7/4/12 MASJIDILHARAM....di mana titik ketenangannya?
Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 15, 2012(Masjidil Kiblatin (?), di sini, dalam sehari, antara Dzohor dan Assar, kiblat umat Islam beralih dari BaitulMuqaddis ke Kaabah. Kenapa? Tidakkah itu menandakan Islam juga memerlukan kita Hijrah Pandangan? Apakah yang kita mengertikan mengenai itu?)
Dua hari lepas saya minum bersama teman yang sudah lama tidak ketemu. Di samping ngobrol hal-hal kehidupan, beliau lalu bertanya dua perkara dari saya. Pertama, tak susahkah semasa di Mekah dan Madinah?. Maksudnya, katanya: banyak yang dia dengar orang menghadapi masalah besar semasa di sana akibat prilaku dan dosa-dosa mereka semasa di tanahair atau sepanjang kehidupan mereka. Keduanya, di mana tempat paling kita berasa tenang damai semasa kita sholat di MasjidilHaram dan Nabawi?
(2) Mengenai persoalan pertama, iatu seakan-akan dia ingin mengesahkan apa mungkin semasa berada terutamanya di depan Kaabah seseorang akan menerima pembalasan tentang kejahatannya. Saya ingin tertawa mendengar persoalan ini. Pertamanya semasa di sana, puas juga saya Tawaf dan beriftitah di MasjidilHaram dan Nabawi, tak ada saya lihat sesiapapun contohnya kena pukul, potong tangan, mengelupur, atau apa-apa. Yang banyak saya lihat adalah orang menangis semasa berdoa. Sememangnya ada yang mati 1-3 orang pada setiap waktu fardhu. Namun apakah itu penghukuman? Pastinya tidak. Ajalnya sudah di situ. Juga kenapa kita lupa, bukankah Allah telah menetapkan bahawa Hari Penghakiman adalah saat kita di kemudian hari dihimpunkan di Padang Mahsyar lalu kemudian meniti Jambatan SiratulMustaqim? Kita sepertinya sudah lupa akan hal ini. Pokonya, tidak usahlah kita menjadi Maha Pendusta dengan cuba mengambilalih atau menduga, meneka apa lagi membuat spekulasi terhadap tanggungan Allah. Kita biarlah jadi kita saja, manusia!
(3) Kejadian tersesat umpamanya yang boleh menyebabkan kita agak panik adalah perkara biasa, sebagaimana kritik saya terdahulu bila mana sistem yang ada adalah kucar kacir. Cuba perhatikan setiap pintu masuk dan keluar ke Dataran Kaabah dan MasjidilHaram, apa mudah untuk kita mendapat land mark yang baik? Buat saya MasjidilHaram dan semua bangunan di sekitarnya adalah tidak mesra jemaah. Maka tidak hairan jika kita sering menghadapi masalah direction orientation. Juga kita mesti ingat, keadaan di sana, kita sering berasak-asak, maka faktur keletihan dan kesuntukan masa membuat banyak orang panik.
(4) Soal deman, batuk, selsema dan mungkin ada menghadapi pneumonia atau semput, semuanya saya berkira sangat terkait dengan faktor alam sekeling yang sangat berbeda. Saat panas, sememangnya membakar. Saat dingin, menusuk sum-sum. Begitu juga, debu sememangnya banyak. Saat ribut besar di Padang Pasir, pasti awan mekah berkabut bukan kerana titis-titis air tetapi adalah debu-debu pasir yang sangat halus yan g datang mungkin beribu kilometer jauhnya. Juga, yang ke sana, cuba lihat dari golongan mana. Kebanyakan sudah melepasi 60 peratus dari hayat hidup mereka. Maka faktur cuaca, usia, tidak kecukupan rehat, sistem yang tidak mesra jemaah menambah tingginya kemungkinan seseorang itu mendapat sakit, bahkan hilang ajalnya.
