Latest Postings
Loading...
Mar 24, 2016

5/3/16 RUMBIA ATAU SAGU......emas yang tercampak jadi makanan babi sahaja!

Pengenalan:

Sawit telah diperkenalkan secara komersil di Tanah Melayu sekitar tahun 1950an. Kini sawit sudah memasuki generasi ke 3-4 di sana dan baru generasi 2-3 di Sabah dan Sarawak. Industri sawit, telah menyumbang secara berkesan kepada pertumbuhan dan kemampanan ekonomi Negara. Abdul Razak Husein di tahun-tahun 1960an dan 1970an telah menggunakan pembangunan industri perladangan sawit untuk menyusun semula struktur ekonomi Melayu di Tanah Melayu. Pelbagai agensi dan konsep pembangunan luar bandar telah beliau perkenal dan tekankan dalam usaha-usaha itu. Sebegitu juga langkah Haris Salleh di Sabah dan Taib Mahmud di Sarawak pada 1980an dan 1990an. Kini industri sawit sudah melebar ke industri asas lelemak yang sangat sudah jauh berbeza dan maju. Cuma kemampanan industri sawit Negara sudah agak goyah lantaran cara kita menyusun Industri Oleo-kimia adalah agak terlalu dipolitik sehingga tidak menjadi economic of scale sepertinya juga industri petro-kimia dan permotoran kini.

(2) Kalau sesiapa faham, tubuh manusia (juga haiwan lainya) hanya perlukan lima unsur utama untuk terus tumbuh berkembang, pemuliharaan dan bertenaga. Pertama adalah unsur protein yang unit terkecilnya adalah asid amno. Asid amino salah satunya sumbernya adalah dari lelemak. Lelemak dalam istilah Sains sering disebut sebagai Fat, atau Fatty Acid. Biar dalam haiwan juga tumbuhan, lelemak biasanya disimpan dalam badan sebagai stok makanan di waktu dharurat. Kedua adalah kanji, carbohydrate sebagai sumber tenaga. Pada tumbuh-tumbuhan kanji adalah stok simpanan makanan, tetapi adalah sumber bahan bakar bagi haiwan. Unit asas kanji adalah gula ringkas. Penguraian rangkaian kanji yang biasa disebut polisakarid oleh enzim akan membebaskan tenaga kepada tubuh manusia (dan haiwan lainnya). Ketiga adalah vitamin sebagai asas perlalian dsb. Vitamin hanya boleh dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan. Haiwan tidak menghasilkan vitamin. Vitamin adalah sangat perlu bagi kelancaran fungsi hormaon dan enzim. Keempat adalah galian, mineral sebagai asas segala enzim dan hormon serta bendalir-bendalir lainnya. Tulang adalah terbina dari galian Kalsium dalam jumlah yang sangat besar. Kelima, pastinya air sebagai agen pelarut dan pengangkutan yang amat penting. Hormon dan enzim itu juga adalah protein, cuma berbeza dari segi struktur molekulnya dari protein biasa. Peranan ezim adalah untuk process penghadaman dan pencernaan. Sedang hormon berperanan dalam mengatur segala fungisan organ dan sel tubuh. Di lihat pada tubuh manusia, jisim protein kelihatan paling besar. Seluruh tubuh manusia adalah protein termasuklah kuku dan rerambut. Peranan kabohidrat seperti tidak ketara, melainkan jika seseorang itu telah benar-benar keletihan, exhausted. Hakikatnya, sebahagian besar dari jisim manusia (dan haiwan lainnya) adalah air. Cuba lihat pada formula molekul apapun pada tubuh manusia (dan haiwan lainnya), unsur-unsur kimia air iaitu OH- pasti ada. Saya yakin unsur OH- inilah apa yang Allah nyatakan sebagai segalanya Aku ciptakan dari setetes air. Namun harus diingat, penjanaan tenaga tidak hanya terbatas kepada sumber kabohidrat sahaja, pencernaan protein juga boleh mendatangkan tenaga. Cuma darjah kecekapan pengeluaran tenaga adalah sangat berbeza. Kuasa Allah, protein dan kabohidrat sebenarnya adalah interchangeable untuk menjadi sumber asid amino juga gula ringkas. Maka dengan sebab itu pelahap biasanya akan berbadan gemuk tidak terurus. Lebihan karbohidrat akan ditukar jadi fat lalu tersimpan di tisu-tisu tertentu badan. Inilah punca kegemukan.

(3) Dalam tulisan ini saya cuba mengenenggahkan rumbia atau sagu sebagai suatu komoditi pertanian yang harus Malaysia terokai dengan baik. Komoditi ini, Allah ciptakan dengan pelbagi keistimewaan yang tidak banyak orang mengerti lantaran sifat Melayu yang suka menidakkan keunggulan sari budaya mereka sendiri. Sesungguhnya, sifat buruk Melayu adalah memandang rendah pada yang ada di sekeliling mereka, dan mereka lebih gemar menghambat yang bukan milik mereka sehingga terjadilah apa yang Melayu sendiri tegaskan iaitu kera di hutan disusukan, anak dikendong kelaparan sehingga yang dikejar tidak dapat, nan dikendong berciciran.

