.

2/5/15 PEMBINAAN ASAS EKONOMI NEGARA.....cara Razak, Mahathir dan Najib.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 05, 2015

Share

& Comment

Sejak sekian lama kita diasak dengan istilah Asas Ekonomi Negara atau dalam Bahasa Inggerisnya the State Economic Fundamental. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Asas Ekonomi Negara? Dalam Islam, konsep Rukun Islam dan Rukun Iman pasti banyak yang mengetahui. Jika teguh Rukun Iman seseorang, In Shaa Allah teguhlah Rukun Islamnya. Begitu juga tentang Rukun Negara. Sesungguhnya Asas Ekonomi Negara bolehlah diibaratkan sebagai Rukun Ekonomi Negara. Jika Rukun Ekonomi Negara adalah teguh, maka mudahlah kehidupan rakyatnya. Jika kita membaca buku ekonomi dulu-dulu, kekuatan ekonomi sesebuah Negara sangat bergantung kepada: tanah, boroh dan modal. Maksudnya, jika sumber asli Negara adalah banyak, dan apa lagi jika punya jumlah penduduk yang banyak serta punya modal, maka Negara tersebut pasti akan dapat maju ke depan. Namun di abad ke 20, tafsiran itu sudah berubah kepada sumber asli, tenaga manusia, dan teknologi. Di abad ke 21 ini, modal insan, keusahawanan, dan teknologi sudah menganti sumber asli dan modal. Sesungguhnya, semua inilah apa yang disebut sebagai Asas Ekonomi Negara. Cuma bagi rakyat kebanyakan, pemahaman mereka terhadap Asas Ekonomi Negara harus sesuatu yang amat mudah iaitu hidup yang mudah, atau mudah mendapat rezeki.


(2) Dalam bahasa mudahnya, bagi orang Melayu kebanyakan, Ringgit harus sangat laku dan dipandang tinggi di mana-mana, dan kini khususnya di rantau ASEAN, Asia Jauh dan Asia Barat. Maka, selagi seringgit masih berlegar dalam nilai bersamaan 10 Bath Thailand, 3,500 Rupiah Indonesia, 1.10 Rial Saudi, 10 Peso Filipina, dan 2.50 Dollar Brunei dan Singapura maka apapun pembicaraan tentang Asas Ekonomi Negara masih tidak ramai akan sangat pedulikan.

(3) Di permulaan kemerdekaan Negara sumber asli seperti timah, besi, balak dan getah menjadi asas Utama Ekonomi Negara. Sebelum WWII kehidupan rakyat seperti sangat senang walaupun payah. Namun selepas WWII dan di pasca Kemerdekaan, dengan peralihan asas ekonomi dunia dan kejatuhan harga getah dan timah serta kekurangan balak dan besi, telah tambah merumitkan kehidupan rakyat jelata. Walau bagaimanapun, Negara agak beruntung bilamana Sawit telah dengan jayanya dapat dibangunkan secara kuat sebagai sumber asli baru Negara. Namun hanya bergantung ke atas sumber-sumber asli tersebut, tidak menjadikan rakyat Malaysia gagah berdaulat. Berbanding dengan banyak negara-negara lain, Malaysia sebenarnya sangat beruntung lantaran kita adalah jauh lebih mewah dari negara-negara lain. Kita sebetulnya dalah Negara kaya yang terkesendiri.

