.

1/7/13 BUNGA CITRA LESTARI....janji Tuhan dan sikap kita?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 02, 2013

Share

& Comment

Bunga Citra Lestari itulah nama seorang penyanyi hebat dari Indonesia. Kenapa nama itu dia pilih, mungkin kerena dia ingin mengharumkan bangsanya selamanya. Atau sebagai ingatan kepada dirinya agar terus kembang menawan. Namun P Ramlee lebih gemar menggunakan Melati, Melor, Mawar dan Kemboja sebagai gantinama kepada heroinnya. Sesungguhnya, Melayu paling menghargai kembang, bunga-bungaan. Perhatikan dari Cham, ke Pattani, Sulu, membawa ke Bugis-Jawa, dan Dayak-Kedazan, Melayu Rhiau-Malaya, mereka sangat mempertalikan kembang dengan sistem budaya mereka. Boleh diperhatikan, keadaan kerukunan sesebuah rumah tangga Melayu yang halamannya rapi dengan segala kembangan, berbanding dengan yang tunggang langgang tak tentu kalu atau yang kosong berumput semak atau berselut. Sesungguhnya metos, citra Nenek Kebayan tidak banyak Melayu mengerti akan betapa dia hidup dari hasil kembangannya serta kerjanya hanya memelihara dan berdagang kembang. Begitu juga prihalnya dengan Taman Kembang Puteri Bunian.

(2) Mandi bunga adalah salah satu adat tradisi untuk mensuci harumkan pengantin. Dulu tak ada minyak wangi pelbagai jenama, juga sabun mandi pelbagai wangian. Mandi bunga juga untuk membuang sial. Bunyinya agak Syirik lantaran pengunaan istilahnya, sedang maksud sebenarnya adalah untuk menambah seri agar tidak menjadi kain buruk iaitu andartu tak laku-laku dari musim duren hingga musim rambutan. Yalah, lelaki mana tidak naik ra kata orang Kelantan saat melihat perempuan berkulit lembut halus mulus. Cuma kini, mandi bunga sudah diperdagang menjadi pencucian di spa lima bintang di Tokyo, Jakarta, Phnom Pehn, Ho Chii Minh City, dan Bangkok. Mandi bunga, kerana sudah dipandang serong, sudah disingkir jauh oleh masyarakat Melayu. Saat melamar, bukan anak dara yang disunting melainkan bunga yang hendak dipetik. Sehingga kepada soal rasukan hantu juga Melayu pertalikan dengan bunga. Saya tidak nafikan orang Siam, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar bahkan Filipina juga sangat gemarkan bunga-bungaan. Sepertinya, rantau Pasifik, adalah bangsa kembangan. Kembang Melayu jadikan kegunaan akrab dalam hidup mereka, bukan sekadar hiasan sepertinya masyarakat Barat dan Timur jauh. Mungkin kerana dulunya akibat tebaran agama Buddha dan Hindu sangat mempengaruhi kesukaan Melayu kepada bunga, itu mungkin perlu penelitian Etno-botani yang mendalam.

(3) Di Syurga Allah menjelaskan di sana dipenuhi taman kembangan yang indah-indah berwarna-warni serta sangat semerbak harumannya. Dapat kita bayangkan maksud janji Allah tersebut? Juga, apakah sikap kita tentang janji Allah ini? Pastinya, kita ambil itu sebagai biasa-biasa sahaja. Tidak ada luar biasa. Sikap kita banyaknya hanya bersahaja. Kenapa? Pertamanya, pernahkah kita menyoal, kenapa Allah banyak bercakap soal kembangan di Syurga di samping yang lain-lain sepertinya bidari suci lestari, buah-buahan, madu, susu, permata, dsb?  Dalam tulisan ini, saya ingin menumpu kepada kembangan dulu, sebelum mengutarakan fikiran saya mengenai yang lainnya. Saya menjangka, Allah menumbuhkan kembang di dunia dan di Syurga, sebahagiannya adalah untuk menyuburkan ketenangan kepada pemerhatinya. Di tanah Arab, tanah tumpah kelahiran Islam, apakah kembangan yang ada di sana? Gurun pasir, apa ada indahnya, khususnya di tengah hari terik membakar? Maka, MahaBijaksana Allah, Dia tawarkan kepada Arab Jahilliah yang hidup mereka penuh lingkungan ketandusan dengan Taman Syurgawi Kembangan, agar mereka berubah dari masyarakat buas kepada masyarakat penuh temaddun dan tertib, iaitu Islam. Juga lewat adat dan pengalaman, masyarakat Hindu umpamanya, menyadari betapa kembangan ada unsur-unsur refreshing. Maka atas sebab itu penganut Hindu  dan paling ketara masyarakat Buddha (juga Shinto Jepun) , sangat menghargai Taman Kembangan. Pergilah ke candi Budhha manapun, pasti seni taman adalah kemestian bagi komplek candi tersebut. Buddha dan Hindu juga melihat syurga sebagai Taman Kembangan. Namun dalam Islam, sepertinya pesanan Muhammad SAW, bertapa Allah suka akan haruman, maka atas sebab itulah haruman menjadi seperti kemestian bagi bangsa Arab. Bila kita ke Masjid (yang juga mengkiaskan sehingga ke perhimpunan mana-mana), Umat Islam digalak menggunakan wangian. Sumber wangian paling mudah dan murah adalah kembang. Negara-negara Maditteranean adalah pengeluar wangian utama, khusunya Peranchis. Namun, kembang bagi Melayu kini sudah berubah dari bunga kepada tubuh yang kian kembang, mengembang.

