Latest Postings
Loading...
Aug 24, 2014

7/8/14 ISTERI MELAYU dan kepincangan bangsa, di mana puncanya? (draft)

Dalam dunia Islam, Nasrani dan Yahudi, manusia berasal dari Adam AS dan Siti Hawa RA. Adam AS asalnya dari debu dan tanah. Siti Hawa RA asalnya dari tulang rusuk kiri Adam AS. Lantaran khilaf dan lalai termakan godaan dan hasutan iblis, keduanya terkeluar dari Syurga. Di bumi. kedua-duanya lalu membiak membentuk umat manusia. Mulanya pembiakan ini adalah lewat pernikahan adik beradik. Namun, biar itu adalah halal dari mulanya, namun tetap Allah cuba menghindar pernikahan yang terlalu dekat hubungan genetiknya. Ini jelas dari kias perintah Allah agar Qabil menikahi adik kembar Habil dan sebaliknya. Kejadian khilaf dan lalai Adam-Hawa serta keengkaran Qabil terhadap perentah ini, saya yakin punya hikmah tersendiri dan sesuatu yang pasti telah Allah ketahui sebab musabab awalan dan akhirannya. Cuma, saya pasti bila Melayu membaca dan membicara sejarah ini, kita melihatnya hanya sebagai ilmu tentang kejadian awal manusia. Tentang iktibar luasnya, saya menghitung, pasti banyak akan berkata peduli apa, kenapa harus menyerabutkan fikiran dan paling dahsat mungkinnya, banyak yang berkata "I have more pressing things than thinking of such, what is done is done, why bother". Hujjah sebegitu, apakah atas sikap pelarian; escapism dan atau lengai, indifferent?

(2) Biarlah saya menulis tentang sikap "What is done, is done, why bother" atau dalam bahasa mudahnya: "Kenapa sibuk-sibuk, peduli apa!". In Shaa Allah, saya akan cuba menyorotnya dari sudut bagaimana sikap sebegitu sebetulnya menimbulkan segala keresahan sosial yang sedang melanda dunia Melayu. Pastinya sikap sebegini, menjadikan Melayu tersekat dari jalan luas kejayaan dan kebahagian. Asas kepada minat saya menulis ini, adalah lewat satu riwayat: Saat Muhammad SAW menoleh ke Neraka, baginda tertegun melihat kaum Hawa RA berbondong-bondong ke sana serta apa yang Barat lihat sebagai Behind a successful man, there is always a woman.

(3) UMNO khususnya Sharizat Jalil sangat mengharapkan agar kaum wanita di Negara ini akan menjadi tenaga utama dalam mengerakkan ekonomi Negara. Saya yakin Rosmah Mansor amat bersetuju dengan ini, lantas Mohd Najib terheret sama. Apa lagi sudah ada usaha-usaha keras, agar kaum wanita yang layak menduduki kerusi kuasa di mana-mana. Pastinya PKR jauh ke depan, lantaran pada saat ini sedang mengasak kuat agar Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan Menteri Besar Selangor. Pokoknya, wanita kini sudah dilihat sebagai aset ekonomi. Apakah itu selayaknya kedudukan wanita? Perlumbaan ini kian menjadi inspirasi juga cabaran kepada UMNO untuk tidak mahu kalah. PAS memang sudah mengaku kalah dalam usaha menjadikan wanita sebagai pemimpin. Kenapa semua ini jadi begini?

