.

1/1/19 JURANG KAUM MEMBANGKITKAN S4S .... apa model S4S kita?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - January 03, 2019

Share

& Comment

Sarawak pada asalnya adalah sebuah wilayah menganjur dari pedalaman Bau sehingga ke persisiran Samarahan. Dalam geografi moden, Sarawak asalnya mungkin satu wilayah di sebelah Barat Laut Borneo yang meliputi kawasan dari Tg Po di Sematan sehinggalah ke Muara Tuang, Samarahan. Sejarah awal Sarawak, seperti juga Sejarah Melayu pada keseluruhannya, adalah Sejarah Lisan. Sukar ditemukan Sejarah Bersurat bagi Sarawak Asal. Mungkin kesultanan Johor, Brunei dan Sambas ada menyimpan tulisan-tulisan mengenai Sarawak di sekitar kurun ke 10-19. Inilah tiga kesultanan yang ada peranan jelas mereka di Sarawak di sekitar kurun ke 13. Sebelum itu, mungkin kita perlu mengkaji Museum Buddha atau Hindu di India untuk melihat kemungkinan adanya catatan tentang Sarawak. Awal dari kurun ke 10, tiada siapa yang tahu, kecuali mungkin di Museum China dalam Dinasti Tang, Song, Yuan dan Ming pada kurun ke 8-10. Lantaran lowongan ini, di masa-masa mendatang, adalah sukar untuk Melayu Sarawak untuk mempertahankan hak mereka bersandarkan kaedah-kaedah moden ketentuan Barat. Maka wajar bagi masyarakat Melayu Sarawak untuk mulai menulis dan mengumpul bahan-bahan sejarah sahih sebagai khazanah rujukan anak-anak bangsa di masa depan. Peranan Kurator Museum Sarawak yang gah di masa depan harus kita Melayu Sarawak ambil perhatian berat.

(2) Namun sebegitu dikisahkan pada kurun ke 10-13, Sarawak pernah dijajah oleh Kerajaan Buddha Srivijaya di Sumatera. Lantaran itu, berlaku penghijerahan masyarakat Melayu Sumatera ke Sarawak dalam tempoh itu. Kemungkinan nama Kampung Lidah Tanah, Tupong dsb ada unsur-unsur budaya Sumatera di sana asalnya. Kemudian dengan hancurnya Srivijaya, maka muncul Kerajaan Melayu Temasik (Johor Lama) yang kekuasaannya menebar sehingga ke Sungai Sarawak. Namun dengan kebangkitan Kerajaan Majapahit, Kerajaan Temasik dikalahkan dan melalui Majapahit masyarakat Jawa pula hijerah dan berkuasa di Sarawak. Perkampungan seperti Surabaya, Samariang, Kampung Jawa (asal sekitar Masjid dan Brooke Dock Yard lama), dsb adalah bekas-bekas sejarah ini. Datuk Merpati Jepang (dari Jawa) di kisahkan hijerah ke Sarawak pada kurun ke 15 dan melahirkan kalangan perabangan di Sarawak. Jika ini benar, maka, kalangan pembesar Sarawak adalah berasal dari hibrid Sumatera-Jawa.  Kemudian keruntuhan Majapahit, telah mewujudkan Kerajaan-Kerajaan Islam Melayu di Sumatera dan Malaya termasuk pemulihan Kerajaan Lama Johor (Temasik). Begitu juga Islam telah menguasai Kesultanan Brunei. Melalui hibrid Kerajaan Melayu Johor dan Kesultanan Brunei, Kesultanan Brunei kemudian menguasai Sarawak sejak 1476.

(3) Walaubagaimanapun dari Modul Sejarah Barat, Sarawak hanya wujud pada 1537. Dengan perkembangan Revolusi Industri dan kedahagaan Barat untuk mengumpul sumber bagi mendokong Revolusi Industri telah membawa penemuan Antimony di Bau pada 1826. Bermula 1835, bibit-bibit pemberontakan terhadap Kesultanan Brunei bermula. Sejarah Sarawak terus terbangun selepas dari itu. Sejarah juga mencatatkan bahawa Kuching adalah Ibu Wilayah Sarawak ke tiga di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Shah Brunei pada 1827. Sebelum itu Ibu Wilayah Sarawak adalah Santubong di bawah pemerintahan Sultan Tengah juga dari Brunei pada 1599 dan Lidah Tanah di bawah Pengeran Patinggi Ali pada 1820an.  Kesultanan Brunei menyerahkan Sarawak  kepada Brooke pada 1841 di atas jasa beliau dalam mengendurkan pemberontakan di wilayah itu. Sebelum 1841, nama Sarawak dan Kuching adalah saling bertukar ganti.  Sarawak adalah Kuching dan Kuching adalah Sarawak. Sebelum 1841, Sarawak adalah apa yang dinamakan sebagai Kuching pada masa ini. Atas sebab itu, Sungai yang membelah Bandaraya Kuching dinamakan Sungai Sarawak. Bila Brooke menguasai Kuching (asalnya melalui pajakan bernilai P500 dari Muda Hashim) iaitu Sarawak pada masa itu, beliau terus memasukkan lain-lain wilayah taklukan dan pajakannya (Limbang) ke dalam Sarawak dan mengekalkan nama Kuching sebagai nama Bandar Kuching.  Sejak 1841 sehingga kini, Kuching terus kekal sebagai Ibu Negeri Sarawak.

