.

4/7/10 LAWAS

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 10, 2010

Share

& Comment



(Di kiri, Hutan Bakau di sepanjang parit jalan ke Awat-Awat. Di kanan, pekan Lawas dari udara).


Telah lama saya tidak ke utara negeri Sarawak, khususnya ke Lawas sebuah daerah yang terjempit antara Negara Brunei (daerah Temburug) dan Sabah. Mungkin sudah hampir dua tahun saya tidak ke sana. Kebetulan, minggu ini jadual kerja saya agak lapang, maka saya mengambil keputusan untuk meninjau beberapa Projek yang sedang dilaksanakan di sana. Kebetulan, saya kira sudah tiba masanya untuk saya memberikan sedikit perhatian kepada daerah ini yang saya kira pasti dalam tempoh lima tahun mendatang akan meledak pertumbuhan ekonominya jika beberapa Projek yang sedang kita usahakan berjalan dengan baik.

(2) Semasa menanti pesawat MAS untuk ke Miri, saya terserempak dengan seorang Menteri Kanan Negeri yang kebetulkan mahu ke Lawas. Dia mempelawa saya menaiki helikopter dari Miri ke Lawas. Saya bersetuju, dan meminta kebenaran dia dan juruterbang untuk saya menduduki co-pilot seat. Saya kira dari kedudukan itu saya boleh mendapat pemandangan yang jelas serta mudah bagi saya merakam pemandangan tersebut dalam lensa kamera saya.

(3) Cuaca agak kurang baik. Kabus dan hujan di mana-mana. Namun bila melintasi bahagian pedalaman Negara Brunei, suasana kelihatan sungguh nyaman. Di bawah terhampar suasana hijau yang sangat belum terusik. Pohon-pohon berdiri tagak-tagak (tegak-tegak), basar-basar (besar-besar), tagap-tagap (tegap-tegap), biar ada yang sudah mati meranggas. Air sungai mengalir jernih berkilat. Kabus dan embun menutupi puncak bukit dan gunung. Brunei seperti sangat mengairah dan mengiurkan, seperti membelak-lalak semua mata mahu merogolnya.

(4) Pesawat juga melintasi Daerah Limbang, sebuah daerah yang didakwa dipajak oleh Brooke, namun bila Sarawak menuntut merdeka membentuk Malaysia, Brooke(British) mungkin telah terlupa untuk mengembalikannya, maka secara spontan Limbang menjadi hak Negara Malaysia. Pentafsiran atas kekhilafan ini mungkin sehingga kini menjadikan persaudaraan Malaysia-Brunei seperti hubungan suami-isteri yang sentiasa tergigit lidah!

(5) Penerbangan dari Miri ke Lawas mengambil masa 45 minit. Sebaik mendarat, saya pamit kepada Menteri berkaitan dan terus ke Merapok, suatu perjalanan ke arah Kota Kinabalu. Merapok adalah pekan perbatasan antara Sarawak dan Sabah. Kerana belum sempat makan tengahari, saya dan teman-teman terus ke Pekan Sipitang di Sabah. Di sini, berpuloh tahun terdahulu, telah dihuni oleh mereka yang berhijrah dari Makasar ke Tawau, dan kerana Beufort-Sipitang pada masa itu sangat giat dibangunkan dengan perladangan terutama di bawah pentadbiran Datuk Haris Salleh, maka golongan penghijrah ini terus menetap di sini. Maka banyak masakan ala-Makasar terdapat di sini.

(6) Untuk makan tengah hari saya memesan soto ayam dan kemudian satay kerabau (kerbau). Sipitang dan juga Lawas dan Limbang sangat terkenal dengan kerbau. Bagi saya daging kerbau sangat enak dan manis. Saya merasa kunjungan saya ke Lawas tidak akan lengkap jika saya tidak dapat menikmati daging kerabau. Kebetulan sekarang musim durian di Sipitang, kami singgah makan durian. Durian istimewa Sipitang adalah durian Sarawak, bersaiz sederhana, berkulit agak kuning, berisi lembut-wangi-lemak manis.

(7) Malam di Lawas sangat membosankan. Namun kerana Kamera, Komputer dan buku sentiasa bersama saya, saya dapat melupakan malam-malam yang sepi di Lawas (dan di mana-mana).

(8) Saya tidak tahu dari mana asalnya nama Lawas. Di sini indak (tidak) ada orang yang jalas (jelas) tentang asal usul nama Lawas. Saya cuma menduga, kalau dalam istilah Jawa, Lawas itu maksudnya Lama, dan bagi orang Melayu, ianya bermaksud dapat membuang air besar dengan baik. Apakah mungkin Lawas bermaksud membuang air secara lawas dan lama! Yalah menikmati keseronokannya! Sebab kebetulannya ianya terbangun di sebuah selekoh sungai yang sangat deras dan besar airnya? Yah, Lawas membuang air basar (besar) di sinik (sini)!