(4) Fitrah asal Allah dalam menjadikan manusia kurang kita mengertikan. Kita mengerti sekadar sipi-sipi. Pertama Dia mahukan manusia jadi khalifah. Lantas Adam, seorang lelaki Dia ciptakan. Dia ciptakan seorang manusia lelaki pada mulanya lalu mengajar dia tentang segala untuk persiapan sebagai khalifah. Juga Adam AS Dia cipta lengkap atas sifatnya sebagai khalifah termasuklah salah satunya adalah organ sek pembiakan jantannya. Allah tidak mencipta Adam AS sebagai hermaprodit mahluk dua jantina, seperti cacing tanah atau ikan terubok contohnya. Adam AS juga tidak mulanya tercipta tanpa organ sek. Apa maksudnya? Dengan ilmu yang Allah ajarkan kepadanya, saat Adam AS mulai memerhati keliling, semua berpasang-pasangan kecuali dia. Maka dia memohon agar dia diberi pasangan. Apa maksudnya? Untuk apa dia harus berpasangan?  Tidakkah Adam AS mulai mengerti akan apa guna organ seknya? Juga, tidakkah Allah tahu jauh lebih awal akan kemungkinan permintaan Adam AS itu? Pastinya Dia sudah tahu. Akal dan naluri Adam AS pasti menjurus kepada itu. Lantas, Hawa AS Dia ciptakan dari tulang rusuk Adam AS. Kenapa dari tulang rusuk, tidak dari bahagian lain dan atau dari tanah debu seperti Adam sebermulanya? Sesungguhnya jika kita membuat kajian anatomi (struktur), fisiologi (fungsian organ), apa lagi bio-kimia, pasti tulang rusuk tidak sama dengan anggota lain badan. Wujud perbedaan ketara dan halus. Apa maksudnya? Di situlah, jika secara saikologi kita tidak mahu mengakui terdapat jurang nyata kudrat dan fitrah antara lelaki dan perempuan maka Allah membuktikannya secara saintifik. Lantaran Allah tahu, sebegitulah kehendak masyarakat Barat khususnya dan dunia kini.

(5) Sedari awal, Allah telah mentakdirkan lelaki adalah khalifah yang Dia mahukan di dunia ini. Khalifah di dunia. Apa maksudnya? Ini bermaksud, lelaki perlu menjadi pentadbir, pengurus, pengendali segala sesuatu di dunia ini. Allah telah memerintahkan segala apa juga ciptaanNya tunduk kepada taklukan dan kekhalifahan manusia berjantina lelaki. Peranan itu kini menjadi semakin penting dan mencabar, khusus dalam soal-soal mengurus manusia dan alam kehidupannya. Itu Allah sahkan lewat beberapa perkara asas yang hanya diberi dan atau boleh dilakukan oleh lelaki. Contohnya, lelaki tidak akan pernah haid, maka secara saikologi mental dan perasaannya sentiasa boleh terkawal baik. Sifat-sifat sebegitu adalah sangat penting untuk seseorang yang bertanggungjawap untuk memimpin. Bahkan semasa turunnya Adam AS ke bumi, dia diturunkan jauh dari Hawa AS agar dia menjadi pertualang sedang Hawa AS penanti setia. Secara azali pula, Dia mahukan perempuan menjadi teman lelaki di dunia ini. Teman lelaki sebagai khalifah. Saya menghitung, perempuan adalah untuk menjadi teman lelaki agar menjadi khalifah sempurna. Tidak kurang dari itu. Tidak pula lebih dari itu. Mari kita perhatikan saikologi kejadian perempuan. Kenapa Allah jadikan perempuan itu dari tulang rusuk? Rusuk kiri pula, kenapa tidak rusuk kanan? Lihat dulu, kenapa harus kita punya rusuk? Sebetulnya, soal kenapa Allah menjadikan manusia punya rusuk boleh dimengertikan dari kejadian umum haiwan. Rusuk haiwan, biar sekecil belalang sehingga sebesar gajah membawa setinggi manusia adalah untuk melindungi beberapa organ penting seperti jantung, paru-paru, hati, hempedu, dan sebahagian perut (lambung). Lihat rajah di atas, ternyata organ-organ tersebut dilindungi oleh rusuk. Bedanya, di sebelah kanan ada organ hati (liver) sedang di sebelah kiri ada perut, lambung. Perbedaan itu sudah menunjukkan ada ketentuan saikologi di sebalik pertahanan rusuk. Hati mengawal sistem penghadaman dan pertahanan manusia. Sedang perut, hanya sekadar penghadaman awal. Anih rasanya, kenapa Allah tidak mengambil tulang rusuk kanan untuk menjadikan Hawa AS. Sebab mudahnya adalah mudah. Ianya agar pertahanan terhadap hati tidak terjejas. Dia mengambil rusuk kiri lantaran pertahanan bagi organ perut jauh lebih kurang penting dari untuk hati. Apakah kesan saikologinya dalam hubungan lelaki dan wanita?. Tidakkah itu mengambarkan, wanita memainkan peranan agak kurang, jika berbanding dengan jika dia dicipta dari tulang rusuk kanan? Andaikan perempuan dijadikan dari tissu kepala apakah akan terjadi pada lelaki? Pasti akan ada kekurangan, dan kekurangan ini pasti akan menjejaskan kejadiannya. Harus diingat dalam dunia Sains, segala organ deria dalam kepala adalah jauh lebih tinggi kejadianya, dan segala organ di dalam dada adalah secondary important. Maka atas MahaBijaksana Allah, tidak Dia menjadikan wanita dari tissu dan atau organ kepala lelaki. Sebegitu juga jika wanita terjadi dari organ-organ atau tissu lainnya. Jika dari tissu lain selain dari rusuk, pasti kecacatan manusia itu jauh lebih besar dari sekadar hilang sebilah tulang rusuk.

