.

2/8/14 MELAYU BINTULU TERJEPIT, MELAYU BINTANGOR TERJANGKIT AIDS?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - August 05, 2014

Share

& Comment

Saya mendapat undangan majlis sambutan pernikahan anak teman saya di Bintulu pada 4 Ogos, 2014 yang lalu. Lantaran sudah agak lama tidak merayap di persisiran Sarawak, saya mengambil keputusan untuk melewati "Sarawak Coastal Road". Dari rumah saya di Kampung, saya berlepas sekitar jam 0600 pada 3 Ogos, 2014 lalu menyeberang Batang Sadong, kemudiannnya merentasi Batang Lupar, lalu melangkah Batang Saribas sebelum melompat Batang Krian. Terfikir juga dalam benak saya saat terapung-apung di atas feri Kenapa agaknya Abdul Taib Mahmud mentakdirkan tiga kawasan di Batang Sadong, Lupar dan Saribas di wakili oleh tiga wanita Sarawak yang hebat-hebat? Apa mungkin kerana dia yakin Sifat keibuan perempuan pasti menjaga kebajikan Melayu di sana? atau mungkin sifat mudah menerima masyarakat di sana, membolehkan dia meningkatkan kuota pemimpin wanita PBB?. Setelah menelusuri jalan berombak Simunjan-Sebuyau-Beladin, akhirnya saya merentas ke Jalan Pusa-Nyabor. Dari Naybor terus membelok ke Roban dan dari sana terus mengikuti Jalan Selalang-Sarikei. Baiknya mengikuti jalan-jalan ini biarpun berombak, berlobang-lobang, terkehel-kehel saya tidak perlu membontot panjang segala trailer yang berbondong-bondong khususnya ke Bintulu. Akhirnya saya sampai di Bintulu sekitar jam 1600 petang.

(2) Di sebelah malam 3 Ogos, 2014 saya memutar keliling kawasan penempatan Melayu di bandar Bintulu. Pertama saya melawat Kg. Jabai, berdepan dengan Park City Hotel. Kemudian saya berkeliling di Kg Asyakirin, yang dulunya merupakan Kampong Dagang yang kini telah sebahagianya menjadi Sahida Commercial Center dan Esplanade Bintulu. Lalu saya mengikuti arus perlahan kenderaan ke Kampung Masjid, iaitu penempatan Melayu (dulunya) yang bersambungan dengan Kampong Dagang sebelah Selatan Bandar Bintulu. Dari kerlipan lampu-lampu neon Aidil Fitri, saya menghitung kini hanya sekitar 15-20 peratus dari perkampungan ini masih diduduki oleh orang Melayu. Itupun kebanyakannya yang duduk di atas river bank reserve. Kemudian saya terus meneter ke Kampung Baru sebelum saya ke Kg Kemunting. Dari Kg Kemunting, saya kemudian melihat-lihat Bangunan MARTABAT di kawasan perumahan Sibiew. Inilah perkampungan Melayu yang berada di sebelah Bandar Bintulu, dan dari segi politiknya ianya digabungkan menjadi DUN Jepak. Jepak adalah kawasan penempatan Melayu di seberang bandar Bintulu.  Saya juga berkeliling di kawasan perumahan "murah" di Tg Kidurung. Lantaran kepenatan, saya tidak berkunjung ke Skim Perumahan Sg. Plan.

(3) Sekilas pandang, tiada apa yang salah mengenai perkampungan-perkampungan ini. Yang dinamakan Market Forces telah, sedang dan akan taking it course dalam mencorak perkampungan-perkampungan tersebut. Sebegitulah apa yang telah terjadi kepada Kampung Dagang yang kini sudah bertukar menjadi Kampung Assyakirin di awal 1980an dulu. Tapak Kampung Dagang sudah menjadi Sahida Commercial Center. Dari Dagang ke Sahida dan Assyakirin, saya mengira suatu pemilihan nama-nama yang mungkin tidak disengajakan yang melambangkan penghakisan tidak terduga kepada keberadaan Melayu di Bintulu pada asalnya. Kampung Masjid atau juga di kenali sebagai Kampung Senong pula, sudah jauh terkikis, satu-satu kepemilikan harta Melayu di situ kian terjual. Keadaan bekalan perumahan yang sangat terhad menjadikan Kampung ini kian menjadi slump. Saya sempat lalu dan berhenti sejenak di Masjid Kampung Senong ini. Masjidnya kian uzur. Warga Masjid juga sudah para uzur. Pasti jumlahnya sangat sedikit. Di Kampung Baru pula, kawasan perumahan kian menjulur ke Batang Kemena. Sedang di pinggiran Sg Sibiew (?) jelas asakan ketiadaan tapak menjadikan tebingan sungai ini sebagai wadah mencari teduh. Di Jabai dan Assyakirin, saya kira keadaannya sangat pressing. Dulu iaitu sekitar 10-15 tahun dulu perkampungan-perkampungan ini di kelilingi tanah belukar, namun kini, perkampungan-perkampungan ini sudah di keliling belukar batu bata pencakar. Secara Kapitalis, keadaan ini sangat baik, lantaran peluang pekerjaan terjengkang di depan pintu. Namun, bila saya berkeliling ke kawasan Commercial ini, jelas, akidah Melayu tercabar hebat. Saya tidak terhitung berapa banyak pusat urut dan kelab malam di kawasan ini. Sepertinya Jabai dan Assyakirin sudah terkepung seperti Gaza Palestin bukan oleh kereta kebal dan roket Zionis, namun oleh setan-setan lidah menjelir-jelir.

(4) Soalnya, sepertinya dulu Kuala Lumpur, Kampung Baru pasti adalah sebahagian dari sistem penempatan asal orang Melayu dari pertemuan Sg. Gambak-Kelang membawa ke Kg Baru seperti di kedudukan kini. Sesungguhnya Kampung Baru, Kuala Lumpur suatu ketika dulu adalah dilingkari sungai Gombak dan Klang yang menjadi jalan ikutan Yap Ah Loy lalu menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat melombong bijih akhirnya. Namun, kerana lalai, lengai dan lekanya para pembesar dan pentadbir Melayu, bilamana Kuala Lumpur berkembang pesat, Melayu akhirnya tersisih kian ke pinggir menjadi Gombak, Pandan, Cheras, Selayang, dsb lantaran penjualan hak Melayu di tengah kota adalah jauh lebih bijak dan menguntungkan. Saya melihat cara yang sama, pemikiran yang sama, terus saja para pemimpin dan pentadbir Melayu ikuti sehingga kini. Melayu terus diasak ke pinggir untuk memberi laluan kepada Kapitalis Tulin. Bintulu, tanpa langkah pantas dan strategik, saya mengira Melayu di sana sedang menghitung hari akan di keluarkan dari kawasan bandar Bintulu. Pelupusan Kampung Senong, pastinya akan mengasak Kampung Baru, Bintulu untuk menjadi slump dan akhirnya memerlukan tangan kapitalis untuk meranapkan kampung ini kemudiannya menjadi seperti Sahida dan Kampung Assyakirin. Saya menjangka saat ini terjadi yang pasti hanya tinggal di tengah bandar Bintulu adalah perkuburan Kemunting. Semasa bertugas di Bintulu, saya pernah menyuarakan agar Kemunting dibangunkan sebagai kawasan stratergik kependudukan Melayu, dan bukan perkuburan Melayu namun itu dianggap terlalu politically sensitive yang pada hitungan saya, saya disekat sebelum sepat saya berperang bersama rakyat Melayu di sana. Kampung Kemunting yang dibatasi Sg Sibiew dan Jalan Sibiew yang luasnya sekangkang katak suatu hari nanti juga pasti menyerah ghairah kepada tuntutan Kapitalis Tulin. Tidak heran pastinya Assyakirin dan Jabai akan turut melorot kemban mengadai diri kepada Kapitalis Tulin juga akhirnya. Sebenarnya inilah corak yang sedang melanda Kampung Datu di Sibu. Melihat kepada Pelan terkini Darul Hana Kuching, saya juga menjadi khuatir, ianya tidak seindah nama dan tujuan hana buat umat Melayu pendiri Kuching. Konsep Hana dalam Bahasa Arab apa lagi Islam, sudah sepertinya mahu diganti dengan Kapitalis Tulin