(5) Untuk hal-hal kepayahan semasa di Mekah dan Madinah, usahlah digembar-gemburkan sebagai sesuatu yang menakutkan bagi mereka yang belum ke sana. Ambil saja pendirian, betapa kita ke sana adalah untuk ketemuNya. Biar sebesar apa kesalahan kita, jangan itu menjadi rasa mengalang untuk kita ke sana. Soal pelbagai cerita yang kita dengar, itu cerita masing-masing, namun biarlah kita tetap saja di sana untuk ketemuNya dan menyerahkan diri kepadaNya. Pinta sajalah agar segalanya dipermudah dan diberkatiNya. Niat kita tetapkan sebersih dan seikhlasnya. Jika Dia mahu menghukum, itu haknya Dia, kita redha saja. Terima saja. Mudah-mudahan itu menjadi penyucian buat kita. Selain dari itu, usah takut dan sangsi. Saya jadi heran, kenapa kita tidak berani berdepan dengan boss kita. Kalau kita salah mengaku saja salah. Kemudian perbuatlah yang sebaiknya.
(6) Suatu hari,saat mahu sholat sunat Maghrib di depan pintu Kaabah, saya sempat mengutus sms kepada beberapa teman, tentang apa mereka mahu saya doakan. Seorang darinya menyatakan: Doakan agar orang yang mengangiayanya agar kucar kacir kehidupannya!. Saya membalas, saya tidak boleh berbuat sebegitu di tempat yang terlalu dekat dengan Allah. Kita juga tidak dibolehkan untuk berdoa sebegitu nadanya. Saya hanya berdoa agar Allah membantu menteramkan jiwa teman ini dalam apa juga cabaran yang sedang dia lalui. Bagi mereka yang menghadapi kesakitan, inginkan kejayaan atau apa-apa saja yang baik, saya doakan segalanya buat mereka. Itulah saya kira sumbangan saya paling besar buat teman-teman yang memerlukan.
(7) Keduanya persoalan tempat paling mendamaikan ketika di MasjidilHaram dan Nabawi. Adakah ianya kita capai semasa sholat atau beriftitah di depan Hajaraatul Aswad? Di depan Pintu Kaabah? Di Hijir Ismail? Di Makam Ibrahim? Di Raudhah? Atau di depan Makam Rasullulah? Buat saya, masing-masing akan ada tempat paling damai buatnya. Itu tidaklah penting. Sebabnya, semasa saya dalam Sekolah Menengah, guru saya sering berkata bila saya membuat kerja rumah Matematik dan Fizik: Jawaban itu tidak banyak markah, yang penting cara untuk mendapat jawaban. Kalau cara betul, pasti jawabannya betul! Maka biarlah saya berkongsi sedikit pengalaman atau cara saya mendapat ketenangan semasa di Mekah dan Madinah.
(8) Cuba kita duduk di pinggir laut. Saat angin sepoi-sepoi, ombak beriak-riak, perahu nelayan kelihatan berlayar damai, mentari mulai memerak, kicau burung bersahutan, anak-anak dan ibu-bapanya berlarian, pasti saat kita berada dalam keadaan sebegitu kita akan terasa sahdu dan damainya. Kenapa?
(9) Bila terdahulu saya menulis mempersoal kenapa orang seperti gila mahu ke Mekah dan Madinah ada yang mencemuh biar tanpa mengerti mendalam: saya sudah lupa mahu mati, saya perlu taubat, saya perlu merenung diri namun saya biarkan apa saja pengkritik mahu berkata. Saya cuma semungkin selalunya hanya meminta kepada Allah agar saya Dia berikan segala kekuatan untuk terus berbakti kepada ummah dan AgamaNya. Tidak banyak yang saya pinta dariNya.
(10) Makanya, 3-5 bulan sebelum ke Mekah dan Madinah, saya telah terlebih dahulu mengembara serta meningkatkan pembacaan dan penyelidikan saya. Saya menyelidik apa yang ada di Kelantan, Siam, Kemboja, Laos, Vietnam, Indonesia, dan Filipina. Saya membaca sejarah dunia dari mulai ia tercipta sehinggalah dalam zaman temadun-temadun dunia. Saya membaca sejarah bangsa-bangsa besar dunia yang telah membentuk dan mencorak budaya manusia. Saya membaca sejarah para pejuang Islam. Saya meneliti pelbagai tulisan mengenai Muhammad SAW. Saya cuba mendalami tafsiran Al Quran.
