.

7/9/10 KITA MELAYU YANG SUDAH LAIN.....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - September 26, 2010

Share

& Comment


(Ya Allah. Pantaskah aku, di bawah bumbung rumahMu, kusyuk menadah tangan padaMu memohon perlindungan dan rahmatMu buat aku dan seisi keluargaku, sedang tidak sedetikpun aku berdoa (apa tah lagi berusaha) agar Kau cabut derita mereka yang derita!)

Saya banyak bertemu dengan warga asing, samada di negara mereka sendiri atau yang datang mencari hidup atau hiburan di negara ini. Saya pernah menulis berkait dengan seorang pemandu teksi Punjabi di Montreal yang sangat marah kepada saya bila saya berhujah dengan beliau bahawa saya tidak menghormati Dr. Mahathir Mohammed (DMM). Begitu juga dalam tahun 2007, selama dua minggu saya mengharungi jalanan dari Medan ke Palembang, juga cuba mencuit teman saya betapa Dr. Mahathir itu telah gagal dalam perjuangan beliau. Paling awal, suatu ketika dulu di awal 1990an, saya bersama Timbalan Presiden UNICEF (seorang Amerika) melawat sebuah kawasan pedalaman Limbang, dan dia sangat kagum dengan DMM berkait dengan W2020 yang baru beliau lancarkan. Lawatan saya ke Filipina, ke Thailand, Australia, Vietnam, Singapura, dan apa tah lagi ke Papua New Guinea (PNG), banyak mereka yang saya temui mengagumi DMM dalam membawa Malaysia ke persada dunia.

(2) Namun, kenapa DMM menangis dan mengeluarkan dua kalimat: Melayu mudah lupa; Perjuangan yang belum selesai!.

(3) Minggu sudah, saya makan di Gamelan, sebuah restauran Menado dan kebetulan pengusaha restauran itu seperti sudah mengerti makanan kegemaran saya: saban waktu makan, pasti minta lalapan! Kerana tiada tetamu lain, dia duduk bersama saya. Kami bercerita tentang beberapa restauran baru yang sudah mulai berubah wajah dan kian kembang. Sayangnya, biarpun asalnya, restaurant dia adalah usaha anaknya yang berkahwin dengan Cina tempatan, kami seperti saling bertanya: "Sayangnya Pak, ngak ada restauran pribumi yang hebat sebegitu!".

(4) Di antara banyak perkara yang saling diperdebatkan, kami juga sempat bertanya sesama sendiri: "Heran ya, saya udah ke serata Nusantara, ternyata kaum pribumi itu sering saja terlewat membuka mata. Juga kalau sudah membuka mata, pasti langkahnya kaku!"

(5) Hari ini, sedang saya enak menikmati secangkir teh panas, dalam dendangan lagu-lagu nostalgia Broery Marantika dan sebuah Karya Amir Hamzah, saya dikejutkan oleh sepupu saya tentang kedatangan sekumpulan lelaki yang tegap-tegap badan mereka bertandang ke rumah saya: "Siapa?" Saya tanya sepupu saya. "Ngak weroh (tidak kenal)", sahut beliau. Saya agak kaget kerana, biasanya, sepupu saya, yang saya tugaskan menjaga rumah saya di Kampung, biasanya kenal mereka yang mahu berurusan dengan saya.

(6) Bila saya menjenguk muka, ternyata salah seorang di antara mereka adalah teman sekolah saya semasa saya dalam Darjah 1 di tahun 1967 dulu. Beliau punya kecacatan pendengaran dan tercicir dari persekolahan kerana asakan kesempitan hidup. Beliau memperkenalkan empat lelaki lain yang bersama beliau sebagai anak-anaknya. Kesemua mereka sudah hampir 30 tahun melelang (hijrah) ke Kuching dan bekerja di sebuah Kilang papan. Wah sudah punya anak umuran 30an beliau, sedang saya masih terkial-kial dengan anak baru mahu SPM!