(5) Secara politik, memang masalah perwakilan DUN Melayu Bintulu mudah di atur. Caranya mudah, pindah saja mereka ini ke kawasan Jepak yang masih banyak hutan. Itu saya kira perhitungan politik kini, bagaimana perhitungan politik di tahun 3030? Jika Melayu terus menerima konsep sila ke pinggir apa tidak mungkin nanti dari Jepak mereka diasak untuk ke Kuala Tatau? Dari sana, mungkin mereka akhirnya hanyut seperti masyarakat Melayu Champa dan Sulu di Pelantar Sunda.

(6) Dalam perjalanan pulang ke Kuching, saya singgah di Bintangor (dulunya Binatang) dan berkeliling di Kampung Entangor di hilir pekan Bintangor. Pekan Bintangor itu sendiri sudah kian mati. Yang menghidupkan Bintangor suatu hari nanti pasti cekerikan burung-burung walet. Apa lagi Kampung Entangor, hidupnya penuh semak dan hanyir paya bakau. Saya melihat, biarpun Kampung ini mungkin sudah wujud 100-150 tahun dahulu, pasti gelombang pembangunan kini akan mengosongkan perkampungan ini nantinya. Dulu saya mengira kebergantungan orang-orang Melayu di sini adalah kepada industri pembalakan, namun kini kehidupan mereka kian pupus seperti ramin paya. Melihat Kg Entangor, bagi pemimpin dan pentadbir Melayu, pasti akan terus berkata nothing much we can do. Mungkin tumpuan terbaik adalah memberikan pendidikan dan peluang latihan kemahiran terbaik buat mereka. Benar, strategi itu betul, namun sampaikah semua itu kepada mereka? Saya yakin tidak, jika dilihat dari corak sosial para belia dan anak-anak di sana. Kehidupan Melayu Kg Entangor Bintangor ibarat penagih dadah yang kian terjangkit aids parah, dilupa dan dilupakan. Namun saat saya memasuki wilayah Sarikei, pekan itu sedang kembanag ke Bintangor dan pastinya, Kg Entangor ibarat .

(7) Saya ingin melihat betapa Umat Melayu harus ada terus hadir di tengah-tengah kota, agar roh kota itu benar-benar punya jatidiri Malaysia. Allah menganugerahkan manusia-manusia di Negeri ini sebagai pelbagai, namun pemimpin dan pentadbir Melayu Negeri ini sangat gemar menyerah kepada Market Forces untuk terus menjadikan kota-kota di Negeri ini sebagai Mono-Economy. Keduanya, jika Melayu terus diasak ke tempat tidak mencabar, apa mungkin bangsa ini suatu hari nanti akan menjadi bangsa kota yang innovatif? Tidakkah itu menjadi idaman para pemimpin lalu dilagu burung kakak tua oleh para pentadbir Melayu? Namun saya melihat Jauh Pak Awi, Jauh panggang dari api. Saya berkira, jika kita ingin membina bangsa Melayu yang terus cemerlang dalam segala segi, mereka harus hadir di mana-mana. Mereka tidak boleh menerima Konsep dan menjadi Umat Meminggir dan Terpinggir. Sesungguhpun alasan harga tanah di kota kian melambung maka jalan bagi memperbaiki keadaan perumahan orang Melayu adalah lewat perpindahan saya hitung sebagai sikap dan pemikiran pemimpin dan pentadbir Melayu yang bangkrap. Perpindahan ini biasanya adalah menjurus kepada peminggiran dan terpinggir. Tidakkah itu sebetulnya gaya kita membentuk Kampung Teku dan Kampung Muhibbah di Sibu. Juga tidakkah sebegitu asal terjadinya buat Kampung Samariang dan Kampung Bako di Kuching. Sekarang, cuba kaji secara teliti, apa bedanya anak-anak di sana dengan mereka yang berada di slump di tempat asal mereka. Saya tidak menafikan pembangunan yang mereka alami. Saya menyoal nasib generasi kini dan seterusnya. Apa mungkin mereka mampu untuk bergulat hebat dan menang?

