Saya mungkin merupakan antara anak Melayu yang sangat beruntung. Hanya semasa kecil saya agak kepayahan dalam mengejar cita-cita. Semasa itu, saya terpaksa ke sekolah berjalan berkaki ayam, di atas batas yang sering saja berlumpur, licin, mengotorkan bila hujan. Perjalanan ini memakan masa 45-60 minit. Adakalanya bila bah pasang besar, saya terpaksa berenang menyeberangi beberapa parit besar, dan pastinya terpaksa berbogel dengan pakaian terpaksa dijunjung di atas kepala. Begitulah awalan hidup saya sehingga ke tahun 1972, bila selepas itu, Kerajaan Negeri Sarawak menghantar saya ke UK untuk mengikuti pengajian sekolah Menengah Rendah. Sehabis belajar Sekolah Menengah Rendah di UK, Kerajaan Malaysia pula telah bermurah hati untuk menghantar saya melanjutkan pengajian saya ke Sekolah Menengah dan Matrikulasi di AS. Kemudian saya meneruskan pengajian saya ke UK(M). Segalanya atas biaya wang rakyat!
Lantas, selepas cuba 'berkeras kepala' untuk ‘menganggur: berdikari’ selama 2.25 tahun, saya sekali lagi dibiayai hidup oleh Kerajaan Sarawak sehinggalah ke saat ini. Sebetulnya rakyat Sarawak sekali lagi terpaksa menyuntik modal pelaburan pada diri saya pada 1996 bila mereka sekali lagi menghantar saya ke AS dengan harapan Otak saya akan lebih bergeliga dan Jiwa saya akan lebih kental dalam membangunkan bangsa!
(2) Pada 8 Okt., 2009 dalam penerbangan pulang dari Mukah ke Kuching, saya telah merakamkan gambar sebagaimana diselitkan di atas. Ianya menunjukkan Jalan ke Pekan Dalat, Mukah. Lihatlah, perkampungan bangsa kita, biarpun jalan telah dibina, namun jalan-jalan ini telah dibina sedemikian rupa sehingga bangsa kita mendapat nikmat terakhir dari segala kemudahan ini (seperti menghisap manis tebu di hujung ruas). Apakah ianya sengaja dibuat sebegitu, dan dipinggir jalan segala tanah itu semuanya sudah tidak menjadi milik bangsa kita? Di manakah kebijaksanaan dan kecekapan pentadbiran kita sehingga perkara ini terus sebegini sehingga ke hari ini?
(3) Sebenarnya bila melihat semua ini, jiwa saya melayang entah ke mana. Kini, saya sering menangis dalam hati melihat akan nasib bangsa kita ini. Kita ini nama saja pribumi, namun buminya seakan-akan (sememangnya) bukan milik kita. Kita, biarpun telah punya kedudukan yang terbaik untuk membela bangsa kita, namun kita masih menipu dan tertipu diri!
(4) Dari pesawat kecil MasWing, bila melihat ke arah Pekan Dalat, Mukah, terimbau kenangan saya mula-mula melawat Pekan ini dalam awal perhidmatan saya iaitu dalam pertengahan 1980an. Semasa itu, untuk ke sana, kita terpaksa (tiada pilihan) menaiki bot dari Sibu menghilir Batang Rajang melalui Simpang Btg Igan. Dulu perjalanan ini memakan masa lebih kurang 4-5 jam menggunakan bot panjang. Biasanya bot ini penuh sesak dengan para penumpang, dan ada kalanya kita terpaksa berasak-asak bukan hanya sesama manusia tetapi dengan ayam dan barang dagangan. Dulu-dulu masyarakat di sini terkenal sebagai lumber jack yang hebat. Juga pengusaha tanaman rumbia sehingga kini.
(5) Pada lawatan saya ke sana pada 5 Okt., 2009 lepas, sengaja saya mengambil jalan yang sama. Tetapi kali ini dengan bot 200 kuasa kuda dan mengambil masa hanya dua jam. Namun keadaan dalam bot tersebut masih tetap sama macam dulu. Bangsa kita seperti terus saja terhimpit, dan mungkin kerana ini, fikiran, jiwa kita terus saja terhimpit dengan kurangnya fikiran dan jiwa merdeka!
(6) Dalam perjalanan menuju ke Dalat, suasana Kampung dan Rumah yang kita lewati masih belum jauh berubah dari apa yang saya lihat di pertengahan 1980s. Begitulah nasib bangsa kita yang ditadbir dan diurus oleh bangsa kita sendiri. Mungkin kalau Jepun terus memerintah kita, mungkin kita sakarang akan sangat berbeda. Kalau tidak semuanya mugkin sudah dipenggal Samurai lantaran kedegilan dan kemalasan untuk kita berubah!
(7) Saya ingin bertanya kepada diri saya sendiri, apakah bangsa kita sudah mendapat Investment Return yang terbaik dari perlaburan mereka ke atas diri saya. Kini, saya sudah hampir-hampir kurang bernafas, apakah sempat saya terus berlari menjejar masa agar bila saya pergi esok, bahawa saya tidak ada tertanggung hutang (tanggungjawap)?
Terasi, Simunjan
17 Oct., 2009
0 comments:
Post a Comment