.

2/7/15 APA MASALAH MAHATHIR ..... siapa pilihan kita?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 28, 2015

Share

& Comment

Banyak orang berkata atau bertanya, "Kenapa Mahathir selalu saja ada masalah dengan Perdana Menteri Malaysia (PM)?" Sebenarnya persoalan ini, sangat mudah difahami jika kita mengerti pribadi dan gaya perjuangan Mahathir dan mereka yang beliau berpunya masalah. Biarlah saya cuba melihat perkara ini dari sudut untuk membantu kita menentukan jalan tindakan yang sewajarnya agar kita segera terlepas dari kemungkinan-kemungkinan yang lebih parah. Di dalam Islam, kita diperlukan mengambil sikap jelas mengenai segala sesuatu. Sikap saya adalah Enough is Enough and I fear nor favor no one. Cukuplah. Apakah perlu kita menanti Allah menjadikan badut menjadi pemimpin kita, lantaran rasa bosan rakyat kepada yangt dianggap bijak beramanah namun tidak? Cuba ingat-ingat lantaran kebosanan rakyat maka Joseph Estrada di Filipina dan Gus Dur di Indonesia boleh menjadi Presiden. Apa akibatnya kepada Negara dan Bangsa? Apa tidak mungkin nanti, Abon, Shahrizan Ahmad, Raja Lawak Malaysia tidak menjadi Perdana Menteri untuk sekadar menghibur hati rakyat yang gundah gulana resah tak habis-habis? Jika badut sejati menjadi pemimpin mungkin tidak mengapa, setidak-tidak rakyat terhibur, tetapi kemungkinan badut-badut yang hanya mahu gendut sendiri menjadi pemimpin itu harus kita jangan terima, lantaran mereka pasti membawa kemelaratan rakyat.

(2) Malaysia adalah sebuah Negara majmuk. Kita menjadi makjuk kerana paksaan British. Terlalu banyak kepentingan British di Negara ini semasa kita menuntut kemerdekaan. Ingat saja, berapa banyak ladang, lombong dan segala urusan dagang British di Negara ini di zaman penjajahan mereka. Semua itu diurus oleh kuli-kuli paksaan dari China dan India. Bila merdeka, kuli-kuli paksaan ini tidak boleh dihalau keluar. Jika dihalau, punahlah segala ladang, lombong dan urusan dagang British. Kuli-kuli ini tidak juga boleh diganti dengan anak-anak Melayu lantaran berat dan parahnya kerja menjadi kuli. Maka untuk mengekalkan kepentingan ekonomi British, maka Melayu hanya boleh dimerdekakan jika mereka sanggup untuk hidup sebagai sebuah Negara majmuk. Melayu hendak segera merdeka. Melayu tidak hendak susah-susah bermandi darah berperang dengan British. Melayu terpaksa. Melayu terima. Dan Negara ini merdeka dalam kemiskinan parah biar Melayu, Cina dan India sekalipun. Kekayaan Negara terus British kaut, sedang rakyat yang ditinggalkan terus miskin kedana. Namun lantaran berbeda temadun dan asuhan, masyarakat Cina khususnya menjadi lebih industrious maka mereka dapat mengatasi masalah kemiskinan di kalangan mereka dengan lebih cepat. Masyarakat Melayu jadi terperangkap, terkial-kial di alam tradisi mereka. Pengasingan asas ekonomi di antara Melayu dan bukan Melayu yang dilakukan oleh British semasa penjajahan mereka menjadikan Melayu dalam keadaan paling disadvantage di saat merdeka dan sesudah merdeka.

