Latest Postings
Loading...
Apr 23, 2018

2/4/18 KEMATANGAN POLITIK NEGARA .....apa mungkin itu lagenda sebenar Mahathir? (DRAFT)


Wawasan 2020 yang dilancarkan pada 1990, dengan jelas mengariskan cabaran ke tiga yang akan Negara atasi; "Fostering and developing a mature democratic society" iaitu memupuk dan membina masyarakat yang mengamalkan demokrasi matang. Kenapa Mahathir meletakan kematangan demokrasi sebagai cabaran ke tiga bila beliau melancarkan W2020 pasti sangat menarik untuk disorot secara terperinci. Bagi saya, jelas perpaduan kaum masih sangat rapuh di Negara ini. British atas kepentingan Kapitalismanya, telah polarized Malaya-Borneo menjadi sedemikian rupa biar pribumi apa lagi pendatang, mereka kekal lemah dan terasing. British mengaut untung, pribumi dan pendatang kekal berada dalam kepincangan. Demi kepentingan Kapitalis British, kaum pendatang telah diberikan banyak kemudahan bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam membina kepentingan Kapitalis British. Kaum Cina telah didedahkan dengan sistem pendidikan yang lebih baik, malah segala kemudahan lebih baik, sedang kaum pribumi dan India terus terpinggir. Bila Malaya-Borneo merdeka, rakyat yang tinggal adalah rakyat yang pincang. Kepincangan ini terus bertahan sehingga kini dan ianya menjadi bara dalam sekam. Punca utamanya adalah berkait dengan soal kematangan demokrasi biar selepas 55-60 tahun merdeka. Lantaran amalan demokrasi sempit apa lagi tidak matang maka sentimen rakyat mudah dipermainkan. Kerapuhan perpaduan kaum, mengakibatkan kesukaran Negara untuk mengembeling seluruh kekuatan rakyat dalam menghambat status Negara makmur apa lagi sejahtera. Akibatnya kita tiada kestabilan falsafah, strategi dan fokus pembangunan sehingga kita kian tercorot berbanding negara-negara seangkatan kita seperti Korea, Taiwan, Singapura dan malah Thailand dan Indonesia.  Apakah menjelang 2020, biar dari segi status Negara Maju mungkin kita tercorot, dengan suasana politik semasa apakah tidak sekurang-kurangnya kita sedang menghambat kematangan demokrasi?

(2) Banyak pihak melihat, kelahiran Pakatan Harapan (PH) untuk mencabar Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 sebagai big noise iaitu keributan yang tidak perlu, namun dari awal saya melihat itu sebagai wajar dan perlu. Kedua-dua PH dan BN perlu wujud secara saksama demi kesuburan demokrasi di Negara ini. Kelahiran PH yang dulunya adalah Pakatan Rakyat, PR adalah berpunca dari beda dasar dan keutamaan pembangunan. DAP dan PAS khususnya, asalnya tidak mendokong dasar BN atas kepentingan kaum. DAP inginkan Malaysia for Malaysia. Di kacamata DAP konsep Malaysia for Malaysia adalah penting sebagai wadah bagi mencapai kesaksamaan hak setiap rakyat Malaysia. Kepada DAP, tidak perlu ada sikap peminggiran dalam membina Negara. DEB adalah sasaran utama DAP. PAS pula melihat Malaysia for Ummah. Kepada PAS, Malaysia mesti ditadbir oleh mereka yang ahli dalam hal-hal Islam dan Malaysia mesti diletak dalam landasan Islam. PAS melihat sekularisma sebagai punca kelemahan Melayu. Asalnya, pendokong PAS mahu Melayu lari 100 peratus dari pengaruh sekular British. Sikap sebegitu mungkin bukan sebenar-benar kerana Islam, tetapi lebih untuk menjaga ketulinan Melayu. Namun kini, Islam hanyalah alat yang PAS ingin gunakan untuk menarik sokongan Melayu dalam perebutan kuasa. Sedang BN, yang bertunjangkan UMNO, USNO, PBB dan parti-parti pribumi lainnya melihat Malaysia sebagai Malays-Pribumi First. Demi kepentingan Melayu-Pribumi, biar semasa Razak apa lagi Mahathir, BN telah bergerak terlalu cepat. Pembangunan umat Melayu diasak dengan cepat. Segala peluang Razak dan Mahathir buka luas untuk Melayu-Pribumi ceburi. Namun rakyat di era Mahathir khasnya menghadapi masalah untuk menghambat pembangunan yang beliau paksakan. Banyak capacity and talent gaps sedang Melayu hadapi. Akibatnya tanpa disedari dan atau diperhatikan sejernihnya, terus berlaku masalah keciciran sosio-ekonomi di dalam masyarakat Malaysia umumnya. Malah keciciran sosio-ekonomi sangat ketara terus berlaku di kalangan sebilangan masyarakat Melayu-Pribumi, malah di kalangan masyarakat India dan Cina sekalipun.

