Sejak petang Jumaat kelmarin, saya berasa ragu-ragu untuk memecut pulang ke Kampung. Makanya saya mengambil keputusan untuk tidak berganjak dari rumah saya di pekan, lalu mengambil sedikit masa untuk membersihkan rumah yang sudah hampir-hampir dua bulan tidak saya pedulikan. Kemudian pada pagi Ahad, 23 March, 2013, saya teringat akan jemputan kenduri kahwin dari makcik sepupu sebelah ayah saya di kawasan Tabuan Lot. Beliau, Khajijah Salleh, berumur mungkin sekitar 10-15 tahun lebih dari saya, kerana saat saya dalam lingkungan umur 8-9 tahun, beliau sudah perawan. Dulu, semasa saya masih menetap di Sedilo, Simunjan, seringnya dia bersama kakak-kakaknya dan abang-abangnya sering ke rumah kami untuk berambih bertamu khusus di hujung minggu. Di zaman susah, pada tahun 1960an, sebegitulah keadaan keluarga saya, sering menjadi tempat persinggah bagi para keluarga jauh dan dekat yang ketiadaan tanah untuk membina hidup. Sayapun agak hairan pada 1960an, mereka tidak mampu untuk menebang meneroka hutan yang hanya di belakang rumah sebetulnya untuk membina hidup. Antara ingat-ingat lupa, pada saat makcik-makcik sepupu saya itu masih kecil atau sedang angkat remaja, ayah mereka telah meninggal. Mungkin kerana faktur piatu menyebabkan mereka sedikit kepayahan. Keluarga saya sepertinya menjadi sedikit sandaran saat mereka dalam kepayahan terutama bila tidak cukup pangganan. Nenek saya, sebelah bapa, yang kebetulan anak tertua dari enam adik beradik, yang kebetulan pula tiga yang tertua adalah semuannya perempuan, maka bila ayahnya meninggal saat mereka masih kecil, sepertinya dia menjadi pembimbing dan pengasuh bagi semua saudara-saudaranya yang lain. Kebetulan pula, ayah saya adalah yang tertua di antara semua sepupunya, maka beliau juga benar-benar menjadi big brother untuk yang lain. Big brother yang juga pembimbing dan pendokong kepada banyak dari sepupu bahkan kepada pakcik-pakciknya yang umur mereka tidak jauh berbeda, bukan big brother mafia atau taikor.
(2) Asalnya, beliau tinggal di Kampung Nanas, Simunjan. Saya masih ingat, rumah orang tuannya benar-benar di tebing sungai Simunjan, dan bila saya ke sana, sering bersama pakcik-pakcik sepupu saya, yang umur kami tidak jauh berbeda, akan bersama berkubang di sungai di belakang rumah tersebut bila air pasang atau selepas hujan lebat. Itulah indahnya pada masa itu, berkubang, belajar dari lembu dan kerbau, bukan dari perenang bertaraf Olimpik. Itulah hiburan, itulah pelarian dari segala kepayahan dan keperitan hidup. Tidak pernah terlintas akan pengertian payah dan susah. Cuma terkadang sedikit susah hati, takut kena rotan orang tua bila kami keterlanjuran bermain sehingga tak ingat makan. Sebetulnya, saya terpisah dengan beliau sejak 1972. Sehinggalah saya kembali semula dan mendapat pekerjaan di Kuching, pada 1987 baru saya dapat menjejaki beliau kembali. Beliau menetap di Seting Garden di Tabuan Lot. Saya berkira, berlaku penghijrahan besar-besaran keluar dari Simunjan bila dua buah kilang papan (KTS dan Hua Lim) yang menjadi nadi ekonomi tiga kampung iaitu Nanas, Lintang dan Kelaka tutup operasi sekitar pertengahan 1970. Sepertinya, pengembaraan panjang saya mulai dari 1972 ditandai dengan langkah-langkah payah banyak dari orang Melayu di Simunjan. Mereka berselebaran kemudian hijrah ke Kuching dan menduduki Seting Garden di merata tempat seperti Tabuan, Bintawa, Gita Kubor, Seberang Wharf Express (sekarang letaknya BCC) dan bahkan di Samariang. Mereka kemudian berkerja di kilang-kilang papan yang banyak terdapat di kawasan sekeliling khususnya di Pending. Kebanyakan rumah-rumah mereka di kawasan ini masih seperti rumah-rumah mereka di tempat asal dahulu. Rumah kayu bertiang kerana juga terbina di tebing Sungai Tabuan, sepertinya tempat tinggal asal mereka di Simunjan dulu-dulu. Kenapa mereka memilih keadaan penempatan sebegitu, pastinya kerana tiada pilihan. Tebing sungai adalah tapak Seting Garden paling lumrah dan indah di seluruh Sarawak buat para Muhajirun. Mereka sanggup berumah di pantai, demi enak dilambung ombak. Tidak kira Melayu, tidak kira Melanau dan atau Kedayan, di Sibu, Miri, Bintulu, Kapit, Sarikei, dsb, mereka sanggup berumah di tebing sungai, sebagai tanda mereka rela menyerah kepada rempuhan gelombang alam.