(7) Sebenarnya, tiga tahun dahulu, abang beliau mendatangi saya agar membantu membangunkan tanah beliau seluas tujuh ekar yang terbiar di kampung dengan kelapa sawit. Tanah beliau ini telah menjadi sarang penyakit kepada tanah kebunan abangnya. Saya tidak punya keberatan dengan syarat dia perlu juga membujuk seorang lagi yang punya tanah bersebelahan untuk dibangunkan sama. Kebetulan jiran sebelah beliau adalah seorang ibu yang anak-anaknya sudah berselebaran (berselerakan) dan kurang prihatin terhadap kebajikan ibu tua ini. Ibu tua ini juga adalah teman baik nenek saya dahulu. Beliau hidup dalam kepayahan dan terhimpit.

(8) Syukur dengan usaha beliau, saya dapat satukan tanah mereka dan dibangunkan serentak. Hari ini, kebun sawit tersebut sudah berhasil dan boleh mendatangkan pendapatan tidak kurang dari RM2,000-3,000/sebulan.

(9) Usul beliau:" Saya sudah tua. 30 puluh tahun sudah jadi kuli, sehingga kini masih diam di kawasan setinggan. Anak-anak sudah besar semua. Kami seperti terus-terusan akan jadi kuli. Boleh tidak saya ambil balik tanah yang diusahakan dengan sawit itu dan saya mahu kembali ke Kampung".

(10) Terkenang zaman kami masih sama-sama sekolah dahulu. Dengan pakaian beliau yang compang camping. Sering sebelum ke sekolah, kadang-kadang terpaksa bangun awal membantu ayah dan datuknya mengiring kelapa dalam parit (sila baca tulisan saya terdahulu tentang Anak Pekebun Kelapa), sehingga menyebabkan beliau sering lewat ke sekolah dan selalu dimarahi guru. Saya merasakan, kerana ayah, datuk beliau adalah juga teman-teman ayah dan datuk saya, dan selaras dengan pesan Muhammad SAW agar kita bukan hanya perlu menghormati dan menghargai orang tua kita, malah saudara-saudara dan teman-teman orang tua kita, maka saya mengusul kepadanya: "Kamu kerjakan tanah itu. Bersihkan. Baja. Pangkas. Keprluan racun dan baja kan saya biayai. Saya akan ajar kamu semua bagaimana membuatnya. Untuk tempoh satu tahun ini, kamu ambillah buahnya, kamu juallah. Cuma, kamu kena gunakan lori dan orang yang telah saya lantik. Bayar tambang lori saja. Wang selebihnya kamu ambil dan kamu mesti buat rumah segera. Pokoknya, kamu semua kerja kuat dan bersikap jujurlah"

(11) Lebih kurang jam 4.00, saya ke kebun beliau, di mana beliau dan anak-anaknya sedang membersihkan kebunan tersebut. Saya singgah sebentar untuk memberikan sedikit tunjuk ajar dan memberikan sedikit peransang kepada anak-anaknya yang sudah tegap-tegap dan seperti sangat girang melihat kebunan mereka yang sudah berhasil.

(12) Dalam saya memecut pulang ke Kota, kepala saya seperti berserabut dan tiba-tiba terasa pilu. Berserabut mengenangkan nasib bangsa, biarpun mereka sudah bekerja keras hampir mati, belum juga dapat menikmati kemerdekaan (seperti teman persekolahan saya tadi). Pilu, kerana saya terasa sepi, kerana terasa tersendiri dalam langkah-langkah memperbaiki keadaan sebegini. Saya berserabut dan sepi kerana masih rasa terjajah!

