.

2/11/18 LRT KUCHING- suatu keperluan untuk pelbagi tujuan masa depan.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - November 29, 2018

Share

& Comment


Saya amat suka bidang Spatial Planning. Semasa anak-anak saya suka melukis gambaran perdesaan dengan lautan membiru, perkampungan di celahan hutan menghijau serta latarbelakang gunung-ganang yang indah. Paling scenic adalah lukisan waktu senja dengan bayang-bayang perahu layar di kali dan burung-burung terbang samar-samar di angkasa. Mungkin keretapi tidak pernah saya lihat waktu itu, maka jalaran keretapi dengan asap hitam berkepulan bukan unsur lukisan saya. Hakikatnya, tanpa sedar, secara professional, Allah telah menanamkan bibit DNA Urban and Country Planning pada diri saya. Bila membuat Post Grad Study, biar saya terlalu ingin untuk menceburi bidang Ekonomi, namun Universiti-Universiti di mana saya memohon untuk lanjutan pembelajaran saya, berteraskan pengalaman kerjaya semasa saya, mereka lebih banyak mengalak saya menjurus ke bidang Urban and Regional Planning. Biarpun sebegitu, saya memilih untuk mengikuti pembelajaran di bidang-bidang penting ekonomi sebagai pelajaran pilihan dan tambahan pada kursus yang saya ikuti. Bahkan secara tidak sengaja saya telah memilih Colorado, Amerika sebagai tempat saya melanjutkan pelajaran. Colorado adalah simbol Rocky Mountain High State yang cukup artistik sepertinya lukisan-lukisan semasa anak-anak saya. Saya bersyukur, sejak meninggalkan perkhidmatan awam, saya telah dapat mempertingkatkan kemahiran saya dalam bidang tersebut.

(2) Dalam bahasa Indonesia, Spatial Planning sering dirujuk sebagai Rencana Tata Ruang. Istilah spatial sebetulnya mempunyai kata dasar space. Maka untuk menterjemah space sebagai ruang dalam Bahasa Indonesia pastinya tepat. Cuma bila ditilik dari Bahasa Melayu, ianya ada sedikit kejanggalan dari segi nahu. Istilah ruang dalam Bahasa Indonesia boleh meliputi ruang kecil dan seluas-luas tanah lapang sejauh mata memandang. Namun ruang dalam istilah Melayu, ianya sangat terbatas kepada kawasan lapang kecil. Ruang juga bermaksud masa dan peluang. Maka Spatial Plan adalah sedikit rumit untuk diterjemah ke dalam Bahasa Melayu secara tepat. Ianya boleh berupa Pelan Induk Bandar; Pelan Induk Wilayah; Pelan Induk Daerah dsb, sedang di dalam Bahasa Inggeris Spatial Plan adalah generik sifatnya.

(3) Walaubagaimanapun, bukanlah tujuan saya menulis ini untuk menjelaskan takrifan serta konsep Spatial Planning. Saya ingin menulis berkait dengan cadangan Abang Johari pada sedikit masa dahulu tentang cadangan beliau untuk membangun sistem LRT meliputi Kuching-Samarahan-Serian dan Bau. Cadangan ini telah banyak mengundang kritikan pelbagai pihak sehingga tidak berapa lama kemudian, Abang Johari telah mengumumkan "pembatalan cadangan berkenaan". Apakah benar ianya di batalkan?

