.

2/6/17 RAHMAT SEBUAH KEMISKINAN......kita menumpang mencari keredhaan sama!

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - June 21, 2017

Share

& Comment

Surah Adhuha, kenapa ianya turun? Mengikut apa yang saya baca, suatu ketika, selama sebulan Jibrail tidak berdatang kepada SAW. Selalunya Jibrail akan datang kepadanya membawa wahyu-wahyu dari Allah. Lantaran itu, beliau berdukacita. Dan kerananya, Allah mendatangkan Surah Adhuha. Pasti dari segi tafsiran akan proses kejadian ini, banyak boleh kita buat. Salah satu yang menjadi lumrah masyarakat kita baik di Malaysia dan Indonesia, malah Nusantara bagi saya adalah Surah Adhuha adalah suatu Surah mustajab bagi kita memohon bantuan kepada Allah khususnya dalam soal rezeki. Surah Adhuha sering diperlakukan sebagai sebuah doa. Maka, ada pihak sehingga mewajibkan diri mereka untuk Sholat Duha dengan tujuan untuk mendapat perhatian Allah agar sentiasa dilimpahi kejayaan dan kekayaan. Memang, jika diteliti secara bebas maksud Surah Adhuha itu, kepercayaan seperti saya sebutkan tadi ada benarnya. Namun, persoalannya, apakah itu sebenar-benar yang benar? Kepada saya, Adhuha adalah Surah motivasi dan peringatan. Motivasi lantaran ianya memperteguhkan janji Allah betapa siapapun yang patuh kepadaNya tidak sekali-kali akan Dia lupa apa lagi tinggalkan. Allah tiada pernah putus dalam mengawasi sesiapa dan apapun. Dan ianya berupa Surah peringatan, adalah logik lantaran semua Ayat dan Surah Al Quran adalah peringatan. Itu jelas Allah telah tegaskan. Namun Adhuha, bagi saya ianya adalah Surah peringatan khusus. Ianya khusus mengingatkan kita tentang harus mensyukuri nikmat Allah dengan tidak sekali-kali lupa kepada yang tidak berkecukupan apa lagi miskin dan piatu. Sesungguhnya, kalangan fakir miskin dan yatim piatu adalah sasaran utama bagi pemberian zakat, fitrah, sedekah malah wakaf dan infak rezeki yang Allah berikan kepada kita. Kepercayaan ini saya berani kata sedemikan kerana Allah sering mengingatkan kita betapa apapun yang kita perolehi, di dalamnya ada bahagian untuk pihak ketiga. Maksudnya, janganlah kita kedekut dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita.

(2) Saya menulis tulisan ini, atas satu tujuan. Pada akhir Februari 2017, saya telah berkunjung ke Kg Mangkapon Laut, Pitas, Sabah. Hati saya tergerak untuk ke sana, lantaran seorang sahabat di UMS ie Sahat Sadikon rakan UKM di Pantai Baru sekitar tahun 1980an dahulu sedang mencari dana bagi membina rumah seorang relawati yang mengerakkan sebuah Tadika di perkampungan Mualaf ini. Di khabarkan relawati bersama temannya yang seorang lagi ini sedang menghadapi kesulitan tempat tinggal. Kemiskinan dan sedikit penyisihan adalah punca kepada permasalahan beliau. Di khabarkan, Tadika yang beliau uruskan adalah penting bagi penduduk setempat. Minat untuk membantu adalah terdorong dari kesulitan yang pernah saya hadapi dalam mengadakan Kelas Mengaji dan Sholat bagi anak-anak para jiran saya di Kampung. Sekitar tiga tahun lepas, cukup payah untuk saya mendapatkan seorang yang dapat secara sepenuh masa bersama anak-anak ini dan mendidik mereka belajar mengaji dan sholat dengan baik. Saya bukan sekadar sanggup mengupah, malah menyediakan rumah yang serba lengkap kepada para Ustaz, Ustazah malah guru-guru Kafa yang ada di sekeliling Kampung saya untuk tujuan ini. Malah saya telah membina Mushola yang cukup enak bagi keperluan tersebut. Namun tiada yang mahu tampil. Maka kini, ada insan yang mahu mengorbankan diri demi tarbiah Islam, namun terbiar. Tulisan ini saya perbuat adalah sebagai sebahagian dari usaha saya untuk merayu kepada mereka yang berminat untuk menyumbang dana bagi keperluan pembinaan rumah tersebut. Alhamdullilah, sehingga waktu ini, usaha ini kini telah dikembangkan di kalangan Alumi UKM Pantai Baru, KL. Sumbangan bolehlah disalurkan terus ke Akaun MayBank Alumin UKM Pantai Baru bernombor 566010612860. Projek ini telah diangkat menjadi Projek Almuni UKM Pantai Baru dan Yayasan Amal, Sabah. Pengesahan sumbangan boleh disemak atau Whatsapp kepada Bendahari Alumni UKM Pantai melalui Nos HP 0196220565, Puan Noribah Khalid.