(3) Mahathir menerima Negara majmuk. Mahathir tidak kisah itu. Cuma apa yang Mahathir tidak tahan adalah bila Melayu biar sudah merdeka tidak berubah cepat. Usaha pemimpin Melayu yang agak lesu dalam merombak taraf hidup Melayu sangat mengusarkan beliau. Sikap Tunku yang berlengah-lengah tak apa Mahathir lihat sebagai merbahaya kepada Melayu. Lantaran dia berpendidikan dari Singapura yang agak terdedah tentang perlombaan nyata antara Cina-Melayu maka pasti Mahathir melihat sikap tak apa Tunku akan menjadikan Melayu Malaysia menjadi Melayu Singapura, yang serba ketinggalan akhirnya. Pendeknya, Mahathir ingin melihat Melayu bergerak cergas seiringan bangsa Cina untuk membebaskan diri mereka dari kepompong kemiskinan dan segala macam kemunduran. Mahathir mahu melihat usaha-usaha keras mengenai perkara ini. Hakikatnya, Tunku dan Mahathir punya jati diri dan cara perjuangan yang sangat berbeda. Tunku anak Raja. Berpendidikan Barat. Tunku adalah anak emas. Cukup terdidiuk dengan cara gentleman. Dua sikap ini, menjadikan Tunku banyak mengalah dari memaksa.  Bahkan kebanyakan mereka yang di keliling Tunku adalah Melayu-Melayu gentlemen yang asing bagi mahathir. Perjuangan Tunku adalah kemerdekaan politik Melayu. Itu sudah tercapai, kira-kira memadai dulu. Mahatthir adalah sebaliknya. Dia anak guru yang susah. Dari rakyat biasa. Dia sekolah sepenuhnya dalam Negara (termasuk Singapura). Dia bergelumang terus dengan kemiskinan dan rakyat. Dia anak lumpur. Dia membesar dan mendewasa dalam lumpur. Dia ingin bangsanya segera bebas dari lumpur. Mahathir saya yakin dia ingin melihat bangsanya merdeka dan berdaulat mandiri.

(4) Mahathir tidak punya masalah dengan Abdul Razak. Abdul Razak, tumpuan kerja beliau adalah membangunkan Negara. Abdul razak biar punya pendidikan tinggi di London, sikap gentlemantidak terbentuk pada dirinya. Keperihatinan beliau terhadap bangsanya agak berbeza dari Tunku. Beliau kelihatan jelas jujur membina Negara. Biar di desa apa lagi di kota-kota kian jelas usaha-usaha keras Abdul Razak. Juga apa juga yang Abdul Razak buat, sepertinya adalah benda-benda baru dalam kehidupan dan tradisi Melayu. Itu semua sehati dan sejiwa dengan Mahathir sebagai anak muda yang inginkan pembaharuan dan perubahan ketara. Maka Mahathir di zaman Abdul Razak menjadi seorang pelajar yang tekun. Saban waktu bersama Abdul Razak adalah waktu belajar baginya. Abdul Razak secara sedar tidak sedar menjadi idola Mahathir. Idola dari segi sikap dan kebijaksanaannya.  Begitu juga di saat Husein Onn memegang tampuk pemerintahan Negara. Apa lagi di saat itu, Mahathir sendiri adalah Timbalan Perdana Menterinya. Saya yakin, dari pemerhatian Mahathir, Husein Onn punya sikap jujur menumpu dalam meneruskan segala usaha-usaha Abdul Razak. Husein Onn tidak meminda apa-apa, malah memperkukuh usaha Abdul Razak dengan suatu kebijaksanaan yang luar biasa contohnya dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) hasil pemikiran Rezaleigh Hamzah sebagai wadah bagi rakyat bersama menyertai dan meraih faedah dari perkembangan ekonomi Negara. Saya yakin Mahathir kagum dengan pemikiran sebegini. Beliau punya kekaguman kepada Husein Onn sama seperti kagumnya beliau terhadap Abdul Razak. Saya berkira, Malaysia adalah satu-satunya Negara di dunia sehingga kini yang mempunyai wadah bagi pelaburan rakyat-rakyat kecil yang terurus secara koprat mega.