(3) Tabuan Lot terletak di dalam kawasan MBKS. Tidak jauh dari lapangan terbang Kuching. Sekitar mungkin 15-20 kilometer, sama jaraknya dari Pusat Bandaraya Kuching. Masih terletak dalam lingkungan Majlis Bandaraya. Berada dalam kedudukan strategik di kawasan industri utama di Pending, Tabuan dan Demak. Untuk ke rumahnnya, agak lama saya terpaksa pusing keliling. Jalan yang sempit serta berbelit-belit, sepertinya penempatan Spanyol di Andalusia cuma bedanya, adalah bentuk-bentuk rumahnya yang tropis berbanding Moorish, berlapis-lapis tanpa susunan lapisan yang teratur. Kemudian., sengaja saya meletakan kenderaan saya agak jauh dan berjalan kaki agak sedikit lama untuk ke rumah beliau. Tujuan saya adalah untuk merasakan keadaan masyarakat di sini. Rumah-rumah di sini, khusus yang terbina berdekatan dengan tebing sungai, masih banyak terbina dari papan bertiang, bagi mengatasi masalah kebanjiran, sedang sebahagian yang lebih terdahulu saya kira sudah berubah menjadi "bunglow konkrit". Susunan papan dinding rumah-rumah ini adalah bercorak bertindih kasih, perlambangan menumpang rezeki, menagih ehsan sesama yang sebati dalam tradisi Melayu. Sebilangan rumah seperti sengaja di bina di kawasan semak samun kerana kawasan kelilingnya adalah becak sering berair. Semak samun menutupi segala kedanggalan, ibarat kain sejengkal buat menutup pekong di dada. Nasib, bangsa Melayu. Di Negeri tumpah darah mereka sendiripun tetap pelayonan, belayu-belayu , berpelarian ibarat kata orang-orang Jawa tentang ertinya istilah melayu. Kasihan diri kita ini, bangsa ini, sampai kapan dan kenapa?
