.

11/6/09 KEMISKINAN BARU.....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - June 14, 2009

Share

& Comment

Kita sudah lebih 50 tahun merdeka. Dari paras kemiskinan melebihi 70 peratus sebelum merdeka, kita adalah antara yang terbaik di seluruh dunia dalam usaha pembasmian kemiskinan. Dalam tempoh lebih kurang, sebenarnya, 27 tahun, selepasnya perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kita telah berjaya menurunkan paras kemiskinan sehingga ke paras lima peratus (2008). Namun apakah mungkin, dalam tahun 2020, maka tiada lagi orang miskin di Malaysia?

(2) Tidak mungkin, terhapus sepenuhnya kemiskinan dari bumi Malaysia ini. Ada juga kemungkinannya kemiskinan itu akan meningkat semula. Jika dahulu, PLI (Poverty Line Income) diukur pada kadar kecukupan pendapatan untuk biaya makan, kediaman, pakaian, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, dan sedikit hiburan. Memandangkan formula tersebut telah merangkumi segala keperluan asas hidup, maka, konsep itu pastinya akan terus dikekalkan untuk tahun-tahun mendatang. Namun faktor-faktor seperti telekomunikasi, Information Technology (IT), dan tabungan hari-hari tua (insuran kesihatan dan biaya hidup) mungkin akan turut dimuatkan sama dalam formula kiraan PLI nanti, kerana inilah keperluan asas baru bagi menjamin kehidupan asas kita.

(3) Jika di zaman pra dan sedikit waktu pasca merdeka, kemiskinan adalah akibat dari masalah tiada dan atau kurangnya pembangunan. Pendeknya, ketidak cukupan segala bentuk prasarana dan kemudahan awam lainnya adalah asas paling pokok dalam menentukan masalah kemiskinan di waktu itu.

(4) Namun, kini, kerana asakan pertambahan penduduk, serta perubahan ketara demografi penduduk, masalah kemiskinan akan jauh berbeza dari dahulunya. Di luar bandar, mereka yang miskin adalah mereka yang sememangnya terpinggir dari arus mega yang selama ini kita diusahakan. Dahulu, hasrat kita adalah untuk membasmi kemiskinan secara umum, yang sebahagian besarnya sudah terhasil, namun mereka yang dahulunya terpinggir, kini memerlukan perhatian khusus. Ada kemungkinan, mereka yang terpinggir inilah yang membentuk golongan Miskin Tegar masa kini.

(5) Dalam masa yag sama, mereka yang dahulunya adalah di bawah PLI, tetapi kerana pendapatan mereka telah dapat diangkat melangkaui PLI, namun kerana factor-faktor sosial tertentu, seperti pecahan milikan tanah di kalangan ahli keluarga, kelanjutan usia, dsb, maka ada kemungkinan mereka ini terjerumus ke dalam gaung kemiskinan semula.

(6) Di kawasan bandar pula, kemiskinan akan memuncak bila berlaku krisis ekonomi nasional, wilayah, dan atau antarabangsa. Begitu juga, faktor-faktor mikro lainnya, seperti kesihatan, keciciran pendidikan, jurang dan ketak serasian kemahiran, pemberhentian kerja, dsb adalah penyumbang utama kepada kemiskinan di bandar-bandar.

(7) Berasaskan penelitian di atas, maka tidak mungkin, masalah kemiskinan akan terhapus dari sisstem sosio-ekonomi kita. Apa yang mungkin dapat dilalukan adalah memastikan supaya peratusan dan angka mutlak kemiskinan itu tetap mengecil. Mungkin kadaran 4-5 peratus, sebagai perangkaan yang boleh kita terima sebagai kadar Kemiskinan Sifar, ini mengambil dari tiori ekonomi Gunapenuh Tenaga pada kadar pengangguran empat peratus, manakala julat tertinggi lima peratus diambil dari Sisihan Piawai (Standard Margin of Error) yang boleh diterima dalam Hukum Statistik.

(8) Walau bagaimanapun, kita harus jangan terlalu leka dengan angka peratusan yang kecil, sehingga kita lupa kepada angka Mutlak sebenar. Katakan dengan penduduk Malaysia berjumlah 26.00 juta orang, pada kadar Paras Kemiskinan pada 4-5 peratus adalah menyamai 200,000-250,000 buah keluarga berada dalam kategori tersebut. Dari segi nisbah, angka teresbut, nampaknya adalah kecil, namun dari angka mutlak, nilai tersebut harus diberi perhatian khusus.

(9) Maka, saya kira pendekatan pembasmian kemiskinan kita perlu mengambil perhatian pendekatan kebajikan dan penlestarian pertumbuhan pendapatan melangkaui purata kadar inflasi tahunan.

(10) Maka adalah wajar bagi kita sekarang ini, memikirkan secara mendalam akan pendekatan pembangunan sisio-ekonomi baru yang dapat mengekalkan pertumbuhan pendapatan penduduk luar bandar. Konsep pembangunan luar bandar yang menjurus kepada penyediaan peluang pekerjaan harus diperhalusi agar lebih menjurus kepada pendekatan pembangunan keusahawanan dan peluang peningkatan pendapatan. Telah tiba masanya, segala wang subsidi Kerajaan ke luar bandar, diolah sedemikian rupa bagi membentuk masyarakat luar bandar yang berdikari dan mempunyai taraf hidup yang tinggi. Model pembangunan di New Zealand, Switzerland, Jerman, Korea, dan Taiwan mungkin perlu kita kaji dan ambil teladan.

(11) Bagi mengatasi masalah kemiskinan di bandar, kita memerlukan pelbagai langkah iaitu, khususnya menyediakan payung sebelum hujan terutama bagi memastikan faktor-faktor mikro seperti disebutkan dapat dikawal dengan sepenuhnya.


Ambon, Maluku
14 June, 2009

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.