(6) Organ-organ di dada kita tidak melekap ke tulang rusuk. Kenapa begitu? Jika itu terjadi pasti payah untuk hati, jantung, paru-paru, malah perut untuk kembang kuncup. Itu saintifiknya. Namun apa maksud fitrahnya itu? Tidakkah mungkin Allah, menghendaki agar ada ruang antara lelaki dan wanita? Dalam hubungan suami-isteri, tidakkah itu mengambarkan kebijksanaan pribahasa Melayu sayang bini tinggal-tinggalkan. Apakah maksud peribahasa itu, dan apa tujuan atau keperluannya? Di zaman Muhammad SAW dan amat dititik beratkan oleh Umar Al Khataab, para tenteranya akan diberi waktu agar setidak-tidaknya setiap tiga bulan harus bersama isteri dan atau keluarganya. Tidakkah itu, di samping mengekalkan hubungan suami-isteri, juga membayangkan pengorbanan yang keduanya harus pikul demi Negara, masyarakat dan Islam?  Namun, kini bagiamana sikap dan gaya hidup pasangan Melayu? Sememangnya, kudrat kejadian rusuk harus sentiasa dekat pada tubuh. Tanpa rusuk tubuh bolong, melopong. Namun itu sekadar mitosnya, namun keperluan tubuh pada rusuk tidak sebegitu, saya mengira. Kita harus melihatnya pada sudut saikologi dari sudut fizik semata-mata. Rusuk letaknya di samping, di sisi, tidak ke depan, juga tidak ke belakang. Dari situ, peranan wanita harus dimengertikan. Di dunia nyata pada hari ini, saya mengira hubungan antara Michelle dan Barrack Obama adalah wajar diperhatikan. Bukan sepertinya Winnie (?) dan Mandella.

(7) Jika umat Islam, khususnya pemimipin Melayu berusaha keras cuba memahami Sains Islam dan atau Sains Al Quran, tidak sekadar mengambil sesuatu darinya atas kesesuaian kehendak diri pasti kedudukan wanita dalam Islam tidak akan sebagaimana Barat harus mempengaruhi kita. Islam menegaskan, wanita adalah pemimipin dalam rumah. Dia bertanggungjawap dalam menjaga keluarga, harta dan kehormatan diri dan suami. Inilah saya kira kias Allah, mengambil tissu rusuk sebagai mula kejadian wanita. Inilah bahagian yang menjaga segala jentera kerja manusia. Tidakkah itu serupa tugas wanita untuk menjaga kesiap siagaan rumah tangga? Juga kita harus ingat, sedari awal, penciptaan wanita adalah atas permintaan Adam AS. Dia meminta teman. Dia meminta adanya teman agar dia dapat menunaikan dengan sempurna fitrahnya sebagai khalifah. Itu kita harus jelas. Juga, lewat Hawa AS, mereka berdua akhirnya terjerat oleh godaan syaitan lalu terbit nafsu sahwat pada mereka. Tidakkah itu mengambarkan betapa, hadirnya Hawa AS adalah sebagai prasyarat kepada bernafsu sahwatnya Adam AS? Tidakkah itu juga mengambarkan, betapa wanita itu adalah pendorong dan yang memenuhi nafsu sahwat? Bernafsu sahwat itu untuk apa? Buat sekadar suka-sukaan? Apa perlunya nafsu sahwat dalam tanggungjawab kepeimpinan? Sesungguhnya, pembiakan adalah salah satu cara untuk pengembangan zuriat dan kelestarian kekhalifahan. Namun, lantaran kepunyaan nafsu sahwat, maka Allah siap siaga membuat hukum untuk mengawal segala lewat masing-masing manusia salah satunya adalah harus menutupi aurat? Hukum itu pula jauh lebih diberatkan kepada golongan wanita. Maka dalam dunia Islam, saya yakin Allah meletakkan wanita sebagai golongan yang harus punya tanggungjawab ringan namun amat penting.

