.

3/4/14 WASATIYYAH....masaqid; ke mana tala Najib kepada kita?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 10, 2014

Share

& Comment

Pertama, perkataan Wasatiyyah mula diperkenalkan oleh Najib pada 2012. Inilah waktu gelora, bila Islam sedang digasak oleh Barat sebagai penganas. Wasatiyyah, perkataan Arab bermaksud kesederhanaan. Soalnya, bila Najib mengusul amalan sifat bersederhana itu, adakah ianya ditujukan kepada Barat atau Umat Islam? Saya melihat, Najib sedang mengajak Umat Islam untuk bersederhana. Suatu yang amat malang. Najib sepertinya terperangkap dalam permainan Barat. Najib mengesahkan betapa Umat Islam adalah penganas maka mereka harus berwasatiyyah. Anih.

(2) Benar, Najib juga hendak mengerakan sifat Wasatiyyah Global. Gerakkan Globalisasi Wasatiyyah Najib sekali lagi adakah ianya untuk Umat Islam atau Umat Sejagat? Tumpuan awal pastinya Umat Islam. Sekali lagi Barat akan tersenyum puas. Barat sudah mendapat Master Endorsement iaitu Najib, Malaysia untuk memperakui Islam adalah penganas. Kita, dalam banyak tindakan yang seringnya bersifat reactive, akhirnya memerangkap diri kita. Kita terperangkap dalam permainan Barat.

(3) Saya yakin, banyak akan berkata, kerana Wasatiyyah adalah sifat tuntutan Islam, maka wajar bagi Najib untuk memperingati semua akan prihal ini. Benar. Betul. Syabas. Juga, kerana itu adalah tututan sifat oleh Islam, maka wajar, sasaran utama adalah pada Umat Islam. Benar. Betul. Syabas. Cuma saya mempertikai waktu seruan itu dilakukan. Ianya dilakukan saat Barat sedang memfitnah Islam adalah penganas. Kita sepertinya sedang menyorong bantal kepada yang mengantuk; menyiram minyak pada api yang membakar. Itulah pertikaian saya yang pertama. Masalahnya adalah  timing. A perfect timing for the West to crush us hard.

(4) Hidup bersederhana adalah tuntutan Islam. Itu adalah salah satu dari tuntutan Islam. Tidak sepenuhnya. Saya tidak pasti, berapa peratuskah sifat Watasiyyah itu mewakili sifat-sifat tuntutan Islam. Benar Islam menyurush kita bersederhana dalam banyak hal. Namun, tidak semua hal kita harus bersederhana. Contohnya, saat Muhammad SAW hendak melancarkan perang kepada musuh Islam, apakah sikap dermawan Abu Bakar dan Umar Al Khataab pada saat sebegitu bersederhana? Juga bersederhana bukanlah hanya satunya sifat tuntutan Islam. Muhammad SAW dan sahabat empat baginda, juga Umar Abdul Aziz menunjukkan sifat kesederhanaan pada sifat zuhud mereka, iaitu menafikan menikmati kemewahan hidup. Sifat zuhud mereka ini, adalah berasaskan tuntutan betapa segala sikap dan sifat kehidupan mereka tidak sekali-kali menidakan hak-hak orang lain khususnya rakyat pimpinan, Ummah. Umar Al Khataab umpamaya, sanggup makan roti keras kering lantaran tidak mahu Umatnya makan kurang dari dirinya. Begitu juga, Muhammad SAW menghalang Fatimah Azzaharah, anak kesayangannya dari mendapat pengasuh-pembantu rumah dari kalangan tawanan, lantaran dia tidak mahu ini menjadi teladan Umat selanjutnya untuk bermewah dengan harta negara. Kehidupan Muhammad SAW sendiri di sepanjang hayat baginda, bagaimana? Baginda hidup tidak lebih dari rakyat biasa. Itulah kayukuran kesederhanaan Muhammad SAW jika kita boleh berfikir. Pemimpin Ummah, hidup pada kehidupan biasa rakyat biasa. Apakah ini terjadi kini?

