.

20/9/11 GLOKAL NAJIB KE MANA TALANYA?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - September 10, 2011

Share

& Comment



Saya telah banyak mengkritik kelemahan nyata masyarakat Islam khususnya golongan minoriti di ranrau ASEAN: Thailand, Kambodia, Filipina, Vietnam dan Laos. Inilah masyarakat Islam yang suku tempatan di kenali sebagai Pattani (Thailand), Cham (Kambodia, Vietnam dan Laos), dan Sulu (Filipina). Masyarakat in dulunya, dalam zaman kegemilangan Islam di nusantara punya Kerajaan tersendiri: Champa yang berpusat di Vietnam, Kesultanan Sulu di Mindanao dan kepulauan sekitarnya sehingga ke Sabah, Pattani di selatan Siam> Namun sejak 500 tahun lepas masyarakat ini telah tidak putus-putus mengalami tekanan yang sangat dahsat. Bermula dari penjajah Barat (Peranchis, Sepanyol, Amerika, dan British) sehinggalah tekanan dalaman semasa kemelut komunis, membawa sehingga ke pemerintahan di abad ke 21 ini. Atas alas an keganasan Islam maka kini mereka sudah menjadi duri dalam daging kepada pemerinthan yang ada serta menjadi alasan yang mustajab dalam menyisih dan menghapuskan mereka.

(2) Mengkaji sejarah kegemilangan Kerajaan Islam lampau seharusnya menjadi suatu bidang kemestian bagi kita umat Islam dan Melayu. Lihatlah bagaimana Kerajaan Champa, Kesultanan Sulu, Kerajaan Majapahit, Kerajaan Mataram, Kesultanan Melaka, Kerajaan Jambi dan Kerajaan Pasai, semuanya tersungkur di tangan penjajah Barat sekitar abad ke 13. Semuanya terjadi seperti suatau tsunami yang mematikan. Kini, tusnami itu sedang melanda negera-negara Islam Arab. Kita seperti tidak mahu belajar dari kesilapan dan kealpaan lepas.

(3) Secara umum, mereka ini sangat memerlukan bantuan antarabangsa, khusus dalam memberikan bantuan kepimpinan yang boleh merubah cara berfikir dan bertindak mereka yang nampaknya dalam kekalutan yang sangat dahsat. Perpecahan di kalangan mereka pastinya suatu yang tidak dapat dielakkan memandangkan segala bentuk pecah dan perintah yang telah diasakkan kepada mereka selama ini. Kini, masyarakat ini, lantaran kemiskinan dan kepayahan hidup yang sangat dahsat, maka masing-masing bersikap seperti enau dalam belukar. Masing-masing perlu bersikap merebut hidup sendiri-sendiri.

(4) Kita masyarakat Islam di Malaysia terutamanya, tidak boleh mengambil sikap hanya pejam mata dan telinga atas penderitaan mereka ini. Kita harus sedar, dalam kehidupan kita ini, keperluan untuk pertamanya bersanak saudara lalu bermasyarakat adalah sangat penting. Maka di peringkat antarabangsa juga kita harus punya hubungan dengan mereka yang boleh menjadi sahabat kita di saat kita perlukan mereka nanti. Untuk ini, wajar dalam wilayah serantau, masyarakat Melayu dan Jawa yang kini menjadi teras kepada Agama Islam di nusantara harus memainkan peranan yang besar dan cergas dalam sama-sama membela dan membangun masyarakat Islam terpinggir ini.

(5) Dua perkara, saya kira adalah perkara asas yang perlu dilakukan segera bagi membantu mereka ini. Pertamanya dalam bidang pendidikan, dan kedua dalam bidang eknomi.

(6) Dalam pendidikan, mereka sepertinya sedang tercari-cari sistem yang boleh mempertahankan jati diri mereka. Di peringkat nasional, mereka tidak boleh lari dari mengikuti pendidikan kebangsaan Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam dan Filipina. Namun, jika mereka hanya terbiar dalam sistem berkenaan yang pastinya akan meminggir dan atau menyingkirkan keperluan jati diri budaya dan pendidikan Islam, maka mungkin dalam satu ke dua generasi akan datang, mereka pastinya tidak akan dapat bertahan lagi. Juga sistem pendidikan Kebangsaan mereka tidak dapat membawa mereka ke mana-mana, kerana ianya sangat berbeda dengan di Malaysia di mana pemerintah terus membiayai pelajar kita ke tahap di mana mereka mahu terus belajar. Di Negara-negara ini, pendidikan lanjutan sangat terbatas akibat keperluan pembiayaan yang sangat tinggi.

(7) Kecenderungan mereka untuk samada berada di Malaysia, Indonesia, Brunei dan bahkan Negara-negara Arab selalunya sekadar untuk mempelajari soal-soal rohaniah pastinya tidak akan dapat menjamin kemandirain jangka panjang mereka. Kini, sudah banyak keluhan, setelah kembali dari mengikuti pelajaran pondok atau pesantren, mereka hanya boleh menjadi Imam dan atau guru agama secara sukarela atau mendapat upah yang sangat kecil. Akhirnya, mereka juga terpaksa memikirkan jalan bubar demi mengejar hidup: “Mana boleh kita terus berkerja secara sukarela, anak bini, kaum keluarga serta segala keperluan hidup lain memerlukan wang”.

