Latest Postings
Loading...
Oct 18, 2014

4/10/14 BERTANGGUH, LENGAI........sik iboh sengaut, indak lakas? (DRAFT)

Istilah tangguh banyak sebutan lainnya dalam pelbagai loghat Melayu di Nusantara. Namun ianya tidak sama dengan tangguh dalam Bahasa Indonesia. Istilah tangguh boleh diberi penambah kata seperti ber, me, kan, pe dan an. Maksud kata tangguh itu ialah melewatkan sesuatu tindakan. Ianya mungkin bersebab yang sangat kukuh sehingga maksudnya menjadi ditunda iaitu di lewatkan ke suatu waktu kemudiannya. Namun saat perkataan tangguh diulang-ulang ianya akan membawa suatu pengertian yang sangat merugikan. Tangguh-tangguh seperti apa juga perkataan Melayu lainnya, saat berulang ianya tidak mengukuhkan sifat dan atau makna kata tersebut, namun mencairkan malah memperlekehkan darjat kata tersebut.

(2) Tangguh-tangguh membawa makna suka melewat-lewatkan sesuatu tindakan. Keperluan untuk melewat-lewatkan itu bukan atas sebab yang kukuh melainkan atas sifat memang jenis suka melambat-lambatkan. Sifat bertangguh-tangguh bukanlah sifat mutlak Melayu Negara ini. Ianya adalah sifat Melayu Nusantara, Melayu sejagat mungkinnya. Dalam loghat Melayu Sarawak, tangguh-tangguh tertanam dalam kata sik hal, sik iboh sengaut. Di kalangan masyarakat Iban, anang guai, tunggu dulok juga melambangkan sikap suka menangguh-nangguh. Dalam masyarakat Jawa mengko-mengko adalah watak tidak mengasak. Di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan mungkin Perak bertangguh-tangguh ini mungkin sangat terkait dengan sikap lengai. Di Selangor istilah buat dek samalah maksudnya dengan bertanguh-tangguh, lembab, lengai. Di kalangan orang Melayu Sabah, juga di kalangan orang Kedayan Sarawak dan Brunei, kata indak lakas-lakas juga mengambarkan kata tangguh-tangguh. Di Kelantan dan Trengganu jange lorak, koho-koho adalah perlambangan wujudnya sifat menangguh-nangguh. Semaklah dari Pattani, ke Champa, terus ke Sulu, seluruh Borneo, seluruh Indonesia dan pastinya di Tanah Melayu, kata dan sifat yang membawa gemar melambat-lambat pasti ada pada semua suku bangsa Melayu. Soalnya kenapa dan apa akibatnya?

(3) Barat melihat sifat lengai, sifat sambil lewa, bersahaja Melayu dsb sebagai sifat pemalas. Budaya Barat, once said, considered done sangat bertentangan dengan budaya Melayu. Akibatnya, sikap Barat ke atas Melayu di zaman penjajahan adalah say it though to get it done. Maka dengan sebab itu, Barat melayan Melayu dalam serba keras dan tegas. Melayu sangat menerima henyakan Barat itu seiring dengan sasa dan tegapnya manusia-manusia Barat. Lantas istilah Yes Sir di terima dan di Melayukan menjadi Ya Tuan. Lama kelamaan istilah Tuan adalah suatu stigma yang lekat menjadi suatu unsur penyegera bagi Melayu. Jika Tuan ada, semua akan cepat-cepat berbuat kerja. Jika tidak percaya, tanyalah sesiapapun di kalangan orang Melayu yang pernah bekerja dengan penjajah Barat tidak kira British, Belanda, Sepanyol, Portugis dsb, semua akan berkata mereka bagus, mereka tegas, mereka berdisiplin. Maka sehingga kini, jika Melayu bekerja dengan kaum lain selain kaum mereka, mereka akan lebih patuh. Perhatikan bila Melayu bekerja dengan bangsa Cina, umpamanya, dipijak kepalapun tidak mengapa, mereka terus manut. Kenapa?

