.

6/3/16 PEMANASAN BUMI ...... apa tidak mungkin Melayu Sarawak akan lemas?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 29, 2016

Share

& Comment

Berapa peratuskah bumi Sarawak berada di bawah pengaruh semula jadi bah air masin laut? Sarawak mempunyai 173,972 ha kawasan paya bakau. Kawasan bakau banyak terdapat di persisir Kuching-Lundu, Samarahan-Saribas, Daro-Mukah dan Limbang-Lawas. Secara semulajadi, sememangnya kawasan paya bakau adalah kawasan paling terdedah kepada pengaruh harian limpahan air masin laut. Kawasan paya bakau sebetulnya hari-hari akan dilimpahi air masin setidak-tidak selama lapan jam sehari iaitu berulangan dalam dua pusingan pasang surut sebanyak dua kali sehari. Secara hakikinya, kawasan bakau boleh dikelompokkan sebagai sebahagian dari laut, wet land.  Cuma agak beruntung, kawasan bakau Sarawak belum banyak dimajukan untuk kepentingan industri dan perbandaran. Walaubagaimanapun, corak pembangunan di Kuching, Samarahan dan Lawas khususnya, kawasan-kawasan paya bakau sudah mulai diterokai dengan hebat. Pola kepemilikan tanah antara kaum di Sarawak, menjadikan kawasan bakau kini sebagai pilihan penempatan bagi orang-orang Melayu Sarawak dan bahkan pembangunan industri dan perkembangan perbandaran.

(2) Di samping itu, sekitar 1.6 juta hektar tanah di Sarawak dikelompokkan sebagai kawasan gambut. Gabungan tanah paya bakau dan gambut membentuk apa yang disebut sebagai kawasan persisir Sarawak, kecuali bagi kawasan pedalaman Batang Baram di Miri. Gambarajah di sebelah adalah gambaran pembentukan kawasan gambut (bog). Ianya pada asalnya adalah kawasan takungan air yang terbentuk dari peningkatan tebing laut atau sungai membentuk beting levee dan batas kaki bukit. Dari proses alam secara semulajadi untuk tempoh mungkin jutaan tahun, maka timbunan sisa-sisa tumbuhan akhirnya mengisi kawasan cengkung tersebut dengan segala reputan dan sisa tumbuhan-tumbuhan lalu membentuk kawasn gambut. Rajah di bawah sekali adalah contoh kawasan gambut matang di mana akibat luluhan berpanjangan segala hidupan di kawasan gambut akhirnya terbentuk muka bumi berbentuk kubah (dome like) atau cembung. Biarpun kawasan gambut matang adalah berbentuk cembung, namun hakikatnya ianya adalah terbina dari bahan-bahan reputan yang jerlus. Kawasan cengkung di bawah kawasan gambut inilah yang menyebabkan kedaan air bertakung, sehingga kawasan gambut adalah juga dikelompokkan sebagai kawasan berair wetland. Keadaan cembung sebenarnya yang menjadikan kawasan gambut kelihatan agak lebih tinggi dari kawasan bakau. Kawasan cembung ini boleh mencapai kedalaman sehingga 10 meter. Namun ketinggian kawasan gambut, bukanlah suatu ketinggian mutlak sepertinya tanah bukit. Ketinggian tanah gambut sebetulnya adalah kawasan-kawasan gerongong porous yang jerlus. Maka jika diteliti betul-betul, kawasan gambut adalah terdiri dari dua morfologi mukabumi yang sangat berbeza iaitu kawasan yang cembung yang terdiri dari reputan tanaman yang bersifat agak jerlus, dan kawasan cengkung yang terdiri dari tanah liat yang menakung air.