(4) Darjah kecekapan pengurusan apa yang ada adalah lebih penting, dari memiliki kekayaan itu sendiri. Malaysia biarpun adalah sebuah Negara yang kaya, namun jika diosorot dari kekuatan ekonomi masyarakat pribuminya, adalah sangat mengecewakan. Nilai keIlmuan manusia-manusia di Malaysia harus berubah. Maka dengan sebab itu Abdul Razak Husein mengasak kuat Pembinaan Modal Insan Human Capital Development lewat pengujudan MARA bagi melahirkan lebih ramai dan secara cepat tenaga terpelajar dan pakar di kalangan Umat Melayu. Dalam masa yang sama, beliau juga menggunakan MARA dan SEDC untuk membina Usahawan Bumiputera. Agensi-agensi wilayah khusus Abdul Razak juga bagun dan pergunakan untuk memperluas perkembangan ekonomi Negara. Ini antara lain termasuklah MUDA, KEMUBU, KADA, KETENGAH, DARA, dan KEJORA di mana agensi-agensi seperti FELDA, FELCRA, RISDA dsb telah diberikan mandat yang sangat luas untuk membangun ekonomi rakyat secara ala-koprat. Institusi-institusi lain seperti Perbankan, Kehakiman, dsb juga beliau tubuh dan perkemaskan. Dalam masa yang sama, Abdul Razak Husein juga bergerak tangkas dalam membangun segala prasarana asas Negara seperti Jalanraya, Pelabuhan, Lapangan Terbang, Landasan Keretapi dsb sebagai menyokong pertumbuhan dan perluasan berterusan ekonomi Negara. Beliau juga meletakkan beberapa asas bagi pembangunan dan perkembangan ekonomi serantau khusus di kalangan negara-negara ASEAN. Abdul Razak lewat pinjaman dana luar Negara, berserta sumber tanah yang ada dan kemahuan pengurusan politik yang kuat dan jujur telah dapat merintis jalan hebat bagi kemajuan Negara, Bangsa dan Islam seterusnya. Sesungguhnya, bagi sebuah Negara yang baru merdeka, dan punya pemimpin seperti Abdul Razak Husein yang punya kebijaksanaan dan keberanian dalam membuat segala sesuatu melangkau Thinking Outside the Box, The Six Thinking Heads dan bahkan melampaui Strategic Thinking dan Blue Ocean adalah suatu anugerah yang sangat luar biasa Allah ke atas Umat Melayu. Dalam tempoh sekitar 10 tahun dari Kemerdekaan, Melayu sudah punya pemimpin bertaraf Dunia dari segi jatidiri, pemikiran dan daya kerja beliau.

(5) Saya melihat cara Abdul Razak adalah sangat mendekati rakyat tanpa beliau sedikitpun lupa untuk menyusun segala jentera dan sistem tadbir urus Negara dalam menjayakan hasratnya untuk memperkasa rakyat khususnya orang-orang Melayu dan pribumi lain seluruhnya. Para pentadbir Melayu belaiu sangat dekati dan pastikan benar-benar bekerja pada landasan untuk membina Negara, bangsa san di jalan benar. Dari 1970-76, selama sekitar enam tahun, beliau membina Asas Ekonomi Negara berpaksikan kepentingan rakyat, Negara dan Islam lewat jatidiri yang kental bijaksana dan jujur. Abdul Razak adalah Negarawan sejati.