(4) Gemalai ombak adalah kebiasaan pada nelayan Melayu. Lengok kelapa adalah indah kepada Melayu persisir. Liuk lintuk padi mengurai adalah syurga bagi para pesawah Melayu. Aliran air sungai adalah lembut indah kepada Melayu di lembangan. Desir angin di dedaunan adalah sahdu bagi Melayu di pergunungan. Alam Melayu semuanya adalah gemalai. Semua itu harus dinikmati dengan penuh keasyikan, santai. Apa lagi dengan kedudukan dunia Melayu di alam tropika, segalanya menyebabkan Melayu harus bertangguh. Ribut petir sering menangguhkan banyak kerja Melayu. Banjir besar sering melewatkan kerja-kerja Melayu. Begitu juga pasang surut air di sungai dan laut. Dingin nyaman rintik-rintik hujan paling asyik untuk menangguh merayap keluar kamar tidur. Apa lagi mahu berHari Raya juga Puasa. Harus menunggu dan menunggu anak bulan nampak sehingga dulu-dulu, tertangguh adalah kebiasaan.

(5) Di kalangan anak-anak Melayu desa di Negeri Sembilan, konsep lengang perut adalah keperluan selepas kenyang makan tengahari. Keperluan itu sebetulnya adalah sejadi biologis namun tidak ramai yang faham. Saat perut menghadam makanan, segala tenaga lain harus dikurangkan untuk disalurkan ke sistem penghadaman. Maka seluruh tubuh lainnya akan terasa malas mengantuk untuk memberi ruang bagi perut menjalankan tugasnya. Sesungguhnya, alam Melayu adalah alam yang menyajikan segala macam sebab untuk sifat bertangguh-tangguh subur dalam jiwa setiap Melayu. Lantaran itu, sebagai antidot akan sifat-sifat itu, Melayu menyubur sifat-sifat santai yang sekali imbas melambang betapa coolnya orang Melayu sehingga akhir-akhirnya, di kalangan masyarakat Utara Tanah Melayu menjadi lengai. Dalam dunia kartun, sifat lengai ini sangat tergambar oleh Popeye. Semua diambil sikap tunggu dulu, tak perlu cepat-cepat, kalau rezeki kita tidak ke mana-mana, dsb.

(6) Saya mengemuka prihal ini, lantaran dalam perjalanan saya dua tiga minggu berkeliling ke seluruh Negara, saya menemukan sangat banyak sifat suka bertangguh-tangguh di kalangan pemimpin, penjawat awam, GLC dan swasta Melayu. Inilah kalangan yang kini merupakan harapan bagi bangsa Melayu. Namun sikap mereka, seolah-olah bangsa Melayu itu seperti sedang berada dalam kedudukan terbaik dan terjamin. Melayu-melayu yang menduduki kedudukan sebegini saya kira kebanyakan tidak peduli keras akan nasib masa depan bangsa mereka. Orang politik terus bermain politik. Penjawat awam sedang belajar hebat bermain kayu tiga bermuka-muka. Penjawat GLC dan swasta, berusaha keras mengaut segala demi diri. Sesungguhnya, banyak saya lihat lebih tidak tangguh-tangguh untuk mengemukkan badan dan membuncitkan perut sendiri. Sesungguhnya keperluan GTP sebagai NKRA Mohd Najib adalah manifestasi betapa kebanyakan penjawat Melayu dalam kedudukan kepimpinan sudah sarat dilanda penyakit tangguh-tangguh. Soal bangsa mereka tidak peduli. Jika dulu alam menjadikan Melayu punya jatidiri bertangguh-tangguh saya kira kini alam elektronik sudah menukar Melayu Baru menjadi lebih parah. Mereka tidak tangguh-tanguh lalai oleh segala gadget elekronik sehingga masa depan mereka sendiripun mereka terus-terusan sandarkan kepada orang lain. Saya berkira menteri-menteri Melayu yang menjaga soal Komunikasi dan Multi-media, Pendidikan, Budaya dan Halehwal Islam Melayu sedang bertangguh-tangguh sehingga Melayu runtuh parah baru mereka mengorak langkah. Mereka sedang bertangguh-tangguh mencari jalan agar segala gadget itu menjadikan Melayu sangat hebat. Mungkin mereka sendiri juga sedang lalai syok sendiri merenung hit di atas segala platform media sosial yang mereka sertai.

(7) Melayu sering bertangguh-tangguh dalam membina Melayu. Melayu lebih gemar menjaga tepi kain dan segala prihal orang lain dari menumpu memperbaiki segala kelompangan pada Melayu itu sendiri. Saya kira, Melayu sudah menjadi bacul untuk bekerja kuat dan bijak untuk kebangkitan Melayu.

Kuching, Sarawak
18 Okt., 2014

0 comments :

Back To Top