Latest Postings
Loading...
Aug 10, 2014

3/8/14 CARA MELAYU MEMILIH PEMIMPIN......kenapa kita kian dihina?

Saya berkawan dengan sesiapa. Dalam istilah Kelantan, bersaing. Saya bersaing dengan semua orang. Saya tidak peduli akan usia, jantina, asal keturunan dan kedudukan kemasyarakatan mereka. Saya memilih kawan pada jalan fikiran dan gaya hidup kemasyarakatan mereka. Sesiapa yang sering berfikir dan berperi untuk kepentingan umum, itulah yang sering saya dekati. Biar siapa mereka. Namun, sesiapa tidak pada jalan fikiran saya, samada saya akan lanyak dan atau tinggalkan. Itu adalah payahnya hidup saya ini, dan lantaran sebegitu saya menjadi kesendiri. Apakah itu aneh? Namun, saya tetap mahu bertahan sebegitu, kerana saya yakin, Umar Al Khataab membakar dirinya, lantaran dia mengerti Muhammad SAW jauh lebih terbakar hanya untuk Ummah. Juga sebegitulah sikap Imam Shafiee, Imam Bukhari, Imam Ahmad Hambali, juga Imam Al Ghazali dan sebagainya. Sesungguhnya di dunia ini sangat banyak manusia-manusia kesendiri lantaran pemikiran dan prisip masing-masing. Sepertinya, pernah seseorang katakan kepada saya, saat Abdul Taib Mahmud dikhabarkan tentang hasrat saya untuk berhenti dari jawatan dalam Kerajaan, Abdul Taib Mahmud terpaksa akur biar dia masih memerlukan khidmat saya, lantaran baginya saya adalah manusia who always has his own way of thought. Saya, dalam hidup ini memilih untuk terus merdeka berdaulat. Buat saya sikap merdeka dan berdaulat adalah penting kerana hanya dengan cara itu, baru kita menepati apa yang dimaksudkan oleh ikrar Syahadah kita. Di Amerika, Syahadah Islam mereka terjemah kepada In God We Believe. Amerika yakin Negara mereka adalah Negara terpilih oleh Tuhan untuk mereka, serta rakyat "Amerika" adalah pilihan Tuhan untuk menghuni benua itu lalu menguasai dunia. Konsep In God We Believe adalah wadah bagi kebebasan dan keperkasaan mereka. Pemimpin Amerika berpegang di jalan itu untuk terus gagah perkasa. Sebalinya, pemimpin Melayu tidak memerdeka dan mendaulatkan bangsanya. Sebabnya kenapa? Dalam tulisan ini, saya hendak membicarakan caranya kita umat Melayu memilih pemimpin dan akhirnya kini kita kian dihina. Bicara saya akan berasaskan no fear no favor.

(2) Saya menumpu soal kepimpinan Melayu lantaran saya percaya, kesatuan Melayu tidak bersandar pada apapun, melainkan lantaran kepemimpinan dalam masyarakat itu. Sesebuah keluarga Melayu itu kukuh dan berjaya lantaran bapa atau ibu atau ibu-bapa dalam keluarga itu punya kekuatan kepimpinan yang baik. Juga hebatnya sesebuah Kampung, lantaran kepimpinan Ketua Kampung dan Imam adalah kuat. Sebegitulah seterusnya dalam apa juga dunia Melayu. Kesatuan Melayu adalah apa yang sangat tercabar masa kini. Paling parah, bila pemimpin Melayu sudah hilang fitrah dan arah kepemimpinan. Mungkin Melayu tidak sedar akan peribahasa Melayu yang berbunyi bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana maufakat hakikatnya adalah bermaksudkan pentingnya pemimpin dalam kehidupan mereka. Yang membulatkan di dalam peribahasa tersebut adalah pemimpin. Apa lagi penegasan falsafah Melayu guru kencing berdiri, murid kencing belari serta ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi serta bapa borek anak rintk. Ini tidak ganjil lantaran Islam menyarankan saat ada dua insan, salah seorang dari mereka mesti menjadi pemimpin. Maka tidak usah Melayu hendak memecah kepala memikirkan apa-apapun unsur yang boleh menyatukan mereka jika kepemimpinan di dalam masyarakat itu adalah hancai, bobrok.