(3) Kawasan bakau dan gambut sebetulnya agak bersambungan. Hanya akibat beting levee sungai yang lebih tinggi yang memisahkan keduanya. Maka, secara semulajadi kawasan bakau dilimpahi air masin, namun kawasan gambut hanya menakung air tawar. Beting sungai atau laut bertindak sebagai penampan untuk mengelak limpahan air masin ke kawasan gambut biar di musim pasang besar king tide sekalipun. Kedua-duanya Allah ciptakan untuk membentuk suatu ekosistem yang sangat berbeza. Namun begitu, jika dilihat dari sudut sains pengurusan Ummah, keberadaan pasangan ciptaan Allah bakau-gambut, adalah suatu peringatan Allah yang saya kira ramai tidak fahami. Bagi saya, keberadaan keduanya sebelah menyebelah bergandingan adalah peringatan Allah betapa keduanya harus diurus dengan cermat agar ianya benar-benar akan memberikan rahmat kepada manusia. Hutan bakau punya hikmah tersendiri, kawasan gambut punya hikmah tersendiri. Jika pembangunan perlu dilakukan melintasi sempadan kedua-duanya, maka khalifah Allah iaitu manusia haruslah berhati-hati dan harus boleh melihat sifat hemah menjangkau masa.

(4) Saya yakin, dengan pergerakkan kerak bumi, maka beting sungai atau laut akan turut terpengaruh. Ianya mungkin terus meninggi dan atau mengurang. Begitu juga, jika levee sungai atau laut ini terganggu akibat dari kegiatan pertanian atau industri lain manusia, maka akan berlaku limpahan air masin ke kawasan gambut juga akhirnya. Limpahan air masin ini dalam keadaan sejadi, bukanlah perkara yang kita boleh risaukan, namun jika limpahan ini terjadi dalam keadaan di mana tanah gambut telah diperlakukan sedemikian rupa untuk apa juga kepentingan manusia, biar untuk pertanian, industri dan atau penempatan, pasti akibatnya akan sangat terkesan.

(5) Sejak 1990 sehingga kini, saya mengagak hampir-hampir 70-80 peratus dari tanah gambut di Sarawak khususnya di Samarahan-Saribas dan Hilir Rajang telah diterokai untuk perladangan dan pekebunan sara diri. Hanya akibat masalah kebanjiran di hulu Baram sahaja yang telah melambatkan penukaran kawasan gambut di Miri-Marudi dari diterokai hebat dengan perladangan sawit. Pembangunan pertanian di kawasan gambut telah mengakibatkan mendapan subsidence. Proses mendapan ini berkelanjutan sehingga gambut telah benar-benar menjadi tanah aluvial mampat. Dalam keadaan tertentu, mampatan ini boleh menyebabkan kawasan gambut turun sehingga di bawah paras air pasang biasa below normal tide level. Maka jika ini terjadi, dan ditambah dengan masalah saliran atau drainability maka limpahan ini akan menyebabkan takungan air akan terbentuk. Pembentukan takungan air masin pasti menjejaskan segala apa yang telah manusia bangunkan di kawasan berkenaan. Ini dalam keadaan biasa, namun faktor kitaran cuaca 50 tahun dan 100 tahun juga adalah sesuatu yang harus tidak boleh dipandang ringan. Mengikut tiori kitaran cuaca, pada setiap 50 dan atau 100 tahun, akan berlaku cuaca yang paling buruk. Untuk keadaan di Malaysia, kita samada akan mengalami keadaan kemarau yang melampau dan juga musim tengkujuh yang melampau. Begitu juga dengan perubahan biasa air pasang. Pada kitaran 50 dan atau 100 tahun, air pasang boleh jadi menjadi terlalu besar sehingga banyak kawasan pantai akan kebanjiran. Inilah fenomena alam semulajadi yang Allah cipta dengan rahmat yang jarang kita fikir panjang. Dari sudut teknologi manusia cuba mengatasi perkara perkara-perkara ini dengan sebaiknya, namun musibah tetap Allah datangkan agar manusia terus berfikir dan memperbaiki.