(6) Di zaman Mahathir, Asas Ekonomi Negara beliau telah strukturkan kepada Pembinaan Modal Insan, Perkembangan Teknologi, Perubahan Budaya Kerja Institusi, Prasarana Bertaraf Dunia dan Martabat Bangsa, Negara dan Islam. Semua ini beliau asak sememangnya sangat menjangkau keluar dari Outliers jauh melintasi the Blue Ocean. Hakikatnya, benarlah apa seperti yang beliau telah perakui betapa Abdul Razak Husein adalah Idola kepemimpinan beliau. Apa yang dibuat oleh Mahathir adalah berkelanjutan dari apa yang Abdul Razak Husein telah lakukan, cuma beliau menambah baik dari segi cara dan rupa bentuknya sedang keputusan akhirnya tetap sama iaitu memartabatkan Bangsa, Negara dan Islam. Razak bangunkan Felda, beliau tawan Gutrie dan kembangkan sebagai Sime Darby. Bayangkan, tanpa Dawn Raid pasti sehingga kini sekitar 30-40 peratus dari tanah di Melaka akan terus menjadi milik British. Apa lagi bagi Negeri Sembilan. Juga apa mungkin kini kita akan punya bank tanah yang strategik untuk pembangunan hartanah di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dsb. Razak bangunkan Wilayah-Wilayah Ekonomi, beliau bangunkan Lebuhraya bagi menghubung semua wilayah-wilayah ini serta ditambah dengan Pusat-Puasat Industri. Razak buat perlabuhan, Mahathir kembang dan tingkatkan besarkan segala perlabuhan. Razak buat MARA, Mahathir jadikan ITM sebagai UiTM dan perluaskan UiTM menjangkau keluar dari Shah Alam. Kini UiTM sudah berada di seluruh negeri-negeri di Malaysia dan sedang berkembang ke daerah-daerah pula. Razak menubuh segala macam agensi separuh Kerajaan, Mahathir melengkapkan dengan menukar agensi-agensi ini menjadi gergasi GLC koprat. LLN menjadi TNB. DCA menjadi MAB. Telekom menjadi STMB. Jabatan POS menjai PosMalaysia dsb. Semuanya atas tujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan, dan paling banyak tidak sedari adalah sebagai wadah perkembangan Asas Ekonomi Bumiputera. Penyatuan kekayaan Pribumi beliau perkembangkan lewat pembesaran PNB dan Tabung Haji. PNB dan beberapa kumpulan Wang Simpanan Negara terutamanya KWSP, Tabung Pencen, dsb kemudian menjadi sumber kepada perkembangan segala GLC. Petronas, yang sangat sinonim dengan Razak, kini sudah menjadi salah satu gergasi bertaraf dunia dan menjadi asas kepada perkembangtan industri automotif dan industri berat Negara lewat wujudnya Proton dan Circuit F1. Kejuruteraan dalam sektor pembinaan Negara sangat berubah dengan adanya industri berat Negara. Malaysia kini sudah berani membina lbuhraya bertingkat, jambatan panjang-panjang, pelabuhan besar-besar, lapangan terbang canggih-canggih, sistem pengangkutan massa, bangunan pencakar langit dsb. Sebetulnya, segala jejak Razak dan Husien Onn, sangat Mahathir ikuti rapat dengan melakukan perubahan cara dan rupabentuk. Beliau juga sangat beruntung lantaran Free Global Capital and Technological Flow telah sangat menyebelahi beliau dan itu sangat beliau pergunakan demi Negara ini. FDI sangat beliau manafaatkan dalam mengisi keperluan pelaburan untuk meningkatkan serapan tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang beliau bina. Pekerjaan menjadi sangat mudah untuk rakyat perolehi. Rezeki rakyat mudah dapatkan. Secara ringkas, Mahathir mungkin kelihatan amat boros di kacamata lawan beliau samada dari dalam dan luar UMNO dan BN, namun keborosan tersebut saban hari tampak sebagai mercu-mercu kekuatan Asas Ekonomi Negara. Saban waktu sekitar jam 20.00 malam rakyat Malaysia akan terpaku di depan kaca TV1 untuk mengikuti ada-ada sahaja projek pembangunan baru yang Mahathir lancar dan atau perkatakan. Di zaman beliau, RTM1 rakyat hargai penuh teruja seperti Tayangan Wayang Penerangan di padang-padang terbuka di tahun-tahun 1970an. Negara benar-benar bergerak maju ke depan dan ibu bapa sangat yakin tentang masa depan anak-anak mereka. Mahathir dan Razak, di mata rakyat, adalah dua pemimpin yang benar-benar turun padang, turun bukan bermusim untuk berlakun.

(7) Cuma, mungkin, khilafnya Mahathir serta ketidak sabaran dan kedangalan Musa Hitam, Rezaleigh Hamzah, Ghafar Baba juga Anwar Ibrahim adalah kealpaan dalam menerapkan Adeen Islam secara pantas dan strategis ke dalam roh perubahan ekonomi Negara. Saya mengatakan betapa Anwar khususnya amat dangal lantaran beliau tidak dapat membaca secara tepat keinginan Mahathir untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam segala sistem urustadbir Negara dan bagaimana Anwar telah gagal untuk bertindak sebagai kuasa pelengkap dan mengasak, complimenting and forces ke arah itu. Maka, Mahathir kelihatan agak lengai dalam cara dia cuba menerapkan Adeen Islam dalam urustadbir Negara. Namun usaha ke arah itu tidaklah beliau abaikan langsung. Institusi Islam seperti UIA, JAKIM, ISTAC, dan Perbankan Islam terus beliau kembangkan.

