.

14/1/13 KELANTAN ADALAH BADI UMNO...dan kemakmuran negara (draft)

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - January 27, 2013

Share

& Comment

Muhammad SAW dan beberapa nabi lainnya bahkan Umar Al Khatab RA semasa kecilnya adalah pengembala kambing. Bukan kebetulan, di Kelantan juga banyak kambing. Kenapa? Tidakkah kita kini juga seperti sekawan kambing tanpa pengembala?   Tidak berapa lama lagi. PRU13 akan diumumkan. Biar Najib umum atau tidak umum, berasaskan Perlembagaan Negara, PRU13 akan tetap berlaku pada 2013. Tarikh akhir buat Najib adalah 27 Jun, 2013. Saya menduga sekitar bulan March banyak kisah manis buat Najib. Maka mungkin dia memilih March untuk tujuan itu. Namun dari segi perhitungan kesan Belanjawan 2013, saya menduga sekitar Mei adalah lebih baik. Banyak Projek telah boleh berjalan akibat perubahan cuaca serta para penjawat awampun sudah kembali bekerja secara normal mulai lepas CNY ini nanti. Begitu juga, kesan feeling good terhadap ekonomi dunia dan serantau biasanya adalah selepas Q1 setiap tahunnya.

(2) Walau bilapun, itu tergantung kepada perhitungan Najib. Cuma dalam tulisan ini, saya ingin mengutarakan pandang pribadi saya untuk Najib perhitungkan, agar perjalanan politik dan ekonomi negara selepas PRU13 ini akan menjadi lebih baik. Jika tidak kita akan menuju jalan susah yang mungkin parah.

(3) Tidak banyak yang sedar, betapa Kelantan adalah duri dalam daging bagi UMNO. Dari sebermula, bila UMNO hendak menjadi parti Nasional, Onn Jaafar mendapat tentangan kuat, agar parti itu tetap pada Nasionalisma Melayu. Namun bila ianya berkocak mahu gagah menjadi Melayu, maka para pendokong dari sekolah-sekolah pondok dan madrasah mahu ianya bangkit sebagai Melayu Islam. Sehingga bila Pakatan tertubuh, PAS sebagai pecahan UMNO yang mendokong Melayu Islam terus menguasai Kelantan. Hanya permainan politik licik menyebabkan PAS tumbang kepada BN pada 1978. Tumbangnya PAS bukan kerana UMNO gagah, tetapi pecahan PAS menubuhkan parti BERJASA lalu menikam PAS dari segala penjuru.

(4) Saya secara pribadi dapat merasa dan bersama dalam kepayahan di Kelantan pada 1973-75. Paling saya ingat, bila saya sebagai Ketua Pengawas di Sekolah, sering membuat rondaan bersama teman-teman di seluruh sekolah dan kawasan sekolah semasa Masa Rehat, pasti akan saya temui rakan-rakan sebaya yang sangat miskin. Mereka tidak punya wang untuk berbelanja. Banyak yang makan berbekal dari rumah. Pakaian mereka comot, ada yang berkasut yang telah koyak teruk. Ada yang tidak punya pencil atau pen dan buku untuk menulis. Paling sedih, kerana dalam Tingkatan di mana saya belajar adalah dari A ke G, mereka yang dalam Kelas E-G, banyak yang hanya datang ke sekolah sebab lari dari kerja menoreh getah. Mereka dalam kelas-kelas ini banyak yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Bila keputusan SRP (kini PMR) diumumkan, terlalu banyak yang cicir. Mereka kemudian ada yang terus saja ke Sekolah Pondok. Nasib mereka sememangnya tidak pernah terbela. Inilah anak-anak yang kini seumuran dan atau sedikit lebih tua dan atau lebih muda dari saya. Inilah generasi Matang Kelantan pada masa ini berumur 45-65 tahun. Saya yakin generasi ini masih terlalu segar ingatan mereka bagaimana Kelantan terus terbiar hanya kerana mereka memilih untuk menjadi Melayu Islam.

(5) Sering bila saya ke Kelantan, saya akan mencari masa untuk bersama rakan-rakan lama tidak kira mereka di mana dan apa pekerjaan mereka. Apa yang saya dapati, jika diukur dengan perubahan zaman, kehidupan mereka jauh belum berubah. Contohnya, jika dulu mereka hanya boleh berbasikal, kini mereka hanya baru boleh bermotorsikal. Saya tidak nampak itu sebagai perubahan jika disebut perubahan. Sesungguhnya masih terlalu banyak yang menapak menjejaki langkah orang tua mereka terdahulu: bertani, boroh, penjaja, penjual, dsb, cuma anak-anak mereka kini sedang berada di mana-mana mendapatkan pendidikan yang lebih baik. Sesungguhnya anak-anak ini juga sedang memerhati dan merasa betapa Kelantan terus dipinggir dan disisih hanya kerana politik. Saay berkira rasa dendam teranyiaya terus membara di dada anak-anak Kelantan sampai kapanpun.

