.

1/12/19 BERLABUH 2019 MENSIRNA 2020 - Anwar a Factor?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - December 31, 2019

Share

& Comment

Wawasan 2020 telah dilancarkan pada 28 Febuari 1991. Ianya merupakan kesinambungan dan anjakan kepada DEB yang bermula pada 1972 sehingga 1990. Kecapaian DEB pada 1990 adalah jauh dari sasarannya khasnya dari segi penglibatan golongan Bumiputera dalam bidang apapun. Sebetulnya, dalam tempoh DEB 1972-1990, tumpuan Kerajaan lebih menjurus kepada bidang pembangunan ekonomi luar bandar dan pendidikan di kalangan Bumiputera. Dari sudut pembangunan ekonomi luar bandar, kejayaan hanya dapat dilihat bila ianya berunsur koprat melalui Felda, Felcra, Risda, bahkan Pembangunan-Pembangunan Wilayah seperti Kejora, Kada, Mada, Muda dan Kemubu. Selain itu, ekonomi luar bandar kekal hanyut. 

(2) Sejak 1972, dengan perkembangan hebat MARA, khasnya dengan pembinaan Sekolah-Sekolah Sains, Maktab Rendah Sains MARA serta Sekolah-Sekolah Agama Khas di samping Sekolah-Sekolah Asrama Penuh tradisional serta dengan adanya Kolej-kolej Matrikulasi dan Asasi Sains di universiti-universiti awam tempatan dan hantaran berterusan anak-anak Bumiputera untuk belajar ke luar Negara, kecapaian sebenar DEB adalah dalam bidang pendidikan. Dengan perubahan ketara bidang pendidikan di kalangan Bumiputera adalah faktor sebenar kepada perubahan mendadak demografi Bumiputera. Mahathir dari 1981 sehingga 1990 telah menyediakan asas perubahan terbaik kepada penstrukturan demografi Bumiputera yang telah dimulakan oleh DEB 1972 Abdul Razak Husein.

(3) Atas perubahan demografi Bumiputera, menyaksikan kadar penghijerahan ketara Bumiputera ke kota-kota di seluruh Negara. Apa lagi dengan Wawasan 2020, Negara beralih tumpuan dari penumpuan pembangunan ekonomi luar bandar asas pertanian kepada industri moden di bandar-bandar dan kawasan-kawasan khas. Semua ini merubah deras pola demografi Bumiputera dan akhirnya bagi seluruh Negara. Kalangan Bumiputera melalui institusi-institusi yang di swastakan hebat oleh Mahathir sudah mula mampu bersaing hebat bersama kalangan bukan Bumiputera. Sime Darby yang sebahagian besar dibiayai oleh PNB contohnya mampu menjadi gergasi utama dalam pelbagai bidang dari perladangan kepada perindustrian dan malah perdagangan. Sama halnya dengan Felda, Tabung Haji malah Telekom Malaysia. Sesungguhnya bagi tempoh 1991-2003, Mahathir adalah faktor kepada perubahan mendadak demografi Negara.

(4) Ada pihak melabel Mahathir sebagai faktor bagi segala apapun yang berlaku di Malaysia. Rasuah mengila kerana Mahathir. Ajaran Islam sonsang kerana Mahathir. Kebebasan tidak terbatas, juga kerana Mahathir. Pendeknya, apapun kebejatan di Malaysia semua kerana Mahathir. Lantaran itu maka Mahathir digelar MahaFiraun, Bapak Penyamun, Bapak Perompak dan bahkan Perosak Islam. Apakah itu benar atau itulah mainan politik Melayu makan Melayu? Tidak ramai, melainkan mereka rakyat Indonesia, Brunei, Filipina, Afrika, Arab dan dunia lainnya melihat Mahathir sebagai Kuasa Merubah Taraf Malaysia. Bagi "rakyat Malaysia" mereka melihat Mahathir sebagai dogma kerosakan Malaysia mengikut jalan cerita kegilaan kuasa

(5) Setelah berada di luar Kerajaan dari 31 Oktober 2003 sehingga 9 Mei 2018, kini 10 Mei, 2018 Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau kini bukanlah Mahathir dalam UMNO. Di dalam UMNO, Mahathir sentiasa menguasai 3/4 dari kerusi Parlimen. Kini dia adalah PM dari parti paling corot di dalam Pakatan Harapan PH. Maka lantaran itu aura Mahathir kini jauh lebih lemah dari semasa beliau berkuasa dari 20 Febuari 1981 sehingga 31 Okt., 2003. Mahathir kini perlu banyak mengambil sikap bertolak ansur malah membiar. Namun, saya tetap yakin, Mahathir adalah Mahathir. Dia sentiasa berpunya cara tersendiri untuk menyelesaikan apapun. Anugerah Allah kepada Mahathir mengikut istilah orang Kedah, "dia mempunyai sifat-sifat hati kering". Mahathir tega berbuat apa yang dia mesti perbuat, dan In Shaa Allah demi Negara ini.

