.

9/11/10 PENTAS WAYANG BODOH MEMBAKAR DIRI...

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - November 29, 2010

Share

& Comment

(ISA, DEB, Ketuanan Melayu, Hak Istimewa orang Melayu, Akta Universiti dan Kolej, Keistimewaan (exclusivity) kalimat Allah, dsb seperti duri dalam daging Melayu yang menjadikan tubuh-tubuh orang Melayu jadi bernanah-nanar-membusuk!)

Kini, kita mulai melihat para Raja Melayu mulai bersuara. Di utara, di Perak, Raja Muda mula berbicara tentang kebijaksanaan-keilmuan, selaras dengan keupayaan baginda yang empunya gelaran Doktrat. Di timur, di Kelantan, dalam kemelut perebutan pengaruh, muncul Raja yang sederhana, dan mudah bersama rakyat, dan bersuara tentang kehidupan rakyat. Di tengah, Raja Selangor mula cuba bersikap mempertahankan ketenteraman rakyat dengan melarang percaturan politik ke dalam masjid dan tempat-tempat ibadat. Terbaru, baginda meninggi suara dalam mempertahan daulat raja-raja Melayu. Di selatan, di Johor, dalam tempoh akhir hidupnya Sultan Iskandar, baginda membangkitkan betapa Tambak Johor yang dibina oleh ayahnda baginda iaitu Sultan Abu Bakar atas penipuan Balau (Mat Salleh) perlu diroboh dan diganti dengan sesuatu yang lebih menguntungkan Johor. Kini, anaknda baginda membangkit semula seruan tersebut.

(2) Asakan kerabat DiRaja ke dalam kancah politik negara akhir-akhir ini sudah mulai memanas. Sultan Selangor, Sultan Johor dan Raja Muda Perak merupakan tiga ketuanan Melayu yang agak lantang berbanding dengan yang lain.

(3) Saya percaya, sebahagian orang Melayu, gembira dengan perkembangan ini, sekurang-kurangnya raja-raja Melayu tidak terpinggir menyepi di istana dan sudah mahu bergelut sama menentukan untung nasib bangsa dan agama. Mudah-mudahan perkembangan ini akan menepati falsafah Melayu yang mengusul: Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah! Juga siapalah raja tanpa rakyat?

(4) Kini, suara raja-raja pasti akan menjadi lebih lantang, bila mana persoalan Ketuanan Melayu hendak dibakul sampahkan. Kini, tampak Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR menjadi tukang gendang utama dalam gagasan membakul sampahkan Ketuanan Melayu. Jika Datuk Zaid Ibrahim belum keluar dari PKR, pasti gendang-kuntau menghapuskan Ketuanan Melayu akan jauh lebih rancak dan melucukan. Sama halnya terhadap pertentangan beliau sebelum ini terhadap kelanjutan Dasar Ekonomi Baru (DEB)

(5) Wan Azizah, Nik Aziz dan Zaid Ibrahim, ketiga-tiga mereka adalah anak Kelantan yang pada dasarnya taat akan tiga golongan: Raja, Guru dan ulama. Nik Aziz, yang punya pertalian darah dengan kerabat DiRaja Kelantan, saya kira akan berhati-hati untuk turut menari caca bersama Wan Azizah dalam seruan untuk menyentap Ketuanan Melayu. Saya pasti Nik Aziz tidak akan mahu melanggar pantang larang orang Kelantan. Saya juga pasti, sebagai orang Kelantan, Wan Azizah sedar akan perkara ini. Maka, apapun usul beliau mengenai perkara ini, pasti Nik Aziz akan mengambil jalan diam, membisu. Jika beliau menyokong, pasti akan menjejaskan sokongan orang Kelantan. Jika beliau menentang Wan Azizah maka beliau akan kelihatan turut menari caca UMNO.

(6) Hakikatnya, dalam Pakatan Rakyat (PR), PKR, PAS dan DAP sudah ada Pakatan dalam sepak terajang politik mereka. Rentak Okestra PR pastinya sudah lumrah, dan dapat kita perhatikan dengan jelas. Sebenarnya mereka sengaja mementaskan wayang bodoh agar rakyat terus keliru.