(8) Fitrah kejadian wanita adalah untuk melahirkan zuriat. Kemudian memelihara mendidik zurait tersebut secara sempurna. Lantaran itu, dia harus menjadi pemimpin di rumah mengurus segala perolehan si suami demi kebahagian keluarga. Menjaga kesihatan, martabat diri dan suami. Mendidik anak-anak. Apakah pembacaan dan fikiran saya ini benar? Mari kita buktikan lewat sirah para isteri Muhammad SAW. Sebermula dari Siti Khadijah. Tidakkah dia menyerah segala urusan luarannya kepada Muhammad SAW bila Muhammad SAW telah menjadi suaminya? Sebegitulah, sebetulnya. Kenapa? Biar Khadijah seorang berpendidikan baik, jauh lebih baik dari Muhammad SAW, namun tidak dia mendahului Muhammad SAW dalam hal-hal di luar rumah. Beliau juga seorang ternama. Apa lagi beliau cukup jauh lebih matang dari Muhammd SAW. Peranan Khadijah jelas, tidak mencampuri urusan Muhammad SAW. Beliau patuh kepada tugasan mengurus rumahtangga dan tidak jemu mendokong memberi semangat kepada perjuangan Muhammad SAW. Tidakkah sebegitu lain-lain isteri-isteri Muhammad SAW? Siapakah di antara mereka yang cuba terlibat dalam hal-hal luaran rumah tangga? Saya membaca tidak ada. Tidakkah itu mengambarkan, ketiadaan campur tangan wanita dalam urusan lelaki, dan mereka hanya tetap menjaga rumahtangga dan menjadi pendorong di balik tabir, meletakkan lelaki jauh untuk bergerak ke depan dalam soal tanggungjawab kemasyarakatan dan urusan Islam secara menyeluruhnya? Saya juga tidak terbaca, malah di kalangan para khalifah Arrashidun ada keterlibatan langsung para isteri mereka dalam hal-hal kekahlifahan mereka terhadap ummah dan Islam.

(9) Perhatikan saat wanita sudah menonjol diri menjadi Khalifah. Lihat pada Cleopatra. Tidakkah Mesir akhirnya disundalkan kepada Rom seperti dirinya kepada Caeser dan Mark Anthony. Dalam prihal Aishah RA selepas kemangkatan Muhammad SAW dan Usman Affan, apa terjadi apabila  beliau terlibat untuk memimpin penentangan terhadap Ali Abi Thalib? Tidakkah ummah jadi kucar kacir? Tidakkah itu, sebetulnya Allah hendak tunjukkan, wanita tugasnya bukan di medan perang. Memang ada yang mengata, bukankah Hindun isteri Abu Suffian memainkan peranan besar dalam mendokong peperangan menentang Byzantium? Sesunguhnya peranan Hindun adalah atas dasar dia ingin menebus dosanya dan tugas beliau adalah sekadar membantu logistik dan untuk memastikan Abu Suffian terus berperang biar terpaksa gugur. Di Eropah, apa terjadi kepada semua empayer Eropah bila mana kepimpinan Negara beralih tangan kepada wanita? Semuanya kecut dan terbebas merdeka. Juga perhatikan apa terjadi kepada Kerajaan Moghul Islam di India di saat wanita mulai mempengaruhi Raja. Kerajaan jadi lalai, terumbang ambing dan pecah belah kalah. Sehingga kini, Benua Kecil India (India, Pakistan, Bangladesh) terus-menerus menyaksikan wanita silih berganti menjadi khalifah, apa jadi? Di negara-neraga tertangga, kita juga sudah mengalaminya di Filipina, Indonsia, juga Thailand, bagaimana akhirnya? Apa jadi kepada Filipina, di saat Imelda sudah ke depan dari Marcos? Apa berlaku saat Aung San Suu Kyi, hendak dikuda Barat untuk memimpin Burma? Apakah Negara menjadi lebih maju atau mundur? Bagaimana dengan Jerman? Tunggulah masanya. Apa jadi dengan kepimpinan Bill Clinton saat Hilary Clinton sudah campur tangan? Bahkan di Negara ini, perhatikan semua Perdana Menteri dan Menteri kita. Saat para isteri mulai ke depan apa jadi kepada Negara ini? Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Husein, Husein Onn, dan Mahathir Mohammed semua para isteri mereka terus di belakang atau paling-paling disamping. Namun tidak bagi Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib. Dunia sudah berubah, kata mereka. Namun hukum tabii Allah apakah sudah berubah?

