Latest Postings
Loading...
Jun 14, 2009

9/6/09 PAYAH YANG PAYAH.....


Untuk sekian waktunya, saya punyai minat sangat dalam untuk berjalan di dunia ke tiga. Alhamdullillah, Bario, Gua Musang, Bentong, Kota Belud, dan pasti sering ke Tui dan Tambak, telah saya telusuri. Cerita yang saya bawa, tidak lain adalah tentang hidup dan kehidupan. Cerita tentang mengejar hari esok untuk semua. Takdirnya, seolah-olah itulah tujuan hidup dan kehidupan saya. Dulu-dulu pernah saya mahu kendiri, tetapi, tidak lama, saya terdorong untuk tidak kendiri.

2) Sejak beberapa lama dahulu juga, saya telah berjalan dari kepulauan Riau, Medan, sampai ke Jakarta, Solo, terus ke Ambon, Jayapura dan bahkan ke Wewak di Papua New Guinea. Di Pattani, juga sebahagian persisir Vietnam, dan gugusan kepulauan Mandanoa di Filipina, saya temui rata-rata masyarakat yang kenal durian dan tahu akan durian. Mereka juga kenal akan belacan. Mereka sangat biasa dengan sayuran kangkung bahkan buah jambu, bahkan buah pinang dan sirih-kapur.

(3) Atas percayanya saya tentang takdir hidup dan kehidupan saya, bukan untuk kendiri, biar setengah mati mahu memikulnya, saban waktu saya cuba mencari, bagaimana agar tanggungjawap untuk tidak kendiri saya ini, dapat dipermudah dan diberkesankan lagi. Syukur, sejak saya mulai boleh menulis secara terbuka ini, maka banyak yang menegur, bahkan ada juga yang memberansangkan. Pasti tidak kurang yang terus mencabar, ada yang mencemuh, pastinya ada yang curiga!

(4) Di mana juga, bagi mereka yang tahu akan durian dan belacan, amat mudah untuk kita saling curiga, prasangka dan tidak percaya. Hasilnya, kita jadi takut dan tidak merdeka.

(5) Sedang juga, di mana-mana bagi kita, anihnya, sangat mudah percaya, dan bahkan amat percaya, sehingga kita dengan mudah menyerahkan emas, besi, timah, ikan, segala peliharaan, tanah, segala kekayaan yang Dia berikan, kepada bukan diri kita. Hidup dan kehidupan kita dengan mudah kita serahkan kepada bukan diri kita. Kita dengan mudah kalah, kerana kita payah dan terlalu payah untuk percayakan diri kita.

(6) Apakah ini lantaran darah daging nenek moyang kita Ismail dan Ishak, yang tidak mahu sehaluan? Atau, sememangnya kita sudah dijadikan sebegitu, azalinya. Jika itu benar, maka, tiada apa yang boleh kita lakukan, melainkan kendiri saja!

(7) Saya kira tidak mungkin kita mudah prasangka, kita mudah curiga, kita mudah dengki, kita mudah tidak mempercayai, kerana genetik Ismail dan Ishak. Jika benar, pastinya kita akan menjadi Ishak segalanya, sedang di satu pihak akan jadi Ismail segalanya. Sedang, hakikatnya, dalam diri kita ada kedua Ismail dan Ishak. Maka tidak mungkin sifat kotor kita kerana genetik kita.

(8) Dalam soal agar saya tidak kendiri, soal orang hasad dengki, segala kecurigaan, apa juga, telah lama saya pinggirkan. Saya tidak pernah peduli akan hal ini. Jika kita ikut arus hasad dengki, tidak akan ke depan kita akhirnya. Biarlah yang dengki terus saja dengki, kerana kita perlu yakin akan: Anjing menyalak bukit, tidak akan runtuh biar secebispun sudut bukit itu!

(9) Saya cuma masih terus mencari, untuk supaya bila saya mengajak, untuk bersama bagi hari muka, ajakan itu agar mudah dipercayai dan dilaksanakan segigihnya.

(10) Dalam coretan Bahtera Membelah Samudra…..menelusuri akar mencari tunjang, saya melihat penjajahan Hindu dan Buddha yang panjang ke atas masyarakat kita sebagai sebab kita jadi saling curiga dan mencurigai. Ini, kemudian diperkokohkan oleh penjajahan Barat (Belanda, Porrtugis, Ingeris, Amerika, dan Australia).

(11) Sejarah telah membuktikan bagaimana para pendita Hindu dan Buddha telah menjadikan segala pembesar kita musuh diri kita. Begitu juga para penjajah Barat, yang turut belajar dari temaddun Hindu dan Budha, terus-terusan memperalatkan para pembesar dan bijak pandai kita untuk kerakusan mereka. Pada hari ini, kita juga tetap melihat dan sedang berada di kalangan orang besar dan terhormat dari kalangan bangsa kita sedang diperalat hebat buat merompak segalanya dari kita. Maka tidak hairan jika bangsa kita akan terus curiga dan susah untuk percaya, biarpun ianya untuk hari muka anak cucu mereka!