(3) Kelanjutan dari usaha ini, saya secara pribadi membiayai penuh keperluan pembinaan kolam air bagi keperluan keluarga dimaksudkan dan juga masyarakat setempat jika perlu. Sebuah padang bola juga sedang saya usahakan bagi tujuan mengukuh silaturahim para belia dan golongan dewasa di sini yang saya lihat sedang saling kendiri lantaran sedang bergelut hebat hanya untuk hidup. Mudah-mudahan semua ini akan memberikan kehidupan baru bagi mereka di snin, In Shaa Allah.

(4) Sepanjang perjalanan ke Mangkapon sebetulnya cukup menarik, namun tidak pada lawatan saya kali ini. Dulu saya mencari keindahan, kini saya melihat peminggiran. Dari KK ke Tuaran, jalannya cukup sesak. Entah kapan Pan Borneo boleh sempai ke sini dan memperbaiki masalah ini yang telah berlarutan saya kira lebih dari 30 tahun. Inilah juga jalan yang perlu dilalui untuk ke Pantai Timur Sabah. Sudah 53 tahun merdeka, Kedahpun belum Sabah dapat tandingi dari segi pembangunan prasarananya. Dari Tuaran ke Kota Belud adalah kawasan sawah padi yang banyak sudah terbiar, Terbiar lantaran masalah pengairan dan boroh saya kira. Kota Belud adalah Buffalo City of the Bajau. Dari Kota Belud kemudian terus ke Kota Marudu, yang kini meriah kerana sumbangan oleh sektor perladangan. Weekend Night Lives dikatakan cukup Lively di sini. Tanah lanar Merudu cukup subur untuk tanaman sawit. Dari Kota Merudu ke Pitas, kita akan melewati persisir pantai Teluk Kudat. Teluk ini cukup kaya dan sangat berkeupayaan tinggi untuk meraih rahmat tidak terhingga dari Allah. Sumber seafood cukup banyak di sini. Pantainya menarik. Lautnya tenang. Cuma kebodohan politik semasa, saya kira menjadikan para pemimpin yang ada jadi tamak haloba buta dan rakyat terus miskin tanpa penghujung. Selepas kawasan pantai, perjalanan dari Pitas ke Mangkapon tidak kurang menarik kerana kita menghampiri kawasan pedalaman yang berbukit bukau hijau. Cuma astarfirullah, dalam sekitar 30-45 KM kita terpaksa melewati jalan batu berlobang-lobang. Saya dapati inilah puncanya, masyarakat di sini terus payah lantaran belanja pengangkutan dan masalah pengangkutan. Mereka benar-benr dipinggirkan.

