Dalam Sejarah China, catatan keberadaan Kerajaan Melayu tertulis di sekitar tahun 600TM dengan wujudnya Kerajaan SriVijaya yang berpusat di Palembang. Selepas dari itu tumbuh pelbagai Kerajaan Sukuan (Bugis, Rhiau, Melayu, Siam, dsb) dan Islam, di rantau Nusantara, sehingga pada 1511 Afonso d'Albuquerque pelayar Portugis merampas Melaka dari Sultan Mahmud dan mendirikannya sebagai Pusat Dagangannya di rantau Timur. Pada 1641 Portugis dikalahkan oleh Belanda. Akibat Perang Revolusi Peranchis, pada tahun 1795 British mengambialih Melaka namun menyerah kembali kepada Belanda pada 1818 dan pada 1825 Belanda bertukar tanah dengan British bagi Kepulauan Bengkulu, Sumatera. Akibat kekacauan yang berterusan di Tanah Melayu akibat pergolakan Melayu-Bugis-Siam, akhirnya satu persatu Kerajaan-kerajaan Kecil di Tanah Melayu terus berlindung di bawah East India Company yang berpangkalan di India sehingga pada 1867 seluruh Tanah Melayu jatuh di bawah pentadbiran Kerajaan British. Pada Disembar 1941, Jepun menawan Tanah Melayu sehingga Ogos, 1945. Kemudian British kembali berkuasa di Tanah Melayu sehingga Ogos, 31, 1957.
(2) Pembukaan Terusan Suez pada 1869 meledakkan Revolusi Industri Pembinaan Landasan Keretapi di Amerika dan Britain sehingga Industri Perlombongan Bijih Timah mendadak naik, dan dulunya pelombong Cina yang di bawa masuk oleh para pembesar Melayu, kemudian di tangan East India Company, bilangannya kian memuntah melebihi jumlah penduduk Melayu tempatan. Pada 1920an, sekitar 200,000 boroh dari India di bawa masuk untuk mengusahakan Ladang-ladang Getah akibat ledakan Industri Automobil di Barat. Sepertinya, kejayaan Amtrack dan Ford adalah hasil sumbangan Tanah Melayu, dan itu kita tidak mengerti!. Sesungguhnya Sejarah Sarawak dan Sabah tidak ada bedanya. Para penakluknya tetap rumpun bangsa yang sama serta cara serakah mereka tetap sekapal.
(3) Pokoknya, sebelum terjajah, Melayu sering berpecah belah, saat dalam penjajahan, tetap mereka terus bergolak sehingga munsang mereka ladeni sebagai ayam; sedang teman sebangsa pula mereka perlakukan sebagai anjing dan srigala. Dalam PRU1 pada tahun 1957 berlaku, sebaik sahaja Jalur Gemilang Kemerdekaan berkibar, Melayu tetap berpecah, sehingga kini, tidak wujud Politik Melayu Bersatu. Dari segi siasah, Melayu asalnya negara-negara wilayah kecil-kecilan, sering berperang antara satu sama lain, sehingga selepas merdeka, Melayu terbelah menjadi 13 buah negeri sendiri-sendiri, dalam satu Negara Bersekutu, bersatunya pastinya ngak. Apa bedanya? Siasah Melayu, tetap sama juga, mundur jumud.
(4) Di awal abad ke 19, saat Timah menjadi barang dagangan Melayu, para pendulang dari Cina adalah kuli-kuli miskin berpakaian kain khaki. Sama juga halnya dengan para boroh dari India, kuli-kuli berkain pelikat tanpa baju. Pada kurus cungkringan. Pokoknya mereka benar-benar dhaif. Sedang Melayu pada masa itu, pembesar kita hanyalah ibarat watak galak Husain Abu Hassan dalam filem Pendekar Bujang Lapok, pendekar kampungan yang sebetulnya tetap tidak punya apa-apa. Antara kuli-kuli dari China atau India, taraf Melayu pada saat itu adalah sama sahaja sebetulnya. Gambaran watak-watak Melayu dalam filem-filem P Ramlee atau Wahid Satay adalah rupa bentuk masayarakat Melayu di tahun-tahun sebelum dan sejurus selepas kemerdekaan. Pakaian mereka saya kira adalah gabungan antara pakaian kuli-kuli Cina, India dan Melayu. Cuma gayenye ade, papenye lebih kurang same. Sebetulnya saat Negara menjulang kemerdekaan, Melayu adalah pada titik paling lemah, sehingga memuncak menjadi Peristiwa Berdarah 13 Mei, 1969. Kampung Baru, Kuala Lumpur menyaksikan banyak pergolakkan masa itu. Kini, sejak bahana Krisis Kewangan 1997, Kampung Baru kembali menjadi titik membakar semangat resah gelisah Melayu. Apa ada bedanya? Dulu rakyat bertempur berjalan kaki kerana perut, kini rakyat seperti akan bertempur sesama sendiri, jadi tunggangan bayang-bayang hitam yang tidak mereka sadari, tetap kerana perut juga. Sekali lagi, pemikiran dan sifat sosial kita tetap saja sama, bahkan mungkin jauh mengundur!