(3) Di sisi lain, kepesatan pembangunan Negara membuka luas segala kesempatan untuk maju bagi rakyat, dan keadaan ini telah disambar baik oleh segolongan Melayu, Cina, India, Dayak dan Kedazan-Dusun sehingga mereka berjaya menjadi Golongan Menengah. Sebahagian dari golongan ini, lewat waktu dan kesempatan luas yang terbuka, telah transformed menjadi kalangan elit baru yang lain dari elitis feudal tradisional sebelumnya. Golongan ini, perjuangan mereka hanyalah untuk kekal elit, dan rakyat kebanyakan mereka sisih sebagai golonagn third class people. Mereka ini kemudian membentuk rangkaian kroni dan nepotisma yang pucuk pimpian tertinggi Negara tidak sedari dan atau usher sehingga mereka akhirnya menguasai lingkungan kekuasaan Negara. Inilah kesan utama tidak terduga berlaku akibat nafsu cepat Mahathir untuk membangun Melayu-Negara, biar beliau tiada niat untuk menyuburkan prihal ini. Akibat akhirnya, kita kini sedang menyaksikan kepimpinan UMNO, MCA, MIC, Gerakan malah parti-parti kompnen BN lainnya samada dikuasai dan atau terdiri dari elit-elit lupa bangsa dan atau sedang dilingkungi oleh elit-elit yang terus tidak pernah kenyang. Tingkah Freemanson, Mafia, dan Zionisma sedang kalangan ini turuti rapat. Watak King Arthur and his Knights juga kian menjadi budaya kepimpinan parti-parti politik di Malaysia bukan atas landasan Bangsa, Agama dan Negara tetapi lebih kepada memilhara kepentingan sendiri dan atau kelompok. . Scenario politik Negara sebetulnya dari 1960an ke kini, kita seolah-olah sedang melakunkan drama Feudalisma beralih ke Demokrasi Terpimpin dan kini sedang deras menuju Liberal-Kapitalis. Ketaksaksamaan sosio-ekonomi dan moral antara dan intra kaum dan individu di Negara ini kian melebar. Keadaan ini telah menimbulkan keresahan politik khasnya di pihak DAP, PAS lalu PR atau PH kini. BN sifatnya terus mempertahankan status quo biar Feudal, Separa Demokrasi, dan atau Liberal-Kapitalis. Ditokok tambah dengan lain-lain perluasan fenomena-fenomena seperti pemencilan-ketidakadilan, rasuah, kroni, salah guna kuasa, pelbagai ketirisan lain, hutang dsb yang berupa terbitan dari gerakkan BN hendak memajukan Melayu-pribumi dengan sepantas-pantasnya, maka keresahan politik Negara kini sudah terbakar menjadi masalah politik Negara.