(4) Sesungguhnya dengan sikap Kerajaan Pusat yang sering menganak tirikan Kelantan, menjadi rakyat di Negeri tyersebut terasa teranyiaya. Bagi saya, Kerajaan Pusat seperti tidak sedar bahawa, biarpun Kelantan masih belum maju dari segi sosio-ekonominya, namun dari segi capaian pendidikan rakyatnya, mereka jauh lebih berjaya dari mana-mana Melayu di Negara ini. Dengan kejayaan itu, Kerajaan Pusat tidak boleh dengan sewenang-wenangnya berkata: Bukankah itu tanda hasil perjuangan UMNO dan Kerajaan BN?. Secara berani saya tegaskan, semasa saya di Universiti Kebangsaan Malaysia dari tahun 1979-84, terlalu banyak teman-teman saya dari Kelantan yang tidak mendapat biasiswa. Mereka belajar hasil dari titik peluh orang tua mereka di Kampung. Mereka kadang-kadangnya bergolok bergadai. Sesungguhnya, kemiskinan dan kepayahan hidup menjadikan anak-anak Kelantan cekal mengharung samudera bergelora biar hanya berbekal sebilah dayung. Kepada saya, anak-anak Kelantan sedang mendabik diri, berbanga betapa mereka berjaya adalah kerana perjuangan kental mereka tanpa atau dengan hanya sedikit pembelaan.

(5) Kejayaan anak-anak Kelantan dalam bidang akademik kini menjadikan mereka menguasai sektor awam dan koprat di Negara ini. Jika dihitung, pasti kita akan kagum dengan melihat jumlah mereka yang menduduki kerusi yang baik samada di dalam sektor awam atau swasta, Melayu Kelantan mengatasi lain-lain Melayu di Negara ini. Inilah apa yang sering saya katakan sebagai: Nik Nik here, Nik Nik there. Nik Nik everywhere! Sesungguhnya kebanjiran rakyat Kelantan dalam sektor awam dan swasta memberikan mereka kejelasan tentang betapa BN dan Kerajaan Pusat telah bermain kayu tiga dengan hak anak negeri mereka. Mereka mungkin seperti pendokong besar Kerajaan Pusat, tetapi di dalam hati mereka, hanya mereka dan Allah saja yang tahu.

(6) Buat saya, jika Melayu, khususnya Najib-Muhhyidin sedar, betapa Islam adalah tunggak kepada Kebangkitan Melayu serta untuk mendirikan Melayu Islam yang tulin adalah sangat payah, dalam keadaan Negara Majmuk seperti Malaysia ini, maka seharusnya kita mengambil keberkatan dari sikap orang Kelantan yang ingin berdiri sebagai Melayu Islam. Tidak mustahil, sifat mereka itu tidak ada kaitan dengan Pelan Besar Allah. Sesungguhnya, perjalanan dakwah Muhammad SAW harus jadi teladan dekat kita. Apa tidak mungkin sikap awalan kaum Al Ansar Madinah dan Melayu Kelantan sangat berkaitan? Saya menduga, ianya sangat berkait. Mekah, tempat di mana Allah telah tetapkan sebagai Pusat Islam, awalnya menolak Islam. Namun Madinah menerima Islam. Tidakkah ini ada keserasian antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur tentang Islam dan jatidiri Melayu? India, Cina dan bahkan Siam Kelantan, mereka menerima budaya Melayu Kelantan sebagai cara hidup mereka. Maksudnya, sepertinya Muhammad SAW di awal Madinah, kaum Yahudi di sanapun menerima cara hidup baru pembawaan Muhammad SAW. Maka dengan sebab itu, adalah lebih mudah untuk mendirikan Melayu Islam di Kota Bharu berbanding dengan di Kuala Lumpur kerana rakyat Kota Bharu (Kelantan) lebih dan telah menerima akan jalan itu. UMNO tidak perlu melangkah mayat Karpal Singh dan Lim Kit Siang untuk mendirikan Melayu Islam di Kota Bharu. Saya yakin Alor Setar, Kangar, Kuala Trengganu dan Kuantan kemudian tiada masalah untuk turut sama. Saya juga yakin, kemudian lambat laun Melaka juga akan lebih rela meniti jalan Melayu Islam akhirnya, kerana sejarah telah membuktikan betapa Melaka suatu ketika dulu telah gah kerana Islam. Itu fakta, itu kebenaran.