(3) Apakah ciri-ciri bobrok kepemimpinan Melayu kini? Melayu sadar, sebagai manusia, mereka adalah khalifah di dunia ini. Para setan yang kerjanya tidak lain, hanyalah ke arah kejahatan dan onar, tidak Allah jadikan sebagai khalifah. Mereka tetap sekadar hamba biasa Allah, bahkan terkutuk. Begitu juga para malaikat. Sifat dan prilaku mereka tidak lain adalah 100 peratus mutlak patuh kepada segala suruhanan Allah. Tidak pernah engkar, tidak pernah telat lalai. Segala kehendak dan hukum Allah akan para malaikat tunaikan tepat. Namun, tidak mereka diangkat menjadi khalifah di dunia ini. Atas dua prinsip ini, maka Melayu tidak boleh menjadi setan, juga Melayu tidak boleh menjadi malaikat. Setan dan malaikat sudah ada pada kudrat dan fitrah mereka. Melayu harus tetap jadi manusia berakal bernafsu iaitu pada prinsip mudahnya berakhlak. Namun hairannya, saat menjadi pemimpin, banyak Melayu hilang akhlak kemanusiaan insani mereka. Umumnya banyak iaitu sekitar 68 peratus, menjadi pemalas, penakut, berputus asa dan bodoh pak turut menurut perentah. Sebilangan 14 peratus menjadi alpa, sombong, takbur, riak. Biar sedikit, 2-3 peratus dari mereka, namun segelintir inilah paling merosakkan menjadi pendengki, rakus, dan khianat. Inilah gambaran Geraf pada lekuk sebelah kiri jika kita mengkait Geraf ini sebagai Hubungan Kempemimpinan dan Bilangan Pemimpin Melayu. Separuh kiri sebagai ciri-ciri bobrok sedang separuh kanan ciri-ciri khalifah. Kenapa pola sebegini terjadi?

(4) Saya telah berjalan kira-kira jauh juga. Khusus dalam dunia Melayu, meliputi Borneo, Pattani, Champa, Sulu, Tanah Melayu, Indonesia dan rantau Malanesia, saya dapati, masyarakat Melayu sukar mempercayai sesama sendiri. Kenapa? Perhatikan Sejarah Melayu sejak sekitar 4,000-5,000 tahun dahulu. Kita mudah dijajah oleh Buddha. Kemudian datang Hindu. Buddha dan Hindu membawa Melayu ke alam penguasaan Siam dan ada waktunya kita membayar Ufti ke China. Kemudian para mubaligh Arab-India, menebar Islam ke rantau Melayu. Para Sheik ini kita angkat jadi Wali dan Guru kita. Bahkan banyak di antara Sheik ini akhirnya menjadi Melayu dan pembesar Melayu dalam bentuk yang berbagai-bagai: Wan, Tengku, Tuan, Pengiran, dsb. Sehingga kini Melayu sepertinya bila berdepan dengan Melayu hibrid pasti akan ada rasa rendah diri pada mereka. Cuba perthatikan, saat sahabat memperkenalkan dirinya sebagai Tengku X, pasti gekaran Tengku akan terus digunakan sebagai ganti nama Melayu X itu tadi. Maka bagi yang tidak berkedudukan seperti itu, banyaklah tergila-gila inginkan gelaran Tun, Tan Sri, Datuk, Dr (PhD biar murahan) dan paling tidak pun Haji dan atau Ustaz. Inilah petanda, betapa masalah keyakinan diri pada bangsa Melayu adalah punca kelemahan kita dalam memilih pemimpim di kalangan kita sendiri. Kita kemamar keliru lantaran gelaran dan keturunan yang ada pada mereka?

(5) Sesungguhnya Geraf pada para (3) di atas, boleh dijadikan asas untuk menjelaskan kenapa orang Melayu mudah keliru dalam memilih pemimpin mereka. Bahkan mudah dikelirukan dalam banyak hal. Rakyat kebanyakan Melayu iaitu sekitar 70-80 peratus, boleh dianggap sebagai pak turut. Inilah kelompok masyarakat yang kurang menggunakan akal untuk merasionalisasi segala. Inilah golongan yang malas memerhati, malas berfikir. Paling dahsat, mudah lupa. Tidak kurang, mungkin sekitar 2-3 peratus pula, memang paling mudah terpesong kemamar. Lantaran itu mereka mudah dipergunakan dan atau diugut. Saikologi inilah yang telah dimengertikan oleh pihak tertentu lantas mereka sangat berkesan dalam menggunakan media untuk mempengaruhi pemikiran Melayu kebanyakan. Golongan kebanyakan inilah yang mudah terperangkap dalam pelbagai fitnah dan dakyah yang sering memesongkan jalan pemikiran mereka. Mereka mudah terdorong kepada apa yang diwar-warkan iaitu what is popular. Sikap merdeka berdaulat, individu Melayu tidak terserlah. Sikap ini tidak terbatas dalam soal politik, malah dalam prihal sosial, perdagangan, juga yang melibatkan akidah.

