.

1/7/19 MENGURUS MELAYU SECARA MODEL YAHUDI PASTI MEMBAWA PADAH....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 17, 2019

Share

& Comment

Para Nabi seperti Yusuf, Musa, Daud, Sulaiman dan Isa telah Allah turunkan bagi membimbing bangsa Yahudi. Mereka berjaya pada waktu mereka. Namun pada saat mereka tiada, Islam pada Yahudi runtuh. Kenapa sepertinya, Yusuf, Musa, Daud, Sulaiman dan Isa yang berupa tokoh-tokoh kenabian yang sangat hebat gagal memantapkan keIslaman kaum Yahudi? Itu satu persoalan, dalam dunia Melayu apakah kias Allah di balik segala kegagalan ini? Atau dalam lain kata, apa tidak mungkin kita juga kini sebagai mana kita kini lantaran kita juga telah dan sedang ada Yusuf, Musa, Daud, Sulaiman dan Isa di kalangan kepimpinan kita? Bagaimana keadaan kita kini? Sangat baik atau sedang hanyut menuju gaung mematikan?

(2) Saya melihat dunia Melayu kini dalam resah tanpa arah. Melayu sedang kucar kacir. Keliru sebetulnya. Melayu sedang menuju jurang yang menghancurkan. Saya pernah menulis, jangan urus Melayu secara Sulaiman mengurus Yahudi. Melayu jangan dimanja, Melayu jangan ditantang, kerana itulah cara Sulaiman dan akhirnya Yahudi hancur bangsat. Dalam tulisan ini, saya cuba melihat bagaimana kita juga harus tidak mengurus Melayu secara jalannya Yusuf, Musa, Daud, Sulaiman dan Isa. Tulisan dalam Al Quran yang mengatakan "Setiap kaum Aku hadirkan Nabi dari kalangan mereka sendiri" harus kita kupas dan teliti secara meluas. Saya melihat, ada mirip cara pemimpin Melayu telah mengurus Melayu mengikut acuan para nabi yang saya sebutkan awal tadi. Saya yakin, Allah sengaja menurunkan para nabi dengan gaya pengurusan seperti itu kepada Yahudi pada masa itu, dan akhirnya menjadikan mereka tidak berIman kepada Allah mengikut cara dikehendaki Allah, kepada saya, bukanlah kerana Allah hanya tujukan kejadian itu kepada Yahudi, melainkan juga adalah untuk kita kini renung dan ambil ikhtibar. Samalah betapa kutukan Allah terhadap Yahudi termaktub kekal di dalam Al Quran sehingga Kiamat, bukanlah sekadar untuk Yahudi tetapi untuk kita perhati dan ambil ikhtibar. Dalam Melayu inilah apa yang mereka maksudkan sebagai pukul anak sindir menantu.

(3) Pada masa Yusuf, Yahudi telah dibenarkan untuk terlibat dalam segala bidang perekonomian Mesir khasnya dalam pertanian dan perdagangan sehingga kaum Yahudi menjadi sebegitu makmur aman sejahtera lalu dapat menguasai ekonomi Mesir. Yusuf berjaya menukar Yahudi dari bersifat malas, peminta sedekah nomadic kepada penduduk kekal dan berkembang setempat. Mesir dan Yahudi berkembangan seiringan, sehingga bila kekayaan melimpah, kemewahan mulai menguasai nafsu, Yahudi akhirnya bertukar tamak haloba. Mereka menguasai segala-galanya seperti juga Yahudi pernah lakukan di Jerman dan negara-negara Scandinavia lainnya. Inilah yang menjadi titik mula perselisihan Yahudi dan rakyat biasa Mesir dan akhirnya dengan Firaun. Iman Yahudi kepada Allah hanyalah sandaran terbaik untuk Firaun bertindak untuk mengerakkan seluruh rakyat pribumi Mesir untuk merayah Yahudi. Hakikatnya, tamak haloba adalah penyebab sebenar Yahudi dibenci Firaun. Itu semua telah menjadi sejarah. Namun, apa pengertian terkini pada sejarah tersebut, itu lebih utama untuk umat Melayu teliti.