(9) Perkara yang menarik mengenai Lawas ini adalah ianya mempunyai kumpualn etnik yang menyerupai Brunei: Kedayan dan Bisaya di kawasan persisiran yang merupakan nelayan dan atau petani (penanam padi) dan menternak kerabau; kaum Murut dan Lun Bawang pula mendiami kawasan pedalaman yang agak bergunung ganang, dan rata-rata mereka ini adalah petani dan pengembala kerbau. Cara orang Kedayan bercakap agak mudah untuk diikuti: gantikan saja setiap e dalam perkataan Melayu dengan a, contonya tegap jadi tagap, serak jadi sarak; namun biasanya diualang-ulang. Sikap suka mengulang-ngulang itulah maka banyak kampong Kedayan di sini merupakan perkataan berulang. Contohnya Kg Siang-Siang, Kg. Awat-Awat, Kg. Nyaris-Nyaris (Sabah), Kg. Raba-Raba (Sabah), dsb

(10) Dari segi makanan, orang Lawas boleh berjual beli dadah dengan bebas. Paling enak, dapat makan dadah bersama nasi lemak dan milo pekat di pagi hari. Ya, hanya di Lawas dadah dapat dijual tanpa gangguan sesiapapun, dan ianya menjadi suatu kebanggaan masyarakat di sini untuk mengeluarkan dan memperdagangkan dadah!

(11) Pagi ini, saya ke Kg. Awat-Awat, sebuah perkampungan nelayan atas air. Kita sedang membujuk masyarakat di sini unttuk beralih dari berkampung secara berhimpit-himpit di atas air untuk menetap di tanah besar yang lebih teratur. Usaha ini agak rumit dan memerlukan masa panjang terutama bila segala basikal, motorsikal, kereta penduduk di sini adalah semuanya berupa bot-bot F1. Begitu juga, amat payah untuk mengalih anak-anak di sini dari mandi dalam kamar kecil berbanding dengan kolam alam yang terbentang luas dan panjang yang mereka bila-bilapun boleh berterjunan.

(12) Awat-Awat punya keupayaan dan keunikan tersendiri yang sangat hebat. Sebuah perkampungan yang dikelilingi hutan bakau. Disamping sumber kayu bakau untuk cerucuk, hutan bakau juga mendatangkan rezeki ketam dan pelbagai jenis siput kepada penduduk di sini.

(13) Paling indah, bila memandu di sepanjang jalan yang dikiri kanannya ditumbuhi hutan bakau yang malar hijau adalah sangat mengasyikan. Paling indah saya kira jika kita melawati jalan ini di awal pagi atau lewat petang atau selepas hujan. Keunikan dan keindahan sebegini pasti sukar kedapatan di mana-mana, dan ini harus dapat dilihat sebagai kekuatan yang sangat besar bagi penduduk Awat-Awat yang jumlah nya masih kecil iaitu 2,000 orang. Perlancungan dan Perusahaan Asas Kayu Bakau sepatutnya teras kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk di sini.

(14) Jika diolah dengan baik, berkayak atau menaiki bot menelusuri terusan bakau, adalah suatu pengalaman yang sangat mengasyikan di Awat-Awat. Apa lagi, jika menggunakan bot F1, ianya hanya mengambil masa kira-kira 90 minit dari Brunei. Makanan laut dan sukan air pasti sesuatu yang amat menyeronokan. Paling enak dan menarik, di sinilah pusat pengeluaran dadah terbesar di Lawas. Hampir semua orang menjalankan perusahaan mengeringkan dadah. Cuma dimusim mengeringkan dadah, bila kita ke sini elok mengunakan penutup hidung (mask) jika tidak boleh mabuk lalu terjatuh ke dalam laut!

(15) Paling saya suka di Lawas, kerana saya dan semua lelaki di sini boleh banyak bini-bini! Cuma saya ingin berpasan (berpesan), kita kena hati-hati, orang Kedayan anek (ini) , banyak ilmunya, sekarang mereka lebih hebat, sudah ada ilmu IT! Ilmu orang Kedayan yang sudah saya amalkan sejak lama adalah....suka melawak! Orang Kedayan suka melawak.



Lawas, Sarawak
10 July, 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

salam.. sy merupakan pelajar dr ipta di sarawak.. kmi byak didedahkan tentnag lawas dan prkmpgngan awat2 oleh pensyarah.. yg menjadi persoalanya skrg.. sy ingin mengetahui dadah yg di hasilkan disana berasaskan bahan apa?? contohnya di semenanjung sekarang byk yg menggunakan daun ketum....

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.