(4) Sarawak kini meliputi dari Sematan, di Lundu sehingga Merapok, di Lawas. Secara am, penduduk Sarawak dan wilayah-wilayah jiran seperti Sabah, Brunei dan Kalimantan adalah bersamaan dari segi sosok budaya dan kependudukannya. Mengikut sebahagian tulisan sejarah lisan, penghijerahan khususnya masyarakat pribumi bukan Melayu ke seluruh Sarawak (malah Borneo) adalah akibat peralihan budaya animisma, Buddha, Hindu dan Islam. Sebelumya iaitu pada era anismisma, semua etnik di Borneo adalah "saling berdekatan" di persisiran. Mungkin keadaan sosial pada masa itu setara dengan keadaan sebilangan etnik Papua New Guinea kini. Islam yang berkembang secara meluas sejak abad ke 13 telah memberikan kesan yang sangat ketara dalam mengantikan Buddha dan Hindu khususnya di kalangan masyarakat Melayu dan persisir lainnya. Islam juga kian meresap ke dalam golongan pribumi animisma lainnya. Sejumlah besar masyarakat Dayak di Kalimantan Barat, Selatan dan Timur telah kembali kepada Islam. Namun sebahagian besar dari kelompok pribumi bukan Melayu lainnya masih kekal animisma.  Akibatnya, kalangan pribumi animisma ini atas faktor beda agama menyebabkan mereka mulai hijerah ke kawasan pedalaman sebagai jalan untuk mengelak kemunkinan pertelingkahan adat budaya dan agama. Pergerakkan hijerah puak pribumi bukan Melayu ini pastinya lebih menyansang arus sungai, berbanding dengan masyarakat Melayu yang memilih jalan laut sebagai jalur sebaran mereka. Pola hijerah dan taburan penempatan yang terpisah jelas ini, kekal sehingga kini. Keadaan ini, menjadikan penduduk pribumi bukan Melayu tersisih di pedalaman sedang masyarakat Melayu dan pribumi Islam lainnya (yang akhirnya meresap sebagai Melayu) lebih berbaur dengan segala masyarakat lain seperti Cina, India, Arab dan malah Barat membentuk pusat-pusat kota yang lebih maju. Keadaan ini, sehingga kini membedakan pola pembangunan di kalangan kelompok-kelompok ini.

(5) Kini ditokok oleh kemodenan, apa lagi akibat kelongaran dalam amalan susila budaya murni silam, para etnik di Sarawak kian jauh terpisah khasnya dari segi struktur sosialnya. Kita sedang menuju ke arah individualisma. Masyarakat ie rakyat dan Negeri adalah perkara terakhir yang kian banyak pihak perlu fikirkan. Tekanan ekonomi, sosial dan keagamaan kian memisahkan mencipta jurang hebat antara kita. Dengan kemasukan budaya politik tidak rasional dan tamak, kian memecah belahkan masyarakat yang sudah retak menanti belah. Akibatnya, rasa tidak puas hati sebilangan rakyat telah dipiutar belit sehingga terlahir slogan dan laungan Sarawak for Sarawak atau singkatnya S4S.

(6) Asalnya, tuntutan S4S adalah laungan DAP agar Sarawak berdiri merdeka dan bebas dari cengkaman Kuala Lumpur. Kenapa DAP ingin Sarawak merdeka? Jawaban nya mudah. Pertama-tama lantaran Sistem Pendidikan Dualisma Negara. Sistem pendidikan kita yang pincang, tidak menyatukan rakyat. Kedua, masyarakat Cina adalah masyarakat perdagangan dan industri. Tabii kalangan ini di mana-mana adalah mereka mahu bebas dalam melakukan apapun tanpa ikatan undang-undang yang ketat. Di Malaysia, kelompok ini perlu bersusah payah untuk menjadi kalangan perdagangan dan perindustrian berjaya. Melayu yang menguasai pentadbiran Negara dilihat sebagai penghadang kepada kebebasan yang mereka kehendaki. Maka untuk bebas merdeka, mereka mahu agar tidak terikat dengan sistem pentabdiran Melayu yang menghadang. Ketiga, dalam dunia kian menjadi sempit dari segi perdagangan, dengan perubahan sikap para pentadbir Melayu yang gemarkan rasuah, ini dilihat oleh kalangan pedagang dan industri Cina sebagai unwanted societies in my neighborhood. Sebaran amalan rasuah di kalangan para pentadbir Melayu telah menjadikan belanja untuk berdagang dan membina industri di Malaysia kian menjadi mahal dan payah. Tambahan DAP yang bercita-cita untuk mengembangkan pemerintahannya ke luar dari Pulau Pinang merasa tertekan dengan sikap Kerajaan Negeri dan Persekutuan (yang didokong Melayu) yang mengunakan kuasa Immigresen untuk menyekat mereka dari bebas berpolitik di Sarawak. Keresahan mereka kemudian diperkongsi oleh PKR dan PAS. Akibatnya, DAP dan PKR bergabung menyuarakan S4S sebagai helah mainan politik untuk kebebasan (@ kemerdekaan) Sarawak.