Polemik Pengurusan Sumber Negara

Nasi bukanlah makanan ruji rakyat Nusantara dulunya. Padi hanya diperkenalkan ke rantau ini dari Champa dalam sekitar kurun ke-7. Mulanya masyarakat Melayu Nusantara makan sagu. Sagu adalah nama bagi kanji dari tanaman rumbia. Sagu adalah hasil tepungnya, rumbia adalah nama pohonnya. Rumbia adalah sekeluarga dengan tumbuhan-tumbuhan palma lainnya seperti kelapa, sawit, nipah dsb. Rumbia kedapatan di serata Nusantara, khususnya di wilayah-wilayah kepulauan.  Rumbia asalnya adalah dari rantau kepulauan Maluku dan Papua. Penebaran rumbia, menunjukkan Melayu Nusantara pada asalnya adalah pelaut yang hebat. Mereka meneroka dari laut Sulu ke Selat Melaka lalu akhirnya ke Laut China Selatan. Di setiap persinggahan, mereka membangun perkampungan lalu menanam rumbia. Maka jika kita merantau ke seluruh Nusantara, biar sampai ke Siam, kita akan dapati rumbia terdapat di pinggir-pinggir Kampung Melayu. Sebegitu jugalah jalanan penebaran padi ke seluruh Nusantara. Padi dapat mengantikan rumbia, lantaran cara pengolahannya adalah lebih mudah serta cepat mendapat hasil. Padi menjadikan rumbia tanaman tersisih kini di pinggir-pinggir sawah. Nusantara, seperti sejadinya, yang asli, tidak berkembang baik sedang yang diperkenalkan terus berjaya. Kelapa dikalahkan oleh sawit. Rumbia dikalahkan oleh padi. Jelutong dikalahkan oleh getah. Kopi dikalahkan oleh koko. Sebegitulah juga Melayu kalah oleh Cina, India, Arab, bahkan Barat. Cuma mungkin rempah akan terus bertahan, lantaran rempah hanya diperlukan sedikit dan menjadi penyedap. Maka apa mungkin sebegitu jadinya Melayu: hanya diperlukan sedikit, penyedap, perisa khusus jika dilihat dari segi komersilnya. Namun saya tidak akan membicarakan itu di sini, apa yang ingin saya bangkitkan adalah kenapa Kerajaan Malaysia tidak melihat secara bersungguh-sungguh akan keupayaan rumbia sebagai sumber bahan makan dan bakar masa depan Negara dari kita merompak sawit dalam peranannya sebagai sumber fatty acid, sumber makanan

(2) Di saat kemelut harga komoditi sepertinya yang berlaku pada 1996, 2002 dan kini 2015, sawit sangat tertekan. Sawit jadi tertekan lantaran para professional sawit kita terlalu bermurah hati tentang teknologi sawit kita serta para politikus asyik menjadi tikus memperbaiki labu tanpa melihat industri sawit dan oleo-kimia sebagai harta kehebatan Negara sehingga sawit dan industri oleo-kimia sudah menjadi pork barrel politic. Paling anih, saat kemelut sebegini, maka heboh Kerajaan baru mahu memulai melihat-lihat kegunaan lain sawit, khususnya untuk bahan bakar gantian yang disebut sebagai Diesel Hijau. Di saat-saat mewah, iaitu harga bagus, semua usaha-usaha ini terbantut. Sepertinya, Kerajaan tidak mempunyai ketahanan dalam mengasak bidang R&D agar industri sawit tidak lagi hanya dilihat sebagai industri lelemak tetapi sesuatu sumber yang menjulang industri-industri lain seperti asas gentian dan ternakan bovine contohnya. Saya melihat, bila mana para ekonomis apa lagi ahli politik Negara hanya mahu melihat 3-5 tahun ke depan, maka apapun saya kira tidak akan terurus secara strategik di Negara ini.

(3) Ahli politik dan pentadbiran di Malaysia gemar kepada jalan pintas. Bila harga sawit turun mendadak, maka dilancarkan penukaran sawit menjadi Diesel Hijau, tanpa peduli sejauh manakah kecekapan dan kerugian jangka panjang dari sifat langkah sebegitu. Sedang "sisa" industri sawit seluruhnya tidak pernah diberikan perhatian berat dan berpanjangan. Malaysia terus-terus bertahan dengan sistem ekonomi komoditi tradisional. Kita tidak pernah mahu melihat kitan petani dengan keseluruhan industrial chain. Di Semenanjung Malaysia dan sedang diikuti hebat di Sarawak, pekebun kecil menjadi pengeluar teramai komoditi pertanian, namun mereka paling tidak beruntung kerana kita terus-terus menyisih mereka di sektor pengeluaran dan tidak dalam keseluruhan industrial chain. Akibatnya, saat harga komoditi goyah, maka goyah jugalah kehidupan mereka lantaran sandaran asas ekonomi mereka tidak pernah keluar dari sekadar pengeluar. Negara diurus ibarat hendak berak baru cari jamban. Negara tidak diurus oleh politikus professional, tetapi oleh para perompak nasional.

(4) Berbalik ke rumbia, saya tidak nampak kelangsungan kesungguhan Kerajaan dalam menilai keupayaan sumber itu sebagai komoditi baru Negara. Sejak keluar dari perkhidmatan Kerajaan, saya sebetulnya sudah didatangi tiga kali oleh agen asing bagi mendapatkan nasihat saya tentang sagu. Lantaran saya melihat besar kerugiannya kepada Negara, saya menolak untuk membantu mereka. Papua dan Papua New Guinea (PNG) punya sumber rumbia terbesar dunia. Saya menjangka kedua-dua Negara Indonesia dan PNG mempunyai tidak kurang dari 5,000,000 hektar hutan rumbia. Cuma masalah teknikal dan sosial telah menjadi kekangan bagi pihak asing untuk membangunkan industri sagu di dua Negara tersebut. Paling payah saya kira adalah dari sudut sosial yang juga sangat terkait dengan masalah politik. Namun bagi saya, kedua-dua masalah itu pasti dapat di atasi dengan mudah melalui suatu pendekatan yang saya kira saya mampu fikir dan usahakan iaitu dengan berpegang kepada konsep Allah menjadikan kita khalifah untuk mengurus segala secara saksama. Mungkin suatu hari atas kepentingan makanan sejagat, saya akan jelaskan caranya. Saya pernah menyampaikan taklimat Road Map Sago Industry di Jayapura, Papua pada 2007, dan oleh kerana saya berdegil tidak mahu menulis secara akademik berkenaan taklimat saya tersebut, maka pihak tertentu di Jepun telah mengeluarkan suatu kenyataan pedas tentang saya berhubung dengan perkara tersebut "Sarawak official, stingy to share the information"

(5) Usaha saya untuk mengenenggahkan sagu sebagai komoditi Negara bermula dalam penyediaan semakan separuh penggal RMK8 (2003) di mana melalui UPP JPM, saya telah merumuskan Program PPRT bagi pekebun kecil rumbia. Program tersebut kemudian saya tukar menjadi Pembangunan Estet Satelit Rumbia dalam RMK9 (2006-10). Saya mendapat peruntukan agak lumayan untuk keperluan tersebut dan juga sektor R&D sagu. Dalam tempoh itu juga, saya telah berusaha keras untuk mendapatkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan agar rumbia dijadikan komoditi pertanian baru Negara bersama dengan kenaf. Rumbia terpaksa bersaing dengan kenaf untuk diiktiraf sebagai komoditi baru. Saya berjaya dalam niat tersebut, dan kebetulan Peter Chin Fah Kui, yang saya kenali, adalah Menteri MoPI  pada masa itu, lantas berdasarkan kertas saya, maka MPOB juga telah diberikan tanggungjawab untuk memperkenalkan penanaman rumbia secara estet di Semanjung Malaysia. Sekitar 100 ha tanah di Pahang telah dibangunkan sebagai Show Piece Sago Estate di Semenanjung Malaysia. Dalam RM10 (2011-2015), dengan bantuan rakan-rakan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akhirnya sagu mendapat pernyataan sewajarnya dalam dokumen NAP3 dan RM10. Dalam tempoh tersebut, saya terus berusaha keras untuk meneruskan pembangun Estet Satelit Rumbia dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan. Alhamdullillah dengan perhubungan erat saya dengan beberapa pegawai di UPE JPM, sekali lagi Sarawak telah diberikan peruntukan agak lumayan untuk meneruskan Estet Satelit Rumbia yang telah saya mulakan pada 2004.