(5) Najib sepertinya mengajak Umat Islam di Negara ini agar bersederhana. Inilah apa yang saya nantikan. Inilah seruan yang benar. Inilah seruan yang betul. Syabas. Namun, yang menjadi pertikaian kedua saya adalah adakah Najib sendiri bersederhana? Sifat bersederhana Najib apa maksud dan bidang liputannya? Adakah sekadar tidak menyakitkan orang lain, maka itu sudah memenuhi keperluan Wasatiyyah? Juga, bila rakyat jarang dapat mandi dengan selesa, sedang Najib mandi puasnya terjamin, adakah itu maksudnya bersederhana? Atau ada rakyat berhutang gila untuk berkahwin, sedang para pembesar Negara bermewah dalam majlis perkahwinan anak-anak mereka, adakah itu teladan bersederhana? Pokoknya, pertikaian kedua yang ingin saya bangkitkan adakah Najib telah menetapkan kayukuran dan skop Wasatiyyah bagi dirinya sebelum orang lain. Persoalan ini, saya kemukakan kerana Najib dalam menyeru amalan sifat bersederhana, dia mendahulukan Umat Islam dari Barat, maka wajar, dia memulakan pada dirinya sebelum orang lain. Kemudian kepada menteri-menteri kabinet, pemimpin-pemimpin lainnya. Jika ini dapat dijalankan, saya yakin, bersederhana akan menjadi budaya kita. Atau adakah Najib turut berpegang pada prinsip rakyat dulu bersederhana, kemudian baru pemimpinnya? Muhammad SAW melakukan apa yang baginda seru dan perkatakan dahulu sebelum yang lainnya. Jangan kita terlalu mudah untuk berkata itu zaman dulu, sekarang lain. Muhammad SAW juga para Khalifah Rashidun adalah Emperor pada zaman mereka. Muhammd SAW boleh minta apa saja, pasti para sahabat sepertinya Abu Bakar, Umar dan Usman akan berusaha memenuhi kehendak baginda. Namun, Muhammad SAW memilih Wasatiyyah sejati, memilih zuhud demi Islam. Yang pasti, sifat zuhud Muhammad SAW dan para sahabat baginda, tidak mengurangkan darjat mereka di sisi Allah dan masyarakat.Di zaman ini, contoh paling mudah adalah Abdul Razak Husein, bekas Perdana Menteri ke dua kita, itupun sukar kita teladani, biarpun saya kira oleh Najib sendiri.

(6) Kedua, seperti saya perkatakan terdahulu, Wasatiyyah Najib apakah kayukuran dan bidang liputannya? Alhamdullilah. Najib terus Allah anugerahkan Taufik dan Hidayah oleh Allah. Mudah-mudahan terus sebegitu. InsyaAllah. Maka, kini Najib telah memberikan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) satu tanggungjawab besar iaitu mengujudkan Indek Masaqid. Satu lagi istilah asing yang Najib perkenalkan. Maksud istilah Masaqid yang saya baca adalah tujuan mulia syariat Islam untuk kesejahteraan Ummah. Maksudnya, kini Najib memerlukan agar IWM mengujudkan Piawaian untuk meneliti apakah perlakuan dan institusi yang ada di Negara ini akan menjurus kepada tuntutan Syariat Islam. Ringkasnya, IWM kini akan menjadi Institusi Piawaian untuk memperakui apakah sifat dan perlakuan sesuatu entiti itu menepati dan atau menjurus kepada syariat Islam. Mungkin perbandingan mudahnya adalah IWM kini sudah diberi tanggungjawab sepertinya MAMPU dan atau SIRIM dalam mensijilkan mana-mana entiti apakah mereka menepati kepetuan TQM dan atau ISO. Juga agar mudah difahami, Masaqid adalah TQM dan atau ISO Islami. Cuma kita harus hati-hati, bidang liputan Masaqid jauh lebih luas dari sekadar TQM dan atau ISO. Masaqid meliputi prihal Iman, Akal (Ilmu), Jiwa, Harta, dan Masyarakat dalam tiga tingkat kepentingannya iaitu Dharuriyat meliputi kepentingan asas; Hajiyat kepentingan umum, dan Tahsiniyat kepentingan tambahan. Dari sudut konsepnya, sebetulnya Masaqid adalah tututan agar segala urusan Negara dan Rakyat dikendalikan mengikut lunas-lunas Islam.