(4) Gerakan politik Negara kini, pertembungan antara PH dan BN kini benar-benar telah mengetarkan rakyat dan Negara. Dari asalnya berkisar dalam soal-soal pribadi, kini perlahan-lahan pokok pangkal perbincangan telah mengarah kepada pilihan masa depan politik buat rakyat. Rakyat kini seharusnya telah mula dapat mengesan betapa isu-isu seperti Cronysm, Nepotism, Corruption Vs Transparency; Racism Vs Open Society; Controlled Subsidy Vs Targetted Subsidy; Foreign Debts Vs Local Financing; Local Reinvestment Vs Global-based Investment dsb sedang menjadi isu debat politik secara hangat. Politik kita tidak lagi diberatkan dengan hal-hal pribadi pemimpin. Perdebatan sudah beralih hebat ke arah Governance. Cuma lantaran tahap pendidikan dan pemikiran rata-rata rakyat Negara ini masih corot, maka debat-debat ini tidak menjurus kepada perbandingan Governance yang sihat, sebaliknya lebih bersifat bertikam lidah. Prejudis dan sentimen masih menguasai politik Negara berbanding keilmuan dan keterbukaan. Namun apapun, benih perdebatan terbuka sudah mulai bersemi dan In Shaa Allah sampai waktunya ianya akan menjadi discourse keilmuan yang sihat.

(5) Punca kepada permasalahan politik kita kini adalah lantaran kita kita ingin maju terlalu cepat tanpa melihat kepada keupayaan Insani. Namun kemajuan kita kita ukur pada ilusi Piawaian Barat, materialisma. Kita bergasak maju material tanpa sebatian kemajuan Insani. Kita hambat material, kita corot dalam membina nilai-nilai insani. Pada Barat yang kita nampak jelas adalah material. Pada Barat, kita tidak pernah mahu mengerti bahawa di balik kejayaan material mereka, mereka punya pengalaman gelap yang luas sebermula keruntuhan Rom membawalah kepada WWII, sehingga biar mereka bukan dari kalangan berIman, namun di balik kejayaan material mereka banyak memiliki nilai-nilai Islaminya. Allah sengaja memberikan mereka kejayaan besar, bukan sekadar untuk kita lihat nilai material mereka, tetapi juga menyelidiki nilai-nilai moral mereka, namun kita gagal dan atau khilaf. Kita melihat Barat hanya dari satu sudut ie sudut yang kita mudah nampak, ikutan nafsu. Kita membontoti Barat tanpa mengerti falsafah keseluruhan pembangunan mereka. Akibatnya kita pincang di sepanjang jalan. Sangat berbeza dengan pribadi SAW. Beliau menghambat perluasan Islam. Beliau mahukan Islam berkembang cepat. Namun, perkembangan Islam yang beliau usahakan adalah dari sudut Iman dan Taqwa yang padu. Beliau tidak melihat perluasan tanah jajahan sebagai kemajuan Islam tetapi sebaliknya melihat kekuatan Iman dan Taqwa sebagai asas kemajuan sebenar. Perluasan wilayah Islam tidak SAW lihat dari sudut penguasaan wilayah per se tetapi lebih kepada perluasan tebaran keImanan dan Taqwa. Lantaran itu, biar Negara Islam pimpinan beliau kian makmur, namun pribadi dan citarasa material beliau tidak berubah. Beliau kekal zuhud. Beliau menyimpan seluruh kuota kenikmatan hidup duniawi untuk mencapainya di Firdhausi nanti. Beliau tidak terkesan apa lagi buru-buru untuk menikmati kehidupan enak duniawi. Beliau menjalani kehidupan ringkas serta mendidik para pengikut setianya untk sama bersifat zuhud. Lantaran itu, kejayaan Muhammad SAW kekal sebagai kejayaan terbaik manusia sehingga kini. Beliau tidak melihat kegagahan Byzantin dan Farsi dari sudut kerjayaan material mereka, tetapi beliau melihat di balik kehebatan material Byzantin dan Farsi punya banyak kelemahan Insaninya. Kita, khasnya PAS dan UMNO telah khilaf dalam memahami Kerajaan Islam Madinah SAW.