(6) Saya mengasak untuk membangun Estet Satelit Rumbia, sebetulnya sebagai alternatif kepada usaha GLC Sarawak dalam membangunkan perladangan rumbia di tanah gambut dalam. Perladangan rumbia GLC Sarawak dijalankan di tanah gambut yang sangat dalam iaitu antara 2-10 meter. Biarpun usaha tersebut telah berlangsung sejak 1986, namun tahap kejayaannya masih membinggungkan. Saya menjangka hanya sekitar 30 peratus dari keseluruhan tanah yang diperuntukan dapat dibangunkan dengan baik. Sebagai seorang Botanist and Development Management, saya perhatikan rumbia tanaman pekebun-pekebun kecil di pinggiran sungai jauh lebih baik dari ladang yang GLC Sarawak usahakan. Atas pemerhatian tersebut maka dayausaha Estet Satelit Rumbia telah saya asak kuat. Asas saya mudah, iaitu tanah gambut bukan tanah asli pertumbuhan sagu. Alhamdullillah, di beberapa kawasan, usaha tersebut menunjukkan kejayaan. Lantas dari pemerhatian di Estet Satelit Sagu, kemudiannya saya merombak cara pembangunan ladang sagu di tanah gambut dalam. Saya menantang segala tiori yang sekian lama pelbagai pihak gunakan khususnya dalam soal penyediaan lapangan sebelum penanaman sagu. Biarpun usaha-usaha saya tersebut telah mulai menampakkan hasil, namum kemudiannya segala seperti kembali ke asal bila saya telah meninggalkan kerjaya saya pada 2012.

Pasaran Sagu:

Hakikatnya, Industri sagu di Sarawak sudah macet. Macet, terhenti lantaran pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak berani untuk melihat sagu sebagai suatu industri. Hitungan semua mahu melihat sagu samada dari sudut tradisi dan atau demi kepentingan status quo menjaga periok nasi dan politik jangka pendek. Masalah pokoknya adalah penanaman rumbia masih ditunjangi pekebun kecil sedang pengilangan tepung sagu oleh cartel yang sangat tidak bersahabat. Di sepanjang pengurusan saya di sektor tersebut, saya menghadapi tertentang sengit di antara cara revolusi saya dengan sikap konservatif banyak pihak. Saya ingin melihat pekebun kecil sagu diurus secara bersepadu selaras dengan Pelan Pembangunan Industri Sagu yang saya kemukakan kepada Kerajaan Negeri dan tuga Persekutuan. Para petani sagu harus menunjangi industri sagu dalam cara yang lebih strategik. Pada 2002, harga tepung sagu cuma RM600.00 MT (U$=RM3.50) dan kini (2016) harga tepung sagu sudah meningkat ke RM2,200.00 MT (U$=RM4.25), kenaikan harga sebanyak 370 peratus berbanding susut nilai Ringgit sebanyak 16 peratus. Dengan masalah cuaca yang agak tidak menentu, saya menjangka harga tepung sagu pasti punya masa depan yang sangat lumayan. Kentang, gandum, sorghun, barley, ubi kayu, ubi keledek dsb merupakan tanaman sumber kanji yang sangat sensitif terhadap perubahan cuaca biar mikro juga makro. Tanaman rumbia, punya kerentanan tinggi terhadap perubahan cuaca.

(2) Sarawak, masih merupakan pengekspot  sagu terbesar dunia. Sarawak mengeksport sagu, bukanlah kerana Sarawak mengeluar banyak sagu, ini adalah lantaran Sarawak sangat sedikit menggunakan sagu. Jepun, Thailand, dan Semenanjung Malaysia adalah pasaran utama sagu Sarawak. Sarawak bukan pengeluar sagu terbesar. Sebetulnya, pengeluaran sagu di Sarawak kian menurun. Indonesia adalah pengeluar sagu terbesar dunia. Sagu di Indonesia masih tidak mencukupi untuk keperluan mereka sendiri. Dari segi kepengunaan industrinya, Thailand merupakan paling inovatif dalam pengunaan sagu. Pasaran sagu dunia memang masih agak terhad, bersebabkan bekalan yang sangat terhad. Sarawak hanya mampu mengeksport sekitar 30,000-40,000 MT sejak 30 tahun lepas. Biarpun untuk pasaran industri keropok di Trengganu, sagu sudah sukar untuk diperolehi. Sebetulnya, kanji sagu banyak kegunaannya lantaran sifat kanjinya yang sangat berbeza dari kanji-kanji lain. Kanji sagu punya daya kelikatan yang sangat istimewa. Begitu juga kandungan kimia kanji sagu juga agak lain dari sumber bahan-bahan kanji lain. Keadaan ini memberikan kanji sagu berpunya sifat-sifat bio-fizikal dan kimia organik yang tersendiri untuk ianya boleh diolah sebagai sumber makanan, bahan mentah industri asas kanji dan bahkan farmasi yang tersendiri.  Sifat-sifat ini, saya kira para ahli politik dan pentadbiran Negara tidak pernah kenal. Biarpun telah banyak kajian dan tulisan mengenai prihal ini, nampaknya bicara para saintis belum boleh menembusi pemikiran para pentadbir dan politik. Kita ibarat jejaka lalai lengai, saat gadis rupawan di depan mata disambar helang, barulah kita tersadar.

