Latest Postings
Loading...
May 15, 2015

6/5/15 KUALA LUMPUR MENGAPAI LANGIT.....Melayupun pengsan (DRAFT).

Pemimpin dan apa lagi para penjawat awam dan swasta kita, banyak ke luar Negara khususnya ke Barat. Begitu juga saban tahun pulohan ribu para pelajar kita di hantar dan atau ke Barat untuk menuntut ilmu. Jika kita menghitung, saya kira jika tidak jutaan pasti ratusan ribu rakyat Negara ini ke Barat atas urusan apapun. Kota London, Paris, Venice, New York, Los Angeles, Perth, Wellington, dsb menjadi kota-kota terbiasa bagi sebahagian rakyat di Negara ini. Mungkin kita tidak berapa perasan, pilihan tempat lawatan rakyat Negara ini sangat berkait dengan keturunan kaum dan kedudukan sosio-ekonomi mereka. Pembesar dan golongan menengah Melayu amat gemar ke Amerika, Eropah dan Australia-New Zealand. Peniaga dan masyarakat Cina lebih gemar ke China, Hong Kong, Taiwan, dan Korea. Namun anak-anak dan keluarga mereka kini banyak belajar di Australia. Bagi pedagang dan golongan menengah India pula, mereka pasti lebih gemar ke India dan juga Eropah. Bagi golongan menengah rendah dan rendah Melayu, Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Mekah-Madinah menjadi kegemaran mereka. Pada tahun 2014, KLIA menduduki tangga ke 13 sebagai lapangan terbang tersibuk di dunia dengan jumlah mereka yang keluar masuk melalui KLIA mencecah 34.50 juta penumpang. Kenapa saikologi dan atau sosiologi tempat lawatan rakyat kita jadi sebegitu? Apa untungnya? Bagaimana semua itu akhirnya diterjemahkan menjadi kehidupan kita sehari-hari? Bagi orang Melayu khususnya, kepada para pemmimpin dan pembesar apakah mereka faham bagaimana masyarakat Barat khususnya dapat membina kota-kota mereka sedemikian rupa sehingga kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan kaum sasaran adalah sangat terjamin? Di Amerika umpamanya, bagaimanakah segala sistem mereka perbuat demi Anglo dan secara tersembunyi menekan kelompok Black, Hsipanic dan Asian? Bagaimanakah itu boleh diterjemahkan dalam soal kita membina kota-kota di Negara ini? Tidakkah kehidupan di kota-kota kita paling meminggirkan Melayu, sedang yang berkuasa adalah Melayu? Kita berada sangat jauh dari membina kehidupan kota yang saksama untuk semua bangsa Malaysia

(2) Sebaik meninggalkan jawatan awam pada 31 Disembar, 2011, saya mengambil keputusan untuk merantau buat beberapa bulan. Tempat pertama yang menarik minat saya adalah berjalan di sepanjang Sg. Kelang bermula dari Daya Bumi sehingga ke Hotel Vistana. Saya juga menelusuri sebahagian Sg Gombak. Sebetulnya, pada perjalanan ini, saya ingin mengulangi perjalanan kaki saya pada zaman sengkek pelajar saya di sekitar 1980 dulu. Di seberang Masjid Jamek, di situlah dulunya Benteng tempat di mana saya akan sering berkunjung untuk makan satay dan kerang rebus. Juga saya sedang mencari roh datuk saya yang pernah ulang-alik antara Kg Baru-Pasar Seni dan Pudu semasa awal jalan penghijerahan beliau dari Rhiau ke Sarawak di sebelum zamannya Jepun. Entah kebetulan, atau sememangnya sudah kudrat, semasa kecil-kecil saya amat suka melukis. Lukisan saya tidak akan pernah lari dari kehidupan sungai. Melihat akan kedua sungai ini, pelbagai gambaran menjelma dalam benak saya. Bagaimana rupa keduannya pada zaman asal mereka, dan apakah akan terjadi kepada mereka sekitar 200-300 tahun mendatang. Mungkin, 300 tahun dahulu, kedua-dua sungai ini pasti sangat indah menjadikan orang-orang Melayu mampu membangun Kampung Baru dan segala Kampung di kawasan-kawasan hulunya. Apa tidak mungkin, 300 tahun kemudian, sungai-sungai ini akan menjadi aliran hitam memualkan? Saya pernah menulis mengenai perkara ini di tahun 2012, dan rasanya tidak lama kemudian Mohd Najib (2013) mengusulkan agar kedua-dua Sg Kelang dan Sg Gombak ini harus dibangunkan sebagai Nadi Bandaraya Kuala Lumpur. Saya amat bersyukur dengan saranan beliau itu. Sesungguhnya, masih banyak ruang di sepanjang Sg Kelang-Sg Gombak di dalam wilayah Kuala Lumpur yang boleh dibangunkan secara teratur dan mendatangkan kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat. Saya yakin keperluan ratusan ribu tenaga kerja yang berulang alik antara luar bandaraya (metro) dan kawasan pusat bandaraya (CBD) akan dapat ditempatkan baik di sepanjang kedua-dua tebing sungai ini untuk meningkatkan kecekapan mobility boroh. Kini pembangunan pinggiran Sg Klang-Gombak dirancang untuk mengambil pendekatan sebagai Nadi Kehidupan (NKe); River of Lives (ROL) suatu konsep yang sangat alami dan menyegarkan bunyinya.

(3) Kotaraya Jakarta, Bangkok, Manila dan Singapura adalah empat kota yang pasti orang Malaysia telah banyak kunjungi. Di Jakarta, Manila dan Bangkok khususnya, sekitar 3-4 juta penduduknya berulang alik secara harian dari CBD ke metro-metro pinggirannya. Inilah golongan pekerja yang berulang-alik dengan apa juga jenis pengangkutan yang ada. Pergilah ke sana bagi yang belum biasa, dan tanyalah, para pekerja menengah bawah dan bawahan. Mereka menghabis antara 3-5 jam sehari di atas jalanraya. Pokoknya sebahagian masa tidur dan istirehat mereka habiskan di atas jalan. Jangan dikira jika berlaku hujan. Namun lain di Singapura. Semua node pekerjaan dan kediaman pasti akan tercapai dalam sekitar 20-30 minit sahaja. Kuala Lumpur bagaimana? Kuala Lumpur jika tanpa MRT, LRT dan ERL, pasti lebih parah. Berbanding negara-negara Asia yang lain, saya berkira, Malaysia adalah Negara paling bermotor. Pada tahun 2011, terdapat 21.25 juta kenderaan di Malaysia. Di Kuala Lumpur sahaja terdapat 4.91 juta kenderaan bagi sebuah Kotaraya dengan jumlah penduduk sekitar 6.90 juta penduduk (Lembah Kelang). Jika dilihat secara dekat, setiap rumah di Kuala Lumpur mempunyai sekitar 2-3 buah kenderaan. Pengurusan pengangkutan adalah suatu bidang yang saya kira Malaysia apa lagi Kuala Lumpur tidak berikan perhatian secara menyeluruh. Bagi saya, Transport Planners di Kuala Lumpur sangat terpengaruh dengan pembangunan yang ada dari mempengaruhi pola dan bentuk pembangunan. Tanpa sistem pengangkutan menyeluruh, bersepadu dan terkawal, pernahkah kita terfikir akan kesan kepada  daya pengeluaran, keberkesan perbelanjaan, dan kesejahteraan rakyat seluruhnya? Sistem pengangkutan di Kuala Lumpur tidak memberikan Kotaraya itu kelebihan yang sewajarnya di sebuah wilayah dan rantau yang pesat membangun. Sistem pengakutan di Kuala Lumpur kian melumpuhkan Kotaraya itu. Menyesakkan sebahagian besar penghuninya. Melayu mungkin paling parah menerima kesan buruk dari sistem pengangkutan Kuala Lumpur yang tidak cekap. Ini baru satu bidang.

(4) Agak-agak ada keberanian pada Kerajaan dan atau pihak DBKL untuk menyekat jumlah kemasukan kenderaan ke CBD Kuala Lumpur? Atau apa sedang ada usaha keras, agar katakan 5-10 tahun lagi, jumlah kenderaan persendirian yang masuk ke CBD dapat dikurangkan katakan sehingga 50-70 peratus. Saya belum pernah melata di jalan-jalan di Tokyo, namun saya menjangka biar Jepun adalah pengeluar kereta kedua terbesar dunia, jalan-jalan di Tokyo agak lenggang. Kenapa? Pernahkan Kerajaan kita mula berfikir, betapa kita sedang menuju Pengimport Bersih Minyak besar, dan apakah persiapan kita agar perkara ini dapat kita kekangkan? Juga jika Kuala Lumpur ingin menjadi Kotaraya Syurga Membeli Belah, apakah langkah strategik kita selanjutnya dalam menyusun sistem pengangkutan yang memenuhi keperluan-keperluan ini. Saya yakin jika Kuala Lumpur mahu bergerak ke arah Kotaraya Perlacungan, moblity pekerja dan pelawat harus menjadi perhatian berat semua pihak. Alangkah seronoknya sebagai pelawat, kita dapat memandu kereta sewa khas di sekitar Kuala Lumpur tanpa takut tersekat di mana-mana. Mungkin lantaran kita terlalu mementingkan kehendak pihak-pihak tertentu, maka kita sanggup korbankan rakyat dan masa depan Negara secara jangka panjangnya.

(5) Gejala, banyak Melayu kian mengantuk di pejabat-pejabat harus banyak pihak di Kuala Lumpur perhatikan. Begitu juga banyak Melayu kelihatan agak lesu, semasa bekerja khususnya di waktu sebelah petang harus mulai dikaji. Sedang pekerjaan perlukan tumpuan yang kuat serta, dengan segala kerenah ketakcekapan pengangkutan, semua ini, saya menjangkakan akan membawa tekanan perasaan yang kian memuncak kepada Melayu, dan suatu hari nanti akan mereka lahirkan dalam bentuk liar yang anih-anih.  Di saat itu, apa mungkin banyak yang sadar betapa kekalutan sistem perhubungan dan pengangkutan kita yang tidak terususn dan cekap adalah punca segalanya. Kesesakan jalan-jalan di Kuala Lumpur benar-benar membazir tenaga dan masa Melayu. Paling menekan, pembangunan prasarana perhubungan dan pengangkutan di Kuala Lumpur akan menjadi terlalu mahal, yang akhirnya kian diterjemah sebagai element for cost transfer to customers dalam banyak hal dan ini boleh menimbulkan belanja hidup yang semangkin menekan. Akhirnya, kegilaan pembangunan di Kuala Lumpur akan lebih banyak melahirkan masayarakat gila-gila. Jangan sampai suatu hari Melayu mengamuk hanya kerana mereka bersangka salah betapa segala pembangunan mahal-mahal ini adalah disengajakan demi mengisi tembolok sebahagian lalu menyusahkan rakyat kebanyakan. Kerajaan harus punya keberanian untuk melakukan preemptive action untuk mengurangkan kerenah pengangkutan dan perhubungan agar mobility tenaga kerja menjadi kecap dan selesa. Janganlah kebahagian Melayu terus saja terkorban di jalan-jalan yang menyesakkan.

(6) Sekitar 5-15 tahun dahulu, saya juga sering berkeliling di lorong-lorong belakang di Kuala Lumpur. Kini, terbaharu, saya juga berbuat sedemikian dalam beberapa minggu yang lepas. Jika 10-15 tahun dahulu, pelacuran murahan banyak di Kuala Lumpur. Nuansa pelacuran sebegitu, pasti dilingkari lain-lain gejala sosial kecil-kecilan seperti perjudian jalanan, jualan obat-obat kuat, warung-warung jualan bawah meja segala pil dan dadah, dsb. Inilah suasana hiburan rakyat pinggiran di masa lalu. Chow Kit dan Pudu paling ganas dalam bidang-bidang tersebut. Alhamdullilah kegiatan itu sudah sangat berkurangan.  Syabas DBKL yang dapat mengubah sebahagian kawasan gelap ini menjadi medan pasar rakyat. Setidak-tidak wajah-wajah berbentuk Apek-Apek Tua Menjual Betina-Betina Melayu sudah sangat payah untuk di temui. Namun apa yang sudah memeranjatkan saya adalah kehidupan gheto Manila, Jakarta dan Bangkok sudah mulai menulari Kuala Lumpur. Saya mulai menemukan bentuk kediaman berlapis-lapis serta berasak-asak di luar dari kehidupan biasa Malaysia. Kediaman berupa bilik-bilik sambungan sangat sementara sudah banyak terbangun di kawasan deretan kedai-kedai lama. Tanpa segala bentuk saliran yang baik, kediaman-kediaman berbentuk sangkar-sangkar merpati ini menghasilkan kehanyiran yang di masa depan pasti mengundang segala jenis genjala penyakit yang mungkin sukar kita bendung. Apakah Kuala Lumpur mahu menunggu seperti padah the Great Black London Plague sehingga menimbulkan ideologi komunis baru mahu mengubah? Jika di Bukit Bintang, banyak kedai-kedai sudah berubah wajah menjadi kelompok Arab, Arabs colony, sedang di sudut-sudut tertentu Kuala Lumpur kian terbentuk Jakarta, Manila and Bankok Backlane Lifestyle. Kebersihan, keselesaan dan keselamatan adalah jauh dari kecapaian bentuk-bentuk kehidupan sebegini. Saya cuba mengamati, penghuni di kediaman-kediaman sebegini, kebanyakan adalah orang bukan Malaysia. Begitu juga saya sudah mulai melihat, adanya anak-anak kecil umuran 3-12 tahun mulai membentuk kelompok-kelompok gagak tanpa sayap. Apa yang kita lihat di Kota Kinabalu, gejala anak-anak tidak bernegara sudah menjangkiti Kuala Lumpur. Anak-anak pelarian sudah mulai tumbuh di Kuala Lumpur. Saya benar-benar terperanjat kerana amalan di Malaysia sekitar jam 1800-2200, anak-anak Malaysia pasti semua sudah terpaku bersama keluarga masing-masing. Di sudut-sudut tertentu Kuala Lumpur saya mulai melihat tikus-tikus berkaki dua. Ini di CBD, bagaimana metro-metro pinggiran Kuala Lumpur? Jika dulu kita sering melihat desa-desa setinggan melata di pinggiran Sg Kelang khusus di kawasan-kawasan rel keretapi, kini segala itu sudah sangat jauh berkurang. Ke mana perginya mereka?  Sememangnya banyak dari mereka sudah mendiami rumah-rumah di awang-awangan. Inilah perumahan rakyat yang meminggirkan mereka ke metro-metro pinggiran. Mereka menjadi penduduk buruan ke Selayang, Gombak, Batu Cave, Cheras, Puchong, Salak, Sg Buloh dsb. Atas nama Pertumbuhan Ekonomi Kota Raya mereka harus meminggir ke pinggir-pinggir metro. Kotanya menjulang di CBD, rakyat Melayunya merayap mengalami exponential growth di metro-metro pinggiran. Bagaimana keadaan mereka kini? Akibat ana berana ana berana akhirnya mereka kembali dalam keadaan suasana bersesak seperti mereka dulunya di desa-desa setinggan. Jenerasi kedua dan ketiga mereka sudah punya masa depan yang cukup tidak berlampu jalanannya. Sedang kawasan-kawasan desa-desa setinggan tinggalan dulu sudah mengapai awan dalam penuh kenyamanan. Rasanya KL Central dan MidValley adalah tapak-tapak setingan yang telah terbongkar habis. Mereka yang dulu menghuni di situ kini hanya mampu mengemis rezeki kembali di situ ulang-alek hari-hari selagi belum menemu ajal yang mungkinnya akibat celaka di jalanan yang menyesakkan.

(7) Rakyat pekerja, kebanyakan adalah Melayu. Melayu paling menyumbang dalam memakmurkan Kuala Lumpur. Sound anih?  Namun, yang jelas tampak kapitalis Cina adalah yang memakmurkan Kuala Lumpur, namun saya katakan Melayulah yang memakmurkan Kuala Lumpur. Apa masih tidak percaya dengan hujah saya tersebut iaitu bukan Kapitalis Cina yang memakmurkan Kuala Lumpur, tetapi Melayulah yang memakmurkan Kuala Lumpur. Saya yakin tentang itu. Tetapi adakah Kuala Lumpur membalas jasa Melayu sewajarnya? Hipoteseis saya mudah. Cuba Melayu berpuasa membeli belah selama tiga bulan di Kuala Lumpur, apa akan terjadi? Pasti lengang Kuala Lumpur. Atau Melayu berhenti membeli belah di Kuala Lumpur. Agak-agak apa akan terjadi? Pasti Kuala Lumpur akan menjadi Padang Jarak Padang Terkukur. Namun kemeriahan dan kemakmuran Kuala Lumpur, lantaran atas sikap pemurahnya Melayu apakah Kuala Lumpur balas dengan baik? Saya tidak nampak. CBD Kuala Lumpur menjulang ke langit. Sebermulanya, bukanlah Yap Ah Loy yang membina Kuala Lumpur. Sesungguhnya nenek moyang para penghuni Kg Baru Kuala Lumpur adalah pelopor Kuala Lumpur. Yap Ah Loy hanyalah pemangkin pembesaran Kuala Lumpur, yang juga adalah akibat kedatangan Melayu dari sekitarnya. Bila CBD Kuala Lumpur menjulang ke langit mendekati Allah, Tuhan Melayu, namun Melayu tidak dapat memanjat Kuala Lumpur untuk lebih dekat kepada Allah, Tuhan mereka. Mereka terkelantar ke pinggiran metro-metro. Kenapa jadi begini? Sesungguhnya, bukan salah Kapitalis Cina. Salahnya pemimpin dan pembesar Melayu yang sudah hilang fikiran dan tidak nampak bagaimana kota-kota yang sering mereka lawati di Barat bangun menjamin rakyat Anglo mereka. Melayu bila ke Barat seronok membeli belah, Melayu ke sana sangat kurang memerhati dan berfikir bagaimana caranya bangsa Anglo sangat terjamin hidup mereka dalam mereka menjadi anaconda kapitalis tulin.

(8) Kini Kerajaan Pusat dan Negeri Selangor adalah ditadbir oleh dua kuasa Melayu yang saling paling bercemberut. Keadaan ini pasti akan melemaskan masyarakat Melayu di Lembah Kelang juga yang saban waktu berdutun-duyun hijerah ke sini. Lantaran saling paling bercemberut kedua kuasa Melayu yang seharusnya menjaga Melayu, maka mereka kian menerajang Melayu agar pengsan di batas kemampuan mereka. Akhirnya, semua akan berasak ke Kuala Lumpur lantaran lingkaran luar Kuala Lumpur Raya, Greater Kuala Lumpur pihak Kerajaan Pusat pasti sadar mereka tidak punya kuasa, tangan mereka pasti tidak kesampaian untuk mengatur segala.  Bagi Kerajaan Negeri Selangor pula, pendirian mereka tetap keras betapa Melayu yang datang berduyun ke Lembah Kelang bukan rakyat mereka dan bukan urusan mereka. Dua kuasa Melayu ini, akhirnya membelakangi Islam, dan apa mungkin Allah perlu campur tangan baru mereka mahu sadar.  Di pinggir Kuala Lumpur di negeri Selangor kini kian terbangun kota-kota satelit-satelit Melayu terpinggir. Seharusnya, kota-kota ini boleh bangun sebagai kota-kota satelit Melayu makmur ianya kian tumbuh sebagai the Malays slump. Apa Negeri Sembilan, Melaka dan Perak akan lebih bersahabat kepada Kuala Lumpur untuk membalas jasa kemurahan hati Melayu lantaran Selangor sudah terlalu cemberut?

(9) Apa sebetulnya yang sedang diburu oleh Kuala Lumpur? Apa sebetulnya rakyat Malaysia perlukan dari Kuala Lumpur?  Atau Kuala Lumpur sedang mengapai langit untuk siapa naiki bertemu Tuhan di atas sana? Kuala Lumpur mengikut pemimpin Melayu harus menjadi Kota Dunia, the Global City sebuah kota bertaraf dunia. Dunia mana tidak para pemimpin Melayu perjelaskan. Namun tanpa banyak soal pastinya di batu kepala para pemimpin dan pembesar Melayu betapa Dunia Barat adalah arahnya lantaran di sanalah segala kiblat tanda aras dunia terletak. Tanpa kita menepati kehendak Barat, maka kita tidak sekali-kali akan bertaraf Dunia. Maka dengan sebab itu otak dan jiwa anak Melayu Kampong tidak usah dihiraukan. Pemikiran dan jiwa Barat harus menjadi asas kepada jalan pemikiran pembinaan Kuala Lumpur. Roh Melayu dan Islam, tidak harus menjadi jatidiri Kuala Lumpur. Bagi mereka Kuala Lumpur harus mereka bina untuk Warga Dunia bukan rakyat Melayu. Barat telah mendidik para pemimpin dan anak-anak Melayu dengan jiwa kapitalis, maka Kuala Lumpur harus subur berjiwakan kapitalis. Yang gagah sahaja harus hidup. Di alam maya, tidak hanya ular, malah cacing juga harus hidup seiringan. Namun falsafah Allah sebegitu, kian tidak pemimpin dan pembesar Melayu perhatikan. Hidupkan saja ular, paling tidak kulitnya ada harga. Apa ada pada sang cacing? Melayu kian menidakkan roh Islam dalam banyak kehidupan mereka. Kuala Lumpur sudah kian bukan untuk Melayu melainkan untuk Melayu yang punya segala penambahan sifat sepertinya Melayu Kapitalis, Melayu Egoan, Melayu Bandut, Melayu Berengsek, Melayu Konyol, Melayu Murahan, Melayu Melarat, Melayu Gila, Melayu Binggung, dan Melayu yang bertambah-tambah dengan segala macam gelaran di muka dan dadanya. Sesungguhnya, Singapura, Perth, Ottawa, Johanesburg, Sydney, New York dan banyak lagi adalah Kota-Kota Dunia dan di sana nan pasti kaum pribuminya adalah masyarakat Kelas III dan IV. Lihat apa terjadi kepada kelompok Melayu di Singapura? Juga cuba lihat apa terjadi kepada the Red Indian di Canada dan Amerika? Lihat bagaimana hinanya kelompok Aborigines di Australia. Inilah negara-negara yang melahirkan Kota-Kota Dunia yang Kuala Lumpur paling sangat enak dekati. Kuala Lumpur tidak bangkit sebagai Tokyo untuk Nipon, Shanghai untuk Manderine, London untuk Anglos, Paris untuk Franches, Milan untuk Italiano, Leipzig untuk German, dsb. Kuala Lumpur kian berpaling dari Kota Melayu-Islam Dunia ia kian menjadi Kota Dunia Melayu Pinggiran .

(10) Kuala Lumpur nan pasti akan menjadi Kota Kebanggaan Melayu, namun Kuala Lumpur tidak bangga punya Melayu. Melayu, paling Kuala Lumpur khianati. Bagaimana ini bisa terjadi, dan apakah jalan pilihan Melayu?.......bersambung In Shaa Allah


Kuching, Sarawak
15 Mei, 2015

0 comments :

Back To Top