(4) Semasa pentadbiran Taib iaitu sekitar 2007,  dia telah meminta saya untuk melihat Transport Planning bagi the Greater Kuching yang meliputi Kuching, Samarahan, Serian dan Bau. Transport Planning merupakan suatu matapelajaran khas di dalam Perancangan Bandar dan Desa. Saya dengan dibantu oleh sebuah Juruperunding telah membuat Conceptual Greater Kuching Spatial Plan seperti yang Taib minta. Pelan itu meliputi cadangan Mass Transport System bagi the Greater Kuching. Pastinya Basic Modelling tentang Kependudukan, Pusat Pekerjaan dan Pusat-Pusat Tumpuan, Nodals  diambil kira. Saya telah menyerahkan Conceptual Tranport Plan kepada beliau dengan mengariskan jajaran utama jalan dan laluan Mass Transport. Dalam masa yang sama juga, saya telah mengemukakan kemungkinan kita boleh membina Bulk Transport System dari Tebedu dan Lubok Antu ke Kuching atau Tanjung Manis. Apa yang saya fikirkan pada masa itu adalah kemungkinan kita membangunkan kawasan Oleo-Chemical Industry samada di Kuching atau Tg Manis. Cadangkan ini, kemudian Taib telah dahulukan dengan SCORE di Tg Manis-Miri. Namun bila melihat kembali akan keadaan geo-politik semasa dan masa depan, saya lebih yakin bahawa Industri Oleo-Chemical Industry di tempatkan samada di Kuching, Simunjan atau Pusa. Tg Manis boleh terus mengutamakan sebagai Hub Industri Halal dan Simunjan atau Pusa menjadi Bulking Port untuk pengeluaran pukal dari Kalimantan Barat.

(5) Saya menjangka, industri oleo-chemical dan Bulking Facilities harus dibina di kawasan Kuching-Simunjan-Pusa berdasarkan pertimbangan-pertimbangan locality, resources and population advantages kawasan-kawasan tersebut. Inilah wilayah yang saya perhitungkan harus dibangun sebagai teras ekonomi bagi kawasan Selatan Sarawak.

(6) Saya telah menyentuh tentang cadangan untuk membina rangkaian Bulk Transport System dari Tebedu-Lubok Antu ke Pusa-Tg Manis dalam tulisan saya bertajuk  2/9/18 MAKING KUCHING TRULY THE CITY OF BORNEO .....exploring on New GOM-GOS working framework dan In Shaa Allah jika ada kelapangan saya akan menulis sebuah Investment Paper tentang perkara ini untuk diajukan bagi pertimbangan GOS terutama di bawah inisiatif FDI dan Sosek Malindo. Saya yakin dengan membangun sebuah Industri Oleo-Chemical dan Bulking Facilities di Kuching, Simunjan atau Pusa In Shaa Allah akan menjadikan Sarawak sebagai Nadi Penjelmaan Borneo sebagai kuasa ekonomi masa depan serantau yang hebat. Saya mengira, jika Malaysia ingin bangkit menjadi gergasi serantau, Kerajaan Malaysia, GOM harus berpunya wawasan melalui Malaya kita membina gugusan ekonomi Malaya-Sumatera-Pattani, melalui Sabah, kita membina gugusan ekonomi Sabah-Sulu-Sulawesi dan lewat Sarawak kita membina Gugusan kuasa ekonomi Borneo. In Shaa Allah kita boleh jika kita tekad dan bergerak bersama bersaudara.

(7) Berbalik kepada cadangan Abang Johari untuk membina Sistem LRT meliputi the Greater Kuching, saya yakin dan percaya perkara ini menjadi suatu keperluan asas menjelang 2025. Saya percaya, cadangan beliau itu agak mendapat kritikan lantaran cara ianya dikemukakan agak terlalu sengaut, terburu-buru. Beliau kedengaran seolah-olah hendak membina LRT tersebut yesterday sedang Sarawak secara keseluruhannnya sedang menghadapi masalah perhubungan, bekalan air dan api yang sangat kritikal. Seharusnya, beliau patut hanya mengumumkan bahawa GOS melalui perunding berwibawa di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPN) sedang membuat Kajian Kemungkinan serta menyediakan Pelan bagi cadangan tersebut. Jika sebegitu langkah beliau, saya yakin, suara-suara kritikan akan menjadi kurang. Kritik akan terus ada. Namun jawaban berkualiti terhada segala kritik ini pasti akan bersifat lebih professional lewat penemuan dan cadangan dari Kajian Kemungkinan. Jika itu ada, In Shaa Allah cadangan Abang Johari akan berupa cadangan cukup professional dan bukan gimik politik.