(7) Di sisi lain, lantaran pada masa lalu Kerajaan Negeri (GOS) dan Persekutuan (GOM) adalah didokong kuat oleh kaum Melayu, maka S4S telah diputar belit menjadi sesuatu yang berbau anti-Melayu. Bahkan kemudian telah ditakrif sebagai gerakan memerbahayakan kedudukan Melayu. BN yang arif dengan kaedah perang saraf Pasukan Keselamatan kita dalam memerangi Komunis, telah dengan bijak menggunakan kaedah yang sama dalam berpolitik. Malangnya, lantaran ketaksuban rakyat, permainan ini dijadikan lagu rasmi politik perkauman Negara. Namun bilamana BN telah tumbang, S4S sekali lagi diputar belit menjadi gerakkan Assabiyah Kenegerian. Politik tidak matang, tidak rasional dan tamak telah memutar belit banyak perkara sehingga menjadi medan kecelaruan dan kekerohan rakyat. Rakyat dihantui politik menakut-nakutkan agar mereka kekal dicucuk hidung, agar mudah diheret ke mana saja. "Ikan mudah dijala di air yang keruh" sebegitulah mainan politik kita selama ini.

(8)  Sesungguhnya, pola pembangunan di antara (inter racial) kaum pribumi di Sarawak tidak banyak bedanya. Golongan Melayu, yang rata-rata saya hitungkan sekitar 60-70 peratus "urbanised and pheriurban", masih kekal relatif rendah dan payah taraf hidup mereka. Dilihat pada gaya, mereka tampak jelas bergaya. Cuma cuba lihat pada kekuatan ekonomi mereka, saya yakin gaya tidak mengambarkan keupayaan sebenar ekonomi mereka. Saya yakin, Melayu adalah golongan yang sangat banyak hutang. Domestic Debt Melayu sangat mengerunkan. Jika dibuat bancian, saya yakin Melayu bandar punya hutang perumahan, hutang kenderaan, hutang perkakasan rumah, hutang kad kredit, bahkan segala macam hutang yang tak ketentuan. Di luar bandar, masyarakat Melayu juga terbeban dengan hutang kenderaan, hutang YAKIN, YAPEIM, TEKUN, AIM dsb, dan paling banyak saya kira berhutang dengan peniaga Pakistan. Tahap hutang individu Melayu saya kira jauh lebih parah dari Hutang Negara. Melayu di bandar atau pinggir bandar, biarpun mereka mungkin boleh mendapatkan khidmat kemodenan yang sedikit agak meluas, namun dari segi keupayaan untuk mendapatkan khidmat terbaik adalah sangat terbatas. In kerana, rata-rata struktur pekerjaan mereka adalah masih bersifat "kuli". Di Kampung-kampung, golongan ini masih banyak tersisih dan terpinggir. Kehidupan mereka belum sangat berubah dari tahun-tahun 1970an. Silapnya di mana? Hakikatnya, Melayu telah salah cara dalam mengurus Melayu itu sendiri.

(9) Sejak 1990an, kaum pribumi bukan Melayu, lantaran perubahan demografi dan tekanan hidup di luar bandar yang payah, kian banyak hijerah ke kota-kota seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Mereka seperti kalangan Melayu di awal 1960an, kini sedang bergelut di kawasan-kawasan setinggan, perumahan murah malah kolong-kolong. Jika diamati betul-betul, sektor-sektor yang dahulu dikuasai oleh orang-orang Melayu, kini kian diambilalih oleh mereka ini. Kehidupan mereka yang tertinggal di luar bandar, tetap sama terpencil dan terasing seperti kalangan Melayu luar bandar.