(4) Bila saya perhatikan anak-anak di sini, mereka tidak ubah seperti anak-anak di kampung dulu-dulu. Berkaki ayam. Biarpun pakaian mereka tidaklah compang camping, tetapi masih kurang sempurna. Rambut kusut masai. Banyak yang kulitnya tidak cerah, menandakan masalah pemakanan. Mereka mungkin cukup makan, cuma makan tidak secara sesihatnya. Bermain di sekitar depan tangga rumah. Ada yang menjengah dalam keadaan sayu. Di dalam hati saya bertanya, sejak kapan dan sampai
kapan kalian akan terus begini?. Ada ketikanya, nafsu bisikan iblis menerpa memberi jawaban; "Semua itu, kerana mereka malas, bodoh dan ada otak tetapi tidakl menggunakan otak". Astafirullah. Benar bagi yang benar. Bagaimana jika mereka sememangnya tertakdir sebegitu agar yang cerdik, mengerti dan rajin boleh berbakti? Umpamanya, jika seseorang terlahir buta apakah harus dibiarkan dia sebegitu saja, hanya kerana dia buta? Atau yang berjantung berlubang, terus saja dibiarkan mati terkapai-kapai? Bukankah yang bodoh, tidak berotak, miskin perlukan tangan dan hati untuk membimbing mereka? Sesungguhnya sejak Muhammad SAW, sehingga kini, tidak pernah luput dari dunia ini yang bodoh, tak berotak, dan miskin. Sesungguhnya Muhammad SAW sendiri adalah miskin, tidak berpelajaran, namun kasih sayang Muthalib dan Abi Thalib membimbing baginda jadi gembala dan pedagang lalu menjadikan baginda Al Masih lalu agung dan besar. SubhannaAllah. Kenapa? Seharusnya kita yang cerdik, berotak, dan berada mengerti untuk bersyukur. Maksudnya bersyukur itu bagaimana? Sekadar menadah tangan berdoa syukur kepada Allah, atau menikmati sepuasnya segala anugerahNya, atau bagaimana? Sesungguhnya, syukur kita itu adakah untuk kesendiri atau Allah mengkehendaki kita agar lebih bijak, lebih mengerti, untuk lebih berada iaitu tanpa lelah sesal terus berusaha membina mereka yang bodoh, tidak berotak dan miskin perlu itu? Allah, ujian hidup dariNya, SubhannaAllah sukar kadang-kadangnya untuk dimengertikan, terkadang anih mistri, melainkan jika kita adalah benar-benar bijaksana, bersyukur, dan sabar. Saya yakin semua dari mereka itu ingin dan telah berusaha keras untuk mencari hidup. Namun, perjalanan mereka sebermulanya adalah di lorong hidup paling sempit. Mereka memulakan segalanya dari jalan payah sempit dan menyempitkan. Mereka tetap berjuang hebat untuk hidup. Syukur mereka tidak memilih untuk mengemis atau menyundal diri. Dari Kampung, tidak dan atau kurang berpendidikan, sememangnya telah miskin, lantas mendarat di kota, yang hidupnya tidak murah dan mudah, akhirnya menjebak mereka terus kandas di jalan buntu terputus. Mereka tidak pernah dan payah sekali untuk bisa melewati perjalanan mudah seperti di jambatan indah di Putra Jaya. Jalan dan jambatan di depan rumah mereka biar hanya sekadar papan murah dan batu kelilkirpun telah terputus menuju semak sepertinya itulah semak kehidupan mereka abadinya. Cuba fikirkan, dalam keadaan sebegitu, siapa akan terilham untuk berjaya dan membangun. Bagun tidur dan mahu tidur, terhidang di depan mata, jalan hidup yang terputus. Saya perhati, ada yang cuba berniaga biar hanya berjual beberapa bungkus keropok dan gula-gula di depan tangga.Itu petanda, mereka mahu berusaha, namun hanya pada kemampuan yang ada tidak lebih, namun banyak kurangnya.Mereka sangat butuhkan tangan dan jiwa ikhlas dan kental untuk membimbing ke jalan luas dan terang. Siapa?
(5) Akhirnya saya di jamu makan. Antara menjamu selera dan menjamu mata saya terus meliar. Para Ahli Wakil Kerja segak berdandan Melayu hebat. Baju Melayunya, kain sampingnya indah bercorak coret. Songkonya. Rosette tersemat indah di dada. Segak. Bagai Hang Tuah mahu menghadap Paduka Sultan. Sibuk mengatur tetamu duduk dan makan. Paling teratur. Paling sempurna. MasyaAllah. Di mana-mana kenduri, di seluruh Nusantara, pasti paling teratur dan hebat. Namun, apalah celakanya budaya ini ianya mati pada budaya tontonan sahaja, tidak kembang dalam resam kehidupan menyeluruh. Ketertiban dan kesempurnaan Budaya Melayu hanya terbatas kepada Budaya Tontonan Petetan tidak kepada hambatan hidup dan keIlmuan. Budaya kekal kental, sedang peradaban Melayu hanyut kian lemas. KaraOK memekak telingga. Sesama tetamu, hanya mampu melepar senyum dari mesra berbicara. Bertali arus tetamu mendatang. Satu satu saya perhatikan. Jelas, banyak pasangan yang terlalu muda. Dari gaya pakaian, dari raut wajah, dari table manner, jelas rata-rata mereka adalah yang susah-susah. Pasti, lantaran kemelut hidup perceraian akan memuncak. Hidangan tidak di Dewan Mulia sekadar hamparan di atas jalanan, berlatarbelakangkan kehidupan jiran tetanga: jelas sidaian pakaian mereka, jelas saluran najis, jelas becak berlonggok sampah lamannya, segalanya indah unique. Tukang masaknya, bukan Chef sembarangan. Biar dari hotel 7 bintang sekalipun pasti tidak akan bisa melawan. Mereka adalah chef ahli masak biar dalam hujan, dalam panas membahang atau di angin deras. Mereka adalah chef beneran, paling handal sejak zaman berzaman.