(8) Saya berpandangan, dalam tempoh 1-2 tahun kini (2019-2020) kita harus berusaha keras dalam menyediakan Pelan Induk bagi keperluan tersebut. Saya yakin, jika betul caranya, kita boleh menjadikan Pelan Induk tersebut sebagai asas untuk kita terus mendapat pembiayaan besar dari GOM menjelang penyediaan RMK12 (2021-2025) nanti. JICA (Japan) CIDA (Kanada) yang mana saya pernah berurusan dengan mereka berkait dengan projek-projek pembiayaan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia pastinya adalah tenaga pakar yang beoleh melihat pembinaan LRT ini dari sudut yang jauh lebih luas dan maju. Dalam penyedian Pelan Induk tersebut, pastinya, Kajian Kemungkinan harus dimulakan dahulu. Kita harus dapat melihat akan faktor-faktor kritikal bagi Daya Maju Cadangan tersebut. Pelbagai penelitian harus kita lakukan. Bahkan Pelan tersedut harus dijadikan Greater Kuching II Spatial Masterplan. Sekitar 1990an dulu kita pernah menyediakan the Greater Kuching 1 Masterplan. Maka di tahun 202an ini, kita patut menyemak Pelan Induk tersebut dan membangun the Greater Kuching Masterplan II. Dari Pelan tersebut, kita harus membangunkan Pelan Sistem LRT Kuching Raya. Selaras dengan Pelan tersebut, dari 2021-2023, kita harus membina Nodal-Nodal ke arah dayamaju Sistem LRT tersebut. Saya yakin, Nodal-Nodal ini pasti dapat dikenalpasti secara tepat jika Kajian Kemungkinan telah kita buat dengan teliti dan menyeluruh. Saya yakin, dengan pembangunan Nodal-Nodal penting tersebut, In Shaa Allah dalam masa jangka sederhana sistem LRT tersebut akan menjadi sangat berdaya maju serta memberikan kesan pembangunan yang sangat baik kepada the Greater Kuching. Saya menjangka pada 2023 kita harus memulakan pembinaan, agar pada 2025 Bandaraya Kuching, Kota Samarahan bahkan sebahagian jajaran Serian dan Bau telahpun boleh diopersi dengan baik.

(9) Nodal-Nodal penting yang saya jangkakan boleh memberikan dayamaju Cadangan LRT tersebut harus menjurus kepada pembinaan kawasan perumahan baru, pusat-pusat industri, bandar-bandar satelit, pusat-pusat pentadbiran dan pusat-pusat perlancungan utama. Nodal-Nodal ini harus di rancang dan bangunkan sedemikian rupa agar ianya boleh menjana pertumbuhan ekonomi mampan setempat dan negeri. Di antaranya adalah pembangunan Satellite Cities seperti Sentosa, Batu 12, Padawan, Siburan, Tapah, Serian untuk jajaran Serian.  Tabuan, UNIMAS, Desa Ilmu dan Kota Samarahan harus dibangun sebagai kota-kota metro bagi jajaran Samarahan. Sukma, Samariang, Buntal dan Santubong perlu dibangun menjadi kawasan-kawasan metro bagi jajaran Kuching Utara. Sebegitu bagi Jalan Astana, Wisma Bapa Malaysia, Darul Hana, Demak, BCCK sehingga ke Bako bagi jajaran Kuching Timur. Metro City, Matang Jaya, Taman Maleha, Tondong, Batu Kawah dan Bau perlu diolah sedemikan rupa agar ianya menjadi kawasan-kawasn pertumbuhan baru yang cukup menarik.