(6) Saya hentikan bicara saya tentang Mahathir. Marilah kita dilabuhan tirai 2019 dan di ambang 2020 cuba melihat hakiki semasa Negara. Tahun 2017-2018, saya berkira adalah tahun-tahun kemuncak kebencian rakyat kepada Barisan Nasional terutama Najib Razak. Terlalu banyak perkara yang "mencemarkan" Negara tidak dapat ditangani dengan baik. Harapan rakyat adalah perubahan sikap dan kepimpinan dalam Barisan Nasional, namun itu jauh panggang dari api. Lantas dengan kekal mengaum Mahathir, maka rakyat meletakkan harapan kepada beliau untuk merobah segala-gala. Keresahan hidup rakyat sebetulnya sudah bermula sejak 2005. Sejak 2005, ekonomi melata tidak rakyat rasakan. Pertumbuhan ekonomi sememangnya ada, namun kesan kepada rakyat pada keseluruhannnya tidak ketara. Ini semua lantaran Najib telah tersilap langkah dalam agenda pembangunannnya. Pertama Najib lupa akan perubahan mendadak demografi Negara. Kedua kebocoran dan penyelewengan terlalu berleluasa, sehingga segala-gala menjadi mahal dan payah. Kepayahan berterusan inilah akhirnya mengakibatkan rakyat terus terhimpit dan mula hilang arah. Lantas rakyat berkecelaru. Biar dalam soal-soal picisanpun rakyat jadikan isu yang membakar. Hari-hari Malaysia terbakar. Tukang kipas dan tukang simbah bahan api juga bertambah-tambah.

(7) Pada 9 Sept., 2016 Parti Pribumi Bersatu, Bersatu di bawah pimpinan Mahathir ditubuhkan secara rasmi. Pada 8 Januari 2018 Mahathir digendang sebagai harapan untuk menyelamatkan Malaysia. Bermula saat itu, harapan rakyat membara agar cepat pimpinan Kerajaan berubah dan sengsara rakyat juga mula berubah. Seperti diperakui, lantaran harapan rakyat adalah mengunung, dan untuk menantang gergasi yang telah berkuasa sejak 61 tahun, maka PH memuntahkan janji bulan dan bintang. Ini bukan soal janji tetapi adalah strategi ampuh politik semasa. Namun setelah hampir dua tahun berlalu, masalah ekonomi rakyat belum pulih. Kegelisahan rakyat terus mengakar, akhirnya rakyat mula merasa kecewa.  Rakyat dilanda kecewa. Kekecewaan ini bila dikipas hebat, kini mulai bertukar menjadi api kemarahan dalam pelbagai rupa. Sedang di peringkat Kerajaan, mereka sedang terkial-kial untuk memperbetul segala kebobrokan yang telah dilakukan oleh pemerintah terdahulu.

(8) Kita benar-benar dalam kemelut. 2018-2019 Malaysia berada dalam kemelut saikologi dan politik yang cukup jahat. Anwar-Rafizi dengan cara mereka yang terus gelojoh ingin berkuasa. Mahathir-Daim terus die hard dengan politik-ekonomi konservatif mereka. Akhirnya, PH terus bergolak hebat. Di pihak UMNO (dan PAS) pula, mereka sedar, DAP dan PKR adalah tunjang kekuatan PH. Lantaran itu, DAP harus dijadikan kambing hitam Kominis dan PKR dilihat sebagai lambang LGBT. Nafsu Anwar dan kelemahan DAP kian dijadikan modal untuk melenyapkan tumpuan Mahathir untuk menakhoda Negara keluar dari isu-isu kewangan, ekonomi dan sosial. Matlamat UMNO (dan PAS) adalah mudah, Mahathir harus dilemahkan dengan apa carapun. MCA, Gerakan dan MIC hanyalah penumpang sekaki dua. Sejak 2016-2019, Malaysia benar-benar bercelaru dari segi saikologi (dan politik). 