(5) Maka takala dia menjadi Perdana Menteri, semangat membina Negara, membela Melayu, mengegak Islam Mahathir asak dengan kuat serta memanafaat penuh segala apa yang telah Abdul Razak dan Husien wariskan. Setelah memerintah dari 1982 sehingga 1990, tidak banyak perubahan nyata dapat beliau lakukan. Ini dapat diperhati berdasarkan Lapuran World Macro-economic Reserach oleh Ivan Khusir, di mana pergerakkan GDP Negara dari 1970-1990 adalah amat tidak ketara. GDP Malaysia  pada nilai malar (semasa) 1970 pada 1970 adalah U$3.7b (U$43.7b), pada 1982 pula hanya bernilai U$6.1b (U$29b), 1990 pada U$16.3b (U$47.6b). Maka dengan sebab itu bermula dari 1990 beliau telah melakukan banyak perubahan kepada struktur ekonomi Negara serta cara urus tadbir agensi-agensi Negara. Dalam tempoh ini Malaysia mengalami perubahan struktur ekonomi yang amat ketara dan mulai membuahkan hasil yang baik. Pada 1996, GDP Negara bernilai U$28.3b (U$109b), namun kecelakaan terjadi bila serangan Matawang Asia pada 1997-98 telah menarik turun segala usaha-usaha keras Negara sebelumnya. Pada 2000 nilai GDP Negara hanya kembang sedikit ke U$32.5b (U$97.6b), pada 2002 meningkat ke U$34.4b (U$104.9b) dan seterusnya berkembang semula sehingga pada 2013 pada U$59.2b (U$312.4b). Sesungguhnya, potensi GDP Malaysia pada 1970 seharusnya bernilai U$55.3b dan pada 2013 seharusnya U$1,156.7b jika dirujuk berasaskan pendapatan per kapita Amerika. Keadaan sebenar ekonomi Malaysia adalah terlalu jauh dari potensi sebenar kita, maka pasti telah berlaku sistem ekonomi dan pengurusan ekonomi yang tidak optima sedang berlaku di Negara ini.

(6) Buku-buku tek ekonomi Barat, sering merujuk betapa kelemahan ekonomi Malaysia adalah lantaran adanya DEB. DEB dilihat sebagai hambatan kepada penzahiran keupayaan sebenar ekonomi Malaysia. Dakwaan itu saya setuju ada benarnya jika dilihat dari sudut perfect economic system. Itulah amalan Amerika dan Barat di zaman Kebangkitan Rennaisance mereka. Mereka khususnya Ameriuka, singkirkan kepentingan Red Indian dan Mexican. Mereka pacu sistem ekonomi terbuka penjajah. Sebegitu juga apa yang mereka lakukan di Latin Amerika dan bahkan di Filipina. Akhirnya Amerika, Kanada, seluruh Barat, bahkan Jepun, Korea dan Singapura maju mendadak, namun pribumi mereka terus pincang ketinggalan. Hakikatnya, British telah meninggalkan keadaan Imperfect Economic System, maka para pemimpin dan pentadbir Melayu sehingga kini tidak boleh terima anjuran Sistem Ekonomi Terbuka tanpa pemfaktorandanya DEB.

