.

13/10/10 MENCAPAI PANJANG UMUR.....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 28, 2010

Share

& Comment


(Siapapun kita, tetap juga cucu-cicit Adam-Hawa, bukan berok Galapagos si Darwin asal usul kita: Kaul Village Papua New Guinea)

Petang ini, dalam perjalanan saya menghantar seorang sahabat ke l/terbang Kuching, kemudian terus santai-minum petang-Pisang Goreng Keju bersama seorang sahabat lain di Samudra Court dan di sebelah malamnya saya makan Mee Mamak bersama teman lain di kawasan berhampiran tempat diam saya, secara kebetulan kami berbicara tentang tajuk yang sama: Panjang Umur dan Kemasyarakatan!

(2) Dalam jalanan saya ke Medan dua minggu lepas, sehingga kini saya masih berfikir, kenapa Pak Johanes seperti begitu telaten-prihatin terhadap masa depan saya. Sebagai ahli perniagaan, saya memperhitung dia pasti mahukan saya terus berada di kedudukan saya sekarang ini, agar mungkin, mana tahu dia boleh berusaha-sama dengan organisasi yang saya pimpin. Namun jika itu benar, pasti keterlaluan jika dia sampai mahu meneliti-tilik persoalan pribadi saya: jatuh cinta-asmara (benar atau tidak itu soal lain)! Perhitungan saya yang kedua, apakah tidak mungkin dia mahu saya terus berjaya, agar saya akan dapat membawa perubahan lain buat masyarakat? Menariknya, Allah seperti mendatangkan peringatan kepada saya agar tidak lalai dalam tanggungjawap saya!

(3) Setelah membaca, tulisan Pak Hamka berjudul Pribadi, juga sebuah buku lain tulisan Agung Webe berjudul Javanese Wisdom: Berfikir dan Berjiwa Besar, kedua-dua buku ini, dan bahkan Pak Johanes, sebetulnya ada berbicara tentang satu perkara yang sama iaitu: Masyarakat. Juga bicara saya dengan teman-teman bertiga pada hari ini, juga melibatkan masyarakat.

(4) Hakikatnya, kita tidak usah binggung berpribadi mulia, jika kita tidak mahu bermsayarakat. Jadi beruk tunggal, duduk di hutan siapa peduli! Begitu juga, tidak mungkin jiwa besar kita akan mantap, tanpa ada kaitan dengan masyarakat. Sependiam Bill Gate, sesudah dia menjadi kaya-raya, kepada masyarakat juga akhirnya haluannya. Begitu juga betapa penyanggaknya George Sorro, tetap menjadi Robin Hood juga dia akhirnya! Nilai-nilai bermasyarakat itu seperti menjadi kuasa ghaib buat mengawal kita agar berpribadi baik-luhur.

(5) Sebetulnya, kita akan dapat berfikir dengan tajam-kemas jika jiwa kita tenang. Jiwa yang tenang kerana lingkungan kita tenang. Lingkungan yang tenang memberikan kepuasan. Kepuasan, menyerikan air muka-wajah kita. Kepuasan melahirkan semangat. Semangat melahirkan kekuatan. Kekuatan melahirkan kesegaran. Kesegaran adalah akibat pemulihan-regeneration sistem biologi tubuh kita! Akhirnya, kita awet muda!

(5) Kini, saya ingin berkongsi pandang dengan pembaca, tentang tajuk bicara saya dengan tiga sahabat dan dua buku yang telah saya baca: Hubungan Panjang Umur dan Masyarakat!