(9) Jika golongan pribumi bukan Melayu mendokong S4S bawaan DAP, bukanlah kerana mereka sebenar-benarnya mendokong. Sebetulnya, saya yakin DAP juga tidaklah bersungguh-sungguh tentang S4S Sarawak Merdeka. Semua hanya mahu penyisihan kehidupan mereka mendapat perhatian. Mereka ingin "merdeka" untuk bebas menentukan nasib sendiri di tangan mereka sendiri. Pokoknya, mereka inginkan untung nasib masa depan yang lebih baik dan terjamin. Sama juga bila kalangan Melayu merasa takut akan S4S. Mereka bukan takut untuk bebas merdeka. Mereka hanya tidak pasti tentang masa depan mereka. Pokoknya, semua terkait dengan nasib masa depan masing-masing. Namun biar semua inginkan masa depan yang baik, tetapi kenapa memilih dua jalan yang berbeda? Satu berjuang demi S4S untuk merdeka. Di sisi lain, menolak S4S.

(10) Bagi saya S4S boleh saja menjadi sesuatu yang terbaik buat Sarawak. Namun bagaimana konsep dan intipatinya, itu harus kita orang Sarawak rumus serta laksanakan dengan penuh bijaksana. In Shaa Allah akan saya sentuh kemudiannya.

(11) Yang ketara sangat berbeda struktur sosial kehidupan adalah antara pribumi dan masyarakat dagang-industri Cina. Seperti kebiasaan di seluruh Nusantara, masyarakat dagang-industri Cina mempunyai status sosio-ekonomi yang jauh lebih menjulang dari kaum pribumi. Mereka rata-rata menguasai 40-60 peratus dari kekayaan Negara masing-masing biar jumlah mereka mungkin cuma 10-30 peratus dari penduduk asli Negara berkenaan. Perhatilah, di mana-mana, samaada di Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar dan apa lagi di Malaysia, Filipina dan Indonesia, kelompok perdagangan dan industri Cina pasti jauh lebih maju dari kalangan pribumi. Mungkin sedikit agak berbeda di Brunei, namun sebegitu tetap kaum Cina jauh lebih ke depan dalam banyak hal. Sesungguhnya, peradaban China yang 5,000 tahun atau lebih ke depan dari kita, meletakkan mereka berada dalam keadaan lebih advantage dari kaum pribumi Nusantara amnya dan Sarawak khasnya. Temadun China Yang Tze telah wujud sejak 3,000-4,000 SM. China telah berdagang dengan India, Farsi, Mesir dan Eropah sekitar 3,000-4,000 tahun lebih awal dari Melayu. Seperti juga kaum Yahudi yang menerima Taurah dan Zabur 2,000-3,000 tahun lebih awal dari Arab, maka pastinya mereka berpunya ilmu yang jauh lebih ke depan dari bangsa Arab malah Barat (Nasrani). Keilmuan awal mereka meletakkan keilmuan berdagang dan industri jauh ke depan dari kita dalam apa hal sekalipun. Perkara ini, telah Allah perakukan di dalam Al Quran.

(12) Masyarakat dagang-industri Cina mula memasuki Sarawak sebagai boroh kasar di sektor-sektor industri terutama perlombongan dan perladangan. Lombong emas dan antimoni di Bau, saya kira adalah permulaan kepada kedatangan boroh dan industri Cina ke Sarawak. Kemudian, dengan Brooke mengusahakan perkebunan lada hitam, gambir dan ladang getah di Samarahan (Dahan), Matang dan Sg Cina, maka lebih banyak lagi boroh Cina dibawa masuk. Di 1930an, dengan perkembangan indusri sagu dan pembalakan, maka lebih banyak boroh dan pengusaha Cina di bawa masuk ke daerah-daerah persisiran. Pada 1841, penduduk asli Sarawak hanyalah sekitar 8,000 orang. Following various immigration schemes initiated by the Rajahs, the population increased to 150,000 in 1848, 300,000 in 1893, 475,000 in 1933, and 600,000 in 1945. Boroh-boroh ini mudah didisiplin dan dikawal berbanding anak-anak watan. Maka dengan perkembangan sektor industri, maka semakin ramai mereka dibawa masuk untuk mengusaha perusahaan Brooke (dan British kemudiannya). Brooke memperkuda boroh dan usahawan Cina dalam dagangan luar negara. Ada simbiosis kukuh antara Brooke dan masyarakat Cina ini. Makanya, masyarakat Cina terus merdeka dominen dalam urusan perdaganagn dan industri. Sedang di sisi lain, Brooke "memerdekakan" kelompok pribumi untuk berbuat apa mereka mahu secara tradisi. Oleh itu, di zaman Brooke, masyarakat pribumi Sarawak kian terasing dari segi sistem ekonomi terbuka dan keusahawanan komersil. Kaum pribumi bukan Melayu, tersisih dengan budaya saradiri di pedalaman; dan sebilangan masyarakat Melayu pula meresap secara merangkak ke dalam sistem pentadbiran dan ekonomi moden yang terhad. Brooke membina Sistem Ekonomi Dikotomi di Sarawak antara Pribumi dan Cina. Dalam kalangan pribumi, Brooke juga memisahkan mereka secara licik ke dalam Dual Traditional Systems yang terpisah. Melayu dalam sokongan pentadbiran, Pribumi lain kekal dalam Sistem Pertanian Saradiri. Inilah sistem ekonomi "harmoni" ciptaan Brooke (1841-1941) lalu kemudian diwarisi oleh Kerajaan Sarawak Merdeka (1963-2018). Saya berani mengatakan lantaran rakyat hidup "harmoni" sejak Brooke dengan segala sistem yang ada, maka Kerajaan Sarawak merdeka terus saja menerima pakai sistem Brooke tanpa perubahan ketara.