(4) Siapakah tokoh Melayu yang telah mengurus Melayu seakan-akan mengikut acuan Yusuf? Saya melihat, Abdul Razak Husein ie bapa Abdul Najib telah berbuat sebegitu. Projek-projek perairan di Kelantan, Trengganu, dan Kedah semua terbangun semasa beliau. Sebegitu juga penempatan Felda di Pahang, Trengganu, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak, semua terbangun oleh beliau. Apa saja beliau bangunkan termasuk SEDC, MARA, LPN (sekarang BERNAS), FAMA, RISDA, MAJUTRENAK, LKIM, UDA, PERNAS, Bank Bumiputera, PETRONAS dan bermacam-macam semua khasnya untuk Melayu. Razak benar-benar menatang Melayu bagai minyak yang penuh. Alhamdullilah Melayu berjaya. ITM contohnya paling ramai melahirkan tenaga kerja Melayu berkemahiran. Sebegitu juga segala politeknik yang beliau dirikan. Melayu kian membanjiri bidang tenaga kerja mahir dan professsional di seluruh Negara. Abdul Razak benar-benar telah meletakkan asas kukuh bagi kemajuan Melayu. Kerja-kerja Abdul Razak mirip dari kesan mimpi Firaun tentang tujuh ekor lembu dan tujuh butir gandum yang ditafsirkan oleh Yusuf agar Firaun mengerakkan rakyatnya untuk bekerja keras membangun sektor ekonominya. Selepas Razak meninggal, Husein Onn yang mengantikan beliau agak lemah atas masalah kesihatan dsbnya. UMNO mula bergolak dalam diam bila Husein Onn melantik Mahathir Muhammed seorang junior sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bila Mahathir naik jadi Perdana Menteri perang dalam cawan kopi jadi perang saudara terang-terangan di dalam UMNO

(5) Fitrah Mahathir, dia hanya hebat jika diasak dengan segala macam cabaran. Cabaran menjadikan pemikiran Mahathir ligat. Dengan ligat berfikir, Mahathir sebagai fitrah dan lumrah para saintis, mereka selalunya menemukan sesuatu yang lain dari tiori kebiasaannya. Alhamdullilah, keluarbiasaan inilah menjadikan Mahathir hebat dalam menghadapi segala cabaran. Sesungguhnya, di zaman Yahudi Mesir, sebegitulah kehebatan Musa yang Allah berikan. Musa sering melakukan kelainan dalam menghadapi cabaran para Firaun. Sehingga akhirnya Musa memiliki magic yang tiada tandingnya. Tongkat Musa mampu menelan segala ular ahli sihir Firaun. Musa mampu mengalah dan memusnahkan bala tentera Firaun dengan membelah Laut Merah. Musa mampu menerbitkan mata air dari batuan. Musa juga mampu mendatangkan Mana dan Khana sebagai makanan Yahudi di Sinai yang gersang. Musa adalah antara Nabi yang berpeluang berbicara terus dengan Allah dan mendatangkan segala perintah Allah dalam kalam yang jelas tablets. Musa adalah Nabi penyelamat Yahudi. Namun Musa gagal membawa Yahudi ke Baitulmuqadis, lantaran Yahudi adalah pengecut biar Musa berpunya apa saja mukjizat yang boleh memenangkan mereka. Selepas Musa (ratusan tahun) timbul Daud. Daud adalah Nabi Yahudi yang sangat hebat kemahirannya. Beliau adalah tukang besi yang sangat handal. Lantaran itu beliau mampu mempersenjatakan Yahudi untuk berperang dan akhirnya menguasai Baitulmuqadis. King David menjulang kekuasaan Yahudi di Baitulmuqadis. Beliau berani mengajak Yahudi yang timid pengecut untuk gagah menantang kaum Canaan. Daud dapat membina Kerajaan King David yang makmur dan aman di Baitulmuqadis yang dulu hanyalah kawasan tandus kering kontang pada zaman moyangnya Yakub dan Ibrahim. Sesungguhnya, sebegitulah Mahathir. Di pentas manapun, beliau cukup berani. Keberanian beliau melonjak semangat juang Melayu. Mahathir akhirnya dengan pelbagai usaha Institutional Strengthening khasnya melalui usaha-usaha pengkopratan telah mewujudkan kebajiran professional Melayu yang hebat-hebat ilmu pengurusan dagang dan industri mereka. Mahathir berjaya meletakkan batu asas untuk Melayu terus berjaya dan gagah. Kejayaan Mahathir adalah berasaskan segala batu asas yang telah Abdul Razak bina. Samalah, kehebatan Daud lantaran Musa telah dapat menyatu dan menyelamatkan Yahudi. Paling penting, di masa Musa, Taurah secara bertulis telah Allah datangkan kepada Yahudi. Cuma Melayu biar di zaman Razak apa lagi Mahathir, mereka kian terpisah, yang professional tetapi susut Imannya, yang tebal Imannya, ilmu dunianya memudar. Manusia-manusia Melayu menjadi manusia-manusia yang mulai kusam tujuan hakiki hidup mereka. Ada Ilmu tiada agama. Ada agama tiada ilmu.