(8) Saya melihat, Islam dan perkembangan sosio-ekonomi Negara biar di zaman Abdul Razak membawa ke Mahathir, seperti masih terpisah. Dua faktor saya lihat sebagai penyumbang besar kepada kekhilafan jurang ini. Pertama, para pemimpin politik dan pengurusan di Negara ini belum punya ilmu keIslaman mendalam dalam mengurus Negara, sedang yang punya pendidikan Islam pula tidak faham tentang soal-soal pengurusan Negara. Saya yakin, Mahathir punya pandangan lain dari kalangan Islami tradisional dalam cara membangun dan mengurus sebuah Negara Islam. Mahathir berpandangan sangat lain dari sorotan sempit para Islami tradisional. Namun lantaran kekangan keIlmuan Islam Mahathir itu sendiri menjadikan payah untuk beliau berhujah jelas tentang kelainan yang hendak beliau tekankan. Maka saya berkira, Mahathir nampak ada sedikit kekuatan pada Anwar. lantaran itu saya yakin, kelainan inilah yang Mahathir mahukan Anwar selidiki, bongkar dan rumuskan sempurna. Namun kedangalan serta ketaksabaran Anwar telah menjerumus beliau ke dalam kancah kerakusan kuasa. Sifat dualisma dalam sistem pendidikan Negara sangat merugikan Melayu dan Islam di Negara ini. Ianya meletakkan Melayu dalam dua alam yang berbeda iaitu Dunia atau Akhirah tidak dalam alam penyatuan kedua-duanya. Faktor kedua, saya berkira, lantaran sifat majmuknya Negara serta suasana global yang sangat memusuhi Islam sehingga beliau mengambil sikap seolah-olah condong ke Kebangsaan dalam pendekatannya. Cuma, Mahathir juga tidak mahu dikenali sebagai Kebangsaan, Nasionalis kerana itu pasti mengundang padah politik dalam suasana sebuah Negara majmuk. Pilihan terbaik bagi Mahathir adalah terus mengasak cara membangun Negara ini dari sudut Nasionalis Kenegaraan.

(9) Maka, saya melihat, dari sudut Asas Ekonomi lainnya, cara Mahathir adalah sama dengan pemimpin negara-negara manapun, namun suatu yang mungkin tidak banyak melihat adalah bila dia samada secara berselindung atau tidak sedar  telah meletakkan Martabat Negara, Bangsa dan Islam sebagai salah satu Asas Penting Ekonomi Negara. Saya yakin, sedar atau tidak, Mahathir sebetulnya telah sangat terpengaruh oleh cara pemikiran dan gerak kerja Korea, Jepun dan Jerman dalam cara beliau hendak merobah struktur sosio-ekonomi Melayu dan Negara ini. Orang Jepun, Korea dan Jerman sangat terkenal akan sikap kental taat setia mereka kepada Negara, Bangsa dan Agama mereka. Sang Samurai, umpamanya menilai harga diri dan nyawanya hanyalah untuk Negara. Bagi seorang Samurai, tiada yang lebih berharga untuk mati demi Negara, Bangsa dan Agamanya. Jati diri Samurai mungkin telah sangat mempengaruhi pemikiran Mahathir untuk merobah cara pemikiran dan jatidiri Melayu. Sifat sebegitu pastinya tidaklah mengherankan jika ianya wujud secara tanpa sedar dalam jiwa Mahathir. Asas martabat Negara, Bangsa dan Islam merupakan jatidiri Melayu cuma ianya tidak terzahir keras sebagaimana yang ditonjolkan oleh masuyarakat Jepun, Korea dan Jerman. Penonjolan jatidiri Negara, Bangsa dan Agama di negara-negara lain lebih bersifat Kebangsaan, Nasionalisma perkauman. Ini sangat berkemelut dengan pegangan Islam masyarakat Melayu. Islam memerlukan Melayu bersikap saksama. Juga, sebagai sebuah Negara Majmuk, Mahathir juga tidak mahu dilhat sebagai Ultra Malays yang sangat menjurus kepada Nazist, Facist, Zionist, Apartheid, dan bahkan White Supremacy. Sifat bertimbang rasa Melayu pasti tidak sukakan sesuatu yang ultra dan Mahathir faham akan prihal itu. Namun dia tidak boleh terlepas dari kepentingan Bangsa dan Islamnya. Lantaran itu, segala apa yang Mahathir lakukan beliau tegaskan sebagai sesuatu demi Negara, Bangsa dan Islam. Melayu dan "Islam" yang masih mundur perlukan pembelaan tegas. Namun Negara juga harus dia pertahankan kemerdekaan dan kedaulatannnya. Maka Asas Ekonomi Mahathir adalah sesuatu yang mesti menjurus kepada memartabatkan Negara, Bangsa dan Islam.

