.

6/4/14 ERTI KEMATIAN.......cara kita menerimanya?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 18, 2014

Share

& Comment

Di Kampung, perkara yang amat semua orang jaga adalah soal mati. Sifat sebegitu, setidak-tidaknya membendung masyarakat Kampung dari berketerlaluan bila bermusuh. Mereka sangat berpegang kepada konsep Janganlah, nanti bila kita mati siapa yang hendak mengubur kita. Di dalam masyarakat Melayu, menziarah sesuatu kematian adalah Fardhu Kifayah. Sesuatu yang wajib dari segi kepentingan umum. Sering, biar semasa hidup, si mati telah bersengketa parah dengan sesiapa, biar di pihak mana dia, pasti semua mereka yang terpalit kerananya di saat kematiannya tetap hadir menjengah muka. Saat sesiapa mati di Kampung rasa kemaafan semua hulurkan kepadanya. Inilah jati diri Melayu yang semua harus hormati dan pertahankan. Inilah sifat yang terus mengekalkan Melayu di Kampung terus bersama.

(2) Karpal Signh telah meninggal dunia dalam keadaan trajis. Saya berkira, dia kemalangan lantaran buru-buru mahu pulang beristirehat, khususnya bagi Sang Supir selepas bekerja sehingga larut malam. Dia pulang dari berkerja. Dia tidak pulang dari berseronok-seronok. Itu kita kena perhatikan. Tidak ada yang harus merasa senang hati atas trajis yang menimpa beliau dan pembantunya. Namun, bila saya menekan kepada suatu Saluran Berita di Astro sekitar petang kelmarin (17 April) saya agak terperanjat tentang cara seorang Pengacara memberi highlight tentang trajedi yang menimpa Karpal; di mana ungkapan dan nada yang dikeluarkan agak menyentuh hati: "Selamat Jalan". Tidak pernah cara sebegitu saya dengar sepanjang hidup 54 tahun saya, tidak manis, biadap, tidak ada rasa hormat akan perasaan keluarga terbabit, saya kira dengan cara dan ungkapan Selamat Jalan kepada si mati. Astarfirrullah.

(3) Saya berkira, orang yang paling memusuhi Karpal Signh seharusnya Mahathir Mohammed, jika tidak Nik Aziz Nik Mat. Namun begitu, Mahathir tetap punya rasa hormat kepada Karpal. Namun Pengacara Muda ini, mungkin sifat mudanya dia berfikir kematian adalah suatu perjalanan pulang dan atau berpergian maka pada takfrif beliau saya kira, ucapan dan nada keras Selamat Jalan baginya adalah tanda hormat dan sebuah doa mengiring. Tidak sebegitu natijahnya. Kematian bukanlah suatu perjalanan biasa. Kematian adalah perjalanan pada kehendak Allah. Itu perbezaannya.

(4) Apapun di alam cakrawala ini adalah ciptaan Allah. Setiap satunya adalah ciptaanNya, maka adalah milikNya. Kerana semua adalah ciptaan dan milikNya, maka semua, segala sesuatu adalah terikat pada peraturan dan tujuan kemahuanNya. Karpal Allah hadirkan sesuai dengan keperluan keadaan dan masanya. Allah ada kepentingan tersendiri padanya. Maksudnya, dalam perjalanan kehidupan Karpal, Allah punya kepentingan yang tidak semua kita ketahui. Begitupun, kematiannya, cara kematiannya, juga Allah yang punya penguasaan. Allah ada tujuan pada kematian dan cara kematiannya. Kita, sepanjang hayat kita mungkin tidak akan tahu rahsia Allah di atas kematian dan cara kematian Karpal. Pokoknya, Karpal adalah milik penuh Allah. Maka, kita tidak sekali-kali wajar menghina dan atau memandang rendah sesiapapun, dan apapun, selagi ianya adalah mahluk Allah, dan apa lagi jika kita mengaku Islam adalah Adeen kita. Ini, saya yakin, semua Umat Islam dan Melayu harus mengerti dan pegang.

(5) Kematian adalah kepulangan sesiapa kepada Penciptanya. Hanya Pencipta yang tahu akan nasib dan kesampaian di atas kepulangannya. Tidak sesiapa harus mendahulukan menyelok hak Pencipta ke atas ciptaanNya. Umat Islam khususnya harus sentiasa ingat akan cara Abi Thalib Ibn Mutalib meninggal. Dia tidak pergi dalam berIman pada kaca mata manusia, namun Allah lain cara menghukumNya. Begitu juga, saya lupa namanya, bila seorang Yahudi (?) yang budiman dan dermawan mati, Muhammad SAW ditanya tentang nasibnya, jelas, dia Allah tetap hargai. Pernah juga Muhammad SAW terlibat dalam pengkebumian jenazah mereka yang tidak berIman. Inilah cebisan-cebisan Sejarah Islam yang harus kita ingat dan jadikan panduan. Kepada saya, kematian adalah suatu kepulangan ianya tidak boleh diratapi apa lagi dihina. Ingatlah, pesan Umar Al Khataab tentang ini.

(6) Wajar Saluran Berita Astro berkenaan, juga UMNO saya kira harus belajar tentang cara menyaring dan atau mendidik manusia-manusia emosional celupar dari mencalit Islam dan Melayu terus berada dalam 1Malaysia. Inilah, hasilnya saat rakyat mabuk dipolitikan kita hilang akal kewarasan. Politik bobrok yang kita sedang amalkan paksakan, kian menyemai fikiran-fikiran sempit dan kotor dalam masyarakat 1Malaysia kita. Najib, bangsa ini, 100 tahun lagi adalah hasil suasana kini.

(7) Sekalung takziah kepada keluarga mendiang Karpal dan pembantunya. Semoga Allah memberikan kita Taufik dan Hidayahnya di atas keberadaan dan pemergian Karpal untuk teladan dan sempadan kita semua. Dari Allah segalanya, kepada Allah semuanya kembali.

Kuching, Sarawak
18 April, 2014

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.