(11) Maka, contohnya di saat saya di Jabal Rahmah, bilamana kebanyakan orang berdoa berkait dengan kebahagian jodoh dan rumahtangga, saya duduk memandang Padang Arafah yang meluas, gersang, membunuh di sekitarnya. Dalam terik panas mentari saya cuba mengimabu kembali ke pulohan ribu tahun terdahulu.
(12) Bayangkan, mungkin pulohan ribu tahun sebelum Muhammad SAW, Nabi Adam AS berjalan dari Himalaya ke Jabal Rahmah. Dia berjalan sendirian. Pastinya tiada kenderaan biar unta, kuda, atau kerbau. Berjalan. Bayagkan berjalan ribuan kilometer, sendiri. Dari pergunungan Himalaya merentas entah apa saja, dugaan apa saja, cabaran apa saja, agaknya berapa tahun baru dia dapat mendekap Hawa? Saya cuba merasakan peritnya jalanan Adam AS demi mencapai kebahagiannya, sahdunya, kegembiraannya, kelapangannya. Pasti tidak terkira batas kesiksaan yang ditempuhinya. Itulah cinta Adam pada Hawa. Kalau dibuat movie, pasti lebih hebat dari Romeo & Juliet. Namun takdir jalanannya, bukanlah sekadar cinta, tetapi kembali menghidupkan Kaabah yang telah punah!
(13) Juga, saat Muhammad SAW menerima wahyu: ...Ku sempurnakan Islam buat agama umatKu, dan Al Quran itu semulia-mulianya panduan buat semua..., bagaimanakah rasa hati Muhammad SAW saat itu? Bila baginda menyampaikan perkhabaran itu semua jadi tersangat gembira, sangat bahagia. Kenapa? Kerana mereka memiliki benda yang sempurna. Namun Abu Bakar menangis. Semua orang jadi tertegun. Muhammad SAW pastinya hanya terdiam. Adakah dia diam bahagia atau diam dalam seribu satu kerisauan? Pasti tidak siapa dapat menyelami hati dan rasa hati Muhammad SAW. Muhammad SAW pasti dia akan pergi dalam waktu yang sesingkatnya. Abu Bakar mengerti itu. Makanya dia menyampaikan Khutbahnya yang terakhir di Jabal Arafah yang saya kira adalah Jabal Rahmah. Cuba kita dalam kedudukan baginda, tidakkah mungkin kita akan berlinangan air mata? Kenapa? Saya menduga, jika saya, pasti saya akan merasa betapa Islam itu telah sempurna namun Umat Islam yang bakal ditinggalkan bagaimana. Dalam masa pimpinan Muhammad SAW masyarakat Islam belumpun sempurna, apa mungkin mereka akan dapat jadi sempurna selepas pemergian baginda. Saya yakin, dengan tanggapan itu, jika kita dapat merasakan itu, rasa hati kita walaupun di Jabal Rahmah pasti akan terkesan. Jika rasa terkesan ini wujud, pasti di mana juga kita berada kita akan dapat merasa, menjiwai. Buat saya, berada di Jabal Rahmah, biar dalam terik mentari, kesahduan itu turut datang dan rasa damai mendekat kerana saya dapat merasa betapa siksa dua manusia Adam dan Muhammad saat mereka di sana dalam mencipta sejarah besar dalam dunia Islam.