(13) Masa berlalu. Sistem pendidikan kita merubah demografi secara berkesan. Rakyat kini mulai merasa banyak ketimpangan. Mereka melihat ketimpangan ini adalah bersebabkan Melayu. Sebetulnya Melayu hanyalah sekadar kambing hitam. Kenapa Melayu jadi kambing hitam? Sebabnya mudah, lantaran Melayu menjadi tulang belakang segala sistem pentadbiran Negara. Rakyat yang kurang pertimbangan rasional akibat permaian politik tamak banyak pihak, menerima tohmahan itu sebegitu. Adakah benar Melayu yang menyebabkan kepincangan itu, atau Melayu hanya kuda tunggangan dalam membina segala kepincangan itu? Sebilangan rakyat Sarawak, dalam kegairahan S4S, seperti ingin kembali ke zaman Brooke. Mengikut mereka, Brooke memberikan kebebasan kepada rakyat untuk berbuat apapun. Ratusan ribu boroh Cina Brooke bawa masuk, biar mereka hanyalah bertaraf boroh, namun kehidupan dan masa depan mereka di Sarawak jauh lebih baik daripada tempat asal mereka di China. Mereka bebas berdagang dan menceburi segala bidang industri. Saya melihat, Brooke memberikan mereka kebebasan lantaran dagangan dan perusahaan yang diusahakan oleh kaum Cina ini adalah sumber bagi kekayaan Kerajaan Brooke. Sebegitu juga kalangan pribumi bukan Melayu, mereka berasa aman dan sejahtera di zaman Brooke lantaran mereka boleh meneroka hutan secara berleluasa tanpa batas. Masyarakat Melayu pula, berasa lebih baik di zaman Brooke lantaran kedudukan perabangan mereka sangat terjamin di dalam sistem pentadbiran Brooke. Brooke seperti masih menjadi idola rakyat Sarawak lantaran "legasi" kemakmuran dan keamanan semua kaum pada waktu itu. Saya yakin, analisa "legasi picek" inilah yang menjadi sentimen pelbagai kaum dalam memperjuangkan S4S kini.

(14) Kini perjuangan S4S banyak pihak adalah sangat dibauri dengan keinginan untuk Sarawak kembali Merdeka, bertunjangkan "keharmonian dan kebebasan" rakyat seperti asalnya semasa Brooke. Banyak pihak di Sarawak kini sedang melihat Malaysia telah gagal dalam mencapai matlamat asalnya menjadikan semua wilayahnya makmur sejahtera. Lantaran itu, maka Sarawak harus kembali merdeka. Saya kira itu adalah suatu political fallacy semata-mata jika bukan sebuah sandiwara politik murahan semasa. Namun jika kewarasan fikiran dapat dikembangkan baik, merdeka bukan kehendak sebenar rakyat. Merdeka hanyalah wadah. Tuntutan sebenar rakyat adalah keadilan ekonomi dan sosial.

(15) DAP seperti sangat berjaya dalam menanamkan konsep S4S. S4S DAP meresap kuat ke dalam kaum Cina, khasnya di kalangan peniaga kecil dan Cina luar bandar. SUPP parti Cina yang dominen, bungkam dibaham DAP lewat S4S. Kenapa? Jawabnya mudah, selama dalam pemerintahan BN, hanya segelintir Cina telah mendapat segala peluang dan ruang dalam menguasai ekonomi Sarawak. Segelintir Cina ini, kebanyakan mempunyai association dengan "Melayu" atasan. Biar saya namakan segelintir Cina ini sebagai "Cina Kapitalis". Inilah kalangan yang menguasai ekonomi Negara dan Negeri. Fenomena ini sama dengan keadaan Gerakan dan UMNO di Pulau Pinang, MCA-UMNO di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka. Malangnya, lantaran itu, Melayu dilihat sebagai punca ketidakadilan dalam sistem ekonomi Negara. Hakikatnya, DAP sedang mengaut ketidakpuas hatian masyarakat Cina kebanyakan yang terus tertekan dengan hadirnya segelintir Cina kapitalis. Cina-Cina Kapitalis yang didokong "Melayu Kapiltalis" ini, menjadi terlalu tamak sehingga segala-gala mereka kuasai. Paling ketara di sektor peruncitan yang sebelumnya dikuasai oleh Cina-Cina kebanyakan, sedang mati akibat wujudnya gedung-gedung pasaraya milik Cina-Cina Kapilatis. DAP memandang Cina-Cina Kapitalis ini sebagai musuh kepada perniaga-peniaga kecil Cina lainnya. Maka untuk menghancurkan Cina-Cina Kapitalis ini, "Melayu" yang menjadi pendokong utama mereka juga harus "dihapuskan". Dalam ertikata lain, gerakkan DAP adalah lebih bersifat "anti-ketidakadilan dalam perdagangan dan industri". Nada mereka adalah nada sosialis jika bukan komunis. Sebegitulah akhirnya DAP dinobatkan oleh terutamanya "Melayu Kapitalis' sebagai suapan kepada Melayu kebanyakan untuk terus mendokong mereka.

