 - 15 tahun ke depan iaitu disekitar 2030-2045. Bagaimana kehidupan rakyat pada masa kini? Kehidupan kini rakyat-rakyat kecil siapa pula yang harus peduli hebat? Tidakkah seharusnya itu menjadi perhatian berat para ADUN dan MP? Beberapa contoh yang ADUN dan MP perlu perhati dan segera atasi adalah bab bekalan air, elektrik, internet, dan bermacam-macam perkara tetek bengek yang belum selesai sepenuh. Anihnya, kita eksport elektrik ke Kalimantan. Air kita melimpah-ruah namun bekalan ke rumah-rumah di luar bandar belum berubah biar sejak 10 tahun lepas.

(4)
    Bila Abang Johari sibuk dengan perkara-perkara besar dan jauh ke depan sifatnya, Menteri dan ADUN Sarawak harus dapat memikirkan langkah-langkah segera dalam memperbaiki taraf sosio-ekonomi rakyat pada masa ini. Janganlah para Menteri dan ADUN juga MP cukup sibuk mengerumuni Abang Johari, sedang masalah rakyat seperti mereka tidak pedulikan. Rakyat kita perlu disediakan untuk menerima serta terlibat aktif dalam segala limpahan dari kemajuan projek-projek mega. Bukan sekadar itu, permasalahan sosial yang sedang rakyat hadapi juga harus menjadi perhatian berat mereka. Cuba lihat kasus tangkapan dadah di Miri yang melibatkan 768 Kg, ini bukan satu nilai yang kecil serta implikasi yang boleh diketepikan. Belum lagi perjudian dalam talian. Apakah ADUN dan MP sedar betapa gejala sosial ini kian meluas di Sarawak dan akibatnya cukup merosakkan. Jika ADUN dan MP tidak sedar dan tidak berani mengambil langkah wajar, termasuk dalam hal-hal kemajuan hakiki rakyat, maka bagi saya mereka mesti mengundur diri. 

(5)    Dalam hal-hal ini saya kira ada beberapa Menteri dan ADUN yang leka dengan membelanjakan RM5.00 juta setahun untuk apa yang dinamakan RTP, namun kesan transfrormasinya direct to the rakyat di mana? Sebagai seseorang yang telah bergelumang di sektor pembangunan negeri selama 25 tahun, saya menyorot kejayaan Menteri, ADUN dan Kerajaan dari sudut transformasi menyeluruh kehidupan rakyat dalam sektor ekonomi dan sosial. Bila mana Kerajaan terus kekal menyuakan subsidi dan segala bantuan kepada rakyat, maka itu adalah petanda, Kerajaan gagal dalam membina masyarakat makmur sejahtera. Negeri maju dan makmur, rakyatnya bagaimana?

(6)  Maka bagi saya melihat akan keadaan sosio-ekonomi rakyat di Samariang Batu, Simunjan, Asajaya, Beladin, Pusa, Kabong-Nyabor, Nangka dan malah di Daro-Balingian, para ADUN yang mewakili kawasan-kawasan berkenaan harus ada keberanian untuk menawarkan mengundur diri. Karim Hamzah, Len Talip, Razali Ghafur, Awla Dris, bahkan Hasidah perlu berani bersikap enough is enough. Saya melihat mereka sudah ketepuan fikiran dalam membawa rakyat ke arus perdana dengan lebih berani dan berkesan. 
Saya mengira mereka telah agak lalai dalam menjaga sosio-ekonomi rakyat di sana serta binggit dengan hal-hal lain bersifat picisan. Dalam bahasa Melayu Sarawak, fikiran mereka mungkin telah sandat. New blood, new thinking perlu diketengah dan semai di kawasan-kawasan ini. Benar, ada di antara mereka sangat bagus dalam bidang-bidang penting tertentu, itu saya kira boleh diurus cara lain. Kehidupan rakyat, keremajaan dan kematangan politik Melayu Sarawak harus jangan diperjudikan. Ingat bila selepas kewafatan SAW, tradisi membina pimpinan seterusnya menjadi kacau bilau, maka empayar Islam runtuh dan kini kita dipijak-pijak dihina.

(7)    Apa lagi Asfia yang mengatakan "pantang mengalah". Cukuplah. Apa lagi yang mahu dikejar. Saya hanya ingin mempersoal sebegini: "Apakah golongan ini mahu terus kekal di kerusi masing-masing, demi rakyat dan negeri, atau untuk apa? Nanti bila mereka berundur dalam keadaan sudah nazak, dan mereka yang mengambil alih masih hingusan dan terkial-kila, apakah baru berasa berpuas hati?". Malaya jadi tontotanan dan tohmahan kita, namun jejak Malaya jugalah yang sedang kita ikuti. Maka apa bezanya? Sesungguhnya rakyat jadi meluat bila mana kerusi terus diduduki namun rakyat terhenyak parah bernanah sedang mereka berdekah-dekah lalu mati dan rakyat kucar kacir. Sarawak is a gentleman State, so must be us now and forever.

Kuching, Sarawak
30 Oct., 2026


#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.