Ekonomi Sawit dan Sagu:

Membandingkan rumbia dengan sawit, saya mempunyai keyakinan bahawa rumbia berpunya keupayaan industri yang sangat tinggi. Cuma, jika saikologi masa dapat dipecahkan, maka baru jelas kekuatan rumbia berbanding sawit. Sawit boleh mengeluarkan hasil sekitar 30 bulan selepas ditanam. Pada umuran lima tahun ie 60 bulan sawit sudah dikira boleh mendatangkan keuntungan Operating Profit. Rumbia hanya matang penuh pada umuran 10 tahun dengan ketinggian batang sekitar 10 meter. Pada umuran 3-4 tahun, proses pembatangan trunking baru kelihatan jelas. Pada umur lebih dari lima (5) tahun, rumbia sudah boleh ditebang cuma mutu dan kuantiti sagunya masih terlalu rendah. Maka faktor tempoh matang iaitu 60 bulan bagi sawit berbanding 120 bulan bagi rumbia adalah sesuatu perkiraan kritikal antara pilihan untuk menanam rumbia dan sawit. Faktor tempoh matang ini, sangat mudah untuk di atasi jikka, pertama jika sagu dapat dilihat sebagai suatu industri menyeluruh. Pada umuran 3-5 tahun, rumbia sudah boleh dituai, namun mungkin hanya 30 peratus dari batangnya boleh digunakan untuk menghasilkan tepung sedang 70  peratus bakinya untuk keperluan industri lain khususnya dalam industri pembuatan ethanol, bahan awet sweeterner, dan bahkan makanan ruminan. Sesuatau yang mungkin tidak pernah terfikir adalah, serat rumbia pada usia kurang dari lima tahun, saya yakin adalah berupa simple celulos, maka struktur polysakarid seperti itu pasti punya kegunaan untuk pembuatan pelekat organik yang sangat baik untuk industri perkayuan. Kanji sagu tersimpan dalam batang rumbia, tidak sebagaimana tanaman sumber kanji lain seperti keledek, ubi kayu, beras, gandum dsb. Batang rumbia pada umur 3-5 tahun masih sangat lembut kerana serat-seratnya belum menjalalni proses pengkaitinan yang tinggi. Pada umur ini, kandungan protein serat juga tinggi. Oleh yang demikian, batang sagu pada usia sebegini saya kira adalah paling sesuai untuk olahan makanan bovine. Sesungguhnya, rumbia pada usai 3-5 tahun juga sangat berhasil, jika cara kita melihatnya dalam total context. Semua ini bukanlah mustahil, cuma, satu Pelan Bersepadu Industri Sagu mesti dirumus baik, agar masalah gestation period bukanlah suatu masalah besar. Soalnya, bila rumbia tidak dilihat dalam kerangka Food Industrial Chains yang luas, maka, tanaman rumbia tidak akan pernah menjadi penting. Sesungguhnya Malaysia setaraf Papua New Guniea dalam cara kita melihat komoditi rumbia. Sepertinya masyarakat PNG, kita melihat rumbia pada sagunya, dan bukan keseluruhan ciptaan Allah pada keseluruhannya sang rumbia. Kita hanya memanfaatkan 20-25 peratus sahaja dari rezeki Allah pada rumbia, maka mana mungkin kita boleh untung besar, apa lagi berada dalam rahmat penuh Allah.

(2) Untuk memecahkan saikologi gestation period rumbia berbanding sawit, harus tidak boleh dilihat dari sudut pengeluaran CPO berbanding pengeluaran tepung sagu. Jika itu cara kita, ibaratnya kita sedang membandingkan gestation period seorang manusia berbanding lembu. Lembu betina pada usia tiga tahun sudah boleh melahirkan, sedang anak perempuan pada usia tiga tahun masih ke hulu ke hilir dengan puting susu. Allah menjadikan sawit sebagai sumber bahan oleo sedang rumbia sebagai pengeluar kanji. Dari sudut hasilnya, maka keduanya tidak boleh dipandang dari sudut yang sama. Sesungguhnya dengan melihat saikologi gestation period sawit dan rumbia dari sudut asas ekonomi yang setara adalah sifat sangat jahil akan anugerah Allah, dan merupakan perspektif paling picek buta.

(3) Keduanya, cuba kita bandingkan geraf pengeluaran CPO dan Sagu. Ingat CPO adalah hasil secondary sawit, dan sagu adalah hasil secondary rumbia. Buah Tandan Segar (FFB) sawit adalah setara batang segar rumbia. Kadar Perahan Minyak Sawit (OER) di Malyasia adalah antara 20-22 peratus. Daya pengeluaran sawit (FFB) di Malaysia adalah antara 20-25 Mt/Ha/Thn bagi sebuah ladang matang. Kadar Saringan Tepung Sagu (FER) adalah juga sekitar 20 peratus. Satu ton FFB boleh menghasilkan 200 Kg CPO. Sepohon rumbia berukuran 10 meter mempunyai berat sekitar satu Ton. Berat Bersih Kering (DW) tepung sagu terhasil dari setiap pohon sagu matang sepanjang 10 meter adalah sekitar 150-200 Kg. Maka sering untuk perkiraan keberhasilan sagu, 5-6 batang rumbia matang boleh menghasilan 1.0 Mt tepung sagu. Kepadatan penanaman sagu dan sawit adalah hampir sama iaitu antara 125-150 pohon sehektar. Secara purata, di ladang yang matang penuh, setiap tahun sekitar 90-100 pohon rumbia matang akan dapat dituai iaitu dengan mengambil kadar tebangan pada 70 peratus. Jika fakta-fakta ini ditukar ke dalam bentuk geraf penghasilan CPO dan sagu, maka kita akan dapati suatu gambaran jelas akan comparative advantage bagi keduanya. Geraf di sebelah, adalah penghasilan CPO dan sagu bagi tempoh 50 tahun. Tempoh 50 tahun atau dua pusingan penanaman adalah suatu perkiraan tempoh pengeluaran paling ekonomik bagi sawit yang diusahakan secara perladangan. Geraf tersebut, jelas menunjukkan dalam tempoh 10 tahun pertama, pengeluaran sagu jika penghasilan adalah bergantung hanya kepada pohon matang, maka hasilnya adalah sifar. Sedang bagi sawit, pengeluaran CPO sekitar 4-5 Mt/ha/tahun pasti akan tercapai. Maka, pada perkiraan tersebut, pada 10 tahun pertama, sagu tidak punya apa-apa perbandingan dengan sawit. Namun, selepas 10 tahun pertama, sawit dengan jelas tidak akan dapat mengatasi pengeluaran sagu. Dari 10 tahun pertama dan selanjutnya secara mampan, penghasilan sagu adalah 300 peratus jauh lebih tinggi dari sawit ie 16 Mt/Ha/Thn berbanding 5 Mt/Ha/Thn. Paling ketara dalam tempoh pusingan 50 tahun, pengeluaran sawit akan menurun pada tahun ke 22 dan sifar pada tahun 25-27 dan kembali memuncak pada tahun ke 30-47 dan seterusnya menurun sehingga sifar di tahun ke 50, sedang In Shaa Allah pengeluaran sagu akan terus mendatar pada 16 Mt/Ha/Thn bermula pada 10 tahun pertama dan seterusnya sehingga bila-bilapun, jika semua faktor adalah malar.