(6) Itu di suatu sudut, namun di sudut lain Melayu juga punya kecenderung untuk patuh kepada yang hebat-hebat maksudnya mereka yang kelihatan berkebolehan dan berbakat. Cuma, sifat kelihatan itu juga sangat mengambarkan kekeliruan Melayu dalam menentukan antara sifat hakiki dan lakunan. Sebabnya mudah, Melayu kebanyakan lebih percaya kepada pandang dengar hear say. Mereka sangat malas untuk menyelidik. Lantas apa yang kelihatan baik dianggap baik, juga apa yang kedengaran jahat dianggap jahat. Watak Wak Long dan Pak Dogol dalam Wayang Kulit Melayu adalah natijah jelas akan perkara ini. Tidak percaya, coba saat bersholat di Masjid atau Surau atau di mana-mana, Melayu tidak akan semena-mena melangkah mengambilalih kedudukan Imam. Jika Pak Imam tidak ada, sesiapa berjubah elok kelihatan baik pasti dihulur tangan agar ke depan untuk menjadi Imam. Itu dalam kedudukan tradisi Melayu kerana mungkin takut ketulahan, namun di saat kepentingan kewangan sudah terlibat, di situlah sering berlakunya kekeliruan Melayu tentang hakiki dan lakunan. Di saat sebegini Melayu jadi buta akan tuntutan Islam agar hanya yang layak memimpin. Saat sebegitu terjadi, perebutan kepimpinan membawa kepada sifat-sifat melampau pada Melayu. Mereka akhirnya sanggup menghalalkan apa juga cara untuk bertebut kuasa. Kenapa?

(7) Melayu adalah bangsa yang sangat bersaing. Pasti ini banyak yang ingin menyanggah. Sifat bersaing Melayu lahir dalam banyak bentuk. Ada bersifat membina. Namun sifat bersaing membina ini adalah sangat kurang. Sifat kompetitif Melayu adalah sangat kurang. Dalam banyak hal Melayu kurang bekerjasama dalam perkara strategik. Sekadar berkawan biasa, bersama-sama untuk perkara-perkara biasa memang orang Melayu suka dan gemari. Namun bila mereka mahu bersaing mereka banyak bersaing membunuh merosakkan. Ada waktunya, sifat itu menjadi sangat sengit. Melayu sebetulnya suka berlumba-lumba. Banyak perkara dalam dunia Melayu yang melambangkan mereka suka berlumba. Berlaga ayam, lumba perahu, pangkah gasing, pertandingan layang-layang, pencak silat dsb adalah lambang-lambang tersebut. Begitu juga akhirnya dalam bentuk hiasan dan pengukiran rumah, perahu, kereta-kereta lembu, pakaian dsb. Corak-corak ukiran dan rekabentuk juga akhirnya membawa sifat-sifat bersaing di kalangan orang Melayu. Bahkan di bidang keagamaan juga sebegitu. Sifat-sifat mempamirkan kehebatan ilmu sangat genar untuk ditonjokan lewat pelbagai cara seperti cara berpakaian, cara menghias diri, cara bertutur kata, dsb yang akhirnya membawa kepada sifat-sifat meluat. Jika dirujuk kepada Kun Kehendak Maslow di atas, masyarakat Melayu sebetulnya lebih gemar menghambat rasa banga diri. Kenapa begini? Cuba perhatikan Kun Kehendak Maslow di atas. Secara asas tiga tingkat kehendak asas di bahagian bawah akan menjadi hambatan awal setiap manusia. Hambatan ini akan menjadi sengit dalam keadaan scarcity. Hambatan terhadap rasa banga diri hanya tercapai pada tahap di mana Kehendak Asas telah agak sempurna tertunai. Namun dalam dunia Melayu, hambatan ke atas rasa banga diri sering mengatasi hambatan ke atas tingkat-tingkat kehendak lain, lantaran sebagai jalan pelarian, escapism. Mereka tidak dapat yang di bawah, mereka jolok yang di atas. Sesungguhnya sifat-sifat bersaing itu banyak menyeret Melayu untuk saling berkancah akibat terdorong oleh rasa cemburu, dengki dan tamak. Individu dan malang sekali pemimpin dan kepemimpinan Melayu sangat tidak menyuburkan sifat bersaing membina kompetitif. Kenapa?