(16) Di Sarawak, DAP perlu bekerja rapat dengan PKR dalam memasarkan konsep S4S mereka kepada kalangan pribumi. Nadanya tetap sama, biar bidang yang diketengahkan sedikit berbeza. GOS digambarkan sebagai kuasa yang menghakis kepemilikan tanah NCR di kalangan pribumi Sarawak bilamana GOS secara meluas memberikan tanah perladangan kepada "Kapitalis Cina" dan sekelompok "Kapitalis Melayu". DAP dan PKR memainkan lagu, "GOS menyingkir dan membunuh petani-petani kecil". Gagasan ini ada benar dan ada salahnya. Kejayaan DAP dan PKR untuk memaksa Taib turun pada 2013 dilihat sebagai titik permulaan untuk DAP + PKR untuk membangun Kerajaan Baru Sarawak. ditokok dengan kemenangan PH serta beberapa kemajuan PH dalam menguasai kerusi-kerusi Parlimen Sarawak, kini telah dijadikan azimat untuk DAP + PKR di dalam PRN 2021 nanti.

(17) Dalam memperjuangkan S4S, agar ianya lebih laris di kalangan pribumi bukan Melayu dan Melayu, pendokong idea ini sedang bermain dengan strategi cukup licik iaitu dengan bermain sentimen "Legasi Sarawak Merdeka". Brooke "memerdekakan Sarawak" di sepanjang pemerintahanya. Sebagai sebuah "Negara Merdeka" rakyat Sarawak di zamannya punya kebebasan untuk berbuat apapun. Sarawak sedang dijual sebagai sebuah "Negara Merdeka" sebelum pembentukan Malaysia. Amerika pada 1850 dan British pada 1864 iaitu sekitar 100 tahun sebelum pembentukan Malaysia telah mengiktiraf Sarawak sebagai "Negara Merdeka". Apa tujuan mereka? Dari sudut bahasa diplomatik, Sarawak merdeka, namun dari sudut lain, ianyalah adalah pengiktirafan bahawa Brunei tiada kuasa lagi ke atas Sarawak dan Sarawak kini milik penuh Brooke.  Brooke akan menjadi wakil dalam menjaga kepentingan Amerika dan British di timur jauh ini. Kita "merdeka" dari Brunei, namun kita terjajah oleh Brooke yang berupa proxy Amerika dan British. Sebegitulah putar belit sejarah yang kita harus berhati-hati.

(18) Saya bukan menidakkan "legasi" Brooke. Namun, legasi Brooke hanya terpakai pada waktunya. Biarpun Brooke telah berjaya "memakmur dan mengamankan Sarawak" namun, terbukti keturunan beliau selanjutnya gagal sehingga perlu menyerahkan Sarawak kepada British pada 1 July 1946. Brooke pada hakikatnya hanya "membina keamanan di Sarawak". Sebelum Brooke, lantaran kerana cukai serta tadbirurus Kesultanan Brunei yang tidak cekap, rakyat sering bergolak sesama sendiri. Hakikatnya, Brooke tidak membawa kemakmuran kepada Sarawak.  Kekayaan yang pedagang dan industri Cina bina di Sarawak, tidak seluruhnya Brooke reinvest di Sarawak. Sarawak kekal miskin lantaran WII itu satu hal. Kudrat Allah, melalui Jepun, Sarawak bebas dari Brooke lalu kemudian British. Mungkin ramai rakyat Sarawak kini tidak mahu bersusah payah cuba memahami kudrat Allah ini. Namun sebagai Melayu dan Muslim, kita tidak boleh menidakkan bahawa apapun yang terjadi adalah tidak tanpa ketentuan Allah. Allah cuba menjelaskan hikmahNya jika kita mampu memikirkannya secara adil. Masyarakat Melayu Sarawak harus boleh menoleh dan meneliti hikmah Allah kenapa Buddha, Hindu, Brunei, Sambas, Temasik, Brooke, Jepun malah British gagal mengurus Sarawak secara beterusan sehingga kini. Kita juga harus boleh menoleh kenapa Sarawak Merdeka juga gagal mengurus Sarawak. Kini, mungkin bahang kegagalan Malaysia kian terasa maka kita rakyat Sarawak seperti sedang tercari-cari jalan mana yang kita pilih. S4S kita temukan, namun S4S yang diusulkan seperti belum serasi dengan seluruh rakyat Sarawak. Konsep S4S yang ada hanyalah senjata jangka pendek untuk "merampas kuasa". S4S yang ada bukanlah suatu konsep politik dan pentadbiran untuk memperbaiki segala kepincangan yang ada.