(10) Dalam masa yang sama, saya yakin, dengan masalah jaringan jalanraya yang ada di Kuching kini, perluasan jalan-jalan tersebut pasti sangat sukar serta mahal untuk dilakukan. Jika kekangan ini tidak kita pecahkan, Kota Kuching (Selatan) dalam 10-20 tahun lagi akan bertukar menjadi Old Grand Mother City yang kian kusam dan layu. Kawasan-kawasan seperti Electra House, Brooke Dockyard, RTM, Complek Polis Badaruddin, Flat KMC Padungan,  Kuarter Persekutuan Simpang Tiga, Komplek Kerajaan Simpang Tiga dan malah Komplek Perumahan Polis-Kastam Tabuan akan kekal tidak menyumbang kepada pull factor kepada pertumbuhan malah kecantikan Kuching. Secara jangka panjang, kawasan-kawasan ini boleh menjadi push factor kepada pertumbuhan sihat Kuching. Urban Renewal berserta sistem LRT In Shaa Allah akan melonjak kawasan-kawasan ini menjadi new key focal areas. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) harus boleh dijelmakan menjadi Pusat Riadah dan Membeli Belah yang cukup baik jika kita dapat menghubungkannya dengan cekap dengan segala nodal penting di Kuching. Saya yakin, DUN lama, Lapau dan Kawasan Pancutan Air Wisma Bapa Malaysia jika kita bijak mengolahnya, ianya boleh menjadi Pusat Seni Borneo, Borneo Cultural Center yang sangat hebat. Perubahan ini adalah penting, sebagai asas untuk kita menyediakan peluang pekerjaan yang cukup berkualiti selaras dengan usaha-usaha Pembangunan Manusia yang sedang kita usahakan. Penghijerahan rakyat Sarawak yang berpelajaran dan berkemahiran tinggi harus kita urus sedemikian rupa agar Sarawak tidak menjadi tanah buangan bagi mereka. Kerjaya Bergaji Tinggi serta penjelmaan Kuching sebagai Kota Temadun Hebat harus kita usahakan dengan segera selaras dengan segala perubahan terkini dan masa depan.

(11) Nodal-Nodal yang saya gambarkan secara conceptual di rajah-rajah di atas, tidaklah sukar untuk diunjurkan jika kita faham akan Hukum Tarikan Graviti Newton F = (GM1M2)/r^2 di mana F, boleh kita takrifkan sebagai Daya Tarikan, sedang G punya nilai tetap 6.67x10^-11N m^2/kg^2; M1 dan M2 adalah merujuk kepada dua entiti bersebelahan, dan r adalah jarak antara dua entiti M1 dan M2. Bagaimana formula ini boleh digunakan untuk mengunjur saiz sesuatu nodal, itu tergantung dengan creativity tentang cara kita mengolah segala parameter yang ingin kita jadikan input kepada formula tersebut.

(12) Secara ringkasnya, GOS kini harus mengambil sikap agak berbeza dan berani dalam usahanya untuk menjelmakan, transform kehidupan perbandaran yang sejahtera dan sihat bagi the Greater Kuching. Konsep Heathy City yang kita cuba amalkan, saya kira kita belum melaksanakannya dengan baik. Saya perhatikan, kita tidak mempunyai Local Plan yang menyeluruh dan teratur bagi kawasan-kawasan metro cities yang sedang kita bangunkan. Sikap GOS dulu dan kini yang membiarkan pembangunan ini hanya berteraskan private sector driven adalah agak kurang sihat biarpun State Planning Authority, SPA punya kuasa pemutus terakhir. Peranan SPA harus kini diperkemas dan diperluaskan untuk merangka Local Plan bagi semua kawasan-kawasan perbandaran dan berpotensi perbadaran. Dengan adanya Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Remote Sensing (RS) saya menjangkakan kerja-kerja penyedian Local Plan jauh akan lebih mudah serta dapat dikawalselia dengan baik. Tanpa adanya Local Master Plan, saya menjangka urban development di the Greater Kuching akan sangat bercelaru khasnya dalam pembangunan sektor pengangkutan dan kemudahan awam. Saya pernah menulis betapa kita telah banyak melakukan kesilapan dengan menolak keluar kawasan kependudukan dari pusat bandar dan menempatkan kawasan industri di persekitaran pusat bandar. Keadaan ini telah menimbulkan banyak mismatched  dalam kita menyediakan kemudahan terbaik kepada kawasan kependudukan  dan meningkatkan belanja hidup bagi kaum boroh kita.

