.

1/8/20 DILEMA MAHATHIR TERHADAP ANWAR ....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - September 08, 2020

Share

& Comment

Mahathir pernah menulis buku Dilema Melayu pada 1970. Buku tersebut terbit (dan diharamkan) akibat dari kekalahan teruk UMNO dalam PRU 1969 dan akhirnya mencetuskan trajidi berdarah Mei 13, 1969. Tuduhan paling lantang Mahathir terhadap Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pada masa itu adalah sifat Tunku yang terlalu berlembut memberikan banyak muka kepada kaum Cina dalam menguasai ekonomi Negara. Mahathir melihat kelemahan berterusan Melayu adalah berakibatkan penguasaan mendadak kaum Cina terhadap ekonomi Negara pasca merdeka. Ini adalah berpunca dari ketangkasan golongan kapitalis Cina (dan India) dalam mengisi kelompangan serta menjadi custodian terhadap industri dan perdaganan yang ditinggalkan oleh British. Rentetan dari itu maka, Tun Razak telah mewujudkan Dasar Ekonomi Baru, DEB pada 1972 yang mengariskan secara jelas bahawa Melayu harus menguasai 30 peratus dari ekonomi Negara. Tanggapan saya, tunjang kemarahan Mahathir terhadap kaum kapitalis Cina dan Tunku adalah lantaran kegairahan kedua-duanya dalam usaha memakmurkan Negara sehingga melupakan asas ketidakpuas hatian Melayu terhadap British. Mahathir melihat pelangaran ini sebagai tidak menepati Social Contract Kemerdekaan - Kemakmuran Bersama. Semasa era penjajahan British, berkemungkinan ekonomi Negara dikuasai 75 (?) peratus oleh British, 10 peratus oleh kaum Cina dan India dan Melayu hanya menguasai 5 peratus dan itupun terikat dengan sektor sara diri.

(2) Buku Dilema Melayu saya yakin adalah tunjang kepada perjuangan Mahathir untuk Melayu, Islam dan Negara ini.

(3) Hakikatnya prinsip terselindung dalam DEB adalah Kerajaan Malaysia perlu menjamin secara ketat agar sekurang-kurangnya 30 peratus kekayaan Negara yang dikuasai British mesti berpindah tangan kepada Melayu. Maka, strategi Tun Razak dalam mencapai matlamat itu adalah dengan memperkukuhkan institusi kerajaan dan memperluaskan pembangunan modal insan Melayu. Mahathir kemudian menyusul memperkukuh pegangan Melayu melalui proses penswastaan dan penghantaran anak-anak Melayu ke seluruh pelusuk dunia untuk menimba ilmu dan kemahiran. Mahathir juga memperguna kalangan tertentu demi mempercepatkan penguasaan ekonomi Melayu. Cuma sayang tindakan ganas Mahathir telah ditarifkan sebagai Maha Firaun, Kronisma, Nepotisma dan segala macam penyelewengan. 

(4) Mengikut DEB, baki 70 peratus kekayaan Negara, bolehlah diagihkan kepada kaum-kaum lain termasuk kepentingan asing. Hanya dengan cara itu, kemakmuran bersama akan dapat dikecapi hebat dan perpaduan negara akan utuh. Namun sebelum wujudnya DEB, Tunku tidak memerhatikan kepentingan tersebut dan membiarkan ekonomi Negara berjalan secara liberal sehingga kedudukan Melayu menjadi lebih parah. Pandangan saya, Tunku bukanlah seorang pengurus sosio-ekonomi yang handal. Pada masa itu, tiada Negara dunia ke tiga yang boleh dijadikan contoh. Apa lagi, British telah dengan licik hanya mendidik anak bangsa Melayu untuk mentadbir administrator dari menjadi pemikir dan pengusaha. 

(5) Dari sudut agihan ekonomi, saya mendokong pemberontakan Mahathir terhadap Tunku. Soal politik itu soal lain yang seringnya sukar terpisahkan. Sesungguhnya, jika sesiapa membaca biografi Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang terakhir, beliau juga tidak bersetuju dengan sikap liberal leisure faire Tunku, sehingga dia mengambil keputusan meletakkan jawatan.  Sesungguhnya aspirasi Tun Dr Ismail dan Mahathir adalah jelas, Malay First. Namun tidak dinafikan dalam mengejar Malay First, kepentingan Negara secara keseluruhan harus dijaga rapi lantaran itulah kehendak British dan Amerika lewat Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB. British dan USA perlu memastikan Malaysia kekal stabil seleras dengan kehendak mereka bagi menyekat kepentingan China dan Russia pada masa itu (dan sehingga kini).