(5) Saya telah melawat ke daerah-daerah sebelah sini sebanyak empat kali. Dulu-dulu di kala pemerintahan PBS pada 1992 di bawah Pairin Kitingan saya pernah ke kawasan Kota Belud-Marudu. Pada waktu itu, suasana sekitaran agak menarik dengan sawah padi yang meluas berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Kerana itulah lawatan pertama saya, maka saya lebih asyik mencari keindahan dari permasalah masyarakat. PBS kemudian saya dapati cukup meminggirkan kawasan ini sebagai balasan di atas peminggiran Mustapha Harun dan Haris Salleh ke atas Keningau dan pedalaman lainnya. Kemudian pada 2013, saya juga pernah ke sini lagi tetapi lebih mengarah ke Kudat bagi melihat the Tip of Borneo bersama-sama rakan-rakan semasa di SMR Kuala Krai, Kelantan. Dalam perjalan 2013 tersebut, saya cukup resah melihat kemiskinan di mana-mana, sedang kekayaan saujana melimpah ruah. Pada waktu itu saya sangat kesal dengan Shafie Apdal yang memegang potforlio Menteri Kemanjuan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW). Jika diambil Model Teluk Intan,
Perak, seharusnya beliau boleh saja mengarahkan FELCRA untuk melaksanakan Model Pembangunan yang serupa di sini. Namun kemudian ini, saya dapati dari pidato-pidato beliau kini, rupa-rupanya, beliau berpunya masalah dengan Musa Aman dalam membawa pembangunan ke Sabah. Sesungguhnya, keindahan yang saya lihat pada 1992, tersembunyi segala kemiskinan yang mula saya tampak pada 2013, dan kini pada 2017, saya mendekati kemiskinan dan peminggiran ini secara lebih dekat. Dengan tulisan ini saya berharap dapat sedikit membuka hati pembaca agar Surah Adhuha itu harus dilihat dalam kaitan sebenar ianya Allah turunkan kepada SAW iaitu sebagai galakkan dan peringatan kepada kita bertapa kita mesti bersyukur di atas rahmat Allah adalah dengan terus berbakti kepada yang miskin susah dan apa lagi yang sanggup bersusah payah demi tarbiah Islam. Tidak wajar kita bersyukur hanya enak lunak mengucap Alhamdullilah, sedang pengisiannya cukup payah kita langsaikan.

(6) Kampung Mangkapon Laut, Pitas, Sabah adalah sebuah perkampungan Mualaf. Terdapat sekitar 100 keluarga Kaum Laut tinggal di sini. Ada ketika kaum ini juga disebut sebagai Bajau Laut. Istilah Bajau Laut itu mungkin digunakan bagi mereka yang sudah sebati hidup sebagai rakyat Sabah, sedang Kaum Laut itu pula mungkin generic bagi sub-suku yang masih dicurigai tempat sebenar kedatangan mereka. Jika di Sarawak, mereka ini sama saja dengan istilah Orang Pulo iaitu masyarakat hanyut dari kepulauan Natuna di luar Sambas. Sehingga kini sejumlah 80 peratus dari mereka telah memeluk Islam. Kehidupan mereka sangat dhaif. Mungkin sifat mereka sebelum ini yang sangat bergantung kepada kehidupan laut (asal nama Orang Laut) menjadikan bertani bukan sebagai tradisi mereka. Kini mereka mulai belajar bertani namun menghadapi masalah ketiadaan tanah. Kebanyakan mereka bekerja apa saja bagi menyara hidup mereka. Kawasan keliling perkampungan ini telah diterokai dengan perladangan sawit juga Projek Hutan Kerajaan Sabah. Oleh yang demikian, sumber dan asas kehidupan mereka kian terbatas di atas kelemahan norma budaya dan cara hidup asal mereka. Apa lagi asal muasal mereka sebagai Orang-Orang Hanyut di Selat Sulu, menjadikan status kewarganegaraan mereka sangat tidak pasti. Banyak dari mereka di sini telah berkahwin dengan apa yang digelar pendatang sedang hakikatnya mereka adalah saudara-saudara hanyut. Nasib mereka tidak tumpah seperti Orang Hanyut Champa di Mekong dan Tonle Sap Indochina. Prejudis kewarganegaraan telah menyebabkan mereka menghadapi masalah dengan jatidiri dan akhirnya pendokumentasi kewarganegaraan. Akibatnya, mereka terpinggir dalam apa-apa hal yang memerlukan dokmentasi rasmi. Hanya penilaian kemanusiaan sejagat boleh mengatasi perjudis warga dan juga agama.