(13) Sebagai kajian kasus, cuba perhatikan rupabentuk pembangunan Kota Samarahan khasnya Desa Ilmu, biarpun di kawasan sekitarnya terbangun pusat-pusat pengajian tinggi seperti UNIMAS, UiTM, IPG Tun Razak malah pelbagai institusi penting kerajaan, Kota ini kian terbangun tanpa adanya roh perbandaran. Bagi saya, roh Kota Samarahan adalah kecelaruan. Lantaran itu, Kota ini tidak tumbuh sebagai a natural growing city tetapi GOS dan GOM terus-terusan perlu menyuntik pelaburan bagi terus meransang pembangunan di sini. Desa Ilmu khasnya, tidak langsung melambang apa lagi berpunya roh Kota Ilmu. Ianya hanyalah sekadar sebuah kawasan perumahan kelas Menengah dan Rendah yang hidup segan, mati tak mahu. Seharusnya, kita boleh mengambil contoh terbaik dari segala rupabentuk Kota Ilmu yang melata di seluruh dunia. Para pemimpin malah pegawai kita sering ulang alik malah ada yang berpunya rumah di Perth, London bahkan di Amerika dan Kanada, namun kenapa bila membangun Negeri ini banyak bersikap building rubbish in our neighborhood.

(14) Saya berani mengatakan bahawa nodal-nodal yang ada di the Greater Kuching seperti Sentosa, Siburan, Tapah, Serian, malah Bau sama saja keadaannya seperti pembangunan di Kota Samarahan. Kita sedang membina nodal-nodal yang cukup pariah kapitalis dari membina healty nodes. Nodal-Nodal ini terbangun tanpa roh segar dan menyuburkan.  Lantaran itu, saya berkira semua ini kian menjadi negative impact to our tourism indusrial growth. Paling parah, saya yakin masyarakat di kawasan-kawasan ini sedang mengalami stress living and working environment. Maka dengan sebab itu, kita sering menghadapi recycle seasonal political distress.

(15) Dari segi model pembinaan dan operasi LRT, kita boleh memilih Pelan ini mengikut konsep Kuala Lumpur, Amerika atau New Zealand. Inilah Model Pelan LRT yang saya biasa dan fahami yang boleh dijadikan benchmark buat kita. Namun saya berkira Mixed KL, US and NZ Model adalah yang terbaik untuk Sistem LRT Kuching Raya. Cara China dan Jepun, malah Korea mungkin terlalu jauh untuk kita ikuti.

(15.1) Model LRT (MRT, KTM) KL lebih menumpu untuk menyurai penumpang dari pusat komersil seperti MidValley, Sogo, Lot 10, PWTC dsb ke bandar-bandar metro Kajang, Gombak, Batu Cave, dsb.  Jalinan ke pusat-pusat pekerjaan dan kependudukan dibiarkan diurus oleh sistem pengangkutan lainnya khususnya sistem Perkhidmatan Bas Percuma Selangor. Kini khidmat bas percuma ini telah dikembangkan menjadi Khidmat Prabayar Perjalanan Tanpa Had. Dengan adanya perkhidmatan E-Hailing, keadaan ini boleh menjadi lebih cekap dan berkesan. Namun secara keseluruhan, saya melihat sistem pegangkutan awam KL adalah commercial biased. Jika diperhatikan commuters dalam sistem train KL, ianya lebih menguntungkan rakyat asing dari rakyat tempatan. Sistem Mass and Public Transport KL adalah milik dan diurus oleh pihak swasta. Keadaan ini menjadikan pertimbangan tambang dan letak stesyen menjadi suatu pertimbangan komersil. Pemaju sistem pangangkutan awam di Kuala Lumpur perlu recover CAPEX,  OPEX dan laba mereka secepat mungkin.