(7) Dulu, bila PAS melaung-laungkan keperluan untuk menegakkan Kerajaan Islam, PKR mengambil jalan diam. Begitu juga bila DAP sangat lantang agar DEB dihapuskan, PAS pula mengambil jalan sederhana dengan mengambil sikap, agar apa juga dasar yang boleh memperkukuhkan golongan lemah harus diteruskan.

(8) Wan Azizah, Nik Aziz, dan Zaid Ibrahim sebagai orang Kelantan pastinya boleh faham apa maksud kata-kata orang Kelantan: "Gi mari, gi mari, dok gitu jolah!". Kalau mereka sudah lupa, elok tanya Anwar Ibrahim apa maksud bila orang Kedah berkata: "Pi mai, pi mai dok tang tu jelah!"

(9) Jika benar apa yang terpapar di akhbar-akhbar tempatan, usul agar Ketuanan Melayu dibakul sampahkan adalah sebagai satu strategi Wan Azizah untuk mengendurkan tekanan ahli berketurunan India dan Cina di dalam PKR. Dalam pemilihan kepimpinan PKR yang sedang berlansung sekarang ini, banyak suara-suara menentang akan cara pemilihan yang diadakan adalah dari ahli-ahli berketurunan Cina dan India. Mereka seperti tersisih oleh ahli-ahli Melayu di dalam parti itu. Maka untuk memenangi hati ahli-ahli India dan Cina, Wan Azizah sengaja berlakon mendendang isu yang orang Cina dan India berasa tidak senang tetapi tidak dapat di suarakan secara lantang bila mereka berada di dalam MCA, GERAKAN, dan bahkan MIC.

(10) Jikapun PR berjaya menawan pemerintahan negara, soal Ketuanan Melayu akan tetap terus sebagai asalnya, kerana, saya berkira, PAS tidak akan merestui secara jelas penghapusan hal tersebut. Pada masa itu, pasti PKR akan berkata, dalam sebuah kapal, kita mesti menghormati anggota yang lain iaitu PAS yang belum menyatakan pendirian jelas tentang Ketuanan Melayu.

(11) Perkara ini menjadi lebih jelas, jika kita sedikit masa dahulu melihat PAS bila hendak melaksanakan hukum-hukum Islam, PKR bersama DAP meminta agar hak dan cita rasa bukan Islam mesti dipertimbangkan. Akhirnya, terkeluar hujah yang berbunyi, kita perlu menjaga ketenteraman rakyat, dan perkara yang tidak dipersetujui secara mutlak, wajarlah kita bertolak ansur saja. Begitulah drama bodoh yang jika kita lalai sebetulnya hanya membakar Melayu.

(12) Jika kita lalai atau dhaif tentang sepak terajang politik, pasti kita akan terjebak berpolitik panjang di kedai kopi tanpa ada hasilnya demi kebaikan generasi masa depan kita. Itulah sebenarnya kemahuan strategi PR agar ekonomi negara lemah, dan bila lemah, maka mudahlah rakyat diputar belitkan.

Matang Jaya, Kuching, Sarawak
30 Nov., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

asmin said...

sy kira penulis mmg ada melihat perhimpunan agung UMNO baru2 ini,kelihatannya dewan itu dipenuhi oleh orang yang gemuk,terlalu berat dan tidak bertenaga.suasana begini bertentangan dngan apa yang dilihat dalam tahun2 awal kemerdekaan (1960an-1970an)dimana para perwakilan kurus2,tegap dan bertenaga.Suasana yg berbeza ini memberitahu kita akan perubahan UMNO....(KIM QUEK-KEMANA MALAYSIA?
Begitulah yg dpt kita lihat sekarang,sinario perubahan politik sekarang,cuma harapan sy agar parti MELAYU itu tidak akan disepakterajangkn dan dibakulsampahkan...

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.