(10) Dunia sudah berubah. Hutan menjadi taman. Taman penuh bunga-bungaan. Bahkan bunga-bungaan juga telah berubah. Dulu liar, kini sudah banyak hibrid. Paling tidak dulu pelbagai, kini sudah mulai bersifat mono-culture. Alam memang sudah berubah. Namun sebilangan penghuni alam, tetap Allah jadikan ianya seperti azalinya. Lebah tidak berubah. Maharani tetap maharani tidak ianya keluar menjadi pekerja apa lagi askar pengawal. Kenapa? Semua agar madunya tetap tulin, zuriatnya kembang, masyarakatnya utuh, dan segala fitrahnya harmoni kekal. Sebegitulah pada haiwan-haiwan lain seperti semut, para burung, para ikan, dsb. Mereka kekal pada kudrat dan fitrah mereka untuk kekal abadi dan harmoni. Tidakkah kita mahu belajar dari itu?

(11) Maka Muislimah harus saja duduk taat di rumah. Hujah sebegitu menjadikan kepala kita menerawang ke Phuket, Thailand sepertinya. Biarkan wanita hanya duduk menanti pelanggan, sehingga ada berantakan seketika dulu agar para isteri harus melayani para suami bagai pelacur kelas atas. Saya mengira itu sekadar bayangan, jika kita berbahas sekadar untuk berbahas apa lagi untuk saling menjatuhkan. Marilah kita berbahas secara ilmiah agar kemelut hidup yang kita hadapi dapat kita selesaikan. Apakah kemelut hidup yang sedang kita hadapi kini? Terlalu banyak. Cerai muda. Bosia. Murtad. Dadah. Pil kuda. Mat rempit. Anak terbuang. Keciciran pendidikan, Kegawatan akhlak. Saya mengira tidak habis untuk kita tulis. Terlalu banyak. Kenapa semua ini berlaku, dan paling banyak pada masyarakat Melayu yang Adeen mereka seharusnya Islam?  Tidakkah ini mengambarkan kepincangan hebat sedang melanda keluarga dan masyarakat Melayu? Saya melihat semua ini terjadi, bila mana lelaki sudah hilang sifat kekhalifahan mereka lantas wanita ingin dan atau terpaksa mengambilalih sedang kejadian azali mereka Allah tetapkan harus mengikuti hukum Labor Specialization seperti dalam Hukum Ekonomi Smith pasti kecelaruan akan banyak berlaku. Usul keras saya adalah lelaki harus kembali menjadi khalifah. Pengertian sifat-sifat dan tanggungjawab sebagai khalifah itu harus lelaki fahami dan mengerti mendalam. Untuk menyemai sifat-sifat ini, wanita harus kembali kepada asal usul kejadian mereka suri rumahtangga. Pengertian suri rumah tangga itu juga harsu dimengertikan seluas-luasnya.

(12) Dalam soal ini, bukan susah. Kalau Muhammad SAW adalah terlalu sempurna sebagai teladan, lihat saja kepada para sahabah baginda. Adakah kerja para isteri-isteri para sahabah bercampur aduk dengan para suami mereka? Apakah kehidupan dulu-dulu jauh lebih mudah dan mewah dari waktu ini? Apakah tugasan MuhammdSAW dan para kahlifah dulu lebih mudah dari sekarang ini? Lihat pada Umar Al Khataab. Lihat pada Ali Abi Thalib. Lihat pada Umar Abdul Aziz. Semua mereka hidup dalam kemiskinan namun tidak para isteri mereka harus keluar bekerja. Juga masyarakat Islam dulu jauh payah dan merbahaya hidup mereka. Tetap para khalifah ini bertanggungjawab penuh dalam semua hal mereka harus bertanggungjawab. Tidakkah itu, Allah telah jadikan sebagai pertunjuk kepada kita? Saya tidak mempersoal para suami bersama mengurus keluarga khususnya anak-anak, saya mempersoal keterlibatan para isteri di luar rumah. Itu harus diingat. Maka haruskah para isteri dan wanita terkurung di rumah? Apa guna mereka harus berpendidikan tinggi?