(14) Juga, cuba ke Jabal Uhud. Tiga tanda pusara masih ada di sana. Cuba, bayangkan Saiyidina Hamzah, saat gugurnya dia, dadanya dibelah Hindun, lalu hatinya disiat-siat. Bayangkan. Jika kita lihat dalam National Geography, orang-orang Papua berbunuh dan menyiat-nyiat hati mangsanya, pasti kita akan tertegun dan hairan besar. Ngeri bukan? Maka, kalau kita mengerti akan sejarah Jabal Uhud, pasti kita akan merasa insaf, betapa ingkar akan perintah ketua, telah mengundang kehancuran dan kecelakaan besar kepada pasukan perang Madinah di tangan Quraish Mekah. Jika ini kita faham, mengerti, hayati, bagaimana rasanya sikap kita semasa di sana? Tidakkah mungkin kita akan khusyuk berdoa terutama buat Sayidina Hamzah juga buat semua umat manusia itu betapa keingkaran dan rasa tamak boleh memusnahkan diri sendiri. Menyedari ini, menginsafi ini, menghayati ini, tidakkah kita akan berasa damai kerana kita jadi lebih mengerti dan sadar?
(15) Cuba juga semasa berada di Hijir Ismail kita cuba memahami tempat itu sebegitu agung. Kenapa tempat ini jadi rebutan untuk banyak orang mahu sholat hajat di sana? Ingatkah kita? Bukankah di sana, Ismail mahu disembelih oleh Ibrahim? MasyaAllah, apalah takdir buat si Ismail. Saat dalam masih bayi beliau terbuang di Padang Pasir gersang. Saat sudah dewasa, sanggup pula si bapa mengorbannya. Tidakkah dia mengalami nasib, sudah jatuh ditimpa tangga? Bagaimana agaknya hati si ibunya. Pertamanya didengki, dikhianati orang iaitu isteri Ibrahaim sendiri, madunya. Kemudian dia tinggal sendiri bersama anaknya Ismail yang masih bayi. Tanpa air. Tanpa makanan. Tidakkah itu berunsur kejam? MasyaAllah. Apalah nasib perempuan, isteri dan ibu? Si anak yang dibela dengan penuh kesengraaan sendiri kini terpaksa mati di tangan bapanya sendiri, sang suami yang kalah kepada madunya? MasyaAllah, apalah nasib Hajar? Cuba jika kita mengisafi ini, tidakkah kita akan tersedu? Tidakkah kita akan khusyuk? Tidakkah kita akan terkesan? Maka bagaimana agaknya doa kita? Berdoa agar mereka yang jahat kepada kita terbalas dosa mereka? MasyaAllah, sesungguhnya, inilahg dugaan Allah, apakah kita mampu berfikir dan menyelami? Juga air Zam Zam yang kita minum ada ertinya?
(16) Di Rhaudah. Banyak orang merasa damai di sana? Kenapa? Biar apa sebab masing-masing itu hak mereka. Namun saya membayangkan di sanalah Muhammad berkeluarga. Berkeluarga dalam penuh kemiskinan dan kekurangan, namum baginda tidak pernah getir dalam menjalankan tugas membangun umah, membina negara. Bacalah bagaimana baginda begitu pilu melihat kemiskinan Fatimah dan Ali, anak dan menantu baginda. Cuba kita, bila kita miskin, apa akan kerjaan dan fikiran kita saban waktunya? Paling, kalau kita digaji tidak mencukupi, bagaimana cara kerja kita? Apa lagi jika ada kelebihan yang melimpah apa jadi dengan sikap dan rezeki melimpah kita itu. Juga di sanalah mula persidangan sebuah Kerajaan berjalan. Di sanalah juga rencana-rencana strategik digubal buat mempertahankan Madinah kemudian mengembangkan Islam ke seluruh bumi Arab. Di sanalah buat saya, banyak air mata dan keringat Muhammad SAW tumpah, semuanya demi umatnya, demi Islam. Dan kita saat di sana, apa doa kita? SubhannaAllah.