(6) Namun ada seuatu perkara yang agak merunsingkan saya, iaitu kesan pemanasan dunia global warming. Mengikut berita terkini Kementerian Sumber Asli Malaysia, gejala pemanasan dunia kini mungkin boleh menimbulkan masalah kenaikan air laut akibat pencairan berlebihan salji di khutub. Kawasan persisir Sarawak mungkin sangat terancam dengan gejala ini nanti. Cuba bayangkan di kawasan Hilir Samarahan, Sadong, Lupar, Saribas, Kalaka, Matu-Daro, Mukah, Limbang-Lawas, semua kawasan ini adalah kawasan rendah yang dalam keadaan sejadi adalah terpengaruh oleh limpahan air masin laut. Kerajaan untuk beberapa puloh tahun lepas telah membina benteng tebatan banjir bagi mengatasi permasalahan ini. Skim-skim saliran seperti Asajaya, Sebangan-Bajong, Meludam-Beladin, Kabong-Nyabor, Matu-Daro, Bruit, Bekenu, Niah, Blungai dsb dibangun khusus untuk mengatasi masalah limpahan air masin di kawasan ini dahulunya. Kini kawasan-kawasan ini telah menjadi kawasan-kawasan penempatan utama bagi penduduk Melayu di Sarawak. Juga kawasan-kawasan ini telah menjadi kawasan pertanian yang kian meningkat maju. Pembinaan jambatan-jambatan di Btg Samarahan, Btg Sadong, Btg Lupar, Btg Saribas, Btg Krian, Sg. Limut, Kuala Rajang, Btg Paloh, Btg Seredeng, Muara Lassa, Btg Daro, Muara Balingian, Muara Tatau dan Muara Kemena dan beberapa buah lagi di persisir Limbang dan Lawas pasti akan membolehkan kawasan-kawasan ini untuk menyumbang pertumbuhan dan perkembangan ekonomi yang sangat pesat bagi Sarawak. Namun, usaha-usaha Kerajaan membina benteng tebatan bajir ini harus disemak semula review berasaskan perubahan cuaca dan keadaan peningkatan global warming masa kini. Pertembungan perubahan cuaca dan global warming boleh mengakibatkan kenaikan paras air di luar jangka dan ini adalah sangat merbahaya bagi kawasan-kawasan yang telah saya sebutkan tadi.

(7) Perlu juga diperhatikan bahawa kawasan tadahan banjir ini merupakan kawasan kependudukan utama di Sarawak. Saya mengira tidak kurang dari 60-70 peratus penduduk Sarawak menempati Lembangan Sungai-Sungai yang saya sebutkan terdahulu. Bandar-bandar seperti Kuching Utara, Kota Samarahan, Asajaya, Beladin-Pusa, Kabong, Betong, Saratok, Sarikei,  Bintangor, Sibu, Daro, Matu, Oya-Mukah, dan Limbang sangat terpengaruh dengan perubahan paras air laut. Lembangan-lembangan ini pasti sangat terancam oleh sebarang kenaikan mendadak paras air laut samada disebabkan oleh perubahan musim tengkujuh dan juga global warming. Kerajaan Sarawak dan Persekutuan harus mengambil langkah-langkah pencegahan segera bagi mengelak malapetaka dahsat akibat dari segala perubahan ini. Paras benteng tebatan bajir mungkin perlu di kaji semula dan di mana perlu, penambah baikan harus dilakukan segera. Jangan nanti bila kawasan kependudukan sudah meluas, dan bencana sudah mendatang baru kita meraban sebok dengan Standard Operation Procedure untuk menyelamat sedang jalan pencegahan tidak pernah kita pedulikan. Sesungguhnya, musibah dari Allah tidak datang saat kita siap siaga, pukulan Allah banyak berlaku di saat kita lalai dan alpa. Jangan sampai persisir Sarawak menjadi lautan, kerana jika itu terjadi pasti Melayu Sarawak tiada bumi bertuah untuk mereka berpijak.

(8) Musibah banjir besar di Kelantan harus menjadi pengajaran berkekalan kita. Bila banjir sedang melanda, Sang Menteri hanya sebok berbicara tentang membangun SOP penyelamatan sedang yang rakyat perlukan adalah bantuan segera. Bila banjir sudah surut, para pemimpin terus saja berpolitik bodoh tidak membangun. Sudah tiba masanya para pemimpin dan profesional kita saling bekerjasama dalam mengurus Negara secara bijak dan mampan jangka panjang. Sesungguhnya, mungkin sebahagian besar manusia Muslim telah lupa atau tidak tahu, Syurga kita di Akhirat tergantung sebaik mana Iman kita dan kehebatan kita mengurus amanah Allah semasa di dunia.

Kuching, Sarawak
31 March, 2016

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.