(8) Hambatan ke atas nilai penuh diri akan menyusul di saat segala sudah berkedudukan selesa dan berkecukupan. Ini adalah fahaman dan naluri sejadi manusia. Lantaran itu, Islam mengujudkan intervention agar dalam masa menghambat segala kehendak bawahan manusia mesti mengingati nilai diri sebenar mereka iaitu sebagai khalifah. Sebagai khalifah pemimpin, seseorang harus mengutamakan keperluan pimpinan dari diri sendiri. Kesusahan dan sengsara rakyat harus disedari, dirasakan sebaik-baknya. Untuk itu, perakuan terhadap keesaan Allah sering dituntut ke atas setiap manusia biar di usia apapun mereka kecuali bagi mereka yang benar-benar tiada upaya. Namun dalam umat Melayu, kesadaran untuk menghambat Nilai Sebenar Diri hanya muncul di saat akhir hayat mereka. Lantaran itu, pada usia se awal 50an jika tidak di 60an, baru mereka sedar akan tanggungjawab kekhalifahan namun pada tahap itu kudrat mereka telah menyusut habis. Mereka akhirnya terperangakap terhadap sindrom bersedia untuk mati. Sangat jarang kita temui Umat Melayu kini pada usia lewat 20an sedar mendalam tentang Nilai Sebenar Diri mereka. Di zaman dulu, pada usia sebegitulah di mana bangkitnya semangat Melayu yang Melayu kini menikmati segala keberhasilannya dan sedang mereka runtuhkan. Kini keadaan ini menjadi lebih parah jika dilihat dari sudut kesedaran dan tanggungjawap kemasyarakatan generasi kini terhadap masyarakat Melayu. Pendeknya, kematangan generasi kini tentang kemasyarakatan adalah sangat kurang. Lantaran tidak matangnya sikap Melayu, maka banyak perhitungan dan gerak kerja mereka menjadi bocahan tidak matang.

(9) Saya berkeyakinan Sistem Pendidikan Negara, dan apa lagi Sistem Pendidikan Islam yang kita warisi turun temurun yang tidak pernah ada usaha untuk mengkaji kadungan, cara dan kesampaiannya secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh, tidak mampu untuk menzahirkan hambatan Nilai Diri Sebenar manusia-manusia Melayu. Sistem Pendidikan Islam sering dibayangi oleh Sistem Pendidikan Konvensional, lantas sifat-sifat Kapitalisma kian mengakar dan menyimpangkan sifat-sifat Insaniah yang patut terbina pada umat Melayu. Lantaran kemelut hambatan pada Keperluan Asas yang bersifat kapitalis, maka akhirnya umat Melayu terperangkap dalam hambatan kepada Rasa Banga Diri sebagai bukan apa tetapi sekadar escapism di atas kelemahan mereka lalu terlewat untuk menghambat Nilai Diri Sebenar pada ciri dan tujuan yang Allah mahukan. Sebetulnya, perangai mementingkan diri budak-budak terus mengakar pada umat Melayu biarpun usia mereka kian meningkat tinggi.

(10) Saya yakin, selagi Sistem Kemasyarakatan Melayu tidak dapat segera menyedarkan individu Melayu tentang Nilai Diri Sebenar mereka, pasti mereka akan tetap mengikuti tingkat Kun Kehendak Maslow. Itulah naluri sejadi manusia. Diri dulu baru masyarakat. Lantaran itu, umat Melayu akan terus mudah dipengaruhi untuk terus terpesong kemamar dalam apa juga bidang kehidupan ini. Sesungguhnya, bila seseorang berada dalam keadaan kemamar maka di saat dia diperlukan untuk membuat keputusan besar maka pasti otaknya tiada benchmarking sempurna. Keadaan ini saya kira, pasti dia akan melihat kepada dirinya sebagai benchmark dan oleh kerana itu, saya yakin saat mereka dikehendaki memilih pemimpin umpamanya, mereka akan memilih pemimpin yang selari dengan sifat-sifat dan yang dapat menunaikan kehendak mereka.