(5) Ahli-ahli ekonomi pasti membantah hujah saya, betapa Melayu hakikatnya belum berdiri Merdeka. Jauh dari berdaulat. Kayu ukuran yang digunakan oleh para ahli ekonomi jelas condong kepada Kapitalis. Saya tidak berminat untuk berhujah ke atas Indek-indek sebegitu, kerana sudah melaut tulisan-tulisan akademik membantah cara pengukuran kesejahteraan hidup manusia sebegitu. Dalam tulisan ini, saya hanya ingin menyentuh satu bidang terpenting dalam menggerakkan kemajuan bangsa dan atau Negara. Dalam konsep Kapitalis, Demokrasi, dan Ekonomi konvensyenal, para usahawan adalah tunggak kepada kemajuan bangsa atau Negara. Perhatikan dalam abad 14-20, Barat boleh menguasai dunia, khususnya Nusantara dan Pasifik kerana siapa dan apa? Tidakkah manusia-manusia seperti Al Fonso d'Albuquerque, Franchis Light, Thomas Cook, Ferdinand Magelan, James Brooke, dsb atas nama Syarikat-Syarikat Hidia Barat, Hindia Timur, Borneo Utara, dsb yang menguasai maritim dunia? Sesungguhnya semua ini terjadi akibat ledakan Revolusi Industri di Eropah yang menyusul dari kejatuhan Empayar Islam Kordova lalu membangkit the Western Rennaisance. Pokoknya negara-negara seperti Belanda, Portugis, dan British khususnya membina empayar mereka di luar dari Eropah adalah bertunjangkan para usahawan pelayar bangsa-bangsa tersebut. Kemudian bangsa-bangsa Peranchis, Itali, Jerman, lalu Amerika menyusul sama. Semua berebut-rebut bergerak serakah membantai Timur dan Selatan dunia.
(6) Sejarah membuktikan, tabiat haloba Syarikat-syarikat ini, tidak mendatangkan kesejahteraan kepada pribumi tanah jajahan, apa lagi para kuli-kuli yang menjadi hamba abdi mereka. Sesungguhnya Asia, Afrika, Latin Amerika dan Pasifik seperti negara-negara padang jarak, padang terkukur jadinya kerana keberadaan Syarikat-syarikat ini. Bukan setakat itu, di Eropah dan Amerika juga, haloba Syarikat-syarikat serta pembesar Negara turut menjahanamkan negara masing-masing. Feudalisma berganding tangan bersama Kapitalisma mengaut segala buat segelintir. Akibatnya, berlaku pergenseran kaum yang kuat di Eropah sehingga bangkit manusia-manusia seperti Hitler dan Musolini yang membantai hebat kaum Yahudi Kapitalis. Cuma keberuntugan Barat, mereka dapat kembali makmur dengan cepat lewat penjarahan di Timur, Selatan dan Pasifik.