(7) Sehingga 1990, adalah detik saikologi bagi Melayu untuk mengapai apa yang terhak kepada mereka. Sebelumnya, Melayu sering dilihat sebagai bangsa lemah, pemalas dan mundur. DEB yang digubal pada 1972 mempunyai matlamat untuk meletak Melayu sekurang-kurang menguasai 30 peratus dari sektor ekonomi Negara, Namun pada 1990 matlamat itu masih jauh dari tercapai. Sejak merdeka sehingga 1990 Melayu masih sangat terikat bergelumang di dalam sektor ekonomi tradisional iaitu pertanian kecil-kecilan dan bekerja makan gaji. Keusahawanan dalam dunia Melayu belum terserlah. Keadaan ini saya kira Mahathir lihat sebagai psychological barrier untuk Melayu boleh melangkah jauh.  Pada 1990, pada detik DEB seharusnya sudah mencapai dasarnya, namun kepeleset jauh, Mahathir lalu mengusul gagasan Negara Maju pada 2020 sebagai gegaran agar seluruh rakyat Malaysia tumpukan untuk hambatkan. Bagi menyemai semangat sanggup berkerja keras dan tangkas, pada Jun 1992, Mahathir memperkenalkan slogan Malaysia Boleh sebagai laungan keramat untuk menguncang hati Melayu khususnya. Semangat Malaysia Boleh akhirnya terjelma sebagai semangat juang Generasi Y (dan X) Malaysia pada masa itu yang serasi dengan kehendak Mahathir untuk bergerak pantas. Segala-galanya pada 1990an, Mahathir asak dengan pantas dan keras. Era 1990-1997 menyaksikan pembinaan Malaysia Moden dengan penuh yakin. Segala rencana beliau tetapkan untuk mesti dilaksanakan demi mencapai status Negara Maju pada tahun 2020. Saban malam pada jam 20.00, rakyat Malaysia tertegun di kaca TV melihat Mahathir mundar mandir memeriksa atau melancarkan projek-ptojek mega beliau. Ekonomi Malaysia tumbuh (growing)  dan kembang (diversified) dengan hebat. Setiap hari ada rasa feel good yang amat tinggi dalam diri setiap rakyat Malaysia. Cuma terkecundangnya pada 1997 bila krisis kewangan berlaku, pada 1998 juga telah menimbulkan krisis politik yang berlarutan sehingga kini. Mahathir sendiri terperangkap dalam dakyah betapa pentadbirannya penuh cronism and corruptism. Anwar menebus maruah pribadinya dalam pelbagai skandal dengan semua itu dengan bantuan asing yang hebat. Kehadiran musuh dalam selimut kuasa asing memang nanti-nantikan untuk menghukum Mahathir di atas kelantangannya. Rakyat kian termakan dakyah Anwar. Di sana sini, segala kecacatan Mahathir terbuka hampar luas. Semua ini akhirnya memaksa Mahathir berkecil hati untuk undur diri pada 2002 dan menyaksikan perlaksanaan segala projek mega rencana asal beliau tertangguh dan atau terbatal. Di situlah bermulanya masalah Mahatthir dengan sesiapapun penganti beliau lantaran kepercayaannya betapa segala projek-projek mega tersebut adalah asas bagi mencapai sebuah Negara Maju yang lain dari negara-negara lain iaitu pada acuan sendiri.

(8) Apakah maksud Maju pada acuan sendiri? Amerika, Kanada, Australia, Singapura, bahkan Barat lainnya semua maju dengan menindas menafikan pribumi. Mahathir ingin Malaysia Maju tanpa ada pihak tertindas malah semua mampu berdiri sama tinggi bernyanyi sama merdu. Maka, kemajuan di Negara ini harus mengambil kira dengan kuat agihan saksama kekayaan Negara. Itulah asas kepada penubuhan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Pernyelarasan Perlaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri sedari mulanya. Semua itu adalah atas keperluan Malaysia sebagai sebuah Negara Majmuk Terbuka. Kesaksamaan agihan adalah penting kerana Abdul Razak dan Hussein Onn telah membuktikan ianya dapoat membawa lebih kemakmuran dan keamanan kepada Negara. Cuma struktur ekonomi yang Mahathir perlu rombak. Belaiu tidak pernah membelakangkan EPU dan ICU dalam pengubalan sebarang darasr dan rencana pembangunan Negara. mahathir saya lihat tok tok setempat dan itu selari dengan sifat ultra beliau. Itulah dua agensi penting Negara yang menjadi tangan, mata, telinga dan jantung Mahathir. Mahathir dan segala kepakaran dalam Negara bersama-sama merangka apakah keperluan dan seharusnya rakyat Negara ini ada menjelang 2020 untuk mereka boleh berdiri sebagai Bangsa Malaysia, dan perancanagn itulah acuannya sebenarnya. Malaysia Maju atas citausaha anak-anak tempatan!

(9) Di antara projek-projek mega Mahathir yang terbantut dan atau terlewat selepas pelepasan jawatan beliau adalah sambungan pelbagai pembinaan di Putera Jaya, Pengembangan ketara Cyberjaya, Jambatan kedua Pulau Pinang, MRT, ERL KLIA-Putera Jaya, Keretapi Laju, Jambatan Bengkok, Lebuh Raya Pantai Timur, dsb Penangguhan apa lagi pembatalan projek-projek ini pasti membantutkan perkembangan perancangan pertumbuhan kuat di the Greater Kuala Lumpur, Sepang-Putera Jaya, bahkan di jajaran Pantai Barat, Timur dan Selatan Semenanjung. Kepada Mahathir semua prasarana asas ini adalah pentng sebagai asas bagi menyokong perkembangan ekonomi Negara berasaskan teknologi tinggi selaras dengan usaha-usaha pembangunan tenaga manusia yang sedang berjalan. Penangguhan dan atau pembatalan projek-projek ini telah frustrating usaha-uasaha pembangunan tenaga manusia berkemahiran yang sangat beliau tekankan. Akibat pembekuan projek-projek mega tersebut, berlaku penghijerahan keluar kepakaran Malaysia yang selama ini beliau bina. Mahasiswa yang keluar dari Univeristi tempatan dan luar Negara kian menghadapi kepayahan untuk mendapat pekerjaan selaras denagn pengajian masing-masing. Keresahan sosial bermula hebat dengan langkah berhemah Abdullah Badawi. Abbdulah bila mengambilalih pemerintahan oleh Mahathir sedang diasak dengan bayangan gejala rasuah. Anwar yang lantang membangkang mengasak Kerajaan yang ada terutama di zaman Mahathir adalah penuh dengan masalah rasuah dan pilih kasih. Inilah faktor yang menekan Abdullah untuk memberhenti segala projek mega dan menjalankan pengurusan berhemah. Namun, itupun tidak meredakan tekanan bangkangan Anwar, sehingga akibat berhemah, ekonomi Malaysia tidak berkembang luas dari sepatutnya.

(10) Saya melihat, Abdullah telah tertipu dengan cara politik Anwar. Anwar membantai Kerajaan bukanlah kerana rasuah, pilih kasih, boros, dsb itu sangat berleluasa di zaman Mahathir, tetapi itu adalah sekadar untuk menimbulkan rasa takut kepada Abdullah agar tidak meneruskan segala perancangan Mahathir. Anwar bijak bermain kata-kata. Abdullah gentar dengan aura Anwar di kalangan anak-anak muda. Anwar faham saban tahun ratusan ribu mahasiswa Negara akan keluar ke pasaran kerja. Jika projek mega Mahathir dapat disekat, perkembangan ekonomi Negara pasti terencat. Anwar ingin membina keadaan keresahan sosial bagi kemenangan agendanya. Dan ini benar-benar terjadi, sehingga akibatnya, Generasi Y pasca Mahathir kian menjadi resah dan itu beliau akhirnya garap sebagai gerakan politik jalanan beliau yang sangat hebat. Maka kemarahan Mahathir kepada Abdullah adalah bersebabkan dua faktor iaitu gagal dalam mengurus ekonomi Negara serta tunduk kepada muslihat Anwar. Beliau Mahathir lihat sebagai Perdana Menteri yang lemah dan harus turun.