(15.2) Di Amerika, sememangnya perkhidmatan mass and public transport mereka adalah sangat maju dan cekap. Prasarana mass and public transport adalah milik Kerajaan sedang pengurusan perkhidmatan ini adalah terbuka kepada pihak swasta. Pokoknya, CAPEX adalah urusan Kerajaan sedang OPEX adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan pihak swasta yang mengendalikan sistem tersebut. Seluruh sistem pengangkutan awam dan massa adalah sangat berjaringan dan bersepadu. LRT akan berhubung pada Nodal-Nodal Awam terpenting seperti Universiti, Sekolah, Taman-Taman bahkan tempat-tempat khas di Down Town seperti Dewan Bandaraya, Perpustakaan Awam Utama, dsb. Stesyen-stesyen mereka juga sangat ringkas dan jimat. Jarang sekali stesyen LRT akan berada berdekatan pusat-pusat komersil seperti di Kuala Lumpur. Sistem mereka benar-benar bercirikan public. Dari Node-Node Stesyen LRT jaringan ke kawasan-kawasan kependudukan dan tempat-tempat kerja utama adalah melewati perkhidmatan bas yang sangat cekap, mesra dan selesa. Sistem LRT di Amerika sangat bercirikan Metropolitan. Sistem train mereka sangat mengalak rakyat terutama golongan berada untuk membangun penempatan di luar pusat bandar iaitu di metro-metro sekeliling pusat bandar. Dengan cara ini, pelbagai masalah kesesakan pusat bandar dapat dikurangkan. Di kebanyakan negeri di Amerika, pusat-pusat bandar adalah pusat-pusat pekerjaan serta kediaman bagi golongan kelas menengah rendah ke bawah. Golongan elit lebih gemar membina kawasan kependudukan di luar-luar di metro-metro satelit. Dengan sistem sebegini, maka kita dapati golongan menengah rendah ke bawah akan berada di pusat-pusat bandar serta menikmati kemudahan-kemudahan sosial yang tinggi dan cekap, suatu keadaan sangat terbalik berbanding Malaysia. Bahkan mereka tidak perlu berkenderaan untuk ke tempat-tempat kerja lantaran kawasan kediaman mereka sangat berjaringan dengan tempat kerja. Perlu diingat, asas utama dalam perancangan sistem pengangkutan awam di Amerika adalah dengan mengambil faktor saving as much energy as possible. Amerika yang terpaksa mengimport sebahagian besar keperluan petroleum mereka, maka mereka cukup memperhitung akan keperluan penjimatan tenaga dalam perancangan pengangkutan awam mereka. Secara am, the American Public Transport adalah bersifat growth stimulant and for the great of American.

(15.3) Sistem LRT New Zealand agak sedikit berbeza. Ianya lebih kepada sistem untuk kebajikan dan keselesaan rakyat. Dengan penduduk kecil, jaringan jalanraya yang sangat baik, NZ tidak memerlukan LRT sebetulnya. Lantaran Negara itu kaya, maka mereka mampu untuk lebih bersifat berkebajikan.

(16) Maka dengan sebab itu, saya yakin Abang Johari ada kecenderungan untuk membina sistem LRT the Greater Kuching agar ada unsur-unsur kebajikan, keselesaan dan komersil. Bahkan jika semangat American public transport kita ambil kira bersungguh-sungguh, maka soal less spending on fuel harus kita tekankan agar rakyat tidak terlalu terkesan akibat perubahan harga minyak. Dalam masa yang sama, mungkin dengan mengambil pendekatan pembangunan penempatan di Amerika, kita boleh menjadikan LRT sebagai asas untuk pembangunan penempatan malah metrocities di luar dari Pusat Bandar Kuching agar harga rumah akan jauh lebih dapat dibeli oleh rakyat. Kerajaan Sarawak, GOS harus mampu melihat gandingan penyediaan LRT dan Perumahan Mampu Milik secara lebih total and integrated sebagai teras kebajikan yang ianya perlu pikul. Saya yakin dengan pendekatan cara ini, kita akan dapat memperluasklan asas pertumbuhan ekonomi kita, serta menjadikan kawasan luar bandar sebagai teras pertumbuhan yang sihat.