(7) Di Malaysia dua manusia pastinya tidak akan luput dari Sejarah Bangsa Melayu, khususnya jika dilihat dari sudut membangunkan bangsa. Pertama adalah Abdul Razak Husein. Kedua adalah Mahathir Mohammed. Abdul Razak dan Mahathir, seperti pernah saya tulis sedikit masa dahulu, adalah dua manusia yang Allah anugerahkan punya hati dan jiwa kerakyatan yang sangat unggul. Kedua mereka adalah anak pelarian yang nenek moyang mereka terhina di bumi sendiri iaitu Makasar dan India. Kehinaan itulah yang membangkit semangat merdeka berdaulat dalam diri mereka. Abdul Razak, saya kira dapat melihat bagaimana Melayu pada keadaan biasanya tidak akan dapat berdiri kukuh. Berdarah bugis, memiliki gene yang telah betah digempur ribut dan taufan Makasar, dia sedar Melayu harus berdiri sebagai seberkas penyapu. Makanya, Abdul Razak membangun institusi-institusi yang boleh mengembeling dan mengerakkan segala kekuatan Melayu, biar dalam bentuk tanah, akal, tenaga dsb. MARA, FELDA, FELCRA, PERNAS, Lembaga Tabung Haji, UDA, SEDC, UiTM, UKM, UPM, MARDI, FAMA, RDA (Kemubu, Kejora, Ketengah, DARA, dsb), Bank Bumiputera, Bank Rakyat, segala macam semuanya adalah untuk memimpin Melayu dalam bentuk koprat dulunya disebut Separa Kerajaan. Pokoknya, Abdul Razak Husein, dengan gigih, jujur membina khalifah-khalifah Melayu yang harus memberikan kepimpinan tulin buat kepentingan Melayu sepertinya juga para Raja-Raja British, Portugis, dan Belanda mendokong d'Alburguegue, Thomas Cook, Franchis Light, James Brooke dsb untuk menjadi peneroka dunia Timur Jauh demi kemakmuran negara (rakyat). Begitu saat Mahathir mengambialih kuasa, sifat quasi government pada agensi-agensi zaman Razak, beliau lihat sebagai tidak mampu dengan cepat mengubat penyakit bangsa. Maka usaha-usaha pengkopratan beliau paksakan keras. Model Mahathir saya kira adalah Society-based Economy Korea, Jepun, Jerman dan Taiwan. Maka dengan sebab itu beliau terus memperkukuhkan Permodalan Nasional Bhd, lalu membuat percubaan mahal dengan PERWAJA dan PROTON. Hampir semua agensi gergasi Abdul Razak telah Mahathir kopratkan semua agar terus berkembang dan terus melebar luaskan jangkauan penguasaan ekonomi Melayu.
(8) Marilah kita sejenak kembali kepada Sejarah Awal Islam. Bacalah himpunan hadith serta ikuti secara berhemah bayangan beberapa ayat Al Quran, betapa Umar RA adalah yang paling keras dalam usahanya mendiri dan mempertahankan Islam. Contohnya, siapakah yang memerintahkan Sholat Tarawih secara Jemaah? Siapa pula yang mengharamkan perkahwinan semula pasangan yang sudah bertalak tiga? Siapa yang sangat keras hukum dagangnya? Siapakah yang mengharam terus yang haram di Mekah dan Madinah, termasuk orang Kafir(1)? Siapa yang sangat keras hukum pentadbiran tanahnya? Siapa yang sanggup merombak Kaabah ke kedudukan asalnya sepertinya sebermula di bina oleh Ibrahim AS-Ismail AS? Siapa di dunia sehingga kini telah mampu menumbangkan dua Empayar gagah di dunia? Banyak lagi. Sehingga teriwayat, saat Umar RA menghembus nafasnya yang terakhir terungkap kata-kata: "Dia pergi dengan membawa 9/10 dari ilmu-ilmu dunia, dan telah runtuhlah benteng Islam". Sesungguhnya zuhud (ketaatan) Umar RA ke atas Islam dan Allah menjadikan dia seorang yang walau Muhammad SAW sekalipun punya hormat yang sangat tinggi kepada beliau. Saat Umar RA lewat berjalan di mana-mana, para syaitanpun bertempiaran lari ketakutan. Aishah RA, saat jenazah Umar RA dibawa ke rumahnya untuk dimakamkan, perlu berhijab penuh kerana hormatkan Umar RA. Perhatikan beberapa kali Umar RA menegur Muhammad SAW dalam beberapa hal. Maksudnya pada Umar RA, dia hanya pentingkan Allah, Islam dari segalanya, biarpun sehingga dia kelihatan agak kurang manis kepada Muhammad SAW, boss dunianya dia. Di kalangan pembesarnya, Umar RA tidak sekali-kali mengizinkan mereka bermewah-mewah. Gelagat kecil Khalid Al Walid, panglima Islam yang sangat berjasapun mendapat perhatian berat Umar RA sehingga beliau dipecat dari kedudukan Panglimanya. Begitu juga pernah terjadi kepada Gebenornya di Mesir, Yaman, dan Bahrian(?). Apa lagi, pakaiannyapun cuma sehelai dan ada ketikanya sudah bertampal 12. Sesungguhnya, semuannya kerana suatu hari saat Muhammad SAW sedang mengasingkan diri dari para isterinya, Umar RA semasa melawati baginda sangat sedih melihat Muhammad SAW tidur hanya beralas tikar sehingga berbekas pada tubuhnya, serta berbantalkan gombalan, tanpa makanan secukupnya. Muhammad SAW saat itu adalah seorang rasul, seorang Khalifah, doanya, pintanya akan tertunai segala, namun baginda lebih suka hidup payah susah kerana sabdanya: "Maharaja Rom dan Farsi boleh memiliki segalanya di dunia ini, kerana itu adalah nimat dunia Allah buat mereka. Kenapa harus aku khuatir kerana nikmat yang sedang menantiku di Syurga jauh lebih hebat dari itu, sedang mereka, neraka sedang terbuka luas buat mereka". Saat Umar RA wafat segalanya berubah. Rakyat sudah mulai mahu bersenang lenang. Paling hebat para pembesar negara sudah diberi kebebasan untuk hidup pada kemampuan masing-masing. akhirnya nafsu menguasai segala, maka Islam mulai berpecah dengan runtuhnya benteng yang telah Umar RA dirikan. Sehingga kini, negara-negara Islam terus bergolak tanpa henti.