(6) Sebagai manusia, Mahathir banyak melakukan khilaf dan salahnya. Sengaja dan tidak. Sedar dan tidak. Biar apapun, saya yakin, niat Mahathir hanya satu, iaitu Melayu khususnya mesti mampu maju ke depan jika tidak mengatasi, harus paling tidakpun mesti seiringan. Cita-cita besar Mahathir saya duga adalah agar Melayu = @ > Cina. Namun, tiada siapa ingin berjaya seiringan sesiapapun. Semua jika hendak maju, maka dia mesti bercita-cita untuk berada di depan. Bagi Mahathir, malah UMNO, Melayu mesti di depan. Tiada salahnya. Cuma khilaf dan salahnya, adalah bila Melayu Berjaya kelahiran dari sistem Mahathir dan atau UMNO kian melupakan Melayu kebanyakan apa lagi Negara, maka di situlah masalahnya. Khilaf dan salah Mahathir adalah bila sistem yang beliau bina, sistem-sistem tersebut telah dan sedang hebat melahirkan Melayu lupa daratan. Sistem yang Mahathir guna untuk membina Melayu Hebat adalah sistem yang melahirkan Melayu Egoistik. Khasnya segala macam GLC yang Mahathir bina, telah lebih mengutamakan Corporate and Personal KPIs berbanding keutamaan kepentingan Melayu, Islam dan Negara. Pincangnya sistem yang Mahathir bina adalah bila jentera pembinaan Insani beliau tidak kental kukuh malah turut menyimpang berlumba-lumba melahirkan simbol-simbol materialistik-egoistik. Jentera-jentera ini telah being hijacked untuk mentarbiah perlumbaan materialistic-egoistic dari jujur benar-benar menepati tujuan asas penubuhan mereka. GLC, RTM, TV3, JAKIM, BTN, malah Universiti-Universiti Awam dsb kian menyimpang dari tujuan untuk membina Insani rakyat, kian diaruh untuk kekuatan syiasah penguasa.  Kita, lewat waktu kian memingirkan pembinaan Insani rakyat. Maka kini kita menjulang mengapai langit dalam mercu tanda-mercu tanda material namun pengisiannya adalah Melayu-Melayu Bobrok-Egoistik.  Prihal ini kini telah menjadi darah daging baru UMNO.

(7) Alhamdullillah. Kasih sayang Allah kepada umat Melayu tidak pernah pudar. Kemelut BN dan PH kini, bukanlah kekacauan yang perlu kita takuti. DAP bukanlah faktor yang perlu kita geruni. Islam PAS bukanlah perkara terlalu berat untuk diperbetulkan. Bahkan kebobrokan UMNO juga bukan masalah besar. Sebegitu juga soal salahguna kuasa, keberhutangan, GST malah rasuah, segala macam ketirisan dsb bukanlah tiada penyelesaiannya. Semua itu harus dilihat sebagai proses Allah dalam membentulkan kesilapan kita, dan jika kita dapat mengambil ikhtibar darinya, pasti Allah sentiasa mencurahi hidayah untuk kita memperbaikinya. Saya yakin, kemelut politik BN dan PH kini adalah ujian Allah untuk kita tajam dan mantap berfikir menilai jalan penyelesaian terbaik buat kebaikan umat ini dan Negara seluruhnya. Di sisi Allah, jalannya sangat mudah. Sedar. Insaf. Taubat. Perbaiki. Dia maha pemaaf dan Dia maha pengasih. Tidak Dia membebani kita di luar dari batas kemampuan kita, cumanya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Maka keberadaan PH dan BN harus kita raikan sebagai jalan menuju kebaikan semua. Sesungguhnya SAW tidak pernah gusar apa lagi takut dengan keberadaan kalangan Yahudi tegar di sekeliling beliau. Apa lagi dia tidak gentar akan Byzantin dan Farsi yang cukup materialistik sifat mereka melingkari wilayah-wilayah Islam. Tiada apa yang menguncang atau mengesani beliau. Pokoknya adalah Iman dan Taqwa. Kemelut sekarang adalah jalan Allah hendak menguji kemempuan Melayu dalam menilai diri mereka.

