.

8/6/10 PEMIKIRAN SEORANG STRATEGIS....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - June 29, 2010

Share

& Comment


Dr. Mahathir Mohammed (DMM) telah melantik Kenichi Ohmae sebagai salah seorang Penasihat beliau dalam pembangunan Lebuhraya Multi-media (MMSC) di awal 1990an. Saya berkira, buku: The Borderless World-The Power and Strategy In the Interlinked Economy, tulisan Kenichi Ohmae (1990) sedikit sebanyak telah mencetuskan buah ilham kepada DMM yang sememangnya seorang yang dahagakan buah fikiran dan ilham untuk memacu Malaysia menjadi sebuah Negara Maju. Petikan ayat dari tulisan Ohmae dalam buku berkenaan: "I can see the World through a Window in Kuala Lumpur" mempunyai makna yang sangat luas. Salah satunya, bagaimana peri pentingnya keupayaan Teknologi Maklumat (IT) dalam pengurusan di masa proses globalisasi yang sangat hebat ini. Kepentingan ini sangat ketara, sehingga IT kemudiannya telah menjadi alat paling penting dan berkesan dalam mengumpul, mengurus dan menganalisa maklumat dan seterusnya telah berkembang menjadi wadah perhubungan yang sangat berkesan dalam pertukaran dan penyebaran maklumat sehingga istilah IT telah bertukar kepada ICT (Teknologi Sebaran Maklumat).

(2) Sebetulnya dalam tahun 1982, Ohmae telah menulis sebuah buku berjudul: The Mind of the Stategist-The Art of Japanese Business dan kemudiannya pada 1985 beliau menerbitkan Triad Power. Saya belum memiliki dan membaca Triad Power, namun dari dua buku yang lainnya oleh penulis tersebut saya dapat menjangka intipati kandungan buku Triad Power: percaturan dagang antara gergasi dunia Jepun dan Barat khususnya dalam bidang automotif dan elektronik.

(3) Dalam rencana ini, saya ingin mengimbas pengertian saya dari dua buku: The Borderless World dan The Mind of the Strategist. The Borderless World pada dasarnya mengenengahkan bahawa dunia kita telah menjadi "Perkampungan Dunia: Gobal Village"; dan sebagaimana tradisi kehidupan di Kampung, segalanya seperti terbuka-terdedah kepada pengamatan jiran-jiran. Dunia kian menjadi kecil dan terbuka. segala-galanya menjadi mudah diketahui semua!

(4) Kerana keterbukaan itu, tiori Darwin: "The Survival of the Fittest" semakin menjadi pegangan kukuh semua pihak. Dalam soal ini, hanya yang dapat berkembang (evolution), menyesuai diri (adaptation), dan bahkan berubah (transform) sahaja yang akan berjaya. IT dan ICT menjadi tonggak kepada segala perubahan ini. Kesannya, email, internet, webpage, bloq, sms, u-tube, GPS, Remote Sensing, dan bermacam bentuk kemjuan ICT telah muncul untuk kemudahan perhubungan antara pelbagai pihak di mana juga di dunia ini.

(5) Negara-negara yang tidak bergerak maju dengan perkembangan ICT khususnya di Timur Tengah, Afrika, Rusia, China, dan Asia Tengah akhirnya terkecundang, sedang negara-negara Barat dan Timur Jauh yang dengan cepat menguasai ICT telah dapat mencengkam sosio-poloitik dunia. Sehingga Osama bin Ladenpun berjaya mengaibkankan Amerika kerana kecekapan beliau menguasai ICT dalam serangan 11 Sept., 2001. Begitu juga halnya dengan George Sorros dalam meranapkan sistem kewangan ASEAN pada 1997.

(6) Namun, biar sehebat mana sistem ICT kita, jika kita tidak mempunyai pemikiran strategik bagaimana untuk sentiasa kedepan dari pesaing kita, kita akan kalah juga akhirnya. Ini telah kita saksikan dalam industri automotif dan elektronik Amerika, Korea, Taiwan dan bahkan New Industrial Economy (NIE) seperti Thailand, Singapura, dan Malaysia. Maka dengan sebab itu saya berkira, buku Ohmae terdahulu: The Mind of the Strategist menjadi tersangat penting untuk kita teliti dan mengerti sepenuhnya.

(7) Dalam buku ini, apa yang saya dapati, dan selari dengan banyak pembacaan saya sebelumnya, adalah betapa pentingnya dalam pemikiran sesorang yang sangat berjaya, dia mesti mementingkan para pengguna. Casio umpamanya menjadi sangat berjaya dalam penjualan jam tangan kerana kemampuan syarikat berkenaan untuk menghasilkan jam tangan yang bergaya dan murah. Begitu juga Toyota terus berkembang kerana syarikat berkenaan prihatin terhadap kemampuan dan kehendak pengguna: kereta murah, selamat, laju!