(8) Jika ini terus terbiar, maka di saat goyah dan getir seperti ini, pastinya banyak yang akan kalah. Maka kini kita dapati banyak di kalangan golongan muda sudah menjauhi agama mereka dan mengambil sikap lewa atas keperluan KeIslaman mereka, malah mereka seperti mahu biadap, menyoal:”Mana janji yang Allah akan membantu kami, sedang saat kami sangat perlukan bantuan, tiada siapapun peduli akan kami!”. Inilah hujjah yang pasti jika ianya muncul, maka akan banyak yang akan menangguk di air keruh. Saat sebegitu, apakah kita umat Islam yang lebih mampu tidak bersalah?

(9) Maka dengan itu, wajar saya berkira kita harus punya sekolah pondok, madrasah atau pesantren yang dapat menggajar kedua-dua ilmu duniawi dan syurgawi, agar siapapun yang terlahir dari sana nanti akan menjadi Muslimin yang serba lengkap. Kita sebetulnya, ketandusan institusi sebegitu. Pendidikan Nasional mana-mana negara sekalipun akan lebih menekan soal duniawi, sedang sekolah pondok pula menekan syurgawi. Soalnya, kepincangan keduanya akhirnya tidak akan memberikan kita kesempatan untuk mencapai apapun samada duniawi atau syurgawi. Natijahnya, bila miskin, menderita, syurga ke mana, akhiratpun entah ke mana? Kesiembangan antara keduanya harus kita bentuk segera.

(10) Institusi-institusi sebegini, seharusnya dijadikan wadah bagi membentuk pemimpin elit dari kalangan masyarakat Islam minoriti terpinggir ini untuk dilatih agar menjadi pengerak kemajuan sebenar golongan berkenaan di negara masing-masing. Satu gagasan antarabangsa mengenai perkara ini boleh di usahakan melalui pelbagai institusi yang sedia ada atau melalui institusi baru yang dapat mengembelingkan sumber-sumber dari masyarakat Islam antarabangsa seluruhnya. Saya yakin, masyarakat Islam di Bosnia, Hezagovina, Chechen, Madgaskar, Afrika Selatan, dll juga sedang menghadapi masalah yang sama.

(11) Dalam bidang ekonomi, sebetulnya banyak keperluan bersama yang boleh dijadikan asas bagi urusan dagangan timbalbalas. Dengan adanya masyarakat minoriti ini di negara-negara berkeanaan, pastinya akan memudahkan bagi para pedagang Malaysia, Brunai bahkan Indonesia untuk bersama menjadi jambatan dalam membanunan hubungan dagang rantau sebelah sini dengan rantau di Timur Tengah dan bahkan Barat.

(12) Contohnya dengan kepesatan sektor hartanah di Malaysia, Indonesia, Singapura, dan bahkan di Brunei dan Timur Tengah, maka keperluan barangan sokongan, contohnya perabut, perhiasan, seni taman, perkakasan rumah, dsb dari rantau Indochina pastinya punya pasaran yang sangat luas. Masyarakat minoriti ini boleh menjadi jambatan paling baik jika perkara ini dapat diusahakan secara bersepadu.

(13) Pembangunan sector ekonomi kaum minoriti ini perlu dilakukan dengan penuh bijaksana. Maka jika di kalangan mereka telah kita didik dan diasuh sebaiknya, maka adalah wajar kelompok ini harus menjadi pengerak kepada usaha-usaha pembangunan ekonomi yang lebih besar dan mampan. Saya berkira, mereka sangat perlukan sokongan perbankan. Bank Islam dan Bank Rakyat yang berkonsepkan Grammen Bank Bangladesh mungkin perlu kita gerakkan di sini. GLC kita seperti Sime Darby, Tabung Haji, FELDA dsb sebaiknya perlulah mengembangan sayap mereka ke sana terutama dalam menerokai sector perladangan dan hartanah. Bidang perdagangan juga tidak harus dilupakan.

(14) Saya percaya, Malaysia kini punya anak-anak Melayu Islam yang sanggup mencoba hidup di luar negara, Cuma kita harus secara berani dan teratur menjuruskan mereka kepada keperluan masa depan negara yang lebih strategik.

(15) Masanya sudah tiba bagi Najib mengorak langkah dalam menyepadukan tenaga kepintaran Melayu Islam lulusan Timur Tengah, Barat, dan Tempatan yang punya keazaman yang tinggi untuk dijadikan tonggak ke arah ini. Kita juga mempunyai tenaga kepakaran yang telah bersara namun masih segar bungar, dan saya yakin mereka ini akan menjadi lebih berguna dari hanya menjadi warga emas yang membuang masa di padang golf jika tenaga mereka dapat di satu bersama golongan muda ini untuk perkembangan ekonomi Malaysia ke luar dari batas biasa kita.

(16) Bagi umat Islam yang sudah ada kelapangan, wajar kita sekarang melihat perkara menjangkau keluar sempadan negara sebagai suatu langkah untuk menyediakan wadah perkembangan ekonomi buat anak bangsa kita di masa mendatang. Kita harus meletakkan asas yang kukuh buat golongan mendatang agar mereka tidak terkapai-kapai sebagaimana golongan Islam minoriti ini akhirnya.

Phnom Penh, Kambodia
10 Sept., 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.