(11) Walau apapun, sebetulnya, pertumbuhan semula ekonomi Negara pada pasca 2002 adalah kesan dari segala perubahan prasarana dan penyusunan semula agensi-agensi awam khususnya penswastaan Mahathir di awal 1990an. Begitu juga Mahathir telah berjaya merombak semangat dan cara kerja para pegawai awam dan swasta Melayu lewat penswastaan dan penubuhan GLC. Cuma harus dibedakan di antara maksud pertumbuhan (growth) dan perkembangan (expansion) ekonomi. Pertumbuhan tidak semestinya membawa maksud perkembangan, namun perkembangan pasti membawa pertumbuhan. Pertumbuhan lebih kepada peningkatan statistik sektor yang ada sedang perkembangan merujuk kepada perluasan dan kepelbagaian sektor ekonomi. Saya perhatikan dari 2002 membawa ke kini, pertumbuhan ekonomi sememangnya ada namun perkembangan ekonomi sangat kurang. Struktur ekonomi kita masih lagi pada tahap di mana Mahathir telah berhenti. Bahkan contohnya bidang ICT kian menguncup dengan gagalnya perkembangan Cyberjaya seperti rencana struktur asalnya. Cyberjaya dari berkembang menjadi Cyberjaya Innovation City kini sedang didorong untuk berkembang serbagai bandar-bandar biasa menyaingi Putera Jaya yang letaknya hanya bersebelahan. Keduanya tidak menjadi dua bandar yang saling melengkap menuju kota bistari tetapi kian saling membatalkan peranan asal masing-masing. Begitu juga perkembanagn automotif Negara belum boleh keluar dari karyacipta Proton ie kereta penumpang dan belumpun menjurus hebat ke bidang automotif berat dan penerbangan. Semua ini tambah mengecewakan Mahathir terhadap Mohd Najib yang beliau angkat mengantikan Abdullah. Najib terus berlengah-lengah dalam melaksanakan segala perancangan awal beliau. Namun, tanpa Najib sedar, mau tidak mahu segala itu perlu juga dilaksanakan lantaran perancangan Mahathir yang bersifat Organic Economic Development yang bersandarkan sistem organel tubuh manusia, di mana setiap satu memerluka lagi satu dan tidak ada yang harus cacat, maka akhirnya Najib terpaksa akur untuk melaksanakan semua kecuali Jambatan Bengkok dan Biaya R&D Automotif Proton. Namun, kerana terlewat laksana, biaya perlaksanaan ERL, LRT, MRT, Bullet Train dsb telah melambung tinggi. Keadaan ini memaksa Negara untuk berhutang lebih besar. Inilah akhirnya Mahathir lihat betapa Najib biar punya kelulusan pengajian yang baikpun tidak faham akan Negara Maju Acuan Sendiri yang Mahathir telah rangka. Mahathir sekali lagi perlu mengambil keputusan untuk melucutkan Najib dari jawatan Perdana Menteri.  Apa lagi Najib juga Mahathir lihat sebagai lemah kerana punya banyak kecenderungan untuk tunduk kepada pihak-pihak yang tidak patut samada di dalam dan di luar Negara. Mahathir melihat Najib sebabagi tidak bijak dan lemah. Paling Mahathir tidak mahu, Najib pasti gagal untuk meletakkan Malaysia sebagai Negara Maju pada 2020.

(12) Najib Mahathir lihat sebagai terlalu tunduk kepada tekanan luar, dan itu paling memalukan sebagai sebuah Negara berdaulat. Jambatan Bengkok adalah kemarahan Mahathir paling hebat kerana kegagalan untuk melaksanakan Jambatan itu terang-terang betapa Malaysia harus tunduk kepada kehendak Singapura. Mahathir melihat kegagalan ini sebagai mencalit arang ke muka oleh Singapura. Segala alasan perundangan dan teknikal sebagaimana yang Najib cuba ketengahkan hanyalah sebagai alasan untuk melindungi dirinya dari harus tunduk kepada tekanan Singapura. Begitu jugalah dalam prihal Bullet Train. Najib juga tunduk kepada tekanan Singapura tanpa berusaha keras bertindak sebagai sebuah negara merdeka berdaulat. Apa lagi keakraban Malayisa dengan Amerika pasti kurang menyenangkan Mahathir lantaran dalam keadaan apapun Amerika pasti menagih balas budi dari Malaysia. Penglibatan Malaysia di dalam perundingan TPPA hampir-hampir menjurus Najib menyerah kedaulatan Malaysia ke dalam tangan Amerika. Dalam banyak tindak tanduk Najib, beliau kian kelihatan mengikut telunjuk pihak luar dan dalam Negara. Penghapusan pelbagai Undang-Undang Negara adalah contoh Najib genar tunduk kepada tekanan dan betapa dia lebih gemar popular politic dari benar-benar mementingkan Negara. Paling anih, bila sesuatu Undang-Undang digugurkan, beliau terpaksa pula mengujudkan Undang-Undang lain yang hampir serupa. Najib suka membuat kerja jenis buang asal balik asal.