(8) Pada saya, Ohmae menekankan betapa kita mesti mempunyai sikap: Customer Centric. Dalam bidang perdagangan, pelangan menjadi raja. Jika kita dapat memenuhi kehendak pelangan, pastinya kita akan berjaya, biarpun jika kita terpaksa bersaing dalam bidang yang sama. Cuma kita perlu berfikir keras dan tajam bagaimana dan bidang manakah kepenting pelanggan itu perlu dipenuhi. Contohnya, biarpun jika berjiran atau bertembung ganas dalam bidang perdagangan yang sama, contohnya urusan peruncitan, jika segala-gala yang lain adalah setara: harga, jenama barangan, kedudukan, dsb; namun jika kita memberi perhatian khusus kepada keselesaan, kebersihan, kemudahan, keselamatan, dan kemesraan kepada pelangan, pastinya kita akan dapat bersaing dengan lebih sihat. Maksudnya, kita mestilah sanggup membuat lebih dari pihak lawan dalam bidang yang boleh 'menyentuh-membeli hati' pelanggan!

(9) Dalam hal ini, sifat-sifat keusahawanan Muhamad SAW mestilah menjadi contoh terbaik kita: mesra, jujur, amanah, bersih, bertimbang rasa, dan sentaiasa menghambat barkah. Maka dengan sebab itu, jika kita ikuti secara jauh sifat perniagaan Muhammad SAW itu, akan kita dapati bahawa segala dagangan beliau akan sentiasa lebih bersaing-laris berbanding dengan mereka yang lain. Beliau punya pemikiran jauh ke depan yang lebih mementingkan keperluan pengguna dari hanya mementingkan untung. Jika pengguna puas, untung pasti datang juga akhirnya!

(10) Sama halnya dengan sebuah organisasi awam dan politik. Kekuatan kita secara berkekalan adalah kerana dokongan padu rakyat kepada kita. Kekuatan sokongan awam dan politik kepada kita, tidak terletak di atas kejayaan kita dalam dunia kerjaya kita semata-mata, namun kejayaan sebenar kita adalah kerana kejayaan kita dalam menunaikan tugas kita dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Rakyat mesti sentiasa berada dalam jiwa dan hati kita. Rakyat adalah pelanggan kita. Rakyat adalah raja yang mesti kita tunaikan tanggungjawap kita. Hanya jika kita berjaya memenangi fikiran dan jiwa rakyat, maka barulah kita akan terus kekal berjaya, bahkan dapat menempah kejayaan yang lebih besar.

(11) Namun ini tidak bermaksud kita sempitkan fikiran kita, sehingga hanya kerana terlalu mementingkan rakyat, segala perbuatan bodoh pun kita buat demi untuk memenangi hati rakyat. Ini bukan memenangi namanya, bahkan akan meracun-mermbunuh rakyat akhirnya.

(12) Tulisan Ohmae, sangat baik kita ambil pelajaran yang mendalam. Beliau menemukan bahawa kejayaan banyak syarikat di dunia ini kerana mereka boleh menyesuaikan diri dalam memenuhi keperluan pelanggan dan dalam masa yang sama mereka mendapat keuntungan yang besar. Maka wajar dalam pemikiran setiap perancang pembangunan rakyat, mereka juga perlu faham bahawa dalam usaha kita memenuhi keperluan rakyat, organisasi (negara) pula janganlah sampai muflis!

(13) Pendeknya, dalam hubungan slogan semasa Negara, janganlah hanya kerana hendak Mendahulukan Rakyat, Pencapaian (Kemenangan Politik) di Utamakan, maka sanggup pula kita korbankan masa depan ekonomi negara. Jika ini terjadi, pasti, InsyaAllah jahanamlah Negara dan Rakyat. Kita akhirnya akan di kenang sebagai Penghianat Rakyat dan bukan Pemikir Stratigis Rakyat.

(14) Tun Razak, Tun Mahathir, Tun Dr. Ismail dan bahkan Tun Husein telah menunjukkan, betapa jika mementingkan rakyat dengan jalan yang benar dan berani pasti akan membawa kejayaan kepada kita. Tunku Abdul Rahman, kerana pemikiran sttrategis beliau untuk terus bersama rakyat di zaman kesusahan negara di zaman penjajah Inggeris dan Jepun, akhirnya bukan hanya dapat memerdekakan negara, bahkan beliau terus diingati sebagai Bapa Malaysia.

(15) Dalam Islam, tidak sempurna keImanan kita, jika kita dapat tidur lena, sedang jiran kita perut berkeroncong! Begitu juga, dalam Islam, jiran kita adalah empat puloh buah rumah di kiri-kanan, depan-belakang kita. Semua ini, jika kita berusaha mengertikannya secara lebih dalam, adalah agar kita sentiasa prihatin terhadap rakyat dan masyarakat kita!

(16) Tidak perlu kita menjadi orang besar dahulu baru kita perlu memiliki pemikiran strategis. Pepatah Melayu ada berkata: (1) Sediakan payung sebelum hujan. (2) Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak; (3) Besrsakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, dsb Semua pribahasa dan perpatah teresbut menunjukkan bahawa budaya Melayu sudah berkurun menyarankan kita agar sentiasa berfikiran ke depan, cuma kerana kita sudah mulai lupa nilai diri, maka kita juga sudah kian lupa akan nilai-nilai strategis kita sendiri.

(17) Saya yakin, pemikir stratigis terbaik adalah mereka yang sentiasa meletakkan kepentingan pelanggan jauh lebih berat dari kepentingan sendiri atau kelompok sendiri. Masyarakat dan agama adalah pelanggan utama kita. Sebagai seorang muslim, jika kita pentingkan ummah, dalam keadaan mana dan bila-bila juga, Demi Masa, Allah akan merahmati kita dengan caraNya. InsyaAllah.

Kuching, Sarawak
29 June, 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.