(8) Abdul Taib Mahmud sedikit waktu dulu cuba memperkenalkan Konsep Kampung Warisan sebagai jalan menyelamat keberadaan orang-orang Melayu di bandar-bandar di Sarawak. Saya sendiri telah beliau arahkan untuk memikir akan konsep ini. Saya mulakan dengan Conceptual Plan bagi Darul Hana dan mencari-cari ilham untuk Kampung Datu Sibu dan Kampong Senong di Bintulu. Namun kerana saya ingin berehat maka saya lepaskan tugas itu pada peringkat konsepnya sahaja. Konsep yang sering saya tekankan adalah perlu hadirnya roh Melayu dan Islam pada Kampung Warisan ini. Roh-roh ini adalah perlu sebagai wadah bagi pertama menebus maruah Melayu sebagai pengasas kepada keberadaan kota-kota ini terdahulunya. Dan kedua, namun paling penting ianya adalah asas kepada mengembalian dan mengembangkan sifat dan semangat perjuangan pertualangan keusahawanan kepada Umat Melayu. Saya tidak menolak perlunya unsur-unsur koprat namun ianya harus pada jalan yang dikendong tidak terlepas. Namun, saya melihat, banyak orang berfikir dan percaya, bila ianya adalah Kampung Warisan, kita harus melihat tradisi berkemban dan berjual belacan harus dipertahankan. Namun pemikiran saya bukan sebegitu. Saya lebih yakin dengan cara Allah merekabentuk kehidupan manusia melewati apa yang saya kira sebagai geo-climatology design. Di gurun, sikap manusianya pasti serasi dengan gurun. Di pergunungan, kehidupan manusianya juga pasti dalam nuansa pergunungan. Sebegitulalah apa yang manusia perkatakan sebagai alam membikin pola laku manusia, namun saya menghitung sebegitulah architect-engineering Allah dalam caraNya menentukan pola manusia seperti yang Dia mahu. Maka, saya berkira tropical setting pasti akan menjadi asas kepada pembentukan Kampung Warisan. Saya tidak bercadang untuk menulis secara terperinci akan konsep ini, namun wajar saya tekankan, betapa Tropicalism dapat menampung kehidupan yang pelbagai buat mahluk Allah, maka saya yakin konsep yang sama juga pasti dapat menyelamat keberadaan Umat Melayu di kota-kota. Cuma, beranikah pemimpin dan pentadbir Melayu berubah untuk lebih yakin, cekal dan berani pertamanya keluar dari kongkongan Kapitalis Tulin dan menjadi pemimpin dan pentadbir Melayu yang keras berfikir mengambil iktibar akan fitrah Allah terbentang luas demi Dia untuk Melayu? Saya berkira selagi mekanisma memperbaiki kehidupan orang Melayu terus-terusan pada jalan Kapitalis Tulin, Melayu akan tetap mendayu-dayu sedang para pemimpin dan pentadbir Melayu sekadar syok sendiri at peace by themselves yet the Malays will be forever as they were in the past. Semuanya atas sikap dan haloba all these must be done at my time, seolah-olah manusia-manusia lain selepas ini adalah kerbau dan lembu yang harus manut terima saja. Tidakkah kita mahu berfikir panjang dan memberi ruang seluasnya untuk percambahan fikiran agar kelestarian Melayu itu utuh?

(9) Saya mencadangkan agar para pentadbir Melayu, bila travelling itu, pergilah menjengah kehidupan Melayu-Melayu terpinggir ini, rasakan dan bayangkan di mana mereka akhirnya dan di mana maruah kita selanjutnya. Lantaran itu, lakukan apa yang mesti kita lakukan biar pangkat dan kedudukan jadi korban. Ingatlah apa janji Allah kepada yang sanggup berkorban demi UmmahNya.

Kuching, Sarawak
5 August, 2014



#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.