(13) Secara kebetulan Najib juga kian diselubungi pelbagai masalah pribadi. Soal benar atau tidak itu soal lain. Namun keadaan di mana beliau tengah dilingkungi segala macam skandal-skandal pribadi pasti menjejas tumpuan beliau untuk memacu Negara menghambat waktu yang sudah terbazir. Isu 1MDB, pembunuhan Attantuya Saribu, hidup, bermewah-mewah, wang politik yang belum jelas, dsb pasti menganggu pemusatan pemikiran dan tenaga Najib untuk membina Negara. Akibat pelbagai skandal ini, Najib seperti sedang berada di dalam keadaan mudah diperas ugut oleh banyak Negara terutama Amerika, Australia, Singapura, China dan bahkan Russia. Kita seolah-olah berpunya Perdana Menteri yang sedang dikuasai dan tersangat mudah terdedah kepada manipulasi kuasa-kuasa asing. Apa lagi kini dunia seperti sedang menghidupkan kembali Perang Dingin dalam selimut perang dagang dan matawang. Blok Barat sedang membantai Blok Kominis China-Russia dalam perebutan Kapitalisma juga sebenarnya. Barat sudah selesai membantai ranapkan Arab. Ekonomi Negara pasti bertambah kacau, dan saya yakin, Mahathir terlebih lagi yakin, Najib harus berehat dulu dan seorang Nakhoda baru harus meneruskan pelayaran. Najib harus mengambil iktibar dari kejadian fitnah ke atas para isteri baginda sehingga baginda memilih jalan mengasing dan rehat dari para isterinya sehingga kebenaran sudah terhampar. Tiada guna Najib cuba menantang arus saat kapal kian kopak, layar sudah robek dan pengayuh sudah patah. Watasiah dan Maqasid yang beliau perjuangkan memerlukan beliau berkorban. Terus bertempik menuding dan mengugut tidak akan membangkit semangat Melayu untuk menjadi dedikasi waras tetapi sekadar membangkit semangat api permusuhan. Najib harus kekal sebagai wira yang sanggup berehat untuk melunas jalan pembersihan. Sebegitulah sikap Hang Tuah jika Najib masih ingat.

(14) Siapakah pilihan rakyat semasa Najib rehat dan atau berhenti? Saya tetap mendokong kepimpinan Negara harus berteraskan UMNO. Namun UMNO itu bukan UMNO kini. UMNO yang dituntut oleh Negara adalah UMNO yang bersih dan amanah. Hanya dengan UMNO yang mendokong jalan sebegitu, maka baru politik Negara akan menjadi harmoni, bersih dan amanah. Siapakah tokoh UMNO yang mampu, bukan sekadar membersihkan dan mengembalikan UMNO menjadi sandaran kukuh Melayu dan Negara? Saya melihat tokok ini, tidak sahaja boleh diterima oleh UMNO tetapi juga oleh rakyat lainnya. Beliau juga harus sudah punya pengalaman luas dan teruji benar. Tokoh itu sebetulnya sudah ada jika kita sanggup berlapang dada, dia sudah ada bersama kita. Saya yakin Allah sayangkan Umat Melayu, lantaran ArRahmannya Dia, Dia pasti sudah ada penyelamat messiah di kalangan kita. Cuma soalnya, cara Melayu massa berfikir menjadikan kita kian menyempit dan prejudis. In Shaa Allah saya akan kemukakan pandangan saya tentang ini dalam rencana selanjutnya.

Kuching-Pontianak
28 July-24 Ogos, 2015

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

Micro comments.....

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.