(13) Khilafnya, kita mengukur Islam pada kacamata Barat. Jika kita hendak Melayu terus menjadi Muslimin yang sempurna, Melayu yang teguh, punya jati diri utuh, mereka harus berdiri dalam Islam. Bukankah itu tujuan kita? Maka, Islam Melayu tidak boleh diukur daripada kacamata Barat. Islam harus berdiri sendiri. Saya mengira untuk mengembalikan lelaki dan wanita Melayu ke kedudukan asal mereka, pertamanya Negara ini harus bergerak cergas kepada pentadbiran Islam. Setiap sektor urusan Negara dan rakyat harus sentiasa digerakkan kepada cara urus tadbir Islam. Melayu harus punya keazaman untuk mentadbir urus Negara ini berasaskan Islam untuk kesejahteraan semua. Untuk itu, Melayu itu sendiri mesti menjalani kehidupan Muslim sejahtera. Selagi Melayu berkecamuk, tidak Melayu akan terhormat. Bahkan Islam juga pasti tidak dihargai. Maka, keluarga Melayu mesti berdiri pada landasan Islam. Lelaki Melayu harus memikul penuh tanggungjawab lelaki. Wanita Melayu harus memikul penuh tanggungjawab wanita. Saling membantu di antara mereka, tidak mengapa namun jangan sampai membawa kemelut dalam kekeluargaan Melayu. Istilah saling membantu itu harus dimengertikan baik-baik. Kedua-dua harus tidak memikul tanggungjawab yang sama. Nama sudah membantu, tidak bersama dan atau mengambilalih. Kaum wanita harus mengambil peranan ringan di luar rumah, dan lebih di dalam rumah. Sebaliknya bagi lelaki. Soal menanggung hidup keluarga mesti menjadi tanggungjawab lelaki.

(14) Apa boleh ini dilakukan sekarang dalam keadaan dunia kian mahal. Itulah sebabnya, dalam Islam, segalanya telah Allah duga. Semua ini terjadi lantaran kita lari dari suruhan dan panduanNya. Suasana ekonomi kita menjadi panas lantaran kita yang membuatnya sebegitu. Allah telah berjanji selagi kita patuh kepadaNya kita tetap kebahagian rezeki. Tidakkah kita yakin kepada itu? Jika kita was-was, maka apa maksud Syahadah kita? Saya yakin, Ekonomi Negara boleh digerakkan baik, tanpa penglibatan menyeluruh tenaga wanita di lapangan ekonomi Negara. Lelaki harus memikul semua itu. Itu tugas lelaki, tugas utama lelaki, membina keluarga, membina Negara, mendokong Islam. Secara makronya, saya yakin jika Kerajaan punya niat dan iltizam ke arah pembentukan Ekonomi Makmur Rakyat Sejahtera pasti boleh dilakukan. Para bijak pandai kita dalam semua sektor harus berbincang hebat dalam menentukan arah itu. Kita harus berkerja kuat ke arah itu. Kita kurangkan berpolitik tentang itu. Saya yakin boleh dan ada jalannya. Bagaimana, secara terperinci, terlalu panjang untuk saya huraikan di sini. Cukup jika saya perkenalkan sebagai ikutlah cara Allah mengetahui segala sesuatu tentang mahluknya. Pasti ada caranya Dia yang kita boleh ikuti. In Shaa Allah saya akan menulis mengenai itu sedikit waktu lagi.

(15) Secara mikronya, keluarga Melayu mesti punya niat dan iltizam membina keluarga Muslim sejati. Anak-anak, para remaja, gadis-gadis dan pria-pria Melayu harus didedahkan kepada sistem kekeluargaan baik. Hidup mereka harus punya asas Islam yang kukuh. Budaya Melayu mereka mesti mengerti secara meluas dan mendalam. Namun, sebarang yang lari dan atau agak lari dari landasan Islam harus mereka ketepikan segera. Saya yakin jika suami tahu tanggungjawabnya, dan isteri mahir dengan tugasnya, sebagai bapa, sebagai ibu, sebagai tonggak dan sebagai sokong dalam sesuatu keluarga, In Shaa Allah akan aman damailah keluarga Melayu. Pasti akan terhormatlah Islam. Keluarga zuhud harus jadi hambatan keluarga Melayu. Kita lihat kesan sebaliknya jika keluarga Kapitalis adalah hambatan Melayu. Sesungguhnya itulah punca segala masalah Melayu kini iaitu Kapitalis melitupi Zuhud. Nafsu haloba tamak menutupi syukur dan sabar.

Kuching, Sarawak
27 August, 2014

0 comments :

Back To Top