(8) Kelompok PH, saya yakin dan berdoa adalah kelompok yang telah insaf, sedar, dan tahu tentang jalan-jalan bagi memperbaiki keadaan kebobrokan yang sedang kita hadapi. In Shaa Allah, mereka lewat reformasi yang hendak mereka asakkan, pastinya akan membawa kebaikan kepada semua, tanpa mengira siapapun di Negara ini kecuali bagi yang ingin terus tamak, dengki dan khianat.
(9) Dalam kemelut sekarang, saya yakin, tanpa Mahathir, semarak cleansing kesilapan kita tidak akan terjadi hebat sebegini. Pada hujah saya di atas, saya mengambarkan kelemahan pentadbiran Mahathir sehingga melahirkan ramai Melayu Lupa Diri, namun saya berani bertegas, itu bukan niat Mahathir. Kekacauan yang sedang berlaku kini, bukan mutlak salah-khilaf Mahathir, ianya adalah salah-khilaf kita bersama serta check-mate Allah agar kita kembali sedar. Kepincangan sistem mengakibatkan penghasilan Melayu Lupa Diri-Egoistik. Kini Melayu Lupa Diri-Egoistik sedang menguasai Negara. Mereka sedang hanyut dan masih leka untuk sedar. Saya yakin mereka sedang berusaha keras untuk terus bertahan malah mengila dengan lebih jauh lagi. Negara ini perlahan-lahan sedang menanggung sakit akibat mereka ini. Kita yang Allah telah berikan Islam, harus kembali kepada fitrah kita sebagai manusia iaitu kita terjadi untuk mendirikan yang benar dan menghadang yang mungkar. Kita wajib mengambil langkah mengobat di mana kita sakit. Kemelut kesakitan yang Negara sedang alami adalah cabaran untuk kita obati. Kesakitan ini, bukan hanya untuk kita hadapi, tetapi jika kita tidak mengambil langkah bijak dan berani, pasti segala generasi selepas kita akan sakit kronik. Pokoknya, kita yang harus mengambil sikap jelas bagi menjamin kesejahteraan masayarakat tinggalan kita.

(10) Dalam azali kesakitan, si sakit perlu rehat. Tanpa rehat, kesakitan lambat sembuh malah mungkin boleh menjadi parah. BN dan UMNO perlu direhatkan. Saya berani berkata, BN dan UMNO sedang dilingkungi kesakitan. Mereka perlu rehat, dan biarlah PH yang sedang dipimpin gandingan dua Doktor Perubatan Mahathir-Azizah bertungkus lumus mengobati penyakit rakyat dan Negara. BN dan UMNO perlu rehat untuk bermuhasabah, dan mudah-mudahan PH yang ghairah dengan Reformasi benar-benar dapat merombak sistem yang kita ada agar ianya benar-benar menjurus kepada pembinaan Negara yang kuat dari segi material dan juga Insani.

(11) Saya sangat mengharapkan reformasi sistem yang PH akan bawa harus melihat konsep-konsep TQM, QCC, KPI bahkan BSC sedikit berbeza dari amalan sistem Barat juga Timur Jauh. Inilah konsep-konsep governance yang telah ditekankan oleh sistem-sistem kita selama ini. Semua ini menekankan quantified output tanpa peduli soal-soal Insani. Kita harus mengamalkan konsep-konsep TQM, QCC, KPI dan bahkan BSC yang mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi. Sistem-sistem yang ada tidak mengukuhkan nilai-nilai moral sebagai teras penilaian kejayaan institusi dan individu yang kita hasilkan. Kepincangan kita berpunca dari moral development gaps. Biarlah PH mempelopori perubahan ini, sedang BN dalam tempoh rehat boleh juga mengemukakan pilihan alternatif lebih baik. Dengan adanya dua kelompok yang sentiasa bersaing untuk berbuat baik dan saling mengawasi, maka saya yakin dengan adanya dan suburnya PH dan BN, politik kita, governance kita In Shaa Allah akan menjadi lebih matang. In Shaa Allah.

Kuching, Sarawak
23 April, 2018

0 comments :

Back To Top