(6) Dipendekkan hujah, Mahathir mahukan Melayu gagah ke depan. Sesungguhnya dia mahu Melayu pantas ke depan dan berjaya besar. Pengalamannya bergelumang dengan Melayu miskin di Kedah menjadikan semangat juangnya untuk Melayu, saya lihat tersangatlah kental dan focus.  Tekad Mahathir untuk kebaikan Melayu tidak boleh dicabar. Maka bila dia mengambilalih kuasa pada 1981, beliau membuktikan tekadnya untuk mengalih kekayaan British kepada Melayu lewat Dawn Raid pada 9 Sept., 1981 iaitu dengan mengambilalih penguasaan British terhadap Guthrie sehingga tertubuhnya Konglomerat Sime Darby. Sime Darby kini adalah GLC hebat asas Melayu (ASB) yang mempunyai Bank Tanah yang begitu luas di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, dsb bagi kepentingan masa depan Melayu. Sesungguhnya, dengan berjayanya Mahathir menundukkan Perdana Menteri British, Magaret Thatcher, the Iron Lady, faktor tersebut telah menjadi azimat buat beliau untuk menundukkan sesiapapun di dalam dan luar Negara dalam perjuangan membela Melayu, Islam dan Negara, Mahathir tidak pernah gentar dan kenal erti mengalah. Dia akan terus berjuang In Shaa Allah sampai ke akhir hayatnya selagi beliau melihat Melayu belum perkasa.

(7) Pemilihan PEJUANG sebagai Parti barunya adalah menepati kekentalan jiwanya untuk terus bertarung memperjuangkan cita-citanya untuk Melayu, Islam dan Malaysia.

(8) Maka saya yakin dengan tekad dan tumpuan focus perjuangan untuk Melayu yang kental tersebut, Mahathir bukan sahaja mengambil sikap pantang mengalah, membujur lalu melintang patah; malah mengambil sikap licik dan berani yang banyak pihak tidak terfikirkan. Pada masa Mahathir mula menguasai Negara dan bertekad dalam hasratnya demi Melayu, Anwar sedang riuh rendah dengan masalah kemiskinan serta akhlak anak muda Melayu. Baling, Kedah adalah icon perjuangan Anwar. PAS juga sedang menyerang Mahathir dari dua sudut tersebut dengan hebatnya. Namun bagi Mahathir, PAS mudah dikalahkan. Maka perhatiannya terhadap PAS tidaklah seberapa. Namun, serangan Anwar lewat ABIM dan malah Yayasan Anda (?), itu boleh sangat memesongkan Melayu serta merbahaya aspirasinya dalam mencapai cita-cita besarnya untuk Melayu, Islam dan Negara. Mahathir melihat Anwar sebagai kuasa anak muda Melayu. Kuasa ini, jika diabai, boleh menjadi duri dalam daging bagi gerak kerja Mahathir. PAS kekal hanya sebagai kuasa golongan kampung.  Bagi Mahathir, PAS mudah untuk dineutralkan secara status quo. Namun Anwar harus ditangani cara lain. Hanya kebersamaan boleh menundukkan Anwar.  Permaidani merah Mahathir hamparkan untuk Anwar berjalan lalu ke dalam UMNO. Mahathir kemudian memberikan Anwar ruang cukup luas untuk belajar dan menguasai. Anwar dengan cepat diangkat jadi Menteri Belia dan Sukan. Kemudian beliau menguasai Pemuda UMNO, lalu menjadi Menteri Pertanian. Tidak lama selepas itu beliau jadi Menteri Pelajaran. Lalu Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan. Anwar berubah dari terus belajar dan menimba kemahiran untuk membina Melayu, beliau dengan pantas berlajar untuk menguasai. Sabarnya memudar seperti Musa AS dan Khaidir AS.