(6) Di manakah kegagalan Daud? Jika dikaji sejarah Yahudi, Daud hanya membina sebuah "Masjid" di zamannya. Itulah apa kini disebut sebagai Temple of David. Saya berkira, dari pembacaan yang sangat terhad sumber rujukannya, Daud pada masanya terlebih sibuk memperkuatkan kebendaan Yahudi sehingga keImanan mereka kurang diasah. Maka menyedari akan kemungkinan musnahnya Yahudi selepas beliau, maka beliau berdoa kepada Allah agar Nabi selepas beliau haruslah jauh lebih hebat dari beliau. Samalah dengan Mahathir, lantaran keingian membuak-buaknya untuk melihat Melayu maju jauh, soal-soal keImanan Melayu menjadi secondary. Para pensyarah di universiti tempatan bekerja keras untuk melahirkan ramai professional Melayu. Kita juga menghantar ratus ribuan anak Melayu keluar negara untuk tujuan sama. Namun, professional Melayu tidak dikukuhkan keImanan mereka. Pendidikan Islam dan professionalisma terasing malah terpisah terus. Bedanya, selepas Daud ada Sulaiman yang juga tebal Imannya kepada Allah dan dia juga adalah professional handalan. Benar Sulaiman berusaha keras untuk menebarkan Islam sehingga Jinpun menjadi media beliau untuk mengIslamkan puteri Balqis dari Yaman. Namun sejarah Yahudi menjelaskan betapa Sulaiman terlalu memanjakan Yahudi. Yahudi mendapat apa saja yang mereka mahu. Bahkan untuk membantu Sulaiman, Allah memberikan beliau segala kekuasaan yang beliau perlukan sehingga para jin, angin, binatang dsb were at his disposal. Namun selepas Sulaiman, kemewahan Yahudi tidak dapat mempertahankan keImanan dan kekuasaan mereka. Mereka kemudian berpecah dan terus terpesong menjadi Yahud dari menjadi Muslim.

(7) Selepas Mahathir, Abdullah seem to be great namun akhirnya hanyut oleh professionalist Melayu yang kian tamak haloba. Nasib Abdullah hanyalah sebagai seat warmer. Beliau digantikan oleh Najib. Najib merupakan Perdana Menteri yang sangat beruntung. Pertama asas-asas utama telah Abdul Razak sediakan dan rakyat terima. Kedua, asas-asas ini kemudian Mahathir telah perbaiki, juga kesan meluasnya sudah ketara. Melayu berwawasan dan pemberani sudah mulai tumbuh hebat. GLC-GLC pimpinan Melayu berpunya limpahan dana yang meruap. Semua ini menjadikan kerja-kerja Najib harus menjadi lebih mudah dan teratur. Namun, kerana kedua-dua Razak dan Mahathir telah tidak membina tembok Iman tebal di kalangan professional Melayu, maka mereka atas sifat keterbukaan Najib telah menjadi ibarat kaduk naik junjung. Professional Melayu kian lupa tentang tanggungjawab mereka kepada Bangsa, Agama dan Negara. Mereka menghambat kejayaan koprat dari kejayaan masyarakat dan Islam. Jatidiri mereka, tertonjol sebagai watak koprat hebat-hebat, dan bukan watak insani yang Islam dan Melayu tuntut. Akhirnya, Negara bergelumang rasuah dan salahguna kuasa. Seperti juga Yahudi di zaman mewah Sulaiman, mereka terbiasa dengan hamburan rezeki mudah maka, korban mulanya adalah Negara dan akhirnya rakyat sendiri. Empayar Yahudi Sulaiman punah lantaran Yahudi menjadi terbiasa dengan dedak sehingga Sulaiman terpaksa mengawasi mereka biarpun setelah menjadi jenazah.