(12) Mereka, bangsa kita sudah puas, sedang mereka mengharapkan pagar, pagar pula yang makan padi. Harapkan sokong, sokong pula membawa rebah. Telah terlalu banyak mereka tertipu dan atau teraniaya. Maka wajarlah merekasering dan terus curiga!

(13) Dalam usaha untuk membangkitkan kekuatan bangsa kita, siapapun kita, melainkan kita adalah sangat besar dan sangat berkuasa, tidak mungkin kita dapat merombak cepat agar masyarakat kita akan punyai keyakinan diri dan merdeka diri yang kental dan tulin. Oleh itu, dalam perjalanan yang pendek ini, saya temui agar kita, jika mahu bangkitkan bangsa kita (biar di mana-mana), wajar sekali kita tetap patuh kepada pesanan nenek moyang kita agar bila kita berfilkir, bersuara, bekerja, tetap seperti: Menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak terurai, dan jika kita berjaya, biarlah sifat kita terus saja seperti: Ular menyusur akar, tiada akan hilang bisanya.

(14) Orang kita sangat mudah untuk mencurigai jika kita punya kelainan yang sangat lain, biar ke kiri atau ke kanan. Apatah lagi jika, seperti ayam bertelur sebiji, berketak sekampung. Kecurigaan, kebanyakan mereka perlu diubat dengan pendekatan: Sudah terang lagi bersuluh! Namun, mereka tetap mahu melihat dulu, dari ikut pantas.

(15) Sememangnya kepayahan yang paling payah adalah untuk dimengertikan, biarpun yang sejujurnya, yang sebenarnya.

(16) Untuk melangkaunya, kita perlu saja terus kerja keras, tidak sekali-kali menyerah, fikir dan usaha dengan penuh kebijaksanaan, biar sentiasa berbuat bersih, dan hendaklah sentiasa bersamaNya, setepatnya. Kita berpegang saja, jika sudah di atas, pasti masih ada yang teratas, jika terasa masih di bawah, pasti masih banyak yang di bawah. Mudah-mudahan kekal dalam diri saya dan kita yang tidak mahu kendiri akan penemuan ini.

Kendari, Sulawesi Tenggara
11 June, 2009

1 comments :

Bayu Senja said...

Salam
Jauh kita perjalanan tentu banyak yang dilihat dan cuba dimengertikan. Walau apapun perkongsian perjalanan itu dengan maksud yang baik adalah sesuatu yang akan memberi faedah kepada semua.

2.Sejauh mana pun kita pergi, kita adalah bangsa yang masih dieksploitasi.Bukan sahaja bangsa tapi rata-rata mereka yagn rendah dalam aspek ekonomi.
3. Tidak perlu melihat jauh, semua perancanaan (technical assistance )yang datang nya dari so- called 'donor banks' seperti World bank, Asian Development Bank dan IMF misalnya, adalah untuk kononnya kebajikan negara-negara miskin/third world. Asian Development Bnak sudah lama bertapak di Manila dan secretariat asing juga banyak di Indonesia. Mereka memberi pinjaman kepada negara-negara yang memerlukan,dengan menggunakan kepakaran teknikal atau perunding dari negara mereka (Barat). Begitu juga kontraktor untuk pelaksanaan.
3. Wang yang dipinjam akan kembali ke negara asal,dan negara tersebut akan membayar hutang (soft loan) boleh dikatakan , buat selama-lamanya kerana technical assistance and loans yang berterusan.
4.Oleh kerana semua data, informasi berada di tangan mereka ini, maka akan kekal selamanya mereka memerintah (colonise),maka peluang untuk keluar dari kemiskinan dan kehidupan yang penuh 'naive' itu adalah tidak mungkin.
5.Kerajaan kita di bawah Tun Mahathir telah lama sedar akan hakikat ini,maka kita tidak terjerumus ke kancah 'colonisation' tersebut.
6. Ramai di antara kita yang belum 'nampak' akan ini kerana kita tidak terlibat secara langsung dengan pembidaan di peringkat antarabangsa.Dari situ kita dapt lihat bahawa kita yang mempunyai kepeakaran setanding pun akan dilihat dengan sebelah mata sahaja.
7. Rakyat negera-negara ini spt yang telah dilihat oleh sdra abdullah dalam perjalanannya langsung tidak pernah kenal apa itu kemerdekaan yang sebenarnya, kerana hidup mereka kais pagi makan pagi, kais ptg makan ptg.
8.Kita yang sedar, yang boleh dan yang mampu melihat, kita teruskan usaha kita.Dalam apapun bidang pekerjaan dan di mana juga kita, sekiranya kita sedar akan hakiki, maka ia akan menjadi pendorong kita untuk bekerja dengan sebaik mungkin bagi membela nasib bangsa dan negara kita.
9.Segala perasaan curiga, hasad dan dengki tidak perlu wujud lagi dalam alaf ini,kerana banyak lagi yang perlu dibuat dan dilaksanakan.

Back To Top