(17) Tumpuan GOS bahkan GOM pada masa ini dan ke depan adalah menyediakan segala bentuk kemudahan bukan percuma tetapi mampu serta dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat dan Negeri dan Negara. Konsep pertumbuhan pendapatan rakyat harus diubah dari tumbuh kepada berdaya beli tinggi. Tidak ada gunanya kita punya daya pertumbuhan tinggi sedang daya beli rakyat susut dengan parah. Inilah prinsip rencana ekonomi Barat berbanding dengan cara kita yang Najib telah lakukan sejak 2009-2017.

(18) Dalam masa yang sama, saya merasakan bahawa masyarakat di Kuching malah para pelancung yang datang ke Kuching, mereka agak limited choices untuk bersantai. Biarpun alam dan kerecaman budaya sekeliling kita adalah kaya, namun semua itu adalah agak sukar untuk dinikmati. Rakyat dan para pelancung perlu menjalani perjalanan yang agak meletihkan dan apa lagi kemudahan-kemudahan patut tidak tersedia baik di kawasan-kawasan ini, maka semua rahmat Allah ini tidak memberikan manafaat terbaik kepada warga the Greater Kuching. Maka dalam hal ini, GOS perlulah mengambil sikap lebih bersungguh-sungguh dan berani dalam memajukan kawasan-kawasan perlacungan berasaskan alami yang ada di sekitaran kita: Kawasan Bakau Rampangi, Santubong, Bako, Buntal, Serapi, Sg Matang, Tasik Biru, Gua-Gua di Bau, Rancang Pool dsb.

(19) Saya melihat, kemajuan hebat di sektor Pengangkutan Awam adalah kesan perpaduan antara kaum yang ianya boleh janakan. Kita mungkin terlepas pandang, di saat di stesyen dan bahkan di dalam gerabak, train para penumpang pasti akan ada berhubungan dan saling menghormati antara satu sama lain. Bahkan pengunaan Pengangkutan Awam jika diolah dan didisplin sedemikian rupa, unsur-unsur perpaduan dan ketemadunan prilaku In Shaa Allah dapat dipupuk dengan cukup baik. Pendapat ini saya ilhamkan betapa pengangkutan awam Allah iaitu lautan dan sungai telah menyuburkan kepelbagaian hidup serta saling mendokong akan segala macam mahluk maritime. JIka itu kias Allah, kenapa LRT, MRT, Komuter, dsb tidak dapat dilihat dan dijadikan asas kepada pembinaan disiplin, rasa hormat, dan saling mengharagi warga Negeri dan Negara.

(20) Maka, kepada saya, mereka yang mengkritik Abang Johari mengenai cadangan beliau untuk membina sistem LRT di the Greater Kuching, janganlah mengkritik hanya dengan meilhat dari satu sudut atau beberapa sudut sahaja, tanpa berpunya sikap let not left a stone unturned. Soal prasarana di luar bandar yang belum mencukupi, itu harus diusrus cara lain dan harus tidak dijadikan alasan untuk menidakkan keperluan masa depan LRT. The Greater Kuching harus ada Model Pembangunannya tersendiri sesuai dengan kedudukannya sebagai Ibu Negeri dan sangat berkeupayaan untuk menjelma menjadi Kotaraya Borneo. Penghijerahan rakyat berpelajaran dari luar bandar ke Kota (terutama the Greater Kuching harus kita tangani sekarang sebelum menjadi terlalu payah. Untuk itu, buah fikiran tentang sistem LRT the Greater Kuching harus jangan dibunuh.


Kuching, Sarawak

29 Nov., 4 Dis., 2018

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.