(19) Sebelum saya memberikan pandangan kemungkinan S4S yang terbaik untuk Sarawak, terlebih dahulu saya ingin neutralise pandangan bahawa Melayu telah "khianat" dalam mengurus Sarawak. Melayu, seperti saya katakan hanyalah "mangsa keadaan dan atau kuda tunggangan". Kelompok kecil "Kapitalis Melayu" yang menguasai pentadbiran Kerajaan telah gagal, maka janganlah keseluruhan Melayu dipersalahkan. Saya tidak ada masalah jika Melayu dipertanggongjawabkan. Melayu boleh saja dipertanggongjawabkan lantaran sikap 'buta tuli mereka" terus mendokong segelintir "Kapitalis Melayu" untuk memperkuda mereka. Walaubagimanapun, cuba juga perhatikan, bukankah sejak merdeka, yang bersama "Kapitalis Melayu" dalam mengurus segala sistem Negara dan Negeri adalah Cina, India, Dayak, dan Kedazan-Dusun. Dalam GOM dan dalam GOS, semua kaum ada. Jika Melayu gagal, maka kelompok ini yang bersama "Kapitalis Melayu" harus juga disorot juga bertanggongjawab bersama. Sememangnya Melayu dominan. Dominan Melayu tidak menjadikan mereka berkuasa penuh. Cuba lihat dalam kepayahan kini, tetap Melayu turut dominan dalam kesusahan. Seharusnya, Melayu dominan berjaya, lantaran mereka "dominan" berkuasa. Tetapi biar Melayu dominan dalam sistem pengurusan Negara, tetap Melayu dominan payah. Maka persoalannya bukanlah Melayu. Melayu hanyalah kambing hitam. Persoalannya adalah sistem; struktur sistem dan perjalalanan sistem. Sistem ini yang harus kita perbetulkan secara bersama. Maka dalam uasaha untuk merombak dan menyusun semula sistem yang ada, dalam laungan reformasi, Melayu tidak boleh disisihkan. Negara dan Negeri akan kacau bercelaru hebat jika ada usaha-usaha menyisihkan Melayu. Kaum apapun jangan disisihkan. Kehadiran semua kaum di bumi kita ini adalah atas kehendak Allah. Kita terima itu sebegitu dan kita secara adil harus meraikan hikmahNya. Maka jalan terbaik adalah merangkumkan semua kaum di Negara dan Negeri ini dalam kita merombak dan menyususun semula segala sistem yang ada. Reformasi dan transformasi Negeri dan Negara harus sekarang tidak boleh dilihat dari sudut sempit perkauman tetapi dalam sudut menyeluruh kepentingan semua pihak.

(20) Oleh yang sedemikian S4S yang paling sesuai untuk Sarawak, bukanlah S4S Sarawak Merdeka DAP, bukan juga S4S PKR, dan bukan juga S4S GPS. S4S bawaan pelbagai pihak kini adalah S4S sempit politik tamak. Saya berkira, S4S yang sesuai untuk Sarawak adalah dengan mengambil apa yang tersirat di sebalik "legasi Brooke". Rakyat Sarawak pernah memberontak menentang Kesultanan Brunei. Rakyat Sarawak juga tidak setuju diserah kepada British. Rakyat Sarawak tidak setuju dengan Jepun. Kita tidak setuju dengan gagasan Indonesia Raya. Kita setuju dalam samar terhadap gagasan Malaysia. Ada "sentimen" tersirat di balik "Legasi Brooke dan Malaysia" yang mungkin kita harus baca. Saya yakin, Allah punya hikmah tersembunyi yang kita tidak dapat tangkap dengan jelas di balik "legasi Brooke dan Malaysia" yang telah dan sedang kita lalui. Saya melihat, di zaman Brooke, Sarawak aman. Di awal Malaysia, kita juga dalam aman damai. Lewat boroh Cina, dan para boroh Cina ini, mereka kian makmur di zaman Brooke. Mereka bebas melakukan apa saja asal mereka membayar cukai serta membiarkan dagangan luar kepada Brooke. Sebegitu juga kalangan pribumi. Mereka bebas untuk hidup. Itu dalam keadaan rakyat Sarawak baru dalam angka 8,000 (1841)-600,000 (1941) orang. Sama keadaannya di awalan dalam Malaysia. Kini penduduk Sarawak sudah mencecah 3,200,000 orang iaitu 500 perastus lebih dari masa Brookes, maka segala-galanya telah berubah dan perlu berubah. Maka pokoknya, kehendak rakyat kini dalam soal keamanan (keharmonian) dan kemakmuran (kesejahteraan) adalah jauh berbeza dari di zaman Brooke dan awalan Malaysia. Akibat kejayaan kita dalam memberikan pendidikan kepada rakyat, mereka kini mahukan lebih banyak penyertaan participation dalam hal-hal kepentingan masa depan mereka.

