.

1/5/2026 KEHIDUPAN ADALAH SUATU PROSES YANG PANJANG.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 12, 2026

Share

& Comment

PROLOQ:

Banyak orang melihat betapa hidup ini adalah sebuah perjalanan. Betul, namun tidak  tepat menyeluruh. Bila berjalan, ada nyaman dan payahnya. Ada cergas dan lelahnya. Lantaran itu, bilamana kehidupan ini dilihat sebagai sebuah perjalanan maka banyak pihak memilih untuk berjalan pada saat nyaman dan berhenti pada saat lelah atau payah. Persoalannya, pada titik kita lelah lalu kita berhenti, kesampaian kita di mana? Walau apapun, segalanya adalah tergantung kepada pilihan seseorang. Asasnya mudah, bagi seseorang manusia, akhir hidupnya tersedia tujuh tingkat Syurga juga tujuh tingkat Neraka buatnya. Ke mana seseorang itu berada ditentukan oleh sikap dan prilakunya sendiri.

(2)    Saya melihat kehidupan ini adalah suatu proses perjuangan. Bilamana ianya adalah suatu proses, maka ianya pasti bertahap-tahap serta banyak kemungkinan akibat dan musababnya. Juga lantaran ianya berupa perjuangan, tiada jalan mudah atau pintas dalam mencapai kejayaan yang barakah. Kenapa? Cuba ingat-ingat, sebelum penciptaan Adam AS, para malaikat telah menyanggah kehendak Allah untuk mencipta mahluk tambahan untuk dihantar ke bumi. Pada kacamata malaikat, manusia akan menambah kerosakan di muka bumi. Sedang bagi Allah, Dia mahu manusia menjadi pemimpin untuk mengatur segala apapun di muka bumi. Bermaksud, Allah menyediakan segala cabaran dan hanya manusia yang mampu mengurusnya. Kedua, semasa Adam AS dan Hawa berkeadaan senang lenang di Syurga, mereka teruji dengan hanya satu larangan dari Allah: "Jangan mendekati atau makan buah kuldi". Kenapa pula harus adanya larangan di Syurga, bukankah di sana manusia boleh melakukan apa saja? Itu, bagi saya hanyalah sebuah moment di mana Allah akan menunaikan janjiNya: "Adam dan Hawa perlu turun ke bumi".  Larangan itu menjadi senjata besar Iblis yang hasad akan Adam AS untuk menghasut Hawa lalu keduanya ingkar terhadap perintah Allah. Kemudian bila dihantar ke bumi, Adam AS terdampar, katanya di India sedang Hawa turun langsung di lembah Bekka Mekah. Mereka tidak turun di titik sama secara bersama. Dikatakan bahawa Adam perlu berjalan selama 40 tahun untuk menemui Hawa di Jabal Rahmah. Bayangkan, Adam AS perlu merentas gunung, lembah, sungai dan malah gurun untuk bertemu Hawa. Sedang Hawa pula perlu berdepan hamparan gurun gersang tanpa apa-apa berrbanding nikmat Syurga yang pernah dia nikmati sendirian selama 40 tahun lamanya.

(3)    Itulah sebuah proses perjuangan kehidupan buat Adam dan Hawa pada mulanya. Bukan kerana apa-apa, semua lantaran atas dua tujuan pokok: pertama untuk memeriahkan ummah, kedua mengurus segala apa di muka bumi. Tidak mudah, penuh getir dan dengki godaan hawa nafsu yang sukar diduga dan dibendung. Cerita Adam dan Hawa bukan sebuah lagenda asmara, namun itulah proses tontonan yang Allah sembunyikan melainkan bagi yang berfikir.

MELEWATI HARI-HARI KEKAL PENUH ERTI:

Kini saya mempunyai sedikit kelapangan untuk bertemu rakan-rakan lama samada semasa di sekolah rendah, menengah malah universiti. Juga teman-teman yang dulu sama-sama berkhidmat. Sejak Okt., 2022 terutama selepas Jun 2023 saya memilih sebuah kehidupan yang tidak lagi mengejar-ngejar waktu. Sebelumnya, saya perlu sentiasa ingat bahawa saya tidak berpunya banyak waktu maka saya memaksa segala tenaga fizikal, mental dan saikologi untuk tidak santai. Saya jarang istirehat. Jika tidak sibuk hal-hal tugasan dan koprat, maka saya akan sibuk dengan kerja-kerja di Kampung. Biar saya nampak santai tenang namun sebetulnya tenaga fizikal, mental dan saikologi saya cukup penat. Cuma, sifat saya sedari kecil terdidik untuk terus bekerja berjuang. Saya tidak pernah beristirehat apa lagi berhenti. 