(9) Apakah kejayaan berkesan Anwar di lima kedudukan penting Kabinet Mahathir? Apa perubahan ketara kepada icon perjuangan Anwar (dan juga PAS) iaitu Baling. Saya tidak kenal Baling sehinggalah lawatan pertama saya ke sana pada 2018. Namun semasa di Sekolah di Jitra Kedah, saya ada bergaul dengan rakan-rakan dari sekitar Baling. Itu di pertengahan 1970an. Cerita kemiskinan bukan hanya menghatui Baling, malah di Tanah Besar Pulau Pinang di mana Anwar berasal. Sehingga kini (2020) Baling tetap kekal menjadi icon kepayahan dan keresahan rakyat. Rakyat Baling cukup marah bila harga getah terus menjunam. Bahkan ada suara Baling yang cukup marah kepada Teresa Kok yang mencadangkan agar rakyat minum segelas (?) CPO sehari untuk kesihatan. Anwar pada hakikatnya "melupakan" Baling pada saat dia menjadi Menteri Belia, Menteri Pertanian, Menteri Pelajaran, Timbalan Perdana Menteri dan bahkan Menteri Kewangan.  Dengan pelbagai kedudukan dan kuasa yang Mahathir berikan, saya melihat Anwar gagal dalam membela icon politiknya, Baling. Sesungguhnya apa yang saya pelajari dalam bidang ekonomi pembangunan "To keep the poor poor is a blessing to all. The poor being bless for they continue will feel being concerned. The rich being much bless for they can continue to boast around to care for the poor. So is is a great political ( and religious) strategy to sustain poverty".

(10) Seperti Mahathir, Anwar juga bercita-cita besar. Saya mulanya mempunyai pengharapan tinggi terhadap Anwar (namun tidak pernah bersama alirannya) dari sudut pembasmian kemiskinan Melayu serta perluasan sistem ekonomi Islam. Sesungguhnya sehingga kini, saya terus bertanya-tanya, merenung kembali kepada pidato-pidato hebat Anwar semasa di ABIM dan Yayasan Anda (?), apakah perubahan ketara kepada para belia Melayu dari segi pendidikan, akhlak dan ekonomi yang telah Anwar bawa semasa dia menjawat Menteri Belia, Pertanian dan Pelajaran? Yang ketara, anak muda Melayu lebih cenderung berpolitik dari membina kekuatan diri. Samalah, apakah perubahan ketara terhadap petani Melayu bila Anwar menjadi Menteri Pertanian, TPM dan Kewangan? Yang jelas pertelingkahan keIslaman Melayu membara bila Anwar berada di dalam UMNO. Melayu tidakpun menumpu memperbaiki kekuatan ekonmi mereka. Cuma yang saya dengar Anwar dan pendokongnya cukup berbanga lantaran dia dapat pengiktirafan IMF sebagai the Best MoF (?) lantaran kehebatannya dalam neguruskan hutang Negara ie paling minima. Sesungguhnya, buat Anwar dan para pendokongnya, saya berani tegaskan sebegini: "Jika kita banyak duit, perniagaan sedang rancak, apakah perlu kita berhutang?". Sesungguhnya pada masa Anwar menjadi MoF ekonomi Malaysia tumbuh hebat dan kita mempunyai kecairan dalam Negara yang tinggi. Pada keadaan sebegitu, apakah perlu kita berhutang atau kita segera berusaha melangsaikan segala hutang kita terutama segala projek mega biayaan Bank Dunia (IMF)?

(11) Sebagai MoF, dengan melaksanakan nasihat IMF pada 1998 di mana NPL Non Performing Loan period dikurangkan dari enam ke tiga bulan serta kadar faedah bank dinaikkan sehingga ke dua digit, sesungguhnya sebagai MoF, Anwar telah melakukan banyak musibah kepada khasnya peniaga dan pengusan kecil dan sederhana. Kemelut ini sebetulnya berkelanjutan sehingga kini sehingga sistem ekonomi kita menjadi sasau dan kleptokrat.

(12) Hakikatnya, bila Anwar dalam UMNO dan Kabinet Mahathir, Anwar tidak secara jelas membantu dalam merobah sosio-ekonomi Melayu. Tumpuan Anwar adalah pengembangan pengaruh. Penularan pengaruh hebat UMNO khasnya di kalangan ahli PAS, itu Anwar boleh capai dan saya yakin diperakui oleh Mahathir secara diam-diam. Namun pelebaran pengaruh Anwar ini, kemudian bertukar menjadi duri dalam daging bagi Mahathir. Paling ketara Anwar sudah mula "main kasar" dengan para veteran UMNO. Ghafar Baba, Isa Samad, Rahim Tambi Chik dsb mulai tersingkir dari pusat kekuasaan. Keadaan ini mewujudkan kem-kem di dalam UMNO dan itu akhirnya bertukar menjadi noises dalam tumpuan Mahathir untuk bekerja demi Melayu, Islam dan Negara. Gelagat Anwar dan keresahan di kalanagn para veteran UMNO saya kira mulai memesongkan focus Mahathir. Keadaan ini akhirnya menimbulkan really pain in the neck bagi Mahathir. Cita-cita besar Anwar menjadikan dia tidak sabar dan sedia untuk "membunuh". Dan hakikatnya, jika PAS adalah 'anak kecil buat Mahathir", pastinya dia juga telah lama berhati-hati dan bersedia untuk berdepan dengan Anwar secara langsung. Sept 1998 (?) adalah langkah membunuh Mahathir terhadap Anwar. Mahathir pernah membungkam Iron Lady Dunia, inikan pula "anaknya" sendiri.