(7) Maka jika itu adalah matlamat Najib, biar terlebih dahulu saya ucapkan syabas. Namun, jika kita merujuk kepada Sejarah Islam, cara Muhammad SAW dan para Khalifah Rassidun untuk mencapai tahap Masaqid, mereka menekankan soal akidah. Muhammad SAW dan para khalifah selepas baginda membina akidah Ummah lewat menekankan soal pendidikan Islami. Mereka secara bersungguh-sungguh mendidik rakyat tadbiran dengan jalan akidah yang betul. Para pembesar Negara dipastikan mereka yang punya akidah dan pemahaman Hukum Allah yang betul dan jelas. Mereka sendiri juga adalah pengamal akidah yang ulet dan betul. Namun, di Negara ini bagaimana? Saya berkira, pertama-tama Sistem Pendidikan kita adakah ianya menjurus kepada pembentukan Insani Islami? Jika ini tidak kita gerakkan keras, apapun kita akan tetap gagal. TQM, ISO, 5S, dan apa juga, setakat yang saya lihat khususnya di dalam pentadbiran awam, banyaknya adalah semata-mata slogan dan self deco sahaja sifatnya. Tanpa didikan berkesan, apapun akan tidak pernah kekal. Sesungguhnya jika kita membuat Masaqid ke atas masyarakat kita, kita kian jauh dari matlamat Stariat Islam lantaran sistem pendidikan kita adalah sangat condong pada Kapitalisma lu lu, gua gua.

(8) Saya faham dilema sebuah Negara majmuk. Namun, seperti saya katakan, tidak semua hal kita perlu lakukan secara bersederhana. Di saat masyarakat kita sedang goyah hebat, maka kita harus melakukan usaha-usaha pembaikan secara hebat. Juga, kita harus ingat akan Sejarah Islam itu sendiri, saya berkira tidak selamanya Allah bersetuju, Islam harus berkembang secara senyap-senyap. Tidak jelas bila Umar Al Khataab memeluk Islam. Begitu juga bagi Salman Al Farasi. Namun, saya kira tidak lebih dari 15 tahun selepas Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, maka Allah memberikan kekuatan kepada Muhammad SAW lewat Umar Al Khataab dan Salman Al Farasi untuk memperjuangkan Islam secara terang-terangan. Sesungguhnya, saya yakin Bilal ibn Rabah adalah di antara yang berani dan terawal memperjuangkan Islam secara terbuka biar dia sebetulnya dalam keadaan paling terhimpit. Kerana teguh pada Syahadah, semua mereka kemudian berjaya sebagai manusia-manusia paling gemilang sumbanagn mereka kepada Islam. Kini, semua itu telah berlalu 1,400 tahun dahulu, dan Islam telah berada bersama kelompok Melayu sekitar 700-900 tahun dahulu apakah kita masih lagi berasa kerdil untuk berani berdiri dan berjalan tegap?

(9) Bukan Wasatiyyah yang harus Najib war-warkan. Kita harus mengutarakan, saya pinjam kata-kata asing Najib sendiri, Islam Inklusif yang wajib kita perjuangkan. Masaqid saya mengerti adalah untuk Islam Inklusif bukan sekadar Wasatiyyah. Allahuaalam Bisawab.

Kuching, Sarawak
10 April, 2014

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.