You you bukanlah suatu kata seruan. Ini berbeda dengan istilah Uhaaa. Istilah Uhaaa adalah kata seruan yang menjadi amalan kaum Iban pada saat mereka mengadakan miring iaitu suatu bentuk doa selamat. Uhaaa adalah kata seruan memanggil roh mereka yang telah pergi sebagai tanda memohon restu ke atas sesuatu hajat. Ianya juga adalah kata seruan untuk menyeru roh ghaib sebagai lambang penguat semangat, khususnya bila berdepan dengan perkara-perkara getir. You you telah dipopularkan oleh Adenan bukan hanya semasa PRN Sarawak baru-baru ini. Beliau sejak dahulu sering mengungkapkan istilah you you. You you pada asalnya bukanlah kata seruan sepertinya Uhaaa. Istilah you you sangat popular di kalangan masyarakat Melayu di tahun 1960an dan 1970an. Masyarakat Melayu Sarawak, khususnya dari kawasan persisiran, yang berumur 40 tahun ke atas pasti tahu akan maksud you you bila diungkapkan. Namun, konsep you you seperti kian pupus khusus di kalangan generasi kini.
(2) Bagi masyarakat Malaya (saya ingin mulai dari ketika ini, menggunakan kembali istilah Malaya jika tidak Tanah Melayu, sebagai gantinama kepada istilah Semanjung Malaysia bagi mengingatkan tentang betapa Malaysia sebetulnya terbangun dari tiga wilayah merdeka iaitu Malaya, Sarawak dan Sabah), konsep you you Melayu Sarawak juga luas diamalkan di sana. Di Kedah umpamanya, konsep you you sama saja dengan konsep hang niiih. Bila dua atau sekumpulan orang Kedah sedang bersembang, jika terkeluar ungkapan hang nihh pasti ada sesuatu yang tersembunyi, tersirat dari ungkapan itu. Biar maksud tepatnya tidak jelas, namun kiasnya biasanya yang berkenaan akan faham. Contoh, jika seseorang sahabat katakan beria-ia meminta untuk bertandang ke rumah, pasti dia punya tujuan yang tersirat dari permintaannya itu. Jika ditanya kenapa dia beria-ia sangat hendak bertandang ke rumah sahabatnya, pasti contohnya jika ianya melibatkan dua rakan remaja, pasti yang meminta tadi akan berkata hang nihhh, takkan tak faham. Jika itu terungkapkan, maka pasti ada udang di sebalik batu atas tujuannya. Biasanya, mungkin teman tadi ingin berkenalan dengan adik atau kakak temannya. Atau saja mungkin kebetulan musim durian atau rambutan. Hajatnya bukan untuk bertandang tetapi meminta sesuatu secara sindiran.
(3) Di Kelantan, konsep you you juga luas diamalkan. Di sana mereka sering jika ingin menyindir atas sesuatu tujuan, mereka akan berkata demo gak. Contohnya, bila seseorang sahabat tiba-tiba menjadi terlalu baik, bila disoal pasti dia dengan nada bergurau senda akan berkata demo gak, kawe buat baik tok leh ko?. Biar itu hanya senda loka, namun maksud tersiratnya hanya yang bertujuan saja kemudian akan menyatakannya. Ungkapan-ungkapan hang nihh, demo gak sering diungkap sebagai tanda pengenalan untuk yang berkenaan kemudian akan berbicara secara lebih jelas dan tepat akan tujuannnya. Mungkin inilah apa yang orang Inggeris maksudkan scratching your back, garu belakang.
(4) You you bukan sekadar scratching the back ianya juga boleh berupa sindiran pedas. Contohnya, bila sang isteri malas untuk melayan untuk membuat air kopi bila diminta oleh sang suami, maka sang suami mungkin secara sindiran mengungkapkan you you, aik kupi Cina nyaman lagi. Jika sebegitu ungkapannya, maka sang suami akan berlalu pergi bersama teman-temannya dan keadaan itu mungkin melarat kepada perkara-perkara lain. Sindiran sebegitu akhirnya akan merenggangkan perhubungan seterusnya. Selama saya memerhati dan pernah juga dekat dengan Adenan, bila dia mengungkap perkataan You you maka mood dalam dia berkata sebegitu adalah sangat penting untuk diperhatikan untuk menangkap maksud sebenar akan maksud you you beliau. Jika dalam mood gembira, maka ungkapan you you beliau adalah sekadar seloroh. Jika you you terungkap di saat dia sedang tegang, pasti itu berupa sindiran pedas. Ada ketika, you you Adenan membawa maksud suka hati kaulah. Mungkin lantaran generasi kini sukar untuk berpunya sifat empathy maka konsep you you kian pupus lantaran generasi kini sudah buntu dalam menilai yang tersirat dari tersurat. Bagi generasi kini, jika tiada dalam Google Search maka semua itu boleh saja dilupakan.
(5) Konsep you you semasa PRN Sarawak telah memberikan Adenan kekuatan yang cukup luar biasa, sehingga beliau dapat mengembalikan kekuatan manis bagi Kerajaan pimpinanya. You you Adenan semasa PRN sangat rakyat Sarawak fahami, Adenan menyatakan dengan jelas apa yang dia mahu tabur baktikan. Rakyat Sarawak menyahut permitaan Adenan lantaran mereka juga berpunya permitaan yang sangat besar. Secara pribadi, saya dapat melihat kesungguhan Adenan untuk membina Sarawak yang maju dan bersatu padu. Gerak kerja beliau selama dua tahun lepas sangat jelas dan menepati keperluan untuk melegakan rakyat kebanyakan. Cuma untuk tempoh sekuarang-kurangnya dalam lima tahun mendatang, rakyat sedang menuntut kesaksamaan ekonomi dan kesejahteraan yang lebih meluas. Maka sesungguhnya, You you Adenan bersahut dengan you you rakyat Sarawak. Mudah-mudahan Allah terus mencucuri taufik dan hidayah kepada beliau untuk terus menjadi khalifah yang Islam tuntutkan ke atas beliau. Jika tidak you you Adenan akan bertukar jadi you you, abu duak sudukpun sik ada menjelang 2018 dan 2021 nanti. In Shaa Allah you you Adenan akan kekal sebagai you you ya baruk Adenan.
Kuching, Sarawak
12 May, 2016
0 comments:
Post a Comment