(9) Sama hakikatnya saat Abdul Razak sudah tidak ada lagi. Sifat Umarnya dia berkeliling menyelami kepayahan rakyat serta memerhati rapat para pembesarnya dalam menjalankan tugas kian terhakis. Biar Mahathir kemudiannya menyusul dengan cara pentadbiran Samurai atau Bushedonya, saat dia sudah tidak ada juga di saat dia masih ada, para pembesarnya khususnya para CEO GLC yang seharusnya memerah otak memuncerat keringat memperkasakan bangsa hanyut dalam kemewahan Kapitalisma biar di institusi seperti Tabung Haji, JAKIM, Bank Islam, dsb sekalipun. Melayu kini semakian nanar. Melayu kini kian resah. Melayu kini langkahnya ke jalan kian payah. Bergaye, namun tetap pape jiwa dan keberaadaan mereka. Melayu, imbauan sejarah mereka terlalu singkat. Pengertian, Demi Bangsa, Agama dan Negaranya kian hambar dan memusnahkan. Makanya, Melayu kini, dalam sebuah Negara yang menjulang bangun, kian melata dan kian tersungkur.
(10) Para kuli dari Cina dan India berdatang ke sini mulanya dalam abad 18 dahulu, selama 200 tahun kemudian mereka berubah dari berpakaian khaki berkaki telanjang, kini mereka sudah menerjah ke serata dunia, mencapai awan. Namun Melayu, dulu saat mulanya masuknya para kuli-kuli ini, sama saja taraf mereka, namun kini, pergilah keceruk pelusuk tanahair (sepertinya Abdul Razak Husien jika tidak Umar RA) tidak usah terlalu jauh, mungkin sekitar 10 kilometer dari Alor Setar, Kangar, Kota Bharu, Kuala Trengganu, Kuantan, Kuching, Kota Kinabalu, jangan disebut Simunjan atau Asajaya atau Kuala Krai dan Kokdiang, apakah darjat mereka sudah setaraf dengan para kuli-kuli ini kini? Malaysia maju, para kuli sudah 1,000,0000% ke depan, apakah Melayu sudah biar 100% membuntut? SubhannaAllah.
(11) GLC pimpinan khalifah Melayu sepertinya kian derhaka kepada Melayu, melupakan Melayu kebanyakan. Semua kerana, mereka ini yakin, kemewahan diri atau kelompok diri, adalah kebahagian keluarga dan diri ke akhirnya. Sesungguhnya Sadam Husein, Muamar Ghadafi, Husni Mubarak, Suharto, dsb tidak mereka mati kehinaan melainkan cepat hina ajalnya kerana sumpahan rakyat teranyiaya tidak terbela. Sesungguhnya Al Quran dan Muhammad SAW telah berpesan, antara orang teranyiaya dan Allah tiada tabirnya. Sesungguhnya Melayu kebanyakan yang tidak terbela kuat, adalah rakyat teranyiaya yang para khalifah Melayu harus khuatiri akan doa rintih mereka.
Kuching, Sarawak
21 Feb., 2013
nota:
(1) Sesungguhnya Umar RA mati di tangan hamba kafir yang diberi kelonggaran oleh Umar RA untuk terus berada di Madinah atas permintaan seorang sahabat. Semua gara-gara si kafir ini tidak tahu bagaimana caranya Umar RA telah bersikap adil kepadanya dalam tuntutan haknya. Si kafir hanya tahu akan watak keras Umar RA dan buta terhadap hikmah halusnya dia, demi Islam, demi Allah. Apa maksudnya?
0 comments:
Post a Comment