(10) Sebetulnya, Asas Ekonomi yang paling asas adalah tentang sikap dan keperibadian rakyat atau kaum di sesebuah Negara atau wilayah. Dari sebermula kejadian manusia, Allah secara terang-terang membedakan antara Malaikat, Syaitan dan Manusia. Kelebihan manusia dari segala mahluknya adalah lantaran ilmu yang Dia berikan kepada manusia. Manusia Allah anugerahkan fikiran yang mencerna akal sebagai jalan membina ilmu. Hanya manusia berilmu akan jauh lebih tinggi darjatnya dari manusia-manusia lainnya. Ini sangat jelas ditegaskan oleh banyak Surah dan Ayat di dalam Al Quran. Saya berkira, Mahathir antara sedar dan tidak sedar telah memperakui hakikat ini, maka beliau telah melihat ke Jepun, Korea dan Jerman sebagai landasan untuk membina siasah Umat Melayu agar berbakti sekuatnya demi Negara, Bangsa dan Islam. Tiada Model Negara Islam yang beliau boleh rujukan. Cuma sifat majmuk Negara ini, menjadikan falsafah Asas Ekonomi ini agak menjadi kabur dan sedikit bercelaru. Namun beliau tidak pernah mahu mengaku kalah, dan terus berusaha keras menuju ke arah itu. Kemelutnya, lantaran kegagalan beliau untuk menyemai sikap nasionalisma demi Negara, Bangsa dan Islam ke dalam segala sistem tadbir urus Negara, maka dengan ledakan kejayaan pembangunan ekonomi yang telah beliau letakkan, semua itu telah menunjangi sikap kapitalisma tulin di kalangan para pengurus dan sebilangan rakyat di Negara ini. Pertumbuhan pesat ekonomi Negara, diring deras pertumbuhan mendadak sikap kapitalis tulin di kalangan rakyat apa lagi di kalngan para pemimpin dan pengurus pentadbir Negara. Sikap tamak bergandingan dengan dengki khianat kian menjadi asam garam kehidupan. Akibatnya, ketamakan berebut kemewahan telah mengatasi usaha-usaha pembinaan siasah rakyat. Inilah punca kepada segala kemelut pengurusan di akhir-akhir pentabdiran Mahathir. Asas-asas Ekonomi yang berupa unsur-unsur fizikal, fiskal dan Modal Insan Mahathir kian menuju jalan merundum lantaran kegagalan beliau untuk membangun Insan Kamil di kalangan generasi baru Melayu. Akhirnya, rasuah dan pecah amanah menjadi suatu budaya baru dan kian berleluasa di dalam dunia Melayu di Negara ini. Melayu dan rasuah serta pecah amanah sedang menjadi suatu sinonim Negara. Jika dulu Melayu paling boleh dipercayai, kini Melayu adalah bangsa pengambil rasuah dan suka pecah amanah. Kekhalifahan pada Melayu sedang menuju jalan punah.