(13) Biarpun saya bolak-balik memutar-mutar jeritan Abiet G. Ade, seorang yang pernah gelandangan di Jakarta kerana kesempitan hidup, lalu berteriak sekuatnya tentang hidup, namun kini seperti sudah bosan dan terus diam. Abiet, sering menjadi inspirasi saya bila saya dirundung keperitan! Kini, jiwa saya bukan hanya berserabut dan sepi, kini jiwa saya sudah seperti takut, takut terikutkan Abie G Ade (juga yang lain seperti Pyan Habib, A Samad Said, Latiff Mohiddin, dsb) mernjadi bosan sendirian lalu diam dan diam. Ya Allah, banyak yang sudah saya ketemui, mereka diam lalu berkeputusan lari mengasingkan diri, berkhalwat diri hanya pada Allah. Syukur jika itu sekurang-kurangnya pilihan mereka. Saya takut itupun bukan pilihan saya. Saya takut jika saya hanya diam dan diam! Being indifferent! Go to hell all those! Who care! Why bother!

(14) Namun, Allah itu maha besar. Tetiba timbul dalam benak saya. Saya seperti berfirasat. Saya seperti tersadar. Melayu sekarang, adalah generasi kelahiran Melayu pasca Kemerdekaan. Generasi sekarang, adalah anak-anak dan cucu kita. Mereka bukan lagi anak-anak dan cucu-cucu ibu-bapa kita. Jauh sekali dari anak-anak atau cucu-cucu nenek-datuk kita. Generasi sekarang adalah buah hasil dari mereka yang lahir dalam tahun 1960an. Mereka tidak kenal perit dan payah untuk hidup. Mereka jauh sekali dari tahu kepayahan sebelum merdeka. Mereka tidak kenal sawah. Mereka tidak tahu apa itu lintah dan pacat. Tiada dalam kepala mereka wajah-wajah susah dan payah, apa tah lagi kemelaratan!

(15) Bangsa Melayu kini adalah generasi yang segalanya seperti telah tersedia. Mereka sudah biasa hidup tersedia. Mereka tidak perlu dan tidak pernah diajar untuk berusaha. Jika tidak pandai membuat Homework sekalipun mereka di berikan Tuition! Segalanya tersedia. Hidup mereka, seperti semuanya sudah diatur dan teratur. Inilah kejayaan kita, yang telah berjaya mengatasi perih jerih kehidupan ibu-bapa kita, zaman kemelaratan nenek-datuk kita, hidup yang sudah tidak perlu susah-susah! Anak-anak kita, adalah anak-anak dari ibu-bapa yang sudah berjaya melepasi segala kesusahan dan kepayahan!

(16) Kerana itu, adalah suatu yang salah, tidak munasabah, tidak logik, tidak rasional, kolot, bodoh, dungu, baral, membazir tenaga, membuang masa; jika berharap dan terus berteriak agar bangsa Melayu kini perlu memikirkan tentang untung nasib bangsanya secara kelompok. Melayu kini hanya perlu (mahu) memikir dan berusaha agar secara pribadi mereka punya pekerjaan, rumah, kenderaan, keluarga, kesejahteraan sendiri, dan persetankan kepayahan dan kesusahan mereka yang masih susah. Habis kerja kita celebrate! That is our lives. Our style. Enjoy life babe! Yang itu bukan tugas mereka, menanggung beban sebegitu adalah tanggungan pemerintah!

(17) Wah, apakah betul firasat saya ini? Jika benar, betul, tepat, apakah salah jika saya diam dan diam saja, dan tunggu agar sedikit berumur, maka ke surau atau ke masjid untuk bertemu kawan-kawan lama yang sudah insaf namun sedarnya belum pasti!

(18) MasyaAllah harus ke situkah fikiran saya? Harus diamkah saya? Harus pilu dan sedih sendirikah saya? Kata Zubir Ali: "Tuhanku, aku hilang bentuk, kembara di bumi asing...!"