(13) Bila Malaysia dunia malukan sebagai Negara Kleptokrat - "Darul Penyamun", dan Melayu sepertinya dihina di serata dunia, seperti saya nyatakan awal tadi, Mahathir melihat kebersamaan dengan Anwar boleh membantu dia untuk mengembalikan Malaysia ke martabat Harimau Asia dan bukan Negara Kleptokrat. Sekali lagi Mahathir bersama Anwar untuk menumbangkan Najib, sepertinya dulu-dulu Mahathir mampu memencilkan PAS lewat bersama Anwar. Mereka berjaya. Namun perangai lama Anwar berulang kembali. Sekali lagi sejak 10 Mei, 2018 sehingga 22 Feb 2020 Anwar menjadi duri dalam daging bagi Mahathir. Anwar secara langsung atau tidak terus-terus menuntut agar dirinya diangkat menjadi Perdana Menteri. Sedang Mahathir merasa dia masih perlu bertanggungjawab utk mengembalikan martabat Melayu, Islam dan Negara yang sudah tercemar parah. Focus Mahathir untuk membina semula Melayu, Islam dan Negara agak bercelaru sehingga pada 24 Feb 2020 beliau meletakkan jawatan. Politik dan pengurusan Negara terus bergolak. Ramai yang bertanggapan, jika pada 24 Feb 2020, Mahathir tidak meletakkan jawatan tetapi menyerahkannya kepada Anwar, pasti segala-galanya reda.

(14) Sesungguhnya dengan "perlencongan" Muhhyidin dan Azmin pada 22 Feb 2020 lewat langkah Sheraton, telah menjadikan Parlimen Malaysia dalam keadaan tergantung Hanging Parliament. Dalam keadaan Parlimen Tergantung, kedua-dua belah pihak adalah 50:50 dan tiada pihak mahu menyerah kuasa, jadi apa pilihan Mahathir? Serah kepada Anwar? Dalam keadaan 50:50; Anwar-Lim Kit Siang-Mat Sabu di satu pihak dan Zahid-Hadi-Wee di pihak lain, "agak-agak" tidak bergelegakkah air di kolam? Sesungguhnya, kebijaksanaan Mahathir untuk terus berundur dan tidak menamakan penganti dan membiarkan kepada DYMM untuk memutuskan siapa PM selepas beliau adalah terbaik. Setidak-tidak "Kerajaan DYMM" tidak boleh dicabar melainkan melalui proses di Parlimen. Dan di Parlimen, Mahathir dapat membuktikan bahawa jikapun Anwar beliau namakan sebagai PM, namun Anwar akan hanya menjadi PM sebentar sahaja walaupun dibiarkan kepada Parlimen dan atau PRU segera. Negara pasti kucar kacir lebih parah.

(15) Sesungguhnya, apapun sikap Mahathir kepada Anwar, ditatang bagai minyak yang penuh dan atau ditentang tendang, saya berkeyakinan Anwar tetap menjadi duri dalam daging bagi dirinya yang mahu merobah Melayu, Islam dan Malaysia yang hebat selagi Anwar kekal bersikap "mee maggie segera". Kini Mahathir memilih untuk BERJUANG bebas, biar tanpa Siddique yang juga saya lihat sebagai membebankan Mahathir, maka syabas saya ucapkan kepada Mahathir. Sesungguhnya memperjuangkan nasib bangsa (Melayu) yang lemah tidaklah mudah. Memperkasa Yahudi Pariah dan Quraish Jahilliah "memerlukan" Allah turun tangan secara jelas lewat segala Nabi dan Rasul dalam menjayakannnya. Melayu tiada Nabi dan Rasul, maka Mahathir harus kekal menjadi Negarawan yang kental berjuang untuk Melayu, Islam dan Negara ini.

(16) Sehingga kini, saya belum ada keyakinan bahawa Anwar akan mampu mententeramkan politk Negara apa lagi memacu ekonomi Melayu, Islam dan Negara. Silap-silap Anwar akan menjerumus Malaysia terus ke kancah polimik dan keresahan psikologi hebat.

Kuching, Sarawak
8 Sept, 2020

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.