(18) Semasa meminum air Zam Zam, apa perasaan kita? Meneguk air Zam Zam saat memandang Kaabah di sore hari, di subuh dingin, di tengah hari terik, rasanya bagaimana? Amat bahagia? Kenapa, kerana dahaga kita hilang? Namun adakah itu sebenarnya, wujudnya air Zam Zam? Cuba saat kita sedang mengisi cawan dengan air Zam Zam, bayangkan betapa hancurnya hati Hajar. Betapa remuknya hati seorang ibu mendengar tangisan anaknya, tanpa air, tanpa susu. Beliau jadi hopeless, penasaran, mundar mandir berlari-lari kebingungan antara Safa dan Marwan. Cuba bayangkan? Bila air Zam Zam memuncerat, dengan meminum air itu, sepuasnya, sepanjang hayatnya, kedua-dua Hajar dan Ismail tiada rasa dengki, tiada rasa ingin membalas dendam atas khianat sesiapa mereka. Kedua-dua manusia ini jadi redha dan mulia. Juga, kerana pensucian dengan air Zam Zam, maka hati Muhammad SAW jadi bersih, berani, tegar, rendah diri, tekad, pasrah, mulia semulia-mulianya. Cuba jika kita mengerti semua ini, agaknya apakah doa kita saat ingin meneguk air Zam Zam? Berdoa untuk kaya? Berdoa agar sembuh segala penyakit? Mengertikah kita, di dalam Al Quran ada tersebut: jika segumpal daging di dalam tubuh kita sakit, maka sakitlah seluruh jiwa raga kita. Pasti kebahagian akan meresap ke seluruh jiwa raga kita jika, dengan berkat air Zam Zam kita jadi manusia berhati mulia!
(17) Buat saya, jika kita dapat meneliti setiap sejarah pada setiap tempat dan benda penting dalam perjalanan dan perjuangan Muhammad SAW menegakkan Islam dan mentemaddunkan manusia, perit getir Muhammad SAW pasti akan mengisafi kita. Jika ini kita dapat kuasai dan miliki sejujur dan sebersihnya, agaknya bagaimana sikap kita pada setiap tempat penting ini? Buat saya, berjayakah Muhammad SAW tanpa Abu Bakar, Othman Al Affan, Umar Al Khatab, Ali Abi Thalib, Hamzah, Sufian, Walid, Bilal, dsb. Maka adalah wajar kita juga harus merasa mission accomplish di semua tempat-tempat penting bukan sekadar di Rhauddah dan Hijir Ismail sahaja. Soal keberkatan doa itu soal lain, saya hanya ingin, mengajak semua mengerti pada jalan yang telah saya selidiki dan lalui, agar kita jadi lebih prihatin terhadap perjuangan yang belum selesai.
Terasi, Simunjan, Sarawak
15 April, 2012
#Abdullah Chek Sahamat
Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Assalamualaikum .
Beberapa hari lepas saya mendengar ceramah dari seorang Mursyidul .
Sedikit dari petikan kata - kata beliau menarik ,
Bagaimanakah harus kita menzahirkan rasa rindu itu kepada Allah ...
Beliau menambah ,
Saya telah beberapa kali ke Masjidil Haram secara bersendirian juga bersama group.
Sebaik sahaja berada di Kaabah kita pasti akan menangis .
Mengapa...
Itu salah satu rasa rindu kita kepada Allah . Kita menjadi tetamunya , menzahirkan
dalam keadaan apajua sekalipun . Kita tiba ke rumah Allah sebagai satu daripada syarat jika berkemampuan , untuk sekian lamanya kita pendamkan dan akhirnya ia menjadi nyata dengan kehadiran itu .
Begitu juga di saat perpisahan , kita mengerjakan Tawaf Wida sebagai tanda ucapan
selamat tinggal . Kita menangis saat pertama bertemu Baitullah dan kita juga menangis
saat akan berpisah dari Tanah Haram .
Bagaimana pula andainya kita sudah berkali - kali mengunjungi Baitullah ...
Pastinyalah rindu itu akan sedikit berkurangan .
Namun buat saya ...
Kedatangan kali pertama itu adalah sebagai bukti kerinduan kasih sayang kepadaNya .
Kedua kali , seterusnya , walau beberapa kalipun , diharapkan itu akan
lebih menguatkan lagi kerinduan kasih sayang kecintaan sebagai tanda kita adalah
hambaNYA ....
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Negara ke 58 , Sehati Sejiwa , semuga roh perpaduan , kekitaan , kemerdekaan yang dikecapi ini sentiasa berkekalan . TQ .
Agak lama Saudara ABC tidak menulis .......
Post a Comment