(4) Saya berkira saat Allah menjanjikan sebuah Taman Kembangan Indah di Syurgawi, kita orang Melayu yang dulunya sangat sebati dengan Halaman Penuh Kembangan harus mengambil iktibar kuat akan Syurga Allah. Pertama, kita harus membina kembali Halaman Rumah kita agar semerbak penuh kembangan. Di zaman dulu-dulu, Halaman Rumah menjadi medan pertemuan dan wadah untuk memupuk silaturahim di antara tentangga. begitu juga seisi keluarga akan santai di halaman yang penuh harmonis. Kerukunan dan keindahan di Syurga yang terlahir dari Taman Indah, seharusnya menjadi iktibar untuk kita membina sama keadaan sebegitu agar di dunia inipun kita boleh mengecapi nikmat rukun damai sesama manusia. Keduanya, jika kita bijak memilih kembangan yang perlu ditanam, pasti saat mekarnya nanti akan memberikan haruman yang menyegarkan. Haruman ini pasti punya kesan kepada cara kita bernafas dan akhirnya memberikan kesan refreshing and healing. Tidakkah mungkin, sekitar Halaman yang harum boleh menjadikan tidur kita lebih nyenyak dan enak. Jika ini terjadi, apa tidak mungkin besok bila kita bangkit akan menjadikan seluruh jasad kita menjadi lebih segar. Saya berkira, nenek moyang kita dulu-dulu punya umur panjang lantaran persekitaran sebegini; damai tenteram. Ketiganya Halaman Rumah yang penuh aman damai, pasti akan menjadikan isteri dan anak-anak kita jadi aktif kerana mereka harus menjaga segala kembangan itu. Dengan itu, mungkin dapat mengurang atau mengelakkan kembangan pada tubuh mereka. Kini perempuan Melayu sudah hilang gesit dan langsing mereka. Perempuan Melayu seperti sudah lupa, saat kembang layu, pasti kumbang terbang mencari madu di kembang lain. Jika dikaji mendalam, ini mungkin menjadi sebahagian kepada punca perceraian di kalangan generasi pertengahan di kalangan Umat Melayu. Paling saya kira sangat menyenangkan saat Halaman Rumah adalah penuh dengan kembangan, adalah saat kita memerhati humming birds, lelebah, rama-rama, semut, dsb riang menghisap madu dari kembang-kembang yang mekar. Apa lagi bila tangan anak-anak kecil comel memetik kembang lalu menciumnya enak. Sesungguhnya, membina Taman Kembangan adalah sebuah sedekah yang tidak banyak manusia sadari. Kita setidak-tidaknya mengikuti Sunnah Muhammad SAW untuk menjadi seorang Alamis.

(5) Sesungguhnya, biarpun kita berulang-ulang membaca akan janji Taman Kembangan Syugawi Allah, sikap kita Umat Melayu sebetulnya sangat tidak ambil peduli. Kita tidak peduli akan maksud sebenar juga iktibar yang boleh kita teladani di dunia ini tentang Syurga. Bagi kita, tidak perlu kita membina syurga di dunia ini, kerana Syurga sudah ada. Kita tunggu saja anugerah kekal Allah. Sikap sebegini, menyebabkan kita lebih bersifat sebagai consumer dari mahluk yang memimpin ke arah mengurus segala untuk semua terutama buat generasi masa depan. Sebab itu, masyarakat Melayu kian tidak ingin terlibat dalam banyak hal biarpun hal itu terlalu penting untuk mandiri bangsa mereka. Kita kian gemar jadi penonton dari peserta atau perubah keadaan.

nota:
Semua sisipan gambar dalam tuloisan ini nadalah capaian di internet. Terima kasih kepada yang menyumbang.

Kuching, Sarawak
2 July, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.