(2)    Dalam waktu-waktu santai ini, saya dapati bahawa banyak teman-teman telah tiada. Mereka samada sudah meninggal atau tidak lagi mampu bergerak aktif. Sebilangan mendapat serangan pelbagai penyakit yang mengoncangkan dan kudrat mereka runtuh hebat. Banyak juga sudah memilih bersendiri dan hanya sibuk bersama handphone. Kehidupan mereka ibarat jam dinding yang sudah mulai kehabisan bateri - biar jarum terus berjalan namun waktu seperti tersangat lambat berubah biar mataharipun sudah menghilang. Kudrat perjuangan kian menipis dan pudar. Mereka memilih untuk bersara dalam apa juga.

(3)    Pada Jumaat 1 Mei saya mengatur dua sessi tea break dengan beberapa orang teman dan kenalan. Pertama pada jam 0800 pada Isnin 4 Mei, saya akan sarapan dengan seorang kenalan yang telah lama tidak saya temui lantaran saya mendapat kecederaan kaki pada Okt 2024. Dia dikhabarkan mendapat heart attack pada tempoh saya sedang lengai 2024-25. Umurnya sekitar 10 tahun lebih muda dari saya. Dia kini memilih untuk hanya rehat di rumah. Segala urusan perniagaannnya dilepaskan. Saya ingin untuk kembali menyuntik semangat bertahan kepada dirinya. Kedua saya juga mengatur untuk tea break bersama my former bosses pada jam 10:00 berikutnya. Mereka juga telah banyak memilih untuk meminggir. Saya berkira ingin bersama untuk kembali ceria sebelum terlambat. Namun pada malam Sabtu-Ahad, saya diserang gastrik yang parah dan pada Isnin 4 Mei saya mesti membuat pemeriksaan kesihatan di Normah Specialist Medical Center NSMC di Kuching. Saya tidak pasti apakah sakit sebenar yang sedang saya hadapi, namun saya menjangka saya perlu admission. Sebagai langkah berjaga-jaga, saya berbohong kepada mereka bahawa saya telah diserang bad fever pada malam 3 Mei, Ahad dan tidak pasti untuk dapat bersama untuk tea break

(4)    Benar seperti saya duga, saya perlu warding dan pada jam 1900 4 Mei, 2026 saya perlu menjalani pembedahan bagi membuang appendicitis yang saya kira burst pada Sabtu malam 2 Mei. Pada malam tersebut suhu badan saya mendadak naik, namun dapat saya legakan dengan mengambil dua biji paracetamol dan gaviscon bagi melega gastrik. Saya bernasib baik ke NSMC pada 4 Mei, jika saya berlenggah 1-2 hari, kemungkinan untuk saya mendapat blood poisoning adalah tinggi. Silap-silap, hanya Allah yang tahu apa terjadi kepada saya selepas itu. Sejak Okt., 2011 sehingga 4 Mei, 2026 bahagian adomen saya telah ditebuk sebanyak lapan lubang. Hari ini, 12 Mei, pada saat bersarapan dengan seorang teman, bila saya ceritakan perihal segala pembedahan yang telah saya lalui, dia berkata: "Allah keep you strong for all the tasks still unaccomplished that you must realised". Kuasa Allah, perjuangan hidup saya demi ummah masih banyak, maka saya kekal memilih untuk terus tidak lelah dan tidak berhenti. Soal saya akan berjaya atau tidak, itu bukan urusan saya. Biarlah Allah yang menentukan segala-galanya. Saya memilih untuk terus berjuang dan melewati segala proses dan hukum yang Allah telah takdirkan. In Shaa Allah.

SEBUAH IMBASAN - A MEMOIR:

Ramadhan dan Sawal lepas, saya berjumpa dengan beberapa my x-bosses. Mereka menyarankan agar kami meluangkan sedikit masa untuk informal tea break. Maka pada 1 Mei, saya set up untuk bersama mereka pada 4 Mei seperti saya jelaskan terdahulu di atas. Cafe Pustaka Negeri telah dipilih sebagai tempat paling sesuai lantaran berdekatan dengan Sarawak Golf Club di mana empat dari mereka akan datang terus selepas acara golf mingguan mereka.

(2)    Kebiasaannya, bila berjumpa, sambil santai tea atau lunch, kami biasa akan berbincang prihal pembangunan dan perkembangan ekonomi dan politik Sarawak. Politik Malaya kadang-kadang hanya kami perkatakan sebagai selingan lawak sahaja. Tertera di gambar di sebelah - depan kiri, Hj Saini rakan sekerja saya di Zecon, Datu Sapuan Anu, bekas Pengarah Pertanian Sarawak, saya tidak kenal yang berbaju biru di sebelah kiri beliau. Di hujung meja adalah Datu Hamzah Abdul Rahman bekas Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber di mana saya sebagai Pengurus Besar PELITA perlu bertanggungjawab kepada beliau. Datu Dr Hatta Solhee mulanya adalah Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri di mana saya berkhidmat di bawahnya sekitar 10 tahun dan kemudian beliau menjawat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, kemudian Datu Sarulu Hollai, bekas Pengurus Besar Perbadanan Perkayuan Sarawak STIDC dan depan kanan adalah Abdul Kadir Zainuddin rakan sejawat saya di UPN selama 13 tahun.