(6) Dua jasad sudah bersatu. Tiba masa, banyak lagi akan terus begitu. Cuma, saat indah bersatu, bagaimana perjalanannya yang terlahir dari nikmat itu? Lalu sayapun kemudian memecut pulang ke Kampung. Saat tiba di sana, di restauran saya di sana penuh dengan anak-anak remaja sedang sibuk dengan Laptop masing-masing. Alhamdullilah. Mereka sedang sebok melayari internet untuk mencari peluang ke pengajian tinggi. Saya berasa lega. Setidak-tidaknya, apa yang saya inginkan melihat anak bangsa sudah ada fikir jalan kejayaan biar mereka berada di kampung sedikit terlaksana. Saya mengambil kerusi lalu duduk bersama sebahagian dari mereka. Dapat berapa SPM atau STP. Pelbagai jawaban. Namun banyak yang dapat A dalam Matematik. Di lihat pada Pendidikan Islam, rata-rata dapat hanya C atau D. Kenapa? Ya, andaian. Mereka malas belajar kerana Pendidikan Islam tidak penting. Apa benar sebegitu atau sejak dari dulu sehingga kini, Pendidikan Islam tidak pernah mendekat menjuga cara dan bahan didikannya? Ayam Penyet adalah makanan murahan piggiran jalan di Jakarta atau mana-mana di Indonesia, namun kini diterima baik di "restoran-restoran' di Malaysia. Kenapa? Tidak usah di tanya Fizik, Kimia dan Biologi, sememangnya jawaban D atau E adalah pasti. Bukan sekadar anak-anak bersekolah di kampung, anak-anak Melayu di kota-kota juga sama. Saya belum melihat analisa mendalam tentang SPM dan STP pada tahun ini. Apa mungkin ada yang mahu diselindungkan untuk sementara waktu?
(7) Satu soalan paling kotor buat Muhyiddin Yasin dan para Pendidik Matapelajaran Islam, tahukah, betapa Metamatik, Biologi, Kimia dan Fizik adalah asalnya dari apa yang disebut sebagai Natural Science. Jika kalian baca tentang Muhammad SAW dan para sahabah, kenapa mereka boleh menjadi panglima gagah di Padang Pasir sehingga boleh merantau berdagang apa lagi menantang dan merobohkan Byzantium dan Farsi, bukankah kerana mereka ada kemahiran dalam Natural Science. Begitu juga para pemikir Islam terkemudiannya, mereka adalah pencinta Natural Science sehingga dari situ baru mereka dapat menjelaskan sejelasnya rahsia Al Quran. Muhyidin Yasin, SubhannaAllah, anak-anak Melayu kita kini sedang kandas hebat dalam asas menguatkan diri mereka. Jati diri mereka terbina pada jalan menghancurkan bangsa. Bangsa ini sedang melebur keIlmuan Islam mereka. Jangan lihat pada gaya pakaian. Mereka sebegitu banyak hanya kerana ikutan atau keterpaksaan. Lihat pada hati dan kemahiran sebenar mereka. Atau kalian sebetulnya adalah buta, tuli dan atau bisu tentang keperluan Inti Corak Pendidikan Islam sebebarnya? MasyaAllah.
Kuching, Sartawak
25 March, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment