Mula-mula ibunya hidup terhimpit. Kini dia yang terjepit. Apa mungkin fikiran dan pandangan hidupnya akan bebas merdeka. Inilah jalanan yang telah melahirkan Hitler, Stalin, Mao Tze Dung, Ho Chii Minh, Tito, Castro, Pol Pot, bahkan Sukarno, dll)
Tulisan ini pastinya tipis. Namun,ianya bukanlah suatu yang asing. Saya perhatikan sendiri beberapa keadaan yang melanda keluarga miskin yang payah, di mana-mana. Miskin maksud saya, adalah bila mereka dalam serba kekurangan. Makan tidak cukup dan sangat kurang zatnya. Pakaian seadanya. Rumah setakat boleh tidur tetapi tidak bisa nyenyak. Pastinya, kalau hujan mungkin bocor. Kalau ada api, amat terhad. Segala-galanya terhad. Jendela dan pintu kehidupan mereka sangat terbatas.
(2) Saya ingin bercerita tentang Keluarga Bu Zaharah Ibrohim yang saya temui di Tonle Sap St. di Phnom Penh, semasa lawatan saya ke sana pada 5-11 Sept., 2011. Saya gelar beliau Bu atas rasa kagum saya tentang betapa beliau dari seumur lima tahun sehingga kini masih terus dapat bertahan untuk menempuh hidup yang payah. Suami Bu Zaharah, Razali berumur sekitar 40 tahun, ie enam tahun lebih muda dari beliau. Dari perawakan, Bu Zaharah agak out going dan beliau sangat menjaga perawakan dan seorang yang sangat santun. Pohon maafnya bila berbicara tak henti-henti sehingga hampir saja saya mahu melarang beliau dari terus sebegitu. Usia beliau sekitar 46 tahun.
(3) Punya tiga anak. Satu lelaki dan dua perempuan. Yang lelaki, Naim, adalah paling tua, berumur 24 tahun, baru saja mendirikan rumahtangga dengan seorang yatim piatu yang juga sangat miskin dan susah. Naim, menjadi supir tuk-tuk saya, selama lebih kurang empat hari saya di sana. Isteri beliau, Noraini, berbadan kecil, saya kira akibat kekurangan zat makanan yang berpanjangan. Agak pendiam. Bila ditanya, apa cita-cita hidupnya:"Tidak pasti. Tak terfikir" begitulah yang dapat diterjemahkan oleh Bu Zaharah. Matanya agak kurang jernih dan di wajahnya terbayang sejuta ketakpstian atau mungkin naive dalam banyak perkara. Naim, cita-citanya:"Hijrah. Kalau boleh ke Malaysia atau ke mana-mana", dan bila disoal, bagaimana dengan isteri, dia hanya diam tertunduk.
(4) Naim dan Noraini tinggal di rumah nenek Noraini yang diceritakan oleh Bu Zaharah sangat kecil, di KM9. Sebetulnya saya ada ke sana, serta berjalan keliling Kampung berkenaan agak lama, Naim tidakpun sudi mengajak saya menjenguk rumah itu: dia segan agaknya. Naim juga badannya sangat kurus. Biar tinggi hampir lima kaki dua tau tiga inci, saya kira berat badannya mungkin sekitar 40 Kg. Namun, sikapnya amat jujur, kerana bila di mana-mana saya mengajak beliau makan yang sedikit istimewa, pasti terpaksa berpujuk panjang baru dia mahu ikut sama. Begitu juga bila diberi wang upah lebih, dia semahunya menolak. Saya menghadiahkan sebentuk cincin buat Noraini atas pilihan Naim, buat ucap selamat atas rumah tangga mereka serta mudah-mudahan jadi ingatan mereka sehingga akhir hayat. Saat Naim menyarong cicin ke jari Noraini, jelas kesayuan pada wajahnya. Saya berkira, pastinya, dia tidak punya cincin perkahwinan istimewa semasa pernikahan mereka.
(3) Anak perempuan beliau yang sulung, Fauziah sudah berkahwin dan punya seorang anak perempuan bernama Jasmin, berumur sekitar dua tahun. Suaminya, kerjanya adalah pembonceng tuk-tuk. Saya tidak punya kesempatan untuk ketemu dengan beliau. Fauziah, manis rupanya. Berbadan kecil. Genit, bukan slim. Comel. Punya mata yang jernih. Kerana masalah pertuturan dia hanya sering tersenyum bila saja saya berpaling melihat beliau.
(4) Anaknya Jasmin, anak yang sangat aktif. Tak pernah duduk diam. Aktif. Dia suka ngomel. Berjalan terus. Kecil. Halus sebetulnya. Rambutnya jarang, saya kira banyak keguguran. Dia dikatakan sering saja demam. Bila demam pasti seperti gila babi: sawan. Saya lihat jari-jari halusnya. Kelihatan kukunya agak putih, tidak berapa merah berdarah. Begitu juga telapak tangannya, agak pucat. Matanya tidak jernih. Jauh dari bersinar. Bibirnya agak kering. Kulit tubuhnya juga agak kering. Dia anak yang sungguh perlukan perhatian. Biar apapun yang saya pinta pasti dia lakukan dengan yakin dan berani. Disuruh membuka mulut, dia nganga. Saya dipinta jelirkan lidah dia buat tanpa dipinta kedua kalinya. Saya lihat giginya, telingganya, anak matanya, belakang tubuhnya, segalanya dia menurut. Cuma dia tidak mahu bila saya mahu membopongnya. Saya mahu merasakan berat badannya.
(5) Saya membujuk Fauziah untuk bersama saya membawa Jasmin ke Farmasi atau klinik berdekatan. Pastinya dia mulanya takut kerana, saya yakin, atas alasan kemampuan. Saya memberitahu Bu Zaharah, bahawa saya akan membiayai semuanya jika perlu. Di Poliklinik Kerajaan, saya sempat bercakap dengan Doktor di sana, namun dia tidak berapa mahu membantu dan akhirnya, saya cuma mendapatkan multi-vitamin untuk keperluannya sebulan. Sebaik saja mendarat di Kuching dan malam tadi saya menalipon kembali ke Phnom Penh untuk bertanya khabar tentang Jasmin, dan apa yang dikhabarkan oleh Bu Zaharah amat mengembirakan saya:"Jasmin suka makan. Dia selalu tanya Om. Dia sekarang kuat tidur. Nampaknya dia lebih cergas". Mudah-mudahan anak ini akan sihat dan saya benar-benar berdoa akan ada nur kesejahateraan buat keluarga ini. Sebetulnya, Jamsim mulai mahu bermanja dengan saya biarpun saya hanya mulai berjinak dengan dia dalam dua hari. Dia memanggil saya Om yang maksud Chamnya adalah atuk.
(6) Naim, Noraini dan Fauziah cuma tamat Sekolah Rendah Kambodia. Mereka hanya boleh membaca dan menulis sedikit dalam bahasa Kambodia. Saya yakin, mereka tidak mahu melanjutkan persekolahan, bukan semata-mata kerana masalah kemampuan, namun yang paling ketara adalah tiada minat. Bahasa Inggeris, tahunya: Yes. No. I speak little.
(7) Anak Bu Zaharah yang bungsu bernama Salimah. Umur baru 18 tahun. Juga kecil molek. Halus, sebetulnya. Rendah sedikit dari ibunya. Sekolah cuma sampai tahun ke tiga Sekolah Kambodia. Saya kira dia hanya tamat sampai darjah tiga sekolah asas. Saya cuba membandingkan Bu Zaharah semasa dia perawan dulu dengan Salimah:"Saya dulu lagi kurus bang. Tak cukup makan. Makan daun-daun, emak susah. Bapak tak ada. Tak ada duit. Selalu makan bubur. Tak ada ikan. Susah betul", keluh beliau panjang. "Ada cerita semua ini pada anak-anak?" saya cuba mencungkil. "Selalu saya cerita pada mereka. Saya tak tahu mereka faham tidak?" jawap Bu Zaharah. Salimah, dijangka akan bernikah pada akhir tahun ini, atas rundingan sesama keluarga. Saya sering bertanya apa agaknya cita-cita Salimah, namun selalunya dia hanya menjuih atau mengetap bibir, tanda tidak tahu apa yang dia inginkan di masa depannya. Dia seperti menyerah segalanya pada hari esok.
(8) Saya tidak sempat bercakap dengan suami Bu Zaharah, Rozali. Saya hanya sempat bersalaman dengan dia semasa dia hendak berlalu pergi bila saya selesai Jumaah. Dari susuk tubuhnya, jelas, dia bukan seorang yang sudah terlepas dari kesusahan. Beliau menjalankan kerja memandu kereta sewa milik Bu Zaharah. Saya tidak sempat memperinci mengenai semua itu, atas dasar bahawa baru kenalan, masa mahu mencungkil segala.
(9) Saya berkunjung ke ruamh Bu Zaharah sebanyak tiga kali. Pertamanya untuk berbincang dengan beliau berkait dengan arah dan jadual perjalanan tuk-tuk saya bersama Naim untuk tempoh empat hari. Bu Zaharah boleh bercakap bahasa Melayu dengan agak baik. Kali keduanya saya ke sana adalah untuk sholat Jumaat dan selanjutnya adalah pada petang Sabtu, 10 Sept., 2011. Petang tersebut sebenarnya saya mahu mereka bersama saya makan malam di sebuah restoran Barat. Tapi mereka merasa agak membazir, lalu mengusul untuk makan di rumah sahaja. Inilah apa yang saya katakan kesederhanaan dan sifat berpijak di bumi nyata yang ada pada mereka.
(10)Pada kebanyakan kita, sekilas pandang, pemikiran dan cara hidup orang miskin dan susah adalah sangat mudah, ringkas. Pandangan dan pegangan hidup mereka adalah ringkas, pendek dan sempit bagi sebahagiannya. Kerana itu maka mereka itu tetap miskin. Contohnya, jika tak ada duit, maka ambil saja jalan mudah, anak-anak tidak usah ke sekolah. Jika ada yang masuk meminang, terima saja. Soal mereka akan boleh hidup atau tidak, esok saja yang menentukannya. Semuanya diambil secara mudah dan ringkas. Itu adalah hukuman yang kita jatuhkan buat mereka. Namun pernahkah kita cuba menyelidiki akan punca kepada kesempitan dan singkatnya padangan dan pegangan hidup mereka itu.
(11) Keluarga Bu Zaharah, begitulah cara mereka berfikir, dan begitulah turutan jalanan hidup mereka. Ke tiga-tiga anaknya tidak punya pendidikan yang sebaiknya. Dua darinya sudah menjejaki langkah hidupnya sendiri; pengusaha tuk-tuk tetapi tidak mempunyai nilai-nilai yang lebih baik dari dirinya. Bu Zaharah, sekurang-kurangnya, biar tidak pernah ke bangku sekolah, namun dia boleh berbicara dalam bahasa Melayu dan sedikit-sedikit mengerti bahasa Inggeris. Dia belajar bahasa Melayu dari pelayar Indonesia yang datang berdagang segala macam barangan pada tahun 1980an. Namun anak-anaknya, tidak ada langsung kebolehan tersebut. Value Added pass over tidak berlaku dalam keluarga ini. Kenapa?
(12) Bu Zaharah seumur lima tahun telah di dera oleh Regim Komunis Pol Pot. Saban hari dia bersama ibu-bapanya terpaksa berjalan dan bekerja di sawah seharian tanpa henti-henti. Makanan tidak diberi. Penjagaan tidak dipedulikan. Sebetulnya, Pol Pot sengaja mahu membunuh kaum Cham dan penduduk Bandar secara sistematik atas rasa dendam beliau melihat, pertamanya kerabat DiRaja Kambodia yang hidup mewah namun tidak pedulikan kebajikan rakyat serta atas sikap penjajah Peranchis yang melebihkan kaum pendatang ie kaum Cina dan Cham dalam segala urusan ekonomi yang lebih menguntungkan. Bapa Bu Zaharah meninggal akibat kerja berat dan siksaan yang tidak tertanggung. Bayngkanlah, di saat getir seperti itu, sang ibu terpaksa menanggung lima anak yang masih kecil-kecil sendiri.
(13) Bila regim Pol Pot tumbang dalam tahun 1979, mereka kembali ke kampong masing-masing yang sebahagiannya telah dirampas oleh kaum Khmer atau Kemboja, dan terpaksalah mereka memulakan hidup atas belas ikhsan mereka ini. Diceritakan, hari-hari mereka mencari apa saja yang dapat dijual untuk tukaran dengan beras. Selalunya, mereka hanya dapat makan bubur. Saya belum dapat mencungkil sepenuhnya payah sengsara mereka, dan sangat berharap suatu hari nanti, saya dapat kembali untuk mendalami segalanya agar dapat jadi pengajian lanjut buat sesiapa yang berminat.
(14) Di rumah Bu Zaharah, segala-galanya adalah ringkas. Tiada meja makan. Tiada meja untuk belajar. Ada kerusi sattee tetapi tanpa kusyen. Makan dan minum hanya dengan bersila di lantai. Peti sejuk hanya kadang kala sahaja dihidupkan kerana khuatir tentang bayaran elektrik yang tinggi. Peti televisyen jenis lama. Gambarnya lebih banyak hitam dari berwarna warni. Tiada mesin jahit. Kipas anginpun, model mainan. Rumah seluas saya kira dua puloh kaki kali dua puloh kaki iaitu 400 kaki persegi, dua tingkat namun hanya punya dua kamar. Dapur yang sangat sempit, hanya bisa muat satu orang untuk bermasak. Segalanya sangat sempit, cuma beruntung, ngak banyak perkasan rumah maka tampak tiada apa yang bersepah, kerana tiada apa yang hendak disepahkan. Mereka terpaksa menerima itu sebagai hidup mereka. Kesempitan itu menjadikan mereka tersepit.
(15) Itulah gambaran kekurangan dan ketiadaan keberadaan mereka. Maka jika itulah keadaan seharian mereka, pagi-petang, siang malam, saban waktunya sebegitu, maka dari manakah akan lahir gambaran luas pandangan hidup mereka?
(16) Inilah, Bu Zaharah hidup dan terus hidup dengan sendiri sebegitu sehingga InsyaAllah ada rezekinya sendiri, maka akan kembali mungkin maruah dirinya. Namun, jika kita lihat segala bentuk Perumahan Murah biar apa sekali namanya di negara kita ini, kita seperti memaksa yang miskin, yang kurang upaya agar terus hidup dalam ruang kejiranan yang sempit dan menyempitkan. Apa mungkin darinya nanti kita dapat membina bangsa dan masyarakat yang baik dan sempurna? Saya tidak pasti!
(17) Kita dengan cara pembinaan perumahan rakyat yang sedia ada seperti sedang memperjudikan budaya dan corak masa depan bangsa dan masyarakat agar bobrok. Kita menyempitkan yang sedang terjepit, maka apa mungkin mereka bisa berfikiran keluar?
Mukah, Sarawak
13 Sept., 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment