.

1/4/15 GEJALA ISLAMIC STATE (IS) - bukankah itu petanda kemunculan kekecewaan tak terlerai? (DRAFT)

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 02, 2015

Share

& Comment

Jika kita menonton TV, mendengar Radio dan bahkan membaca Akhbar Perdana, pasti kita sering ditonjokkan dengan hujah betapa makmur dan amannya Negara ini. Apakah ini benar? Sememangnya benar jika yang mahu melihat dan merasanya sebegitu. Namun pasti tidak benar bagi yang tidak melihat dan atau merasakannya sebegitu. Bagi mereka yang mahu menafikan terus persoalan itu adalah soal lain. Kalangan ini pasti sudah setara dengan apa yang dimaksudkan sebagai golongan buta, tuli dan pekak. Bahkan yang taksub mengatakan Negara ini adalah Negara aman, makmur dan sejahtera pasti juga tergolong ke dalam gerombolan yang sama. Sebaliknya, saya dan mungkin banyak juga yang lain setara saya, ingin melihat perosalan ini sebagai seorang yang melihatnya samar-samar sebegitu serta punya rasa curiga itu sebetul-betulnya tidak sebegitu. Bagi saya pernyataan Negara ini adalah Negara aman makmur adalah bersifat sejenak. Anih bukan, pandangan sebegini? Bukankah kita sejak merdeka sehingga kini sedang begitu aman dan makmur? Bukankah keamanan dan kemakmuran di Negara ini suatu hakiki? Sebetulnya, pandangan betapa keamanan dan makmurnya Negara ini belum hakiki adalah tidak anih. Kenapa saya mengambil sikap pandang sebegitu? Cuba lihat sebegini. Muhammad SAW telah Allah jamin Syurga terbaik baginya. Selain Adam AS dan Hawa, baginda adalah hanya manusia yang pernah melihat dan merasakan berada di Syurga. Namun, kenapa harus dia berkerat rotan, berpantang ajal untuk terus-terusan menghambat Syurga? Apa baginda tidak yakin akan jaminan Allah buat baginda? Sesungguhnya, sifat baginda bukan kerana tidak yakin akan jaminan Allah buat dirinya, tetapi baginda lebih khuatir tentang Umat Islam selepas baginda. Pendeknya, jika bukan untung nasib masa depan Umat yang baginda khuatiri, seharusnya baginda sudah berpuas hati terhadap jaminan Allah tersebut. Sifat khuatir dan curiga tentang Umatnya Muhammad SAW itu adalah sifat khalifah sejati dan sebegitu jugalah semua para Nabi dan Rasul sebelum baginda. Semua sanggup terus-terusan bersusah payah melalui jalan getir penuh penghinaan dan dugaan demi Ummah seterusnya biarpun sebetulnya mereka tidak perlu sebegitu.

(2) Asas kesamaran dan kecurigaan saya sangat mudah. Kita dulu pernah bersuku sakat, berpecah belah punya wilayah kekuasaan sendiri-sendiri. Permusuhan antara "Kampung-Kampung" bahkan "Negeri" sering berlaku. Kemakmuran mengundang kehancuran. Lalu datang Buddha dan Hindu merangkum kita ke dalam sistem berkerajaan dengan wilayah dan kekuasaan yang jauh lebih besar. Sriwijaya, Singori, Majapahit, dan Sangkaluka adalah kesatuan awal Melayu Raya. Namun, tetap kita, rakyat terbanyak menjadi kasta bawahan dalam sistem feudal yang meresahkan. Lalu Nur Islam datang menjengah. Kita mula Berkerajaan Kota-Kota Pelabuhan lantaran Islam datang dalam bentuk dagang dan penguasaan kelautan. Biar Islam sudah mula menebar, tetap nafsu manusia yang mudah tergoda syaitan menguasai kita. Kita kekal dalam kelompok-kelompok suku yang berbaur Islam. Kita tidak bersatu dalam roh Islam sebenar. Islam terus berbaur suku. Islam berbaur adat. Islam berbaur segala mistik dan keanihan. Allah bukan mutlak kuasa yang kita terima. Banyak selain Allah yang kita patuhi. Paling ketara, kita tidak bulat besar gagah dalam lingkungan sebenar Islam, melainkan Negara-Negara Kota Pelabuhan yang sendiri-sendiri. Makasar, Mataram, Demak, Jambi, Acheh, Melaka, dsb muncul sebagai Kerajaan Islam yang terpisah-pisah dalam pemerintahan bukan khalifah sepertinya Islam yang mula tumbuh di Arabia. Islam tidak melebur menjadi jati diri kita. Islam sekadar berbaur ke dalam jati diri kita. Kita hidup tanpa caucus yang kental. Islam yang menyeru agar kita bersaudara, kita pinggirkan. Akibatnya, kita lena dalam dagangan rempah dan hasil bumi yang semarak. Kita terus melayani nafsu tamak, haloba, bakhil, dengki, dan khianat. Islam seperti tidak mampu mensuci hati kita dari penyakit keturunan tersebut.

(3) Barat dengan angkatan tenteranya yang berpengalaman luas dalam peperangan menguasai kita. Islam ditekan. Rakyat tertindas. Penindasan yang lebih sistematik akhirnya menyatukan kita ke dalam sebuah gagasan kebangsaan iaitu kebangkitan dalam kelompok-kelompok Bangsa Melayu yang terpisah-pisah. Bangsa Melayu berteraskan wilayah kebangsaan ketetapan Barat. Sebermula Sepanyol, lalu Potugis, kemudian Inggeris dan Belanda, Peranchis dan Jerman memisah-misahkan Melayu kita lalu dimohor tegas oleh Amerika menjadi Negeri-Negeri Melayu Wilayah. Kebangkitan Negara Bangsa-Bangsa Barat jadi ikutan kita. Kita bangkit sebagai kuasa Melayu Wilayah yang mahu merdeka demi maruah dan martabat kelompok bangsa. Kita menjadi Melayu yang merdeka. Tetapi Melayu merdeka yang sempit Melayunya. Kita merdeka sebagai Negara-Negara Melayu Wilayah; Malaya, Singapura, Brunei, Sabah, Sarawak, Indonesia dsb.  Kita tidak bangkit sebagai Melayu-Islam Nusantara sebuah bangsa besar, Melayu Raya. Pattani, Sulu dan Cham kita lupakan sebagai saudara kita. Islam terus-terusan kita pinggirkan selari dengan kehendak Barat. Cita-cita Barat meruntuhkan Islam sangat berjaya. Melayu terpecah. Peperangan Dunia ke II, WWII menghalalkan Barat untuk menguasai segala. Dalam perjuangan kemerdekaan, tidakkah Melayu terpaksa mengujudkan anasir-anasir ganas di mata Barat? Sebegitulah kita sebetulnya, bersikap anasir di atas kepercayaan perjuangan untuk memerdeka dari himpitan sengsara.

(4) Kemerdekaan kita perolehi, namun kemerdekaan tidak menamatkan resah. Rakyat rata-rata miskin payah. Kancah Barat dan Utara-Timur menjebak kita ke jerangkap yang lebih berat. Komunisma menyusup masuk di awal 1960an. Komunisma juga berjaya menyusup masuk ke dalam masyarakat Melayu-Islam. Sebahagian Melayu juga bertindak sebagai anasir dalam sebuah Negara merdeka. Kenapa? Kemiskinan membuah kemelut antara kita. Kita kemudian sepertinya melalui perang saudara dengan berlakunya 13 Mei. Kemudian, peperangan IndoChina di tahun 1970an seperti mahu mengheret kita ke gaung bahana yang lebih membakar. Kebijaksanaan Abdul Razak Husein untuk bersama rakyat menumpu memperkukuh Negara menyelamat semua. Keseimbangan pertimbangan menjadi teras gerak kerja beliau. Desa dan kota beliau bangunkan sesaksamanya. Politik perkauman dan kelompok beliau leraikan. Beliau berusaha keras menidakkan segala bentuk politik yang merugikan Islam, Melayu dan Negara. Begitu juga Barat dan Timur beliau seimbang perhatikan. Beliau bijak bersilat tanpa memukul namun membawa kemenangan besar kepada Islam, Rakyat dan Negara. Namun kudrat tidak memungkinkan beliau lama berkhidmat. Biar sebegitu, MahaBijaksana Allah, Dia tunjuki jalan bagi membina Negara lewat keluhuran sifat beliau; jujur dan berani bersama rakyat. Muhammad SAW, baginda menjadi manusia mulia lantaran teganya demi Ummah. Abdul Razak Husein, mencontohi itu secara diam-diam namun penuh kegigihan dan kejujuran. Sepeninggalan beliau, kemiskinan dan kepayahan terus melanda rakyat. Bahkan beliau sendiri meninggalkan keluarga yang miskin. Bila mengambilalih pentadbiran Negara, Mahathir melihat itu atas sebab struktur masyarakat yang pincang. Waktu tidak bersama beliau. Dunia imperialis sedang mengasak deras berselindung di balik arus globalisasi. Dengan segala asas yang telah Abdul Razak bina, Mahathir mengasak rombakan struktur sosio-ekonomi Negara, dan beliau berjaya. Namun kejayaan Mahathir mengundang kemelut baru. Dalam rombakan struktur soso-ekonomi, ada yang terlalu jauh ke depan sehingga ada yang menjadi out liar membaham segala, ada yang berkerja keras membontot berjaya tidak kurang yang pengsan di tengah jalan dan tercorot. Iklim kapitalis sangat menghangatkan rentak dan cara pembangunan Negara sewaktu beliau. Namun itulah asas untuk membolehkan kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Barat. Mahathir tanpa sedar tetap mengikut acuan Barat biar dia berusaha menempa acuan sendiri. Barat tetap menghantui segala. Namun yang pasti, Mahathir meletakkan benteng kukuh Negara dari dikuasai asing. Pelbagai pergolakkan di luar menyusup ke Negara ini, sehingga berlaku pergolakan Kebangsaan, Islami dan Kapitalis. Nilai-nilai Kebangsaan, Islami dan Kapitalis di Negara ini sangat bergolak di zaman Mahathir.

(5) Pelbagai krisis ekonomi dan politik melanda dunia dan serantau di tahun 1980an. Kita turut terjebak. Lalu muncul kelompok-kelopmok keterlaluan di dalam PAS, DAP dan bahkan UMNO. Semua ini akhirnya membuahkan Memali dan bahkan Al Arqam. Islam jadi taruhan. Islam menjadi punca segala polimik dan kekalutan. Titik-titik hitam semua dilemparkan kepada Islam. Pelbagai jenama Islam mulai muncul. Ada Islam Sederhana, ada Islam Pelampau, ada Islam Jumud, dsb. Itulah kehendak dunia. Itulah yang kita terima lantaran kita gemar berfikir singkat dan atau tidak peduli akan natijah cara kerja kita. Kita ke pentas dunia menjadi jaguh Islam Sederhana. Sederhana apa? Sebetulnya, kita mengamalkan Islam berpilih. Bukan sederhana sebetulnya. Hakikatnya, Islam tidak pernah berubah dari hari ianya Allah maktubkan sebagai Adeen sempurna buat semua Ummah, namun yang mencacatkan Islam adalah para penganutnya sendiri, bukan Islam. Islam akan tetap sebegitu selagi Al Quran wujud dan utuh.

(6) Sebelum merdeka dan di pasca merdeka, Feudalisma dan Imperialisma menjadikan rakyat payah dan susah. Di era membangun, Kapitalisma mencekek rakyat. Beban yang rakyat tanggung tidak setimpal laba yang mereka dapat dan atau kejar. Kebanyakan masyarakat Melayu di Negara ini sudah mulai keletihan. Mereka sudah mulai ada keinginan tinggi untuk bersandar kepada Islam untuk kebaikan. Rakyat sudah menyaksi dan mengalami apa saja ideologi: anarkis, feudalisma, sosialisma, komunisma, demokrasi, kapitalis bikinan manusia dalam perjalanan hidup mereka,  Semua tidak pernah memeberikan jaminan kesejahteraan dan kemakmuran hidup seprtti diharapkan. Rakyat, khususnya bangsa Melayu ingin kepada Islam yang tidak pernah terlaksana sepenuh dan sempurna, namun kefahaman sebenar tentang Islam terus bercelaru sehingga rakyat menjadi binggung. Lewat pelbagai jenama yang dilekatkan kepada Islam, Islam sudah dilihat sebagai sebuah idelogi, bukan Adeen Tunggal dan Mutlak. Sesungguhnya resah rakyat tidak pernah pudar. Ada waktu ianya datang mendadak akibat tiupan sangkala bermusim. Rakyat binggung, mencari-cari. Banyak yang memutuskan jalan sendiri-sendiri. Para Kapitalis terus saja mahu jadi Kapitalis Tulin. Lantaran laba Kapitalis adalah jelas dan sangat mengiurkan maka biar hanya sedikit yang berjiwa sebegitu, namun kesannya sangat meluas. Rakyat terbeli oleh gejola Kapitalis. Rakyat berlumba-lumba menghambat dunia sekuatnya. Namun yang pasti perlumbaan yang mereka sertai tidak membuahkan titik penamat yang mengembirakan Kekecewaan kian merundungi rakyat. Rakyat jadi hanyut dalam kelompok masing-masing. Negara seperti sudah tidak punya Wawasan Penyatuan. Perpatah Biduk lalu kiambang bertaut tidak terjadi di Negara ini. Genjala Bagai aur dengan tebing kian berluasa, tebing runtuh, aurpun roboh.

(7) Berbalik kepada IS "Islamic State" yang seperti sudah menjadi kebinggungan sejagat dan juga di Negara ini, apa sebenarnya kesemarakan IS khusus di Negara ini?Inilah gerombolan yang ingin menegakkan Kerajaan Islam ala Khalifah. Apakah sebenarnya Kerajaan Islam Khalifah? Di zaman para sahabah empat, Ketua Pemerintah disebut sebagai Khalifah. Ianya adalah suatu jawatan yang dipegang oleh mereka berasaskan kelayakan mereka. Kelayakan ini lebih menjurus kepada keImanan dan keTaqwaan mereka. Pribadi dan perlakuan mereka adalah mutlak seperti telah Muhammad SAW tunjuki segala dan mereka patuh kepada nilai-nilai kepimpinan SAW yang telah baginda ajari. Namun, mereka tetap dipilih berdasarkan mesyuawarah. Mesyuarah itu kini disamakan dengan persepakatan undian penuh hemah khususnya seperi yang ditunjuki oleh Umar Al Khataab semasa Abu Bakar juga selepas dirinya.  Kerajaan Islam pada waktu sahabah empat, secara perbandingan kini adalah mirip dengan sistem di Amerika. Pemerintah Pusat adalah Presiden (Khalifah) sedang wilayah-wilayah jajahan ditadbir oleh para Gabenor yang dipilih (dilantik di zaman SAW dan para Sahabah). Keserupayaan sistem pentadbiran Amerika dan sistem khalifah, adalah sesuatu yang tidak anih lantaran semasa pengubalan perlembagaan Negara itu, sistem Islam juga telah diselidiki dan diterima di mana sesuai. Satu hal yang harus diingat, jawatan khalifah pada masa itu sangat menumpu kepada Syiar Islam dan kebajikan Ummah. Di zaman selepas para sahabah empat, jawatan khalifah tetap diguna, namun ianya telah berganti secara keturunan. Muawiyah adalah pemula kepada perubahan struktur asal khalifah ini lantaran dia melantik anak-anaknya dan saudaranya untuk jawatan tersebut. Hakikatnya, khalifah di zaman selepas para sahabah adalah lebih bersifat Raja dan atau Maharaja seperti dalam pengaruh Farsi dan Latin. Muawiyah, Abbasiyah, Fatimah, bahkan sehingga ke Othmaniah, sistem pemerintahan mereka sangat banyak terpengaruh oleh sistem budaya di keliling mereka. Mereka sudah tidak lagi mematuhi konsep asal khalifah sepertinya di zaman empat sahabah. Kini, semua Negara Islam sudah mengamalkan apa yang Muawiyah amalkan. Pembauran antara adat kaum dan suku dan Barat sudah menguasai sistem kepimpinan dalam Islam. Apakah ini menimbulkan masalah?