(4) OER sawit iaitu kadar perahan minyak sawit bagi penghasilan CPO adalah pada kadar 20-25 peratus. Ini membawa maksud dengan kadar keberhasilan buah sawit segar sebanyak 20-25 Mt/ha, maka sawit hanya boleh menghasilkan 4-6.25Mt/Ha/Thn CPO. Rumbia dengan tiori kepadatan penanaman sama seperti sawit ie 150 pohon/ha, maka pada hitungan berat basah pohon sekitar 1.0 MT, maka sehektar rumbia boleh menghasilkan 100-150 Mt/Ha/Thn berat basah pohon sagu iaitu yang boleh dianggap setara Buah Tandan Segar (FFB) sawit. Dari nilai tersebut, pasti Berat Basah Pohon Rumbia adalah 500-700 peratus lebih tinggi dari FBB. Maka jika dilihat pada kadar Saringan Tepung Sagu sebanyak 20 peratus, maka sehektar kawasan rumbia boleh menghasilkan 20-30 MT sagu. Maka jika tepung sagu adalah disamakan dengan CPO, pasti keberhasilan sagu jauh lebih besar dari CPO iaitu sebanyak 400-500 peratus lebih tinggi.

(5) Dari sudut penghasilan serat, kedua-dua rumbia dan sawit menghasikan nilai serat kering yang hampir serupa iaitu sekitar 20-25 peratus dari berat basah FFB atau batang rumbia. Maka jika bahan serat dapat dilihat sebagai sumber ekonomi baru, maka penghasilan serat sawit hanyalah sekitar 4.6-6.25Mt/Ha/Thn, sedang rumbia boleh menghasikan serat sebanyak 20-30 Mt/Ha/Thn. Namun hasil serat sawit dan rumbia adalah sangat berbeza. Serat sawit mengandungi sisa-sisa CPO mungkin sekitar 15-20 peratus, sedang serat-serat rumbia juga mengandungi sekitar 15-20 perastus kanji. Dari kandungan kimia keduanya, pasti keduanya boleh digunakan untuk keperluan industri yang sangat berbeza. Serat sawit boleh menjadi palet bahan bakar yang baik atas sifatnya berminyak serta lebih padat kaitin sedang serat rumbia kerana mempunyai tektur agak lembut serta berkanji adalah lebih sesuai untuk kegunaan sebagai ramuan makanan haiwan dan ikan. Juga memandangkan serat rumbia masih memerangkap antara 15-20 kanji, dan sifat serat itu sendiri yang lebih lembut ie berbentuk selulos mudah terurai, maka sisa serat rumbia boleh dinilai untuk penghasilan bahan ethanol sebagai sumber bahan bakar dan farmasi yang sangat menguntungkan.

(6) Maka dari sudut pemilihan komoditi pertanian yang harus diusahakan di tanah aluvial, pertimbangan untuk menanam sagu dan sawit jika dilihat dari sudut penghasilan sagu dan CPO, adalah amat jelas jika Geraf di atas diambil sebagai rujukan. Namun, kuasa Allah, tidaklah rumbia boleh menandingi sawit dalam hal-hal tertentu, dan khususnya dari segi jenis bentuk mukabumi dan kesuburan tanahnya. Sawit subur di tanah bersaliran baik. Sagu subur di tanah bersaliran baik namun tetap berair. Rumbia suka air, sawit perlu kurang air. Namun sagu tidak subur di tanah berair bertakung. Pengamatan rawak saya di PNG, saya yakin banyak pihak seperti tersalah sangka, bahawa rumbia subur di tanah berair marshland. Sebetulnya marshland di PNG hanya berlaku di musim tengkujuh, sedang di lain masanya, tanah tersebut adalah sekadar lembab. Marshland itu pula bukanlah sebenarnya tanah gambut, melainkan aluvial soil. Lawatan saya ke kawasan pedalaman di Sepik Basin di PNG membuktikan itu.

(7) Satu keunikan yang ada pada rumbia yang tidak pernah dikaji secara mendalam adalah betapa tanaman ini mempunyai banyak sulur. Sulur rumbia tumbuh sekitar 2-3 bulan setiap satunya. Sesungguhnya, penciptaan Allah pada rumbia sepertinya pepohon pisang dan atau nenas, punya hikmah tersendiri. Contohnya, sepohon pisang untuk matang mengambil masa sehingga sembilan bulan. Namun dengan kawalan pengurusan yang baik, tebangan pusingan kedua pisang tidaklah sampai menanti sembilan bulan seterusnya, bahkan dari rumpun yang sama, tebangan setiap tiga bulan sekali boleh tercapai. Samalah dengan nenas. Maka proses evolusi Allah dalam cuba mendidik manusia tentang pengusrusan economical tanaman bersulur adalah jelas, cuma manusia lambat berfikir. Maka, Pemangkasan thinning sulur rumbia secara teratur, pasti juga boleh mengatasi masalah long gestation period dengan syarat industri sagu perlu secara total chain

Keperluan Pelaburan Rumbia:

Dari sudut pulangan pelaburan, seperti saya nyatakan terdahulu, harga sagu kini adalah RM2,200/Mt (2016). Dengan pengeluaran 16 Mt/Ha/Thn, ini akan menghasilkan RM35,300/Ha/Thn. Harga CPO kini (2015) adalah sekitar RM2,200/Mt. Maka sawit hanya mampu menghasikan pulangan RM13,000/Ha/Thn. Jika harga semasa dijadikan perbandingan, maka ladang rumbia boleh memberikan 250-270 peratus lebih tinggi pulangan dari sawit. Saingan terdekat sagu adalah tepung ubi. Ini kerana, tepung ubi kini banyak digunakan sebagai bahan mentah dalam pengeluaran pelbagai starch derivatives products. Pengeluar ubi terbesar dunia adalah Thailand. Namun pengeluaran tepung ubi di Thailand juga kian menghadapi masalah akibat dari perubahan cuaca dan pertukaran guna tanah. Oleh yang demikian, wajar, harga pasaran sagu dibanding rapat dengan trend pasaran harga tepung ubi Thailand. Geraf di sebelah menunjukkan harga pasaran tepung ubi di Thailand. Dalam tempoh 1993-1998, harga tepung ubi adalah sekitar Bt800-Bt1,600/Mt. Ini bersamaan RM80-160/Mt. Pengeluaran ubi adalah sekitar 30-40Mt/Ha/Than dengan Kadar Saringan Tepung adalah pada kadar 25-30 peratus. Pada tempoh 1993-1998 harga tepung sagu adalah sekitar RM300-400/Mt. Kini (2015) harga tepung ubi adalah sekitar U$340/Mt iaitu bersamaan RM 1,300/Mt. Oleh yang demikian, saya yakin harga sagu boleh bertahan sehingga RM2,000-2,500/Mt untuk tempoh 10-15 tahun mendatang berasaskan bahawa keupayaan pengeluaran kanji dunia kian mendatar.

(2) Jika dilihat dari sudut belanja membangun dan mengurus sawit dan rumbia, kedua-duanya mempunyai profil belanja yang hampir sama. Saya menjangka belanja semasa untuk membangun ladang sawit di tanah gambut cetek adalah sekitar RM20,000/ha. Jika di ladang sawit, belanja RM20,000/Ha itu adalah bagi tempoh pembangunan tiga tahun pertama, maka bagi ladang rumbia, atas faktor masa maka sejumlah RM25,000 adalah diperlukan untuk tempoh lima tahun pertama. Belanja bagi penyelengaraan agronomik ladang bagi sawit dan rumbia saya kira adalah serupa untuk tempoh pembangunan. Perbelanjaan penyelengaraan ladang pada tempoh matang bagi sawit dan rumbia saya jangka adalah sama. Penyediaan tanah bagi sawit dan rumbia adalah hampir sama dari segi mekanisma dan profilnya.  Di tanah gambut, perlakuan penyediaan lapangan field preparation bagi sawit dan rumbia adalah hampir-hampir sama. Saya berpandangan ketumpatan tanah bagi sawit dan rumbia di tanah gambut adalah hampir sama, maka dengan sebab itu kerja-kerja mampatan tanah serta keperluan saliran adalah serupa. Cuma setelah mampatan yang baik, kawalan air di ladang rumbia perlu lebih ketat berbanding dengan sawit. Paras air tanah soil water level  dalam lingkungan 1.5-2 kaki adalah diperlukan. Di tanah aluvial, penyediaan lapangan juga hampir-hampir serupa kecuali dari segi penjagaan paras air tanah.



(3) Kesukaan rumbia kepada air melebihi sawit adalah suatu yang amat mudah untuk difahami. Secara morfologi dan anatomi, batang sagu jauh lebih lembut dari sawit. Ini bermaksud proses pengkaitinan serat sawit jauh lebih tinggi dari rumbia. Saya yakin serat-serat rumbia adalah terdiri dari selulos yang belum mengajalani proses pengkaitinan yang tinggi sepertinya pada sawit. Batang sawit punya kurang air berbanding rumbia. Batang sawit tidak perlukan banyak air kerana tiada keperluan untuk itu. Batang sawit harus keras untuk menyokong pembawaan buah yang berat sedang tidak untuk rumbia. Juga dengan membandingkan Kadar Perahan Minyak (OER) sawit dengan Kadar Saringan Tepung pada rumbia iaitu pada kadar 20-25 peratus, maka nilai keberhasilan Fatty Acid sawit iaitu CPO dengan karbohidrat rumbia adalah setara. Oleh yang sedemikian, saya yakin, dengan membandingkan dua formula molekul fatty acid dan karbohidrat maka pastinya rumbia perlukan lebih air dari sawit. Kandung OH- pada molekul karbohidrat jauh lebih tinggi dari fatty acid. Atas fakta-fakta ini, seharusnya para agronomis patut sudah boleh menangkap betapa di kawasan-kawasn bersaliran baik tetapi punya kemungkinan-kemungkinan tinggi untuk mengalami banjir, maka wajar rumbia dijadikan pilihan utama dari sawit sebagai komoditinya. Di kawasan-kawasan lembah-lembah atau kaki-kaki bukit tanaman sawit, seharusnya boleh diselingankan dengan rumbia. Dengan cara ini, bukan sekadar gunatanah adalah optima, namun pemeliharaan Productive Forest akan dapat dikekalkan. Di samping itu segala limpahan baja hasil dari ladang sawit akan dapat diserap baik oleh rumbia berasaskan akar-akar udaranya yang sangat unik.

(4) Dari segi prasarana jalan, di ladang rumbia keperluan jalan tidaklah terlalu kritikal memandangkan keperluan penuaian hanya bermula di tahun ke 10. Walaubagaimanapun, keperluan jalan bagi penyelengaraan ladang adalah diperlukan khusus untuk memudahkan pergerakan mobility pekerja dan angkutan bahan-bahan baja dan meracun. Dalam soal keperluan parasana untuk pengangkutan hasil tuaian, satu sistem seperti operasi pembalakan mungkin perlu di kaji. Gabungan antara pengangkutan jalan konvesyenal dan sistem pembalakan mungkin adalah sistem yang terbaik perlu difikirkan. Gabungan antara sistem jalan dan taliar boleh juga dikaji namun sistem ini hanya sesuai di musim tennkujuh di mana air adalah berlebihan dan pembuangan air adalah perlu. Walaubagaimanapun sistem pengangkutan air ini akan terganggu di musim kemarau dan jika ini tidak diatasi, pasti akan merencat operasi kilang.

(5) Dari segi pelaburan pengilangan, kilang berkeupayaan minima 2 Mt/Jam adalah dikira bersaiz threshold. Kilang pada saiz tersebut jika dilihat pada harga kini memerlukan pelaburan sebanyak RM10-15 juta. Kilang bersaiz 2 Mt/Jam boleh menampung antara 600-750 hektar ladang komersil rumbia. Walaubagimanapun bagi mengujudkan integrasi pengeluaran tepung sagu, ethanol, dan seterusnya bahan sweeteners, kilang dengan keupayaan 5 Mt/Jam adalah dikira sebagai saiz minima. Model kilang sagu dan sawit adalah serupa iaitu berasaskan penambahan line of production. Begitu juga bagi model kilang sagu bersepadu. Maka untuk mendapatkan economic of scale sebuah ladang sagu yang terurus secara komersil seluas 2,000-3,000 hektar adalah paling sesuai untuk mendapatkan satu Komplek Industri Sagu Bersepadu yang boleh menghasilan tepung, pelbagai sweeteners, ethanol dan bahkan makanan ruminen dan ikan. Berasaskan perhitungan di atas, saya menjangka pelaburan sebanyak RM25-30 juta adalah diperlukan bagi memulakan sebuah komplek nukleus industri sagu. Bagi membangun sebuah komplek industri sagu bersepadu berskala pionner, saya menjangka RM100-150 juta adalah mencukupi.

Keperluan Pembajaan Rumbia:

Pembajaan rumbia merupakan suatu isu yang belum dapat diselesaikan secara baik. Kajian terperinci rumusan pembajaan seperti belum ditemukan. Pembajaan di peringkat umuran 0-3 tahun pastinya lain dari di peringkat umuran 4-10 tahun. Kedua-dua peringkat umur ini melibatkan proses biologi yang mungkin sangat berbeza. Pada peringkat umur 0-3 tahun saya kira adalah peringkat tumbesaran, sedang pada umur 4-10 adalah peringkat sintesis kaji, trunking. Namun saya yakin, berdasarkan pengalaman luas kita dengan tanaman seperti getah, koko, kelapa, sawit dan malah padi, rumusan pembajaan rumbia bukanlah sesuatu yang terlalu rumit jika kita dapat teliti keperluan mineral untuk tumberasan pohon dan kemudian sistesis kanji rumbia.

(2) Seperti yang saya jelaskan di atas, hasil utama rumbia adalah kanji dengan rumusan kimia asasnya adalah glukos CH2O berbanding dengan sawit iaitu amino acid dengan rumusan asas NH4. Maka saya yakin, keperluan mineral rumbia harus lebih menjurus kepada aktiviti fotosintisis bagi penghasilan CHO. Ubahsuaian baja sawit mungkin perlu untuk keperluan khusus rumbia. Namun untuk pertumbuhan biasa rumbia, pastinya baja sawit juga punya kesan yang baik memandangkan kedua-duanya adalah dari Family Palmae yang serupa. Saya yakin mineral bagi keperluan pertumbuhan sawit dan rumbia adalah agak serupa. Maka saya menjangka di peringkat pertumbuhan iaitu umuran 0-3 tahun ie sebelum pembatangan, keperluan rumusan baja rumbia dan sawit adalah agak serupa. Namun sebegitu pangkasan thining sulur-sulur rumbia mungkin sangat diperlukan untuk mengelak pembaziran guna baja. Dari sudut hasilnya, maka rumusan baja rumbia harus sedikit berbeza dari sawit. Secara umum saya berkira, perhatian berat harus diberikan kepada pembajaan yang meransang proses photosintesis yang cekap dan berkesan. Secara umum, sumber karbon (C), dan -OH bagi sintisis kanji adalah dari alam semulajadi Karbon Dioksida dan Air (H2O). Maka untuk daya keberhasilan productivity rumbia pasti harus di teliti dari sudut untuk meningkatkan kecekapan rumbia untuk menukar dua juzuk semualajadi alam itu ie Karbon Dioksida CO2 dan Air  H2O menjadi kanji. Dalam prihal ini, kecekapan penukaran cahaya matahari dalam bertindakbalas pada organel khusus rumbia yang akhirnya boleh menukar gas karbon dioksida dan air menjadi kanji adalah suatu yang sangat perlu diperhatikan. Oleh yang sedemikian, saya berkeyakinan segala bahan mineral yang sangat diperlukan dalam seluruh sintesis tersebut terutama dalam soal pemankinan dan pemprosesan oleh enzim sintesis kanji perlu diteliti dengan baik. Untuk perbandingan awal, maka adalah wajar pembajaan bagi penghasilan buah dan bijiran pada keledek, ubi kayu kentang, padi, jagung, gandum dsb diteliti bersama. Saya berkeyakinan pasti kebersamaan rumusan akan diperlohi.

Keunikan Morfologi Rumbia:

Mungkin tidak ramai yang menyoal kenapa daun pisang adalah lebih lebar dan batang pisang sebetulnya adalah terdiri dari lapisan-lapisan tangkai daunya, yang selalu disebut kulit batang pisang. Juga batang pisang mempunyai rongga-rongga seperti sarang lebah untuk menyimpan air. Batang dan tangkai daun pisang adalah serat-serat panjang yang mempunyai ciri-ciri sama dengan serat-serat pada batang rumbia. Cuma bedanya, serat-serat batang pisang adalah untuk menyimpan air sebagai sokongan kepada batang pisang, serat-serat batang rumbia adalah jaringan penahan susunan butir-butiran kanji basah. Namun, pisang adalah tanam yang mengeluarkan buah juga bersifat kanji cuma dalam bentuk gula yang lebih ringkas, seperti juga tebu. Sebegitulah Allah, menyediakan segala macam rumusan yang ringkas-rngkas untuk kita memahami proses-proses komplek seterusnya. Bagi saya, rumbia mungkin adalah Jalan Evolusi Tanaman Berkanji Paling Maju yang tidak ada siapapun melihatnya sebegitu.  Kita orang Islam khususnya telah agak terpesong oleh tohmahan terhadap Tiori Evolusi Darwin sehingga kita melihat apapun yang terkait dengan evolusi adalah bersifat menidakkan kuasa Allah. Sesungguhnya Darwin tidak pernah menidakkan kuasa Allah, hanya dia bertiori dan secara kebetulan mengambil contoh manusia dan beruk sebagai teladan khususnya mungkin untuk menghidupkan perdebatan meluas. Pada saya, Darwin hanya ingin mengusul proses penciptaan yang Allah gunakan dalam menjadikan segalanya. Tiori beliau sebetulnya telah ditohmah oleh pihak Gereja yang sinis tentang ilmu akal dan telah menular di kalangan umat Islam kita. Saya yakin tiori evolusi hanyalah sebagai satu jalan untuk menjelaskan bagaimana Allah mengjadikan setiap sesuatu dari mahlukNya secara progerssif samalah dengan pembinaan Al Quran iaitu dari Zabur, Torah, Injil barulah sempurna menjadi Al Quran.