(6) Kita yang bernabikan Musa (Yahudi), Isa (Kristian) dan Muhammad (Islam) percaya bahawa kita berasal dari tanah, melewati Adam dan Hawa. Maka secara genetik, samada kita orang Eskimo, Batak, Penan, Sakai, Jepun, Korea, Arian, Maori, atau apa saja, hakikatnya adalah sama. Tiada beda, dan tiada kurang atau lebih genetiknya. Kita berbeda cuma dari segi fenotipnya (penjelmaan genetik) atas pengaruh lingkungan hidup kita! Maka dalam riwayat kisah para nabi, ada antara mereka yang boleh hidup sampai beribu tahun, dan kemungkinan genetik umuran sebegitu panjang masih ada dalam diri kita sehingga kini. (Mungkin mereka yang pakar dalam bidang genetik boleh mengkaji gen mana yang menyebabkan nyamuk hanya boleh berumur beberapa bulan, sedang sang gajah boleh bertahan sehingga puluhan tahun umurnya!)

(7) Sahabat pertama menasihatkan saya agar tahu menjaga diri, dan dia khusus bercakap tentang, penjagaan kebendaan. Usul beliau, umur kita tidak panjang, maka kita mesti jaga diri! Masyarakat hanya hormat yang berharta! Soalnya, kenapa kita gilakan sangat masyarakat hormat akan kita?

(8) Sahabat kedua, bercerita tentang sebuah buku yang dia baca, bagaimana sebuah masyarakat terpencil di Amerika boleh bertahan sehingga lebih seratus tahun. Buku tersebut menghuraikan bahawa faktor terpenting kerana nilai-nilai keakraban kemasyarakatan yang ada pada mereka.

(9) Kemudian, sahabat ke tiga, juga bercerita, betapa dia rasa terhimpit kerana dan selalu kepenatan kerana masalah kemasyarakatan: masyarakatnya, tiada lain, hanya hormat yang berharta! Dia menjangka, umurnya tak akan panjang!

(10) Dalam semua prihal, saya berkata, saya tidak mahu bercita-cita lain. Saya tidak ingin untuk kaya. Saya tidak ingin untuk berpangkat besar. Bahkan saya tidak ingin untuk bergelaran apa-apa. Saya hanya mahu berumur panjang-sejahtera. Kalau boleh 125 tahun. Moyang saya berumur sehingga 126 tahun, dan nenek saya, rekod rasminya 86 tahun, dan tak rasmi mungkin boleh ditambah 10-20 tahun! Cuma ibu-ayah saya tidak bertahan lama, cuma 40-50 tahun!

(11) Untuk mencapai 125 tahun, saya tidak ada pilihan, melainkan perlu sihat dan berhati senang. Dari segi kesihatan, maka saya mestilah menjaga makan, rehat, dan senaman. Perkara ini saya sudah sebutkan dalam rencana terdahulu. Saya banyak makan sayur, ikan, susu segar dan madu! Sekarang saya hendak menambah, seperkara lagi untuk memanjangkan bio-hayat kita: berhati senang (bahagia)!

(12) Untuk berhati senang, atau dalam istilah lain: bahagia, saya mesti kembali kepada kesadaran, erti hidup saya. Pak Hamka kata, harus punya sifat kemasyarakatan. Agung Bebe berkata: "Berbakti karo menunso- berjasa kepada manusia". Pesan nenek datuk saya dulu pun: "Belajar jeng bener, mengko, iso berjoso karo menuso-belajarlah bersungguh-sungguh, agar esok boleh berjasa kepada masyarakat". Kesenangan-kebahagian berharta-kemewahan tidak sama nilai 'utility functionnya' dengan nilai kebahagian bila kita melihat masyarakat kita bahagia-senang. Nilai kepuasannya pasti berbeda! Erti kepuasannya sekali-kali tidak akan sama!

(13) Kita boleh jadi kaya raya, kita boleh bersenang hati ke Monte Carlo, bahkan berpeluk hangat di Las Vegas, namun bila kita kembali, tetap juga kita akan bertembung masyarakat susah-masyarakat payah. Kita akan binggung mahu melarikan diri. Namun tetap juga kita tidak mungkin boleh! Kebinggungan-keresahan itu merencat kemantapan sistem biologi tubuh kita! Ianya memendekkan hayat kita!