(11) Sesungguhnya, barisan kepimpinan Negara selepas Mahathir tidak punya kekuatan jatidiri dalam menangani gejolak Kapitalis pasca Mahathir. Biar Mahathir punya aspirasi tinggi untuk menegakkan Islam sebagai Adeen Negara, namun sorotan beliau ke Jepun tidak membawa beliau tentang asas ketaatan Samurai kepada Negara dan Bangsa mereka yang sangat bertunjangkan kesujudan mereka pada adat tradisi Samurai yang amat keras. Bagi Samurai dan semangat Samurai, ketaatan kepada adat tradisi adalah ibaratkan pegangan kuat kepada keluhuran agama. Saya yakin di Jepun, Korea dan jerman Mahathir terlihat akan disiplin kerja keras nagsa-bangsa itu, tanpa sedar disiplin itu adalah atas keteguhan pegangan adat pada mereka bagi mereka, adat adalah agama Jikapun Mahathir tahu akan prihal ini, saya yakin beliau dengan sengaja memisahkan diri dari fahaman sebegitu berasaskan dengan apa yang sedang beliau saksikan di dunia Islam. "Ketaksuban" sebahagaian Umat Islam terhadap "Islam" seperti tidak membawa mereka jauh mengatasi sesiapapun, bahkan semakin melemah menghancurkan. Dalam kata keramat Mao Tze Dung: "Agama adalah candu, maka hapuskan agama dan bebaskan rakyat dari beragama". Lantan itu saya berkira, Mahathir terlalu banyak membazir masa untuk terus bertelagah dengan para "Islami" dalam usaha beliau untuk discourse mencari jalan Islami seperti yang beliau mahukan. Cara discourse Mahathir adalah cara konfrantasi sehingga meletus menjadi permusuhan ideologi tanpa faedah. Dari menghasil buah fikir untuk dapat digarab bersama, perbalahan menjadi satu budaya Melayu yang tidak henti-henti. Saya melihat beliau mengambil sikap sebegitu, lantaran kekecewaan beliau dengan Anwar Ibrahim dengan rennaisancenya serta Mohammad Naguib pada ISTACnya. Islam dan kebangkitan Melayu seperti yang dia harapkan tidak menemukan jalannya. Akibatnya, Mahathir mulai membina musuh di kalangan kapitalis, separa Islami dan Islami tradisional. Di kalangan kapitalis, dia kian dikelilingi para serigala yang tidak pernah kenyang juga kelompok-kelompok serigala baru yang ingin membina territory sendiri. Di kalangan separa Islamis, dia dilingkungi oleh mereka yang paling berpura-pura dan egois. Sedang di kalangan Islamis tradisional dia adalah MahaFiraunnyata. Dia akhirnya kian kesendiri dalam sebuah perjuangan tidak selesai iaityu mencari jalan pengurusan Islami bagi mempertabatkan Negara, Melayu dan Islam.

(12) Dari 1981-2003, Mahathir mengajak seluruh Negara bekerja kuat demi Negara, Bangsa dan Agama. Dari sudut Asas-Asas Ekonomi berbentuk fizikal, fiskal dan modal insan duniawi, beliau saya kira sangat berjaya dan jika Abdul Razak Husein masih ada, pasti dia amat berbangga dengan bekas pemuda harapannya  ini. Paras kemiskinan Negara dari sekitar 47 peratus di awal pasca kemerdekaan, menjunam ke sekitar 4.5 peratus bila beliau meletak jawatan. Pertunjuk-pertunjuk ekonomi lainnya sememangnya sangat hebat, dan itu semua telah meletakkan Malaysia sebagai the rising Tiger of the East. Namun keraskusan politik dan kekayaan mengheret Malaysia sejak dari 2002 sehingga kini dalam keadaan tidak ketentuan yang amat membinggungkan. Mahathir berjaya membina kelompok Melayu koprat kapitalis namun dia gagal membina Melayu Koprat Madani. Inilah punca segala kekalutan kini. Asas Ekonomi paling asas yang Allah kehendaki, iaitu manusia-manusia bersifat khalifah pada jalan Islam tidak terbangun kukuh.  