(9) Hakikatnya kepada saya, sejak 1998 Anwar adalah punca kemelut di Malaysia yang berpanjangan. Sikap gelojoh Anwar seperti belum dan tidak mungkin berubah. Kepetahan lidah dari kebijaksaan akal Anwar mendorong Malaysia ke jalan kemelut berpanjangan. Cuba fikir, tanpa gelojoh Anwar, apakah Abdullah dan Najib akan pernah menjadi Perdana Menteri. Tanpa mereka menjadi Perdana Menteri, di manakah Malaysia kini jika Mahathir sejak 1981-2020 adalah Perdana Menteri? Namun menjejaki Mahathir sejak saya di bangku sekolah (1976) sehingga kini, saya yakin, Allah memperpanjangkan hayat dan kecerdasannya adalah atas tujuan yang sangat mulia. Tahun 2020, Mahathir mensasar Malaysia akan menjadi Negara Maju, namun itu tidak mungkin. Namun jika Anwar dapat berubah sikap, lebih banyak diam membantu dari terus menjawab seronok berpidato bermimpi khayal akan persoal-persoalan geletek nakal saya yakin tahun 2020 adalah tahun asas bagi Mahathir untuk meletakkan Malaysia di landasan baik. Jika itu terjadi, In Shaa Allah menjelang 2021, rakyat Malaysia akan kembali dapat berjalan keluar hebat dari keresahan yang melanda. 

(10) Maka saya yakin jika DAP, PKR dan Amanah dapat lebih diam dan bekerja dari suka menjawab dan berbalas segala geletekan nakal UMNO (dan PAS), tahun 2020 adalah tahun Mahathir untuk membawa Malaysia ke mana Malaysia seharusnya. Jika itu berlaku baik, In Sha Allah tahun 2021 adalah tahun untuk rakyat Malaysia menuai kesabaran dan kecekalan dalam menangangi kebobrokan penghasilan Abdullah-Najib. Tahun 2022, iatu tahun PRU 15, Anwar pasti akan menerima kesan feel good of Mahathir departure seperti apa yang berlaku kepada Abdullah dalam PRU 11 pada 2004 bila mana rakyat memberikan Abdullah undian terbaik atas rasa to say sayonara kepada Mahathir dan To Welcome Mr Clean. Namun jika Anwar terus mengasak dan teruja dengan geletek nakal UMNO (dan PAS) dan memaksa Mahathir turun sebelum 2021, maka bersiaplah Anwar untuk kalah besar pada PRU 15 2022. Isu PKR LGBT, isu DAP Kominis, isu PH liberal tidak akan Anwar dapat tangkis lantaran ekonomi Negara terus kucar kacir jika Mahathir turun atas paksaan seperti yang berlaku bagi tempoh 1998-2003.  Bahkan Anwar pasti mendapat tentangan hebat dari dalam PKR dan Bersatu jika dia bermain api untuk cepat berkuasa. Saya yakin jika itu berlaku, isu yang perlu didepani Anwar akan bertambah-tambah termasuk melutut kepada IMF-Yahudi, dan isu-isu lain yang belum terbongkar. Saya tidaklah pesimistik tentang Anwar, cuma apa yang saya khuatiri adalah masa depan Negara. Jika kita lupa sumpah Allah terhadap masa dalam Wal Asri, maka timing yang jomplang pasti menghacurkan Negara.

(11) Maka biarkanlah tahun 2020 adalah tahun Mahathir dapat menjalankan tugasnya dengan penuh ketenangan dan tanpa gangguan dari dalam PH. Soal cabaran UMNO (dan PAS), saya yakin Mahathir ada gamenya tersendiri. Jikapun Mahathir tidak dapat membawa Malaysia ke Negara Maju pada 2020, namun setidak-tidak dia mampu memperbaiki serta meletakkan asas kukuh untuk kleptokrat tidak kembali bermaharajalela, dan bagi kepimpinan genersai baru pasca Mahathir untuk dapat membawa Malaysia ke jalan yang lebih kukuh dalam segala bidang dalam gaya yang lebih mantap dan amanah. 

(12) Selamat bekerja kuat penuh amanah semua. Semoga Allah mulai menanam rasa insaf sebenar dalam diri setiap kita.

Kuching, Sarawak
31 Disembar, 2019

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.