(14) Ada juga teman-teman, sekarang ini, berkata-bilang, mereka bahagia kerana sudah sembah sujud hanya menyerah cinta pada Ilahi. Memang mereka bahagia, namun tetap juga akan terguris dalam kepala dan hati mereka, bila melihat masyarakat pincang-masyarakat susah-payah! Tetap juga akan tersembul doa dari mereka, tetap ada kesal dalam diri mereka, tetap juga mengalir air mata mereka, dan itu tandanya, mereka sebenarnya belum mencapai kepuasan sebenar. Mereka bergelora-dalam aman! Mereka, saya kira hanya berasa lega-relief! Saya yakin, kita lahir tidak untuk bercinta mati dengan Allah. Cinta kita kepadaNya, perlu lebih luas dari hanya sujud, berdoa, pasrah! Jika itu jalanan kita, saya sebut itu sebagai, pelarian-escapism!

(15) Saya berkira, jika saya bekerja keras untuk masyarakat, samada dalam perancangan dan atau perlaksanaan sebenarnya, maka saya akan mencapai kebahagian seperti berikut:

(i) Jika semua yang saya rancang dan perbuat, mendatangkan keberhasilan yang baik, menyebabkan masyarakat senang-mewah-sejahtera, ianya akan terus membakar semangat berbakti saya. Seperti saya katakan tadi, jika semangat itu sentiasa membakar, saya akan sentiasa cergas-cerdas-tangkas. Ini semua akan membantu menguja (stimulate) sistem hormon-enzim tubuh badan saya, dan dengan itu, secara perubatan dan saikologi, saya pasti akan sentiasa segar-bungar!

(ii) Namun jika saya gagal, kerana niat ingin terus berbakti, pastinya saya tidak akan menyerah kalah. Biar bagaimana susah-payah-getir, pasti akan saya cari akal-jalan menyelesaikannya. Saya percaya, jika saya tidak mudah menyerah kalah, pastinya sistem saikologi-fisiologi tubuh badan saya tetap juga akan tidak pernah menyerah kalah. Maka dengan itu, segala-galanya akan tetap baik dan berjalan sempurna!

(iii) Juga jika saya gagal untuk mencapai sepenuhnya kebaktian hidup saya, namun saya percaya, jika perancangan dan niat saya benar dan betul, pasti ada orang selepas saya akan menjalan-langsaikannya kerja itu. Saat itu, pasti saya akan tersenyum puas-bahagia!

(15) Pendirian saya, selagi besar jiwa saya bersama masyarakat, maka lagi hebatlah tuntutan kecerdasan-ketangasan terhadap diri saya. Untuk itu, maka lagi kuatlah saya perlu berjaga dalam soal makan, rehat, senaman, dan jagaan perasaan. Dan saya pasti, jika itu benar, pasti habuannya juga akan lebih besar: umur lebih panjang!

(16) Sememangnya, ada orang sedang berdebat, kalau terbuat semua ini, apakah pasti saya akan berumur panjang. Yakinlah kepadaNya, dia pasti sayang dan cintakan manusia yang berbakti kepadaNya. CintaNya itu, datang dalam banyak bentuknya. Umur panjang salah satunya. Umur pendek juga kerana cinta kuatNya! Tetap miskin mungkin kerana sayangNya. Kaya-mewah mungkin hanya ujianNya! Cinta Allah, kepuasan kita bercinta kepadaNya, sangat luas tanpa sempadan bentuk dan akibatnya.

(17) Saya hanya ingin mengutarakan hujah sebegini, Allah menjadikan kita kenyang hanya kerana kita ada usaha makan. Maka, tidakkah mungkin Dia memberikan kita umur panjang jika kta berusaha ke arah itu?