(7) Pengumuman Najib untuk membina Tujuh Projek Mega di Kelantan dalam sedikit masa lagi saya lihat sebagai langkah permulaan yang baik. Cuma, langkah tersebut seperti ada sedikit langkah gedebe. Kena ingat, dalam PRU12 dulu, sikap gedebe Black Maria Pemuda UMNO telah berjaya meranapkan gelojoh nafsu UMNO untuk merampas Kelantan. Saya katakan ada sedikit gedebe bila saya melihat kepada dua Projek iaitu Lebuhraya Kuala Krai-Kota Bharu dan Masjid terbesar, biar saya sebut sebagai Masjid Agung. Lebuhraya KK-KB sedang PAS usahakan lewat Konsep Wakaf. Biarkanlah PAS jayakan Projek itu sebegitu. Jika Najib mahu, bantu sajalah di mana mereka kekurangan. Jika Najib hendak berlawan saya kira, dengan mudah Nik Aziz boleh mengilas Najib hanya dengan mengeluarkan 'fatwa': "Aci keleh puok UMNO, kita nok oghe Kelante melabur untuk akhiratpun dia cantas. Bila kita sibuk baru dia sibuk. Kalu nok buak jale, banyok lagi jale lain boleh buak.". Berhubung dengan Masjid Agung kenapa buat Majid terlalu besar? Tidakkah lebih molek buat masjid sederhana tetapi meliputi lebih banyak kawasan. Bukankah itu lebih baik? Lagi pula, nampak gayanya Najib ingin bersaing dengan Masjid Besar KB. Elok ke sikap berlawan-lawan sedang keperluannya belum pasti? Soalan kedua saya, buat Masjid untuk Allah atau sekadar nak tunjuk gagah sesama manusia? Jikapun Najib hendak terus dengan Masjid Agung harap janganlah buat di bekas tapak stadium Negeri. Hancur keadaan lalulintas di KB.

(8) Membangun Kampus Bandaran UiTM adalah wajar. Ini akan mengurangkan kos bagi ibubapa di Kelantan. Juga pelajar dari negeri-negeri lain boleh belajar sama dalam suasana budaya Melayu yang utuh. Mudah-mudahan dengan cara ini, setidak-tidaknya kaum muda Melayu akan dapat terus mengenali asas dan jatidiri mereka. Dalam soal air, wajar Kelantan terus diberi bantuan. Kalau kita melihat di Amerika sekalipun, bekalan air jadi tanggungjawap Kerajaan Pusat. Janganlah dengan sebab masalah air, Melayu Kelantan tidak dapat bersuci sebaiknya untuk sholat. Kesannya nanti mengundang kemurkaan Allah kepada Kerajaan Pusat, saya menduga.

(9) Pemerhatian saya, sesungguhnya rakyat Kelantan sangat memerlukan peluang pekerjaan yang meluas dan pelbagai. Mereka sudah penat berselebaran di serata pelusuk Negara sampai ke Kapit, Belaga, Baram, Lubok Antu. Kawasan perumahan yang Najib ingin usahakan wajar jika dibangun bersama Kawasan Perindustrian khusus dalam Segi Tiga Pasir Mas-Tumpat-Kota Bharu. Inilah Segi Tiga Mas Kelantan yang saya lihat sebagai punya keupayaan untuk bangkit sebagai Pusat Industri-Perlancungan-Perubatan-Pendidikan Islam. Janganlah Najib akhirnya terpengaruh oleh konsep Politic of Pork Barrel dalam memilih di mana Projek ini akan dilaksanakan. Hamburan pelbagai Projek Persekutuan di Kelantan atas dasar itu telah gagal. Kelantan boleh menjadi Transit bagi barangan keluar-masuk dari Siam. Perlancungan bersifat Culture-Food-Islamic Healtyh adalah sangat baik untuk Kelantan. Jika Najib hendak berfikir tentang Masjid Agung, saya berkira di sinilah tempat paling sesuai bersama dengan kawasan perumahan dan perusahaan yang luas. Saya yakin, jika Najib dapat mencerna Konsep Pembangunan Bandar dan Kejiranan Melayu Islam, di SegiTiga ini, saya yakin, PAS akan mendokongnya dan InsyaAllah, Najib akan benar-benar dapat menzahirkan Pembinaan Serambi Mekah di Kota Bharu dengan tujuan bukan untuk menumbangkan PAS atau mendewakan UMNO, tetapi begi membawa contoh cara memakmur dan mensejahterakan Ummah selaras dengan tuntutan Allah. Buatlah jhanya untuk Allah demi kemakmuran dan kesejahteraan UmmahNya.

(10) Saya yakin, jika rasa teranyiaya rakyat Kelantan dapat dihapuskan, pastinya PAS akan lebih bersahabat, dan akhirnya Melayu akan kental dengan jatidiri Islamnya. Jika ini terjadi, segala tenaga dan sumber dapat kita pusatkan untuk pembangunan Negara dari kini sangat banyak terbazir untuk berpolitik. Sesungguhnya permainan politik UMNO-PAS adalah a zerro sum game yang merugikan semua.

(11) Jika Najib lebih bersahabat dalam cara pendekatnya, saya yakin sekian banyak Melayu Kelantan yang telah berjaya di Kuala Lumpur akan sanggup bersatu menghulur segala keperluan untuk membina Serambi Mekah yang makmur dan sejahtera sebagai Experimentation dalam membina jatidiri Melayu Islam secara menyeluruh. Najib, seperti diramal adalah titk tolak kepada kehancuran atau kebangkitan UMNO (tiori RAHMAN), saya mengajak dan berdoa, agar dapat melihat pandangan saya ini secara jujur dan bebas. Sesungguhnya memakmur dan mensejahterakan Kelantan, Najib pasti akan turut berbakti buat Pattani dan Champa akhirnya. Mudah-mudahan Allah bersama kita selalunya.

Kuching, Sarawak
27 Januari, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.