(13) Kedua-dua Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib sedang lemas dalam kancah kapitalis sehingga kedua-duanya dipergunakan elok oleh tututan kapitalis massa menjadikan keadaan ekonomi Negara menjadi goyah. Asas-asas Ekonomi Negara binaan Abdul Razak dan Mahathir sedang tergoncang hebat dan mungkin sedang menuju untuk rebah dan berderai. Sesungguhnya Islam sangat jelas dalam pertunjuk Asas Ekonominya. Adam AS diturunkan ke dunia di India (Sri Langka). Tekad dan sifat baginda membawanya ke Jeddah di Lembah Bekka bertemu kekasih hati Hawa AS. Hawa AS terpaku pada gurun kering kontang tanpa apapun, melainkan sebuah tekad dan jati diri yang kental, betapa pasti Allah akan mendatangkan Adam AS kepadanya. Semua ini jika dihalusi, jelas menunjukkan betapa segalanya tidak penting, yang paling penting dalam kehidupan ini adalah nilai-nilai kemanusiaan manusia itu. Allah lewat perjalanan kehidupan awal Adam AS dan Hawa AS dan bahkan kemudiannya Hajar dan Ismail AS serta Muhammad SAW sangat jelas cuba menunjukkan betapa segala yang bersifat material bukanlah Asas Ekonomi untuk apapun, namun nilai-nilai kemanusian adalah asas pokoknya. Inilah nilai-nilai kekahlifahan yang Allah tuntutkan dari setiap mahluknya bernama Lelaki apa lagi Lelaki Muslim.

(14) Sadar atau tidak, anak-anak Melayu yang kembali dari luar Negara telah berjaya mengheret anak-anak Melayu yang memerap menimba ilmu di Negara ini untuk melihat dunia dari benar-benar sudut keduniaan. Melayu yang luhur pada adat bermasyarakat telah mengalih pandang betapa kejayaan sendiri-esndiri adalah asas kehidupan sebenar. Dalam menghambat kejayaan untuk diri sendiri, ramai yang mula bersikap jaga periuk nasi sendiri dari benar-benar mahu berdiri demi Negara, Bangsa dan Islam. Perut dan sahwat sendiri menjadi kebutuhan paling dibutuhkan. Kelompok-kelompok manusia-manusia berjiwa kapitalis Barat dan Tempatan inilah yang mengheret pentadbiran Abdullah dan Najib ke dalam gaung kapitalis yang lebih dalam. Akibatnya, lantaran perebutan kapitalis lama dan kapitalis baru maka semua jadi terheret dalam kebinggungan paling benggong. Inilah apa yang Allah telah janjikan "Saat api penyuluh jalan telah diberi, sedang jalan gelap terus dicari, maka demi masa segalanya pasti punah". Abdullah ternyata sudah terkecundang. Najib bagaimana?

(15) Saya yakin tanpa satu jalan pulang yang jelas Najib juga akan terkecundang. Melayu pastinya porak peranda. Apakah jalan pulang yang terang buat Najib? Islam? Itulah kata mudah yang banyak orang perkatakan, khusus di kalangan yang menganggap diri mereka Islami biar sebertulnya mereka dari dulu sehingga kini adalah juga serigala berbulu ayam. Jika tidak percaya, cuba lihat berapa ramai di antara yang bergegar-gegar berbicara tentang Islam benar-benar bertarung di alam nyata membimbing rakyat ke jalan benar? Saya belum nampak ada yang berani sebegitu. Masih banyak yang takut tidak makan dari hormat betapa Allah berkuasa dari apapun yang paling berkuasa.

(16) Saya meramalkan kegagalan Najib untuk terus mentadbir Negara ini secara sejahtera makmur untuk semua lantaran adalah berakibatkan para Islami kita masih berupa mereka yang makan gaji dan takut hilang gaji. Selagi Nilai-nilai Pengurusan dan Kemahiran Islami tidak terbangun di kalangan orang-orang Melayu, sampai kapanpun akan tiada kelestarian kebahagian buat Melayu dan Ummah seluruhnya. Najib boleh degan segala macan transformasi membina kekuatan fizikal, fiskal, dan modal insan bukan insani, keruntuhan pasti mendatang. Umaiyyah, Abbasiah, Kardoba, Othmaniah, Mogul, bahkan Melaka, Majapahit, Demak, dsb, semuanya telah hancur lantaran peminggiran dan meminggirnya para Islami dalam pengurusan Negara dan Bangsa. Mahathir terkecundang kerana itu, Najib pasti menemukan jalan yang sama, jika para Islami kita bungkam dan atau terus kekal pada jalan tradisional mereka.

Kuching, Sarawak
5 Mei, 2015

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.