(8) Secara ringkas, Al Quran memaktubkan kutukannya terhadap Yahudi pasti ada hikmah besarnya. Sebegitu juga, Al Quran menjelaskan secara teratur para Nabi dan Rasul Yahudi dari Ibrahim sehingga ke Sulaiman, juga pasti ada hikmah besarnya. Dan bagi saya, bila Al Quran membuat caution betapa kita jangan sekali-kali menjadikan Yahudi, Nasrani dan Majusi sahabat pasti berpunya maksud lain dari yang kebiasaan kita dengar dan maklum. Sesungguhnya, Model Yusuf bukan sekadar untuk Yahudi tetapi juga bangsa lain ie Mesir. Ianya kekal baik dan berterusan sehingga kini. Yusuf mengemukakan Model Pembangunan Seimbang Luar Bandar dan Bandar serta pengukuhan institusi. Model sebegitu sangat baik untuk Melayu seperi Abdul Razak telah buktikan. Model Daud juga adalah baik untuk mengeluarkan kaumnya dari bersifat bacul. Daud mepersiapkan bangsanya. Sebegitulah Mahathir. Namun, bila Melayu terlalu terkut-ikut akan nikmat hidup mudah, lewat pelbagai handout maka kita juga pasti hanyut seperti Yahudi selepas Sulaiman. Model Sulaiman hanya terbaik jika everything is at our disposal, which is impossible. Allah tidak mengubah apapun, melainkan tangan kita sendiri. Itu telah Allah maktubkan di dalam Al Quran selepasnya Sulaiman dan bahkan Isa. Itu setakat cara yang saya perhatikan, bagaimana kita telah mengurus Melayu sehingga kini.

(9) Dan kini sedang wujud satu fenomena baru (lama juga sebenarnya) dalam cara kita mengenengahkan kaedah alternatif untuk mengurus Melayu. Kita sedang mengurus Melayu secara rhetoric menyeru kepada Islam. Di mana-mana kita sedang disumbat dengan seruan ikutlah Islam. Saya tiada masalah dengan ajakan agar kita patuh kepada cara Islam. Itulah tuntutan hakiki ke atas kita. Yang saya persoalkan adalah cara kita mengenengahkan seruan itu. Di sini sekali lagi saya ingin membawa Model Yahudi. Isa Allah turunkan untuk memperbetulkan keagamaan Yahudi yang telah menyimpang. Agama bawaan Ibrahim sehinggalah ke Sulaiman adalah Islam, bukan agama Yahudi Judaism ie hanya dan untuk Yahudi. Agama bawaan Ibrahim sampai Sulaiman adalah agama sejagat. Namun, Yahudi telah menjadikan agama bawaan Ibrahim ke Sulaiman sebagai agama khusus untuk Yahudi. Lain-lain adalah kafir yang tidak layak beragama Yahudi. Isa diutus untuk memperbetulkan itu. Namun cuba teliti Bible dan Sejarah Nasrani, Isa hanya digambarkan sebagai preacher, penyeru. Isa gagal menyeru Yahudi agar kembali kepada Islam. Malah Yahudi "membunuh" beliau. Soal Isa per se itu soal lain. Persoalan atau kias yang ingin saya utarakan adalah, apakah "kegagalan Isa" itu bukankah rencana mahabijak Allah? Tidakkah, dengan menjadikan Isa "gagal" itu bukan cara Allah menghendaki kita untuk berfikir, betapa jika sekadar menyeru dan tanpa bukti kejayaan maka seruan kita akan sekadar masuk angin keluar asap. Kini, Hadi Awang yang cuba menonjolkan dirinya sebagai alternatif pemimpin Melayu sedang secara rhetorik ke hulu ke hilir melaung-laungkan pilihlah PAS kerana PAS adalah pembela Melayu dan Islam. Persoalan saya, di mana pembuktian modenis Hadi tentang perihal perjuangan PAS. PAS tetap kucar kacir. PAS telah banyak mengelirukan Melayu. Islam Melayu jadi celaru kerana PAS. Kelantan, Trengganu, Kedah, Perak (dan Selangor) pernah ditadbir PAS maka apakah hebatnya negeri-negeri ini berbanding negeri-negeri lain dalam Malaysia?

(10)   Sesungguhnya, bila Allah pada 20 Dzul Hijjah (?) menurunkan Ayat Al Maidah 5:3 bermaksud Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu... bagi saya adalah pemasyuranNya tentang kemuliaan kerja dan kedudukan Muhammad SAW berbanding para Nabi dan Rasul lainnya. Allah memperakukan bahawa Model SAW adalah terbaik untuk sepanjang zaman dan sejagat. Model beliau adalah jelas pragmatik dan menyeluruh. Saya tidak dapat menulis Model ini secara panjang lebar di sini, cukup jika saya berikan bayangan akan konsepnya. Hijrah adalah asas kepada kejayaan Muhammad. Hijrah adalah perentah Allah kepada SAW agar memerdekakan dirinya dari segala kemelut Jahilliah Mekah. Muhammad SAW mulanya membebaskan dirinya dari cengkaman konvesyenal Jahilliah. Bila sampai di Quba sebelum memasuki Yathrib, beliau membina Masjid Quba. Sama juga bila sampai ke Yathrib, beliau mendirikan Masjid. Kenapa Masjid dulu dan bukan rumah atau Istana sepertinya Daud dan Sulaiman? Pasti banyak tafsirannya. Namun kepada saya, bagi Muhammad SAW, bukti kebendaan adalah penting. Dari Masjid beliau berdakwah, mendidik, mengurus dan kawalselia segala-galanya. Mendirikan Masjid adalah simbol gerak kerja Muhammad selanjutnya. Dari Masjid beliau kemudian membina Bazaar lalu perkampungan atau kota. Muhammad membina kejayaan-kejayaan fizikal sebagai lanjutan kepada segala seruan beliau. Pendeknya, beliau tidak hanya menyeru tetapi menunjukkan teladan membina. Maka benarlah apa kata Aishah "Muhammad adalah Al Quran dan Al Quran adalah Muhammad SAW"
. Muhammad SAW mengota menunjuk teladani apa yang beliau katakan. Dan berbeda dengan Model para Nabi dan Rasul Yahudi, Muhammad membina bukan sekadar bukti fizikal tetapi juga cekal dan kental dalam membina jati diri Islam kepada semua pengikutnya. Muhammad tidak sekadar rhethoric tetapi pengamal dan pengembang. Sesungguhnya di sinilah bedanya antara agamawan kini khasnya yang menceburi politik berbanding Muhammad SAW. Muhammad SAW adalah praktis, sedang mereka adalah sekadar rhetoric.
(11) Maka SubhanaAllah, untuk pusingan kali kedua, saya berdoa agar Mahathir tidak terikut-ikut Model Pembinaan Melayu ala para Nabi dan Rasul Yahudi tetapi cubalah mendekati Model Muhammad SAW. Saya yakin Yaakub-Isa hanyalah untuk Yahudi. Sedang Muhammad SAW adalah untuk manusia sejagat. Islam bawaan Muhammad SAW telah Allah istiharkan sebagai agama sejagat. Sesungguhnya, lantaran  usaha beliau telah Allah maktub terima seperti dalam Al Maidah 5:3, dan jika itu cara kita, Is Shaa Allah Melayu akan perkasa. Kita harus memilih cara sejagat ie universal berbanding tradisional atau konvesyenal biasa.

Kuching, Sarawak
18 Julai, 2019

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.