(19) Sebetul dan sebenarnya, DMM telah berjaya membentuk Melayu baru yang sudah berjaya dan sudah tidak perlu memikir dan berjuang untuk Melayu secara kelompok lagi. Mungkin slogan Musa Hitam sedikit masa dahulu: "Melayu mesti berani bersikap kurang ajar" kian tumbuh kuat. Najib sedang hebat membangun Melayu yang lebih liberal, transformed, dan global. Inilah Melayu yang sedang kita bina, Melayu yang tidak toktok, tidak kolot, tidak conservative, tidak communal! Jika itu benar, saya perlu berusaha keras dan berdoa, untuk membina segelintir Melayu professional dalam sekelumit hidup ini, agar suatu masa nanti, mereka akan sedar: Sesat dihujung jalan, kembali ke pangkal jalan dan Ke mana pulangnya ikan jika tidak ke lubok, dari mana asalnya pinang jika tidak ditampuk dan dari mana asalnya sirih jika tidak di gagang!

Matang Jaya, Kuching
26 Sept., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

11 comments:

puteri bunian said...

salam..bangga dengan semangat dan jeritan batin sdr...Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berjuang dijalannya, dalam barisan yang teratur seakan-akan seperti "Bun-Ya-Nun-Marsus" (Yakni Bangunan Yang Tersusun Kukuh)...Berpadulah kita,bermuafakat, bersatu untuk meneruskan agenda yg suci dlm membela agama,bangsa dan negara...Teruskan perjuangan dlm menyedarkan orang Melayu agar org2 Melayu akan lebih peka akan Hak Orang Melayu, Hal Orang Melayu, Hati Orang Melayu, Halatuju Orang Melayu,Harta Orang Melayu, Harapan Orang Melayu ,Hidup Orang Melayu ...

Anonymous said...

Hai mambang tunggul, mambang batu, mambang kayu, mambang segala mambang yang kaku bisu....siapakah itu Melayu?

Hehhhh kau diamlah. Itu semua cobaaaaan! Kalau semua baik-baik, buat apa kau di dunia ini. Ini bukan surga lah.....

Aikkkk....aku lesing kepala kau baru kau tau!

Hehhhh diamlah. Kita betapa saja lagi bagus.....yalah Ramlee, Ajis ni sebok saja.....

Hai anak-anak, aku suruh kau bertapa...kau bersembang pasal mambang pula....

Ampun Mahaguru silat tak tentu....kami ini orang Melayu...begitulah kami...kalau serious bukanlah kami! Hidup kami happy happy tau!

Anonymous said...

salam, tidak terkejut dengan apa yang dibaca, tetapi sentiasa takut mengenangkan nasib bagsa dan negara di masa depan. Ketika itu, mungkin kita telah tiada, yang tinggal cuma anak cucu sahaja. Bagaimana mereka nanti. Jadinya saya selalu mengimpikan untuk tidak menjadi dewasa, untuk terus menjadi anak2 kecil yang sentiasa gembira! Thanks ABC!

Bayu senja said...

Mungkin ada benarnya firasat yang tuan dapat. Selama ini tuan merasakan tuan dapat 'melihat' apa yang nampak, tetapi besar kemungkinan juga yang nampak itu juga melihat dari perspektif yang berbeza oleh kerana persekitaran mereka. Mereka tidak pernah insaf atau sedar kerana Melayu ini tidak pernah juga merasa susah. Cuba lihat anak-anak tuan sendiri, pastinya mereka tidak faham apa itu erti susah kerana mereka tidak pernah susah.

Ada kalanya tuan terlalu terbawa bawa dengan keadaan tuan sendiri dan persekitaran tuan. Saya sekadar ingin mengingatkan. Usaha yang ada kita teruskan tetapi hendaklah kita ingat bahawa kita semua tidak sama walaupun seakan-akan serupa. Orang Jawa manakan sama sikapnya dengan orang Melayu. Begitu juga nenek saya, seorang Jepun yang berkahwin dengan orang Melayu, dia tidak pernah jadi Melayu, hanya menghayati Islam. Apa yang terdaya kita lakukan, apa yang orang lain tidak buat, jangan kita pertikaikan.

Anonymous said...