(3)    Hatta, saya kira adalah seorang ketua yang cukup accomodative. Bila saya melapur diri kepadanya pada 8 Okt., 1986, lantaran latarbelakang akademik saya yang tidak langsung sesuai dengan jawatan saya di UPN, saya bertanya kepadanya tentang apa tanggungjawab saya. Jawabnya mudah: "You have to think for the State". Ini ibarat apa John F Kennedy katakan: "Don't ask what the State can do for you, but ask what you can do for the State.".Dia kemudian mendedahkan saya kepada pelbagai agensi dan mereka yang berpengaruh di peringkat negeri, pusat dan bahkan antarabangsa. Pada Okt., 1999, dia juga mengeluarkan saya dari UPN dan menghantar saya untuk menjawat jawatan Residen di Bintulu. 

(4)    Datu Hamzah, sebagai SUT Kementerian yang bertanggungjawab terhadap PELITA, saya dikhabarkan bahawa dia sering mempertahankan saya bila diserang oleh pihak-pihak tertentu di atas langkah-langkah tidak popular yang saya ambil. Kepada mereka, dia sering berhujah: "Siapapun pada kedudukannya, tidak akan mudah serta perlu deliver. Dia melapur terus ke Ketua Menteri, dan itu though. He likes it or not, he has to execute the Big Boss command."

(5)    Datu Sapuan dan Datu Serudu biasa berurusan dengan saya bila kami sering mengadakan mesyuarah di UPN. Sebagai salah seorang yang mengawal Belanjawan Negeri, peranan saya cukup besar dalam menganalisa serta menasihati tentang-tentang projek-projek yang mereka kemukakan untuk pembiayaan negeri dan persekutuan. Kadir Zainuddin adalah buddy saya dalam pengagihan peruntukan bagi setiap agensi dan program berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh negeri dan pusat. 

Hakikatnya, semua kami berpunya tanggungjawab yang begitu besar sejak saya mula bertugas pada 1 Okt., 1986 sehingga Disembar 31, 2011. Saya memilih untuk bersara awal sedang mereka terus berkhidmat dalam segala bidang kepakaran masing-masing. Namun biar saya telah meninggalkan perkhidmatan sejak 15 tahun lepas, kami tetap mesra dan saling berhubungan. Semua lantaran kami berpunya satu tekad - keep doing the best for our people. Cuma terkadang-kadang, mereka sering bergurau senda: "Saya cukup anih kerana memilih bersara tanpa gelaran, biarpun saya pernah menyandang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Semua yang lain pada jawatan-jawatan tersebut berpunya gelaran biarpun mereka jauh lebih junior dari saya". I just love to be nobody.

EPILOQ:

Semasa lunch makan kari kepala ikan tadi saya berjumpa seorang kenalan yang juga telah lama tidak saya temui. Kami berbual banyak hal-hal sosial. Maka timbul suatu persoalan darinya: "Saya lama sudah hendak bertanya langsung kepada awak. Saya confused, awak ni sejati orang Sarawak, PR ke macamana?. Awak asal dari mana?". Benar, dia sering confused lantaran bila berjumpa, dia sering bersama rakan-rakan dari Malayanya. Dia berasal dari Kelantan dan sedang berusaha mendapatkan PR Sarawak. Bersamanya saya akan bercakap dialek Kelantan pure. Bersama teman-temannya yang lain, maka saya samada bercakap dialek Utara, Negeri dan bahkan Trengganu. Maka logik jika dia confused saya ini berasal dari mana.

(2)    Kali ini saya kira saya mahu memberikan dia jawaban yang dia akan ingat sampai dia mati. Saya katakan kepadanya: "Asal keturunan saya adalah langsung dari nabi dan Syurga". Mulanya dia seperti terperanjat, namun kemudian dia berkata: "Biso demo. Sengoti sungguh. Jawape demo sungguh tidak biasa-biasa. First time kawe dengar." Saya juga menyambung: "Kerana berasal dari nabi dan Syurga, maka kita mesti berusaha keras menjaga martabat keturunan untuk kembali selesa ke kampung halaman asal dan kekal kita." Dia sudah bersara dari NGO yang mana dia telah menjadi CEOnya. Bersamanya kami pernah membantu sebuah keluarga tanpa negara akibat masalah buta huruf dan kelalian si suami sehingga lima dari delapan anak-anaknya tidak bersekolah. Alhamdulllilah berkat bantuan dan usaha gigih kami, setidak-tidak semua mereka sudah berpunya Kad Pengenalan Malaysia serta tiga dari anaknya telah memasuki sekolah dan yang lain-lain mendapat latihan di GiatMARA dan bekerja tetap. Maka, biar telah tamat tugasan rasmi, saya mengajaknya untuk jangan bersara. Kita mesti terus berjuang untuk terus memanjat untuk pulang ke kampung halaman asal kita yang terbaik.

Kuching, Sarawak
11-12 Mei, 2026




#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.