(11) Untuk ini biarkan saya jelaskan sebegini. Mohd Najib Abdul Razak dan Muhammad SAW akan saya gunakan sebagai contoh sahaja. Saat Mahathir Mohammed terdesak untuk melepaskan jawatan, beliau pasti berada dalam keadaan gopoh lantaran mereka yang dibimbingnya untuk mengantikannya semua sudah pupus. Sebetulnya, Mahathir mahukan Mohd Najib Abdul Razak jadi Perdana Menteri. Namun lantaran usia dan pengalaman, perkara itu terpaksa ditangguhkan dengan melantik kepimpinan peralehan iaitu Abdullah Ahmad Badhawi. Sebetulnya, ada detak kurang yakin Mahathir kepada Najib mulanya. Sesungguhnya pembacaan Mahathir terhadap Abdullah dan Najib agak sipi kerana waktu membuktikan kedua-duanya bertindak tidak pada landasan yang Mahathir fikirkan. Sebabnya mudah. Saat Mahathir memilih mereka, beliau mengalami kesamaran, ilusi. Dia berfikir Abdullah akan terus manut dan apa lagi, Melayu sedang menuntut Mr Clean. Itulah watak dipamirkan oleh Abdullah pada masa itu. Sedang bagi Mahathir, dalam memilih Mohd Najib adalah pada perkiraan bapa borek anak rintek; ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Hakikatnya kedua-dua Abdullah dan Najib bergerak menepati Hukum Kehendak Maslow. Diri dulu, Negara kemudian. Kuasa dulu, bakti pasti mendatang. Saya melihat Najib sebagai anak majaan. Najib, punya wajah boyish ibunya. Tidak sepertinya Mohd Nazer Abdul Razak. Dia kelihatan lebih keras watak bapanya. Saya dari dulu lebih cederung untuk mempercayai Nazer dari Najib. Sebabnya mudah di saat-saat payahnya sakit Abdul Razak Husein, Nazer kalau tidak silap adalah satu-satunya waris terdekat berada bersamanya. Ini mungkin kebetulan, namun saya tidak berfikir sebegitu. Mohd Najib terangkat menjadi pemimpin atas simpati dan berterima kasih rakyat kepada Abdul Razak Husein. Tidak atas perjuangan. Itu asas kepada pemilihan kepimpinan Najib. Maka suatu ketika Najib hanya memenangi PRU Pekan dengan majoriti sangat rendah iaitu 200 (?) undi. Itu sebetulnya sudah menjelaskan betapa rakyat Pekan sudah menilai semula akan prestasi kepimpinan beliau. Namun, Mahathir sepertinya terperangkap with no choice, hakikatnya, saya yakin hati kecil Mahathir have choice cuma dia tidak berani.

(12) Mohd Najib Abdul Razak, bapanya siapa? Juga datuk-datuk beliau siapa? Bapa dan datuk-datuk Abdul Razak Husein siapa? Apakah latar kehidupan mereka? Pasti sangat jauh berbeza dengan Mohd Najib. Mohd Najib hidup dalam golden plate and silver spoon. Biar tidak semua, apa yang dia kehendaki pasti ada. Jika dia tidak memperoleh dari bapanya, pasti dia dapat membujuk ibunya. Maka tidak heran, berasaskan prinsip saikologi Sigmond Freud, Najib akan banyak menyelesaikan permasalahannya secara anak manja emak. Rakyat hendak gula-gula, berilah gula-gula. Rakyat hendak susu, sumbatlah susu. Rakyat hendak berita besar-besar maka laungkan yang besar-besar. Segalanya harus trendy dan terpamir, sikap kepemimpinan populist. Liberalist. Itulah corak kepemimpinan yang Melayu tuntut dewasa ini selepas regim keras Abdul Razak Husein dan Mahathir Mohammed,  Mohd Najib secara enak menari ikut rentak, tanpa takut, semua itu pasti merosakkan Melayu.

(13) Sesungguhnya, profil bakal pemimpin Melayu tidak pernah Melayu saring secara menyeluruh. Biar Melayu gemar cara Barat, namun Melayu hanya gemar unsur-unsur Barat yang menyeronokan sahaja. Melayu pada asasnya pakar pencedok yang hanya mencedok cetek. Jika di Amerika, dan lihat saja pada Barrack Obama, beliau ditelanjangi hebat sebelum diusul untuk jadi calun. Sekadar jadi calun, belum lagi calun, Obama sudah ditelanjangi. Latar belakang beliau sedari kecil lagi sudah dibongkar dan didedahkan kepada umum untuk penelitian dan dibahas secara terbuka. Adakah bakal-bakal calun dan calun pemimpin Melayu kita bongkar sehingga sebegitu? Malangnya, calun pemimpin Melayu dipilih oleh pemimpin Melayu dan Melayu dipaksa menerima. Sesungguhnya dalam prihal ini, pemimpin Melayu telah menghianati Melayu dalam dua perkara. Pertama dari sudut budaya, dan kedua di sisi Islam.