(18) Paling utama, kenapa mesti Allah menghargai usaha kita untuk berumur panjang? Jika niat kita berumur panjang adalah kerana kita hendak berbakti lebih hebat untuk masyarakat, tidakkah itu erti sebenar hidup kita? Apa mungkin Allah akan mengabaikan niat luhur kita itu?

(19) Saya percaya, lagi cepat kita ada kesadaran kemasyarakatan tinggi, maka lagi lambatlah kita dimakan usia!

(20) Pokoknya, natijahnya, biarlah kita hidup dengan sepenuh kepuasan-kabahagian kerana kita menunaikan sepenuhnya erti kehidupan kita! Soal seterusnya, Allah yang berkuasa, dan biarlah Dia yang menentukannya. Dia sudah jelas memberi ingatan-amaran: BagiKu urusanKu, bagimu, urusan kamu!

Matang Jaya, Kuching
28 Okt., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

10 comments:

Anonymous said...

Kita berbicara dan menulis dengan baik sekali. Tanpa kita mengetahui kita sebenarnya kekurangan sesuatu dalam hidup. Kita bekerja keras melakukan sesuatu tapi kita terlupa untuk mendekatiNYA. Susahkah kita untuk bersyukur atas kurniaNYA dengan panjangnya umur kita atas limpah kekayaan yang telah diberikanNYA. Ingatlah walau HEBAT manapun idea kita janganlah sesekali mahupun sesaat kita melupakanNYA. Kita hambanya maka tugasan kita untuk menjalankan amanah yang telah diberikan. Bila tiba seruannya kita jangan LUPA. Bila kita bekerja...bekerjalah dengan kuat...dan bila DISERU jangan kita berdiam diri. Maka DOSA itu semakin mendekati kita. Jangan tunggu bila usia semakin mendekat tanah2 kubur.

Anonymous said...

dapat jua tatap wajah saudara abdullah..... mmmmm....
Entah bila dapat bersua .....

Anonymous said...

Wajar jika dapat diperjelaskan apakah maksud:...sesaatpun jangan kita melupakanNya?

(2) Ingat, Mao Tze Dung pernah berkata, bila saja dia melihat para pengikut Dalai Lama di Tibet 'terus saja mengingatkan tuhan mereka': "agama itu adalah candu, melalaikan?". Kenapa?

(3) Juga, dizaman kegemilangan Islam, Baghdad pernah menjadi Kota Ilmu bagi temaddun Islam. Sehingga para cendikiawan Islam, tiada lain hidup mereka hanya mencungkil tentang ilmu dan berserah diri namum tiada teladan pengamalannya dalam adeen-kehidupan harian, sehingga bila Moghul datang menyerang, segalanya musnah dihumban ke Laut Merah! Masyarakat Islam lemah, masyarakat Islam tidak bersedia. Selepas itu, muncukl zaman kemalapan temaddun Islam. Kenapa?

(5) Rakyat kebanyakan Palestin, pastinya mereka sentiasa mengingatiNya, pasrah padaNya! Itu adalah lumrah rakyat derita-rakyat susah! Tealh mampukah mereka bangkit? Kenapa?

(6) Perhatikanlah dan amatilah, kemiskinan-payah yang terus melanda masyarakat Islam Serambi Mekah (?)-Kelantan! Kenapa?

Tidakkah itu semuanya, kerana kita tidak-belum mengerti apa yang sebenarnya dimaksud-tuju: jangan sesaatpun kita melupakanNya? Kita siapa: malaikat, rasul, syaitan, manusia?

Anonymous said...

Kenapa disalahkan masyarakat ISLAM yang lain...maka dijelaskan ianya ditujukan kepada saudara sendiri.

Anonymous said...

Alhamdulillah aku masih lagi hidup...