Berniagalah KAMU jika KAMU ingin KAYA. Berniagalah KAMU jika KAMU ingin KAYA. Bila KAYA bantu orang KAMU supaya ORANG KAMU juga bisa BERJAYA menjadi seperti KAMU. BILA duit sudah BANYAK KAMU beli TANAH,BANGUNAN,AMANAH SAHAM,dan EMAS. Jangan KAMU fikir lama-lama untuk membeli itu SEMUA. Kamu harus ada pendirian dan berpandangan JAUH. Semakin KAMU berfikir positif Semakin KAMU akan terus hidup. Maka hidup ini BUKAN hanya untuk KAYAnya seorang DIRI sahaja. KAMU kaya KAMU sedekah,KAMU senang Kamu menyenangkan.KAMU pandai Kamu memandaikan...KAMU membeli KAMU menjual. Apakah KAMU semua takut? KAMU pengecut ya? atau kamu SEMUA sudah TIDAK ada fikiran. INGAT KAMU dalam dunia ini TIDAK ADA jalan pintas untuk BERJAYA. -wali kota-

Anonymous said...

Berniaga kalau salah gayanya, takkan kaya. Macam menuntut ilmu tanpa guru. Bantu orang bila kaya memang baik, tapi janganlah tunggu kaya baru nak bantu orang. Ramai orang menulis pasal berniaga, tetapi berapa ramai yang berniaga ikut peraturan, ikut undang-undang , ikut apa yang haram tidak dihalalkan? Orang Melayu lebih selesa makan gaji, seperti juga penulis kita. Kalau dia berniaga pun, atas pun atas kerugian yang dialami oleh PELITA yang ditadbirnya. Berniaga macam tu, semua orang boleh buat, cuma perlu diberi peluang.

Anonymous said...

When is ABC leaving PELITA? It's about time he goes because he has been there too long. He is not liked by anyone who has been through him, he fired so many senior staff. He thinks people are lazy because he is not. What gives him the right?

Anonymous said...

Itulah melayu baru menyuruh berniaga sudah mengaku kalah. Mereka tetap selesa dengan begitu sahaja. FIKIRAN sentiasa negatif. TIDAK pernah ke hadapan asyik memikirkan RUGI sebelum berniaga. -wali kota-

Anonymous said...

kita manusia biasa memang tidak bisa memuaskan hati semua org..mungkin yang marah itu ada kaitan nya dgn pemecatan kerjaan nya ...tapi iya saya yakin pasti ada sebab yg munasabah kenapa saudara Abdullah mengambil tindakan sebegitu...saya pasti saudara Abdullah bukan lah seorang yang zalim yang sanggup menutup periuk nasi org lain tanpa sebab ..bersabar lah yer saudara Abdullah.. Pasti ada orang yang menyokong kamu dr belakang walau apa jua perkara dan tindakan yg kamu lakukan..

Anonymous said...

"MELAYU MUDAH LUPA" Apabila dirinya dikelilingi oleh wang yang banyak. Wang boleh menyebabkan kamu lalai. Kerana wang kamu lupa diri, kerana wang kamu lupa agama, kerana wang kamu menyibukkan diri, kerana wang kamu lupa segalanya. Ingat...wang bukanlah segalanya.

Berniaga ada pasang surutnya. Tak selamanya timbul, kadangkala ada tenggelamnya. Itulah asam garam berniaga. Tidak semua orang Melayu minat berniaga.

Anonymous said...

Setiap perkara mesti ada risiko.Tidak kira berniaga atau tidak. "Jika takut dilambung ombak jangan berumah ditepi pantai".
Mengapa tidak bermula dari sekarang. Kita pemegang majoriti maka kuasa membeli ditangan kita. Jika kita tidak membeli dari orang melayu siapa lagi? Maka pasang surutnya ditentukan oleh bangsa kita sendiri. Maka kehendaknya terletak ditangan anda sendiri. Anda mahu atau anda tidak mahu. -wali kota-

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.