(7) Bagi Projek ini, saya bertanggungjawab dalam mereka bentuk, mentaksir perbelanjaan dan seterusnya remote supervision. Di peringkat lapangan, rakan saya Sahat Sadikon yang juga ahli aktif Almni UKM Pantai Baru dan Prof Kawi Bidin dari UMS akan bertindak sebagai ground supervisor. Pada masa ini, kita akan membina sebuah rumah panggung konkrit memandangkan bahawa tapak rumah yang dicadangkan sering dilanda banjir sekitar 2-3 kaki. Anggaran belanja pembinaan adalah sekitar RM60,000.00 di mana RM42,000.00 adalah untuk bahan-bahan binaan dan RM18,000.00 adalah untuk upah kontraktor. Pada masa ini sejumlah RM45,000 telah dapat dikutip  dan sejumlah RM15,000.00 lagi diperlukan. Luas lantai rumah adalah sekitar 1,344 kaki persegi dengan empat buah kamar. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada minggu ke tiga Jun, 2017. Kini sekitar 12-15 peratus dari kerja-kerja pembinaan sudah selesai. In Shaa Allah dalam minggu ke dua Julai, 2017 kerja-kerja akan rancak dimulakan kembali setelah para pekerja kembali dari beraya, dan jika cukup biaya, pada 31 Ogos, 2017, rumah tersebut sedia untuk didiami.

(8) Pembinaan rumah relawati ini adalah penting kerana pada masa ini keadaan rumah beliau adalah sangat dhaif. Asalnya terbina dari kayu-kayu soft wood dan bambu yang kini sudah banyak yang reput. Kedua orang tuanya adalah sekadar petani kais pagi makan pagi. Beliau masih mempunyai dua adik-adik yang masih bersekolah peringkat Rendah. Sehingga tulisan ini dibuat, beliau dan temannya terpaksa tinggal menumpang di Bilik Setor Surau yang berukuran 8 kaki kali 10 kaki, dalam keadaan sesak dan paling tidak selesa. Kemudahan tandas dan dapur juga tidak sempurna. Saya melihat keadaan seperti ini tidak wajar bagi beliau, apa lagi sebagai gadis belum menginjak usia 20 tahunan. Saya khuatir keadaan sebegini akan menekan jiwa mereka, apa lagi kerenah para Mualaf yang belum biasa dengan kehidupan Islami yang sebenar. Namun dalam serba kekurangan dan serba tertekan, dua gadis relawati ini telah membuktikan kesanggupan untuk berkorban demi tarbiah Islam, sedang mereka boleh memilih untuk ke kota dan menikmati kehidupan bebas merdeka kota. Rahmat Allah, kemiskinan melembutkan jiwa mereka. Kemiskinan menjadikan mereka kepingin membela kemiskinan. Mereka sedang berusaha membentuk jatidiri Islami bagi penduduk dan masyarakat mereka di sini. Mereka memilih Islam sebagai jalan membela masyarakat mereka. Inilah permata yang harus kita gilap dan hargai. Ayah beliau sering uzur dan ibunya kini sedang memainkan peranan sebagai suri dan bapa. Relawati-relawati ini bertanggungjawab dalam mengurus lebih kurang 20-30 kanak-kanak keluarga Mualaf di sini. Mereka juga bertanggungjawab dalam meneruskan semaian adeen Islam kepada Mualaf dewasa. Mereka dibayar saguhati RM500.00 sebulan/seorang.

(9) Akhir kata, mereka adalah srikandi seusia muda yang Allah lorongkan berpunya semangat membela Ummah. Hanya dengan kudrat tenaga, dan berbekal segala kekurangan, mereka meredah hidup mengabdi diri mertarbiah Islam. Kita yang serba cukup bahkan yang berlebih, belum pasti mungkin kita sanggup berkorban sepertinya mereka. Namun Mahabijaksana dan Mahadilnya Dia, Dia juga menyediakan wadah untuk kita sama-sama bertarbiah. Hanya kini terpulang kepada hati untuk kita bersama mereka. Sesungguhnya Allah menyediakan jalan zakat, fitrah, sedekah, dan infak dan keberadaan kemiskinan sebagai wadah untuk kita sama-sama menikmati rahmat di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah jadikan kemiskinan itu untuk menguntungkan yang miskin dan juga yang berada. Hanya cara kita mentafsir syukur apa lagi Adhuha yang akan membeda rahmat lanjut yang bakal kita perolehi di atas keberadaan kemiskinan. Allahualam Bisawab.

 Kuching, Sarawak
 21 Jun, 2017

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

Hebat

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.