(21) Berteraskan andaian keresahan dan keperluan semasa rakyat, saya bertanggapan S4S yang perlu kita pegang adalah membina rakyat dan Negeri Sarawak sejahtera dalam Negara Malaysia yang bersatu padu . Untuk mencapai itu, jalan yang terang Allah telah tunjukkan adalah lewat keadilan. Negeri dan Negara ini perlu dibina pada landasan keadilan seperti yang Islam tuntut dan tunjukkan. Keadilan di dalam Islam tidak meminggirkan apa dan siapapun. Semua diberikan peluang dan ruang yang terhak baginya. Mahathir Mohammed Allah anugerahkan haknya. Lim Kit Siang juga Allah lunasi haknya. Gajah, buaya, ayam, tiku, cacing, dan viruspun Allah tetap lunasi hak-hak mereka dengan penuh keadilan. Lantaran Allah menjaga keadilan, maka cakrawala kita kekal mantap saban ketika. Di dalam Islam, Kristian, malah Yahudi, keadilan adalah teras agama. Hanya keadilan yang boleh membawa seluruh umat manusia sejahtera bersama.

(22) Maka S4S, mungkin wajar saja kita tukar menjadi Sarawak untuk Sarawak, SUS. Allah jelas dalam pernyataanNya bahawa Dia sengaja menjadikan kepelbagaian sebagai teras penciptaanNya. Semua agar saling mendokong dan menafaatkan. Maka tidak salah kita rakyat Sarawak bertekad mempunyai ciri-ciri mulia tersendiri. Ciri-ciri mulia kita harus terbina dari nilai-nilai teras Islam dan agama-agama lain anutan rakyat Sarawak. Kita raikan kebersamaan. Kita amalkan perbezaan pada hak masing-masing tanpa perlu mengugat pihak lain. Jika S4S punya niat untuk penyisihan, maka kita padam saja S4S itu. Biar Sarawak untuk Sarawak, SUS di mana sifat-sifat bersama adil inclusively just menjadi teras budaya dan sistem kita. Apakah yang adil dan terhak untuk semua di Sarawak, saya tidak perlu mengulas panjang lantaran sejak awal 1990an, Taib Mahmud telah menubuhkan Yayasan Budaya setiap kaum bagi memikirkan apa terbaik untuk kaum masing-masing. Maka SUS seharusnya berusaha keras dalam mengembeling dan menyepadukan semua pandangan itu untuk menjadi teras disiplin politik dan pengurusan Negeri kita. Siapa yang boleh berbuat sebegitu, itulah kelompok yang seharusnya rakyat Sarawak berikan mandat untuk mengurus Negeri ini.

(23) Allah telah tunjukkan. Di kurun ke 14, British telah menguasai hampir ke seluruh dunia. Macao, Hong Kong, Singapura, Pulau Pinang, bahkan seluruh Malaya, Mynamar, India, New Zealand, Australia bahkan Amerika dsb semua pernah terjajah British. Cuba lihat kebijakasaan Allah, apakah semua mereka ini kekal sebagai British? Tidak. Maka apakah kita tidak boleh mengambil iktibar di atas kebijakasaan Allah ini? Sarawak boleh menjadi unik dan kendiri dalam gagasan Malaysia lewat Sarawak Untuk Sarawak (SUS) yang semua pihak duduk dan perakukan bersama. Kenapa DAP, PKR, GPS (kini Amanah dan Berastu) harus bersifat tamak, tidak mahu duduk bersama membina Sarawak Untuk Sarawak. Jika ada antara mereka tidak mahu bersama sebegitu, rakyat Sarawak harus mengenepikan mereka. bagi saya, GPS perlu mengambil sikap terbuka untuk membawa semua bersama dalam membina Sarawak untuk Sarawak (SUS).

Kuching, Sarawak
1-11 Janurai, 2019

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.