(2) Rumbia adalah unik. Secara umum, rumbia yang kedatapan di Malaysia khususnya di Sarawak adalah agak serupa. Ianya menyerupai pohon nipah. Punya banyak sulur, membentuk rumpun yang besar bagi menyokong kemandirianya tumbuhnya di kawasan yang agak lembik. Tidak seperti kelapa atau sawit, jarang sekali kita menemui pohon rumbia tumbang. Biar digempur ribut sekuat mana, paling-paling hanya dahannya yang patah mematah. Pohon rumbia jarang sekali tombang kerana sokongan dari sulur-sulurnya yang banyak serta jalinan pengakaran yang panjang dan luas. Saya yakin, sulur rumbia akan berkurangan jika tanah di mana ianya ditanam agak kering. Begitu juga akar rumbia akan menjadi agak pendek jika ditanam di tanah agak kering. Bila saya maksudkan kering di sini tidaklah sekering tanah untuk menanam kelapa. Kering tetapi berpengairan baik.

(3) Cuba perhatikan batang rumbia, khusus dari spesis M. Salomonese yang banyak kedatapatan di kepulauan Selatan Pasifik. Saya pernah ke kepulauan Bougeniville Papua New Gunea dengan menaiki helikopter selama enam jam merentasi Selatan Pasifik untuk melihat rumbia endemik ini dan memiliki dua pohon sagu ini di Kampong yang kini hidup dengan subur sekali. Pada umur sekitar 7 tahun, tinggi pohon rumbia ini sudah mencapai lebih tujuh kaki. Saya perhatikan pertumbuhannya boleh mencapai 2-3 kaki setahun. Pada spesis jenis ini, Allah menjadikan ianya mempunyai sifat penyesuaian yang sangat istimewa. Di rantau Selatan Pasifik, hujan agak kurang, namun keadaan laut sangat berkabut misty akibat pertembungan udara panas tropika dan sejuk khutub. Daun-daun yang lebar serta pelepah yang besar, saya berkira punya kaitan untuk mengutip embun-embun untuk keperluan air rumbia ini. Air akan terperangkap di celah-celah pelepah dan jika diperhatikan baik-baik, kita akan dapati di balik pelepah itu banyak akar udara aerial roots. Kuasa Allah sebegitulah MahaBijaknsanaNya dalam mencipta apa saja sesuai dengan keadaan apa saja semua untuk memberikan jalan pengajaran kepada manusia, cuma sangat jarang yang mahu berfikir dan berIman teguh. Di samping pada batang-batang rumbia tumbuh akar-akar udara, di permukaan tanah berhampiran pohon-pohon rumbia juga dipenuhi akar-akar udara sepertinya pohon-pohon kayu bakau. Saya menduga akar udara bakau dan rumbia punya satu persamaan fungsian yang jelas iaitu untuk mencengkam tanah lembut agar ianya dapat tumbuh berdiri kokoh. Selain untuk keperluan biologi lainnya, saya yakin, pohon rumbia dan bakau punya fungsian bagi mempertahankan tebing-tebing sungai dari runtuh terhakis, cuma bedanya, satu untuk keperluan di air masin, sedang satu lagi untuk keperluan di air payau atau tawar. Maka, bila Allah mendatangkan sawit ke Malaysia, itu sebetulnya adalah pasangan cocok bagi rumbia di mana keduanya harus boleh disepadukan dalam usaha perladangan dan pemeliharaan alam sekitar. Rumbia boleh menjadi pasangan akrab sawit dalam mengekal keadaan alam sekitar tropika bagi menyanggah gerakan anti-sawit Barat. Sesungguhnya peranan areal root rumbia sangat besar. Saya yakin, areal root rumbia adalah pertunjuk water stress yang ia sedang hadapi. Keberadaan areal root boleh jadi pertunjuk tentang water stress ladang rumbia. Jika areal root kurang maka water stress kurang jika areal root tidak ada langsung, itu juga mungkin pertunjuk bahawa ladang berlebihan air maka tumbesaran rumbia jadi lambat dan ini saya kira pasti diikuti dengan pertumbuhan sulur yang lebih banyak. Maka keberadaan areal root boleh dijadikan pertunjuk baik tentang sistem pengurusan ladang yang harus diperhatikan elok-elok. Saya juga yakin, areal root juga menjadi pertunjuk setakat mana ladang rumbia harus dibersihkan dari segala sisa-sisa daun dan batang palm debris. Ladang rumbia, saya yakin tidak boleh dibersihkan sebagaimana ladang sawit.

Kememasan Rumbia.

Sesungguhnya, saya yakin pada sepohon rumbia ada bahan makan kanji yang sihat, ada bahan terbitan gula starch derivatives, ada pemanis sweetner yang sangat penting dalam pengawitan makanan dan pembuatan kueh mueh dan minuman, ada ethanol yang sangat penting dalam industri farmasi dan kesihatan bahkan sumber bahan bakar yang tidak ternilai buat gantian minyak, ada pelekat adhesive organik, malah ada lembu dan ayam itek dan bahkan ikan. Cuma masalahnya, Negara ini tidak pernah mempunyai mereka yang kental dalam membangun kekuatan dari ciptaan Allah yang sangat dekat pada mereka. Cabaran Allah pada agronomik rumbia menjadi orang Melayu jadi buntu dan kalah. Sikap orang Islam di Negara ini yang sering melihat payah sebagai susah, dan tidak melihat payah sebagai dugaan Iman, maka Rahmat Allah akan terus menjauh dari umat Melayu. Emas dalam rumbia, Melayu buang jauh-jauh hanya untuk makannan itik dan babi. Semua kerana saya yakin, bukan hanya yang berkenaan sedang buta, pekak dan bisu tentang kebijaksanaan Allah, namun nan pasti banyak yang diamanah sekadar ingin makan gaji dan mengaut yang cepat dan untung sahaja. Syurga mereka ingin nikmati sekarang bukan sesuatu yang dihambat buat hari esok. Astarfirullah.

Kuching, Sarawak
12 April, 2016


0 comments :

Back To Top