(14) Dalam adat Melayu dulu-dulu, ibu bapa akan saling menyelidik tentang bukan sekadar latar belakang bakal menantu mereka, malah sehingga ke biras duai mereka. Penilaian dari sudut paras muka, pekerti, keturunan, dan kedudukan sangat diambil berat. Dan ini tidak lari dari syiar Islam yang menitik beratkan perihal akhlak, rupa paras, harta dan keturunan. namun prihal ini sudah terpinggir hebat. Tidak sekadar itu, umat Melayu tidak faham akan Sirah Muhammad SAW sedari mula sehingga akhirnya bagaimana baginda memilih khalifah serta pembesar Negara dan Wilayah di kalangan teman-temannya. Juga Allah secara jelas memilih Muhammad SAW sebagai persuruhNya lewat proses yang sangat panjang dan mencabar. Muhammad SAW tidak hidup dalam limpahan penuh kasih sayang. Baginda hidup dalam segala kegersangan kasih sayang. Muhammad SAW seperti dinafikan dari lindungan kedua ibu-bapa yang santun dan lembut penyayang. Muhammad SAW hidup membesar bersama datuk dan bapa saudara yang keras namun berakhlak. Muhammad SAW tidak dibiar hidup mewah. Zaman anak-anaknya penuh kepayahan dan kemiskinan. Muhammad SAW tidak dibiar hidup bersahaja. Baginda hidup keras menyara hidup sendiri. Hidup baginda penuh ujian dan cabaran yang amat keras. Paling jelas, baginda terpilih atas sifat baginda yang sangat cenderung untuk memperelok Ummah. Baginda sedari remaja sudah punya kecenderungan untuk merobah kejahillan kaumnya, bangsanya. Juga di saat baginda memilih wakilnya di mana-mana, mereka telah baginda didik akan keperluan akhlak, dan telah teruji. Banginda benar-benar kenal akan walinya. Baginda tidak teragak-agak memecat mereka yang tidak bergerak pada landasan membina Ummah. Sebegitulah proses yang dilalui oleh para Khalifah Arasyidun. Mereka kekal pada jalan itu. Pada landasan itu, mereka meletakkan asas-asas kukuh bagi perkembanagn Islam dan kekuatan Ummah selepas mereka. Kebobrokan Islam terjelma saat asas-asas tersebut kian dipinggir dan dihindari. Melayu kini juga sedang hebat melewaiti proses yang sama, maka akhirnya kita kian terpimpin oleh Melayu-Melayu bobrok untuk lebih membobrokkan Melayu. Latas kita kian terhina. Segala gejala penghinaan ke atas pemimpin dan Negara ini, adalah manifestasi akan semua ini.

(15) Sesungguhnya, selagi kita menari ikut gendang dunia konvensional, pastinya kita tidak akan pernah berdiri sebagainya kita. Di dunia moden, Jepun, Korea, Jerman dsb telah membuktikan betapa being different and be ourselves mereka berjaya. Tidakkah itu landasan Amerika? Pesan Muhammad SAW tentang ini adalah jelas, kita harus berpegang pada sifat dan ciri jati diri Islamnya kita. Kita tidak harus meniru apa lagi menyamai yang lain khususnya yang jelas adalah musuh kita. Apa Mohd Najib punya keberanian dan keupayaan untuk kembali dan berdiri pada jati diri Melayu dan Islam? Apakah Najib berani untuk menilai secara bersungguh-sungguh para pemimpin Melayu yang beliau hendak sogok dan paksakan kepada Melayu untuk menerimanya? Ibarat seorang pengembala, apakah Najib akan sanggup dan berani memerhati sekandang haiwan peliharaannya, mana satu kambing hitam, mana satu unta malas, mana satu kerbau tua, mana satu serigala jahat, mana satu ayam tua, mana satu merak penari, mana satu anjing penyalak, mana satu kuda binal, mana satu ayam jantan, mana satu kerbau tengala bujang, mana satu sapi susu, maka satu keldai taat dsb dan mulai menilai akan di antaranya yang mana paling Allah terima untuk dikorbankan atau harus dikasikan? Atau apakah Melayu berani untuk memilih pemimpin mereka pada jati diri adat budaya Melayu dan Islam? Jika, mana-mana soalan ini tidak terjawab tegas sebagai "Ya", pasti Melayu akan terus terhina.

Terasi, Pendam, Simunjan
10 Ogos, 2014

0 comments :

Back To Top