Anonymous said...

kita harus percaya bahawasa nya rezeki itu telah di tetapkan oleh Allah yang esa...tetapi bukan hanya sekadar menyerah dan menuggu rezeki itu datang bergolek..ia nya harus di cari ... tetapi kalau dah sebanyak itu rezeki yang Allah peruntukkan untuk nya ..maka bersyukur lah dengan nikmat yang di beri kan....yang penting selain kewajiban di dunia... yang lebih harus di utama kan adalah bekalan kita di akhirat kelak ...contoh nya solat nya..jangan hanya solat ikut2an tanpa ilmu..maka solat nya tidak sah..begitu juga yang lain2 rukun islam dan iman nya...jangan sampai kita terlalu memikirkan hal orang lain sedangkan kewajiban kita sendiri ke atas NYA kita abaikan ... wallallah hu a'lam.

Anonymous said...

untuk umur panjang jangan salu marah..ceria selalu...chek its out!

Anonymous said...

kalau di teliti org yang baik bebanyakannya mati awal. allah lebih sayangkan mereka.( dialog dlm drama melayu)

Anonymous said...

Harap-harap janganlah kita percaya bahawa jika kita sering saja berbuat baik maka kita akan pendek umur! Jika itu benar, elok juga kita bebuat jahat gamaknya?

balqiswilson said...

Assalamualaikum..
Salam takzim saya,18th.2.2013,telah berlalu beberapa saat. Semuga Saudara
dipanjangkan umur,dilimpahkan rahmat dari Allahswt.

Sehari menginjak usia,sehari tergalas tanggungjawab yang diamanahkan. Berjuta cinta dipohon ke hadrat Ilahibagi mendapatkan syurga. Namun dengan pengukuhan keimanan,mujahadah dan istiqamah kita mampu meraih syurgaNya.

Mengimbas 53tahun berlalu, didalam
Mylife RedLine,...In a wooden nipah
attap home...i cried for the first time:18th.feb.1960..,as a compromise my dad Sahamat,took both,with Abdullah Chek as my name
...and hopefully i could still walk straight ahead.

Syukur kehadrat Allah juga terima kasih diatas sokongan saudara kepada saya yang masih baru didalam bidang ini. Banyak ilmu saya timba,nasihat,pengajaran dan teguran bagi membuka mata dan minda untuk belajar.
Lihat kepada garapan isinya yang mudah untuk difahami dan amat menyentuh hati.

Pengorbanan beliau tanpa mengira masa,usia,melipatgandakan usaha, menginfakkan sesuatu yang bernilai dari hidupnya hanyalah untuk kepentingan anak bangsanya.

Komitmen dan pendekatan beliau terhadap kebajikan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan masa,tenaga dan idea untuk menjayakannya.

Kepelbagaian masyarakat yang berbilang dengan berbagai pendapat mengwujudkan berbagai masalah untuk ditangani.
Ada yang bersikap tolenransi dan juga yang keterlaluan.

Menurut andaian Saudara,penampilan
body language(nafsu seraut wajah)
menggambarkan kematangan dan ketajaman fikiran dalam membuat keputusan dan tindakan. Ini mungkin masyarakat kita lemah minda dan kurang pendedahan ilmu pengetahuan.

Persoalannya juga,bagaimana untuk menangani persepsi masyarakat kepada pemimpin yang benar-benar ikhlas memperjuangkan hak mereka..
Apakah usaha dalam membawa golongan muda dan usia emas dalam satu konsep pemaufakatan,bagi merombak jurang jarak mereka..seperti didalam
Enggang lalu ranting patah.

Hari ini,esok,selama hayat dikandung badan,beliau akan sentiasa belajar dan mengutip pengalaman masa lalu,melakar kejayaan untuk dinikmati bersama.

Didalam pandangan matanya ada cita-cita menyapu awan,
dilukisan wajahnya ada impian bertaburan,
dibibirnya ada kata semangat untuk melihat kejayaan anak warisan bangsa. Bukan sekadar berdiri megah sebagai tunjang negara tapi tegak mengharumkan bangsa dan agama.
Mudah-mudahan Allah memberkatinya.
Wassalam,tq.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.