(8) Sebetulnya, tiada apa masalah dengan apa bentuk jawatan kepimpinan Negara. Setakat yang saya baca, tiada suatu pernyataanpun di dalam Al Quran dan Hadis yang menyatakan bahawa pemimin Islam harus bergelar khalifah atau apa. Yang sering ditegaskan adalah pemimpin harus amanah. Pemimpin Islam harus beramanah kepada Ummah demi Allah. Ummah adalah amanah Allah untuk pemimpin Islam pelihara baik sebagai asas untuk mereka ke Syurga bersamaNya. Itu saja asasnya. Mudah tetapi berat. Di Timur Tengah, IS adalah politik untuk menidakkan campur tangan Barat dalam urusan pentadbiran Negara mereka. Lantaran para pemimpin yang ada dianggap bersekongkol dengan Barat dalam menimbulkan kepayahan hidup rakyat, maka opportunist menggunakan panji-panji Islam untuk perjuangan mereka. Inilah asas yang perlu kita Umat Islam dan Melayu mengerti. Inilah secara globalnya Islam telah dipolitikkan. Selagi Islam kita terima untuk dipolitikkan, maka selagi itulah Islam itu akan terus tercemar. Namun, itu soal luaran. Bagaimana dengan soal dalaman? Maka bagi kita di Malaysia, apa perlunya Islamic State? Bukankah Negara kita ini sedang aman, makmur sejahtera? Negara kita tetap merdeka. Tiada campurtangan asing di Negara ini. Saya yakin, seperti saya nyatakan terdahulu, keresahan rakyat di Negara ini kian meningkat. Rakyat resah lantaran para pemimpin kita tidak mengambil berat sifat amanah dalam soal kepimpinan. Lantaran tidak atau kurang amanah, maka banyak perkara yang menjadi keperluan dan masalah rakyat tidak tertunaikan dan atau tampak diusahakan bersungguh-sungguh. Psycho-analyst tentang sikap dan perubahan demografi rakyat seperti sangat para pemimpin kita tidak fahami. Yang sedang mereka nampak adalah Generasi Y. Mereka lupa Genersai X. Apa lagi Generasi Z. belum lagi Generasi Veteran. Bagi Umat Islam, yang jelas saya kira, rakyat tidak nampak segenap lapisan kepimpinan di Negara ini menunaikan tanggungjawab kepemimipinan beramanah secara bersungguh-sungguh. Rakyat dihamburi janji dan harapan. Janji dan harapan diberi bagai kuasa Allah ada pada yang berjanji dan memberi harapan. Pemimpin kita sangat sudah alpa, rakyat sudah letih menanti. Kesabaran rakyat sudah tipis. Kekecewaan sebetulnya kian melanda rakyat di Negara ini. Tidak percaya, cuba perhatikan janji Rumah Mampu milik, apakah janji dan mekanisma perlaksanaannya sudah tersusun betul serta kesampaiannya kepada rakyat betul sebagai dijanjikan. Sama prihal dengan pengenalan GST. Janji kepada rakyat adalah tiada harga barangan naik, namun hakikatnya harga barang terus naik biar di hari pertama perlaksanaannya. Soalnya, maksud tidak naik harga kepada para pemimpin lain maksudnya, dan rakyat lain pula kefahaman mereka. Akibatnya, rakyat jadi kecewa seoalah-olah mereka telah tertipu.

(9) Sesungguhnya saya berkeyakinan timbulnya gelaja-gejala anasir dalam masyarakat kita lantaran kekecewaan segelintir. Kelompok-kelompok pelbagai jenis kekecewaan kian muncul parah di Negara ini. Jumlah dan kepelbagaian mereka kian bertambah-tambah. Jika dulu ramai yang kecewa lalu gila rock, hippie, sek, dan dadah, saya nampak kekecewaan baru yang muncul akan lebih berani untuk menganas. Genjala awal adalah tunjuk rasa jalanan. Ini pasti berkembang menjadi jauh lebih berani. Sesungguhnya kekecewaan denagn mudah diaruh, motivated menjadi jauh lebih liar dan ganas. Akta dan penjara tidak akan banyak merobah segala. Penghapusan punca keresahan rakyat harus diusahakan keras. Para pemimpin kita harus Amanah, Bersih dan Cekap ABC. Itulah obat segala kekalutan di Negara ini. Itulah rumusan yang Mahathir telah tinggalkan dan itulah tuntutan kepimpinan Islam. IS, Syiah, Sulu, dsb bukan musuh kita. Musuh kita adalah keresahan rakyat dan serantau. Kita tidak menyumbang hebat kepada jalan pembinaan kesejahteraan menyeluruh rakyat dan serantau.

(10) Tun Abdul Razak telah membuktikan kesejahteraan rakyat adalah senjata paling ampuh untuk menentang segala. Juga beliau telah membuktikan kepimpinan yang jujur, bersungguh dan zuhud dapat membulatkan kesatuan rakyat. Mahathir membangkitkan Negara untuk bersama rakan serantau. Care for your people, care for your neighbor. Apa Mohd Najib sanggup untuk sebegitu?

Kuching, Sarawak
2 April, 2015

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.